MENGENANG SYARIF MASAHOR
PAHLAWAN SARAWAK
SEMPENA HARI KEMERDEKAAN SARAWAK KE 51
Gambar Meriam Bujang Sambong
Nama penuh beliau adalah As Sayyid as Syarif Abu Bakar
Masyhor bin Abu Bakar Sakran. Beliau dilahirkan di Daerah Igan, Mukah di
Serawak setelah ayahnya menikahi seorang wanita Melanau serta lebih dikenali dengan nama 'Tuanku Syukran', wafat di Igan dan
dimakamkan di sana (1).
Tuanku Syukran atau lebih dikenali dengan nama 'Syarif
Sekerang' ini sangat dihormati penduduk sekitar sebagai orang pertama yang
datang bersama rombongan pelayaran beliau ke Igan (Kampung Sekerang). Beliau telah
mengislamkan masyarakat asal yang pada waktu itu beragama anenisme atau pagan (2).
Kelahiran Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran ini
juga berbeza pendapat beberapa sejarawan. Namun yang dapat dipastikan adalah
sumber yang menyebut beliau lahir di Brunei (3) adalah tidak bercanggah. Ini
kerana sesungguhnya pada alaf itu, Daerah Mukah adalah dibawah takhluk
Kesultanan Brunei Darussalam, sebelum penjajah Brooke merampas tanah tersebut
dan sehingga pasca kemerdekaan Sarawak, daerah itu kekal di bawah kerajaan
Sarawak.
Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran atau lebih
dikenali masyarakat setempat dan ahli sejarah sebagai "'Syarif Masahor'
adalah seorang arab Hadrami (4) keturunan Sayyidina Ali bin Abi Talib
Karamallahuwajhah dan Saydatina Fatimah binti Sayyidina Rasulullah Sallallahu
alaihi wa sallam. Beliau merupakan cucu ke 31 Rasulullah Sallallahu alaihi wa
sallam.
Nasab beliau adalah as Sayyidus Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar
Sakran bin Masyhor bin Hassan bin Muhammad bin Abdullah bin Abu Bakar bin Ali
bin Umar bin Hassan al Banahsan bin al Kabir Syeikh Ali bin Abu Bakar Assakran
bin al Faqih Muqaddam at Thsani Sidi Abdurrahman Assegaf. Beliau adalah
keturunan Bani Alawi dari Sidi Almuhajir Ahmad bin Isa bersambung sehingga asy
Syahid Sayyidina Hussein bin Sayyidina Ali Karamallahu Wajhah dan Saydatina
Fatimah binti Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam (5).
Sejarah awal kehadiran leluhur Syarif Masahor di Bumi
Kenyalang (Sarawak), masih belum dapat dibuktikan dengan sebarang penulisan
ilmiah yang mantap melainkan beberapa pendapat yang mengatakan datuknya beliau,
Syarif Masyhor bin Hassan bin Muhammad telah berkahwin dengan puteri kerajaan
Brunei bernama Seri Banun Pengiran Bahauddin (6) (yang sekarang keluarganya banyak
menetap di Pahang).
Asalnya Syarif Masyhor bin Hassan ini juga tidak
dikenalpasti, tetapi berdasarkan catatan buku nasab 'as Syamsu Zohirah'
karangan al Habib Abdurrahman Al Masyhor, abah atau ayah Syarif Masyhor (Datuk
kepada Syarif Masahor) yang bernama Habib Hassan bin Muhammad adalah kelahiran
Kota Tarim di Hadramaut, Yaman. Habib Hassan bin Muhammad ini telah ditulis
sebagai 'بجواه' (bijawah)
yang bermaksud keluar dari Tarim, menetap dan meninggal di Nusantara (7).
Menurut catatan lama tulisan tangan Syarif Masahor-
nasionalis Sarawak, beliau dilahirkan pada tahun Hijriah 1242 pada 7 Ramadhan.
