Thursday, 26 July 2018

SEJARAH AWAL - SUKU ORANG LAUT - BAJAU SAMAH , SABAH, BORNEO

SEJARAH AWAL - SUKU ORANG LAUT - BAJAU SAMAH , SABAH, BORNEO



Suku Badjoo, Bajus, Bajo, Badjao, Badjau, Bajao, Bajaw, Bajak Laut, Orang Laut, Orang Selat, Sama Laut, Gipsi Laut (Sea Gypsies) , merupakan nama-nama lain yang merujuk kepada satu suku pribumi di Sabah iaitu Suku Bajau. Suku pribumi ini merupakan suku kedua terbesar populasinya di Sabah selepas suku Kadazandusun. Suku Bajau merupakan satu suku di Sabah yang kaya dengan variasi seni budaya malah asal keturunannya serta adat resam yang unik.

Ramai pakar-pakar antropologi berminat untuk mengungkai sejarah suku Bajau ini kerana dikatakan sehingga sekarang terdapat banyak teori-teori mengenai mereka namun tiada yang begitu jelas dan mudah difahami.

Christian Perlas (2006) menyatakan bahawa "Orang Bajo adalah Orang Laut kelompok masyarakat maritim yang mengamalkan ragam hidup di laut" .

Seorang pengkaji barat tersohor iaitu Dr Healry pernah menulis satu kenyataan mengenai Orang Bajau iaitu:

“They are a colorful people in many ways, combining a skill at weaving and good carving with good horsemanship, and in former days a propensity for piracy, which subsequently gave place to cattle lifting”.



Di dalam kita cuba menyingkap dan mengenali suku Bajau ini mungkin ramai yang di luar sana tidak mengetahui apabila kita berbicara mengenai Orang Bajau ini sebenarnya hendaklah merujuk kepada 2 kelompok Orang Bajau. Ini kerana Orang Bajau terbahagi kepada 2 kelompok Suku iaitu Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur.

Oleh kerana Orang Bajau mendiami dua kawasan berbeza iaitu di pantai barat dan pantai timur Sabah, ini memungkinkan adanya variasi di dalam pelbagai aspek sama ada slanga bahasa, budaya dan adat istiadat. Perbezaan ini dapat dilihat dari segi pertuturan, pakaian tradisi, adat resam dan budaya. Dari segi geo-politik dulu kala sebelum zaman pemerintahan SBBUB pula Bajau Pantai Barat terdedah secara langsung kepada pengaruh ketuanan Kesultanan Brunei dan Bajau Pantai Timur terdedah kepada pengaruh Kesultanan Magindanau dan Kesultanan Sulu.



Tambahan pula, menurut Le Bar (1920) Suku Bajau sendiri mempunyai lebih dari 190 sub-etniknya yang tersendiri seperti Orang Laut, Bajau Sama, Bajau Kubang, Bajau Omadal, Bajau Simunul, Bajau Ubian dan sebagainya.

Dari segi populasi pula, Suku Bajau pantai barat menetap di sekitar Tempasuk, Abai, Pendasan, Mengkabong, Inanam, Darau, Menggatal, Likas, Sembulan, Tanjung Aru, Petagas, Putatan,Kinarut, Kawang dan Papar manakala Suku Bajau pantai timur menetap di sekitar Sandakan Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau. Jika di Negara Filipina pula, populasi Orang Bajau ramai terdapat di Zamboanga dan juga gugusan kepulauannya seperti di Basilan, Jolo, Siasi, Tawi-Tawi dan Sibutu.



Di Indonesia pula, populasi Orang Bajau juga ramai tertumpu di daerah pantai timur Sulawesi. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Orang Bajau juga ada Negara Australia. Mengikut sejarahnya Orang Bajau Australia telahpun wujud di bumi Australia Barat lebih kurang 200 tahun yang dahulu kerana mereka adalah bangsa pengembara dan oleh kerana tuntutan ekonomi menyebabkan mereka menjadikan bumi Australia Barat sebagai tempat tinggal mereka. Daerah-daerah seperti Perth, Port Hedland, Katanning, Geraldton, Shay Gap, Kathara, Albury, Broome dan Tom adalah daerah-daerah tumpuan penempatan mereka.

