Monday, 30 April 2018

Sejarah Awal Suku Kaum Buludupi dan Kisah Gua Gomantong

Sejarah Awal Suku Kaum Buludupi  
Kisah Gua Gomantong 

SUKU KAUM BULUDUPI adalah suku kaum yang banyak dikaji dan direkodkan oleh Pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB). Ini adalah disebabkan kepentingan Gua Gomantong sebagai kawasan sarang burung yang bernilai $25,000 setahun dan kawasan ini di bawah pengaruh suku kaum Buludupi. Selain dari itu ada sebuah kisah Perang Sabil di antara kaum Buludupi dengan pihak penjajah Barat. 

Pada awal zaman SBBUB, Suku Buludupi merupakan suku kaum yang dominan di kawasan Sungai Kinabatangan dari Sugut dan Paitan di sebelah Utara ke Tabunak sebelah Selatan. Di dalam catatan diari W B Pryer " In time long past, the Booloodoopy tribe had its headquarters somewhere amongst these waters, choosing this strange locality so as not to be easily found by the fierce pirates constantly haunting the coast".

Suku kaum yang selalu bersama Suku Kaum Buludupi adalah Suku Dumpas di Utara dan Suku Idaan di selatan. Sejak 120 tahun yang lalu Suku Idaan dari Lahad Datu ramai bergaul dengan Suku Buludupi sehingga bahasa mereka seakan sama dengan bahasa Suku Buludupi. Suku Buludupi juga menjadi salah satu cabang suku Idaan. 

Suku kaum Buludupi dan Suku Sungai Segama ramai yang memeluk agama Islam dan mereka dikategorikan sebagai suku kaum yang boleh bercakap bahasa Dusunik dan Paitanik. Ada di kalangan Suku kaum Buludupi mengatakan yang mereka berasal dari Brunei dan ada yang mengatakan mereka dari Nunuk Ragang. 

Ada pula yang mengatakan yang mereka adalah suku kaum Sungai Segama yang berpindah Ke Sungai Malangking berasal dari susur galur seorang wanita yang bernama Duli Riok Apoi sekitar 11 Generasi yang lampau. 

Menurut Pengiran Hj Batchi Butet dari Bilit... Ada sebuah kisah legenda yang ada menceritakan satu pasangan Suami isteri yang tinggal di tepi Sungai Malangking. Mereka sedang membersihkan sebuah kawasan di tebing bukit untuk menanam padi dan mempunyai seorang bayi perempuan berkulit cerah yang bernama Riok Mas. 

Pada suatu hari pasangan tadi keluar sebentar dan meninggalkan bayi mereka bernama Riok Mas di rumah. Apabila pasangan itu balik ke rumah bayi mereka Riok Mas telah hilang. Mereka terus keluar dari rumah dan mencari bayi tersebut ke sana ke sini sehinggalah mereka sampai ke kawasan hutan yang mereka baru bersihkan. 

Di kawasan tersebut mereka berjumpa sebatang pokok "Upi" dan di sebelah pokok tersebut ada seorang bayi yang menangis di mana raut rupanya hampir sama dengan Riok Mas cuma kaki dan tangan bayi ni banyak bulu. 

Tiba tiba kedengaran satu suara yg berkata .. "Saya adalah semangat dari pokok upi dan anak kamu sudah saya ambil dan saya tukar kan kepada anak saya Riok Apoi". Ibu Riok Mas merayu untuk mendapatkan anaknya kembali tetapi gagal. Maka pasangan tersebut akur dan menerima Riok Apoi sebagai anak mereka dan memelihara Riok Apoi dengan penuh kasih sayang sehingga dewasa dan berumah tangga. 

Susur Galur dan keturunan Riok Apoi dikenali sebagai suku kaum Buludupi sempena nama "Bulud" bererti "Bukit"dan "Upi" dari nama "Pokok Upi" tadi. Suku Buludupi mendiami dari kawasan segaliud hingga ke Kinabatangan dan Sungai Segama . Suku Buludupi dapat dibezakan sedikit dari suku Idaan dari bulu di tangan dan kakinya ada tebal sedikit berbanding dengan suku Idaan yang lain. Pokok Upi tadi bergolek jatuh ke Sungai Malangking dan menjadi batu. 

