Showing posts with label Home. Show all posts
Showing posts with label Home. Show all posts

Sunday, 12 March 2017

Teori Sejarah

TEORI SEJARAH

PENGENALAN

 Sebelum saya menjawab soalan tugasan ini dengan lebih mendalam lagi, terlebih dahulu saya akan menerangkan tentang apakah dimaksudkan sebagai sumber dalam sejarah?. Seperti yang kita sedia maklum, sumber merupakan sesuatu yang boleh kita jadikan sebagai punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan dalam sejarah.[1] 

Dalam bidang penulisan sejarah sumber merupakan satu perkara yang sangat penting kerana melalui sumberlah kita mendapat maklumat atau fakta yang diperlukan bagi menyokong kebenaran sejarah yang dihasilkan atau ditulis. Bercakap tentang sumber, kita memang tidak boleh lari daripada menyatakan bahawa sumber ialah perkara asas dalam penulisan sejarah. Kita boleh merujuk situasi ini dalam sesebuah perusahaan, contohnya dalam bidang perindustrian, perkilangan, pembuatan dan lain semuanya memerlukan sumber barulah perusahaan itu boleh dijalankan. Melalui buku yang saya baca juga menjelaskan bahawa sumber dikatakan sebagai sekumpulan bahan yang tersimpan di arkib, perpustakaan, muzium, istana dan sebagainya. Bahan-bahan ini boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan.[2] 

Walau bagaimanapun ingin saya tekankan di sini bahawa setiap sumber atau fakta yang digunakan atau diperolehi mestu diuji terlebih dahulu bagi membuktikan kesahihannya sebelum sumber itu disahkan sebagai benar kerana terdapat sumber yang palsu. Harus diingat bahawa sumber sejarah wujud dalam berbagai bentuk sama ada ada sumber yang ditulis pada kertas, dipahat seperti yang terdapat pada batu bersurat atau prasasti, diukir pada kayu, buluh, tulang, tanduk, daun, kepingan logam dan sebagainya.[3]

Seterusnya, sumber terbahagi kepada dua bahagian iaitu sumber pertama atau dikenali sebagai sumber primer dan sumber kedua atau sumber sekunder.[4] 

Merujuk kepada sumber primer ianya merupakan sumber tulen atau asli yang belum mengalami proses penafsiran dan pengolahan, maksudnya ianya adalah sumber yang asal. Untuk itu saya nyatakan antara beberapa contohnya ialah dokumen, surat, catatan atau laporan harian dan diari. 

Merujuk kepada sumber seterusnya pula iaitu sumber sekunder, apa yang dikatakan sebagai sumber sekunder adalah seperti tulisan atau buku yang ditulis oleh sejarawan tentang seseorang tokoh atau sesuatu peristiwa berlandaskan sumber primer misalnya surat khabar, buku atau tesis iaitu bahan yang telah diolah. Jika ianya dikatakan sebagai sumber semestinya di dalam sumber itu akan wujudnya fakta iaitu pernyataan tentang kejadian yang berlaku sama ada dalam akhbar atau sumber-sumber lain yang menjadi perkara pokok sejarah dan ia bersifat tetap. Fakta dan sumber adalah saling berkait rapat kerana daripada sumber lahirnya fakta.[5]

 SEBAB-SEBAB SUMBER SEJARAH PERLU DIUJI UNTUK KESAHIHANNYA

 Sebelum saya masuk kepada langkah-langkah yang diambil oleh ahli sejarah dalam memastikan kesahihan sumber yang digunakan dalam kajian mereka saya terlebih dahulu hendak menerangkan tentang sebab-sebab sumber sejarah perlu diuji kesahihanya. Antara beberapa sebabnya mengapa sumber sejarah perlu diuji adalah untuk memastiakn kesahihannya seterusnya memastikan kebenaran fakta yang digunakan dalam penulisan sejarah. 

Kenapa? Sebabnya adalah bagi menghasilkan penulisan yang mempunyai fakta yang benar-benar sahih dan diterima umum. Situasai ini berlaku agar tidak wujud fakta yang ditokok tambah seperti mencampur adukkan fakta sejarah dengan cerita fiksyen atau rekaan mahupun dongeng untuk mengagung-agungkan seseorang tokoh. Keadaan ini perlu dielakan jika penulisan itu mengikut langkah yang betul. Oleh itu, menurut Ranke penulisan sejarah sebenarnya adalah menceritakan semula peristiwa sejarah seperti yang sebenarnya berlaku, namun begitu fakta sejarah tidak pernah muncul dalam situasi yang murni kerana sentiasa dihiasi berdasarkan pemikiran si pencatat itu.[6] 

Oleh yang demikianlah menyebabkan penceritaan semula peristiwa sejarah memerlukan pengolahan, penjelasan, pengisahan dan penyusunan semula. Sekiranya aspek-aspek ini diabaikan maka hasilnya nanti membuatkan pembaca atau generasi akan datang keliru dan kerana itulah fakta sejarah perlu diuji terlebih dahulu sebelum digunakan di dalam penulisan sejarah.

Merujuk kepada sebab seterusnya, proses menguji kesahihan ini penting bagi mengelakkan lahirnya golongan tertentu yang memberi bukti palsu untuk mempengaruhi penulisan ahli sejarah. Sekiranya terdapat sumber sejarah yang dikemukakan oleh mana-mana pengkaji, individu atau pihak-pihak tertentu, ahli sejarah haruslah terlebih dahulu mengenalpasti atau menentukan kesahihannya. 

Kenapa? Ini bertujuan untuk mengelakkan sumber yang diketengahkan itu telah ditokok tambah atau palsu bagi kepentingan pihak tertentu, sama ada untuk mendapatkan kedudukan, hak milik mahupun tujuan lain yang tidak mustahil boleh menjatuhkan kerajaan.[7] 

Misalnnya, peristiwa pernah berlaku di Eropah apabila dokumen ‘Donation of Constantine’ yang digunakan sebelum pertengahan kurun ke-15 untuk mengukuhkan satu teori pihak gereja yang menurut Paus agama Katolik mempunyai hak terhadap tanah di Eropah telah dibuktikan palsu oleh Lorenzo Valla yang telah menggambarkan bahawa tuntutan Paus juga adalah palsu atau tidak benar.[8] 

Daripada peristiwa tersebut menunjukkan pentingnya menguji terlebih dahulu sumber dan fakta yang diperolehi supaya tidak terjadi peristiwa yang sebaliknya.

Manakala sebab seterusnya ialah bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya penulisan dan penafsiran tidak berasas atau mengikut kemahuan sendiri oleh ahli sejarah. Untuk makluman sejarah bukanlah ilmu falsafah yang membenarkan sejarawan menerima kebenaran berdasarkan penghujahan mental yang logik sahaja tanpa perlu merujuk kepada bahan-bahan bukti yang sahih dan sejarah berbeza dengan ilmu kesusasteraan yang memberi kebebasan yang luas kepada akal, pemikiran, sentiment, emosi dan imaginasi seseorang dalam menyuarakan kebenaran. 

Sekiranya sejarawan tidak jujur dalam pengkajian yang dilakukannya, hasil karya sejarah itu bukan hasil karya sejarah tetapi boleh diklasifikasikan sebagai hasil karya falsafah, sastera dan politik akan tetapi, sejarawan juga bebas untuk membuat tafsirannya sendiri terhadap sesuatu peristiwa asalkan tafsirannya mempunyai sumber-sumber kajian yang mencukupi bagi mengukuhkan dan membenarkan penafsirannya.[9]

Selain itu, ia untuk mengelakkan penulisan yang bersifat berat sebelah iaitu penulisan yang ditulis bertentangan dengan kejadian atau peristiwa yang asal berlaku. Kebanyakkan hal ini terjadi disebabkan oleh sikap penulis itu sendiri yang terlalu ingin mengagungkan bangsa, agama dan negaranya sendiri.[10] 

Oleh sebab itu, pengadilan moral ditekankan oleh setiap ahli sejarawan supaya sikap ini tidak terjadi. Jika hal ini terjadi, penulisan yang ditulis secara berat sebelah akan memburukkan sebelah pihak walaupun pihak tersebut tidak bersalah. Hal ini dapat dilihat berdasarkan contoh iaitu peristiwa pengeboman Bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun oleh British, pihak British diagungkan oleh ahli sejarawan kerana mengebom kuasa yang berkuasa di Asia Tenggara demi keamanan dunia. Padahal kedua-pihak saling berebut kuasa di Asia Tenggara dan bagi melumpuhkan kuasa Jepun,British telah mengebom bandar tersebut tanpa mempedulikan nyawa-nyawa yang tidak berdosa.

