Friday, 30 October 2015

PERANG SAUDARA DI BRUNEI (T.M 1661-1673)


Bab 1:



Bersabung Ayam dan Mahkota Berdarah. “Kok kok kok…” Bunyi ayam sabungan bersahut-sahutan di halaman istana Duli Yang Teramat Mulia Pg Bendahara Abdul Mubin. Di halaman Istana orang ramai berkumpul untuk menyaksikan temasya bersabung ayam pada pagi itu. Anak Pengiran Bendahara Abdul Mubin datang untuk menyaksikan temasya tersebut dan juga berniat untuk bersabung ayam dengan anak Sultan Muhammad Ali iaitu Pengiran Muda Alam. Penjaga ayam: “Junjung Lai” Anak Pengiran Bendahara: “ oh Miatu. Mana ayam kita, bawa ke mari biar kita lihat dulu.” Penjaga ayam: “ Mohon di ampun, ada peramba tambat di sana.” Penjaga ayam pun mengambil ayam tersebut untuk di sembahkan kepada Anak Pengiran Bendahara. Anak pengiran Bendahara pun menyambut ayam sabungannya dan ayam itu berkokok 3 kali berturut turut sambil digosok-gosoknya kepala dan belakang ayam tersebut. Kedatangan Pengiran Muda Alam ke halaman Istana dengan pengiring-pengiringnya. Anak Pengiran Bendahara: “Junjung Ngian muda,” kata anak Pengiran Bendahara menyilakan. Pengiran muda Alam: “Terima kasih, mana ayam awangku?” Anak pengiran Bendahara: “Tu nah di belakang” Tanpa membuang masa mereka pun memulakan persabungan ayam antara ayam persabungan Pengiran Muda Alam dan Anak Pengiran Bendahara. Keadaan di halaman istana menjadi riuh rendah kerana sorak daripada kedua belah pihak. Akhirnya ayam sabung Pengiran Mula Alam kalah dalam persabungan tersebut dan penyokong pihak anak Pengiran Bendahara bersorak gembira dengan kemenangan tersebut sehingga melompat-lompat. 





Pengiran Muda Alam merasa geram melihat kegembiraan mereka dan kata-kata yang memalukan dari pihak Anak Pengiran Bendahara menyebabkan Pengiran Muda Alam bertindak membunuh Anak Pengiran Bendahara. Inang (Pengasuh Anak Pengiran Bendahara): “Ngian!” Inang menjerit terkejut melihat pembunuhan tersebut kerana Anak Pengiran Bendahara adalah anak yang telah diasuhnya dari kecil dan diibaratkan seperti anaknya sendiri. Inang terus berlari ke halaman dengan linangan air mata bercucuran untuk mendapatkan anak yang dikasihinya. Tiada seorang pun yang berani untuk menentang Pengiran Muda Alam untuk menuntut bela ke atas kematian Anak Pengiran Bendahara, kerana tidak mahu dikatakan menderhaka kepada anak Raja. Kejadian tersebut seperti tiada apa-apa yang terjadi sehinggalah mayat Anak Pengiran Bendahara dibawa pulang ke barung-barung Pengiran Bendahara Abdul Mubin. Di rumah Pengiran Bendahara, kedengaran bunyi tangisan dari isteri dan inang Pengiran Bendahara ke atas kematian anak Pengiran Bendahara sehingga Pengiran Bendahara menjadi hairan dan tertanyatanya apakah yang sedang berlaku. Pengiran Bendahara: “Apakah malapetaka yang menimpa isi rumah kita?” Pehin: “Tuanku, paduka anakanda ditikam oleh Pengiran Muda Alam?” Pengiran Bendahara: “Mengapakah begitu benar perbuatan Pengiran Muda!” (dengan wajah yang marah) Pehin: “ Kerana ayam Pengiran Muda Alam telah dikalahkan oleh ayam paduka anakanda.” 