Riok Apoi melahirkan Adok Bibi mempunyai anak bernama Panglima Asan dan mempunyai anak bernama Musa mempunyai anak bernama Hashim mempunyai anak bernama Imam Abdul Rahman. Satu lagi keluarga suku kaum Buludupi yg terkenal adalah susur galur Oyad yang melahirkan anak bernama Mariva dan mempunyai anak bernama Imam Yusof yang mempunyai anak bernama Panglima Kadir. 

GUA GOMANTONG 

Apabila pahlawan Suku Sagaii dari Kalimantan menyerang Kinabatangan, cucu Duli Riok Apoi yg bernama Panglima Asan memimpin para pengikutnya ke Bulud Dain atau Bukit Garam untuk menjadi tempat perlindungan. Tiang belian rumah mereka masih boleh kelihatan di bukit tersebut. Erti, Kepentingan dan asal usul pengunaan tiang kayu belian tidak dapat diketahui oleh Suku Sukang di Butong, tetapi apabila mereka terjumpa kawasan bekas tiang rumah tadi maka mereka memasukan elemen legenda buaya dan kaitannya dengan suku kaum Sabangan. 

Panglima Asan dan pengikutnya kembali ke kampung mereka dekat Batangan selepas Suku Sagaii balik ke tempat asal mereka. Pada suatu hari Panglima Asan terjumpa seorang ahli Suku Sukang dari kawasan Koromuok yang sedang lapar dan hampir mati bernama Batulong di tepi Sungai Kinabatangan di Batangan. Batulong baru saja terjumpa Sungai Kinabatangan selepas meninggalkan Gua Gomantong. Panglima Asan membawa balik Batulong ke rumah dan merawatnya hingga sembuh. Sebagai tanda penghargaan, Batulong memberitahu Panglima Asan tentang Pasuk Rok atau Simud Hitam sebab itu saja gua yg dia pernah nampak dan waktu tu penuh dengan sarang burung yg boleh di makan. 

Panglima Asan merasa sungguh gembira serta meraikan hadiah dan maklumat dari Batulong itu selama 5 hari 5 malam bersama pengikut pengikutnya. Secara kebetulan Pengiran Sandukung dari Kampung Melapi dengan adik beradiknya bernama Kasiruddin, Kaid (Paid) dan Padkon melintasi Kampung Panglima Asan. 

Mereka mengayuh ketepi Sungai dan bertanyakan kepada orang Kampung tentang apa yang mereka raikan dan mereka diberi tahu tentang hadiah gua sarang burung oleh Batulong. 

Empat orang adik beradik Pengiran Sandukung tidak tahu lokasi gua tersebut lalu mereka meminta pertolongan makcik mereka yang terkenal dengan kuasa mistik untuk mengesan lokasi gua tersebut dengan syarat mereka hanya boleh mengambil 7 keping sarang burung saja kalau lebih maka mereka akan menghadapi malapetaka di belakang hari. Makcik Pengiran Sandukung memberi tahu bahawa mereka perlu mengayuh perahu ke hilir Sungai Melapi yang air sungainya berwarna hitam sehingga mereka bertemu air sungai yang berwarna putih. 

Pengiran Sandukung kemudian mengayuh perahu mereka dari Menanggul sehingga ke kawasan Gua Gomantong dimana mereka berjumpa bukan saja Gua Simud Hitam tapi terjumpa Gua Simud Putih. Pengiran Sandukung dan adik adiknya mengambil semua sarang burung tersebut serta melanggar pesan makcik nya tadi, selepas itu mereka menutup mulut Gua Simud Hitam dengan batu besar. 

Pengiran Sandukung seterusnya memberi tahu Panglima Asan bahawa mereka adalah orang yg pertama menjumpai gua Gomantong dan apabila di cabar oleh Panglima Asan mencari gua tersebut Panglima Asan gagal mencari mulut Gua Simud hitam yang telah ditutup oleh adik adik Pengiran Sandukung.

Maka dari hari itu Pengiran Sandukung menjadi orang yang pertama mengusahakan pengambilan sarang burung dari Gua Gomantong. Pengiran Sandukung turut memohon kebenaran dan restu mengambil sarang burung dari Sultan Sulu sekitar tahun 1790 dan tidak lama kemudian mereka mendapat kebenaran Sultan Sulu. Pada tahun 1791 sultan Sulu menghantar anaknya sendiri mentadbir Daerah tersebut sebab perniagaan sarang burung sungguh menguntungkan. Pengiran Sandukung dan adik beradiknya bernama Kasiruddin, Paid dan Padkon merupakan orang yang pertama menguasai hasil dari Gua Gomantong.