Bagaimana “Bajau” Mendapat Nama

Oleh kerana minat yang mendalam para antropologi di dalam cuba menyelidiki apakah itu Orang Bajau maka istilah nama Bajau itu juga mempunyai pelbagai teori yang cukup memberangsangkan. Menurut Sopher, yang merujuk kepada nama “Bajau” itu berasal daripada satu perkataan Bugis iaitu Waju. Waju bererti orang yang bergerak secara kumpulan.



Pendapat Sopher ini juga turut disahkan oleh seorang lagi pakar antropologi iaitu John Crowford yang menggambarkan orang Bajau sebagai “men that go in troops”. Bagi Ben J. Wallace pula berpendapat perkataan Bajau merupakan singkatan daripada perkataan Bajak Laut atau Baja Laut yang bererti lanun.



Bagi seorang pakar antropologi tempatan iaitu Dr. Hasan Mat Nor pula berpendapat perkataan Bajau berasal daripada perkataan berjauhan yang menggambarkan cara hidup orang Bajau yang sentiasa berjauhan. Dan ini disahkan oleh Yap Beng Liang melalui kerja lapangannya ketika menyelidik mengenai Orang Bajau Di Semporna, beliau juga sependapat bahawa perkataan Bajau itu dipetik daripada perkataan berjauhan. Ini kerana pada masa dahulu orang Bajau sentiasa berada di laut iaitu ‘berjauhan’ dari kawasan darat.



Sebenarnya nama Bajau itu adalah satu nama yang datangnya daripada orang asing ini kerana ada pendapat mengatakan bahawa Orang Bajau lebih gemar memanggil diri mereka dengan nama “Sama” ataupun “A’asama”. Hal ini diperkukuhkan oleh satu kenyataan pakar antropologi dunia iaitu Santher iaitu:

“…the generic label they apply to themselves, at least in Sabah, is Sama or A’asama, or dialect variants of these arms…to my knowledge Bajau and Samal are never used in self-reference among the Sama themselves, although most know these terms are used by outsiders and frequently use them when speaking to nonsama.. "



Menurut Yap Beng Liang pula melalui kerja lapangannya di Kota Belud menyatakan bahawa penggunaan istilah “Sama” didalam mengenali diri mereka di kalangan orang Bajau sendiri juga digunapakai bagi masyarakat Bajau di Kota Belud. Dan melalui penceritaan lisan pula di kalangan Orang Bajau Kota Belud juga menjelaskan bahawa penggunaan “Sama” itu merujuk kepada satu peristiwa yang mana mereka bertemu di satu kawasan setelah sekian lama tidak berjumpa, mereka sering menganggap mereka dari keturunan dan etnik yang sama namun tinggal berjauhan antara satu sama lain.



Bajau Darat Dan Bajau Laut

Secara amnya, di Sabah itu sendiri terdapat 2 kelompok Orang Bajau iaitu:

1. Orang Bajau Pantai Barat atau Bajau Darat
2. Orang Bajau Pantai Timur atau Bajau Laut

Sebenarnya kedua-dua kelompok etnik adalah berasal daripada rumpun yang sama namun begitu kedua-duanya mempunyai pelbagai perbezaan samada dari bentuk fizikal sehinggalah ke beberapa aspek budaya dan adat resam yang tertentu. Menurut I.H.N. Evans, asal keturunan Orang Bajau adalah merujuk kepada satu kelompok Melayu Proto yang bersifat maritime atau mempunyai hubungan yang rapat dengan laut.(I.H.N. Evans, Among Primitive Peoples In Borneo (London: Seeley Service & Co. Ltd, 1922)

Namun begitu jangan sesekali keliru kerana yang sering dirujuk sebagai “Koboi Sabah” itu adalah Orang Bajau Pantai Barat atau Bajau Darat. Kerana merekalah yang mahir di dalam menunggang kuda yang sering kita lihat di gambar-gambar itu. Bajau Darat ini tidak tinggal di laut sebaliknya mereka tinggal secara tetap di darat dan mempunyai perkampungan mereka sendiri.

