Friday, 8 February 2019

Legenda dan Asal Usul Suku Makiang, Kinabatangan, Sandakan, Sabah

Legenda dan Asal Usul Suku Makiang, Kinabatangan, Sandakan, Sabah

Suku Makiang adalah Suku yang mendiami sebuah perkampungan di Kuala Tongod yang terletak di antara Kampung Koromuok iaitu penempatan Suku Sukang dan Kampung Ulu Malagatan penempatan asal Suku Mangkaak.

Di zaman dulu kala dan pada awalnya, Suku Makiang tidak mempunyai nama suku, maka nama suku ini bermula dari sebuah cerita legenda bahawa disekeliling perkampungan Kuala Tongod terdapat banyak buah buahan yang tumbuh liar yang agak senang ditemui, dipetik dan dimakan oleh penduduk Kampung.

Pada suatu hari, di dalam musim buah buahan seorang penduduk Kampung memetik banyak buah langsat liar di hutan sekitar kampung sehingga penuh bakulnya. Apabila penduduk kampung tersebut balik ke rumah, maka beliau duduk di lantai sambil membongkokkan lututnya serta meletakkan semua buah langsat itu tadi di antara dua kakinya.

Apabila beliau makan buah langsat dalam kedudukan yang ganjil itu, maka jiran tertangga yang lalu lalang di hadapan rumahnya ketawa sambil menyebut perkataan "Polangkiang". Dari perkataan Polangkiang dan peristiwa buah langsat itulah maka nama "Makiang" digunakan oleh suku ini menjadikan nama suku mereka sebagai Suku Makiang.

Terdapat pelbagai versi tentang cerita asal usul nama empat cabang Suku Makiang, di mana dalam satu versi ada mengatakan nama nama cabang Suku Makiang adalah Makiang Sogo, Makiang Pingas, Makiang Sugud dan Makiang Liwogu.

Suku Makiang Sogo contohnya menceritakan asal usul nama Suku Makiang Sogo bermula apabila seorang pemburu yang sedang memburu tiba tiba menjumpai seorang bayi perempuan di dalam sejenis rumpun rotan yang dikenali sebagai "Sogo" (Calamus Caesius).
Pemburu tadi membawa balik dan memelihara bayi perempuan itu dengan penuh kasih sayang seperti memelihara anaknya sendiri. Apabila bayi perempuan itu sudah besar ada seorang pemuda Suku Makiang jatuh cinta dan ingin mengisterikan gadis Sogo tersebut. Rombongan meminang pemuda tersebut datang ke rumah Ibu bapa angkat gadis tadi dan pinangan pemuda tadi diterima. Apabila pasangan tersebut telah berkahwin, pemuda itu terus menetap di rumah gadis Sogo di perkampungan Kuamut. Ahli keluarga dan waris susurgalur pasangan ini dikenali sebagai Suku Makiang Sogo.

Dari sumber atau versi lain, Suku Makiang mempunyai empat cabang yang dikenali sebagai Suku Makiang Apod yang tinggal di Kuamut, Kuala Tongod sehingga Pinangoh, Suku Makiang Pingas yang tinggal di Pingas sehingga Kuala Pinangoh, Suku Makiang Kaintanao yang tinggal di Pingas hingga Molikob dan Suku Makiang Karatan yang tinggal di Ulu Kaintanao.

Menurut kisah Legenda yang diceritakan sejak turun temurun, di mana pada zaman dulu kala terdapat seekor burung raksaksa yang amat besar digelar oleh suku Makiang sebagai burung "Bugang" . Pada suatu hari burung Bugang tesebut menetaskan sebiji telur yang besar. Burung Bugang itu sewaktu menetas telur memberitahu Burung "Montis" sejenis Burung Pekaka atau Burung Raja Udang (Kingfisher) yang tinggal di kawasan itu untuk agar jangan terbang melangkah telur itu sehingga telur itu menetas kalau tidak telur itu tidak akan menetas.

