Monday 24 October 2016

MENYUSURI PEWARIS BRUNEI DI KARAMBUNAI

MENYUSURI PEWARIS BRUNEI DI KARAMBUNAI

Roslan Haji Masran

Pelajarilah nasab-nasab kalian yang dengan itu kalian dapat menyambung tali silaturahim. Sebab, menyambung silaturahim dapat mendatangkan kasih-sayang dalam keluarga, mendatangkan harta dan memanjangkan usia. 
-(Riwayat Al-Tirmizi)-

Pengenalan

Perkataan menyusuri terbit daripada kata dasar susur manakala menyusur bermaksud antaranya menyelidik atau meneliti asal usul sesuatu (1). Dalam konteks pembentangan ini ia bersesuaian dengan tajuk menyusuri pewaris Brunei di Karambunai bermaksud menyelidiki atau meneliti asal usul pewaris Brunei di Karambunai. Asal usul pewaris Brunei di Karambunai amat sinonim dengan Kesultanan Brunei kerana Karambunai yang letaknya dalam jajahan tulin Mengkabong adalah milik kepada Pengiran Abd Rauf Ibnu Pengiran Abd Rajid (2) yang merupakan kerabat terdekat Sultan Brunei.

Perkataan pewaris terbit daripada kata dasar waris yang bermaksud orang yang berhak menerima pusaka orang yang telah meninggal dunia. Pewaris pula bermaksud orang yang mewarisi. Dalam konteks artikel ini, pewaris yang berhak mendapat bahagian sesuatu pusaka berpandukan kepada hukum faraid (3). Artikel ini akan merujuk kepada Salasilah Pengiran-Pengiran di Karambunai dan berasaskan Triti yang berlaku antara Pengiran Jalaludin Ibnu Pengiran Abd Rauf dengan British Charted Company pada tahun 1898 iaitu Pengiran Jalaludin Ibnu Pengiran Abd Rauf menjadi pentadbir pusaka Pengiran  Abd Rauf (4). Oleh itu yang dimaksudkan dengan Pewaris Brunei dalam tajuk artikel ini merujuk kepada waris Pengiran Abd Rauf, waris Pengiran Jalaludin  dan Waris Pengiran Siti Fatimah.

Latar Belakang Kajian  

Lokasi Kajian  
     
Karambunai amat terkenal sehingga keperingkat antarabangsa kerana Karambunai merupakan destinasi pelancong bertaraf antarabangsa yang sering menjadi tumpuan pelancong pelancong dari serata dunia (5). Suatu ketika dahulu Karambunai terletak dalam kawasan sungai tulin Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajid yang merupakan kerabat Sultan Brunei (6).  Sultan sultan Brunei yang memerintah sezaman dengan Pengiran Abdul Rauf dan Pengiran Abdul Rajit ialah Sultan Omar Ali Saifuddien I (1740-1795) ,  Sultan Muhammad Tajuddin alam I (1795-1804), Sultan Muhammad Jamalul Alam I (1804), Sultan Muhammad Tajuddin alam I (1804-1807), Sultan Muhammad Kanzul Alam (1807-1826), Sultan Muhammad Alam - Kanzul Alam II (1826-1828), Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828-1852) dan Sultan Abdul Momin (1852-1885) (7).

Kedudukan Karambunai dalam peta jajahan tulin kesultanan Brunei di North Borneo (8).

Latar Belakang Penduduk di Karambunai

Dalam artikel ini, akan merujuk kepada penduduk berbangsa Brunei yang menduduki kawasan Karambunai. Kebanyakan bangsa Brunei yang menetap di Karambunai sejak munculnya nama Karambunai itu sendiri telah berkahwin dengan penduduk setempat yang berbangsa Bajau. Jika kita merujuk kepada taburan penduduk pelbagai kaum di Sabah dalam tahun 1870-an (9), suku kaum Bajau merupakan suku kaum utama yang terdapat di Kawasan Karambunai termasuk dalam jajahan tulin Pengiran Abdul Rauf.

Kawasan pemerintahan Kesultanan Brunei terletak di Pantai Barat Sabah manakala Pantai Timur pula di bawah kawalan Kesultanan Sulu (10). Hal ini menunjukkan bahawa bangsa Brunei banyak mendiami Pantai Barat Sabah termasuklah di Karambunai. Pada abad ke 19, pembahagian Negeri Sabah kepada tiga zon pentadbiran juga merupakan kesulitan untuk menentukan suku kaum yang menjadi penduduk tetap di Sabah. Hal ini kerana pada abad ke 16, Sabah merupakan jajahan kesultanan Brunei, kemudian pada abad ke 19 pula sebahagian besar wilayah di Pantai Timur Sabah dari Teluk Marudu hingga Sungai Sibuku diserahkan oleh Sultan Brunei kepada Sultan Sulu. Kawasan pedalaman pula ditadbir secara bebas oleh ketua-ketua pribumi atau tokoh yang mendapat sokongan atau kepercayaan daripada penduduk di kawasan tersebut (11).

Ketiadaan sempadan yang jelas di antara ketiga-tiga zon pentadbiran itu menyebabkan penduduk dari sebarang kawasan tersebut bebas bergerak masuk dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Kesukaran ini menyebabkan kebanyakan pegawai syarikat British Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) mengklasifikasikan kelompok Melayu Muslim dan Masyarakat Pagan. Masyarakat Melayu Muslim merujuk kepada masyarakat yang tinggal di pesisir pantai dan menganut agama islam manakala masyarakat pagan pula ialah masyarakat yang mendiami kawasan pedalaman dan mengamalkan kepercayaan animisme. Masyarkat Melayu Muslim terdiri daripada suku kaum Bajau, Iranun, Suluk, Melayu Brunei, Bisaya, Kedayan, Tidong, dan termasuk juga masyarakat Dusun dan Murut yang telah menganut agama Islam. Masyarakat pagan pula terdiri daripada suku kaum dusun dan murut den sub-kelompok masing masing yang tidak menganut agama Islam (12) .

Asal Usul Bangsa Brunei di Karambunai.

Salasilah Pengiran-Pengiran di Karambunai. 

Karambunai asalnya merupakan kawasan sungai tulin Pengiran Abd Rauf Ibnu Pengiran Abd Rajid. Asal usul Pengiran-Pengiran di Karambunai amat berkait rapat dengan Peristiwa Kapal Karam oleh Pengiran Besar Abdullah di Karambunai dalam pertengahan abad ke 18. Pengiran Besar Abdullah merupakan salah seorang anak pengiran Abdul Rauf, Penguasa Mengkabong dan kekanda kepada Pengiran Jalaluddin (13). Sejarah lisan menyatakan bahawa terbitnya Karambunai ialah berasal daripada peristiwa orang Brunei karam. Oleh itu, penduduk tempatan di Karambunai ketika itu mengatakan "Karam Brunei". Sejak itu, tempat karamnya orang Brunei yang diketuai oleh Pengiran Abdullah dinamakan Karambunai. Pengiran Abdullah bersama pengikutnya ketika itu membuka penempatan dan menetap di sana sehinggalah waris Brunei iaitu Pengiran - Pengiran di Karambunai.

Struktur Pentadbiran Kesultanan Brunei

Pendahuluan

Pada zaman Sultan Bolkiah, Brunei mempunyai kawasan jajahan yang luas sehingga Kepulauan Sulu dan mencapai zaman kegemilangannya. Di bawah pemerintahan Sultan Bolkiah, ramai saudagar Eropah berkunjung ke Brunei, menyebabkan Brunei dan Borneo menjadi terkenal dalam kalangan saudagar itu. Sultan Brunei juga mengadakan hubungan diplomatik dengan Raja Raja di Indonesia, dan juga dengan Negeri China. Zaman kegemilangan pemerintahan Brunei tersebut bukan sahaja meliputi keseluruhan Pulau Borneo, seperti Sambas, Tanjung Pura, Kota Waringan, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bolongan, dan lain lain bahkan Pulau-Pulau Suluk, Palawan, Keramian sehingga Seludang (Luzon), iaitu daerah-daerah yang sekarang dikenali sebagai Filipina (14).

Sejarah merekodkan bahawa Negeri Sabah pernah berada di bawah pengaruh Kesultanan Brunei sebelum ditadbir oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) bermula pada tahun 1881. Terletak di Utara Pulau Borneo, 'Sabah' merupakan nama yang diberikan oleh Kesultanan Brunei kepada Wilayah yang menjadi sebahagian daripada jajahan kesultanan tersebut pada akhir abad 16 (15). Bagi Kerajaan Brunei, Sabah meliputi seluruh bahagian Utara Pantai Barat, dari Sungai Sulaman hingga ke Teluk Marudu dan dari Sungai Paitan serta seluruh Wilayah Pantai Timur sejauh Sungai Sibuku yang meliputi Wilayah Paitan, Sugut, Banggaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan, dan Mumiang. Termasuk juga dalam Wilayah ini ialah kawasan Kimanis, Benoni, Teluk Gaya, Teluk Sepanggar, dan Pulau Bangi (16).

Semasa Perang Saudara di Pulau Cermin yang berlarutan selama 12 tahun, Sultan Muhyiddin (1673-1690) telah berjanji menyerahkan sebahagian besar Wilayah Pantai Timur Sabah dari Teluk Marudu hingga Sungai Sibuku kepada Sultan Sulu sebagai membalas jasa sekiranya Sultan Sulu membantu mengalahkan Sultan Abdul Hakkul Mubin (1661-1673) dalam peperangan merebut taktha Kesultanan Brunei ketika itu (17). Hal ini telah menyebabkan Wilayah Sabah dibahagikan kepada dua zon pentadbiran Kesultanan iaitu di Kawasan Pantai Barat Sabah dimiliki oleh Kesultanan Brunei dan kawasan Pantai Timur Sabah pula dimiliki oleh Kesultanan Sulu.

Setelah kedua-dua zon pentadbiran milik Sultan Brunei dan Sultan Sulu diserahkan oleh kedua-dua Sultan tersebut kepada (SBBUB) (18) pihak SBBUB telah menggunakan nama Borneo Utara (North Borneo) bagi wilayah tersebut dan nama itu dikekalkan sehingga berakhirnya zaman pemerintahan kerajaan kolonial British di negeri Sabah pada tahun 1963.

Struktur Pemerintahan Kesultanan Brunei

Kerajaan Brunei mengamalkan sistem kesultanan yang berkonsepkan sistem pemerintahan islam. Raja di lihat sebagai wakil Tuhan atau Khalifah. Sultan atau Yang di Pertua melambangkan kuasa yang tertinggi dalam Negeri Brunei. Sistem pemerintahan Kesultanan Brunei membahagikan wilayah pemerintahannya kepada tiga bahagian iaitu bahagian pertama kawasan yang di perintah terus yang meliputi Brunei, Sabah dan Sarawak; bahagian kedua, bahagian wilayah naungan iaitu negeri mengiktiraf Kerajaan Brunei meliputi Sambas hingga ke Bolongan; bahagian ketiga, wilayah di sekitar Kepulauan Filipina iaitu Mindanao di bawah Kesultanan Mindanao, Kepulauan Sulu da Kepulauan di utara Filipina seperti Luzon di bawah Raja Manila.

Struktur pemerintahan dan kedudukan jawatan dalam kerajaan Brunei adalah seperti berikut, mengikut hierarki iaitu Sultan sebagai Yang Di Pertua, Wazir, Cheteria, Menteri dan Ketua Kampung. Sultan, Wazir dan Cheteria adalah daripada golongan bangsawan, manakala menteri dan ketua kampung bukan daripada golongan bangsawan. Selain Ketua Kampung, yang dipilih oleh penduduk bawahnya, lantikan lantikan lain yang dilantik secara langsung dengan pengetahuan dan kebenaran  Sultan (19).

Sistem Pentadbiran Wilayah Kesultanan Brunei di Pantai Barat Sabah

Setelah melihat corak pentadbiran tradisional Kerajaan Brunei, adalah perlu juga untuk mengkaji sistem pentadbiran tanah di Brunei, sebab kajian ini nanti akan memudahkan kita memahami proses penyerahan dan pemajakan tanah yang berlaku pada tahap kedua abad ke 19. Semasa zaman kegemilangan, Kerajaan Brunei pada kurun ke 16 dan 17 mempunyai wilayah jajahan yang sangat luas. Satu sistem unik digubal bagi membahagikan kawasan jajahannya. Sistem ini bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan kuasa antara pihak Sultan, wazir dan lain-lain penguasa yang dilantik oleh Sultan.