Orang Bajau yang terkenal hidup di laut biasa dengan pelayaran yang pantas sentiasa duduk atau berdiri di perahu atau Kapal saja dengan kurangnya pergerakan kaki maka apabila mereka berada di darat menunggang kuda dengan laju seolah olah berlayar di darat.

Bajau Laut atau juga dikenali sebagai “Palau” adalah sekelompok Orang Bajau yang hanya tinggal di lautan iaitu Nomad Laut (Sea Nomads) atau pengembara laut yang kesemua aktivitinya harian dan penghidupannya adalah berkaitan dengan perahunya. Jadi Bajau Laut inilah yang sering kita lihat mendominasi dunia laut di kawasan seperti Semporna, Sabah kerana mereka tinggal di atas perahu. Sejajar dengan waktu ada juga Bajau Laut yang tinggal di daratan di Kampung Bangau-Bangau namun jumlahnya adalah sedikit sama sekali.

Asal-Usul Orang Bajau Dari Dua Aliran

Terdapat beberapa teori yang menghuraikan dan menjelaskan kedatangan masyarakat Bajau ke Sabah. Teori ini pula agak berbeza di antara satu sama lain. Ini kerana ianya merujuk kepada pelbagai sumber serta hasil kerja lapangan yang pernah dibuat oleh pakar-pakar antropologi di seluruh dunia. Teori ini dibahagikan seperti berikut:

i. Orang Bajau berasal daripada Selatan Filipina
ii. Orang Bajau berasal daripada Johor Riau Lingga
1. Orang Bajau Berasal Dari Selatan Filipina

Disini seorang pengkaji sejarah iaitu Jenar Lamdah memberikan pendapatnya dengan mengatakan teori pertama berkemungkinan besar boleh diterima jika dilihat dari sudut sosiobudaya masyarakat .Menurut beliau, Orang Bajau Semporna jika dilihat dari sudut keadaan geografi antara Semporna dan Kepulauan Sulu terutamanya Pulau Mindanao lebih memperkuatkan teori ini. Ini kerana Kepulauan Sulu merupakan kedudukan yang paling hampir dengan pantai timur Sabah.

Di samping itu menurut Lamdah juga, jika dilihat dari aspek linguistik dengan adanya titik persamaan bahasa antara Bajau Semporna dan Samal di Selatan Filipina serta persamaan cara hidup dan budaya kedua masyarakat ini turut menyokong teori pertama asal-usul orang Bajau.

Bagi Irena Obon, seorang pengkaji berbangsa Barat pula berpendapat bahawa suku Bajau Pantai Timur adalah serumpun dan berkongsi corak kehidupan yang sama dengan masyarakat Bajau di selatan Filipina. Walau bagaimanapun beliau turut menekan kerana menetap lama di Sabah, maka corak hidup dan ekonomi mereka juga turut sama berasimilasi.

Sementara itu, tradisi lisan pula menjadi bukti apabila etnik Bajau dikatakan turun temurun berasal dari wilayah Zamboanga. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini menurut rumusan yang diketengahkan oleh Jenar Lamdah, berkemungkinan besar yang masyarakat Bajau Laut di daerah Semporna mungkin berasal dari kepulauan Sulu. Tetapi teori ini tidak mencakupi asal-usul Orang Bajau Darat atau Orang Bajau Pantai Barat.

