Friday, 8 April 2016

Kisah Para Tonggorib / Pengayau dari Tempasuk.





Pada zaman dahulu, daerah Tempasuk merupakan daerah yang penuh kekacauan. Di daerah pesisir pantai kawasan dikuasai oleh kegiatan lanun yang berasal dari kaum Iranun dan Balingingi; di daerah pendalaman pula kawasan dikuasai oleh para headhunters dari kaum Dusun.

Di suatu kawasan di lembah Tempasuk, terjadilah permusuhan antara kaum Dusun di Tambatuon dan Wangkod. Beberapa siri serangan dari para pengayau berlaku. Kemudian, tibalah musim menanam padi. Kedua-dua kubu yang bermusuhan mengadakan perjanjian, bahwa setiap orang yang berada di sawah padi, mengerjakan sawah padi tidak boleh dilibatkan dalam perang.

Adalah seorang pahlawan dari Tambatuon yang menikahi gadis dari Kabaiau, sebuah perkampungan tidak jauh dari Tambatuon. Pahlawan ini tidak mengetahui adanya perjanjian antara Tambatuon dan Wangkod. Kemudian dia mengambil gayang dan kolig, lalu pergi ke sawah untuk mengayau.

Dia membawa pulang tiga kepala penduduk Wangkod yang sedang bersawah. Penduduk Wangkod merasa sangat marah, mereka mengatakan penduduk Tambatuon telah melanggar perjanjian perang. Kemudian Pemimpin Wangkod menyiapkan pasukan lalu menyerang perkempungan Tambatuon, mereka membawa 7 kepala penduduk Tambatuon. Penduduk Tambatuon pula mengatakan Wangkod sudah melanggar perjanjian perang, maka pemimpin Tambatuon menyiapkan 100 orang pasukan untuk menyerang Wangkod.

Dalam perjalanan menuju Wangkod, mereka bertemu dengan 100 pahlawan Wangkod. Terjadilah pertempuran yg sengit. Ketika itu, pasukan Tambatuon kalah, 50 terbunuh di pihak Tambatuon, semantara tidak ada satupun yang terbunuh di pihak Wangkod. Kawasan itu dinamakan "kulit kayu", sebab di tempat itu bergelimpangan mayat pasukan Tambatuon yang terbunuh dalam perang sambil memakai pakaian perang yang diperbuat dari kulit kayu (Lamba).

Ketua kampung Tambatuon merasa susah hati kerana banyak dari pahlawan dari kampungnya terbunuh, termasuk 6 orang abangnya. Pada malam itu ketua kampung Tambatuon bermimpi bertemu Tumotolong yang sangat tinggi menjulang dan sangat besar hingga dia tidak dapat mendengar suara makhluk itu kerana terlalu tinggi.

Makhluk itu mengangkatnya lalu mengatakan bahwa kalau dia hendak keluar berperang, dia harus membawa "kopioh (nasib baik)" ketika berperang. Tumotolong yg merupakan makhluk yang datang dari Gunung Kinabalu mengajarkannya cara mendapat azimat yang berkuasa, demikian juga Tompupulangoi dari Laut datang mengajarkannya. Setelah mendapatkan azimat perang dari Tumotolong dan Tompupulangoi, maka, dia keluar seorang diri ke Wangkod untuk mengayau. Ketika ia sampai d Wangkod dan melihat penduduk Wangkod, dia tiba-tiba merasa sangat bertenaga dan kuat, dia menyerang penduduk Wangkod tanpa perasaan takut, lalu memenggal 3 kepala penduduk Wangkod. Kemudian keluarlah penduduk Wangkod mengejar dia, ketika sampai di pagar kampung yang agak tinggi, Ketua kampung Tambatuon melompatnya tanpa halangan kerana kekuatan yang ada dalam badannya. Setelah 4 hari berlalu, ketua kampung Tambatuon kembali menyerang Wangkod seorang diri, lalu membawa balik 4 kepala penduduk Wangkod.