Apabila telur itu menetas muncul dua tubuh badan manusia. Seorang yang berjaya merangkak keluar di panggil Aki Silam dan apabila seorang lagi cuba merangkak keluar tiba tiba Burung Montis terbang melangkah telur Burung Bugang maka telur tersebut tiba tiba tertutup kembali dan memutuskan sebelah kaki seorang lagi yang bernama Aki Sumbol.
Aki Silam membesar menjadi seorang pengembara dan terkenal sebagai seorang pembuat bangunan. Beliau berlayar ke Negara China dan berjaya menjadi seorang pembuat bangunan yang terkenal dan tersohor, antaranya sebuah bandar yang dikenali sebagai Bandar Lam King atau nama lain Nangking atau Nan Jing.

Aki Silam seterusnya mengembara ke Negara Turki dan terkenal membuat sebuah jambatan yang panjang menyambung dua benua. Atas Jasa beliau maka penduduk tempatan menamakan Bandar mereka sebagai Lam Bull di mana sekarang dikenali sebagai Istanbul.

Aki Sumbol pula mengembara mencari sejenis bambu besar yg boleh dijadikan kaki palsu nya dengan memasukkan bambu tersebut di dalam kakinya yang kudung itu . Beliau akhirnya berjaya berjumpa dengan bambu yang dikenali sebagai "bambu suluk" . Dengan kaki palsu yang diperbuat dari bambu suluk itu maka Aki Sumbol boleh bergerak dari satu Kampung ke satu Kampung yang lain sambil mengantung sejenis gong dilehernya. Gong tersebut digunakan sebagai berian untuk berkahwin dengan wanita Kampung dan beliau terkenal mempunyai ramai isteri dan ramai anak. Ahli keluarga dan susurgalur Aki Sumbol dikenali dengan nama Suku Makiang Apod yang tinggal di Kuala Tongod sehingga Pinangah.

Legenda mengatakan di mana saja tempat yang pernah Aki Sumbol berdiri lama maka bambu suluk yang bersaiz besar akan tumbuh dari kaki palsunya itu. Aki Sumbol pernah menetap di Ranau dan Tambunan maka banyak bambu suluk yang jenis besar tumbuh di kawasan itu.

Salah seorang anak Aki Sumbol bernama Aki Toworo tinggal di Kuamut. Pada suatu hari anak kecil Aki Toworo yang berenang di Sungai Kinabatangan ditelan oleh seekor "Ikan Tapa" yang besar. Aki Toworo sungguh Marah lalu meletakkan kayu belian sepanjang tebing sungai dari Kuamut sehingga ke hilir Sungai Kinabatangan. Setiap batang kayu belian ini diletakan tali dan perangkap ikan di dalam usaha beliau memusnahkan semua ikan tapa di Sungai itu sama sekali. Tali dan perangkap ikan tersebut mungkin telah hilang tapi kesan kayu belian yang diletakan di sepanjang tepi sungai Kuamut mungkin masih boleh Di jumpai kecuali kayu belian tersebut telah diambil orang. Aki Toworo bersumpah bahawa tiada satu pun ikan Tapa boleh hidup di Ulu Sungai Kinabatangan.

Seorang lagi anak Aki Sumbol bernama Aki Alon. Beliau menetap di kawasan Imbak dan terkenal sebagai seorang pahlawan bertubuh badan besar, tinggi dan gagah berani. Aki Alon adalah seorang pahlawan terbilang Suku Makiang dan digeruni oleh pihak lawan. Peralatan perang jenis "Alu Mortar" yang pernah digunakan oleh beliau masih ada di kawasan Imbak dan telah bertukar menjadi batu. Aki Alon dikatakan dikebumikan di dalam gua Imbak.

Salah seorang wanita keturunan Aki Sumbol yang bernama "Adu Ruvai" terkenal dengan panjang umur dan hidup sehingga 5 Generasi keturunan dari beliau baru meninggal dunia. Dalam usia beliau yang panjang itu, beliau melahirkan banyak anak dan dari keturunan dan susurgalur beliaulah wujud Suku Makiang Pingas. Suku Pingas menetap di kawasan Pingas hingga Kuala Pinang oh dan berkongsi sempadan dengan Suku Murut Pingas.