Kuasa Pusat terletak pada kuasa Sultan yang dipanggil sebagai negeri, manakala wilayah lain dibawah pemerintahan Sultan dipanggil sebagai jajahan ataupun Sungai. Pada tahun 1870 dan 1880an terdapat beberapa wilayah jajahan Kerajaan Brunei yang terletak dikawasan Pantai Barat Sabah iaitu Tempasuk, Tuaran, Menggatal, Mengkabong, Inanam, Api-Api, Simbulan, Tanjung Aru, Putatan, Kinarut, Kawang, Panglat Besar, Panglat Kecil, Papar, Benoni, Kimanis, Bongawan, Membakut, Padas Klias dan Pandai Damit. Setiap tanah jajahan ini dikenali mengikut sungai-sungai seperti wilayah jajahan Putatan adalah dari ulu ke hilir Sungai Putatan. Berdasarkan sistem pentadbiran Kerajaan Sultan Brunei masa itu, jajahan dibahagikan kepada dua kategori, pertama pemilikan rasmi dan kedua pemilikan yang diwarisi. Pemilikan rasmi pula dibahagiakan kepada dua, iaitu Sungai Kerajaan yang dimiliki oleh Sultan dan kedua Sungai Kuripan dimiliki oleh menteri menteri yang digelar sebagai wazir. Pemilikan jajahan ini tidak boleh diwarisi secara turun-temurun.

Kategori kedua jajahan ialah Sungai Tulin, Ianya merupakan penurunan kuasa turun temurun, tanpa melalui proses pentadbiran kuasa. Tanah tulin ini merupakan tanah milik peribadi Sultan, para menteri dan pembesar pembesar kerajaan Brunei atau Pengiran. Sultan masih mempunyai hak kedaultan ke atas tanah tulin, tapi pemilik tanah tulin berkenaan mempunyai hak dan boleh mentadbir serta mengutip cukai. Pemilik tanah tulin perlu melaksanakan pentadbiran mengikut peraturan yang ditetapkan daripada kuasa pusat dan perlu juga membayar sejumlah cukai kepada pusat.

Berbeza dengan Sungai Kerajaan dan Sungai Kuripan, Sungai Tulin atau pesaka boleh diwarisi secara turun temurun. Ianya juga boleh di jual, kecuali dalam kes yang melibatkan kuasa dari luar negara perlu mendapatkan persetujuan Sultan. Sebagai contohnya, pada abad ke 19 apabila pemajakan tanah yang diperolehi oleh A.H. Everret melalui perjanjian yang ditandatangani pada 23 June 1883 dengan Sultan Abdul Mumin (1853-1885) untuk meneroka galian di beberapa wilayah jajahan Brunei, hak meneroka galian diberikan di 15 jajahan termasuk Belait, Tutong, Limbang, Temburong, Lubi, Bakob Linggongan, Bangawan, Kawang dan Tuaran selama 15 tahun. Mengikut pejanjian tersebut, Everret perlu membayar 500 dollar setiap tahun kepada Sultan atau waris pengantinya. Sebagai tambahan, perlu membayar 4,000 dollar setiap tahun bagi pemilik setiap sungai tulin. Sekiranya Sungai Tulin berkenaan dimiliki oleh Sultan, bayaran tersebut diberi terus kepada Sultan, dan kepada pewaris selepas kematiannya (20).

Perjanjian Awal dan Pengukuhan Kuasa Barat 1763-1881 di Borneo Utara (Sabah)

Persaingan antara kuasa kuasa maritim Eropah dalam menguasai rantau Asia Tenggara menjelang abad ke 17 telah menyaksikan satu pertembungan antara nilai nilai politik dan ekonomi yang merubah sejarah rantau ini daripada period kolonialism domestik kepada kolonialism Barat. Kejayaan kuasa Belanda melalui Verenigde Oostindische Compagnie - VOC menguasai kerajaan tradisi Pulau Pulau Indonesia telah memberi impak kepada negara eropah yang lain. Kuasa VOC yang lebih luas berbanding dengan Syarikat Hindia Timur Eropah yang lain adalah faktor utama kepada kejayaan pada abad ke 17 dan abad ke 18 manakala British melalui English East India Company (EEIC) yang diasaskan pada tahun 1600 adalah jauh ketinggalan dalam membangunkan empayar perdagangan khususnya di peringkat awal penubuhannya kerana bidang kuasa maritim yang terhad (21).

Pulau Balambangan ialah sebuah pulau di Kudat yang terletak di hujung utara pulau Borneo di Sabah. Ia terletak di dalam Bahagian Kudat dan terletak kira-kira 3 kilometer di barat Pulau Banggi. Pulau ini merupakan antara lokasi pertama di mana pedagang British mendirikan kedai jual beli, pihak British menamakan pulau ini Felicia Island.

Pada 1761, Pegawai Syarikat Hindia Timur Inggeris Alexander Dalrymple mendapat persetujuan Sultan Sulu untuk menduduki pulau ini. Satu pelabuhan bebas kemudian diwujudkan untuk kepentingan Britain di sebelah timur Asia, khususnya, untuk berdagang dengan China. Pelabuhan ini bagaimanapun gagal bertahan akibat ancaman lanun serta beberapa faktor lain dan akhirnya di tinggalkan oleh pihak British pada tahun 1805.

Pada Disember 1805, 5 orang anak kapal dari kapal yang karam bernama "Betsy" berjaya melarikan diri dari Pulau Balambangan dengan mengunakan perahu kecil walaupun diserang oleh penduduk tempatan, salah seorang dari anak kapal tersebut meninggal dunia disebabkan kecederaannya.

Menyusuri Pewaris Brunei di Karambunai

Pendahuluan

Brunei merupakan salah sebuah Kesultanan Melayu yang sudah lama wujud dan telah direkodkan dalam sejarah sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai pengaruh politik yang besar di rantau sebelah utara Pulau Borneo dan Kepulauan Filipina. Walau pun kuasa tertinggi pemerintahan berada di tangan Sultan tetapi dari segi praktiknya, baginda tidak dikehendaki menjalankan pentadbiran secara langsung dan bersifat holistik.

Dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Brunei, salah satu kuasa penting dan besar Sultan ialah melantik dan pada lazimnya terus mengurniakan gelaran kepada pembesar-pembesar negara yang terdiri daripada tiga institusi dalam struktur pentadbiran negara iaitu Wazir, Cheteria dan Menteri (22). Mereka inilah yang membantu Sultan mentadbir daerah-daerah kekuasaan Brunei yang boleh dibahagikan kepada dua peringkat pentadbiran, iaitu Kerajaan pusat dan wilayah. Struktur pentadbiran seperti ini bukannya baru, malah ia telah pun wujud sebelum abad ke 19 lagi.

Struktur ini terus digunakan dalam abad ke 19. Di peringkat pentadbiran Kerajaan pusat, Sultan dibantu oleh Wazir, Cheteria dan Menteri (Leyden, 1816-1817:2; Mills, 1960:283; Leys, 1968:121-124; dan Tarling, 1971:4) manakala pentadbiran di peringkat wilayah diagih-agihkan kepada Cheteria, Pengiran, Menteri, Syarif dan seterusnya ketua-ketua kampung dan suku suku kaum. Pelantikan ke atas pembesar pembesar Brunei ini mempunyai prosedur dan syarat syarat tertentu yang telah ditetapkan meurut adat istiadat Kesultan Melayu Brunei yang telah diwarisi sejak zaman berzaman. Antara syarat yang penting ialah orang yang bakal memegang jawatan Wazir biasanya terdiri dari kerabat DiRaja terdekat atau golongan Raja-Raja Betaras (23), lazimnya di kalangan adik beradik Sultan yang tiada harapan untuk menaiki Taktha, sama ada  putera gahara atau sebaliknya, ipar, menantu, anak kemanakan atau bapa saudara Sultan (24).

Di samping memiliki keistimewaan kuasa elit dalam struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Brunei, golongan Wazir dan Cheteria, termasuk Sultan, juga mempunyai kelebihan dari segi pemilikan kawasan peribadi ke atas wilayah wilayah dalam empayar Brunei abad ke 19. Di pandang dari sudut kedaulatan Brunei, seluruh jajahan takluk Brunei adalah milik kepada Sultan sebagai kuasa tertinggi. Bagaimanapun, Baginda mempunyai kuasa dan hak untuk mengagih-agihkan wilayah-wilayah ini kepada kaum keluarga Baginda sebagai pemiliknya. Dalam kumpulan yang menerima anugerah wilayah ini termasuklah golongan Wazir dan Cheteria.

Berasaskan daripada sehelai warkah Sultan Abdul Momin bahawa pembahagian wilayah ini dikenali sebagai Sungai Kerajaan, Sungai Kuripan dan Sungai Tulin. Sungai Kerajaan merupakan wilayah yang dimiliki oleh Sultan yang sedang memerintah. Seluruh hasil wilayah tersebut adalah milik Sultan. Namun begitu, kawasan ini tidak boleh diwarisi kepada keturunan baginda kerana ianya hak kepada pengganti baginda atau Sultan yang baru menaiki takhta. Sementara itu, Sungai Kuripan pula ialah daerah peribadi golongan Wazir. Segala hasil Sungai Kuripan  kepunyaan mereka. Sepertimana Sungai Kerajaan, para Wazir, dari segi undang undang tidak boleh mewariskan kepada anak anak atau waris waris mereka kerana kawasan ini adalah hak kepada pengganti Wazir seterusnya. Hal ini bermakna pemilikan ke atas Sungai Kuripan berdasarkan jawatan yang dipegang oleh seseorang dalam kerajaan.  

Manakala itu, Sungai Tulin atau Pesaka adalah wilayah yang dimiliki oleh Sultan dan golongan Pengiran, biasanya kelompok Wazir dan Cheteria. Segala hasil kawasan Sungai Tulin adalah milik golongan tersebut di atas. Jika jajahan Sungai Kerajaan dan Sungai Kuripan tidak boleh diwariskan kepada keturunan pemiliknya, tetapi perkara ini sebaliknya bagi wilayah Sungai Tulin iaitu ianya boleh diwariskan kepada keturunan mereka kemudiannya. Dalam pada itu, penduduk yang mendiami dalam kawasan Sungai Kerajaan, Sungai Kuripan dan Sungai Tulin dianggap sebagai Hamba Kerajaan, Hamba Kuripan dan Hamba Tulin (25).

Menurut DS Ranjit Singh, kebanyakan pemilik tanah tulin ini tidak menetap di wilayah jajahan mereka tapi di inu negeri Brunei. Tanah mereka di jaga dan di tadbir olek wakil yang di hantar terus dari Brunei atau melantik dalam kepimpinan tempatan seperti Datuk Amir Bahar, Ketua Jajahan Papar, Datuk Bahar di Kimanis; Datuk DiGadong di Tutong, Datuk Setia di Putatan dan Pengiran Maharajalela di Membakut. Satu-satunya waris Sultan Brunei yang menetap diwilayahnya di Sabah ialah Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit yang memiliki wilayah Mengkabong, Tuaran, Karambunai, Inanam, Menggatal, Api-Api, Simbulan, Tanjung Aru, Kinarut dan Penglat Besar. Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abd Rajit mengutip cukai dari penduduk yang menetap dalam wilayah jajahan tulinnya (26).    
     
Sejarah Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit 
   
Pendahuluan

Dalam bab ini, Penulis akan menghuraikan tentang latar belakang Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit yang pernah disiarkan dalam Borneo Herald di Arkib Negeri Sabah bahawa beliau telah diisytiharkan pada tahun 1857 sebagai 'Raja Mengkabong dan Karambunai'. Kedudukan Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit sebagai kerabat terdekat kesultanan Brunei akan dijelaskan selanjutnya berpandukan Salasilah Keturunan Pengiran Pengiran di Karambunai dan catatan catatan yang direkodkan oleh penulis penulis barat sezaman dengan pemerintahan dikawasan Sungai Tulin yang dititipkan kepada beliau melalui wasiat mahupun pengkaji-pengkaji sejarah dalam negara Malaysia mengenai Pengiran Abdul Rauf.

Catatan Catatan Sejarah Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit        
Menurut A.H. Everett

...in another instance, a number of Bajau, originally of Mengkabong, settled   permanently in 1879 in Papar and the overlord of Mengkabong, Pengiran Abdul Rauf, yearly despatched his agents to collect the poll-tax from them (27).
      