Kemudian ketua kampung Tambatuon membuat "Tatandok", lalu mengajarkan penduduk Tambatuon cara untuk mengayau. Dia menurunkan ilmunya kerana dia sudah membalaskan dendamnya untuk 6 abangnya dengan 7 kepala penduduk Wangkod. Ketika itu permusuhan masih berlaku, maka Ketika tiba musim menanam padi, penduduk Wangkod-Tambatuon kembali mengadakan perjanjian supaya mereka yg ada d ladang sawah tidak boleh dilibatkan dalam perang atau dalam aktiviti head hunting. Maka adalah seorang anak ketua kampung Tambatuon yang berumur 10 tahun ke ladang untuk membersihkan sawah seorang diri tanpa ditemani walau seorangpun. Kemudian, penduduk Wangkod berkata "dulu penduduk Tambatuon pernah melanggar perjanjian, sekarang mari kita balas langgar perjanjian". Kemudian 7 pahlawan Wangkod datang ke kawasan sawah penduduk Tambatuon lalu menangkap anak ketua kampung, mereka tidak membunuhnya tapi membawanya ke Wangkod.

Dibawalah anak itu masuk ke rumah panjang 7 pintu penduduk Wangkod. Berkumpullah pahlawan Wangkod dan ketua kampung Wangkod untuk pesta, mereka berkata pada anak kecil itu: "kami akan membuat gendang dari kulit tubuh kamu, dan membuat gendang dari kulit kambing untuk perbandingan di mana yang lebih bagus bunyinya". Ketika seorang pahlawan Wangkod mengambil pedang untuk membunuh anak itu, berkatalah anak itu: "jangan berkata demikian, kerana bapa saya memiliki ilmu ghaib yg kuat". Kemudian ketua kampung Wangkod menjawap: "apa kamu cakap?". Anak kecil itu Kemudian berkata: "tunggu sekejap, saya akan memperlihatkan pada kamu semua". Kemudian berdirilah ketujuh pahlawan Wangkod dan ketua kampung Wangkod sambil memegang gayang. 

Anak itu mengucapkan Rinait :

Turut-turut
Turuk tulun rumatok
Tulung tuluna
Turuk tulu rumatok

Ketika ketujuh pahlawan dan ketua kampung Wangkod melihat itu, mereka tertawa terbahak-bahak kerana menyangka anak kecil itu cuma bermain saja. Tiba-tiba dgn serta merta, ketujuh pahlawan itu termasuk ketua kampung Wangkod, dan orang yg ada dalam pesta itu termuntah darah. Ketika mereka dalam kesakitan, anak kecil itu mengambil gayang salah satu dari ketujuh pahlawan Wangkod itu, lalu memenggal kepala ketua kampung Wangkod, penolong ketua kampung Wangkod, dan 5 orang lain. Anak kecil ini hanya memenggal 7 kepala, kerana tidak mampu mengangkat lebih dari 7 kepala. Ketika dalam perjalanan pulang ke Tambatuon, anak itu melihat bapanya baru kembali dari mengayau, mereka pulang bersama-sama ke Tambatuon. Beginilah cara penduduk Dusun Tambatuon belajar ilmu headhunting.

(Kisah diterjemah dan digubah dari sumber buku: Religion of The Tempasuk Dusun; headhunting story, Pg.460-462).

Sumber Facebook : Aki Rumantai


3 comments:

  1. Info cerita sejarah ini tidak tepat Dan lari dari sejarah sebenar.. banyak info salah ini Bos..kg tambatuon Dan kabaiau(kabayau) itu dalam kawasan kadamaian bukan tampasuk begitu juga kg wangkod itu kawasan topokon bukan kawasan tampasuk.. Tumotolong dan Tompulalangoi itu semangat hutan bukan dari gunung atau laut..cerita yang anda share ini banyak auta dari fakta...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan lupa Tampasuk dahulu ialah daerah Kota Belud keseluruhannya. Sekarang ini, Tampasuk (kini dieja Tempasuk) hanya salah satu daripada kampung di Kota Belud.

      Delete
  2. Hi Kampung Wangkod yang dimaksudkan dalam cerita ini Kampung Wangkod, Topokon kah?

    ReplyDelete