Selain itu, memastikan sumber itu sahih juga penting dalam memastikan kesahihan fakta kerana terdapat penulisan atau sumber yang dihasilkan oleh sejarawan dahulu adalah bersifat mengagungkan sesetengah pihak sama ada raja dan sebaliknya. Walaupun seseorang sejarawan itu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan sejarah itu ditulis, namun mereka terpaksa akur terhadap titah perintah raja. 

Hal ini dapat dilihat berdasarkan sikap Tun Seri Lanang iaitu sejarawan Melayu yang membaiki kandungan Sulalatus Salatin berdasarkan perintah sultan walaupun menerima tugas tersebut dengan perasaan yang berat. Oleh yang demikian sejarah yang dihasilkan mengandungi bermacam-macam unsure yang lebih bercorak saster sejarah.[11] Sekiranya kita merujuk sumber tersebut menggunakan berkemungkinan besar kita mendapat sumber palsu yang ditokok tambah oleh penulis berlandaskan kehendak pemerintah masa itu. Oleh sebab itu, sesuatu sumber itu perlu dikaji kesahihannya terlebih dahulu sebelum diguna pakai.


LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL OLEH AHLI SEJARAH UNTUK MEMASTIKAN KESAHIHAN SUMBER


Kesahihan atau sahih? Perkara ini adalah penting bagi sejarawan kerana sebelum sumber sejarah itu diterima umum mereka hendaklah membuktikan kesahihanya. Memastikan kesahihan sesuatu sumber penting untuk mendapatkan sesuatu sumber yang asli, yulen dan fakta yang betul. Sesebuah penulisan sejarah oleh sejarawan hendaklah menggunakan sumber dan fakta serta melahirkan pandangan kritis. Sejarawan yang tidak mematuhi syarat itu dan mereka tidak mengkritik sumber itu dengan kritis, maka sejarawan tersebut belum lagi dikira sebagai sejarawan. Sumber yang telah diuji kebenaran atau kesahihannya barulah dikira sebaga sejarah berbeza dengan dengan penulisan sastera yang kreatif. Sekiranya sesuatu sumber itu diterima secara bulat-bulat maka masyarakat tidak akan dapat menerima hakikat sesuatu peristiwa sejarah yang telah berlaku itu sama ada benar ataupun tidak sebagaimana yang berlaku pada karya “Sejarah Melayu”.[12] 

Antara langkah yang perlu diambil oleh ahli sejarawan adalah menggunakan dua langkah iaitu iaitu kritikan luaran dan kritikan dalaman. Dengan merujuk kepada kritikan luaran ianya memerlukan kepakaran luar daripada bidang ahli sejarah seperti kepakaran ahli kimia dan ahli bahasa. Kritikan luaran yang diambil ialah dengan menjalankan ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan tangan dan melalui bahan-bahan yang digunakan dalam sumber tersebut. Manakala dalam kritikan dalaman pula adalah perlu bagi sejarawan memastikan kandungan itu benar, rasional dan logik. Langkah kedua adalah penafsiran sumber berlandaskan lunas-lunas kerasionalan, memastikan latar belakang saksi kemudian harus bijak menangani masalah kewujudan bukti yang terang-terangan bercanggah dan langkah yang terakhir adalah memastikan situasi seseorang yang menyampaikan bukti.


KRITIKAN LUARAN

Melalui kritikan luaran yang hendak dilakukan ialah keatas sifat fizikal sumber tersebut. Langkah yang pertama adalah menjalankan ujian kimia bagi menentukan umur sebenar sesebuah dokumen atau sumber yang diperolehi. Ujian ini hendaklah dilakukan oleh pakar kimia kerana hal ini diluar bidang kuasa sejarawan dan sumber tersebut akan dihantarkan ke makmal kimia terlebih dahulu. Dalam proses ini, ujian yang dijalankan ialah memerhatikan keadaan kertas,dakwat dan cop yang digunakan mengikut peredaran zaman. Sebagai contoh ialah kertas yang digunakan tidak sama mengikut jenis yang berlain mengikut peredaran zaman. Pada pandangan mata kasar, kertas masa kini dengan masa dahulu sama saja tetapi dengan menjalankan ujian kimia kita dapat mengetahui umur kertas yang digunakan. Kaedah ini penting kerana seperti yang kita sedia maklum dakwat yang digunakan iaitu dakwat masa kini berlainan dengan masa lampau kerana proses dan bahan pembuatan yang berlainan.

Langkah yang perlu diambil oleh sejarawan lagi ialah dengan menjalankan ujian bahasa terhadap sumber tersebut. Ujian bahasa ini perlu dilakukan kerana setiap gaya bahasa sentiasa berubah dari sudut nahu, struktur ayat, ejaan, istilah, tanda baca dan sebagainya. Sebagai contohnya ialah G.J. Garraghan mengatakan bahawa gaya tulisan Latin oleh Livy yang bertarikh pada abab pertama tidaklah sama dengan gaya tulisan Latin Einhard pada abad yang ke-9. Keadaan ini juga sama dalam bahasa Melayu kerana pada waktu dahulu terdapat abjab rumi yang menpunyai tanda dan bunyi yang berbeza tetapi pada masa ini sudah tidak terdapat abjab yang bertanda. Selain itu juga kita dapat melihat karya “Sulalatus Salatin” melalui penggunaa ayat-ayat dalam bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat dahulu berbeza dengan masa kini. Jadi, untuk menjalankan ujian ini, sejarawan memerlukan kerjasama ahli fisologi untuk menentukan atau menilaikan gaya dan bahasa daripada teks atau sumber yang digunakan.[13] Apabila kita menggunakan orang yang pakar dalam bidang ini, kesahihan atau keasliaan yang digunakan dalam bahasa dapat diketahui. Rasionalnya adalah supaya dapat ditentukan sesuatu sumber itu sama ada palsu ataupun tidak.

Selain daripada menguji bahasa yang digunakan, ahli sejarawan juga akan menjalankan ujian keatas tulisan tangan yang digunakan. Kebayakkan sumber atau teks yang ditulis dengan tulisan tangan kerana pada waktu tersebut tidak lagi mempunyai mesin taip atau komputer. Hal ini hanya akan dilakukan keatas sumber atau teks yang ditulis tangan bukannya yang ditaip atau dicetak. Garraghan mengatakan bahawa “tulisan tangan adalah mempunyai satu ciri yang tersendiri” kerana setiap tulisan tangan penulis sumber atau teks tersebut berbeza-beza dengan tulisan tangan orang lain. Pemalsuan tulisan tangan telah berlaku pada masa kini iaitu kes pemalsuan Buku Harian Hitler oleh seseorang yang mempunyai kepentingan yang tersendiri. Kes pemalsuan Buku Harian Hitler ini dapat dibongkarkan apabila ada ahli sejarah yang sangsi terhadap buku tersebut dan meminta ahli paleografi membandingkan tulisan tersebut. Apabila ujian dijalankan dengan membandingkan tulisan di dalam dokumen lain yang ditulis Hitler sendiri didapati tulisan di dalam buku tersebut berbeza dengan tulisan tersebut. Akhirnya kajian semula itu telah membongkar pemalsuan buku tersebut yang pada mulanya menggegarkan masyarakat dunia. Ujian ini juga memerlukan kepakaran dari luar bidang sejarah dan ini memerlukan kerjasama daripada ahli paleografi kerana mereka pakar dalam bidang ini.

Walau bagaimanapun, sejarawan juga perlu menguji bahan-bahan yang digunakan dalam mencatat sumber tersebut melalui orang-orang yang pakar dalam bidang ini. Ujian ini amat mudah dilakukan kerana sebarang pemalsuan akan dapat dikesan oleh para pengkaji jika bahan yang digunakan tidak wujud ketika dokumen atau sumber tersebut dihasilkan. Seperti yang kita sedia maklum, kertas wujud pada tahun 1150 T.M, jika terdapat sumber atau dokumen yang ditulis sebelum tahun 1150 T.M maka sumber atau dokumen tersebut adalah palsu. Ketika itu, kebanyakkan sumber atau dokumen ditulis hanya pada kulit kambing sebagai pengganti kepada kertas. Sebagai contoh pemalsuan yang dilakukan ialah pemalsuan Buku Harian Hitler terbongkar apabila benang-benang yang digunakan untuk menjilid buku tersebut hanya wujud selepas kematian Hitler. Ini menunjukkan buku tersebut diwujudkan selepas kematiannya menyebabkan sama sekali buku itu adalah bukan buku harian yang ditulis oleh Hitler sendiri.