Pakcik mereka bernama Meninggi Suli merasakan sesuatu yang buruk bakal menimpa kepada kaum mereka disebabkan pengambilan sarang burung Gua Gomantong maka beliau merancang membunuh Pengiran Sandukung dan adik beradiknya yang lain cuma biar kan Padkon dari dibunuh sebab beliau adalah adik bungsu. Sultan Sulu diberi tahu bahawa jika Sandukung, Kasiruddin dan Paid dibunuh maka ada orang yang akan memberitahu satu lagi lokasi sarang burung yang lebih besar dari Gua Simud Hitam dan Simud Putih bernama Galiwan Gaya di Butong. Begitulah akhirnya pakcik mereka bernama Meninggi Suli mempengaruhi Sultan Sulu agar meracun sehingga mati Pengiran Sandukung dan adik beradiknya yang lain.

Menurut satu legenda memang terdapat sebuah gua yang Orang Sukang panggil Gomantong di Butong sebelah Batu Putih. Gomantong adalah bukit batu kapur yang sama suku Kaum Buludupi namakan Galiwan Gaya. 

Sinsila Mato mengkebumikan adiknya Apat Mato hidup hidup di Gua Gomantong. Kampung Bilit mula didiami sekitar tahun 1790an selepas penemuan Gua Gomantong. 

CERITA LEGENDA LAIN TENTANG PENEMUAN GUA GOMANTONG

Dalam satu legenda yang lain pula Datu Bandar Betau ketua Suku Buludupi Segaliud adalah orang yang pertama menjumpai gua Gomantong di awal abad ke 18. Beliau merupakan atuk Pengiran Temenggong dari Tenegang. Datu Bandar memberi tahu Sandukung tentang Gua Gomantong sambil meminta bantuannya untuk mengambil sarang burung. Sandukung berlaku tidak adil dan berlaku pergaduhan. Datu Bandar pindah ke Sungai Kinabatangan selepas mereka diserang oleh tentera Sulu dan tentera Marudu sewaktu mereka tinggal di Sungai Sapagaya. Untuk mengelakkan serangan dari sultan Sulu maka Sandukung terpaksa memberikan hasil Gua Bubung Bulud kepada Sultan Sulu. 

Sultan Sulu mengeluarkan arahan agar tiada siapa boleh menyerang Gua Gomantong. Semasa lawatan adik perempuan Sultan Sulu dan anaknya Gua Derham diberikan kepada puteri dan Gua Kuris diberikan kepada anaknya. Satu lagi cerita mengatakan bahawa Rumayau adalah orang yang pertama menjumpai Gua Gomantong dan Pengiran Digadong Samah menyelamatkan nyawa Rumayau apabila beliau menjumpainya di tebing Sungai Menanggul. 

Rumayau sebenarnya adalah pengikut Pengiran Digadong Samah dan mati syahid bersama Pengiran Digadong Samah semasa Perang Sabil pada 12hb Februari 1884. 

Kejadian Perang Sabil berlaku hampir seratus tahun selepas penemuan Gua Gomantong. Maka jika dirujuk dari penemuan Gua Gomantong dan salahsilah Panglima Asan dari Duli Riok Apoi maka Suku Buludupi bermula sejak 300 tahun yang lalu. 

PENGIRAN DIGADONG SAMAH DAN PERANG SABIL 

Padkon merupakan seorang saja yang terselamat dari pembunuhan Pengiran Sandukung dan adik beradik yang lain. Menurut cerita Tuan Asim Polong yang berasal dari Koromuok, Pengiran Digadong Padkon adalah ayah kepada Pengiran Setia Bubut. Pengiran Setia Bubut mempunyai seorang anak bernama Pengiran Digadong Samah. Pengiran Setia Bubut dikebumikan di Sinangkul dekat Tamoi. 4 tiang belian dengan Lebar 8 kaki dan ketinggian 20 kaki menandakan kuburan Pengiran Setia Bubut yg juga dikatakan berlidah hitam. 

