Monday, 11 February 2019

Legenda dan Asal Usul Suku Koroli, Labuk, Sandakan

Legenda dan Asal Usul Suku Koroli, Labuk, Sandakan

Kisah legenda Suku Koroli diturunkan dari cerita nenek moyang secara lisan kepada anak dan cucu agar mereka tidak lupa asal usul mereka. Maka , sudah sampai masa bagi kita lagi berkongsi cerita ini kepada anak cucu kita sebagai kenangan, menjadi iktibar dan pelajaran dari peristiwa masa silam.

Menurut cerita legenda nenek moyang di awal kejadian ratusan tahun dahulu , sejauh mana yang mereka masih ingat dan diceritakan oleh nenek moyang mereka sebelum ini, Suku Koroli adalah dari keturunan dan susur galur "TINGGORON" seorang pahlawan dan panglima perang yang sungguh gagah berani dan terbilang namanya pada zaman itu.

TINGGORON adalah salah seorang dari 7 orang beradik pahlawan legenda yang bernama LONGGUWAI, RUNSUD, LINTOBON, TOMUI , TURUMPOK dan seorang lagi namanya yang tidak dapat diingati.

Pada suatu hari adik beradik pahlawan legenda ini membuat keputusan dan sepakat untuk berpisah membawa haluan masing masing serta membawa ahli keluarga dan pengikut mereka mencari tempat, kawasan dan kehidupan yang baru.

Hari ini kita bercerita kisah legenda keturunan "Pahlawan Tinggoron" pengasas Suku Koroli, yang membawa semua pengikut serta ahli keluarganya ke Telupid. Seterusnya dari susur galur keturunannya menjadi antara suku suku yang menetap di kawasan Labuk. Dari keturunan dan susur galur Tinggoron juga lahirlah pelbagai suku seperti Suku Bayok, Suku Dusun Klias, Suku Putih, Suku Tindakon, Suku Turawid dan Suku Koroli. Suku Koroli membesar menjadi lapan cabang suku lain seperti Suku Koroli, Suku Kotoring, Suku Kiwulu, Suku Sogo, Suku Sungangon, Suku Dalamson, Suku Tampulung dan Suku Sogilitan.

Di zaman dulu kala, ada seorang lelaki yang berkelakuan ganjil dari keturunan Pahlawan Tinggoron yang suka hidup bersendirian di tepi perkampungan Labuk. Pada satu malam, lelaki ini mendapat mimpi yang ganjil seolah olah kejadian yang benar berlaku, di mana perkampungan mereka ditimpa bencana banjir yang besar sehingga bukit bukit yang berhampiran turut tenggelam kecuali kemuncak yang tinggi di kawasan pegunungan. Seorang lelaki tua berpakaian serba putih muncul dalam mimpi beliau dan mengarahkan beliau membuat rumah panjang di kawasan pegunungan yang tinggi. Orang tua tersebut berkata dalam masa satu tahun akan berlaku banjir besar dan sesiapa yang tidak berpindah ke rumah panjang yang baru ini akan terkorban. Orang tua itu memberitahu bahawa beliau akan muncul lagi sebelum banjir besar tersebut.

Apabila bangun dari tidur, lelaki itu terus memberitahu orang kampung tentang peristiwa dan bencana di dalam mimpinya sambil meminta bantuan dari orang ramai untuk membuat rumah panjang yang besar di kawasan pegunungan secepat mungkin untuk menyelamatkan diri dari bencana yang akan bakal berlaku di perkampungan mereka tetapi sebaliknya beliau di ketawakan dan dikatakan sebagai orang gila.

Memandangkan tiada seorang pun yang percaya cerita banjir beliau maka lelaki ini mendaki ke kawasan pergunungan seorang diri dan mula membuat rumah panjang yang besar dengan harapan suatu hari nanti orang kampung akan sedar dan pindah kerumah panjang ini sebelum bencana banjir besar yang akan datang.

Setiap hari dari awal pagi sehingga petang lelaki itu dengan gigih dan bersungguh sungguh membuat rumah panjang seorang diri, kebetulan kawasan pegunungan mempunyai banyak pokok besar yang sesuai untuk menjadi bahan untuk membuat rumah. Beliau bermula dengan menebang pokok pokok untung membuat tiang rumah serta rangka rumah satu persatu dengan amat teliti. Pembinaan ini dibuat secara perlahan lahan setiap hari ada saja yang dilakukannya tanpa berhenti dari menanam tiang, memasang rangka, membuat atap, lantai dan akhirnya menyiapkan dinding rumah. Rumah panjang ini siap dalam masa hampir setahun dan apabila rumah ini sudah siap, pada satu malam lelaki tadi bermimpi berjumpa lagi dengan seorang tua yang pernah muncul dalam mimpinya yang lalu sambil berkata pergilah beritahu orang kampung bencana banjir akan berlaku dalam masa 3 hari dan minta mereka pindah kerumah panjang yang baru itu secepat mungkin.