Pengiran Bendahara merasa marah dan ingin membalas dendam dengan kematian anakandanya yang tiada mempunyai apa-apa kesalahan. Pengiran Bendahara pun berangkat ke istana untuk berjumpa dengan Sultan Muhammad Ali dengan 40 orang pengiring-pengiringnya. Sebaik sahaja sampai di lapau, Baginda Sultan menyuruh Pengiran Bendahara duduk di atas-atas. Kebetulan masa itu baginda sedang dihadap oleh pembesar-pembesar negeri kerana merundingkan kejadian yang terjadi dihalaman istana. Sultan: “Ramai nampaknya tuan peramba datang sekali ini.” Pengiran Bendahara: “ Patik.”( Sembah pengiran Bendahara). “ Kedatangan patik mengadap duli tuanku ini sengaja kerana telah lama juga patik tidak mengadap tuanku.” (Sambil melirik Pengiran Muda Alam yang berada di sisi Sultan). Sultan: “Apa khabar yang peramba bawa? Peramba pun dendam jua, sudah lama tidak berjumpa peramba”. Pengiran Bendahara: “ khabar baik, hanyalah patik sangat berdukacita melihat barung-barung patik tidak berdinding”. (sembahnya bergurimdam). “Apalah halnya air mas patik dibunuh hidup-hidup oleh paduka anakanda Pengiran Muda Alam dengan tidak berdosa.” Sultan pun mengerti maksud Pengiran Bandahara mengadap ramai-ramai itu. Sultan: “Ngian Bendahara! Pekerjaan membunuh orang yang tidak berdosa tanpa ada sebab itu sekalipun anakanda peramba, bunuh jua balasannya, hutang darah dibayar dengan darah.” Apabila didengar oleh Pengiran Muda Alam titah hukuman ayahandanya itu segeralah Pengiran Muda Alam masuk ke dalam istana ayahandanya. Pengiran Bendahara: “ Ya tuanku! Jikalau demikian itu bicara tuanku, patik junjung paduka anakanda itu buangkan sekali.” (dengan wajah seperti singa yang kelaparan) Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara! Sekarang peramba lepaskan anak peramba itu, dia sudah membawa darah mati ke dalam istana, jalankan hukuman ke atasnya”. Pengiran Bendahara gembira mendengar titah baginda. Pengiran Bendahara terus bangkit tanpa menjunjung negeraha mengikut Pengiran Muda Alam masuk ke dalam Istana bersama 40 orang pengikut-pengikutnya. Dengan keris yang terhunus ditangan mereka naik ke istana Sultan untuk mendapatkan Pengiran Muda Alam, tetapi tiada pun keberadaan puteranya di ruangan istana tersebut. Pengiran bendahara menjadi marah dan bertindak membunuh dayang-dayang istana dan seisi istana yang tidak berdosa. Sultan mendengar bunyi jeritan para dayang sehingga baginda hairan apakah yang terjadi di dalam istana. Baginda berangkat ke dalam istana, sultan terkejut melihat dayang-dayang dan gundik-gundik kesayangan sultan telah mati ditikam oleh Pengiran Bendahara. Sultan: “ Hai Pengiran Bendahara, pekerjaan apakah yang tuan peramba kerjakan ini? Lain yang berdosa lain pula yang peramba bunuh. Perbuatan tuan peramba ini samalah seperti hulubalang handal membunuh musuhnya ketika musuhnya sedang tidur.” Pengiran Bendahara: “ Ampun tuanku beribu-ribu ampun, apalah mata patik telah pening.” Sultan: “ jikalau demikian ini baiklah sudahi peramba sekali, supaya senang tuan peramba hidup dijunjung.” Pengiran Bendahara: “ Baiklah tuanku.” Pengiran Bendahara pun memerintahkan anak buahnya menangkap baginda sultan. Sultan: “Tak usahlah peramba ditangkap oleh anak buah peramba, kerana sayang mereka bakal menjadi pengharapan tuan peramba. Nah supaya tiada siapa pun yang terluka, ambillah keris peramba ini.” Sultan pun mengambil keris baginda dari pinggangnya lalu menghulurkan keris tersebut kepada Pengiran Bendahara. Anak buah pengiran Bendahara berundur ke belakang kerana takut kalau-kalau baginda ingin menuntut bela atas kematian gundik-gundiknya tetapi tidak, anak buah Pengiran Bendahara hairan melihat kejujuran hati Baginda sultan. Pengiran Bendahara: “Ah Tuanku, sepala-pala menyeluk pekasam.” Sultan: “ Peramba, walau tuan peramba basuh dengan air mawar sekalipun takkan hilang bau busuk pekasam itu.” Pengiran Bendahara: “Tuanku, mandi biarlah basah.” Sultan: “Peramba, mandilah walau habis air selautan, takkan bersih badan dan jiwa peramba dari bernoda.” Pengiran Bendahara: “Tuanku, sekali terminum darah.” Sultan: “Peramba. Minumlah hingga kering, hisaplah hingga kempis, tetapi darah peramba tetap mengalir dan takkan hancur dari bumi Brunei.” Sultan Muhammad Ali menjadi tawanan kemuliaan dan baginda diusung oleh anak buah Pengiran Bendahara dan dibawa ke halaman istana yang rumput-rampainya yang menghijau, di mana ada sepohon kelapa cenderung ke barat, sedang teja pelangi membangun, mengaum bunyi guruh bertalutalu, hujan turun rintik-rintik, matahari senja menguning cahayanya dan air pasang sehingga menenggelamkan Lumut Lunting. Di tempat itulah baginda sultan Muhammad Ali lindung dikujut oleh Pengiran Bendahara dan jatuh tersungkur di padang rumput yang menghijau. 