Menurut D.S Ranjit Singh dalam buku tulisan nya,

.... The Lingkage between the centre and the dependencies was forged through the jajahan hierarchy. Jajahan holders, with few exception   was absentee overloads who spent most of their lives at the Brunei Capital. The only outstanding example of a Brunei overload who stayed in Sabah  seems to have been Pengiran Abdul Rauf, the owner of Mengkabong, Pengalat Besar, Menggatal, Api-Api, Simbulan, Tanjung Aru, Kinarut and Pengalat Besar rivers (28).  
   
Menurut Diari H.L. Leicester, 1-7 April 1879 C.O.874/73

.... Pengiran Rauf was a close member of the Brunei royal family, but because of some differences with the Sultan, he choose to stay away from the capital in his tulin rivers, He usually resided in Mengkabong. In 1879 he was 70 years of age but still retained "a sound mind and excellent judgement". The Pengiran had his own flag for the Mengkabong. It was of two descriptions. When used in Mengkabong, it consisted of red lion with white background. When travelling, it consisted of a white lion on a red background.

.....In Mengkabong, the Brunei Overlord Pengiran Abdul Rauf himself took charge of the jajahan administration and therefore performed the function of the jajahan head chief as well. The officer under him consisted, in order of importance, of the Datuk Bandar, the Datuk Temenggung, The Datuk Pemanca and the Orang Kaya Laksamana (29).

Spencer St John ada mencatatkan pertemuan beliau dengan Pengiran Abdul Rauf seperti berikut

  ....... at the landing place we met the nominal ruler of Mengkabong, Pengiran Duroup (Pengiran Abdul Rauf), who had kindly provided canoes to take us to the point where our walking journey will commence. We stopped to breakfast at his house, and Monsieur Cuarteron who was with us, pointed out an intelligent lad, the son of Duroup, who he intended to raise to power over the surrounding countries and be himself the boy's prime minister (30).

Menurut Dr Ranjit Singh D.S. dalam tulisan beliau 'The Making of Sabah 1865-1941' halaman 152, merekodkan  seperti berikut,

....concern over the future of the tulin rivers increased as other parties began to show interest in Brunei dependencies..

....both the company and Rajah Charles Brooke became fearful that over powers might entrench themselves in the region by seeking similar concessions. They thus entered into flurry of activity, each trying to out bid the other in obtaining the remaining Brunei rivers. In the race, which ensued, the company in 1882 acquired the pengalat Besar which belong to Pengiran Rauf. In July 1883, negotiations were started with Pengiran Rauf for the purchase of his various dependencies, and though he gave an undertaking not to lease them to any other party without first offering them to the company, he was for the first time being prepared to cede only the Pangalat Besar... (31)
   
Waris Brunei di Karambunai merupakan kesinambungan daripada keturunan Kesultanan Brunei atau kata lainnya merupakan kerabat terdekat Sultan Brunei yang dianugerahkan Sungai Tulin pada zaman pemerintahan Kesultanan Brunei di Negeri Sabah sebelum British menyerahkan kuasa mentadbir Negeri Sabah kepada Kerajaan Malaysia.

Surat wasiat bertarikh 18 Rabiul Awal 1238 Hijrah (1822 M), (32)   Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit telah diberikan hak mewarisi pusaka Sungai Tulin anugerah Sultan Omar Ali Saiffudin 1 kepada anakandanya Puteri Babau. Kedudukan Puteri Babau @ Pengiran Anak Siti Khatijah Binti Sultan Omar Ali Saiffudin 1 (1740-1795) dan kedudukan Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit di Brunei Darusalam dalam tahun 1800 an. Kawasan Sungai Tulin Mengkabong, Kinarut Tulin dan separuh Menggatal. Pengiran Jalaludin Ibnu Pengiran Temenggung Abdul Rauf, bapa saudara kepada Pengiran Abdul Rauf yang merupakan kekanda kepada bonda Pengiran Abdul Rauf   iaitu Pengiran Anak Siti Fatimah Binti Pengiran Temenggong Abdul Rauf telah menyerahkan semua hak Sungai Tulin kepunyaannya  kepada Pengiran Abdul Rauf   Ibnu Pengiran Abdul Rajit kerana ketiadaan zuriat. Menurut wasiat berkenaan, Pengiran Abdul Rauf telah di pelihara oleh Pengiran Jalaluddin seperti anaknya sendiri sejak kecil dan atas sebab inilah segala Sungai Tulin kepunyaan Pengiran Jalaluddin diturunkan kepada Pengiran Abdul Rauf (33).

Seperkara yang menarik mengenai perkahwinan dalam kalangan kerabat Kesultanan Brunei pada zaman ini ialah sungguhpun pernah berlaku perselisihan atau perbalahan dalam kalangan ahli kerabat misalnya, namun, semangat kekeluargaan untuk mengukuhkan dan memurnikan semula silaturahim tetap berlaku. Hal ini kita dapat lihat apabila Puteri Babau telah berkahwin dengan Pengiran Temenggong Abdul Rauf Pengiran Abdul Rahman keturunan daripada Sultan Abdul Hakkul Mubin (1661-1673)(34) manakala anakanda Puteri Babau iaitu Pengiran Anak Siti Fatimah telah berkahwin dengan Pengiran Abdul Rajit anakanda kepada Pengiran Pemanca Harimau Muhammad Daud Ibnu Pengiran Abdul Rahman Ibnu Pengiran Anak Badaruddin Ibnu Sultan Muhyiddin (1673-1690).

Seperkara yang menarik mengenai Pengiran Pemancha Harimau Muhammad Daud (35) pada tahun 1809, sebuah Kapal Inggeris yang datang ke Brunei melepaskan anjing yang garang bernama "Si Merah"   dapat dikalahkan oleh beliau, Dalam peristiwa lain... beliau juga berjaya menangkap seekor Harimau kumbang hitam hadiah Sultan Terengganu yang terlepas dari kandangnya di Balairong Istana... Jesteru itu, disebabkan peristiwa itu Pengiran Pemancha Pengiran Mohd Daud dikenali sebagai Pengiran Pemancha Harimau.... Sebelum bergelar Pengiran Pemancha, beliau sudah disampiri gelaran Pengiran Kerma Indera dan naik lagi menjadi Pengiran Maharaja Lela....

Sebagaimana yang tercatat  dalam sejarah Brunei, Perang Cermin antara kisah perbalahan dalam kalangan kerabat Sultan Brunei yang melibatkan Sultan Abdul Hakkul Mubin dan Sultan Muhiyiddin.(36) Perkahwinan yang berlaku ini sebenarnya merapatkan kembali hubungan kekeluargaan dalam kalangan kerabat Kesultanan Brunei. Perkahwinan antara cucu cicit kerabat Sultan Brunei ini telah melahirkan seorang pemerintah yang disegani iaitu Pengiran Abdul Rauf (37).   

Mengikut catatan dalam rekod Borneo Herald di Arkib Negeri Sabah pada tahun 1857  , Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit telah diisytiharkan sebagai Raja Mengkabong dan Karambunai (38)
 
Hal ini menjadi persoalan kepada kita, kenapa satu satunya waris atau Kerabat terdekat Sultan Brunei ketika itu berada di kawasan Sungai Tulin kepunyaannya berbanding dengan kerabat Sultan Brunei yang lain. Walaubagaimanapun tiada rekod bertulis yang menyatakan tarikh kedatangan Pengiran Abdul Rauf ke Mengkabong atau dikenali sebagai 'North Borneo' namun, dianggarkan kedatangan Pengiran Abdul Rauf ke Mengkabong adalah dalam sekitar 1840 an sewaktu pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828-1852).

Menurut catatan 'Sabah and The Baram', (40)  dinyatakan bahawa seawal tahun 1847 James Brooke telah berjumpa dengan Pengiran Abdul Rauf di Gentisan untuk membincangkan mengenai soal pemajakan kawasan pada tahun 1847  oleh Sultan Brunei kepada British yang melibatkan kawasan Sungai Tulin kepunyaan Pengiran Abdul Rauf. Sungguhpun Sultan Brunei telah mengurniakan Sabah kepada Baron Von Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1877, Sultan Brunei hanya boleh memberi atau menjual hak tulinnya dan harta pusaka yang diwarisi dan dipunyai oleh kaum bangsawan lain tidak boleh dipindah milik tanpa merujuk kepada pemilik pemiliknya.

Menurut Tarling dalam catatannya "Sabah and The Baram" Pengiran Abdul Rauf mempersoalkan tindakan pemajakan Borneo Utara kepada sindiket Dent-Overbeck yang telah dipersetujui oleh Sultan Abdul Mumin pada ketika itu. Treacher telah menulis kepada Pengiran Abdul Rauf yang mengatakan Mengkabong tidak termasuk dalam perjanjian pajakan kepada Overbeck dan meminta Pengiran Abdul Rauf tidak menggunakan kekerasan dalam mempertahankan hak tulinnya. Pajakan kepada Overbeck ini telah ditentang oleh James Brooke kerana menghalang hasratnya untuk mengembangkan pengaruhnya ke wilayah lain yang di bawah kuasa Sultan Brunei iaitu Borneo Utara.

Sebelum munculnya nama Karambunai, Mengkabong dan Menggatal merupakan daerah kekuasaan Pengiran Abdul Rauf dan Karambunai adalah termasuk dalam wilayah Menggatal.(41) Seperti yang telah disentuh sebelum ini, Pengiran Abdul Rauf merupakan satu satunya waris Sultan Brunei yang menetap dan menguasai tanah tulinnya di Borneo Utara pada zaman pentadbiran British sekitar akhir 1880an. Pengiran Abdul Rauf merupakan generasi ke enam daripada Sultan Muhyiddin jika dilihat dari susur jalur ayahandanya, Pengiran Abdul Rajit Ibnu Pengiran Pemancha Harimau Daud manakala dari sebelah ibunya Pengiran Anak Siti Fatimah, Pengiran Abdul Rauf merupakan generasi keempat dari Sultan Omar Ali Saiffudin 1. Hubungan kekeluargaan ini menunjukkan bahawa Pengiran Abdul Rauf merupakan Kerabat terdekat dengan Sultan Brunei pada ketika itu.

Menurut salasilah yang disusun oleh Pusat Sejarah Brunei, Pengiran Abdul Rauf mempunyai beberapa orang putera dan puteri hasil perkahwinan beliau dengan beberapa orang isteri antaranya Pengiran Fatimah dan Pengiran Jamilah. Perkahwinan ini telah melahirkan zuriat antaranya Pengiran Besar Abdullah, Pengiran Siti Aishah dan Pengiran Jalaluddin. Kemungkinan semasa penhijrahan Pengiran Abdul Rauf ke Mengkabong, kesemua anak lelakinya tidak turut serta melainkan puteri beliau iaitu Pengiran Siti Aishah. Menurut tradisi lisan, Paduka Mat Salleh, pejuang awal kemerdekaan Sabah mempunyai hubungan kekeluargaan yang dekat dengan kerabat kesultanan Brunei iaitu Pengiran Siti Aishah yang berkahwin dengan Datu Balu dan melahirkan Paduka Mat Salleh. Jika hal ini dapat dikaji dan diterima, adalah tidak hairan jika pemberontakan Mat Salleh berkait rapat dengan pengambilan hak tulin nendanya Pengiran Abdul Rauf, ketua atau pemerintah Mengkabong pada zaman itu oleh pihak British.

Namun sebenarnya tidak ada rekod yang mencatatkan dengan tepat tarikh kelahiran Pengiran Abdul Rauf di Brunei mahupun tarikh kedatangan beliau ke Mengkabong melainkan catatan penulis barat tentang beliau, wasiat hak Sungai Tulin daripada Pengiran Jalaluddin kepada beliau kira kira tahun 1822 masihi (1238 hijrah) (43)  yang ada dalam simpanan  Pusat Sejarah Brunei.  Andaian kelahiran dan kedatangan Pengiran Abdul Rauf dibuat bersesuaian dengan situasi zaman pergolakan politik yang berlaku di Brunei seiring dengan campur tangan kuasa barat di kawasan jajahan dan pemerintahan Kesultanan Brunei ketika itu.