Orang Bajau Berasal Dari Johor Riau Lingga

Teori kedua ini merupakan antara teori yang paling banyak disokong oleh para pengkaji sejarah kerana adanya sumber-sumber ilmiah dan saksi yang ditemui melalui jurnal-jurnal pengembaraan lama. Antaranya, seorang pengembara barat iaitu Forrest pernah mencatatkan bahawa ketika beliau dalam pelayaran ke New Guniea, beliau telah menemui nelayan Bajau di sepanjang bahagian Tenggara Pulau Borneo dan dipercayai nelayan-nelayan tersebut kemungkinan besar berasal dari Johor Riau Lingga.

Teori ini disokong oleh beberapa pengkaji Barat dan tempatan antaranya Cyrill Alliston (1966), Najeeb M. Saleeby (1962), Helen Follet (1945), Yeop Johari Yaakob dan Ismail Abbas (1988), Iskandar Caery (1976), dan Yap Beng Liang (1979). Apa yang menariknya, teori ini turut disokong catatan Tom Pires pada abad ke-15 Masihi yang merekodkan kewujudan masyarakat maritim di perairan Johor, Singapura, serta Riau yang dikaitkan dengan suku Bajau.

Pada masa yang sama, di Semenanjung Tanah Melayu, kumpulan ini turut dikenali dengan pelbagai gelaran lain antaranya Orang Seletar atau Orang Suku Laut. Walaupun mereka menyokong asal usul Bajau berasal daripada Johor, namun catatan yang mereka perolehi mempunyai peristiwa-peristiwa berbeza seperti rumusan yang dicatatkan ini.

i. Catatan Thomas Forrest

Menurut catatan Thomas Forrest di dalam tulisan beliau pada tahun 1779 yang bertajuk "A Voyage to New Guinea and Moluccas from Balambangan : Including an Account of Magindanao, Sooloo and other Islands",

" The Badjoo people, called Oran Badjoo, kind of itinerant fisherman, said to come originally from Johore, at the entrance of the Straits of Malacca. They are Mahometans, in their original country, Johore, they were driven across the southern part of the China Sea, to the coast of Borneo".

"The Bajus are scattered along the coast, thier principal settlements being at Mengkabong and Tampasuk. At Mengkabong, they appear numerous, and perhaps could muster 1,000 fighting man, at Tampasuk, they estimate thier own number at 600, at Pandasan 400, at Abai, Sulaman, Ambong, there are a few"

ii. Catatan SE Dalrymple

Menurut laporan The Putatan Sub District oleh Timbalan Residen S. E. Dalrymple bertarikh 31hb Disember 1884 ;

"The Bajaus constitute a minor element in the population. These Johore aliens—though, as Mahomedans, not assimilating with the Dusun element, are yet unlike the Bajaus of North East Borneo in this respect, viz :- that they possess cattle, hold and cultivate land and live in fixed habitations on shore. They are however, in great part, fishermen"

iii. Catatan Dayang Yus Sabariah bt Haji Adanan, Brunei

Menurut catatan Dayang Yus Sabariah bt Haji Adanan di dalam tulisan beliau pada tahun 1988 yang bertajuk “Persinambungan Keluarga Diraja Brunei Dengan Keluarga Diraja Tanah Melayu” menyatakan bahawa yang merujuk kepada Kerajaan Johor ini adalah Kerajaan Johor Tua yang mana ianya hanya muncul selepas kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melaka sekitar tahun 1511 Masihi. Disinilah dikatakan bermulanya salsilah pemerintah pertama Kerajaan Kesultanan Brunei iaitu Awang Alak Batatar yang menjadi pengasas kepada kerajaan Islam Brunei sekitar tahun 1368 Masihi.

Dikatakan telah mengahwini seorang puteri Johor dan sudah tentu jika dilihat dari garis masa negeri Johor yang dimaksudkan itu adalah Kerajaan Singapura Tua. Kerajaan kuno yang dimaksudkan ini adalah satu kesultanan Melayu yang pernah wujud di Singapura yang mana pengasasnya adalah Seri Tri Buana atau lebih dikenali sebagai Sang Nila Utama.

iv. Catatan Cyrill Alisston 

Menurut keterangan Cyrill Alisston pula mencatatkan bahawa masyarakat Bajau sememangnya mengakui mereka mempunyai hubungan serta ikatan kekeluargaan dengan Kerajaan Johor. Di dalam cerita legenda mereka ada mengatakan suatu waktu dahulu, Sultan Johor mempunyai seorang puteri yang cantik jelita sehingga menjadi rebutan antara Sultan Brunei dan Sultan Sulu.