Pengiran Digadong Samah adalah orang tempatan yang pertama menentang pihak penjajah demi memperjuangkan hak turun temurunnya. Tetapi dalam pandangan SBBUB beliau adalah hanya seorang yang suka membuat kacau dan digelar sebagai pemberontak. Bagi pihak SBBUB pula mereka mahu menguasai gua sarang Burung Gomantong untuk membiayai Kos pentadbiran SBBUB di Borneo Utara. Pengiran Digadong Samah adalah seorang tokoh legenda tempatan yang berani dan menolak sebarang jenis cukai yang dikenakan kepada rakyat termasuk cukai kepala. Beliau berkata "Kepala saya milik saya seorang"

Pihak SBBUB meminta 1 sarang burung untuk setiap 10 sarang burung yang dikutip dari gua Gomantong. Pengiran Digadong Samah memutuskan bahawa telah tiba masanya untuk menentang SBBUB dan mengisytiharkan Perang Sabil atau jihad dalam mempertahankan agamanya dari ditindas oleh penjajah Barat. 

Pada awal pagi semua pengikut setia Pengiran Digadong Samah bersumpah untuk berperang sehingga titik darah yang terakhir. Sumpah ini dibuat dihadapan seorang Imam dan dianggap sebuah ritual yang panas. Upacara tersebut tidak boleh di buat di rumah kerana sesuatu bencana akan berlaku kepada tuan rumah. Sebatang pokok Binuvang diletakan di sungai dan semua pahlawan duduk berhadapan dengan Imam. Semua saudara mara dan sahabat Pengiran Digadong Samah bersumpah tidak akan lari serta berjuang sehingga akhirnya. 

Rumayau seorang pengikut setia Pengiran Digadong Samah berkata "kalau ditakdirkan tuan gugur sebelah kanan maka saya akan gugur di sebelah kiri di samping tuan". Sebelum upacara sumpah ini selesai tiba tiba Polis datang dan terus menembak ke arah pejuang pejuang Pengiran Digadong Samah. Ada beberapa orang pahlawan dan Imam sempat berenang ke tebing Sungai dan bersembunyi di hutan dan kedalam rumah Pengiran Digadong Samah. 

Apabila pihak polis sampai, Pengiran Kahar sempat menyelamatkan isteri dan anak anak Pengiran Digadong Samah di bawa lari sehingga Sungai Segama. 

Pihak Polis berlabuh di seberang Sungai dan bertanya kepada Pengiran Di Gadong Samah kalau beliau mahu menyerah diri atau berperang. Pengiran Digadong Samah berkata beliau mahu berperang, pengikut pengikutnya dilengkapi dengan senjata seperti senapang, keris dan sumpit. Pihak polis bertanya 3 kali kalau mahu menyerah diri dan tiga kali juga Pengiran Digadong Samah menjawab.... "Lawan, lawan lah!"

Dalam peperangan tersebut ramai pejuang terkorban tetapi tiada peluru dapat mencederakan Pengiran Digadong Samah kerana badan beliau kabal atau tidak lut senjata. Apabila ramai saudara maranya gugur terkorban termasuk pengikut setianya Rumayau maka beliau menjadi sedih dan terharu maka beliau membuang azimat yang dipakai di pinggangnya. Pengiran Digadong Samah di tembak di lutut menggunakan peluru emas dan gugur terkorban. Pengikutnya yang lain melarikan diri ke hutan. 

Walaupun ramai orang terkorban pihak SBBUB cuma melaporkan bahawa hanya Ripon Rumayau dan Pengiran Digadong Samah saja yg terkorban. Pihak polis ingin membawa mayat Pengiran Digadong Samah untuk di buat autopsi agar mengetahui kenapa beliau agak susah dibunuh tetapi atas rayuan masyarakat beragama islam maka jenazah beliau dilepaskan untuk upacara pengkebumian di Melapi.

Selepas Perang Sabil tersebut SBBUB menyerahkan pengurusan Gua Gomantong kepada seorang yg bernama Tabarun. Pemungut sarang burung akan melalui 3 Kampung sebelum sampai ke Gua Gomantong iaitu Kampung Bilit, Melapi dan Sukau dimana setiap Kampung mendapat bahagian yang sama rata dan pihak SBBUB mendapat 20% dari hasil tuaian sarang burung. Anak anak Pengiran Digadong Samah dibayar wang saraan sebanyak $1.03 setiap kali musim tuaian sarang burung.