Sejak hari itu, Almarhum Sultan Muhammad Ali disebut-sebut orang sebagai ‘Al-Marhum Tumbang Di Rumput’. Pengiran Bendahara Abdul Mubin pun telah menjadi Sultan setelah kemangkatan Sultan Muhammad Ali.

Bab 2 :




Hasrat menuntut bela dan perpindahan istana ke Pulau Chermin. Pada malam itu, Pengiran Bendahara Muhyidin dan isterinya sedang berbual-bual di tingkap bilik peraduan mereka. Isteri Pengiran Bendahara Muhyidin bermuram dan bersedih kerana terkenangkan ayahandanya yang mangkat dikujut oleh Sultan Hakkul Mubin ketika dulu. Pengiran Bendahara Muhyidin: “ Mengapa adinda bersedih hati walau bulan purnama tersergam indah di langit?” Pengiran Isteri Mariam: “derita hati adinda takkan dapat kekanda rasakan, biarlah adinda sendiri yang merasainya.” Pengiran Bendahara Muhyidin: “ jangan begitu adinda, kekanda tidak akan membiarkan mahligai hati adinda rosak binasa.” Pengiran Isteri Mariam: “Hati manusia kanda, hanya akan gembira bila apa yang diharapkannya terlaksana. Kekanda hanya asyik berburu sahaja.” Pengiran Isteri Mariam merasa sangat sedih kerana suaminya hanya asyik berburu dan tiada langsung hatinya untuk melaksanakan hasrat isterinya untuk membalas dendam ke atas kematian mertuanya iaitu Sultan Muhammad Ali. Pada keesokannya harinya, seperti biasa Pengiran Bendahara Muhyidin bersama dua orang pengiringnya pergi berburu ke dalam hutan di Kampung Subok. Setelah lama berada di dalam hutan, tiada satu pun binatang buruan yang didapati, maka Pengiran Bendahara pun duduk berehat di bawah pohon ara sehingga terlelap. Pengiran Bandahara Muhyidin telah mendapat mimpi yang aneh, dia didatangi oleh seorang perempuan yang cantik, berjubah putih. Puteri cantik: “Kembalilah kamu wahai orang muda, di sana ada menunggu satu kewajipan bagi kamu. Tengok di sana ribut datang dan hujan turun dengan menitikkan hujan darah, mari ikutlah aku pulang.” Pengiran Bendahara Muhyidin terjaga dari tidurnya dan tertanya-tanya tentang mimpinya tadi. Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apakah petandanya mimpiku itu? Ah itu hanya gangguan dari makhlukmakhluk di hutan ini.” Pengiran Bendahara Muhyidin pun bangkit dan mencari anak buahnya yang ikut berburu bersamanya tadi. Semasa sedang mencari anak buahnya, Pengiran Bendahara Muhyidin terjumpa dengan Orang Kaya Besar Imas. Dari sanalah Pengiran Bendahara Muhyidin mendapat inspirasi untuk menuntut bela kematian bapa mertuanya Sultan Muhammad Ali. OKBI: “ Ceh! Anak raja ini tidak pemalu, bapanya sendiri dibunuh orang tidak terbela olehnya, senangsenang ia mengangkat tangan menyembah Bendahara Abdul” (berpura-pura tidak melihat kedatangan Pengiran Bendahara Muhyidin sambil menyangkul rumput-rumput di tanamannya). Pengiran Bendahara Muhyidin: “Apa dia, orang kaya?”. OKBI: “Beribu ampun, inilah pekerjaan hamba tuanku. Dari mana tuanku ini?. Junjung duli tuanku naik ke barung hamba tuanku.” Pengiran Bendahara pun naik ke rumah Pehin Orang Kaya Besar Imas bersama dengan anak buahnya. Pengiran Bendahara: “Terima Kasih Orang Kaya.” Pengiran Bendahara teringat akan kata-kata OKBI tadi lalu bertanya kerana rasa ingin tahu menghantui fikiran Pengiran Bendahara. Pengiran Bendahara: “Orang Kaya, saya kurang mengerti apa maksud kata orang kaya di halaman tadi?” OKBI: “Beribu ampun, hamba tuanku berkata-kata dengan air mas hamba tuanku ini, iaitu kemangkatan almarhum ayahanda mertua tuanku itu, mengapatah duli tuanku semua hanya memandang sahaja, bukankah ayahanda tuanku itu lindung kerana dikujut dengan kejam. Padahal