Jika dilihat carta kedudukan nenda Pengiran Abdul Rauf iaitu Pengiran Anak Siti Khatijah Binti Sultan Omar Ali Saifuddin 1 dan bondanya Pengiran Anak Siti Fatimah Binti Pengiran Temenggong Abdul Rauf, Pengiran Abdul Rauf Ibnu Pengiran Abdul Rajit di zaman pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin II dan Sultan Abdul Mumin adalah daripada nasab perempuan.(44) Tambahan pula di dalam tahun 1820an sehingga 1850an, keadaan politik di Brunei tidak stabil kerana berlaku perbalahan dalam kalangan kerabat Sultan Brunei ketika itu untuk menaiki takhta termasuklah campur tangan inggeris yang mengeruhkan lagi suasana dalam kalangan kerabat Sultan Brunei ketika itu.

Memandangkan Sungai Tulin kepunyaan Puteri Babau letaknya di Borneo Utara, dan surat wasiat menyatakan Pengiran Abdul Rauf mewarisi kawasan Mengkabong, Menggatal dan beberapa Sungai Tulin, tidak hairanlah jika Pengiran Abdul Rauf berpindah ke Mengkabong. Penghijrahan Pengiran Abdul Rauf antaranya adalah untuk mengelakkan diri daripada pertelingkahan dalam kalangan kerabat Sultan Brunei dan untuk mempertahankan hak Sungai Tulin kepunyaannya daripada jatuh ketangan British. Hal ini bersesuaian dengan penyatan Ranjit Singh bahawa satu satunya pemilik tulin yang memerintah sungai tulin kepunyaan nya ialah Pengiran Abdul Rauf.

Oleh yang demikian, pemberian hak tulin melalui surat wasiat yang di tulis pada 1238 hijrah atau tahun 1822 masihi itu juga antara faktor utama menyebabkan Pengiran Abdul Rauf berhijrah ke Mengkabong. Pengiran Abdul Rauf berhijrah ke Mengkabong kerana melalui wasiat yang diturunkan kepada beliau telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai empunya atau penguasa Sungai Tulin tersebut.

Seperkara yang berlaku yang mungkin ada kaitan dengan penghijrahan Pengiran Abdul Rauf ke Mengkabong dan menetap di sana ialah kedatangan Pengiran Temenggong Raja Tua Abdul Momin Amirul Faza ke sekitar Menggatal pada kira kira penghujung tahun 1700 an.

Menurut catatan sejarah yang ditulis oleh Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri, kira kira tahun peghujung 1700an, zaman pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin 1(1740-1795), di wilayah Sabah bertempat sekitar Menggatal, telah terjadi kekacauan, iaitu orang orang belingingi dan illanun bermaharajalela di perairan Sabah khususnya di Menggatal, sehingga rakyat dan penduduk di sana susah mencari nafkah. Untuk mengatasi masalah ini Pengiran Temenggong Raja Tua Abdul Mumin Amirul Faza telah dititahkan berangkat kesana untuk mengamankan (45).

Jika kita lihat perkaitan antara Pengiran Abdul Rauf dengan peristiwa ini, adalah tidak keterlaluan jika kita mengandaikan bahawa tujuan kawasan perairan Mengkabong diamankan oleh Pengiran Temenggong Raja Tua selain daripada menguatkan perbatasan dan sempadan Kesultanan Brunei dari ancaman musuh seperti orang orang belingingi adalah kawasan tersebut kepunyaan Puteri Babau, anakanda kepada Sultan Sultan Omar Ali Saifuddin 1 dan nenda Pengiran Abdul Rauf.

Pengiran Temanggong Raja Tua dirakamkan dalam sejarah Brunei seorang yang pintar dan gagah berani dan misi beliau atas titah Sultan berjaya dilaksanakan. Dipercayai, penghijrahan Pengiran Abdul Rauf adalah selepas daripada peristiwa ini.

Pengiran Temanggong Raja Tua Abdul Momin Amirul Faza Ibnu Pengiran Bendahara Anak Untong Ibnu Sultan Abdul Jalilul Jabbar merupakan adik beradik kepada ibu Sultan Omar Ali Saifuddin 1 iaitu Pengiran Babu Sarbanun yang menjadi Raja Isteri kepada Sultan Muhammad Alauddin (1730-1737) (46) Alasan ini diperkukuhkan lagi dengan adanya perkahwinan antara keturunan Raja Tua dengan Keluarga Pengiran Abdul Rauf.

Salasilah Pengiran Temenggong Raja Tua Abdul Momin Amirul Faza menyatakan Pengiran Besar Abdullah telah berkahwin dengan Dang Bunga, cucu kepada Raja Tua. Perkahwinan ini telah merapatkan semula hubungan kekeluargaan dalam kalangan kerabat Kesultanan Brunei ini.

Menurut rekod di Jabatan Perhutanan Sandakan yang terdapat di Arkib Negeri Sabah, Pengiran Abdul Rauf diberi lesen membalak di Pulau Gaya oleh Syarikat British North Borneo pada tahun 1884.


Pada Tahun 1876, Jawatan Abu Bakar dan Penyurat DiGadong telah diarahkan oleh Kerajaan Brunei supaya menemui Pengiran Abdul Rauf, Ketua di Kawasan Mengkabong. Tujuannya untuk mencari dan menangkap beberapa orang suku bajau yang bersekongkol dengan Pengiran Maidin yang telah melakukan rompakan keatas para pedagang cina yang menjalankan kegiatan perdagangan antara Brunei dan Labuan. Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Brunei mengiktiraf Pengiran Abdul Rauf sebagai penguasa atau ketua di Mengkabong malahan pihak British juga telah diarahkan berjumpa dengan beliau dalam perkara melibatkan kawasan Sungai Tulin Mengkabong yang dikuasai oleh Pengiran Abdul Rauf.


Melihat salasilah Pengiran Abdul Rauf, beliau adalah nasab sebelah perempuan iaitu Puteri Babau atau Pengiran Siti Khatijah Binti Sultan Omar Ali Saifuddin 1 yang berkemungkinan menjadi salah satu faktor kenapa Pengiran Abdul Rauf berpindah ke Sabah pada ketika itu dan untuk mengelak  pertelingkahan dan perbalahan dalam kalangan golongan istana kerana perebutan kuasa dan taktha. Lagipun Pengiran Abdul Rauf maklum bahawa telah di beri kuasa hak tanah tulin ke atas Mengkabong, Menggatal dan Kinarut sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh bapa saudaranya Pengiran Jalaluddin.

Terdapat kemungkinan bahawa Pengiran Abdul Rauf berpindah ke Mengkabong sekitar tahun 1830 an hingga 1840an pada usia antara 30 an ke 40 an.

Andaian ini berasaskan kepada beberapa perkara yang berikut :

Di batu nisan kepunyaan Pengiran Besar Abdullah Ibnu Pengiran Abd Rauf bertulis tahun 1243 H (1828 M). Kemungkinan besar tahun ini merupakan tahun lahir Pengiran Abdullah. Pengiran Abdullah dilahirkan di Brunei dan dibesarkan dalam kalangan bangsawan kerabat Sultan Brunei. Bersesuaian dengan Negara Brunei ketika itu yang mengikut catatan sejarah menjadi salah sebuah Pusat Perdagangan dan Pusat Perkembangan Islam, tidak hairanlah jika Pengiran Besar Abdullah mendapat pendidikan awal dalam bidang agama dan pandai menulis jawi sejak di Brunei sebelum berhijrah ke Karambunai. Pemerhatian atas semua kubur lama di Karambunai mendapati tidak ada satu pun batu nisan lama di kawasan perkuburan ini yang bertulis kecuali batu nisan Pengiran Besar Abdullah. Riwayat hidup Pengiran Abdullah akan kita sentuh kemudian melalui tradisi lisan yang dicerita oleh waris keturunannya.

Pengiran Besar Abdullah Ibnu Pengiran Abdul Rauf dan keturunannya


Pengiran Besar Abdullah merupakan putera kepada Pengiran Abdul Rauf dan kekanda kepada Pengiran Jalaludin. Batu nisan Pengiran Besar Abdullah terdapat di Tanah Perkuburan Kerabat Sultan Brunei di Karambunai.


Menurut sejarah lisan, Pengiran Abdullah merupakan kerabat Sultan Brunei yang karam bersama pengikutnya di Karambunai sehingga terbitnya nama Karambunai iaitu merujuk kepada orang Brunei yang karam.

Sejarah lisan juga menyatakan bahawa Pengiran Abdullah telah menjadi Imam Besar di Karambunai kerana beliau mempunyai pengetahuan agama dan ilmu kebatinan yang tinggi. Beliau menjadi pemimpin di Karambunai ketika itu. Kawasan yang dikenali sebagai Mempangung di Karambunai merupakan tempat tinggal Pengiran Abdullah bersama isterinya Dang Bunga cicit kepada Pengiran Temenggong Raja Tua Abdul Momin Amirul Faza.

Pengiran Abdullah mempunyai seorang putera yang bernama Pengiran Danta atau Pengiran Dewanta dan seorang Puteri yang juga merupakan anak sulung Pengiran Abdullah bernama Pengiran Halimatulsaadiah.

Pengiran Halimatulsaadiah dan kekandanya Pengiran Danta dilahirkan dan dibesarkan di zaman persaingan kuasa di antara keluarga Brooke dan British North Borneo Charted Company untuk memiliki Sungai Tulin milik kerabat Kesultanan Brunei di Sarawak dan di Sabah.

Pembunuhan Pengiran Besar Abdullah telah mengucar kacirkan kehidupan keluarga terutama anak anaknya yang masih kecil ketika itu. Pengiran Besar Abdullah dianggarkan kembali ke rahmatullah sekitar tahun 1870an atau awal 1880an sebelum ayahnya Pengiran Abdul Rauf lindung pada tahun sekitar tahun 1885.
Menurut tradisi lisan yang diceritakan oleh Pengiran Danta kepada anak-anaknya, semasa pembunuhan ayahandanya Pengiran Abdullah, beliau masih kanak kanak lagi dalam anggaran usia dibawah 10 tahun. Kematian ayahanda Pengiran Danta dan kekandanya Pengiran Halimatulsaadiah yang telah berusia belasan tahun ketika itu amat menyedihkan Pengiran Danta sehingga akhir hayatnya. Tambahan pula selepas beberapa tahun, ibu Pengiran Danta pula meninggal dunia menyebabkan Pengiran Danta dipelihara oleh kekandanya Pengiran Halimatulsaadiah ketika itu di Karambunai.

Memandangkan Pengiran Abdullah mempunyai waris tunggal lelaki iaitu Pengiran Danta, Pengiran Halimatulsaadiah mendapat khabar bahawa waris tunggal lelaki Pengiran Abdullah juga mahu dibunuh. Atas nasihat kekandanya, menyuruh Pengiran Danta keluar dari Karambunai bagi menyelamatkan dirinya memandangkan kekacauan berlaku ketika itu agak hebat. Ketika itu Pengiran Danta berusia awal belasan tahun. Pengiran Halimatulsaadiah bersama keluarganya juga keluar dari Karambunai pada zaman kekacauan tersebut. Tradisi lisan menyatakan bahawa Pengiran Danta telah menuju ke Inanam, Papar, Sandakan dan akhirnya ke daerah Kudat, menetap dan beranak pinak di Kudat. Sejak meninggalkan Karambunai, Pengiran Danta tidak pernah kembali ke Karambunai sehinggalah pada sekitar tahun 1953.

Pada tahun 1953, Pengiran Danta telah pergi ke Karambunai. Tujuan asal Pengiran Danta adalah mencari kubur ibubapanya dan datuknya Pengiran Abdul Rauf. Dayang Siti Hafsah pada mulanya tidak mempedulikan dan tidak kenal Pengiran Danta tetapi apabila Ghani bib Bilal said sepupunya yang masih tinggal di Karambunai ketika itu memeluk Pengiran Danta dan memberitahu siapa Pengiran Danta kepada Dayang Siti Hafsah, Dayang Siti Hafsah terus sujud meminta ampun atas perlakuannya terhadap Pengiran Danta kerana sangkaannya Pengiran Danta telah meninggal dunia selama ini.

