Saturday, 31 October 2015

Kepahlawanan Brunei






Sejarah kegagahan orang-orang Brunei sedari dahulu lagi memang banyak diceritakan melalui sejarah kesultanan kitani. Kegagahan mereka bukan calang-calang, ini diperolehi dari tenaga batin yang mereka latih sepanjang hidup mereka. Namun perkara sebegini dianggap syirik, kerana di dalam hadith ada menyatakan bahawa, “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti ke atas umatku ialah syirik kepada Allah. Sesungguhnya aku tidak mengatakan bahawa mereka akan menyembah matahari, bulan atau berhala, akan tetapi mereka melakukan amalan kerana selain Allah dan kerana syahwat yang tersembnyi.”

Semua ini digunakan adalah untuk mempertahankan Negara tercinta dan jua agama Allah yang dianut sejak dahulu lagi. Ini dapat dilihat dari angka penduduk di Brunei yang diagak sikit dibandingkan dengan negara-negara kafir luar sebagai contoh Majapahit, Portugis, Sepanyol dan banyak lagi yang penduduknya sudah banyak di tambah lagi dengan kecanggihan senjata api pada masa itu. Sudah tentu jika mereka mengatur serangan kearah penduduk Brunei dahulu akan hancur dengan sekelip mata. Agama islam di tanah melayu pula akan pupus diganti dengan agama lain. Dengan ketangkasan silat dan kekebalan diri, membolehkan panglima kitani untuk menghapuskan tentera-tentera kafir yang begitu banyak sekali. Alhamdulillah bilangan penduduk kitani zaman ani semakin berkurangan mempelajari ilmu sebegini.

Ketika zaman pemerintahan Sultan Bolkiah 1585 TM, Brunei dikenali dengan kekuatan askarnya sehingga dapat menawan banyak tanah-tanah di kepulauan Borneo. Kepulauan Filipina jua tidak ketinggalan ditawan oleh kerajaan Brunei di zaman pemerintahannya. Kegagahan dan ketangkasan panglima-panglima dan jua penduduk Brunei pada masa itu cukup dikenali di wilayah-wilayah Melayu sehingga ke tanah Eropah seperti Bugis, Portugis dan Sepanyol. Kekuatan batin orang Brunei pada masa itu, memang cukup luar biasa, sehingga peluru meriam pun tidak dapat menembusi badan mereka. Ini adalah salah satu punca orang-orang luar Eropah bersusah-payah untuk menakluki wilayah-wilayah persekitaran Brunei Borneo. Bukan itu saja, ketaatan setia kepada Raja dan agama menambahkan lagi semangat kebruneian mereka.

Akan tetapi, kebesaran wilayah-wilayah Brunei  pada masa itu tidak berpanjangan disebabkan oleh kedatangan angkatan Sepanyol ke kepulauan Filipina di Manila. Perkembangan agama islam di pulau tersebut memang pesat akan tetapi kekuatan dan keutuhan peribadi keagamaan mereka kurang disebabkan oleh kurangnya orang-orang alim membicarakan tentang hukum-hukum agama. Sebagai contoh, pihak Sepanyol menyoalkan kenapa daging Babi dan Arak tidak boleh diambil sebagai makanan, mereka tidak tahu mengapa, Sepanyol jua berkata bahawa orang-orang dari Brunei datang untuk memungut harta cukai secara paksa. Pemutaran-belit akan masalah tersebut berjaya merasuk hati orang-orang disana sehingga semakin ramai yang menganut agama Kristian.

Jarak antara Brunei dengan Manila agak jauh, ini membuatkannya sukar untuk angkatan askar Brunei  bertolak kesana. Sementara wilayah-wilayah seperti Magindanao, Zamboanga, dan Suluk berhampiran dengan Brunei membuatkan ketahanan askar disana kuat. Sehingga kini, kebanyakkan penduduk di wilayah tersebut banyak yang beragama Islam.

Kekuatan orang Brunei juga terserlah ketika Perang Kastila yang diketuai oleh Pengiran Bendahara Sakam pada April 1578 TM. Tembakan senjata api dan ledakan meriam yang ditujukan kearah 1000 orang tentera Brunei ketika itu tidak mengapa-apakan mereka. Kekebalan dan kekuatan batin yang mereka latih selama kira-kira tiga bulan akhirnya berjaya mengusir Sepanyol dari Kota Batu.

Dipermulaan zaman pemerintahan Raja Kecil di Siak Sumatra 1718 TM, ianya dikenali dengan kekuatan askar yang luar biasa, lebih-lebih lagi ketika pemerintahan Sayid Ali ibnu Osman as-Sahab. Tetapi ketika anggota askar mereka tiba di Borneo untuk menawan Sambas, mereka dikalahkan oleh pihak orang Brunei yang diketuai oleh Pengiran Anum yang cukup dikenali dengan kegagahannya. Sambas pada masa itu mengeluarkan hasil-hasil barang berharga seperti emas, intan dan antimony, inilah yang membuatkan hati Raja Kecil tertarik untuk menawan Sambas. Kedatangan angkatan Siak kali kedua ke Sambas dengan angkatan yang banyak sekali masih tetap dapat dikalahkan oleh tentera Pengiran Anum.