Dayang Ayesha nama diberi dan beliau merupakan cinta hati kesuma kepada Sultan Brunei.Namun masalahnya timbul apabila pilihan hatinya iaitu Sultan Brunei bukan pilihan hati bagi si ayahandanya. Sultan Johor pula lebih berkenankan untuk menyatukan Sultan Sulu dengan Dayang Ayesha. Kerana tidak mahu “tulah” melanggar daulat raja maka Dayang Ayesha terpaksa menyetujui tanpa rela untuk dijodohkan dengan Sultan Sulu.

Ketika di dalam pelayaran untuk dikahwinkan di tanah Sulu, dikatakan rombongan bakal pengantin Dayang Ayesha telah diserang oleh Sultan Brunei.Sultan Brunei pula telah membawa lari kekasih hatinya iaitu Dayang Ayesha kembali ke Brunei.Untuk rombongan pelayaran Dayang Ayesha yang dikatakan adalah daripada pahlawan dan prajurit yang terbaik dari Kerajaan Johor pada ketika itu, tidak berani untuk pulang ke Johor sebaliknya memilih untuk berkelana di lautan antara Johor dan Borneo serta Filipina seperti yang kita ketahui sekarang.

v. Catatan Najeeb M. Saleeby

Najeeb M. Saleeby pula mengatakan bahawa sekitar kurun ke 14 Masihi, orang Bajau atau mengenal diri mereka sebagai Samal telah dibawa oleh angin taufan ke tanah Sulu dari negeri Johor. Bilangan mereka yang tersesat dan tiba di Kepulauan Sulu sangat ramai sehingga hampir majoriti penduduk di Kepulauan Sulu adalah dari kalangan mereka.

Namun demikian, walaupun bilangan mereka ramai, tetapi kerana mereka bukan orang asal Sulu mala mereka dilayan ibarat antara hamba abdi dengan tuannya oleh orang-orang Suluk. Mereka diseksa dan dijajah seperti rakyat dengan pemerintahnya.

vi. Catatan Hellen Follet

Mengikut keterangan yang dicatatkan oleh Hellen Follet, pada masa dahulu terdapat satu komuniti laut yang dikenali sebagai orang laut.Mereka adalah pelaut yang tinggal dalam perahu di daerah dan persisiran pantai Johor. Mereka terdiri daripada nelayan yang hidup dengan aman dan damai dan tidak mahu mencampuri urusan mereka yang tinggal di daratan.

Menurut Follet, suatu waktu dahulu komuniti Orang Laut ini mempunyai seorang ketua yang mana anak perempuannya digambarkan sebagai seorang wanita yang sangat cantik. Dan kerana kecantikannya itulah beliau menjadi mangsa culik penduduk di darat kerana ayahnya sama sekali tidak mahu beliau dijodohkan dengan mana-mana lelaki dari darat.

Di ketika di dalam perjalanan untuk dibawa ke daratan itulah dikatakan beliau berjaya melepaskan diri dan kembali ke pangkuan keluarganya. Bertindak daripada itu bagi mengelak dari adanya pertelingkahan mahupun serangan balas daripada penduduk darat maka komuniti Orang Laut ini memilih untuk berpindah. Sejak itu mereka telah meninggalkan persisiran pantai Johor dan akhirnya berkelana sehingga ke Laut Sulu dan seterusnya menetap di gugusan kepulauan kecil di Zamboanga.

vii. Legenda Bajau Omadal

Bajau Omadal merupakan salah satu sub-etnik Orang Bajau di Sabah.Dan mereka juga tidak kurang dengan cerita legenda yang mengaitkan perhubungan Orang Bajau dengan Negeri Johor.