Sewaktu Pengiran Danta hendak kembali ke Kudat, Dayang Siti Hafsah mengemukakan cadangan kepada Pengiran Danta untuk mengarak Pengiran Danta dengan diiringi beberapa buah perahu sepanjang Sungai Karambunai dan Mengkabong agar rakyat tahu siapa Pengiran Danta. Namun, Pengiran Danta menolak dan hanya meminta dihantar ke Pengkalan dengan perahu yang diikat dengan kain kuning. Pengiran Danta memberitahu anak anaknya sekembalinya dari Karambunai, beliau sedih dan jatuh sakit sambil berkata, "Banyak air mata saya tumpah"! Pengiran Danta masih tidak dapat melupakan peristiwa pembunuhan ayahnya Pengiran Abdullah. Kekacauan yang berlaku di North Borneo ketika itu termasuklah penentangan terhadap British menyebabkan British tidak suka kepada Pengiran Pengiran mahupun Pengikut Pengiran Abdul Rauf.


Usaha British menumpaskan pemberontakan Mat Salleh turut memberi tekanan kepada pengiran pengiran dan orang orang bajau di Mengkabong, Inanam dan Menggatal ketika itu. Mereka dituduh bersubahat dengan Paduka Mat Salleh dan ini antara sebab mereka terpaksa bersembunyi, melarikan diri dan menukar identiti diri agar tidak dapat dikesan oleh British.


Pengiran Danta telah dikurniakan seramai enam orang putera dan lima orang puteri. Putera dan Puteri Pengiran Danta ialah Pengiran Saadiah, Pengiran S Karim, Pengiran Abdul Ghaffar, Pengiran Datuk Haji Sidek, Pengiran Hajjah Zainun, Pengiran Haji Samad, Pengiran Haji Zakaria, Pengiran Jaleh, Pengiran Basariah, Pengiran Jaliah dan Pengiran Bainah. Selepas meninggalkan Karambunai, Pengiran Danta telah memilih untuk tinggal di sebuah pulau bertentangan dengan Bandar Kudat, Sabah dikenali sebagai Pulau Abu Abu di daerah Kudat sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir di pulau tersebut pada tahun 1957.

Salah seorang daripada putera Pengiran Danta iaitu Pengiran Datuk Haji Sidek mewarisi bakat kepimpinan nendanya Pengiran Besar Abdullah. Atas jasa dan sumbangan Pengiran Datuk Haji Sidek kepada Negeri Sabah terutama pada zaman pra dan awal kemerdekaan negeri Sabah beliau telah dianugerahkan pingat kebesaran membawa gelaran Datuk (PGDK : Panglima Gemilang Darjah Kinabalu) pada tahun 2004. Esplanade Sidek yang terkenal di daerah Kudat merupakan penghargaan Kerajaan Negeri Sabah kepada Pengiran Datuk Haji Sidek atas segala jasa dan pengorbanan beliau. Pengiran Datuk Haji Sidek kembali kerahmatullah ketika berusia 84 tahun dan telah dimakamkan di Tanah Perkuburan Kerabat Brunei di Karambunai pada tahun 2004. Makam Pengiran Datuk Haji Sidek Bin Pengiran Danta terletak di Tanah Perkuburan Kerabat Brunei di Karambunai.

Pengiran Datuk Haji Sidek pernah mencatatkan pertemuanya dengan Pengiran Siti Fatimah Binti Pengiran Jalaludin pada bulan Januari 1939. Catatan ini masih disimpan oleh anak-anak beliau. Menurut beliau ;

Jan. 1939 saya salah seorang anggota polis diundang sebagai senteri bertugas di Rumah Rehat Governor di Jesselton (KK). Apabila tiba-tiba Pangeran Fatimah Pangeran Jalaluddin suruh saya masuk ke dalam, kebetulan masa itu saya dalam duty, hanya berdiri di pintu, Pangeran Fatimah tanya apa bangsa kita, saya terangkan mamah saya dari Mengkabong dan bapa berasal dari Karambunai, dan sekali lagi Pangeran Fatimah bertanya siapa namanya bapa kita itu, jawab saya Danta Bin Abdullah, kata Pangeran Fatimah, itu Pangeran Danta Bin Pangeran Abdullah saudara saya kata Pangeran Fatimah

Jejak Pengiran Datuk Haji Sidek diikuti oleh anakandanya Pengiran Datuk Abdul Rahim Bin Pengiran Datuk Haji Sidek yang turut dianugerahkan Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu pada tahun 2007 yang membawa gelaran Datuk atas khidmat dan jasa beliau kepada Kerajaan Negeri Sabah. Malahan anakanda kepada Pengiran Haji Samad Bin Pengiran Danta juga mewarisi kepimpinan moyangnya apabila dikurniakan Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu yang membawa gelaran Datuk kepada Pengiran Haji Awang Bin Pengiran Haji Samad bagi menghargai jasa beliau dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri Sabah. Anakanda kepada Pengiran Haji Zakaria Bin Pengiran Danta iaitu Pengiran Hajjah Rosimah Binti Pangeran Haji Zakaria juga telah mencipta nama dalam kalangan wanita UMNO Sabah apabila memegang jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO Tanjung Aru, Kota Kinabalu. Makam Pengiran Haji Zakaria Bin Pengiran Danta terletak di perkuburan Kerabat Brunei di Karambunai.

Pengiran Jalaludin Ibnu Pengiran Abdul Rauf dan Keturunannya

Pengiran Jalaludin Ibnu Pengiran Abdul Rauf merupakan adinda kepada Pengiran Besar Abdullah. Disebabkan Pengiran Besar Abdullah terlebih dahulu meninggal dunia dan diikiuti pula oleh Pengiran Abdul Rauf, Pengiran Jalaludin telah menandatangani surat perjanjian yang diperbuat antara Pengiran Jalaludin dengan British North Borneo Company pada tahun 1898. Isi kandungan surat perjanjian 1898 jelas menyatakan ;

.... Maka Mengkabong dan Menggatal itu harta Pengiran Jalaludin yang di pesaka daripada ayahnya Pengiran Abdul Rauf..........

Isi kandungan Surat Perjanjian tersebut menyatakan bahawa pendakwaan British North Borneo Charted Company kepada Sultan Brunei ketika itu kerana orang orang Inanam, Mengkabong dan orang orang Menggatal terlibat dalam serangan Paduka Mat Salleh di stesen British di Pulau Gaya yang mengakibatkan kerugian kepada Kompeni. Antara isi kandungan perjanjian ini ialah seperti berikut ;


....bahwa ada lah kita Pengeran Jalaludin atas menimbang mempunyai sepenoh penoh kuasa perentah serta kuasa di atas hidop dan mati serta mempunyai kuasa yang boleh menaroh chukai chukai dan sebagainya berjanji seperti yang tersebut dibawah akan menyerahkan kepada kompeni, ganti-gantinya atau wakilnya segala kita empunya negeri negeri seperti tersebut iaitu Mengkabong, Menggatal, Api-Api, Simbulan, Napas, Tambalang serta sekian takloknya..............


Menurut Salasilah Pengiran Pengiran Karambunai, Pengiran Jalaludin mempunyai dua orang isteri. Salah seorang isteri Pengiran Jalaludin ialah Kawang Aminah yang telah melahirkan Pengiran Sara, Pengiran Aisah, Pengiran Abdul Jalil dan Pengiran Siti Fatimah manakala dengan isteri yang lain (tidak disebutkan namanya dalam salasilah) anak anak beliau ialah Pengiran Yusuf, Pengiran Yaakub dan Pengiran Salamah.

Terdapat beberapa orang cicit kepada Pengiran Jalaludin iaitu Pengiran Tajuddin Bin Pengiran Idris Bin Pengiran Yaakob Bin Pengiran Jalaludin menetap di Tuaran, Sabah bersama anak anaknya setelah keluar meninggalkan Karambunai semasa 'status tanah karambunai berubah'. Begitu juga dengan Pengiran Mariam Binti Pengiran Idris menetap bersama anak anaknya di Tuaran, Sabah manakala Pengiran Hajjah Asmah Binti Pengiran Idris menetap di Negara Brunei Darussalam.

Dalam Salasilah Pengiran Pengiran Karambunai, tidak menyatakan zuriat daripada  Pengiran Siti Fatimah. Memandangkan kertas kerja ini dihuraikan berpandu kepada Salasilah Pengiran Pengiran di Karambunai, maka penulis tidak dapat mengulas selanjutnya dalam bahagian ini mengenai Keturunan Siti Faitimah. Penulis hanya akan menyentuh hal ini dalam sub-topik yang berkaitan dengan tuntutan-tuntutan Karambunai.

Pengiran Siti Aishah Ibni Pengiran Abdul Rauf dan keturunannya

Pengiran Siti Aishah merupakan adinda kepada Pengiran Besar Abdullah. Keturunan Pengiran Siti Aishah tidak dapat diketahui lebih lanjut. Menurut cerita lisan Pengiran Danta yang telah didengar oleh Pengiran Datuk Haji Sidek, Pengiran Danta pernah menjejak ibu saudaranya Pengiran Siti Aishah selepas Pengiran Danta meninggalkan Karambunai. Menurut Pengiran Danta lagi, Pengiran Siti Aishah Binti Pengiran Rauf tinggal di Inanam dan Pengiran Danta pernah menjejaki ibu saudaranya ini di Inanam tetapi tidak bertemu.

Seperkara yang menarik mengenai Pengiran Siti Aishah ialah beliau dikatakan telah berkahwin dengan Datu Balu, ayahnda kepada Paduka Mat Salleh. Hal ini turut diceritakan oleh waris Pengiran Abdul Rauf. Sekiranya dapat dibuat kajian atau penyelidikan lanjut mengenai hal ini di Sabah, ia adalah sangat berguna dan akan lebih sangat menarik. Menurut mantan Ketua Menteri Sabah, YAB Tun Datu Haji Mustapha Bin Datu Harun, ada mengesahkan mengenai zuriat Paduka Mat Salleh iaitu Datu Haji Mualam Zinalabidin Bin Panglima Datu Muhammad Salleh. Zuriat Paduka Mat Salleh ini dan keturunannya menetap dan tinggal di daerah Kudat, Sabah selepas sahaja kubu Paduka Mat Salleh di Tambunan di serang oleh British dan dikatakan Mat Salleh terbunuh dalam peristiwa tersebut. Menurut tradisi lisan, isteri dan anak Paduka Mat Salleh sempat melarikan diri dengan pertolongan pengikut pengikutnya dan daerah dituju oleh mereka ialah Daerah Kudat.

Tradisi Lisan dan Peristiwa Bersejarah di Karambunai


Antara peristiwa bersejarah yang berlaku di Karambunai ketika hayat Pengiran Besar Abdullah ialah tentang kelahiran putera beliau Pengiran Danta.. Jarak usia di antara Pengiran Danta dengan kekandanya Pengiran Halimatulsaadiah ialah kira kira 7 atau 8 tahun. Hal ini menyebabkan Pengiran Abdullah bernazar akan menyembelih seekor kerbau di atas bumbung rumah jika Allah subahana wa Ta'ala mengurniakan zuriat lelaki kepada beliau. Dengan izin Allah subahana wa Ta'ala, Pengiran Danta dilahirkan dan nazar Pengiran Abdullah ditunaikan bersama sama doa kesyukuran oleh penduduk di Karambunai ketika itu.  Dianggarkan tahun kelahiran Pengiran Danta ialah pertengahan atau lewat tahun 1870 an. Pengiran Danta pernah menceritakan kepada anak anaknya tentang kisah Paduka Mat Salleh membakar stesen British di Pulau Gaya iaitu ketika itu Pengiran Danta sudah besar dan sedang bertangar-tangar di atas perahu di Kuala Sungai Inanam. Pengiran Danta menyaksikan asap berkepul kepul di Pulau Gaya.


Pengiran Abdullah dijangka berhijrah ke Karambunai lewat tahun 1840 an atau dalam tahun 1850 an. Menurut St John dalam catatan pengembaraannya ke Borneo, pada tahun 1858 beliau telah diperkenalkan dengan anak Pengiran Abdul Rauf oleh rakannya ketika singgah dan bersarapan pagi di rumah Pengiran Abdul Rauf di Mengkabong. Nama Karambunai itu sendiri tidak pernah disebut dalam mana mana tulisan Barat sehinggalah pada tahun 1857, Pengiran Abdul Rauf diistiyharkan dalam akhbar Borneo Herald di Arkib Negeri Sabah sebagai Raja di Mengkabong dan Karambunai. Oleh itu, kemungkinan besar nama Karambunai muncul selepas peristiwa kapal karam orang Brunei sekitar tahun 1850 an.