KRITIKAN DALAMAN

Kritikan dalaman juga penting di dalam kajian sesuatu sumber sejarah untuk menentukan kebenarnnya dan kerasionalannya tentang sesuatu isi kandungan sesuatu sumber sejarah tersebut. Walaupun dikatakan sumber itu mungkin asli dari segi kritikan luaran, tetapi jika kandungannya tidak munasabah maka sumber itu tidak wajar dijadikan sumber rujukan sejarah.[14] Kritikan dalaman dilakukan oleh ahli sejarawan sendiri tanpa memerlukan kerjasama daripada ahli bidang lain tidak seperti kritikan luaran. Kritikan dalaman merangkumi banyak aspek seperti aspek kandungan itu benar atau tidak, kerasionalan, logik dan banyak lagi.

Ahli sejarah akan melakukan kritikan dalaman dengan membuat penafsiran sumber berlandaskan lunas-lunas kerasionalan. Setiap tindakan yang dikaji itu boleh ditafsir secara rasional dengan keterangan yang diberikan oleh si pelaku atau saksi. Hal ini bagi memastikan sesuatu sumber yang diterima itu bebas daripada unsur-unsur mitos, lagenda atau ghaib. Keadaan yang cuba dielakkan ialah wujudnya unsure sastera seperti teks pada masa dahulu banyak mengandungi mitos, lagenda dan ghaib bagi mengangkat martabat seseorang tokoh atau menyedapkan jalan cerita. Jadi, ahli sejarawan perlulah mengkaji setiap peristiwa itu dengan fikiran yang rasional supaya fakta yang diterima tidak palsu atau rekaan semata-mata. Jadi, ahli sejarawan berhak menolak sebarang sumber yang dipercayai menyelitkan unsur-unsur tersebut yang sekaligus melanggar peraturan lunas-lunas kerasionalan pemikiran. Sebagai contohnya ialah Thucydides ketika menulis karyanya tentang Perang Poloponessia telah menolak cerita-cerita yang berunsurkan mitos misalnya yang menyatakan wabak penyakit pes yang menyerang negeri Athens adalah berpunca daripada tindakan tuhan semata-mata.[15]

Di samping itu juga, sejarawan juga perlu memastikan terlebih dahulu tentang latar belakang saksi. Hal ini kerana Gottschalk sendiri menyatakan bahawa wujudnya “saksi-saksi yang berkepentingan” seperti pegawai-pegawai dari sesebuah jabatan kerajaan ataupun sesebuah parti politik atau badan agama dan sebagainya yang cuba mempengaruhi sejarawan.[16] Ahli sejarah perlu berhati-hati dengan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tersebut kerana kecenderungan mereka untuk mempertahankan pihak yang diwakili mereka. Perkara sebegini perlu dperiksa dengan teliti oleh ahli sejarah sebelum mengambil sebarang fakta atau sumber dalam penulisan mereka supaya tidak berlaku kekeliruan kepada generai akan datang. Contoh yang paling jelas adalah rusuhan kaum di Bandar Salem pada tahun 1882 yang mempunyai saksi-saksi yang berkepentingan seperti yang dikatakan oleh Gottschalk. Saksi ini telah memberikan keterangan di mahkamah dan telah menyalahkan pihak lawan mereka kerana bertanggungjawab dalam kejadian yang berlaku, selepas tamatnya perbicaraan tersebut, didapati beberapa orang saksi telah didapati bersalah kerana memberi keterangan palsu dan akhirnya dipenjarakan. Jika keterangan palsu oleh saksi tersebut tidak bongkar dan jika ahli sejarah tidak memastikan terlebih dahulu latar belakang saksi maka penulisan sejarah adalah palsu dan memberi kesan negatif kepada pihak yang benar .

Selain daripada itu, ahli sejarah juga perlu bijak dalam menanggani masalah kewujudan bukti yang terang-terangan bercanggah dengan apa yang diketahui. Melalui situasi begini, maka ahli sejarah perlu bijak membuat keputusan tentang bukti yang harus diterima dan bukti mana yang harus ditolak. Selain itu, ahli sejarah bukan sahaja perlu memilih bukti yang diterima atau ditolak tetapi harus mencari jalan tengah diantara bukti yang bercanggah ataupun menggantungkan keputusannya. Walau bagaimanapun,terdapat ahli sejarah yang mempunyai pendirian yang berbeza tentang perkara ini iaitu Voltaire menyatakan ahli sejarah harus menggantungkan pengadilan sekiranya wujudnya bukti yang bercanggah manakala Marc Bloch menyatakan ahli sejarah perlu membuat keputusan bukti yang diterima atau ditolak berdasarkan ketetapan fakta yang sedia ada. Biasanya ahli sejarah akan menolak bukti yang bercanggah dengan fakta yang sedia ada tetapi jika terdapat bukti yang baru diketahui itu benar-benar sahih barulah ahli sejarah akan membuat keputusan untuk menerima bukti berkenaan.

Akan tetapi, ahli sejarah juga perlu melihat situasi seseorang saksi menyampaikan bukti iaitu penyediaan bukti-bukti kadang-kadang berlaku dalam keadaan yang agak luar biasa. Luar biasa bermaksud penyediaan bukti biasanya dalam jangka masa yang panjang, nama saksi tidak didedahkan oleh sebab-sebab tertentu, pengakuan orang dalam tahanan dan lain-lain lagi. Terdapat kesangsian tentang bukti-bukti yang disampaikan oleh saksi kerana sesuatu peristiwa yang ingin disamapaikan telah lama berlaku. Kesangsian tentang bukti ini juga berpunca daripada keupayaan saksi-saksi untuk memaparkan dengan jujur peristiwa-peristiwa yang sudah lama berlalu itu dan ahli sejarah perlulah bijak mengesan kejujuran dan kelayakan saksi itu. Kita boleh mengambil contoh daripada pengakuan yang dibuat oleh orang-orang dalam tahanan kerana boleh menimbulkan keraguan sama ada pengakuan tersebut diperolehi secara sukarela atau paksaan kerana tentu sukar bagi seseorang itu untuk mendedahkan kesalahan yang dilakukannya sendiri. Hal ini menunjukkan ahli sejarah tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh saksi-saksi sesuatu peristiwa tetapa ahli sejarah hendaklah menilai atau mengkaji terlebih dahulu keterangan tersebut supaya keterangan yang dibuat bukanlah palsu.

KESIMPULAN

Kesimpulannya di sini, ahli sejarah atau sejarawan adalah wajib menjalankan ujian atau mengalisis terlebih dahulu sumber diperlukan bagi membuat sesuatu penulisan sejarah. Dari isi yang saya nyatakan dalam tugasan ini, sumber-sumber sejarah yang diperolehi hendaklah diuji terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan atau keaslian sumbernya. Kenapa? tujuannya ialah supaya penulisan itu tidak mengandungi unsur palsu yang menyebabkan sejarawan pada masa hadapan mengulangi masalah yang sama. Kesannya sejarawan pada masa akan datang dianggap menulis sejarah kerana kewangan semata-mata bukannya kerana sifat sejarawan itu sendiri. Oleh yang demikia sejarawan hendaklah membuat kajian atau analisis terperinci yang merangkumi pelbagai aspek kritikan iaitu kritikan luaran dan dalaman. Akhir sekali dalam tugasan ini, sekali lagi saya menegaskan di sini bahawa sejarawa perlu melalui langkah-langkah tertentu untuk memastikan sesuatu sumber itu sahih. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan sumber itu sahih dan diterima umum.

Nota Kaki :
  

[1] Muhamad Yusuf Ibrahim, Pengertian Sejarah hlm. 64-65.

[2] Abdul Rahman Haji Ismail, Apakah Sejarah hlm. 7-8.

[3] Abdul Rahman Haji Ismail hlm. 9.

[4] Ibid.

[5] R. Suntharalingam hlm. 72.

[6] Muhd Yusuf Ibrahim, Sejarawan dan Pensejarahan hlm. 280

[7] Abdul Rahman Haji Ismail, Apakah Sejarah, hlm. 8-10.

[8] Muhammad Yusof, Pengertian Sejarah hlm. 96

[9] R. Suntharalingam, hlm. 23

[10] Muhamad Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah hlm. 106

[11] Ibid.


[12] E.H.Carr, What is History?, hlm. 56

[13] R. Suntharalingam, hlm 89.

[14] E.H.Carr, What is History?, hlm 64.