Al-sahibul hikayat diceritakan suatu waktu dahulu di negeri Johor terkenal dengan seorang pemerintahnya yang bernama Sultan Iskandar Alam.Puteri Sultan Iskandar mempunyai seorang puteri yang cantik jelita yang bernama Siti Zairan Kabaran.Kerana kejelitaannya menyebabkan dua pemuda yang gagah perkasa yang juga dua beradik telah jatuh cinta pada gadis yang sama.

Kedua beradik itu bernama Selangaya Bongsu dan Haklum Nujum yang juga merupakan antara barisan pahlawan Johor yang gah namanya di negeri Johor.Kerana tidak mahu adanya perselisihan antara kedua beradik ini menyebabkan Sultan Iskandar Alam telah merancang satu pertandingan yang adil untuk mereka.Habuannya siapa yang menang akan berjaya mengahwini Puteri Siti Zairan Kabaran.

Sultan Iskandar Alam telah mengarahkan kedua-dua Selangaya Bongsu dan Haklum Nujum untuk belayar sehingga ke Pulau Angsor.Pulau Angsor ini adalah sebuah pulau yang terletak di dalam wilayah Kerajaan Johor.Semasa di dalam pelayaran dengan menggunakan bahtera masing-masing, ditakdirkan bahtera si Selangaya Bongsu iaitu khususnya di bahagian tiang layarnya patah akibat pukulan angin ribut yang kencang.

Hal ini menyebabkan ketibaannya ke Pulau Angsor agak lambat daripada adiknya iaitu Haklum Nujum.Akibat daripada tidak dapat menerima hakikat beliau dikalahkan oleh adiknya sendiri maka Selangaya Bongsu telah nekad dan bersumpah tidak akan menjejakkan kakinya ke tanah Johor lagi.Beliau diceritakan telah mengembara dari satu pulau ke pulau seperti Pulau Mindanau dan Zamboanga.

Menurut legenda ini nama Zamboanga itu sebenarnya berasal dari perkataan Sembuang iaitu sejenis tiang yang dipacakkan oleh Selangaya Bongsu ketika beliau menambat perahunya ketika kecil. Selangaya Bongsu adalah orang pertama yang menemui Zamboanga.Seterusnya Selangaya Bongsu juga pernah menetap di Selatan Filipina iaitu di Pulau Setaluk.

Pulau Setaluk ini ditukar nama oleh Selangaya Bongsu menjadi Pulau Siasi yang dikatakan adalah bermulanya penghijrahan seluruh keturunan Selangaya Bongsu ke Pulau Omadal dan juga ke segenap daerah di Sabah yang mempunyai Bajau Omadal sekarang.

Dengan itu dapatlah dirumuskan bahawa asal-muasal Orang Bajau berdasarkan kepada catatan para sarjana cenderung untuk mengatakan asal-muasal Orang Bajau adalah dari Johor. Walau bagaimanapun, gelombang penghijrahan yang berbeza telah menyebabkan mereka mendiami beberapa kawasan yang berbeza sehingga bertaburan di Sabah baik bagi Bajau Pantai Barat mahupun Bajau Pantai Timur, Indonesia dan Filipina.

Ini sejajar dengan teori yang dikeluarkan oleh Sopher iaitu sesuatu migrasi umum yang melibatkan perpindahan orang Bajau dari Kepulauan Riau-Lingga telah berlaku pada abad ke 14. Menurut beliau lagi, ada kemungkinan perpindahan masyarakat Bajau itu didorong oleh faktor perdagangan yang pada ketika itu sedang berkembang di Brunei dan Jolo antara orang Cina dengan penduduk tempatan. Konsep adanya permintaan barangan seperti hasil laut yang diperlukan oleh peniaga Cina daripada orang Bajau pada ketika itu memungkinkan pendapat ini.

