SEJARAH AWAL - SUKU ORANG LAUT - BAJAU SAMAH , SABAH, BORNEO
Suku Badjoo, Bajus, Bajo, Badjao, Badjau, Bajao, Bajaw,
Bajak Laut, Orang Laut, Orang Selat, Sama Laut, Gipsi Laut (Sea Gypsies) ,
merupakan nama-nama lain yang merujuk kepada satu suku pribumi di Sabah iaitu
Suku Bajau. Suku pribumi ini merupakan suku kedua terbesar populasinya di Sabah
selepas suku Kadazandusun. Suku Bajau merupakan satu suku di Sabah yang kaya
dengan variasi seni budaya malah asal keturunannya serta adat resam yang unik.
Ramai pakar-pakar antropologi berminat untuk mengungkai
sejarah suku Bajau ini kerana dikatakan sehingga sekarang terdapat banyak
teori-teori mengenai mereka namun tiada yang begitu jelas dan mudah difahami.
Christian Perlas (2006) menyatakan bahawa "Orang Bajo
adalah Orang Laut kelompok masyarakat maritim yang mengamalkan ragam hidup di
laut" .
Seorang pengkaji barat tersohor iaitu Dr Healry pernah
menulis satu kenyataan mengenai Orang Bajau iaitu:
“They are a colorful people in many ways, combining a skill
at weaving and good carving with good horsemanship, and in former days a
propensity for piracy, which subsequently gave place to cattle lifting”.
Di dalam kita cuba menyingkap dan mengenali suku Bajau ini
mungkin ramai yang di luar sana tidak mengetahui apabila kita berbicara
mengenai Orang Bajau ini sebenarnya hendaklah merujuk kepada 2 kelompok Orang
Bajau. Ini kerana Orang Bajau terbahagi kepada 2 kelompok Suku iaitu Bajau
Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur.
Oleh kerana Orang Bajau mendiami dua kawasan berbeza iaitu
di pantai barat dan pantai timur Sabah, ini memungkinkan adanya variasi di
dalam pelbagai aspek sama ada slanga bahasa, budaya dan adat istiadat.
Perbezaan ini dapat dilihat dari segi pertuturan, pakaian tradisi, adat resam
dan budaya. Dari segi geo-politik dulu kala sebelum zaman pemerintahan SBBUB pula
Bajau Pantai Barat terdedah secara langsung kepada pengaruh ketuanan Kesultanan
Brunei dan Bajau Pantai Timur terdedah kepada pengaruh Kesultanan Magindanau
dan Kesultanan Sulu.
Tambahan pula, menurut Le Bar (1920) Suku Bajau sendiri
mempunyai lebih dari 190 sub-etniknya yang tersendiri seperti Orang Laut, Bajau
Sama, Bajau Kubang, Bajau Omadal, Bajau Simunul, Bajau Ubian dan sebagainya.
Dari segi populasi pula, Suku Bajau pantai barat menetap di
sekitar Tempasuk, Abai, Pendasan, Mengkabong, Inanam, Darau, Menggatal, Likas,
Sembulan, Tanjung Aru, Petagas, Putatan,Kinarut, Kawang dan Papar manakala Suku
Bajau pantai timur menetap di sekitar Sandakan Lahad Datu, Semporna, Kunak dan
Tawau. Jika di Negara Filipina pula, populasi Orang Bajau ramai terdapat di Zamboanga
dan juga gugusan kepulauannya seperti di Basilan, Jolo, Siasi, Tawi-Tawi dan
Sibutu.
Di Indonesia pula, populasi Orang Bajau juga ramai tertumpu
di daerah pantai timur Sulawesi. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Orang
Bajau juga ada Negara Australia. Mengikut sejarahnya Orang Bajau Australia
telahpun wujud di bumi Australia Barat lebih kurang 200 tahun yang dahulu
kerana mereka adalah bangsa pengembara dan oleh kerana tuntutan ekonomi
menyebabkan mereka menjadikan bumi Australia Barat sebagai tempat tinggal
mereka. Daerah-daerah seperti Perth, Port Hedland, Katanning, Geraldton, Shay
Gap, Kathara, Albury, Broome dan Tom adalah daerah-daerah tumpuan penempatan
mereka.