[15] Muhamad Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Pensejarahan hlm.56


[16] Muhd Yusof Ibrahim , Sejarawan dan Pensejarahan hlm 287

Sumber : Teori Sejarah

KRITIKAN SUMBER SEJARAH


KRITIKAN SUMBER

Istilah kritikan merujuk kepada proses pentafsiran bukti iaitu satu ujian mendapatkan kebenaran. Ia bukanlah satu pendirian secara mental mengenai sesuatu isu. Menurut Marc Bloch, kritikan ialah menguji kebenaran sesuatu sumber kerana berpunca dari kesangsian terhadap fakta.[1] Menurut Yusof Ibrahim, sumber boleh didefinisikan sebagai suatu yang boleh dijadikan punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan-penulisan. Justeru, secara ringkasnya kritikan pula boleh dikatakan sebagai penilaian bahan yang dijadikan bukti terhadap sesuatu dakwaan atau penulisan.[2]

Sebagai prasyarat menuju keyakinan, kita seharusnya bersikap sangsi dan ragu-ragu tentang sesuatu sumber atau punca sebelum kita menerima dan mempercayai kebenarannya[3]. Justeru, kita perlu mengetahui kritikan-kritikan sumber yang di telah di buat untuk sesuatu penulisan sejarah dari pelbagai punca pemikiran.

Kritikan sumber bertujuan untuk memastikan sama ada yang dikatakan asal sumber itu adalah asal yang sebenar ataupun tidak. Seandainya yang dipercayai, sumber itu tulen, jika tidak, sumber itu palsu. Sehubungan itu,, sesuatu kritikan sumber dibuat adalah untuk mengetahui ketepatan sesuatu fakta memandangkan ramai ahli sejarah yang menganggap diri mereka hebat dalam sejarah sedangkan apa yang mereka bincangkan adalah tidak mempunyai asas dan bukti yang kukuh dalam bidang atau penulisan tersebut.

Kritikan sumber juga turut dilakukan bertujuan untuk mengetahui siapa penulis dan dari mana sumber dihasilkan supaya ahli sejarah dapat mempercayai kesahihan sesuatu sumber itu. Jadi ahli sejarah akan bebas untuk membuat sebarang takrifan atau tulisan asalkan mempunyai sumber-sumber yang cukup bagi mengukuhkan dan membenarkan tafsiran yang telah dibuat.

Kritikan terhadap sesuatu sumber itu terbahagi kepada dua kaedah atau proses utama iaitu kritikan luaran dan kritikan dalaman. Pendapat ini dipersetujui oleh Collingwood dan menyifatkan kaedah tersebut sebagai 'sejarah kritikal'.[4]  Antara tokoh sejarah yang benar-benar meletakkan asas-asas kritikan sumber sejarah secara sistematik ialah Ernst Bernheim (1889), yang telah membahagikan kritikan sumber kepada dua jenis, iaitu kritik luaran dan kritik dalaman (external criticism and internal criticism).[5]

Kritikan Luaran

Melalui kritikan luaran dapat mengesahkan ketulenan dan kesahihan sumber asli tersebut. kritikan luaran ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan pemalsuan sumber. Melalui pendekatan ini, sesuatu sumber dapat disahkan ketulenan dan kesahihan serta dapat memberi kepercayaan kepada masyarakat. Menurut Bloch, kritikan luaran ini berpunca daripada sikap sangsi terhadap keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tentang masa lampau dan kaedah-kaedah yang berkesan telah dicari yang membenarkan pengasingan daripada pendustaan.[6] Melalui kritikan luaran, pelbagai langkah yang diambil dalam untuk memastikan kesahihan dan ketulenan sesuatu bahan.

Langkah pertama dalam menjalankan kritikan luaran ialah melakukan ujian kimia terhadap sumber. Ujian kimia dilakukan bertujuan untuk menentukan umur sebenar sesuatu dokumen. Proses ini melibatkan ujian terhadap keadaan kertas, dakwat, dan cap yang digunakan. Hal ini demikian kerana dalam penghasilan sesebuah dokumen, keada kertas, dakwat dan cap di dalamnya akan berubah mengikut peredaran masa dan zaman dari segi bahan-bahan yang digunakan.

Seterusnya, ahli sejarah akan mengkaji bahasa-bahasa yang digunakan dalam dokumen-dokumen sejarah. Hal ini demikian kerana gaya bahasa di dunia adalah cukup dinamik serta sentiasa berubah mengikut zaman. Gaya bahasa sentiasa berubah dari sudut nahu, struktur ayat, ejaan, istilah, tanda baca dan sebagainya.

Langkah seterusnya ialah menjalankan ujian tulisan tangan terhadap dokumen-dokumen sejarah yang ditulis dengan tangan dan bukan ditaip atau dicetak. Kaedah yang digunakan dalam ujian ini adalah kaedah perbandingan. Kaedah perbandingan ini dapat mengenal pasti ciri-ciri persamaan dan perbezaan yang dihasilkan oleh orang yang sama ataupun individu yang berlainan dalam menulis sumber-sumber sejarah tersebut.

Cara seterusnya untuk menentukan ketulenan sesuatu dokumen sejarah ialah menjalankan ujian terhadap bahan-bahan yang digunakan dalam buatan dokumen sejarah. Ujian ini dapat memudahkan para pengkaji mengesan sama ada bahan yang digunakan tidak wujud ketika dokumen atau sumber tersebut dihasilkan. Sebagai contoh, kertas wujud pada tahun 1150 Masihi, namun jika terdapat sumber atau dokumen yang ditulis pada kertas sebelum tahun tersebut adalah palsu kerana kebanyakan sumber atau dokumen yang ditulis sebelum 1150 Masihi ialah pada kulit kambing. Oleh itu, langkah-langkah tersebut penting dalam membuat kritikan luaran terhadap sumber bagi memastikan ketulenan sumber tersebut.

Kritikan Dalaman

Proses kritikan dalaman dilakukan oleh ahli sejarah bermula selepas proses kritikan selesai. Kritikan dalaman bertujuan untuk menentukan kemunasabahan ataupun kewarasan tentang sesuatu isi kandungan sesuatu sumber sejarah.[7] Kritikan dalaman adalah mengenai kandungan sumber dan kebiasaannya diikuti kritikan luaran sendiri. Kritikan dalaman juga penting di dalam kajian sesuatu sumber sejarah untuk menentukan kebenarannya dan kerasionalnya. Kritikan dalaman dilakukan oleh ahli sejarawan sendiri tanpa memerlukan kerjasama daripada ahli bidang lain tidak seperti kritikan luaran. Kritikan dalaman merangkumi banyak aspek seperti aspek kandungan itu benar atau tidak, kerasionalan, logik dan banyak lagi.

Tujuan kritikan dalaman adalah untuk membentuk kredibiliti sesuatu sumber. Sebagai permulaan, ahli sejarah perlu memahami apa yang dimaksudkan saksi melalui bukti mereka. Sehubungan dengan itu, ahli sejarah dapat menentukan dengan betul kredibiliti saksi di bawah persoalan. Seterusnya ahli sejarah mula melakukan proses tafsiran sumber setelah mengenal pasti ketulenan sumber. Terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan oleh ahli sejarah terhadap sumber sejarah. Ahli sejarah perlu menapis setiap sumber sejarah untuk menjamin setiap perkara atau butiran yang di ambil daripada sumber boleh dipertanggungjawabkan.  Seterusnya, ahli sejarah juga perlu mengesan fakta dan pernyataan yang ditulis dalam penulisan sejarah dan bukan hanya diterima secara terus daripada saksi-saksi yang diperolehi.

Proses kritikan dalaman lebih banyak menumpukan kepada proses tafsiran ke atas kandungan sumber-sumber sejarah. Terdapat beberapa tahap tafsiran sumber yang perlu dilakukan oleh ahli sejarah seperti tafsiran verbal, tafsiran teknikal, tafsiran logik, tafsiran psikologi dan tafsiran fakta. Proses taksiran ini dilakukan supaya dapat menentukan keaslian kandungan sumber setelah menentukan ketulenan fizikal sumber-sumber tersebut. proses pertama ialah tafsiran verbal. Tafsiran verbal dilakukan apabila seseorang menumpukan perhatian pembacaan ke atas perkataan-perkataan yang terdapat dalam sesuatu dokumen secara individu ataupun kumpulan.[8] 

Proses ini memerlukan pengetahuan dari sudut bahasa yang mana ahli sejarah perlu menguasai lebih dari satu bahasa seperti bahasa Ingeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan sebagainya. Proses seterusnya ialah tafsiran logik iaitu merupakan satu proses yang dilakukan oleh ahli sejarah untuk menyambung pelbagai bahagian sumber mengikut kaedah pemikiran yang betul. Proses ini juga memberi satu jalinan peristiwa yang bersambungan dalam pemikiran sejarawan, sebelum atau sesudah peristiwa yang berlaku. Ahli sejarah boleh memberi idea dan pandangan terhadap tafsiran sumber yang dikaji tetapi hendaklah berasaskan kepada kebenaran peristiwa-peristiwa sejarah yang telah berlaku.Seterusnya, proses tafsiran seterusnya ialah tafsiran psikologi. Proses ini adalah melihat pemikiran dan ciri-ciri penulis sesuatu sumber yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran fizikal, sosial dan intelektual.[9] 

Taksiran psikologi merupakan proses membaca mengikut sudut pandangan bagi mendapatkan pemikiran sejarah. Proses ini biasanya berkaitan dengan idea emosi seorang penulis atau pun ahli sejarah. Sekiranya mereka dipengaruhi oleh emosi, mereka akan menghasilkan tafsiran yang berat sebelah dan tidak bersikap profesional. Sebagai contoh, ramai dalam kalangan ahli sejarah barat yang terdiri daripada pegawai tadbir British yang menulis tentang sejarah Malaysia gagal memberi tafsiran psikologi secara tepat dan jelas. Proses tafsiran yang terakhir yang dijalankan ialah tafsiran fakta. Proses ini digunakan setelah ahli sejarah berjaya memahami makna dan kandungan sumber atau dokumen yang dikaji. Proses ini dilakukan dengan menggunakan satu atau lebih fakta-fakta sejarah yang signifikan sama ada secara individu atau berkumpulan bagi menjelaskan sebab dan akibat sesuatu peristiwa berlaku.