Cacatan beliau menyebut:
"Hijrah Nabi Muhammad Sallahu alaihi wa sallam seribu
dua ratus empat puluh dua tahun kepada tahun di awal kepada tujuh haribulan
Ramadhan kepada malam Arba'(Rabu) kepada waktu awal Isya' pada saat misteri
maka diperanakkan Syarif Abu Bakar Masyhor Ibni Syarif Abu Bakar Sakran bin as
Sayyid Syarif Masyhor bin as Sayyid Syarif Hassan Banahsan bin Assyeikh al
Kabir al Qutb Ali nafaallahu wa barokatahu wa billahi taufiq, wa sallallahu ala
Sayyidina Muhammad wa aalihi wasahbihi wa sallam. انتهى"
Begitulah beliau menukil tentang kelahirannya sekitar April
tahun 1827 Masihi (8). Catatan beliau ini masih disimpan rapi oleh keluarga
Al-Aydrus yang menetap di Bahagian Sibu, Sarawak. Bermulanya sejarah perjuangan
Syarif Masahor ini adalah rentetan dari beberapa siri penentangan para Syarif
yang dilantik oleh Kesultanan Brunei sebagai Gabenor, atau wakil kerajaan sekaligus
pendakwah di beberapa daerah di Serawak (Brunei pada waktu itu).
Kedatangan
penjajah James Brooke telah menimbulkan kemarahan para Syarif-Syarif yang
menjadi pembesar daerah bebas terutama daeran Skrang sehingga Saribas. Para
pembesar Arab ini dikatakan mendapat sokongan penuh kaum Iban terutama di
daerah Skrang, Saribas dan Batang Lupar (9).
Pembaharuan yang cuba diterapkan oleh
James Brooke (datang pada tahun 1841) ternyata mengongkong, merugikan,
menyebabkan sumber pendapatan terjejas dan lebih utama adalah gerakan
Kristianisasi yang sangat pesat dilakukan mengancam akidah umat islam di
Serawak pada waktu itu.
GERAKAN KEMERDEKAAN AWAL PARA SYARIF
Peristiwa Gerakan Sharif Sahab (1850-1860) turut berlaku di
Bahagian Sibu. Kebangkitan ini didorong oleh keinginan pemimpin-pemimpin
tempatan untuk mempertahan aqidah, mengekalkan kuasa dan hak tradisional.
Penentangan mereka dikenali sebagai ‘pakatan Melayu’ atau ‘Episod Mukah’(10).
Kerajaan Brooke terpaksa mengambil tindakan tegas meminda kebangkitan ini
kerana mahu menguasai kawasan pengeluaran sagu. Gerakan penentangan ini
dipimpin oleh Sharif Sahap dan adiknya Sharif Mullah. Sharif Sahab menjadi
pemerintah di Skrang dan adiknya di Saribas. Pengikut-pengikut mereka terdiri
daripada orang Melayu dan orang Iban dari Saribas, Skrang dan Batang Lupar.
Rajah Brooke tidak menyenangi pengaruh Sharif Sahap ke atas orang Iban terutama
yang tinggal di sempadan.
Rajah Brooke mendesak Pengiran Muda Hashim (Wakil
Kerajaan Brunei di Kuching) mengenakan tekanan ke atas Sharif Sahab tetapi
kurang berkesan. Rajah Brooke juga tidak menyenangi kegiatan Sharif Sahap dan
kuncu-kuncunya. Malah pada tahun 1842 Sharif Sahap merancang menyerang Kuching
tetapi dibatalkan kerana perkara ini bocor dan Rajah Brooke didapati membuat
persediaan yang mencukupi.
Dalam usaha menghapuskan para Syarif ini dan sekutunya,
Rajah Brooke menggunakan alasan ‘lanun’ (para Syarif/Sayyid ini dianggap
lanun). Kerajaan Brooke gagal memberi penjelasan yang jelas terutama sasaran
serangan. Tindakan Brooke dibantah keras oleh beberapa golongan di England
termasuk pertubuhan agama (11). Sejarawan England, Graham Irwin menganggap ‘kempen
anti lanun’ ini sebagai kezaliman yang tidak perlu dan tidak berhati perut (12).