Pada suatu hari Guriga cucu Pengiran Digadong Samah melaporkan kepada pihak SBBUB bahawa pengurusan Gua Gomantong sepatutnya diberikan kepada beliau atas sebab gua gumantong milik atoknya Pengiran Digadong Samah. Pihak SBBUB setuju atas tawaran 50 % hasil diberikan kepada pihak SBBUB. Tabarun cuma tinggal beberapa buah gua kecil yg dijaganya dan hasil tuaian sarang burung tidak cukup dibahagikan kepada 3 Kampung. Orang Kampung Bilit pula mengadu bahawa mereka tidak menerima sebarang hasil dari tuaian sarang burung maka Guriga melepaskan jawatan pengurusan sarang burung Gua Gomantong. Guriga berpindah ke Danau Pitas dan akhirnya menetap di Sungai Madang. Guriga meninggal dunia pada tahun 1938. 

LAPORAN RASMI MENGENAI PERANG SABIL 

Gua Gomantong adalah kawasan utama dalam hasil sarang burung dan cuma satu satunya sumber pendapatan kepada seluruh kawasan Kinabatangan apabila pihak SBBUB menandatangani perjanjian dengan Sultan Sulu pada tahun 1878. 

Pada tahun 1882, Bampfylde telah di hantar ke Gua Gomantong untuk menilai situasi di sana dengan niat mengawal hasil sarang burung dan meningkatkan pendapatan SBBUB. Beliau menganggarkan ada 60 hingga 80 orang Suku Buludupi di Kinabatangan ketika itu.

Pengiran Digadong Samah dari Melapi dengan 5 orang pengikut, Pengiran Temenggong dari Tenegang dengan 10 orang Pengikut, Pengiran Amai dari Sebak dgn 25 orang pengikut, Pengiran Bukog dari Bilit dengan 10 orang pengikut, Pengiran Besar Sompayan dari Sungai Tukan dgn 5 orang pengikut dan orang Kaya Matis Harun dari Kelanap dengan 5 orang pengikut. 

Bampfylde membuat anggaran pengeluaran hasil sarang burung dari 18 gua dan catatan jumlah pengeluaran hasil sarang burung serta pembagian antara pemilik atau pentadbir gua, pemungut sarang burung dan SBBUB. Pada tahun 1881, Pryer mencatatkan bahawa Melapi agak maju dan berkembang pesat sehingga ramai orang tertumpu ke kawasan Melapi.

Dalam tempoh setahun setengah saja Pengiran Digadong Samah boleh mengumpul 60 orang pengikut dari Melapi dan 70 orang pengikut lagi dari kampung berhampiran untuk menentang Polis SBBUB. Pengiran Digadong Samah juga mengumpul pengikut bukan dari Suku Buludupi. 

Gua Gomantong menghasilkan sarang burung berwarna hitam dan Putih. Sarang Burung berwarna hitam bernilai $3.30 sekilo dan sarang Burung berwarna Putih berharga dari $10 hingga $30 sekilo pada masa itu. Hak adat istiadat untuk bekerja di sarang buruk dikuasai oleh keluarga Ambin yang merupakan ahli keluarga dari susur galur yg sama kepada kesemua ketua ketua Suku Buludupi tadi dan hak melantik pemungut sarang burung adalah oleh ketua ketua suku Buludupi dari kalangan keluarga mereka atau orang orang yang diupah oleh mereka.

Pada zaman dulu sebahagian hasil sarang burung Gua Gomantong diberikan kepada Sultan Sulu dan kemudian Pengiran Digadong Samah membahagikan pendapatan tahunan kepada SBBUB sebanyak $4440, Pengiran Digadong Samah sebanyak $4048, Amai $1116, Pengiran Bukag $1118, Orang Kaya Matis Hassan $1118, Temenggung $1118, Beduli $1278, Harun $924, Perewang $250 dan memungut sarang Burung mendapat $10292... Pengiran Digadong Samah juga meminta 1/5 dari semua jumlah diatas sebagai kos pentadbiran.