Bagaimana “Bajau” Mendapat Nama
Oleh kerana minat yang mendalam para antropologi di dalam
cuba menyelidiki apakah itu Orang Bajau maka istilah nama Bajau itu juga
mempunyai pelbagai teori yang cukup memberangsangkan. Menurut Sopher, yang
merujuk kepada nama “Bajau” itu berasal daripada satu perkataan Bugis iaitu
Waju. Waju bererti orang yang bergerak secara kumpulan.
Pendapat Sopher ini juga turut disahkan oleh seorang lagi
pakar antropologi iaitu John Crowford yang menggambarkan orang Bajau sebagai
“men that go in troops”. Bagi Ben J. Wallace pula berpendapat perkataan Bajau
merupakan singkatan daripada perkataan Bajak Laut atau Baja Laut yang bererti
lanun.
Bagi seorang pakar antropologi tempatan iaitu Dr. Hasan Mat
Nor pula berpendapat perkataan Bajau berasal daripada perkataan berjauhan yang
menggambarkan cara hidup orang Bajau yang sentiasa berjauhan. Dan ini disahkan
oleh Yap Beng Liang melalui kerja lapangannya ketika menyelidik mengenai Orang
Bajau Di Semporna, beliau juga sependapat bahawa perkataan Bajau itu dipetik
daripada perkataan berjauhan. Ini kerana pada masa dahulu orang Bajau sentiasa
berada di laut iaitu ‘berjauhan’ dari kawasan darat.
Sebenarnya nama Bajau itu adalah satu nama yang datangnya
daripada orang asing ini kerana ada pendapat mengatakan bahawa Orang Bajau
lebih gemar memanggil diri mereka dengan nama “Sama” ataupun “A’asama”. Hal ini
diperkukuhkan oleh satu kenyataan pakar antropologi dunia iaitu Santher iaitu:
Menurut Yap Beng Liang pula melalui kerja lapangannya di
Kota Belud menyatakan bahawa penggunaan istilah “Sama” didalam mengenali diri
mereka di kalangan orang Bajau sendiri juga digunapakai bagi masyarakat Bajau
di Kota Belud. Dan melalui penceritaan lisan pula di kalangan Orang Bajau Kota
Belud juga menjelaskan bahawa penggunaan “Sama” itu merujuk kepada satu
peristiwa yang mana mereka bertemu di satu kawasan setelah sekian lama tidak
berjumpa, mereka sering menganggap mereka dari keturunan dan etnik yang sama
namun tinggal berjauhan antara satu sama lain.
Bajau Darat Dan Bajau Laut
Secara amnya, di Sabah itu sendiri terdapat 2 kelompok Orang
Bajau iaitu:
1. Orang Bajau Pantai Barat atau Bajau Darat
2. Orang Bajau Pantai Timur atau Bajau Laut
Sebenarnya kedua-dua kelompok etnik adalah berasal daripada
rumpun yang sama namun begitu kedua-duanya mempunyai pelbagai perbezaan samada
dari bentuk fizikal sehinggalah ke beberapa aspek budaya dan adat resam yang
tertentu. Menurut I.H.N. Evans, asal keturunan Orang Bajau adalah merujuk
kepada satu kelompok Melayu Proto yang bersifat maritime atau mempunyai
hubungan yang rapat dengan laut.(I.H.N. Evans, Among Primitive Peoples In
Borneo (London: Seeley Service & Co. Ltd, 1922)
Namun begitu jangan sesekali keliru kerana yang sering
dirujuk sebagai “Koboi Sabah” itu adalah Orang Bajau Pantai Barat atau Bajau
Darat. Kerana merekalah yang mahir di dalam menunggang kuda yang sering kita
lihat di gambar-gambar itu. Bajau Darat ini tidak tinggal di laut sebaliknya
mereka tinggal secara tetap di darat dan mempunyai perkampungan mereka sendiri.
Orang Bajau yang terkenal hidup di laut biasa dengan
pelayaran yang pantas sentiasa duduk atau berdiri di perahu atau Kapal saja
dengan kurangnya pergerakan kaki maka apabila mereka berada di darat menunggang
kuda dengan laju seolah olah berlayar di darat.