Sather pula menggambarkan situasi tersebut sebagaimana berikut:

“This event coincides with the rise of Brunei as a very important place in the trade with China…Brunei in the early fifteenth century began to prosper greatly from the benefits of increased commercial activity with China, her business being carried on by newly converted Moslem Malays and Chinese…an important part of China trade carried on at Brunei and Jolo was in the marine products to be derived from the remunerative island environment off the North Borneo Coast and especially in the Sulu archipelago.. Bring in Malays with their vassals the boat people, indispensable for the exploitation of these resources, and the entry of the boat people into the Borneo area, followed almost immediately by the introduction of Islam, is seen in its proper historical context.”

Jika kita lihat daripada rumpun bahasa pula untuk etnik Bajau yang merangkumi Bajau Darat atau Bajau Pantai Barat mempunyai klasifikasi rumpun bahasa yang tersendiri mengikut apa yang dilaporkan di dalam World Ethnologue. Orang Bajau Pantai Barat klasifikasi bahasanya adalah dari rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polynesian, Greater Barito, Sama-Bajaw, Sulu-Borneo, Borneo Coast Bajaw.

Manakala untuk etnik Bajau Laut atau Bajau Pantai Timur pula yang dikenali dengan nama bahasa “Sama Selatan” adalah dibawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, Greater Barito, Sama-Bajaw, Sulu-Borneo, Inner Sulu Sama.

Seperti mana-mana etnik pribumi di seluruh Borneo yang mengamalkan agama kaharingan ataupun animisme maka etnik Bajau juga suatu waktu dahulu adalah mereka yang kuat berpegang teguh kepada kepercayaan animisme. Namun buat masa sekarang, hampir 99% Orang Bajau di Sabah telah memeluk agama Islam.

Walaupun mereka telah memeluk Islam namun begitu ada sesetengah adat resam mereka masih lagi terpelihara dan dilestarikan asalkan ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama yang mereka anuti sekarang. Antara tradisi dan pesta yang masih mereka lestarikan adalah Pesta Lepa-Lepa yang merupakan antara pesta Orang Bajau yang diraikan berkurun lamanya di Sabah.

Rujukan:

1. Hanafi Husin. Rencana: ”Diaspora Bajau Laut dan Pengekalan Serta Penerusan Amalan Tradisi Di Sabah”. Publisher: Borneo Research Journal 2 (2008)
2. David E. Sopher. Title: A Study Based On The Literature Of The Maritime Boat People Of Southeast Asia. 1972
3. I.H.N. Evans. Rencana: Among Primitive Peoples In Borneo. Publisher: London: Seeley Service &Co.
4. Irena Obon. Rencana: The Sama Horseman. Publisher: Persatuan Seni Budaya Bajau Sabah, 1999
5. Dayang Yus Sabariah bt Haji Adanan. Rencana: Persinambungan Keluarga Diraja Brunei Dengan Keluarga Diraja Tanah Melayu. Publisher: PESAKA, Berita Jabatan Pusat Sejarah, Kementeria Kebudayaan Belia & Sukan, Negara Brunei Darussalam, (1988)
6. Yap Beng Liang. Buku : Orang Bajau Pulau Omadal
7. The Peoples Of the World Foundation – The Bajau People
8. Gusni Saat - Sama Bajau Dalam Kanca Urbanisasi, (2010)
9. Saidatul Nornis Hj Mahali - Bajau Pantai Barat, Bajau Pantai Timur (2012)
10. Mohd Anis Md Noor - Perspective on Bajau/ Sama Diaspora (2017)
11. Thomas Forrest "A Voyage to New Guinea and Moluccas from Balambangan : Including an Account of Magindanao, Sooloo and other Islands" (1779)
12. S. E. Dalrymple "The Putatan Sub District Report 31st December 1884

Gambar : Alfons Canovas

Disusun semula : Kumis Kumis


Sumber : Borneo Oracle

No comments:

Post a Comment