Lelaki ini dengan kelam kabut turun balik ke perkampungan lama beliau dan meminta orang kampung berpindah dan mengikutnya ke rumah panjang yang baru siap dibinanya di kawasan pegunungan. Orang kampung bukan saja tidak peduli tentang permintaannya dan berita bencana banjir yang akan berlaku malah mereka semua ketawa sambil berkata "orang ni sudah betul betul tambah gila apabila tinggal seorang diri selama setahun di kawasan pegunungan".

Cuma seorang gadis sepupu sekali lelaki ini saja yang sudi dan mahu mengikutnya pindah ke kawasan pegunungan. Seperti yang diramalkan oleh orang tua dalam mimpi lelaki itu tadi, selepas tiga hari hujan mula turun. Pada mulanya titik hujan turun sebesar kuku anak jari tangan, tidak lama kemudian titik hujan sebesar kuku ibu jari kaki pula turun tanpa henti henti. Hujan turun selama berapa hari berterusan sehingga banjir besar berlaku memusnahkan perkampungan dan seluruh ternakan, tanaman. Penduduk kampung semua terkorban. Air banjir menenggelamkan semua bukit bukau di sekeliling kampung dan air banjir naik tinggi sehingga ke paras kawasan pegunungan berhampiran rumah panjang yang baru siap dibina itu, barulah hujan mula berhenti.

Semasa banjir besar, segala haiwan seperti "Kalasiau", payau, beruang, harimau kumbang, badak dan semua jenis haiwan liar banyak yang berpindah ke kawasan pegunungan hampir dengan rumah panjang yang baru tersebut. Apabila air banjir mula surut semua haiwan balik ke habitat asal mereka dan cuma tinggal lelaki itu dan sepupu perempuannya saja yang tinggal di rumah panjang yang besar itu. Memandangkan tiada manusia lagi yang berada dekat dikeliling mereka maka mereka berdua berkahwin dan mendapat 7 orang anak lelaki dan 7 orang anak perempuan. Apabila mereka semua sudah besar, mereka berkahwin sesama sendiri menjadi 8 pasangan keluarga termasuk ibu bapa mereka. Lapan pasangan keluarga ini bersumpah tidak akan berkahwin antara mereka dan mencadangkan setiap pasangan keluarga membuat suku mereka masing masing. Lapan pasangan yang wujud selepas banjir besar ini dikenali sebagai Suku Koroli.

Lapan cabang Suku Koroli dikenali sebagai Suku Kotoring, Suku Kiwulu, Suku Sogo, Suku Sunggangon, Suku Dalamson, Suku Tumpulung dan Suku Sogilitan.

Pada tahun 1886, di dalam catatan diari, D.D. Daly apabila beliau menjelajah ke Kinabatangan pada waktu itu empat Suku dari Suku Longom, Suku Puteh, Suku Kitaring dan Suku Tampias bergabung dalam peperangan melawan musuh mereka.

Cerita legenda ini diceritakan oleh mendiang Rindang dari Suku Koroli kepada anak perempuannya yang berusia 70 tahun berasal dari Kampung Kiubak dan sekarang tinggal di Ulu Tungud ketika berjumpa dengan penulis .

Suku Koroli dipercaya berasal dari perkampungan Tompios. Sebahagian dari Suku ini berpindah ke Kiubak sepanjang Sungai Ensuan yang menjadi perkampungan Ensuan. Di Perkampungan Ensuan beberapa Suku Tinggal di kawasan tersebut seperti Suku Koroli, Suku Sogo dan Suku Kiwulu dan ada juga kelihatan beberapa keluarga Suku Dalamson. Suku Sogolitan boleh ditemui di perkampungan Melapi, Kopuron, Mangkadaik dan Lumou. Suku Sungangon pula boleh ditemui di Kampung Barayon di mana ramai Suku Tompulung boleh ditemui di sepanjang Sungai Labuk dari Poginatan sehingga Telupid dan jauh ke hilir sungai.

Sumber :

1. Diari DD Daly 1886
2. PS Shim 2007

Di Sunting oleh :


Kumis Kumis

No comments:

Post a Comment