tiada kesalahan yang dilakukan oleh baginda. Tidakkah tuanku merasa malu dengan semua itu, tidakkah tuanku mahu untuk menuntut bela atas kematian duli ayahanda tuanku.” Pengiran Bendahara: “Adakah maksud orang kaya seperti mengembangi asam yang telah kering?” sungguh pun benar begitu, apalah daya kita untuk menentang, takkan kita hendak menentang raja, bak kata orang takkan melayu mentang rajanya.” OKBI: “walaupun begitu, dengarlah kata hamba tuanku pada kebawah duli tuanku, berjuanglah tuanku dengan keizinan Tuhan untuk menuntut bela atas kematian paduka ayahanda tuanku, teruskanlah citacita tuanku, hamba tuanku semua di kampong ini akan turut sama turun ke medan perjuangan demi untuk menuntut bela, dijunjung duli tuanku berjuang, hamba tuanku semua bersandarkan dengan berkat Allah.” Pengiran Bendahara: “Jika begitu orang Kaya bersandarkan dengan berkat Allah, percayalah bahawasanya kata orang kaya itu hendaklah dikotakan. Kalau begitu kami mulih dahulu.” Pengiran Bendahara Muhyidin pun pulang ke rumahnya pada hari yang hampir senja. Kelihatan isterinya sedang menunggunya di hadapan rumah. Pengiran Isteri Mariam: “ Mengapa kekanda lambat pulang, adakah mendapat banyak hasil buruan?” Pengiran Bendahara: “ Tiada hasil buruan yang kekanda dapat, tetapi kekanda dapat apa yang adinda hasratkan selama ini.” Pengiran Isteri Mariam: “Apa yang adinda hasratkan selama ini? “(dengan muka kehairanan). Pengiran Bendahara: “benar adinda, tentu adinda akan gembira mendengarnya. Kekanda akan menuntut bela atas kematian paduka ayahanda seperti yang adinda hasratkan.” Isterinya merasa sangat gembira setelah mendengar khabar yang disampaikan oleh suaminya itu. Pada malam itu juga Pengiran Bendahara Muhyidin memanggil saudara-saudara kepada Pengiran Bendahara Muhyidin dan isterinya iaitu Pengiran Kamaluddin, Pengiran Nassaruddin, Pengiran Tuah dan Pengiran Alauddin untuk membincangkan hasrat mereka untuk menuntut bela atas kematian Sultan Muhammad Ali. Pengiran Bendahara: “Malam Ngian, maaf nyusahkan ngian semua datang malam –malam begini”. Pengiran Kamaluddin: “Peramba, kerana sabda memanggil, walau hujan rebut sekali pun peramba semua akan datang, inikan pula cuaca terang seperti siang.” (sambil menoleh kepada pengiran-pengiran yang lain). Pengiran Bendahara: “Begini Ngian, sebab mengapa ngian semua dipanggil malam ini adalah kerana kita semua adalah bersaudara, bersatu hati dan bermuafakat.” Pengiran Nassarudin: “itulah fikiran yang sebaik-baiknya.” Pengiran Bendahara: “Halnya begini, kemangkatan almarhum paduka ayahanda baru-baru ini, kita hidup seperti patung tidak bernyawa, seperti menconteng arang di muka kita yang tidak disedari dan terpandang oleh kita. Maksud kita, hutang darah hendaklah dibalas dengan darah, biarlah bumi Brunei ini bermandikan darah demi untuk menuntut bela atas kematian paduka ayahanda.” Mendengar semua itu, pengiran-pengiran tertunduk malu. Pengiran Kamaluddin: “Peramba. Kalau sudah demikian sabda tuan peramba, maka dijunjung sabda itu. Peramba semua bersedia, insyaallah dengan kuasa Allah peramba semua akan mengerjakan.” Pengiran Bendahara: “sebelum itu ngian, biarlah kita mengatur rancangan dengan lebih teliti lagi sebelum bertindak.” Pada malam itulah mereka bermesyuarat untuk mengatur rancangan yang seteruskan. Pada esok malamnya, di kawasan istana telah gempar dengan suara riuh-rendah berteriak kerana rumah-rumah orang besar-besar diganggu oleh orang yang tidak dikenali iaitu diaruk dengan lembing dan buluh runcing dari bawah