Suku Makiang Kaintano menetap di kawasan dari Pingas hingga Molikob dan Suku Makiang Karatan merupakan Suku Makiang yang terkenal dengan kehebatan peperangan mereka tinggal di kawasan Ulu Sungai. Suku Makiang Karatan mempunyai kepercayaan bahawa anak anak mereka lahir dan sewaktu kanak kanak semua gigi depan mereka akan dicabut. Mereka mempercayai bahawa jika seseorang Suku Makiang Karatan meninggal dunia dan hidup kembali jika mayat mereka dilangkah Kuching hitam maka jasad tersebut akan bangun menyerang dan mengigit orang yang hidup.

Di Kuamut, Suku Makiang Apod mendiami sebuah perkampungan yang didiami oleh dua Suku lain iaitu Suku Tapukon dan Suku Tika yang bukan datang dari rumpun Suku Makiang. Suku Tapukon ini dikatakan cuma makan hampas padi dan tidak memakan beras.
Seorang wanita bernama "Siangsagai" tidak mempercayai bahawa wujud jenis manusia yang makan hampas padi. Maka beliau pergi ke Kampung Suku Tapukon untuk melihat sendiri bagaimana Suku ganjil ini makan hampas padi. Apabila beliau sampai di Kampung tersebut beliau berjumpa dengan ketua kampung dan meminta Izin untuk tinggal di Kampung tersebut. Setelah dibenarkan tinggal di Kampung tersebut Siangsagai berjalan jalan dikeliling Kampung tersebut dan nampak banyak beras yang di buang di sana sini dan tiada hampas padi yang tinggal maka beliau mengesahkan cerita bahawa Suku Tapukon sememangnya makan hampas padi. Siangsagai mengambil keputusan untuk tinggal di Kampung tersebut dan mengajar Suku Tapukan untuk memasak dan makan nasi serta membuang hampas padi yang selama ini menjadi makanan mereka. Sehingga hari ini Suku Tapukan telah pandai makan nasi dengan memasak beras mereka.

Suku Makiang dari Kuala Tongod sebenarnya berasal dari Parutawoy beberapa batu dari Ulu Sungai Milan. Setelah Pembantu Pegawai Daerah Tuan Pritchard menyelesaikan dendam Berdarah antara Suku Rumanau Allap dan Suku Makiang Bikudong pada tahun 1907, maka Tuan Pritchard mengarahkan Orang Tua Sangong dari Suku Rumanau Allap untuk memindahkan semua pengikut dan ahli sukunya dari Ulu Pingas ke Kuala Mangkawagu.
Beliau juga mengarahkan Orang Tua Danan dari Suku Bikudong untuk pindah dari Ulu Tongod ke Kuala Tongod supaya beliau boleh melawat kedua dua suku ini selalu.

Salah satu sejarah dan budaya penting yang telah hilang adalah konsep membina sebuah makam atau rumah kuburan untuk orang yang telah meninggal dunia di Imbak. Menurut Daly pada tahun 1886 Suku Makiang membuat makam berkemungkinan mereka tidak menemui gua untuk mengebumikan orang yang telah meninggal dunia.

Daly mencatatkan, "Imbok, visited the tombs of the Tambanua Chief of which I took a sketch. The Mausoleum (too presumptions a word but it is one) is solidly built of billian wood and carved and fluted and ornamented with strange heads of animal on the projecting ends of the top beams. All the bodies are placed on top of the other the vaukt being dug to a great depth, there maybe twenty to thirty bodies in one vault".

Di tulis dan di sunting oleh :
1. Kumis Kumis
Gambar :
1. Google Image
Sumber :
1. Ringkisan Obou, Bukit Garam
2. Marasim Bin Galinsu, Batu Putih
3. Daly 1886

4. PS Shim, 2007

No comments:

Post a Comment