Bajau Laut atau juga dikenali sebagai “Palau” adalah
sekelompok Orang Bajau yang hanya tinggal di lautan iaitu Nomad Laut (Sea
Nomads) atau pengembara laut yang kesemua aktivitinya harian dan penghidupannya
adalah berkaitan dengan perahunya. Jadi Bajau Laut inilah yang sering kita
lihat mendominasi dunia laut di kawasan seperti Semporna, Sabah kerana mereka
tinggal di atas perahu. Sejajar dengan waktu ada juga Bajau Laut yang tinggal
di daratan di Kampung Bangau-Bangau namun jumlahnya adalah sedikit sama sekali.
Asal-Usul Orang Bajau Dari Dua Aliran
Terdapat beberapa teori yang menghuraikan dan menjelaskan
kedatangan masyarakat Bajau ke Sabah. Teori ini pula agak berbeza di antara
satu sama lain. Ini kerana ianya merujuk kepada pelbagai sumber serta hasil
kerja lapangan yang pernah dibuat oleh pakar-pakar antropologi di seluruh
dunia. Teori ini dibahagikan seperti berikut:
i. Orang Bajau berasal daripada Selatan Filipina
ii. Orang Bajau berasal daripada Johor Riau Lingga
1. Orang Bajau Berasal Dari Selatan Filipina
Disini seorang pengkaji sejarah iaitu Jenar Lamdah
memberikan pendapatnya dengan mengatakan teori pertama berkemungkinan besar
boleh diterima jika dilihat dari sudut sosiobudaya masyarakat .Menurut beliau,
Orang Bajau Semporna jika dilihat dari sudut keadaan geografi antara Semporna
dan Kepulauan Sulu terutamanya Pulau Mindanao lebih memperkuatkan teori ini.
Ini kerana Kepulauan Sulu merupakan kedudukan yang paling hampir dengan pantai
timur Sabah.
Di samping itu menurut Lamdah juga, jika dilihat dari aspek
linguistik dengan adanya titik persamaan bahasa antara Bajau Semporna dan Samal
di Selatan Filipina serta persamaan cara hidup dan budaya kedua masyarakat ini
turut menyokong teori pertama asal-usul orang Bajau.
Sementara itu, tradisi lisan pula menjadi bukti apabila
etnik Bajau dikatakan turun temurun berasal dari wilayah Zamboanga. Berdasarkan
kepada fakta-fakta ini menurut rumusan yang diketengahkan oleh Jenar Lamdah,
berkemungkinan besar yang masyarakat Bajau Laut di daerah Semporna mungkin
berasal dari kepulauan Sulu. Tetapi teori ini tidak mencakupi asal-usul Orang
Bajau Darat atau Orang Bajau Pantai Barat.
Orang Bajau Berasal Dari Johor Riau Lingga
Teori kedua ini merupakan antara teori yang paling banyak
disokong oleh para pengkaji sejarah kerana adanya sumber-sumber ilmiah dan
saksi yang ditemui melalui jurnal-jurnal pengembaraan lama. Antaranya, seorang
pengembara barat iaitu Forrest pernah mencatatkan bahawa ketika beliau dalam
pelayaran ke New Guniea, beliau telah menemui nelayan Bajau di sepanjang
bahagian Tenggara Pulau Borneo dan dipercayai nelayan-nelayan tersebut
kemungkinan besar berasal dari Johor Riau Lingga.
Teori ini disokong oleh beberapa pengkaji Barat dan tempatan
antaranya Cyrill Alliston (1966), Najeeb M. Saleeby (1962), Helen Follet
(1945), Yeop Johari Yaakob dan Ismail Abbas (1988), Iskandar Caery (1976), dan
Yap Beng Liang (1979). Apa yang menariknya, teori ini turut disokong catatan
Tom Pires pada abad ke-15 Masihi yang merekodkan kewujudan masyarakat maritim
di perairan Johor, Singapura, serta Riau yang dikaitkan dengan suku Bajau.