Pengiran Digadong Samah mendapat hasil yang jauh lebih banyak dari orang lain dan ada yang tidak berpuas hati dan cemburu. Ketua ketua suku kaum Buludupi yang lain mengadu kepada pihak SBBUB bahawa mereka tidak mendapat hasil yang sewajarnya. Maka atas situasi inilah pihak SBBUB mengambil keputusan untuk mengawal hasil pendapatan Gua Gomantong dengan lebih teratur. Pihak SBBUB mencadangkan 10 ketua Kampung dan 50 pekerja saja menuai sarang Burung sebanyak 4 kali setahun. Atas desakan pihak SBBUB maka pada 3hb Februari 1883, Pengiran Digadong Samah, Pengiran Bukag, Dait dan Imam Umbin menandatangani perjanjian pengambilan Gua Gomantong dan berkongsi hasil tuaian sarang burung dengan 2 bahagian kepada SBBUB dan 1 bahagian kepada pemilik yang mempunyai hak turun temurun.

Sebelum SBBUB mengambil alih pentadbiran Gua Gomantong pada bulan Januari 1884, Pengiran Digadong Samah mula berubah hati dan bersama Pengiran Bukag dan Perewang mengugut akan membakar Gua Gomantong. 10 orang polis di hantar ke Gua Gomantong untuk menjaga gua gua tersebut dan seterusnya menghantar 10 orang lagi polis tambahan dari Gaya dan 15 orang polis dari Kudat. Pengiran Digadong Samah dijanjikan pengikut oleh Panglima Bukag 20 orang, Katib Majiua 20 orang, Katib Hassan 10 orang Pengiran Kahar 5 orang dari segama, Orang Kaya machis 10 orang, Tipat anak Pengiran Temenggong dengan 8 orang, Perewang 10 orang, Dait kurang pasti, Laksamana Tobacco 30 orang dari lokan. Cuma anak Pengiran Amai tidak hadir dan tidak memberi sebarang pengikut.

Treacher meninggalkan Sandakan pada 9hb Februari 1884 bersama Ketua Inspektor De Fontaine, Flint dan 31 orang suku kaum sikh dan dayak menggunakan kapal bernama Sabine dan telah sampai ke Melapi jam 12.55 pagi pada 12hb Februari. Rombongan ini mendarat di rumah Datuk Haji dan mencadangkan agar Datuk Haji boleh membantu memujuk Pengiran Digadong Samah agar membantu berjumpa dengan Treacher. Pada jam 2 pagi orang Kaya Matis ditangkap atas dasar membawa pesanan mengumpul puak puak di tebing Sungai untuk membantu Pengiran Digadong Samah......

Pengiran Digadong Samah pula tidak mahu berjumpa dengan Treacher maka Treacher dengan Anggota Polis masuk ke hutan menuju ke belakang rumah Pengiran Digadong Samah. Gong amaran berbunyi dan pengikut pengikut Pengiran mengelilingi Treacher dan Anggota Polis. Pasukan Treacher dan Anggota Polis terpaksa berundur dan memberikan masa 20 minit agar Treacher dan Pengiran Digadong Samah boleh berjumpa. Apabila Pengiran Digadong Samah tidak muncul selepas 20 minit maka Anggota Polis mula bergerak ke hadapan rumah Pengiran dan bermulalah tembak menembak antara Anggota Polis dengan pengikut Pengiran Digadong Samah. 

Pengiran Digadong Samah menggunakan senapang cuba menembak Treacher tetapi tidak kena, pengikut pengikutnya pula menembak dengan senapang dan menggunakan sumpit beracun. Pengiran Digadong Samah berdiri 15 Ela di hadapan rumah dan gugur ditembak polis. Dalam masa 20 minit tembak menembak 2 orang lagi pengikut Pengiran gugur kena Tembakan. Pengikut pengikut Pengiran cuba mengambil mayat Pengiran tetapi gagal. Salah seorang pengikut Pengiran ditembak di kaki dan mengikut tompokan darah sekeliling rumah Pengiran Digadong Samah menunjukkan ramai pengikut pengikutnya yang cedera lari ke hutan. Bagi pihak polis pula seorang sarjan cedera di bahu terkena tembakan dan seorang lance Corporal sikh cedera di kedua pahanya.

Pihak polis melelong rumah Pengiran Digadong Samah dengan harga $100 dan merampas beberapa Tajau dan tempayan yang berharga sambil merampas 7 perahu milik Pengiran Digadong Samah. Pasukan polis kemudiannya pergi ke rumah Pengiran Bukag, Dait dan Isteri serta anak anak Pengiran Digadong Samah di Bilit tetapi mereka semua tiada disitu. Orang Kaya Matis yang dalam tahanan dipaksa menandatangani perjanjian melepaskan hak pengambilan sarang burung. Pada 13hb Februari Anggota Polis bergerak ke Melapi dan diberitahu bahawa Pengiran Kahar telah pindah ke Tenegang dan Dait telah pergi ke Bilit. Apabila Anggota Polis sampai ke Tenegang, Pengiran Kahar telah pindah ke Sungai Segama. 

