ASAL USUL MELANAU
Bagi sebahagian besar
penduduk negeri Sarawak, ‘Melanau’ adalah satu bangsa yang sama seperti bangsa
Iban, Melayu, Cina dan sebagainya. Ramai yang tidak mengetahui asal-usul dan
makna perkataan ‘Melanau’.
Kira-kira setengah abad yang lalu, semasa Daerah Bintulu
masih dalam jagaan Kerajaan Kesultanan Brunei, kerap kali Baginda Sultan datang
ke Bintulu untuk melihat keadaan daerah ini serta memungut hasil daripada
penduduknya. Pada suatu hari, sedang sebuah perahu kerajaan Brunei belayar
menuju ke Kuala Bintulu, tiba-tiba bertembunglah perahu itu dengan beberapa
buah perahu yang menuju ke destinasi yang sama. Nakhoda pun bertanya dengan
seorang kelasinya, “Perahu siapakah yang banyak di hadapan kita?” Jawab kelasi
itu, “Perahu orang memanau, Datuk.” Sari sehari ke sehari perkataan ‘memanau’
ini dengan tidak disedari oleh sesiapa bertukar menjadi ‘Melanau’.
‘Panau’, begitulah asal perkataan yang sebenar dalam dialek
Bintulu yang mana bererti salah satu pekerjaan yang boleh didapati dalam daerah
Bintulu pada masa ini. Pekerjaannya ialah menangkap ikan duai, ikan jamah dan
sebagainya. Pekerjaan ini dilakukan oleh enam hingga sepuluh orang serta
lengkap dengan perkarangan yang dinamakan “Idus” dalam dialek Bintulu serta
perahu yang besar sebab orang yang bekerja ‘panau’ harus pergi ke tengah laut
sejauh enam atau tujuh batu. Daun-daun ‘mulong’ dijadikan umpan. Di
tengah-tengah laut inilah kadang-kadang terjadi ribut yang kencang dan
gelombang besar yang datang dengan tiba-tiba. Sekiranya mereka memakai perahu
yang kecil sudah tentu mereka karam dan boleh jadi nyawa mereka juga mungkin
terancam.
Kiranya saudara berasal dari tempat yang penduduknya orang
‘Melanau’, janganlah berkecil hati apabila dipanggil orang ‘Melanau’ kerana ia
bukanlah merendah martabat, pangkat dan bangsa. Ianya adalah semata-mata satu
pekerjaan yang dipusakai oleh datuk-nenek moyang kita.
Andaian lain tentang asal nama Melanau ialah kaitannya dengan
nama ‘Meranau’ (Maranao) atau ‘Mindanau’ (Mindanao). ‘Maranau’ atau ‘Marinau’
ialah nama suku kaum di Mindanao Tengah (lanun) yang sering menyerang kawasan
persisiran Sarawak yang didiami orang Melanau sekarang.
BAHASA
Bahasa Melanau tergolong di bawah induk bahasa
Malayo-Polinesia atau Austronesia. Bahasa Austronesia ialah bahasa yang
tersebar daripada keluarga bahasa Austris dalam kebudayaan Dong Son di selatan
Negeri China dalam tahun 2500 S.M.
Kelompok dialek Melanau dapat dipecah kepada empat kelompok
penempatan yang utama.
1. Kawasan Rajang:
– Belawai, Rajang, Paloh, Daro, dan Matu
2. Kawasan Mukah:
– Mukah, Jebungan, Penakub, Teh, Sesok, dan kawasan
persekitaran Mukah-Dalat
3. Kawasan Balingian-Tatau:
– Tatau : Sungai Balingian, Sungai Tatau terutama di muara
sungai dan kawasan persisiran
4. Kawasan Bintulu
– Sungai Kemena dan Sebiew
Dalam “Sarawak Gazzette” 1972, I.C.F.S. Clayre menyatakan
bahawa orang-orang Siteng di Mukah adalah hampir sama dengan bahasa orang-orang
Melanau di Tatau. Bahasa ini pula ada persamaan dengan bahasa yang digunakan
oleh orang-orang Punan Ba. Clayre seterusnya menerangkan bahawa dialek Melanau
di Bintulu adalah hampir sama dengan bahasa kaum Sekapan di Belaga, yang
mempunyai banyak bunyi sebuta / y /, / z /, dan / q /.
Dalam kertas kerjanya bertajuk “Bahasa Melanau: Satu
Tanggapan Awal” yang dibentangkan dalam Seminar Budaya Melanau 1988, Encik
Zaini Ozea dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menyatakan bahasa
bahasa Bintulu mempunyai hubungan yang dekat atau banyak persamaan dengan
bahasa Melanau. Walaupun bahasa Bintulu tidak dapat difahami oleh Melanau lain
kecuali melalui pembelajaran, namun bahasa itu masih dapat dianggap sebagai
bahasa orang Melanau kerana pengenalpastiaan Melanau di Bintulu tidak hanya
pada aspek-aspek lain seperti adat resam.
Sumber: ONEPLUSONEMINUSONE