Pada masa yang sama, di Semenanjung Tanah Melayu, kumpulan
ini turut dikenali dengan pelbagai gelaran lain antaranya Orang Seletar atau
Orang Suku Laut. Walaupun mereka menyokong asal usul Bajau berasal daripada
Johor, namun catatan yang mereka perolehi mempunyai peristiwa-peristiwa berbeza
seperti rumusan yang dicatatkan ini.
i. Catatan Thomas Forrest
Menurut catatan Thomas Forrest di dalam tulisan beliau pada
tahun 1779 yang bertajuk "A Voyage to New Guinea and Moluccas from
Balambangan : Including an Account of Magindanao, Sooloo and other
Islands",
" The Badjoo people, called Oran Badjoo, kind of
itinerant fisherman, said to come originally from Johore, at the entrance of
the Straits of Malacca. They are Mahometans, in their original country, Johore,
they were driven across the southern part of the China Sea, to the coast of
Borneo".
"The Bajus are scattered along the coast, thier
principal settlements being at Mengkabong and Tampasuk. At Mengkabong, they
appear numerous, and perhaps could muster 1,000 fighting man, at Tampasuk, they
estimate thier own number at 600, at Pandasan 400, at Abai, Sulaman, Ambong,
there are a few"
ii. Catatan SE Dalrymple
Menurut laporan The Putatan Sub District oleh Timbalan
Residen S. E. Dalrymple bertarikh 31hb Disember 1884 ;
"The Bajaus constitute a minor element in the
population. These Johore aliens—though, as Mahomedans, not assimilating with
the Dusun element, are yet unlike the Bajaus of North East Borneo in this
respect, viz :- that they possess cattle, hold and cultivate land and live in
fixed habitations on shore. They are however, in great part, fishermen"
iii. Catatan Dayang Yus Sabariah bt Haji Adanan, Brunei
Dikatakan telah mengahwini seorang puteri Johor dan sudah
tentu jika dilihat dari garis masa negeri Johor yang dimaksudkan itu adalah
Kerajaan Singapura Tua. Kerajaan kuno yang dimaksudkan ini adalah satu
kesultanan Melayu yang pernah wujud di Singapura yang mana pengasasnya adalah
Seri Tri Buana atau lebih dikenali sebagai Sang Nila Utama.
iv. Catatan Cyrill Alisston
Menurut keterangan Cyrill Alisston pula mencatatkan bahawa
masyarakat Bajau sememangnya mengakui mereka mempunyai hubungan serta ikatan
kekeluargaan dengan Kerajaan Johor. Di dalam cerita legenda mereka ada
mengatakan suatu waktu dahulu, Sultan Johor mempunyai seorang puteri yang
cantik jelita sehingga menjadi rebutan antara Sultan Brunei dan Sultan Sulu.
Dayang Ayesha nama diberi dan beliau merupakan cinta hati
kesuma kepada Sultan Brunei.Namun masalahnya timbul apabila pilihan hatinya
iaitu Sultan Brunei bukan pilihan hati bagi si ayahandanya. Sultan Johor pula
lebih berkenankan untuk menyatukan Sultan Sulu dengan Dayang Ayesha. Kerana
tidak mahu “tulah” melanggar daulat raja maka Dayang Ayesha terpaksa menyetujui
tanpa rela untuk dijodohkan dengan Sultan Sulu.
Najeeb M. Saleeby pula mengatakan bahawa sekitar kurun ke 14
Masihi, orang Bajau atau mengenal diri mereka sebagai Samal telah dibawa oleh
angin taufan ke tanah Sulu dari negeri Johor. Bilangan mereka yang tersesat dan
tiba di Kepulauan Sulu sangat ramai sehingga hampir majoriti penduduk di
Kepulauan Sulu adalah dari kalangan mereka.
Namun demikian, walaupun bilangan mereka ramai, tetapi
kerana mereka bukan orang asal Sulu mala mereka dilayan ibarat antara hamba
abdi dengan tuannya oleh orang-orang Suluk. Mereka diseksa dan dijajah seperti
rakyat dengan pemerintahnya.
vi. Catatan Hellen Follet
Mengikut keterangan yang dicatatkan oleh Hellen Follet, pada
masa dahulu terdapat satu komuniti laut yang dikenali sebagai orang laut.Mereka
adalah pelaut yang tinggal dalam perahu di daerah dan persisiran pantai Johor.