rumah. Dituruni tiada siapa yang berada dibawah. Bahkan istana sultan juga turut diganggu. Sultan Hakkul Mubin telah memanggil Pengiran Bendahara Muhyidin dan para wazir dan pembesarpembesar yang lain untuk bertanyakan kejadian itu. Pengiran Bendahara pun berangkat ke istana. Sultan Hakkul Mubin: “dari manakah datangnya manusia-manusia yang bersifat iblis itu. Setiap malam mereka datang dan menganggu dalam negeri ini? Tidak adakah diantara panglima-panglima ini yang berani menghapuskan pengacau-pengacau itu?” (sabda baginda dengan muka yang merah kerana marah). Pengiran Bendahara: “Sungguh berani orang-orang itu. Bukan sahaja istana diganggunya, bahkan barung-barung patik pun dikacaunya. Begitu juga dengan rumah-rumah orang kampong juga diganggu. Lebih baik kita membawa Orang Kedayan di Subok iaitu anak buah Orang Kaya Besar Imas untuk menjaga istana supaya tidak diganggu lagi.” Sultan Hakkul Mubin: “baiklah, kalau begitu kata Pengiran Bendahara baiktah dipanggil anak buah Orang Kaya Besar Imas untuk berjaga di kawasan istana beta.” Pengiran Bendahara: “Junjung sabda tuanku.” Anak-anak buah Orang kaya Besar Imas pun berjaga-jagalah di kawasan istana tetapi pada malam itu sekali lagi kawasan istana diganggu sehingga kawasan istana riuh-rendah dengan teriak dayang-dayang di dalam istana. Sultan Hakkul Mubin pun memerintahkan Orang Kaya Besar Imas untuk mencari orang- orang yang mengganggu istana. Orang Kaya Besar Imas dan anak buahnya pun mencarilah orang-orang yang mengganggu istana sehingga ke dalam hutan. Selama seminggu mereka mencari ke dalam hutan tetapi tidak mereka perolehi. OKBI: “Tuanku, tiada pun yang kami jumpai orang-orang yang mengganggu kawasan istana ini.” Sultan Hakkul Mubin: “betulkah Orang Kaya? Baiklah jika begitu. Teruslah menjaga kawasan ini.” OKBI: “Baiklah tuanku.” Di rumah Pengiran Bendahara Muhyidin Pengiran Bendahara: “bagus Orang Kaya, kita berjaya mengganggu ketenteraman istana dan pembesarpembesar yang lain. Rancangan kita berjaya kali ini.” OKBI: “Ya pengiran Bendahara, Apakah rancangan kita yang seterusnya?” Pengiran Bendahara: “kita akan terus mengganggu istana dan rumah-rumah orang kampong sehingga kita berjaya memujuk Sultan Hakkul Mubin untuk berpindah ke Pulau Chermin dan saya akan menjadi sultan di darat.” Pengiran Kamaluddin: “Ya, rancangan yang bagus peramba, kita akan memerangkap Sultan dan memujuknya berpindah ke pulau Chermin dan beristana di sana. Kita akan berkuasa di darat.” Pengiran-pengiran lain bersetuju dengan semua rancangan itu. Pengiran-pengiran: “Sabda pengiran Bendahara dijunjung peramba semua.” Di balai penghadapan kawasan istana Semua pembesar berada di balai penghadapan termasuklah Pengiran Bendahara Muhyidin dan Orang Kaya Besar Imas dan Pengiran-pengiran yang lain. Baginda sultan Hakkul Mubin merasa sangat gelisah dengan kejadian yang menimpa istana dan rumahrumah orang kampong. Sultan Hakkul Mubin meminta pendapat para pembesar yang lain untuk menghapuskan orang-orang yang mengganggu itu. Pengiran bendahara telah mencadangkan supaya Baginda berpindah ke Pulau Chermin dan membuat istana di sana demi keselamatan baginda. Pengiran Bendahara: “ tuanku, baiktah tuanku berpindah ke Pulau Chermin, kerana kawasan tersebut dikelilingi air dan tidak mudah untuk pengganggu itu untuk menganggu kawasan istana lagi.” Sultan: “rancangan yang sangat baik pengiran Bendahara, baiklah suruh hulubalang istana membuat istana di Pulau Chermin, setelah siap nanti beta akan segera berpindah.” Setelah istana siap