Antara lain kisah kegagahan panglima Brunei ialah pada masa perebutan takhta diantara Sultan Abdul Hakkul Mubin dengan Sultan Muhyiddin. Disebabkan oleh kekuatan panglima-panglima di kedua belah pihak, perang saudara tersebut berlarutan sehingga 12 tahun lamanya berakhir pada 1673 TM. Akan tetapi Sultan Abdul Hakkul Mubin dapat dikalahkan, ini adalah disebabkan Sultan Muhyiddin meminta pertolongan dari orang Kedayan dan pihak Suluk. Suluk dijanjikan wilayah Utara Brunei (Sabah) jika mereka sanggup menolong angkatan Sultan Muhyiddin. Disebabkan oleh pertempuran orang-orang Brunei pada masa itu sangat kuat dan menggerunkan, angkatan Suluk tidak berbuat apa-apa sehingga pertempuran habis, ini kerana mereka takut melihat akan kegagahan panglima-panglima Brunei ketika bertempur.

Sultan Muhyiddin tidak berasa puas hati dengan pertolongan Suluk lalu membatalkan janji pembahagian Utara Brunei. Kira-kira 100 tahun selepas kejadian Perang Saudara, Suluk tetap menuntut janji Sultan Muhyiddin dahulu, sehingga pada suatu hari mereka mengatur serangan kearah Brunei melalui sungai. Pengiran Temenggong Ampa merupakan cucu kepada Sultan Muhyiddin terkenal dengan kegagahannya dapat menghidu akan hajat Suluk, lalu menuruni pihak Suluk dengan beberapa orang pahlawan Brunei. Beliau melontar lembingnya kearah perahu Suluk, dan lembing tersebut tidak dapat dicabut. Dengan hanya menggunakan buluh, beliau dapat melompat jauh sehingga sampai ke perahu ketua Suluk. Melihat akan kejadian tersebut, Suluk merasa sungguh takut dan sehingga kini tidak lagi merista-rista perjanjian itu.

Pada zaman tentera Jepun datang ke Brunei, mereka memaksa rakyat Brunei bekerja keras. Siapa-siapa yang melawan akan dipancung oleh tenteranya. Orang Kaya Seti Bakti Kilanas adalah salah seorang yang melawan perintah Jepun pada masa itu, lalu dia dihukum pancung oleh tentera Jepun. Akan tetapi hukuman itu tidak berjaya kerana Samurai mereka tidak dapat menembusi leher beliau.

Banyak lagi sejarah kepahlawanan Brunei yang terkenal yang sehingga kini disebut-sebut oleh orang, seperti, Pengiran Muhammad Daud yang terkenal dengan melawan Harimau dan anjing (Great Dane), Pengiran Muda Muhammad Alam dikenali dengan nama Raja Api yang pernah menolak lelaki Inggris lalu terpelenting 10 meter dari beliau, Haji Saman yang merupakan piut kepada Raja Kecil Siak iaitu Raja Alam dan banyak lagi.

Akan tetapi, pada zaman serba moden kini, kekuatan batin tidak begitu penting, malahan apa yang penting ialah pendidikan yang diperolehi. Dengan ini, setiap insan akan berpeluang untuk membuka minda mereka bagaimana menangani konflik Negara yang dialami. Buah pikiran yang baik dan bernas akan membuatkan sesuatu Negara itu maju. Disamping itu jua Negara Brunei kini mengadakan persahabatan dengan Negara-negara luar yang lain seperti Britain, Amerika, Jepun, China, Singapura dan banyak lagi untuk memberi keselamatan dan kesejahteraan Negara kitani.


Daripada kesemua sejarah diatas, memang ternyata bahawa kekuatan luar biasa yang diperolehi dari panglima-panglima Brunei dahulu itu membekalkan diri mereka dengan tenaga batin yang mereka latih. Ini membuatkan mereka sukar untuk dikalahkan oleh orang-orang luar yang cuba merampas tanah kecintaan Brunei, Raja dan jua Agama kitani. Akan tetapi perkara syirik memang syirik, bukan saja kekuatan fisikal yang kita dapat ketahui, malahan apa yang paling penting sekali ialah semangat kejatian diri mereka sebagai orang Brunei dan ketaatan setia kepada Raja dan keutuhan Agama Islam meraka sepatutnya kita contohi. Perkara sebegini boleh meningkatkan kejatian diri kitani sebagai orang Brunei, dan berusaha sebaik-baiknya untuk mempertahankan adat kitani sebagai orang Brunei.


No comments:

Post a Comment