Tuesday, 23 July 2019

Legenda "Watu Papakang"

Legenda "Watu Papakang"

"Any study of a culture that does not include folklore is in complete and that folklore may suggest clue to past events and archaic customs" (Bascom, quoted by Sonza 1979.)

Papakang adalah sejenis pemukul yang diperbuat daripada sejenis batu apabila dipukul dengan cara tertentu keatas sejenis batu lain akan mengeluarkan suatu bunyi yang sedap di dengar ,beralun, berirama dan agak luar biasa. Pemukul batu ini berbentuk kecil di bahagian pemegangnya  dan lurus memanjang di bahagian depan dari tempat gengaman tadi. Batu yang hendak di pukul pula mempunyai  lekuk atau keluk di bahagian tengah batu tersebut.

Pada zaman dahulu kala, ada tujuh orang adik beradik yang membesar menjadi pahlawan hebat dan gagah berani yang tinggal di kawasan penempatan Nunuk Ragang. Pada satu hari sewaktu mereka berenang di Sungai Liwagu, mereka ternampak satu objek yang bersinar di dasar sungai tersebut. Abang yang sulung dengan segera menyelam untuk cuba mengambil objek bersinar itu tetapi tidak berjaya. Abang kedua turut menyelam untuk mendapatkan objek bersinar itu tetapi gagal juga. Begitulah seterusnya dari abang ketiga, abang keempat, abang kelima dan abang ke enam cuba menyelam dan berusaha mengambil objek bersinar itu tetapi semuanya gagal. Akhirnya adik bungsu mereka yang ke tujuh dengan usaha dan azam yang tinggi berjaya mendapatkan objek bersinar itu dan membawanya ke permukaan sungai.

Apabila batu bersinar ganjil ini diperiksa dan dihalusi, mereka dapati bahawa batu ajaib tersebut adalah sejenis batu panjang setebal pergelangan tangan, bulat, halus berwarna hitam dan mempunyai beberapa garisan di permukaan batu tersebut. Daya tarikan, keunikan dan keganjilan batu ajaib itu membuat tujuh orang adik beradik tadi masing masing ingin memiliki batu ganjil kerana beranggapan bahawa batu ganjil itu mungkin mempunyai kuasa ghaib dan luar biasa. Mereka tujuh orang adik beradik bertengkar serta bergaduh sesama sendiri. Pertengkaran dan pergaduhan adik beradik disebabkan batu ganjil yang ajaib serta luar biasa itu dihentikan serta merta oleh bapa mereka yang datang setelah mendapat tahu anak anaknya tengah bergaduh.

Untuk meleraikan serta mengelakkan dari tujuh orang adik beradik yang terkenal dengan kehebatan dan kegagahan mereka ini dari terus bergaduh, bertengkar dan bakal menimpa bencana maka bapa tujuh orang adik beradik ini membuat keputusan merampas batu ganjil tersebut dari salah seorang anak beliau lalu menghempaskan batu ganjil dan ajaib tersebut ke tanah sehingga patah terbelah dua, seterusnya bapa tujuh orang adik beradik ini dengan tegas mengambil sejenis batu lain dan memukul batu ganjil tadi sehingga pecah menjadi tujuh bahagian. Beliau mengambil tujuh pecahan batu tadi dan memanggil anak anaknya sambil memberikan setiap orang anaknya satu pecahan sambil berkata, jika pada suatu hari apabila mereka mengembara serta berpisah membawa arah tujuan hidup masing masing mereka mesti menyimpan batu tadi sebagai kenangan.

Batu batu ganjil itu itu juga jika di kumpul dan dikeluarkan pada suatu hari di masa hadapan bakal membuktikan bahawa mereka sebenarnya adalah dari satu rumpun keluarga yang mempunyai hubungan kekeluargaan antara sesama sendiri. Batu batu ganjil ini dikenali sebagai Batu atau "Watu Papakang".

Bapa tujuh orang adik beradik ini juga dengan penuh kasih sayang membuat tujuh tajau besar yang dinamakan "Tagamans"dan memberikan tajau itu kepada setiap seorang anak beliau. Tajau tersebut diperbuat dari sejenis tanah liat yang diambil dari Kampung Bitoon, Ranau.

Tujuh orang adik beradik tadi akhirnya berpisah dan membawa pengikut mereka masing masing ke Utara, Timur, Barat dan Selatan Borneo Utara.

Nama tujuh orang adik beradik itu adalah Longguwai, Runsud,Tinggoron, Lintobon, Tomui, Turumpok dan nama adik ketujuh tidak diketahui.

"Aki Longguwai" adalah adik beradik yang terawal pindah dari Nunuk Ragang menurut legenda Suku Rungus dan Tibabar. Suku Sukang mengatakan mereka berasal dari susur galur Aki Longguwai. Suku Dumpas, Mangkaak, Gunatong dan Poruzou adalah dari susur galu Aki Longguwai.

"Aki Runsud" cuba mengikut jejak Aki Longguwai tetapi mereka mengembara sehingga sampai ke Kudat. Suku Rungus mengatakan yang mereka berasal dari susur galur Aki Runsud.Dari Aki Runsud wujud suku Momogun, Rungus, Gonsomon, Nulu dan Pilapazan.

"Aki Lintobon" adik bongsu dari tujuh orang adik beradik. Suku Tibabar mengatakan bahawa mereka adalah dari susurgalur Aki Lintobon.Suku Mononggigi, Tobilung, Kimaragang,Tuhawon, Tibabar,Kolikuan, Potiukan,Tompios,Minokok,Kiruiou,Korupan, Tasapang adalahdikatakan dari susurgalur Aki Lintobon.

"Aki Tomui" mempunyai seorang anak bernama Dusun. Suku Liwogu mengatakan bahawa mereka dari susurgalur Aki Tomui serta menamakan salah satu kampung mereka Kampung Tomui. Suku Liwogu, Tindal, Kuijau,Bundu,Liwan an Sinulihan dikatakan dari susur galur Aki Tomui.

"Aki Turumpok"adalah salah seorang dari adaik beradik tersebut tetapi telah hilang , ghaib apabila beliau pergi bertapa di sebuah gua.

"Aki Tinggoron" pindah ke kawasan penempatan Telupid.Dari susur galur Aki Tinggoron muncul Suku Koroli, Kotoring, Kiwulu, Sogo, Sungangon, Dalamason, Tampulung, Songilitan, Bayok, Dusun Klias, Putih, Tindakon dan Turawid.

Sehingga hari ini, Watu Papakang ada yang dibuat dari contoh bentuk legenda "Watu Papakang" yang asli sebelum dipecahkan jadi tujuh bahagian.

Sekitar tahun 2004-2006, terdapat sekurang kurangnya enam batang Watu Papakang di simpan oleh orang kampung di sekitar kawasan penempatan Nunuk Ragang dan ada yang panjang sehingga 30 cm. 

Watu Papakan adalah sejenis batu yang dibuat dan diguna pakai oleh penduduk asal Nunuk Ragang.

Setiap kisah Legenda mempunyai versi masing masing, maka inilah salah satu lagi versi Watu Papakang dan Tujuh orang adik beradik Nunuk Ragang yang diturunkan ceritanya dari turun temurun.

Sumber :

Inland people of Sabah before, during and after Nunuk Ragang by P.S.Shim
Jiman Bin Yusup, Matupang
Gurang Bin Puah, Telupid

Penyunting dan penulis :
Kumis Kumis

Gambar :


Google Images

No comments:

Post a Comment