dibina di Pulau Chermin, baginda sultan pun berpindah ke Pulau Chermin. Pengiran Bendahara pun menjadi Sultan Di darat, manakala Sultan Hakkul Mubin menjadi sultan di Pulau. Istana di Pulau Chermin: Sultan Hakkul Mubin: “Pehin orang kaya Di-Gadong Seri Nara, apa khabarnya anakanda Pengiran Bendahara? Sudah seminggu kita di sini tetapi Pengiran Bendahara belum juga berpindah ke Pulau Chermin.” Pehin: “Beribu ampun, patik kurang periksa, berangkali anakanda Pengiran Bendahara sedang bersiap untuk berpindah ke Pulau Chermin.” Sultan: “Kalau begitu baiktah Pehin Orang Kaya Di-Gadong bernagkat untuk berkayuh ke darat mengadap anakanda Pengiran Bendahara.” Pehin: “Baiklah tuanku, titah dijunjung.” Pehin Orang Kaya Digadong Seri Nara pun berangkatlah ke Darat bersama dua orang pehin yang lain, berkayuh bersama empat orang pengayuhnya ke istana Darat. Setelah sampai di perairan Brunei, alangkah terkejutnya Pehin Orang Kaya Digadong bahawa Bandar Brunei telah berubah, bukan lagi seperti bandar Brunei dahulu. Di tiang istana Pengiran Bendahara Muhyidin berkibar bendera kuning. Pehin Orang kaya Digadong mengadap Pengiran Bendahara ke istana. Pengiran Bendahara: “Apa khabar Orang Kaya Di-gadong?” Pehin: “Ampun beribu ampun, ada pun hamba tuanku mengadap ini adalah kerana dititahkan oleh Duli Yang Dipertuan bertanyakan khabar berita Brunei dan tuanku. Titahnya lagi bilakah tuanku akan berangkat pindah ke Pulau Chermin?.” Pengiran Bendahara: “Pehin Orang Kaya Digadong, pergilah balik ke Pulau Chermin dan khabarkan kepada Baginda sultan tentang perkhabaran ku di sini, aku sudah menjadi sultan di darat dan tidak akan mengangkat tangan ke dahi menyembah Sultan, bendera kuning itu tidak akan turun dari tiang bendera Koala. Mengertilah pehin maksud kaola dan rasa hati keluarga almarhum setelah baginda mangkat dikujut, koala akan menuntut bela atas kemangkatan ayahanda koala.” Pehin: “titah dijunjung tuanku.” Pehin Orang Kaya Di-gadong Seri Nara terus sujud menyembah dan menjunjung negaraha bersama kedua-dua menteri tadi dan terus keluar untuk berkayuh pulang ke Pulau Chermin. Di Pulau Chermin Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Nara terus mengadap Baginda sultan Hakkul Mubin di Istana. Pehin Orang Kaya terus memberitahu khabar yang diperolehinya di Bandar Brunei. Masuk sahaja Pehin Orang Kaya Di-Gadong dibalai penghadapan, pehin terus menyembah sujud di hadapan baginda dengan menggeletar tulang anggotanya kalau-kalau baginda murka kepadanya. Pehin: “Ampun tuanku beribu ampun, adapun paduka anakanda itu tidaklah ia hendak berangkat ke Pualau Chermin, kerana dalam negeri Brunei ia telah mengibarkan bendera kuning di tiangnya dan lengkap dengan kubu jambatan serta alat-alat pertahanan negeri. Itulah sebabnya paduka anakanda tidak datang mengadap duli tuanku. Paduka anakanda bersabda lagi ia tidak akan mengangkat tangan ke dahi menyembah duli tuanku kerana ingin membalas dendam atas kematian almarhum Sultan Muhammad Ali.” Sultan: “ Ceh! Alangkah besar akal Awg Muhyidin anak derhaka itu. Pura-pura ia mengatakan pulau ini tempat yang baik supaya tidak diganggu oleh penjahat. Mungkin dialah kepala penjahat dan penderhaka besar di negeri Brunei ini. Sebenar mana pun kekuatannya aku tidak akan menyembah kepadanya kecuali kerajaan di Pulau Chermin ini musnah dijilat api bersama jasadku dan waris ku.” Sultan Hakkul Mubin merasa murka sehingga baginda hanya menyebut Awang Muhyidin tanpa gelaran kerabat diraja yang dikhaskan kepada Pengiran Bendahara Muhyidin.