Rajah Brooke telah berjaya meyakinkan kerajaan British supaya
membantu beliau menghapuskan kegiatan lanun. Kapal-kapal perang British
dihantar untuk membantu dari masa ke semasa. Pada tahun 1844, Kapten Henry
Keppel dan kapal perang H.M.S. Dido dan Phlegethon Berjaya mengalahkan Sharif
Sahab dan Sharif Mullah di Pemutus dan Undup. Bagaimanapun kedua bersaudara ini
Berjaya meloloskan diri dan bersatu dengan Syarif Jaafar di Lingga. Pihak
British memburu mereka hingga ke Kapuas dan ini memaksa mereka berundur ke
Pontianak. Sharif Sahab kemudiannya meninggal di Pontianak.
SEJARAH AWAL GERAKAN SYARIF MASAHOR
Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran atau Syarif
Masahor tumbuh membesar sebagai seorang yang berpegang teguh pada agama. Beliau
sangat dikenali sebagai ‘guru ngaji’ yang mendalam ilmu agamanya, wara’, tawadu’
sehinggakan masyarakat setempat mengkagumi beliau (13). Setelah mencapai usia
matang, beliau diberi kepercayaan oleh abahnya untuk melakukan perjalanan
sekaligus menjalankan dakwah di kawasan sekitar Igan, dan beliau sangat
dikenali sebagai pendakwah yang mengislamkam Kampung Tengah, di Igan. Kerana
ketokohan beliau sebagai pemimpin masyarakat, Kerajaan Brunei di bawah
pemerintahan Sultan Abdul Mu’mein telah memberi kepercayaan untuknya menjadi
Wakil Sultan di Daerah Sarikei kawasan Sungai Rajang pada tahun 1849. Beliau
sangat berpengaruh dikalangan orang Melanau di Sungai Rajang dan orang Iban di
Sungai Skrang (14).
Syarif Masahor terkesan dengan perjuangan Syarif Sahab,
Syarif Mullah, Syarif Jaafar dan beberapa Syarif yang lain (15) yang berlaku lebih
awal, serta kemarahan atas kebiadapan penjajah Brooke menceroboh kedaulatan
wilayah yang ditadbirnya menjadi titik tolak kemaraan perjuangan beliau. Bangsa
asing itu membina sebuah kubu di Kanowit yang diuruskan Henry Steel tanpa
kebenaran dan pengetahuan Syarif Masahor. Tindakan itu seolah-olah usaha
pertama dalam cubaan Brooke untuk menjajah Sarikei.
PERTEMPURAN DI MUKAH
Pada tahun 1855, berlaku pertempuran Antara Syarif Masahor
dan sekutu Brooke (Pengiran Matussin). Beberapa ketika kemudian, daratan Mukah
kelihatan di hadapan matanya dan sebaik perahu mereka tiba di pinggiran sungai,
Syarif Masahor bersama ratusan askar yang menaiki 150 perahu, terus menyerang
Bandar Mukah. Angkatan perang Sharif Masahor berjaya menguasai bandar itu
seterusnya mengusir keluar Pangeran Matusin. Bagaimanapun, serangan nasionalis
Sarawak terhadap Pangeran Matusin yang menyokong Brooke menyebabkan bangsa
asing itu bertindak balas.
Khuatir kemungkinan penentangan Syarif Masahor akan
menjejaskan usaha mereka untuk menjajah serta memerintah Serawak, Brooke segera
mengumumkan yang Syarif Masahor tidak lagi berkuasa di Sarikei dan wilayah itu
berada di bawah pemerintahan mereka. Tindakan penjajah itu menambahkan lagi api
kemarahan dan dendam pahlawan itu terhadap Brooke. Syarif Masahor bertekad
untuk berjuang habis-habisan bagi mengusir bangsa asing itu dari bumi Serawak
demi membela tanah air tercinta.
Dalam perjuangannya itu, beliau beroleh pakatan daripada
seorang lagi pembesar Serawak iaitu Datu Patinggi Abdul Ghapur dari Kuching.