Pengkaji telah melakukan pelbagai cara dalam melakukan kritikan dalam. Pengkaji perlu untuk mengetahui jenis orang yang mencipta atau membuat sumber. Seseorang perlu menyiasat ke atas pendidikan mereka, kedudukan dalam hidupnya, pandangan politik dan sifat.[10] Selepas itu, mereka terus boleh memeriksa kredibiliti saksi tersebut. seterusnya ialah membentuk jika orang di belakang sumber adalah benar-benar dalam kedudukan yang diketahui orang pertama tentang perkara di bawah penyiasatan dan sama ada mereka adalah jujur. Testimoni saksi tidak boleh diambil kira kecuali mereka benar kehilangan kepercayaan. Ia boleh diterima kepada saksi untuk melakukan beberapa kesalahan sekiranya sisa-sisa testimoninya benar-benar kukuh.  

Terdapat juga beberapa sejawan perlu berhati-hati pada langkah ini. Mereka perlu berhati-hati untuk tidak mengandaikan tentang peluang atau kesempatan saksi untuk mengamati, bermaksud mereka adalah mahir. Selepas mengumpulkan testimoni-testimoni daripada saksi, mereka kemudian boleh membandingkan testimoni-testimoni dan membuang kesilapan-kesilapan di dalamnya, sama seperti menggunakan sumber mereka yang boleh dipercayai dalam mengenal pasti kepercayaan saksi atau bukti baru. 

Dalam membandingkan suatu sumber dengan yang lain bagi menentukan krebiliti, terdapat tiga kemungkinan iaitu mereka boleh mempersetujuinya dengan sumber dalam persoalan, mereka boleh tidak setuju atau mereka akan senyap. Akhirnya, selepas ahli sejarah telah menapis terus sumber dan menggunakan kritikan luaran dan dalaman dengan ketat, seseorang itu boleh menulis.

 RUJUKAN

Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala
Lumpur.

Abdul Rahman Haji Abdullah. (2006). Pengantar Ilmu Sejarah. Ampang: Dawana Sdn. Bhd.

Muhd Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah Dewan Bahasa dan Pustaka.

R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur

NOTA KAKI

[1] R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Halaman 35.
[2] Arba’ yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan bahasa & Pustaka 2002, hlm 50.
[3] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengatar Ilmu Sejarah, Ampang: Dawama Sdn. Bhd 1994, hlm 76.
[4]   R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Halaman 36.
[5]   Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengatar Ilmu Sejarah, Ampang: Dawama Sdn. Bhd 1994, hlm 76
[6]   Bloch March, The Historion’s craft, hlmn 76-86.
[7] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,2002., hlman 60.
[8] Garragham, G.J. A Guide to Historical Method, hlmn 321
[9] ibid

[10] Lucey, William, History: Methods and Linterpretation, Chicago : Layola UP, 1958, hlmn 73

Sumber : suaraburuk

Kemahiran Pemikiran Sejarah


KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH 
DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN SEJARAH.


ABSTRAK

Pemikiran Sejarah merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam pendidikan Sejarah. Melalui kemahiran pemikiran Sejarah, pelajar-pelajar dirangsang untuk lebih berfikir secara kritis dan analitis. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian intelek para pelajar dan menjadikan Sejarah sebagai satu mata pelajaran yang hidup dan tidak lagi membosankan. 

Oleh itu kertas kerja ini akan meninjau dari aspek permasalahan penerapan pemikiran Sejarah dalam pengajaran dan pembelajaran guru-guru Sejarah. Turut dibincangkan dalam kertas kerja ini ialah tentang jenis-jenis kemahiran yang terdapat dalam pemikiran Sejarah yang perlu didedahkan kepada para pelajar. Kertas kerja ini turut memfokuskan peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru Sejarah dalam menerapkan kemahiran pemikiran Sejarah ini dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kata Kunci : Pemikiran Sejarah, Pendidikan Sejarah, Kemahiran Pemikiran Sejarah

ABSTRACTS

The thoughts on History serve as one of the essential skills in the education of learning History. Through the Historical thinking skills, students are encouraged to think critically and analytically. This indirectly enhances the students' intellectual achievements and perceives History not only to be an undying subject but also an intriguing lesson to be learnt. 

Thus, this paperwork will indulge into the problems of instilling the perception of the subject-matter into the Teaching and Learning process of a History teacher. Moreover, this paper will also discussed on the types of skills that can be found in the subject of History that should be exposed to the students. The paperwork also focuses on the roles needed to be played by the History teachers in order to inculcate the thinking skills into their Teaching and Learning process.

KEY WORDS :History Thinking, History Education, History Thinking Skills.

PENGENALAN

Pendidikan Sejarah adalah satu mata pelajaran yang dapat merangsang pemikiran dan proses pemikiran secara kritis dan analitis semasa mempelajari mata pelajaran Sejarah. Oleh itu guru-guru Sejarah memain peranan yang penting untuk menerapkan pemikiran Sejarah melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar berfikir. Hanya proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna sahaja yang boleh merangsang pemikiran pelajar (Maharom, 1998).

Oleh sebab itu pendidikan Sejarah hendaklah dilakukan sebagai satu kuasa yang hidup yang boleh mengaitkan peristiwa masa lalu dengan hakikat semasa (Abd Rahim, 2000). Para pelajar perlu diterapkan dengan dengan konsep pemikiran Sejarah agar dapat memberi satu persepsi baru kepada minda pelajar bahawa Sejarah bukanlah satu subjek yang kaku dan membosankan. Malah ia dapat mendedahkan kepada para pelajar bagaimana seseorang ahli Sejarah itu bekerja melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dibimbing oleh guru mereka (Isabel et all. 1997).

KEPENTINGAN PENDIDIKAN SEJARAH DALAM KURIKULUM KEBANGSAAN

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kepentingan pelajaran sejarah ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Melalui sejarah seperti yang dinyatakan oleh Davies (1994) dapat memupuk integrasi nasional kerana ia mengajar tentang nilai-nilai politik dan kenegaraan. Pendidikan sejarah mampu mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar agar melibatkan diri dengan masyarakat yang lebih kompleks. Situasi ini secara tidak langsung dapat menanamkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.

Kepentingan pendidikan sejarah dalam mewujudkan perpaduan kaum dan keharmonian di samping memperkasakan semangat patriotism dalam kalanga rakyat pelbagai kaum diberi penekanan dalam Sukatan Pelajaran Sejarah (KPM: 2003). Mata pelajaran ini digubal agar dapat “memupuk dan memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia dan warga dunia”. Ia juga berhasrat untuk mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum (KPM:2003).

MASALAH PENERAPAN PEMIKIRAN SEJARAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Penerapan pemikiran sejarah dalam kalangan pelajar akan berhadapan dengan masalah sekiranya guru kurang berpengetahuan dan pengajaran hanya bergantung kepada buku teks semata-mata. Wilson (1989) misalnya, mencadangkan pengetahuan yang mendalam tentang Sejarah bukan hanya melibatkan pengetahuan yang lebih banyak, iaitu keupayaan menyebutkan lebih banyak tahun, mengenal lebih banyak nama, dan mengingat semula lebih banyak peristiwa. Sebaliknya, ia melibatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang fenomena sejarah, termasuk pensejarahan atau bagaimana sejarah dihasilkan.