Bab 3:




Perang Saudara dan penyudahnya. Di Pulau Chermin: Sultan Hakkul Mubin: “Bersiaplah kamu semua, lengkapkan alat-alat peperangan, kita berperang melanggar Bandar Brunei”. Di Pulau Chermin segala kelengkapan senjata dan bala tentera telah bersedia untuk memerangi penderhaka di Bandar Brunei. Setelah lengkap semuanya, segala perahu-perahu peperangan itu berkayuh ke Bandar Brunei dengan orang yang telalu ramai dilengkapi dengan bedil, lembing dan anak-anak panah beracun bersangkutan di belakang mereka. Banyaklah perahu bertambatan di jambatan Pulau Chermin. Sultan Hakkul Mubin menghantar pemergian meraka untuk pergi memerangi Bandar Brunei. Sultan Hakkul Mubin: “Ku lepaskan kamu dengan doa, langgarlah kubu orang Bandar Brunei itu dengan berani hingga dapat kamu bawa hidup-hidup tawanan kamu kemari.” kedengaran juga anak-anak dan isteri mereka menyeru nama suami dan ayah meraka. Anak 1: “Ayah…”(sambil mengangis) Setelah selesai baginda bertitah, berdirilah Putera Zamban iaitu Putera Sultan Hakkul Mubin yang juga sebagai ketua perangnya. Putera Zamban: “Hancurkan hingga menjadi padang jarak padang tekukur dan istana rajanya kita balikkan bumbungannya ke bumi dan tiangnya ke langit. Dengan daulat baginda di Pulau Chermin. Ayuh kayuh.” (perintahnya kepada semua hulubalangnya). Di Bandar Brunei: Orang Brunei yang di bawah perintah Pengiran Bendahara Muhyidin, sekembalinya Pehin Orang Kaya Digadong, mereka telah bersiap sedia menambah dan melengkapkan alat peperangan mereka. Mereka berjaga-jaga dan menjalankan tugas masing-masing menanti kedatangan serangan orang di Pulau Chermin. Pengiran Bendahara Muhyidin: “Lengkapkan semua barang peperangan, kita sedia menghadapi serangan dari Pulau Chermin.” Setelah itu, kedengaran bunyi bedil meriam orang Pulau Chermin menandakan kedatangan angkatan perang dari Pulau Chermin. Berbalas-balas tembakan bedil kedengaran dari kedua-dua belah pihak. Asap naik ke udara menjadikan bumi Brunei menjadi gelap tidak kelihatan satu pun di sungai Brunei. Panglima Pulau: “Mara ke hadapan semua.” “Boom..” kedengaran bunyi bedil yang mengenakan hulubalang pihak Pulau Chermin mati berhemburan darah jatuh ke perairan sungai Brunei. Peperangan yang berlaku di Sungai Brunei menjadikan sungai Brunei sebagai lautan darah kerana banyak yang terkorban dari kedua-dua belah pihak lawan. Beberapa ketika, bunyi bedil dan meriam reda. Asap telah mula berkurang dan kelihatanlah orang beramukan dengan berlagakan perisai dan pedang sambil memain keris. Ini kerana tentera Pulau Chermin telah dapat mendarat naik ke kubu pertahanan orang Brunei yang menyebabkan terjadinya pertarungan yang amat dahsyat. Setelah 3 bulan berperang, belum lagi ada tanda-tanda mahu tewas di antara kedua-dua belah pihak. Sehingga Pengiran Bendahara Muhyidin menghantar perutusan perdamaian kepada Baginda di Pulau Chermin dengan menghantar Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan iaitu menteri kepercayaan Pengiran Bendahara diperintahkan menjadi utusan membawa surat tersebut melalui jalan darat. Surat itu berbunyi: “Surat daripada kita Pengiran Bendahara Muhyidin ketua kerajaan darurat di Brunei, datang ke hadrat ayahanda kita Sultan Abdul Mubin di Pulau Chermin. Oleh kerana memikirkan hal hamba rakyat kita di kedua-dua belah pihak yang banyak terkorban, maka inilah kita di Brunei mengutus ke Pulau Chermin, menawarkan supaya diadakan perdamaian di kedua belah pihak. Janganlah kita berperang dan eloklah kita membuat penyelesaian yang aman dan baik.” Setelah selesai dibaca oleh khatib, Sultan Hakkul Mubin pun memerintahkan supaya para tenteranya untuk berundur dan menerima perdamaian tersebut. Walaupun perdamaian itu hanya berunsurkan lisan sahaja. Sebulan setelah berdamai, peperangan menyala kembali iaitu orang dari Bandar Brunei pula yang menyerang kembali ke Pulau Chermin. Peperangan kali kedua ini meyebabkan Sultan Hakkul Mubin sendiri yang turut serta dalam peperangan tersebut. Sultan Hakkul Mubin: “Bawa ke mari pedang dan kerisku, aku hendak berperang bersama rakyatku.” Hulubalang istana: “Junjung duli tuanku.” Lalu hulubalang pun menyerahkan segala kelengkapan perang Sultan Hakkul Mubin, dikatakan Sultan