Datu Patinggi Abdul Ghapur memang berdendam dengan penjajah itu lantaran Brooke
sudah menjajah wilayah pemerintahannya sebelum itu. Seterusnya mereka mula
merancang strategi bagi menjayakan hasrat memerdekakan bumi Serawak daripada
penjajahan bangsa asing itu. Sasaran pertama mereka ialah menyerang kepentingan
Brooke di Sarikei iaitu kubu bangsa asing itu di Kanowit yang diuruskan Henry
Steel.
Pada Jun 1859, diketuai pahlawan Melanau iaitu Sawing dan
Salakai, kubu Brooke itu diserang menyebabkan dua pegawai bangsa asing iaitu
Steel dan Charles Fox, terbunuh. Serangan dan pembunuhan dua pegawai mereka
menyebabkan Brooke tersentak. Kejadian mengejutkan itu segera tersebar di
kalangan penduduk British di Serawak. Takut mereka akan menjadi sasaran amukan
penduduk tempatan, ramai orang Eropah mula meninggalkan Serawak. Kebangkitan
penduduk tempatan bagi menyerang mereka menyebabkan Kerajaan Brooke mula gusar
lalu mereka segera bertindak. Pahlawan tempatan yang terbabit dalam serangan
itu segera diburu.
Sepuluh yang ditahan dikenakan hukuman bunuh tetapi Kerajaan
Brooke gagal mengambil tindakan terhadap Syarif Masahor kerana tidak memiliki
bukti yang kukuh untuk mengaitkan pahlawan itu sebagai perancang utama serangan
berkenaan.
SYARIF MASAHOR DISOKONG DUA PEMIMPIN TERNAMA
Kejayaan serangan pertama itu menyebabkan Syarif Masahor dan
Datuk Patinggi Abdul Ghapur mula merancang serangan seterusnya. Kali ini,
mendapat bantuan daripada seorang lagi pemimpin tempatan iaitu Pangeran
Temenggung Hashim Jalil dari Sadong. Sasaran mereka pada serangan kali ini
ialah Kuching dan perancangan segera diatur - Pangeran Temenggung Hashim Jalil
akan memimpin pasukannya menyerang menggunakan jalan darat dari Pontianak,
Kalimantan manakala pasukan Syarif Masahor akan mara dari Sarikei dan menyerang
dari arah laut.
Bagaimanapun, perancangan itu ‘bocor’ dan diketahui Charles
Brooke (anak saudara James Brooke) menyebabkan penjajah itu meminta bantuan
Belanda untuk menahan Datu Patinggi Abdul Ghapur. Tokoh pahlawan itu kemudian
ditangkap dan dipenjarakan di Betawi, Indonesia seterusnya meninggal dunia di
sana (berbeza pendapat sejarawan tentang ini). Penahanan sekutunya itu tidak
melemahkan semangat juang Syarif Masahor. Pahlawan itu meneruskan rancangan
serangan mereka. Bersama pengikut setianya, beliau mara untuk menyerang Kuching
pada Februari 1860.
Akan tetapi, serangan pada kali itu sememangnya sudah
dijangka Kerajaan Brooke menyebabkan mereka sudah membuat persediaan bagi
menghadapi tentangan itu. Seterusnya pertempuran hebat berlaku di Sungai
Sadong. Pahlawan tempatan menentang hebat tanpa gentar tetapi mereka akhirnya
gagal mengatasi kekuatan angkatan perang Kerajaan Brooke. Kapal dan perahu
milik pasukan Syarif Masahor ditenggelamkan manakala 64 pengikutnya terbunuh
menyebabkan pahlawan itu terpaksa berundur ke Mukah dan mendapatkan
perlindungan daripada iparnya, Pangeran Nipa. Penjajah terus memburu tokoh
berkenaan dan akhirnya mereka dapat mengesan kedudukan Syarif Masahor. Satu
angkatan perang dikerahkan menyerang Mukah bagi menangkap Syarif Masahor tetapi
usaha penjajah itu gagal kerana kekuatan kubu Pangeran Nipa cukup kuat untuk
ditembusi.