Bagi pihak pelajar pula, penerapan kemahiran pemikiran sejarah ini akan mengalami kesukaran terutamanya di dalam kelas yang mempunyai pelbagai tahap pelajar. Misalnya adalah sukar untuk menerapkan kemahiran pemikiran sejarah ini terhadap pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran, kerana sukar bagi pelajar kumpulan ini untuk memahami dan berfikir isu-isu yang kompleks seperti bukti sejarah, bias dan sumber-sumber sejarah (http://teachinghistory.org/issues-and-research/research-brief/22961)

Kemahiran pemikiran sejarah memerlukan pelajar-pelajar serba boleh. Mereka perlu meneroka, menyelidiki, menganalisis dan menginterpretasi sumber. Juga memerlukan mereka untuk membuat perkaitan tentang sebab dan akibat berdasarkan peristiwa sejarah. Ini bermakna pelajar-pelajar itu perlu memiliki pemikiran yang kritis dan kreatif, serta memenuhi kriteria-kriteria pemikiran sejarah. Bersesuaian dengan mata pelajaran ini yang merupakan satu mata pelajaran yang kompleks, abstrak dan empirikal.

Namun tidak semua pelajar dapat mencapai tahap seperti yang diperlukan dalam pemikiran sejarah. Justeru itu akan berlaku masalah sekiranya pelajar yang masih belum mencapai kriteria pemikiran sejarah terpaksa untuk membuat interpretasi sumber-sumber sejarah. Mungkin apa yang ditafsirkan tidak mencapai tahap yang dikehendaki dan keputusan atau tafsiran itu tersasar jauh daripada apa yang diharapkan.

Kemahiran pemikiran sejarah ini sukar dilaksanakan sekiranya kita masih berada dalam sistem pendidikan yang sama seperti hari ini, iaitu sistem pendidikan di negara kita yang terlalu menumpukan kepada peperiksaan semata-mata tanpa menghiraukan aspek-aspek yang lain. Abdul Rahim (1989) menyatakan isi kandungan yang terlalu banyak dan padat, ditambah pula dengan kesuntukan masa kerana perlu menghabiskan sukatan pelajaran sebelum waktu peperiksaan. Keadaan ini menjadikan Sejarah kurang menarik dan tidak dapat mencapai objektif untuk menguasai kemahiran pemikiran sejarah.

Malah menurut Khoo Kay Kim (2000) pembelajaran sejarah yang hanya menekankan aspek hafalan fakta, tarikh serta pergolakan dunia yang berlaku beribu-ribu tahun yang lampau menyebabkan pelajar mempunyai pandangan yang sempit tentang proses dan perkembangan negara dan menanggap pelajaran sejarah sebagai menjemukan dan tidak merangsang untuk berfikir.

Pandangan Khoo Kay Kim turut disokong oleh Subadrah Nair (2005) ,penumpuan kepada hafalan ini menyebabkan pelajar-pelajar tidak didedahkan kepada pemikiran kritis dan kreatif. Pengajaran Sejarah juga terlalu bersifat tradisional yang hanya berpusatkan kepada guru dan bersifat satu hala mewujudkan keadaan pelajar-pelajar tidak memainkan peranan aktif di dalam kelas. Situasi yang sering berlaku ialah pelajar-pelajar hanya dikehendaki mendengar atau menyalin nota yang dicatatkan oleh guru. Guru pula amat gemar menggunakan kaedah kaedah khutbah atau syarahan dalam pengajarannya .

Corak pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru ini dapat dikaitkan dengan pengajaran guru yang terlalu terikat dengan buku teks. Nota-nota , pengajaran yang diberi diambil dari buku teks semata-mata. Tiada usaha lebih yang dilakukan oleh guru Sejarah semata-mata bergantung kepada buku teks. Pengajaran guru Sejarah juga mendedahkan kelemahan-kelemahan dari segi menentukan pencapaian objektif-objektif yang sesuai. Objektif yang bersifat umum tidak dapat menentukan objektif pengajaran dengan berkesan dan menyebabkan pengajaran guru gagal menyampaikan pengetahuan dan mengembangkan kemahiran-kemahiran yang dimaksudkan.

Pengajaran Sejarah juga kurang berlandaskan kemahiran iaitu aktiviti-aktiviti pengajaran tidak mencabar kebolehan kognitif dan afektif pelajar. Kebanyakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggalakkan pelajar mengahafal hujah-hujah tanpa memahami signifikan, kaitan dan implikasi dengan apa yang dipelajari. Keadaan sedemikian tidak menimbulkan minat pelajar-pelajar.

Menurut Abd Rahim (1998) kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu mata pelajaran perlu menarik minat dan mencabar kebolehan pelajar. Kriteria ini amat penting menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bersifat inovatif dan kreatif untuk mengembangkan minda kritis dan kreatif pelajar. Manakala kaedah dan metodologi pengajaran yang bersifat ‘spoon feed’, induktif dan khutbah yang hanya mementingkan pelajar menerima apa sahaja yang disogok oleh guru tidak lagi sesuai dengan pembaharuan kurikulum dan perubahan budaya belajar dan budaya mengajar era perkembangan informasi maklumat yang berlaku dalam masyarakat moden.

KONSEP PEMIKIRAN SEJARAH

Marzano et all. (1998) menjelaskan pemikiran sejarah melibatkan satu set operasi mental yang dikenali sebagai proses. Proses ini merangkumi pembentukan konsep, pembentukan prinsip, kefahaman, penyelesaian masalah, membuat keputusan, penyiasatan dan penggabungan yang melibatkan beberapa kemahiran berfikir. Proses pemikiran di peringkat awal adalah lebih kepada pemerolehan pengetahuan, sementara di peringkat akhir ia lebih kepada penghasilan dan aplikasi ilmu.

Peranan pemikiran sangat penting kepada kepada seseorang pengkaji dan penyelidik sejarah dan bukannya pemikiran itu sendiri sebagai gejala dalam sejarah. Oleh itu beliau menyamakan sejarah itu dengan pemikiran apabila beliau menyatakan bahawa semua sejarah itu adalah sejarah pemikiran. Beliau menyatakan bahawa sejarah tidak dapat ditulis secara saintifik kecuali sejarah itu dapat menggambarkan kembali di dalam akalnya akan pengalaman orang-orang yang tindakannya sedang dikaji oleh sejarawa berkenaan (Yusof Ibrahim, 1985).

Furet (1983), menyatakan bahawa Sejarah merupakan satu bidang ilmu yang boleh dibuat pelbagai interpretasi dari semasa ke semasa. Guru tidak perlu lagi menyediakan pelajar dengan segala fakta dan penjelasan sejarah, malah dalam kerangka pemikiran sejarah era ‘new history’ ia lebih kepada penumpuan untuk mengasah intelek pelajar secara kritikal dan analitikal (Jenkins, 1992). Jadi, konsep pemikiran sejarah perlulah difahami oleh pelajar agar mereka dapat dilatih menjadi sejarawan.

Pemikiran Sejarah pula berdasarkan Huraikan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (2002), merupakan satu bentuk proses kognitif yang murid-murid meneroka idea yang kompleks dan abstrak dengan bimbingan guru. Kenyataan ini selari dengan takrifan pemikiran Sejarah yang dibuat oleh Wineburg (2001) ialah satu cara berfikir yang unik. Beliau juga berpendapat pemikiran Sejarah merupakan bentuk yang paling mendalam, merupakan proses yang asli disebabkan perkembangan psikologi. Beliau turut menyatakan pemikiran Sejarah ialah “goes against the grain of how we ordinally think..”

Pemikiran sejarah juga menunjukkan pengajaran yang bertumpu kepada usaha mempertajamkan pemikiran menjadi perkara yang sangat penting dalam perubahan pendidikan kini. Ini disebabkan pemikiran berkait rapat dengan unsur intelek yang diberi penekanan dalam KBSM (Kamarudin Haji Husin, 1994).

KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH

Antara kemahiran pemikiran Sejarah yang digariskan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah (2002) yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum untuk diterapkan oleh guru-guru Sejrah kepada para pelajar ialah:-

i. Memahami kronologi.