Di Tenegang Sitipat anak Pengiran Temenggong diberikan jawatan Pengiran Temmenggung oleh Treacher. Pengiran Kahar menjaga isteri dan anak anak Pengiran Digadong Samah. Dait akhir terjumpa di Opititu dan dipaksa menandatangani perjanjian mewakili semua pemilik gua yang lain dimana 1 pertiga hasil tuaian sarang burung dibahagikan antara mereka dan bakinya kepada SBBUB. Hak pengambilan sarang burung Pengiran Digadong Samah dibatalkan oleh pihak SBBUB. 

Harta benda milik Pengiran Digadong Samah yang lain di Bilit tidak diganggu dan pihak SBBUB melantik Pengiran Bukag, Dait dan Datu Hj Anserudin sebagai pentadbir harta pusaka Pengiran Digadong Sama. Ketua ketua suku yang menyertai Perang Sabil akhirnya diminta bersumpah dan berjanji kesetiaan kepada pihak SBBUB adalah Pengiran Bukag, Katib Meliua, Katib Hassan, Pengiran Kahar, Tipat anak Pengiran Temmenggung, Perewang dan Laksamana Tobacco.

SELEPAS PERANG SABIL 

Pada tahun 1885 beberapa orang Eropah cuba menjadi pentadbir Gua Gomantong tetapi gagal. Pada tahun 1886 Pengiran Dait dan Abd Kadir mengambil alih pentadbiran Gua Gomantong dan membayar SBBUB $5000 setahun. Pada tahun 1886 SBBUB mendapat $6000, pada tahun 1887 Pengiran Kahar, Pengiran Dait dan Abd Kadir membayar SBBUB sebanyak $7500, pada tahun 1905 $20000 dibayar oleh Madas, Tabarun dan Hj Usin. Pada tahun 1915 $20000 Di bayar kepada SBBUB oleh Saru, Tabarun dan Sandukung (Madas meninggal dunia pada tahun 1915). Pengiran Digadong Samah mempunyai tiga anak perempuan bernama Fatimah, Babo dan Pandan. Anak Pandan bernama Guliga dan Guliga tiada anak tetapi memelihara anak Padkon bernama Indar sebagai anaknya. 

Guliga berumur 11 tahun apabila atuknya terbunuh dalam Perang Sabil. Guliga berkahwin dengan anak Pengiran Dait. Pengiran Dait merupakan abang ipar kepada Pengiran Digadong Samah. Guliga di lantik sebagai ejen SBBUB untuk memastikan semua orang pengikut peraturan yg telah dipersetujui tentang hal ehwal pengurusan dan pentadbiran Gua Gomantong. Guliga mengundurkan diri pada tahun 1936. Pengiran Dait meninggal dunia tahun 1905 meninggalkan anaknya Madas dan Sandukung. Madas meninggal dunia pada tahun 1915. 

Sandukung berjaya menjadi Pengurus Gua Gomantong tetapi diberhentikan oleh pihak SBBUB pada tahun 1923 dan diserahkan kepada sepupunya Guliga. Pada bulan Januari 1925 Hj Sandukung melantik seorang peguam bernama WA Anderson untuk menuntut haknya dari pihak SBBUB tetapi tidak berjaya sehingga Perang Jepun. Kampung Melapi kurang maju berbanding Kampung Bilit. Selepas kematian Pengiran Digadong Samah ramai pengikutnya berpindah ke Bilit. 

Disunting oleh : Kumis Kumis, 

Rujukan sumber : (Pryer 1881), (Treacher 1882), (Bampfylde 1882)(Thomas Methley 1888) dan (PS Shim 2007).

2 comments:

  1. Selepas perang Sabil itu ada rujukan yg boleh di kongsikan catitian tahun 1886 itu Pengiran Dait dan (Abd Kadir) ini siapa? Pengiran Kahar dari Segama kan..
    Madas dan Tabarun dan (Hj Husin) ini siapa?
    Mohon respon tuan..

    ReplyDelete
  2. Suatu penceritaan sejarah berfakta yang padatdan terbaik

    ReplyDelete