Peristiwa kapal karam orang Brunei di Karambunai yang diketuai oleh Pengiran Abdullah telah menyebabkan terbitnya nama Karambunai. Pengiran Abdullah juga digelar Marak Berapi kerana jika beliau marah, seolah olah api keluar daripada mulut beliau. Hal ini akan diceritakan dengan lebih lanjut dalam tajuk kertas kerja Sejarah Karambunai berasal daripada Peristiwa kapal orang Brunei karam yang diketuai oleh Pengiran Abdullah.


Sunday 2 October 2016

SEJARAH SULAWESI: MENELUSURI BUGIS & ORANG LAUT



POSTED BY DZULASREE

INTRODUKSI

Satu satunya sumber sejarah Bugis klasik yang dikatakan terpanjang di dunia ialah senaskah buku bertulis tulisan Lontara (Brahmi) bertajuk "I La Galigo" yang sekarang tersimpan rapi di beberapa perpustakaan Eropah termasuk Perpustakaan Leiden di Belanda. Naskah La Galigo yang panjang itu sebahagiannya gagal diselamatkan yang selamat hanya 600 muka surat sahaja. Sebahagiannya telah rosak oleh serangga atau reput ketika dalam simpanan selama beberapa ratus tahun. Walau pun La Galigo tidak dapat diakui sebagai "Sumber Sejarah Bugis" sepenuhnya oleh ahli sejarah disebabkan oleh kandungannya yang lebih kepada mitos dan mistis namun sekurang-kurangnya telah berjaya menjelaskan bentuk masyarakat Bugis sebelum abad ke-14.

Mengungkap sejarah Bugis menurut konteks dan interpretasi kami Bugis terbahagi dua secara geografi iaitu Bugis Gunung dan Bugis Laut. Penempatan Bugis terawal ialah di kawasan teluk yang dikenali sebagai LUWU' hari ini. Menurut beberapa catatan sejarah Bangsa Bugis terawal Luwu' @ Luwuk ini berasal dari Sumatera iaitu dari satu suku kaum purba yang dikenali sebagai Bangsa Nias. Ini kerana Suku Nias yang dikatakan kehidupannya lebih kepada gaya hidup Orang Laut. Kalau perkara tersebut benar maka sudah tentu ada bangsa Gunung yang menjadi penguasa mereka kerana Orang Laut tidak akan berhijrah atau tinggal di satu kawasan laut tanpa penguasa sebagai peraih dan pembeli kepada hasil laut mereka.

Perkara ini perlulah difahami sebagai ikatan Laut dan Darat, maritim dan agraria untuk mewujudkan keseimbangan sehingga terbentuknya kerajaan-kerajaan awal. Maka tidak hairanlah mengapa terdapatnya bangsa Toraja yang hidup di pergunungan Luwu' manakala terdapatnya penempatan Orang Laut di Wajo' di mana tempat berkumpulnya masyarakat Bajau (Bajo'). Masyarakat Toraja mempunyai adat budaya persis Masyarakat Batak di Sumatera. Bentuk rumah adat, persenjataan dan peralatan pertanian tidak ubah seperti apa yang dimiliki oleh Batak di Sumatera. Maka kenyataan beberapa keterangan sejarah tentang Bugis berasal dari Sumatera kemungkinan adalah benar. Kalau pun Bugis adalah asal-usul Orang Nias dan Batak di Sumatera maka itu pun lebih mendekati kebenaran. Perkara ini akan dibuktikan secara lanjut.

Menurut pengkaji sejarah Bugis hanya datang ke Pulau Nias sekitar abad ke-18. Menurut Hämmerle (2004), sekitar 250 tahun yang lalu orang Bugis berlabuh di pulau Simeulue, Nias, dan kepulauan Batu. Di mana mereka mendapat pulau kosong, di situ mereka memberi nama pulau bersangkutan. Keterangan ini selaras dengan isi legenda asal-mula pulau-pulau Batu. Selain itu, keterangan ini menunjukkan kedatangan orang Bugis di kepulauan Batu pada abad 18 (sekitar tahun 1750), suatu rentang waktu yang relatif jauh dibanding abad 12 sebagaimana perkiraan Mufti.[01]


ASALNYA NAMA BUGIS

Menurut tradisi lisan dan beberapa keterangan yang kita boleh dapat dari sumber internet nama BUGIS dikatakan berasal dari seseorang yang bernama "Ugi", manakala dari sumber lain menyatakan bahawa Bugis diambil dari kata "Buki" atau "Bukit" kerana kehidupan masyarakat RAJA yang tinggal di pergunungan seperti TORAJA sangat sinonim dengan bukit. Apa yang menjadi kehairanan mengapa huruf "S" disebut sehingga menjadi Bukis atau Bugis? Satu kemungkinan kata asal BUGIS muncul dari perkataan asing yang akhirnya menjadi "jenama" Bugis seperti hari ini.

Menurut seorang pengkaji sejarah Sabah (North Borneo) bernama Abdul Samad Al-Suguti yang juga mahir dengan sejarah Bugis, beliau telah menyatakan bahawa nama UGIS diambil dari panggilan "Orang Portugis" yang pertama kali datang ke Asia Tenggara melalui Gujerat di India sekitar abad ke-11 hingga abad ke-13. Kerana sebahagian Orang Portugis ini lari dari tanah asal mereka Portugal kerana Perang Salib menuju ke India. Mereka adalah Portugis beragama Islam yang kalah kepada Portugis dan Spanyol Kristian mengikut kapal-kapal dagang Arab. Dari India mereka mengikut kapal layar menuju ke kepulauan rempah sehingga tiba di Makassar dan Luwu'.

Kalau ini benar maka kemungkinan besar disinilah kerajaan yang dinamakan oleh Prester John seperti yang dinyatakan oleh Padri-padri Jesuit kepada Raja Kristian Portugal sehingga menggalakkan Portugal menjalankan ekspedisi mereka yang pertama ke Asia Tenggara. Bangsa Eropah yang pertama mencatat sejarah dan peta Sulawesi ialah bangsa Portugis.

    Peta Sulawesi yang dilukis Portugis pertama kali pada tahun 1534 tidak menyentuh tentang Goa, dan hanya memeta 'Siom"(Siang), 'Tello'(Tallo') dan 'Agacim'(Garassi'). Mengikut penulisan Antonio de Paiva, Goa, (di mana didalam penulisannya merujuk kepada Bandar Besar) yang kemudiannya muncul di peta Portugis... [02]
Menurut Abdul Samad Al-Suguti lagi pelayaran Portugis ke Nusantara telah ditemani oleh pemandu pelayaran yang handal bernama Hendry The Black yang ketika itu menetap di Spanyol. Hendry The Black adalah berbangsa Sulug yang pernah menjadi pemandu arah kepada Ferdinand Magellan dan telah berjaya memesongkan Magellan dari singgah ke Pulau Jolo, Sulu. Tetapi pelayaran Portugis sebelumnya seperti Barbossa pernah singgah di Pulau Jolo Sulu antara 1512-1520an. Kemungkinan besar disinilah bermula bangsa Portugis digelar oleh Sulug sebagai "Tau Ugis". Ugis dalam bahasa Sulug bermaksud "Kulit Putih" (seperti Albino juga dipanggil Ugis).


PERHUBUNGAN BONE & BELANDA MENGUATKAN NAMA BUGIS

Antara Portugis, Spanyol dan Belanda sebenarnya menutur satu bahasa yang dipanggil bahasa Latin. Antara mereka masih berhubungkait dan satu rumpun. Bukan sekadar berkongsi bahasa malah berkongsi rupa paras yang sesetengahnya berkulit putih dan berambut perang. Secara harfiah mereka digelar oleh Sulug sebagai Ugis yang bermaksud orang berkulit putih. Dalam sejarah Bugis, kerajaan yang sangat kuat bersekutu dengan orang kulit putih Belanda ialah kerajaan Bone yang dipimpin oleh Arung Palakka.

    Perhubungan yang jelas muncul selepas abad ke 15. Pada tahun 1667, Belanda memaksa pemerintah Goa untuk mengaku kalah dengan menandatangani Perjanjian Bungaya. Dalam perjuangan ini, Goa dibantu oleh Arung Matoa dari Wajo'. Pada tahun berikutnya, kubu Tosora dimusnahkan oleh Belanda dan sekutunya La Tenritta' Arung Palakka dari Bone. [03]

Perhubungan Bone-Belanda atau Bone-Ugis kemungkinan besar telah menghasilkan nama baru iaitu Bu-Gis maka tidak hairanlah mengapa nama Bugis sangat sinonim dengan Bone hari ini. Bahasa Bugis standard di Sulawesi ialah yang mereka namakan sebagai bahasa Bone. Bahasa Bone dan Luwu' masih saling memahami berbeza dengan bahasa Makassar. Perbezaan bahasa Makassar hanyalah pada Slanga dan perubahan pada perkataan namun cara sebutannya masih dalam sebutan Bugis. Kemungkinan berlakunya perubahan kepada bahasa Makassar adalah kerana kontak dengan pihak luar sangat ketara berbanding Luwuk dan Bone. Sebagai bukti dalam struktur bahasa Bugis secara keseluruhan pun kita dapati terdapat unsur-unsur bahasa Latin seperti penggunaan "La" (La Galigo, La Tenritta, La Ma'dukelleng) ditambah dengan binaan kapal Pinisi Bugis yang mirip dengan kapal Portugis atau Arab.

Arung Palakka pahlawan Bugis Bone yang tiada tandingan pada zamannya. Beliau menjadi seorang Raja Bone dan menjadi anjakan paradigma menjulangnya nama Bugis dipersada Nusantara sehingga ke hari ini.


PERHUBUNGAN SULUG & BUGIS

Antara Bugis dan Sulug siapa lebih awal meneroka laut Nusantara bukanlah motif utama dalam artikel ini kerana sekiranya diselami secara mendalam kedua-duanya saling berkaitan. Kenyataan kami bahawa Sulug adalah asal dan permulaan manusia secara teori, kemudian teori kami disertakan dengan bukti berdasarkan linguistik dan pengucapan secara phonology, maka persoalan siapa lebih dulu belayar samada Bugis atau Sulug tidaklah berbangkit kerana ia sudah pun difahami.

Jelasnya, Bugis adalah Sulug dan kalau pun dikatakan bahawa Sulug adalah Bugis tidaklah menjadi masalah. Tinggal lagi pembuktian secara jujur dari mana permulaan nama Bugis serta persamaan bahasa dan lidah dengan Sulug perlulah dirungkai. Secara fakta Bugis baru dikenali hanya bermula abad ke-12 hingga abad ke-17 berbanding Sulug yang sudah menduduki persisiran pantai Burma hingga ke Johor, dari Sumatera hingga ke Pulau Flores semenjak permulaan kerajaan Srivijaya abad ke-7. Malah jauh dari itu Sulug sudah menguasai Laut China Selatan kerana penguasaan dagang mereka terhadap Champa-Canton hingga ke Tanah Melayu-Siam.

Catatan Arab abad ke-9 seperti Al-Idrisi dan Al-Mas'udi menulis bahawa kerajaan hebat di India Timur (Asia Tenggara) adalah kerajaan Maharaja Zabag (Nama Sulug disalah sebut menjadi Zabag @ Zabaj) yang merangkumi semua kepulauan Asia Tenggara. Sebagai bukti nama Kota Solok, Kabupaten Solok, Istana Solok, Sungai Solok, Kampung Solok, Solo, Solot, Solox, Solor berada di mana-mana di seluruh Asia Tenggara. Malah pada lidah Arab juga masih kekal penyebutan mereka terhadap Sulug terutama pada amalan tafakur Sulug yang orang Arab namakan "amalan Suluk" serta sistem pasar perdagangan yang mereka namakan sebagai "Suq" yang bermaksud pasar Sug @ Sulug.

Bugis sebelum kedatangan Portugis dipanggil oleh orang-orang Sulug sebagai "Baklaya" yang mungkin berasal dari kata "Mag Layag" bermaksud "belayar" atau "Mag Laya" bermaksud "Menjala". Bangsa Baklaya ramai menduduki pesisir pantai Luuk, Parang sehingga ke Pulau Basilan di Kepulauan Sulu. Bangsa Baklaya datang dari pulau yang kita kenali sebagai Sulawesi hari ini. Bangsa Baklaya sangat menghormati Bangsa Buranun di pulau Jolo kerana Suku Sulug Buranun di Pulau Jolo sangat anti pendatang terutama kepada bangsa Baklaya yang dianggap sebagai "Orang Laut". Suku Sulug Buranun yang sangat rapat dengan Baklaya ialah Taguimaha.