Hakkul Mubin adalah seorang yang kebal, gagah dan berani orangnya. Di sebelah pihak Brunei, semakin banyak yang terkorban kerana Sultan ikut bertempur sehingga tentera pihak Pengiran Bendahara Muhyidin terpaksa berundur. Orang Kaya Besar Imas juga turut terkorban di Pulau Chermin. Pengiran Bendahara: “Berundur semua.” Sekembalinya tentera Pengiran Bendahara ke Bandar Brunei, Pengiran Bendahara Muhyidin pun bermesyuarat dengan adinda-adindanya untuk menghantar utusan ke Sulok untuk meminta bantuan supaya pihak Sulok akan membantu mereka memerangi Sultan Hakkul Mubin di Pulau Chermin. Akhirnya peperangan berlaku lagi bersama-sama dengan tentera Sulok. Kapal tentera Sulok terus terusan membedil Pulau Chermin, sehingga banyak orang-orang di Pulau Chermin terkorban. Tambahan pula tentera musuh semakin ramai mengelilingi Pulau Chermin dan dengan mudah tentera Pengiran Bendahara mendarat di Pulau Chermin. Oleh kerana tentera Pihak Sultan tidak berdaya lagi untuk melawan, maka sultan pun memerintahkan orang-orangnya memusnahkan semua pekakas kerajaan. Sultan Hakkul Mubin: “Hulubalang, musnahkan semua harta kerajaan, segala mahkota dan cap kamhap beta ke laut.” Hulubalang: “Junjung titah duli tuanku.” Hulubalang Istana segera memasukkan Mahkota Sultan Hakkul Mubin dan cap Kamhap kerajaan ke mulut meriam lalu ditembakkan ke laut. Melihat kelakuan orang-orang Palau Chermin memusnahkan pekakas kerajaan, seluruh Pulau Chermin telah terbakar. Tentera Pengiran Bendahara Muhyidin semakin mara ke hadapan. Kemaraan ini adalah disebabkan seorang pahlawan yang tidak dikenali telah mengemudi kapal perang Pengiran Bandahara Muhyidin. Orangnya berkulit putih, bertubuh kecil, berpakaian putih, berdastr putih, bersuara halus dan tidak kurang keris dipinggangnya. Pahlawan yang tidak dikenali: “Ayuh! Kayuhkan laju-laju.” Selesai sahaja pekakas kerajaan dimusnahkan, Sultan Hakkul Mubin bersama seluruh keturunannya telah lari ke Masjid dan membunuh diri dengan melaburkan diri mereka di dalam masjid tersebut. Sultan Hakkul Mubin: “Silalah anakanda semua, kita melabur.” Maka Sultan pun membakar masjid yang telah dicurahkan minyak. Terbakarlah masjid tersebut bersama-sama dengan isi di dalamnya sehingga habis terbakar baginda dan putera puteri baginda semuanya mangkat berlabur. Akhirnya pihak Pengiran Bendahara Muhyidin pun menang dalam peperangan tersebut. Segala harta benda dirampas dan dibawa balik harta rampasan itu ke Sulok. Selesai sahaja peperangan itu, Pengiran Bendahara Muhyidin balik ke Brunei dan merasa gembira kerana berjaya menuntut bela atas kemangkatan ayahandanya dulu tetapi Pengiran Bendahara merasa sedih kerana isterinya yang tercinta terbaring lemah kerana mendapat luka di kepala sesudah menunaikan janjinya sebagai serikandi negara. Isterinya telah menyamar menjadi lelaki demi untuk menuntut bela kematian paduka ayahandanya dan dialah lelaki yang mengemudi kapal perang Pengiran Muhyidin tadi. Pengiran Bendahara: “Adinda, mengapakah adinda sanggup melakukan semua itu? Kekanda sedih melihat adinda cedera parah begini hanya demi untuk turut berperang.” Isterinya: “kekanda, walau hilang nyawa di badan, adinda rela demi menuntut bela atas kemangkatan paduka ayahanda. Akhirnya adinda berjaya menunaikan janji adinda untuk turut serta dalam peperangan itu.” Akhirnya Pengiran Bendahara pun diangkat menjadi Sultan Muhyidin setelah kemangkatan Sultan Hakkul Mubin. Selama 12 tahun peperangan ini berlangsung. Pembesar-pembesar: “Daulat tuanku” (beramai-ramai) TAMAT -

Nota :

Gambar-gambar diambil dari googles images sebagai hiasan sahaja....

Dari sumber yang lain Angkatan Perang Sulok tidak ikut serta dalam serangan serangan awal Pulau cermin cuma ikut serta berperang saat saat akhir bila hulubalang Sultan Hakkul Mubin hampir tewas di mana ianya mendatangkan kemurkaan Pengiran Muhyidin.

1 comment:

  1. Menurut cerita lisan bahawa tidak betul tentera Sulok berjaya melintasi kawasan Tuaran disebapkan bala tentera Sultan Hakuk Mubin yang berlabuh di Mengkabung Tuaran telah berjaya memusnah tentera Sulok yang datang membantu Sultan Muhiddin..itulah diwartakan Sulok tidak terlibat dalam peperangan tersebut..

    ReplyDelete