PENGAKHIRAN HIDUP SANG PEJUANG
Gambar Sharif Masahor Di Selangor dengan Raja Abdullah
Tertekan kerana masih gagal menahan pahlawan karismatik
Sarawak itu menyebabkan James Brooke belayar menggunakan kapalnya iaitu
‘Rainbow’ bagi menghadap Sultan Brunei dan memaksa sultan itu menyerahkan Mukah
yang berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, kepadanya. Sebaik
memperoleh Mukah daripada Kesultanan Brunei, James Brooke terus memburu Sharif
Masahor sehingga pahlawan itu akhirnya ditangkap. Beliau dihukum buang negeri
ke Singapura pada 1861.
Banyak kisah-kisah lisan keluarga dan penduduk tempatan yang
menyaksikan Syarif Masahor sebagai seorang alim yang punya Karomah yang banyak
baik sewaktu penentangan di Sarawak mahupun di dalam buangan di Singapura.
Antara perkara yang masih menjadi misteri adalah identitas Sayyid Mashhur di
Kerling Selangor, seorang nasionalis yang dikatakan sebenarnya orang yang sama
dengan Syarif Masahor Sarawak. Para sejarawan bingung menentukan keabsahan
sejarah mereka kerana berlakunya banyak pertentangan fakta (16). Namun, ahli
keluarga yang menyimpan sejarah asal beliau punya cerita yang lebih menarik
tentang ‘persamaan’ kedua tokoh ini yang tidak memungkinkan kita untuk
berbicara secara panjang lebar di sini.
Kebenaran apapun yang terkubur disebalik sejarah beliau,
sebagai ahlulbait Nabi Sallallahualaihi wa sallam, Syarif Masahor adalah contoh
para salaf yang mengikut jejak leluhurnya yang mulia. Apa yang dilakukan
bertitik tolak pada pegangan agama yang kuat dan menetang anasir-anasir yang
mengancam akidah umat Islam. Perjuangan sucinya bagi membela tanah air gagal,
namun ruh dan semngat juangnya tidak pernah luntur dari ingatan masyarakat di
Serawak. Sharif Masahor meninggal dunia di Teluk Belanga, Singapura pada tahun
1890 seperti yang tercatat di dalam manuskrip lama simpanan keluarganya. Beliau
dimakamkan bersama para kerabat Sultan Johor sebagai tanda menghormati
ketokohan beliau.
Bagaimanapun, semangat dan jasa perjuangan beliau terus
kekal diingati melewati masa dan namanya terus terpahat dalam sejarah tanah air
sebagai seorang pejuang kemerdekaan menentang penjajah.
BI SIRRIL FATIHAH…
SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KE 51 NEGERI SARAWAK TERCINTA
(22 JULAI 1963-22 JULAI 2014)
Indeks:
1. Arkib Muzium Sarawak
2. igan.pi1m.my/
3. Perjuangan Anti Cession, Haji Hasbi Sulaiman
4. Perjuangan Anti Cession, Haji Hasbi Sulaiman
5. Syamsu Zohirah, al Habib Abdurrahman al Masyhur, Mufti
hadramaut
6. www.geni.com
7. Syamsu Zohirah, al Habib Abdurrahman al Masyhur, Mufti hadramaut
8. Makhtutah asal Syarif Masahor, Sibu
Sarawak...www.dateConversion.com
9. Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak, op.cit, hal
26; Sabihah Osman
10. Malay Muslim Political Participation: Sabihah Osman 1982
11. Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak: Sabihah Osman
12. Borneo Abad Ke-19: Graham Irwin 1986 hal 1981
13. Tun Ahmad Zaidi: Son of Sarawak, Sanib Said
14. www.tokohdalamkenangan.blogspot.com
15. Perjuangan Anti Cession, Haji Hasbi Sulaiman
16. The Identity of Sharip Masahor of Sarawak-Brunei and
Syed Mashhor of Selangor: A Prelimenary Investigation, Sanib Said 1983
apakah syarif masahor mempunyai saudara
ReplyDelete