Mereka terdiri daripada nelayan yang hidup dengan aman dan damai dan tidak mahu
mencampuri urusan mereka yang tinggal di daratan.
Menurut Follet, suatu waktu dahulu komuniti Orang Laut ini
mempunyai seorang ketua yang mana anak perempuannya digambarkan sebagai seorang
wanita yang sangat cantik. Dan kerana kecantikannya itulah beliau menjadi
mangsa culik penduduk di darat kerana ayahnya sama sekali tidak mahu beliau
dijodohkan dengan mana-mana lelaki dari darat.
Di ketika di dalam perjalanan untuk dibawa ke daratan itulah
dikatakan beliau berjaya melepaskan diri dan kembali ke pangkuan keluarganya.
Bertindak daripada itu bagi mengelak dari adanya pertelingkahan mahupun
serangan balas daripada penduduk darat maka komuniti Orang Laut ini memilih
untuk berpindah. Sejak itu mereka telah meninggalkan persisiran pantai Johor
dan akhirnya berkelana sehingga ke Laut Sulu dan seterusnya menetap di gugusan
kepulauan kecil di Zamboanga.
vii. Legenda Bajau Omadal
Bajau Omadal merupakan salah satu sub-etnik Orang Bajau di
Sabah.Dan mereka juga tidak kurang dengan cerita legenda yang mengaitkan
perhubungan Orang Bajau dengan Negeri Johor.
Al-sahibul hikayat diceritakan suatu waktu dahulu di negeri
Johor terkenal dengan seorang pemerintahnya yang bernama Sultan Iskandar
Alam.Puteri Sultan Iskandar mempunyai seorang puteri yang cantik jelita yang
bernama Siti Zairan Kabaran.Kerana kejelitaannya menyebabkan dua pemuda yang
gagah perkasa yang juga dua beradik telah jatuh cinta pada gadis yang sama.
Kedua beradik itu bernama Selangaya Bongsu dan Haklum Nujum
yang juga merupakan antara barisan pahlawan Johor yang gah namanya di negeri
Johor.Kerana tidak mahu adanya perselisihan antara kedua beradik ini
menyebabkan Sultan Iskandar Alam telah merancang satu pertandingan yang adil
untuk mereka.Habuannya siapa yang menang akan berjaya mengahwini Puteri Siti
Zairan Kabaran.
Sultan Iskandar Alam telah mengarahkan kedua-dua Selangaya
Bongsu dan Haklum Nujum untuk belayar sehingga ke Pulau Angsor.Pulau Angsor ini
adalah sebuah pulau yang terletak di dalam wilayah Kerajaan Johor.Semasa di
dalam pelayaran dengan menggunakan bahtera masing-masing, ditakdirkan bahtera
si Selangaya Bongsu iaitu khususnya di bahagian tiang layarnya patah akibat
pukulan angin ribut yang kencang.
Hal ini menyebabkan ketibaannya ke Pulau Angsor agak lambat
daripada adiknya iaitu Haklum Nujum.Akibat daripada tidak dapat menerima
hakikat beliau dikalahkan oleh adiknya sendiri maka Selangaya Bongsu telah
nekad dan bersumpah tidak akan menjejakkan kakinya ke tanah Johor lagi.Beliau
diceritakan telah mengembara dari satu pulau ke pulau seperti Pulau Mindanau
dan Zamboanga.
Menurut legenda ini nama Zamboanga itu sebenarnya berasal
dari perkataan Sembuang iaitu sejenis tiang yang dipacakkan oleh Selangaya
Bongsu ketika beliau menambat perahunya ketika kecil. Selangaya Bongsu adalah
orang pertama yang menemui Zamboanga.Seterusnya Selangaya Bongsu juga pernah
menetap di Selatan Filipina iaitu di Pulau Setaluk.
Pulau Setaluk ini ditukar nama oleh Selangaya Bongsu menjadi
Pulau Siasi yang dikatakan adalah bermulanya penghijrahan seluruh keturunan
Selangaya Bongsu ke Pulau Omadal dan juga ke segenap daerah di Sabah yang
mempunyai Bajau Omadal sekarang.