Suku Sulug Taguimaha kemungkinan namanya diambil dari kata "Tau Gimbah" (Orang menghuni rimba) atau "Tag umah" (Empunya tanah huma - tempat bercucuk tanam) kerana kebiasaan Sulug Taguimah sebagai penguasa laut dan darat sehingga ke Selat Melaka dan Laut China Selatan. Sulug Taguimah ini disebut oleh Portugis di Melaka sebagai "Lucoes People" yang kaya dengan perdagangan Emas dan Perak di seluruh Asia Tenggara. Bangsa yang baik dan suka berniaga tetapi juga adalah pahlawan yang ganas di laut. Sulug Taguimah sangat rapat dengan Suku Baklaya yang juga dikatakan sangat handal di laut samada sebagai pahlawan, penyelam atau pendayung kapal.

Bangsa Baklaya menutur satu bahasa yang mirip dengan bahasa Sulug Laut dan Taguimah di samping bahasa daerah mereka sendiri yang berintonasikan Bahasa Papua. Hari ini Baklaya dikenali sebagai Bugis setelah kedatangan Portugis ke kepulauan Sulu. Kekecewaan Portugis untuk mengekalkan hubungan dagangnya dengan Sulu terubat dengan penguasaannya terhadap Sulawesi sehingga ke Pulau Flores untuk mendapatkan rempah sebelum Belanda. Perjanjian sempadan perdagangan antara Spanyol dan Belanda antara abad ke-16 ke-17 akhirnya telah memisahkan hubungan langsung Sulug dan Baklaya (Bugis). Laut Sulu yang luas itu akhirnya juga turut dibahagi dan dijenamakan dengan "Celebes Sea" yang bermaksud Sulu-East Sea yang kemudian berubah sebutannya menjadi "Suluwesi".

Akhirnya pulau Baklaya juga turut dinamakan sebagai Pulau Suluwesi. Setelah tamatnya zaman Kolonial Belanda merdeka ke tangan Indonesia maka kini ditukar namanya menjadi "Sulawesi" yang kebetulan sesuai dengan bahasa Baklaya yang bermaksud Besi Panas, Sula (panas), Wesi (Besi). Secara kebetulan tanah Baklaya sejak zaman Srivijaya dan Majapahit telah menjadi pusat perlombongan besi yang lokasinya berada di atas pergunungan Luwu' di kawasan Makale.

Senjata tradisi kebanggaan Bugis yang dinamakan Badik.


Keris besar yang menjadi senjata tradisi Sulug berabad-abad lamanya yang dipanggil Sundang ini telah didakwa sebagai senjata tradisi Bugis. Setelah diselidik Bugis hanya mendapat senjata ini setelah bergabung dengan Sulug Laut Balangingi' selepas abad ke-17. Muzium Istana Datu Luwu' di Kota Palopo telah membuktikan hanya Parang Badik sahaja dan keris Jawa yang disebut sebagai senjata tradisi Bugis manakala keris besar Sundang tidak tersenarai.

Antara pahlawan Melayu yang paling suka menggunakan Sundang Sulug ialah Mat Kilau. Kehebatan Sundang ialah boleh memutuskan paku yang berdiameter tebal dengan sekali libas tanpa menjejaskan matanya. Mata Sundang yang paling keras ialah yang ditempa bersama besi magnet. Hingga hari ini Sundang masih digunakan oleh Tausug di kepulauan Sulu sebagai alternatif kepada senapang M-16. Sebilah Keris Sundang magnet boleh mencecah harga RM8,000 hingga RM17,000.


KEMUNCULAN BALANGINGI' & IRANUN BERSAMA BUGIS

Antara Buranun dan Orang Laut keduanya mempunyai gaya bahasa dan intonasi yang sangat jauh berbeza walau pun saling pinjam meminjam istilah. Bagi Buranun, Orang Laut adalah bangsa yang tidak mempunyai adat dan budaya yang hanya sesuai dijadikan suruhan dan hamba. Buranun tidak menyedari bahawa Orang Laut tanpa Buranun akan mengalami kepincangan dalam menjalankan kehidupan harian mereka. Sebab itu mengapa munculnya Sulug Taguimaha yang pada awalnya tinggal bertani di kaki-kaki gunung sebagai Buranun yang akhirnya turun ke pantai menjalankan usaha sama, perdagangan dan kehidupan harian bersama Orang Laut. Mungkin kerana hasil tani yang kurang menjadi maka Buranun turun ke pasar-pasar menjadi peniaga dan berhubung secara langsung dengan Orang Laut.

Usaha sama Taguimaha dengan Orang Laut akhirnya menghasilkan satu suku Sulug Laut yang amat ganas dan kejam yang para ahli sejarah barat kenali sebagai Balanguingui People (Orang Balangingi'). Balangingi' akhirnya menjadi terkenal sebagai penguasa laut yang baru menggantikan Taguimaha atau Lucoes (Lugus) yang pernah terkenal pada abad 13 hingga abad 15 di seluruh Asia Tenggara. Nama Balangingi' kemungkinan diambil dari kata Sulug "Bala' pamanga tau Mangi'" (Bala mangingi') bermaksud bala kepada orang-orang jahat. Suku Sulug Laut Balangingi' ini menutur bahasa Laut (Bajau) yang dipanggil sebagai bahasa Samal Balangingi'. Perbezaan bahasa Balangingi' dengan bahasa Samal Pala'o (Parahu @ Bajau Laut) ialah pada intonasi sahaja sedangkan akar bahasanya 98% sama. Intonasi dan gaya bahasa Samal Pala'o (Bajau Laut) sebenarnya menggunakan intonasi Baklaya atau Bugis yang juga sama intonasinya dengan pertuturan Orang Papua @ Nuu Waar.

Beberapa abad lamanya antara abad ke-16 hingga 18, Samal Balangingi' menjadi penguasa laut di seluruh Asia Tenggara yang secara dasarnya tunduk kepada kekuasaan Kesultanan Sulu. Pencatat sejarah seperti Dylrample dan dinukil oleh Saleeby dan Majul menyatakan bahawa telah menjadi tradisi Balangingi' yang menjadi penguasa laut yang merompak dan menjahanamkan penempatan-penempatan pribumi Visaya Filipina Spanyol, menangkap mereka lalu dijual ke merata tempat sebagai hamba dan mereka terlepas dari penguasaan para Datu dan Kesultanan Sulu. Walau bagaimana pun Balangingi' telah diakui sebagai tentera bebas (militia) Kesultanan Sulu yang ditugaskan menjaga Laut Sulu, Laut China Selatan dan Selat Melaka agar bangsa Eropah yang menggunakan laut tersebut tetap membayar cukai kepada Kesultanan Sulu.

Balangingi' telah mengetuai banyak ekspedisi rompakan dan menjual manusia terhadap penempatan Visaya Spanyol yang sebenarnya sudah lama berkolaborasi dengan suku Dayak Laut Tidung dari Kalimantan Timur. Tidung mula menjulang namanya sebagai pahlawan Kalimantan Timur setelah menyertai ekspedisi rompakan Balangingi'. Kehebatan Balangingi' telah menjadi buah mulut sehingga menjadi tarikan kepada suku dayak laut IRANUN di Pulau Mindanao untuk menyertai militia tentera Laut Sulu. Kemasukan Iranun menyertai tentera Laut Sulu yang dikepalai oleh Balangingi' ini ialah pada awal abad ke-17 bermula ketika Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu bin Sultan Hassan yang menjadi Sultan Sulu ketika itu mengahwinkan anaknya dengan Sultan Qudarat yang menjadi Sultan Maguindanao.

Pada abad yang sama kebetulan pula berlaku peperangan antara Sultan Hassanuddin dari Makassar melawan Arung Palakka dari Bone yang dibantu Belanda sehingga memusnahkan kota pertahanan Makassar. Kekalahan Makassar menjadikan sebahagian mereka pelarian bersama Bugis Luwu' dan terpaksa menyertai kapal-kapal laut Balangingi' dan Iranun menuju Keupulauan Riau-Johor manakala sebilangannya menuju ke Kalimantan Timur dan kepulauan Sulu. Kehebatan Raja Bone bernama Arung Palakka tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kerajaan Bugis kerana bergabung dengan tentera Belanda. Malah kerajaan Minangkabau dimana terletaknya kota purba Sulug di Sumatera turut juga dimusnahkan oleh Arung Palakka atas permintaan Belanda pada 1666 M. Kemungkinan inilah yang menjadi sebab selepas beberapa puluh tahun keturunan Raja Minangkabau lari belayar ke Tanah Melayu dan menubuhkan kerajaan Negeri Sembilan pada 1770-an oleh Raja Malewar.

Kehebatan Arung Palakka bersama Belanda menguasai perairan kepulauan rempah menjadikan sebahagian musuh-musuh Arung Palakka dari Bugis Makassar dan Bugis Luwu' menjadi perompak laut bersama Balangingi' dan Iranun. Antara abad ke-17 hingga ke-18 Belanda terpaksa menghantar delegasi ke Jolo, Sulu meminta kepada Sultan Sulu menghalang Balangingi' dari merompak dan menangkap orang di wilayah perdagangannya. Kawasan perdagangan Inggeris di Tanah Melayu juga turut terjejas kerana Balangingi' dan Iranun (orang Melayu memanggilnya Ilanun @ Lanun) meronda kawasan Laut China Selatan sehingga menangkap orang-orang Kelantan sesuka hati lalu dijual ke Jolo dan Makassar. Spanyol di Manila adalah mangsa yang paling teruk terjejas sehingga kehidupan masyarakat Visaya Kristian di Filipina diselubungi mimpi ngeri setiap hari.


BALANGINGI' DARI BAJO' LAUT MENJADI BAJAK LAUT

Hari ini orang Melayu di Malaysia menggelar perompak laut dengan gelaran LANUN berdasarkan kenangan buruk mereka dengan Suku Dayak Laut Iranun dari Mindanao yang menyertai ekspedisi rompakan dan menjual orang bersama Balangingi' di sekitar perairan Tanah Melayu beberapa abad yang lalu. Tanpa disedari seorang pahlawan Iranun hari ini telah menjadi ketua speaker Dewan Parlimen Malaysia iaitu Tan Sri Datuk Sri Utama Pandikar Amin Mulia. Keberanian dan tawakal yang dimiliki Tan Sri Pandikar Amin sesuai dengan namanya sebagai PENDEKAR. Manakala di Indonesia pula perompak laut digelar BAJAK LAUT. Dari manakah asal penggelaran bajak laut ini oleh orang-orang Indonesia?

Orang Bugis menggelar Balangingi' dengan Bajo' Laut yang bermaksud Bajau Laut kerana secara tradisi Balangingi' bukan sahaja menutur bahasa Bajau malah menjadi penguasa kepada orang-orang Laut dan sebahagian orang-orang darat. Terkenalnya Bajo' Laut pada lidah Bugis akhirnya berubah bunyi sebutannya kepada Baja' Laut (dalam bahasa Indonesia ditulis BAJAK LAUT) bermaksud perompak laut. Tanpa disedari oleh Indonesia dan Malaysia malah orang-orang Sulug sendiri Balangingi' sebenarnya adalah penutur bahasa Sulug yang fasih dan menyebut diri mereka sebagai bangsa Sulug @ Suluk @ Solok atau TAUSUG. Ini kerana seperti yang kami jelaskan di atas, hilangnya Taguimaha dan Lucoes sebenarnya diganti oleh Balangingi' yang pada awalnya adalah Buranun. Inilah jawapan kepada persoalan "Dimanakah menghilangnya Taguimaha dan Lucoes yang hebat itu?"

Bajau Laut Semporna, Sabah hari ini.


KEAGUNGAN BUGIS TEMPAT KELUARNYA ORANG LAUT

Sebahagian pengkaji sejarah yang mendalami asal-usul Bangsa Bugis telah mendapati bahawa kewujudan Bugis sangat bergantung dengan Orang Laut. Tanpa Orang Laut bangsa Bugis tidak akan mencapai kegemilangannya seperti yang dikenali hari ini. Di dalam artikel kami yang lepas "Kepulauan Sulu Sebelum Muncul Nama Philippines" telah mengemukakan teori Sulug Purba (bangsa yang badannya dipenuhi tatu dan kepalanya memakai hiasan bulu burung) dari kepulauan Sulu (Mindanao-Borneo-Jolo) dari keturunan Japhet @ Yafit cicit Nabi Nuh a.s. beribu ribu tahun yang lalu telah menjalankan perluasan kuasa sehingga ke Pulau Papua. Mereka menangkap bangsa Papua @ Nuu Waar yang berkulit hitam dijadikan suruhan mendayung kapal dan penyelam serta nelayan mereka. Pusat transit Sulug Purba ketika itu ialah bermula dari Sulawesi Utara (Manado) sehingga ke Timur Leste dan Pulau Jawa.