Memahami kronologi bermaksud melihat masa lalu, kini dan masa akan datang mengikut urutan sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku. Sebagai contoh pelajar tingkatan satu yang telah belajar tentang zaman pra sejarah, dapat melakar carta masa yang menunjukkan kehidupan zaman pra sejarah seperti Paleolitik, Neolitik dan Logam. Melalui pemahaman kronologi ini para pelajar dapat membuat perkaitan antara masa lalu dengan masa kini.

ii. Meneroka bukti

Kemahiran ini mengenalpasti sumber pertama dan kedua serta membuat perbandingan antara kedua-dua sumber tersebut, di samping mendapat maklumat daripadanya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru bagi menerapkan kemahiran meneroka bukti ialah dengan mengarahkan pelajar berfikir dan meneroka bukti tentang mengapa kerajaan-kerajaan maritim wujud di tepi pantai.

iii. Membuat interpretasi

Bermaksud membuat tafsiran terhadap sesuatu peristiwa dengan memberi ulasan dan kupasan. Dengan itu pelajar akan lebih memahami perkaitan antara fakta Sejarah dan tafsiran Sejarah dengan baik. Kemahiran membuat interpretasi ini juga bermakna masa lalu yang boleh difahami melalui pemerhatian dan interpretasi yang sistematik dapat membantu kita hidup dengan lebih baik pada masa hadapan (Paul & Elder, 2006). Sebagai contoh pelajar dikehendaki membuat tafsiran tentang konsep tamadun mengikut pandangan Barat dan Islam. Dengan membandingkan kedua-dua pandangan ini pelajar telah membuat tafsiran dan ulasan serta perbandingan tentang perbezaan kedua-dua pandangan Barat dan Islam.

iv. Membuat imaginasi

Merupakan kemahiran pemikiran Sejarah. Ia merupakan satu usaha melibatkan pelajar dengan sesuatu situasi dalam peristiwa Sejarah yang dikaji. Kemahiran imaginasi ialah secara visual dan empati. Empati misalnya merujuk kepada seseorang yang menilai sejarah menurut kacamata sumber atau subjek sejarah yang terlibat, contohnya untuk menilai tindakan kenapa Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari Malaysia, maka kita perlu meletakkan diri kita pada tempat Tunku pada ketika keputusan penting tersebut hendak diambil. Cara ini boleh menjelaskan kepada kita mengapa tindakan itu diambil.

v. Membuat rasionalisasi

Melibatkan penggunaan akal dalam membuat pertimbangan yang wajar dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Para pelajar perlu mempunyai kemahiran mengumpul data, membuat hipotesis, menentukan signifikan bukti dan membuat inferens daripada data yang dikumpul. Kemahiran ini membolehkan kita mendapat pengetahuan yang penting daripada kajian masa lalu yang seterusnya membimbing kita untuk membuat keputusan yang lebih baik pada masa hadapan (Paul & Elder, 2006). Contoh yang boleh diambil untuk membuat rasionalisasi ialah mengarahkan pelajar untuk membincangkan tentang Perang Dunia Kedua yang membawa banyak kemusnahan atau mengapa Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan.

Kelima-lima kemahiran tersebut adalah kemahiran-kemahiran yang sangat melibatkan proses-proses Sejarah atau kemahiran prosedural guru dan pelajar. Para guru akan membimbing pelajar untuk membuat perkaitan antara masa lalu dan masa kini, menganalisis, menyelidik dan memproses bukti-bukti,membuat hipotesis, memahami dan memberi penerangan serta membuat pertimbangan. Seterusnya, ia pula akan terlaksana apabila para guru Sejarah melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pembelajaran Sejarah. Dengan itu, secara tidak langsung para pelajar akan memperoleh kelima-lima kemahiran yang dinyatakan (Zahara & Nik Azleena, 2007).

Menurut Peter Seixas (1996), beliau telah mengenalpasti enam elemen spesifik dalam disiplin Sejarah bagi membentuk satu rangka kerja tentang pemikiran Sejarah yang perlu diterapkan kepada para pelajar.

i. Kepentingan (Significance)

Dalam unsur kepentingan sejarah ini, pelajar-pelajar perlu mempunyai kemahiran membezakan antara peristiwa yang remeh dan penting. Dalam hal ini pemilihan kepentingan sejarah bergantung kepada minat dan nilai yang terdapat dalam masyarakat tersebut. Oleh itu pelajar-pelajar disarankan untuk mengkaji sejarah tentang masyarakat, kehidupan dan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan kepada mereka. Misalnya dalam kajian yang dilakukan oleh Barton dan Levstik (2004) dan oleh Yeager, Foster dan Greer (2002) mendapati pelajar amat dipengaruhi oleh identiti nasional mereka dalam membuat pemilihan tentang peristiwa yang penting.

ii. Epistemologi dan bukti (Epistemology and evidence)

Ia melibatkan pemahaman bagaimana kita mengetahui masa lampau. Apakah bukti yang kita ada ? Sejauhmana bukti tersebut boleh dipercayai? Bagaimana kita boleh menjelaskan tentang kewujudan tafsiran sejarah yang berbeza dan bertentangan. Sebagai contoh kanak-kanak tidak sepatutnya dibiarkan dengan pandangan bahawa hanya ada satu kisah benar sahaja pada masa lampau. Sedangkan pada hakikatnya sejarawan membuat pelbagai inferens berdasarkan bukti, justeru itu wujud pelbagai tafsiran tentang sesuatu peristiwa masa lalu.

iii. Kesinambungan dan perubahan (Continuity and Change)

Unsur ini menekan pemahaman tentang perubahan masa lalu yang merupakan pusat pemikiran Sejarah. Umur merupakan faktor untuk memahami keadaan ini; iaitu seseorang yang berumur dikatakan lebih memahami perubahan yang berlaku pada masa lalu misalnya perubahan dari segi teknologi dan nilai berbanding dengan mereka yang lebih muda. Namun begitu terdapat juga pengkaji yang menolak pendapat ini. Menurut mereka umur bukanlah satu faktor utama dalam memahami perubahan masa lalu. Menurut pengkaji-pengkaji ini pengalaman hidup turut menjadi faktor iaitu golongan muda yang mengalami pengalaman perang, pelarian, imigran dan mereka yang kehilangan ibu bapa atau yang berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan lain mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang perubahan Sejarah berbanding dengan mereka yang hidup dalam suasana yang aman.

iv. Perkembangan dan kemerosotan (Progress and decline)

Berdasarkan unsur ini pelajar perlu memahami bahawa dalam kehidupan akan mengalami peringkat perkembangan dan kemerosotan. Dalam peringkat perkembangan hidup seseorang mengalami kejayaan, manakala kemerosotan mereka mengalami satu keadaan yang sukar. Oleh itu dalam konsep pemikiran Sejarah mereka seharusnya dapat mengenalpasti atau membezakan kewujudan dua keadaan ini. Ini adalah penting agar mereka dapat memahami proses yang berlaku dalam peristiwa Sejarah.

v. Empati dan penilaian moral (empathy and moral judgement)

Pemikiran sejarah memerlukan seseorang mempunyai daya imaginasi dan empati. Tujuannya agar pelajar-pelajar tidak merasa asing dan pelik tentang peristiwa masa lalu. Malah mereka seharusnya perlu mempunyai rasa hormat dan perasaan ingin tahu tentang peristiwa-peristiwa masa lepas. Penyelidik British Christopher Portal(1987), menegaskan bahawa empati merupakan satu cara pemikiran imaginative yang memerlukan kemahiran kognitif untuk melihat nilai-nilai kemanusiaan dalam peristiwa Sejarah.

vi. Historical Agency

Elemen terakhir pemikiran sejarah ini merujuk kepada bagaimana dan mengapa sesuatu perkara itu terjadi. Dalam elemen ini pelajar ditekankan supaya menghargai Sejarah dan memahami bahawa tindakan rakyat pada masa lampau memberi kesan kepada rakyat pada masa kini. Seterusnya menyedari bahawa tindakan-tindakan yang dilakukan oleh mereka pada masa kini akan memberi kesan kepada generasi yang akan datang. Mempunyai pemikiran Sejarah bukan sahaja memikirkan tentang masa lampau , malah ia melibatkan melihat diri sendiri sebagai waris daripada masa lampau dan sebagai pelaku pada masa kini.

PENERAPAN KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH.

Ramai yang berpendapat mengajar sejarah hanyalah tentang bercerita atau “just tell stories”. Sejarah mengandungi kisah tentang kehidupan individu atau tokoh. Sesuatu cerita jika diceritakan dengan baik boleh menarik minat pelajar untuk belajar sejarah. Para sejarawan sependapat bahawa fakta tidak boleh ‘bercakap’, jadi menjadi tugas sejarawan untuk membentuk persoalan, membentuk inferens, membuat penilaian sekiranya perlu dan membuat kesimpulan tentang fakta sejarah tersebut (Crabtree et all., 1993).

Oleh itu pelajar-pelajar perlu didedahkan dan diterapkan dengan kemahiran pemikiran Sejarah. Keadaan ini selaras dengan Orientasi pendidikan sejarah peringkat Sekolah Menengah Atas yang bertujuan untuk memberi pemahaman ilmu dan memupuk pemikiran sejarah Namun begitu, untuk memupuk kemahiran pemikiran sejarah dalam kalangan pelajar-pelajar bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi Sejarah merupakan satu subjek yang paling sukar untuk diajar di sekolah menengah (Sizer, 1984). Ini dapat dibuktikan dengan kaedah pengajaran guru sejarah yang tidak sesuai dan kurang menarik. Malah ramai yang tidak mengetahui bagaimanakah kaedah pengajaran Sejarah yang paling baik atau sesuai (Howard & Mendenhall, 1982).