Dengan itu dapatlah dirumuskan bahawa asal-muasal Orang
Bajau berdasarkan kepada catatan para sarjana cenderung untuk mengatakan
asal-muasal Orang Bajau adalah dari Johor. Walau bagaimanapun, gelombang
penghijrahan yang berbeza telah menyebabkan mereka mendiami beberapa kawasan
yang berbeza sehingga bertaburan di Sabah baik bagi Bajau Pantai Barat mahupun
Bajau Pantai Timur, Indonesia dan Filipina.
Ini sejajar dengan teori yang dikeluarkan oleh Sopher iaitu
sesuatu migrasi umum yang melibatkan perpindahan orang Bajau dari Kepulauan
Riau-Lingga telah berlaku pada abad ke 14. Menurut beliau lagi, ada kemungkinan
perpindahan masyarakat Bajau itu didorong oleh faktor perdagangan yang pada
ketika itu sedang berkembang di Brunei dan Jolo antara orang Cina dengan
penduduk tempatan. Konsep adanya permintaan barangan seperti hasil laut yang
diperlukan oleh peniaga Cina daripada orang Bajau pada ketika itu memungkinkan
pendapat ini.
Sather pula menggambarkan situasi tersebut sebagaimana
berikut:
“This event coincides with the rise of Brunei as a very important
place in the trade with China…Brunei in the early fifteenth century began to
prosper greatly from the benefits of increased commercial activity with China,
her business being carried on by newly converted Moslem Malays and Chinese…an
important part of China trade carried on at Brunei and Jolo was in the marine
products to be derived from the remunerative island environment off the North
Borneo Coast and especially in the Sulu archipelago.. Bring in Malays with
their vassals the boat people, indispensable for the exploitation of these
resources, and the entry of the boat people into the Borneo area, followed
almost immediately by the introduction of Islam, is seen in its proper
historical context.”
Walaupun mereka telah memeluk Islam namun begitu ada
sesetengah adat resam mereka masih lagi terpelihara dan dilestarikan asalkan
ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama yang mereka anuti sekarang. Antara
tradisi dan pesta yang masih mereka lestarikan adalah Pesta Lepa-Lepa yang
merupakan antara pesta Orang Bajau yang diraikan berkurun lamanya di Sabah.
Rujukan:
1. Hanafi Husin. Rencana: ”Diaspora Bajau Laut dan Pengekalan
Serta Penerusan Amalan Tradisi Di Sabah”. Publisher: Borneo Research Journal 2
(2008)
2. David E. Sopher. Title: A Study Based On The Literature
Of The Maritime Boat People Of Southeast Asia. 1972
3. I.H.N. Evans. Rencana: Among Primitive Peoples In Borneo.
Publisher: London: Seeley Service &Co.
4. Irena Obon. Rencana: The Sama Horseman. Publisher:
Persatuan Seni Budaya Bajau Sabah, 1999
5. Dayang Yus Sabariah bt Haji Adanan. Rencana:
Persinambungan Keluarga Diraja Brunei Dengan Keluarga Diraja Tanah Melayu.
Publisher: PESAKA, Berita Jabatan Pusat Sejarah, Kementeria Kebudayaan Belia
& Sukan, Negara Brunei Darussalam, (1988)
6. Yap Beng Liang. Buku : Orang Bajau Pulau Omadal
7. The Peoples Of the World Foundation – The Bajau People
8. Gusni Saat - Sama Bajau Dalam Kanca Urbanisasi, (2010)
9. Saidatul Nornis Hj Mahali - Bajau Pantai Barat, Bajau
Pantai Timur (2012)
10. Mohd Anis Md Noor - Perspective on Bajau/ Sama Diaspora
(2017)
11. Thomas Forrest "A Voyage to New Guinea and Moluccas
from Balambangan : Including an Account of Magindanao, Sooloo and other
Islands" (1779)
12. S. E. Dalrymple "The Putatan Sub District Report
31st December 1884
Gambar : Alfons Canovas
Disusun semula : Kumis Kumis
Sumber : Borneo Oracle