Sulug Buranun dari kepulauan Sulu dengan khidmat Orang Papua @ Nuu Waar yang berkulit hitam telah sampai ke Laut Meditranian dan Benua Amerika. Sulug Buranun telah sampai ke Sungai Gangga India, Sungai Euphrates dan Tigris di Timur Tengah dan Laut Merah sehingga kemudiannya belayar mengelilingi Afrika dan masuk ke Laut Meditranian. Di sepanjang laluan mereka, bangsa Sulug bertatu (tatu dalam bahasa Eropah disebut Pict @ Pint @ Punt) telah meninggalkan orang-orang kulit hitam Papua @ Nuu Waar bersama sebahagian mereka sehingga membentuk bangsa-bangsa manusia dan pelbagai bahasa sehingga ke hari ini.

Asimilasi bangsa Sulug bertatu (seperti mana bangsa Dayak yang kita kenali hari ini) dengan bangsa Papua di sekitar antara Ternate-Ambon sehingga ke Sulawesi hari ini telah menghasilkan satu ras bangsa Laut yang pekerjaan mereka menyumbang tenaga buruh kepada pelayar-pelayar. Asal-usul bahasa Melayu Purba dan bahasa Bajau Purba juga mula terbentuk dari sini kerana dijadikan sebagai pusat perlombongan besi yang dieksport ke Kerajaan Punan sehingga China dan India. Sekiranya kita padankan bahasa secara phonology bangsa Jawa juga kemungkinan besar bermula di sini kerana tanah Jawa menjadi tempat persinggahan strategik antara India dan Sulawesi. Malah kemungkinan besar isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s. juga berasal dari sini disebabkan ajaran leluhur Bugis ialah Hindu Monotheisme sebagaimana fahaman Hindu di Bali.

Tugu tangan sedang memegang parang Bugis atau Badik manakala di bawahnya tertulis Toddo' Puli' Temmalara' (Bilak dipacak tidak akan berganjak lagi) dalam bahasa Bugis loghat Luwu' atau Palopo. Kalau dialih bahasakan ke bahasa Sulug ialah Hikausuk di' na mahublut. Tetapi sekiranya ditafsir secara kata perkata dalam bahasa Sulug ialah Kuddu' di'mauli' di'malarak. Kuddu' dalam bahasa Sulug bermaksud "dicucuk", Di'mauli' bermaksud "tidak pulih @ kembali", Di'malarak bermaksud "tidak akan roboh".

Ajaran Hindu Monotheisme juga turut dianut oleh Sulug di Kalimantan Timur (Kerajaan Hindu Kutai) sehingga ke Kepulauan Sulu kerana kebiasaan mereka yang tidak membuat patung Dewa-Dewi (para malaikat) yang kemudian mereka sembah sebagaimana kesesatan Hindu di India. Bangsa Bugis terbahagi bahasanya kepada dua iaitu bahasa Sulug seperti yang ditutur oleh Tausug di Kepulauan Sulu dan bahasa Pala'o (Parahu). Bugis Luwu' menutur mirip bahasa Buranun dan bahasa Bugis Wajo' sehingga ke Bone bercampur dengan bahasa Pala'o manakala Toraja yang tinggal di atas gunung bahasanya sama dengan Bugis Luwu'.

Sekiranya para pengkaji membuat kajian tentang bahasa Bugis adalah satu kemestian memulakannya di negeri Luwu' @ LUWUK yang lokasinya antara Kota Palopo dengan Daerah Wajo'. Kerana disinilah bermulanya bapa sejarah Bugis yang terkenal iaitu Sawerigading dan dari sini juga terhasilnya catatan awal Bugis yang terpanjang di dunia yang dikenali sebagai "I La Galigo". Bahasa Luwuk secara phonology lebih mirip dengan bahasa Sulug yang bercampur dengan bahasa Bajau. Sebagai contoh paparan di bawah ini (BM Bahasa Melayu, BS Bahasa Sulug, BB Bahasa Bugis, BL Bahasa Laut),


    BM: Bangsa kita, BS: Bangsa ta, BB: Bangsa ta, BL: Bangsa ta,
    BM: Bangsanya, BS: Bangsa niya, BB: Bangsa na, BL: Bangsa na,
    BM: Orang, BS: Tau, BB: Tau, BL: A'a,
    BM: Hari, BS: Adlaw, BB: Allau, BL: Allau,
    BM: Makan, BS: Kumaun, BB: Kumande, BL: Mangan,
    BM: Kopak, BS: Tibi' @ Tubi', BB: Tubi', BL: Tibi',
    BM: Tabik, BS: Tabiya', BB: Tabi', BL: Tabiya',
    BM: Satu, BS: Esa, BB: Me'sa, BL: Dakayu' @ Dakaw',
    BM: Mati, BS: Matay, BB: Matey, BL: Matey,
    BM: Benua (Tanah besar), BS: Banua (Tanah perkampungan), BB: Banua (Rumah), BL: Banua,
    BM: Teluk, BS: Lu'uk, BB: Teluk @ Luwuk, BL: Lu'uk @ Luwuk,
    BM: Dulu, BS: Una @ Tagna', BB: Jolo, BL: Dahu, (Kemungkinan besar nama Jolo iaitu Pulau Jolo di Sulu mendapat nama dari lidah Bugis @ Baklaya yang bermaksud "negeri tempat pendahulu").
    BM: Ayam, BS: Manuk, BB: Manuk, BL: Manuk,
    BM: Tuan, BS: Tuan, BB: Arung @ Daeng, BL: Arung,
    BM: Orang Tua, BS: Tau Ma'as, BB: Matoa (pemimpin), BL: Matto'a,

ASAL-USUL BERMULANYA BANGSA LUWA'AN BANI ISRAEL

Satu tradisi lisan yang masih tersimpan rapi dalam masyarakat Sulug Buranun hingga hari ini ialah permulaan sejarah Orang Laut yang dikatakan terjadi disebabkan sumpahan Nabi Daud a.s. kapada satu bangsa nelayan yang menduduki tepi pantai Jerusalem. Mereka diarahkan oleh Nabi Daud a.s. agar tidak menangkap pada hari Jumaat dengan memperuntukkan hari tersebut untuk sembahyang kepada Allah swt. Tetapi ketika tibanya hari Jumaat sedang sembahyang berlangsung ikan-ikan pun keluar di gigi air dengan banyaknya menyebabkan para nelayan melompat meninggalkan tempat sembahyang menuju ke perahu mereka lalu menangkap ikan. Maka Nabi Daud a.s. pun menukar hari cuti untuk ibadat dari Jumaat ke hari Sabtu pula. Malangnya pada hari Sabtu ikan pun keluar dengan banyaknya menyebabkan nelayan sekali lagi melompat meninggalkan rumah ibadat pada hari Sabtu tersebut lalu menangkap ikan.

Bila diketahui oleh Daud a.s. maka baginda pun naik murka lalu menyumpah para nelayan tersebut menjadi beruk atau monyet kerana lebih mengutamakan dunia berbanding suruhan Allah Azza Wajallah. Menurut tradisi lisan Sulug Buranun, nelayan yang sempat sampai ke darat menjadi beruk manakala yang terus tinggal di laut mereka digelar "Luwa'an" yang bermaksud "Yang diluahkan oleh Tuhan". Dalam bahasa Hebrew @ Ibrani LUWA' bermaksud dimuntah atau diluahkan sama dengan bahasa Sulug dan Malayu hari ini. Umum mengetahui kerajaan Daud a.s. berada di Jerusalem di Laut Meditranian bukannya di Nusantara atau Asia Tenggara.

Satu teori yang mungkin boleh menyelesaikan teka-teki nama LUWA'AN ini ialah seperti yang terdapat dalam sejarah Luwuk di Sulawesi. Kalau anda bertanya kepada Orang Bugis apa maksud Luwu' @ Luwuk mereka hanya mengatakan "Luwu' itu adalah satu nama daerah tempat sejarah awalnya Bugis dari Sawerigading". Manakala yang lebih mengkaji sejarah Bugis akan mengatakan bahawa Luwuk berasal dari kata Lawu' (Laut) sebagai mana yang dinyatakan oleh ketua Pusat Sejarah Datu Luwu' di Istana Datu, Kota Palopo. Sebenarnya sekiranya kita perhati lokasi sebenar Negeri Luwuk di Sulawesi kita akan dapati ianya berada di hujung kawasan teluk. Dalam bahasa Sulug teluk disebut "LU'UK" yang kami rasa Bahasa Bugis telah kehilangan perkataan ini dalam kamus bahasa mereka.

Kemasukan Bahasa Melayu (Bahasa Indonesia) telah menggantikan "Lu'uk" atau Luwuk dalam bahasa asal Bugis menjadi TELUK sahaja. Luwuk sebenarnya bermaksud Teluk sebagaimana sebutan Sulug ini kerana bahasa Sulug adalah sebahagian dari bahasa Bugis. Dari sini kita akan dapat bayangan bahawa Luwa'an itu sebenarnya adalah Luwu'an yang bermaksud Orang Laut yang berasal dari Luwu' @ Luwuk di Sulawesi Selatan. Sebutan Sulug "Lu'uk" tidak memungkinkan nama Luwa'an itu datang dari lidah Sulug tetapi sebenarnya datang dari lidah Baklaya @ Bugis. Jelasnya, bangsa laut Luwa'an yang dimaksudkan dalam tradisi lisan Sulug itu datang dari Laut Meditranian hanyalah kembali ke Sulawesi sebagai tempat asal mereka yang sememangnya dikenali sebagai bangsa laut Luwu'an. Maka teori kami yang menyatakan bahawa bangsa Laut Phoenicia berasal dari kawasan sekitar kepulauan Sulu adalah benar.

Luwu'an atau Luwa'an sebenarnya telah pun lama wujud sebelum Daud a.s. lagi. Sumpahan Daud a.s. kepada Orang Laut hanya menambahkan lagi keyakinan bahawa Orang Laut tetap Orang Laut selagi mereka tidak berasimilasi dengan bangsa darat lain mereka adalah bangsa yang sukar diislamkan. Ternyata Orang Laut atau Bajau telah berjaya membina kerajaan mereka sendiri dengan pimpinan ketua-ketua mereka yang telah berjaya diislamkan. Mereka mendapat nama baru mereka sebagai Bugis pada abad ke-17 dan menemui kekuatan mereka membina empayar Bugis dalam era penjajahan Belanda. Kewujudan nama-nama seperti Arung Palakka atau para Arung Matoa, para Daeng atau Karaeng, Opuh lebih kepada panggilan ketua-ketua Orang Laut Luwu'an di Sulawesi.

Sangkir serampang dua mata kerajaan Luwuk.
Bumbung rumah Bugis Luwuk yang berlambang serampang dua mata.

Terbukti hingg hari ini Bugis menjadikan lambang Sangir @ Sangkir @ Sangkil yang berserampang dua sebagai identiti Bugis. Hinggakan lambang serampang dua mata mereka jadikan sebagai hiasan bumbung rumah-rumah mereka. Serampang dua mata adalah senjata menangkap ikan Orang Laut Luwu'an di kepulauan Sulu yang kalau bermata satu mereka namakan Sangir atau Sangkil. Intonasi bahasa Orang Laut Luwu'an di kepulauan Sulu juga sama dengan intonasi bahasa Bugis menunjukkan lokasi sebenar tempat asal-usul mereka di Sulawesi. Kepulauan Sulu hanyalah menjadi negara kedua mereka disebabkan kekayaan dan kekuasaan empayar Sulug di masa lalu sebagai penyelam mutiara yang dapat dikongsi. Kekuasaan Sulug yang menjadikan Makassar sebagai sahabat perdagangan hamba abdi menjadikan sebahagian Orang Laut tersiksa. Sehingga membawa kepada kerjasama Arung Palakka dengan Belanda memusnahkan Makassar.



Sumber : Kesultanan Sulu