Walaubagaimana pun, kajian yang dilakukan oleh Wineburg dan Wilson (1992), mendapati antara cara untuk memberi kemahiran pemikiran Sejarah dalam kalangan pelajar ialah, guru Sejarah perlu melibatkan pelajar dalam pengajarannya serta menggunakan pelbagai teknik dan kaedah seperti debat, main peranan, demonstrasi, analogi dan lain-lain. Kaedah pengajaran yang aktif ini berkesan kerana ia menyebabkan pelajar-pelajar ‘berkomunikasi’ dengan mata pelajaran tersebut dan secara tidak langsung dapat menimbulkan minat pelajar.

Bagi menerapkan konsep pemikiran Sejarah di dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah perlulah merangsang pemikiran pelajar. Ini boleh dilaksanakan melalui aktiviti pembelajaran aktif yang melibatkan proses mencari bukti, membuat pertimbangan dan rasionalisasi, interpretasi dan imaginasi dengan bimbingan guru. Oleh itu para guru Sejarah perlulah memiliki pemahaman dan pengetahuan mengenai kemahiran pemikiran Sejarah untuk dilaksanakan dalam pengajaran mereka.

Bersesuaian dengan pendapat Antonio (2008) yang menyatakan, pengajaran Sejarah dalam bilik darjah perlu menggunakan kaedah pengajaran aktif. Menurutnya lagi Sejarah adalah satu proses menyiasat tentang sumber primer dan sumber sekunder . Sejarawan kebiasaannya akan menyoal dengan pertanyaan seperti mengapa dan bagaimana ketika menjalani proses Sejarah. Malah guru juga turut menggunakan kaedah menyoal ketika mengajar tetapi tujuan menyoal seorang guru Sejarah berbeza dengan seorang sejarawan. Tujuan seorang sejarawan menyoal adalah untuk memberi makna kepada fakta-fakta yang diperolehi. Manakala guru Sejarah pula menyoal untuk menggalakkan pelajar agar berfikir mengikut pendekatan Sejarah.

Selain daripada itu salah satu cara untuk membentuk kemahiran pemikiran sejarah ialah dengan menggunakan kaedah inkuiri terhadap sesuatu bahan atau sumber (bukti) sejarah. Kaedah inkuiri ini yang mewujudkan sifat ingin tahu dalam diri pelajar untuk melakukan proses pencarian dan penemuan. Keadaan ini secara tidak langsung dapat melatih pelajar untuk berhjah secara logik, bernas dan disokong oleh fakta-fakta sejarah (Antonio, 2008)

Bagi membentuk pelajar yang mempunyai kemahiran pemikiran Sejarah, ia memerlukan bukan sahaja kemahiran menguasai fakta, malah pelajar tersebut juga perlu mempunyai kemahiran menganalisis perkaitan antara satu fakta dengan fakta yang lain. Justeru itu, pelajar-pelajar perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas bagi menyokong hipotesis serta sebab dan akibat.

Pemikiran sejarah sebenarnya, memerlukan persoalan, yang mana jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul tidak memerlukan satu jawapan yang benar atau salah. Apa yang penting dalam mendapatkan jawapan pelajar perlulah mencari hipotesis-hipotesis yang sesuai. Pelajar perlu menyusun bukti-bukti untuk menyokong hipotesis mereka. Malah berfikir secara sejarah juga memerlukan pelajar menganalisis sebab dan akibat (Holt, 1990). Keadaan ini juga memerlukan pelajar dapat membezakan anatara sebab segara dan sebab panjang sesuatu peristiwa itu berlaku. Berdasarkan penerangan dapatlah kita rumuskan bahawa pemikiran sejarah dapat melatih pelajar berfikir secara kritis.

Penutup

Berdasarkan apa yang diterangkan tentang pemikiran sejarah, jelas menunjukkan kemahiran ini perlu dipraktikkan oleh para guru dan pelajar, terutama semasa sessi pengajaran dan pembelajaran sejarah. Dengan penerapan kemahiran pemikiran sejarah ini proses pengajaran dan pembelajaran sejarah menjadi lebih menyeronokkan dan bermakna. Sesuai dengan pandangan yang diberikan oleh John Dewey (1966) yang menyatakan pembelajaran merupakan satu proses yang bermakna (meaningful learning) dan ini bermaksud pembelajaran bermakna ialah “learning by doing” yang dapat membantu pelajar berfikir dan membentuk kefahaman tentang sesuatu permasalahan. Kenyataan John Dewey ini bertepatan dengan konsep pemikiran sejarah yang memerlukan pelajar untuk meneroka, membuat inferens, interpretasi, dan sebagainya.

Namun begitu bagi memenuhi objektif pemikiran sejarah, guru sebenarnya memainkan peranan yang penting untuk menjayakan hasrat ini. Guru seharusnya terlebih dahulu mempunyai pengetahuan yang tinggi dan mendalam sama ada tentang isi kandungan pelajaran sejarah atau kemahiran pemikiran sejarah agar guru dapat menerapkan pemikiran ini dalam kalangan pelajar pula. Menurut Zahara & Nurliah (2009) sekiranya guru mementingkan pengajaran yang memberi latihan kepada pelajar untuk berfikir, maka apabila pelajar meninggalkan alam persekolahan dan menjejak alaf baru, mereka akan lebih rasa yakin dan berinisiatif dalam menyelesaikan masalah dan berfikiran kritis dan kreatif. Sekiranya konsep pemikiran sejarah ini dapat difahami dan diaplikasikan dalam kehidupan pelajar ia seterusnya dapat melahirkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia.

RUJUKAN

Abd Rahim Abd Rashid .2000. Model dan pendekatan pengajaran Sejarah KBSM. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur

Bruce A.VanSledright. 2004. What does it mean to think historically and how do you teach it?

Cabtree, C.1989. Improving History in the schools. Edcational Leadership 47 (3): 25-28

Furet, F.1983. Beyond the Annates. Journal of Modern History. Vol.55.

Holt, T. 1990. Thinking historically: narrative, imagination and understanding. 

New York:College Entrance Examination Board

Jenkins, J.1991. Issues in the teaching history-towards a skill concept-led approach. Journal of History Teaching. The Historical Association: Julai:17-21

Marzano, R.J.Brandt , et all.1988. Dimension of thinking: A framework for curriculum and instruction. Virginia: Association for Supervision and curriculum development.

Maharom Mahmood. 1998. Analisis Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam bahan kurikulum peringkat menengah rendah. Tesis Sarjana Universiti Malaya.

Kamarudin Haji Husin. 1994. KBSM strategi pengajaran bahasa. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah KBSM Tingkatan 1,2 , 3.

Khoo Kay Kim. (2000). Falsafah sejarah: Ke arah mengembangkan unsur patriotism dan kenegaraan. Seminar Kebangsaan Falsafah Pendidikan Ke Arah Pemantapan Gagasan danWawasan Kenegaraan, 6-7 julai. Unversiti Malaya.

Paul, R & Elder, L. 2006. Analytic Thinking: The Thinker’s guide. The Foundation for Critical Thinking.

Seefeldt, Carol. 1993. History for young children. Theory and Research in Social Education, 21 (2), 143-155.

Seixas, Peter. 1996. Conceptualizing the growth of historical understanding. The Handbook of Education and Human Development. Olson, D.R. and Torrance, N. (eds.). Cambridge, MA: Blackwell Publishers Ltd., 765-783.

Isabel, G.Gracia, J. & Valverde, L. 1997. A new glance at History: A proposal towards meaningful learning. Teaching History 86: 21-23

William J.Warren, D.Antonio Cantu. 2008. History Education 101. Information Age Publishing.

Wilson, S. M. (1989). Parades of facts, stories of the past: What do novice history teachers need to know. Competing visions of teacher knowledge: Proceedings from an NCRTE Seminar for Education Pollcymakers, Washington, DC.

Keith C.Barton & Linda S.Levstik. 2004. Teaching History for the common good, Lawrencer Erbaum Associates Publishers: New Jersey

Wineburg, Sam .2001. Historical Thinking and on the Unnatural Acts: charting the future of teaching the past. Philadephia: Temple University Press

Zahara Aziz & Nurliah Jair. (2009). Penggunaan peta konsep untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran Sejarah bagi pelajar tingkatan dua. Jurnal Pendidikan Malaysia, 34 (1): 3-5.

Zahara Aziz & Nik Azleena. 2007. Kajian tinjauan kesediaan guru-guru sejarah menerapkan kemahiran pemikiran sejarah kepada para pelajar. Jurnal Pendidikan, 32(2007), 119-137.

http://www.nchs.ucla.edu/Standards/historical-thinking-standards-1/overview

(http://teachinghistory.org/issues-and-research/research-brief/22961)

Sumber : dunianura