Perjanjian 1888: Suatu Harapan dan Kekecewaan.
Oleh
Ismail Bin Haji Awang Nordin
Jabatan Sejarah, FASS
Universiti Brunei Darussalam
Abad ke -19 adalah kurun yang sangat mencabar bagi Negara
Brunei Darussalam. Abad tersebut merupakan abad di mana negara-negara di Asia
tenggara menghadapi arus hubungan, ancaman dan penjajahan daripada kuasa-kuasa
barat. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada arus tersebut.
Situasi Brunei dalam abad ke-19 turut mengundang penglibatan orang-orang
Inggeris. Pada mulanya secara individu, syarikat dan kemudian melibatkan
kerajaan Inggeris.
Kegiatan individu Inggeris, James Brooke di Sarawak dan
Syarikat Borneo Utara Inggeris (Sabah sekarang) sangat mengancam kedaulatan dan
wilayah-wilayah Brunei yang mana akhirnya mengecilkan Brunei seperti yang ada
sekarang. Hubungan resmi kerajaan Brunei dengan kerajaan Inggeris (Great Britain)
bermula dalam tahun 1847 iaitu dengan termeterainya Perjanjian Persahabatan dan
Perdagangan. Perjanjian ini tidak dapat menjamin hubungan mesra dan kedaulatan
Brunei. Kerakusan James Brooke dan anak saudaranya Charles Brooke di Sarawak
dan Syarikat Borneo Utara Inggeris tanpa menghiraukan rasa hormat kepada Sultan
Brunei dan kedaulatan Brunei telah menyempitkan wilayah Brunei.
Perluasan
wilayah mereka itu pula direstui oleh kerajaan Inggeris. Untuk mengelakkan
wilayah-wilayah Brunei daripada terus menerus diambil oleh kedua kuasa tersebut
maka Brunei telah menandatangani Perjanjian Perlindungan pada tahun 1888 dengan
Great Britain. Perjanjian ini diharap akan dapat menjamin kedaulatan dan
kelangsungan Brunei tanpa menggangu-gugat kesultanan Brunei yang masih tinggal,
akan tetapi ianya adalah sebaliknya. Menjamin kesultanan Brunei adalah harapan
khususnya Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin.
Akan tetapi, disamping harapan
itu, Sultan Brunei merasa sangat kecewa akan tindakan, khususnya Rajah Charles Brooke
dan malah kerajaan Inggeris yang tidak menghormati perjanjian tersebut
khususnya apabila Limbang dirampas oleh Rajah Charles Brooke. Penulis akan cuba
menggerap perkembangan yang membawa kepada Perjanjian 1888, kepentingan dan
peranannya dalam menjamin kelangsungan kesultanan dan kedaulatan Brunei serta
harapan dan kekecewaan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin dalam usahanya
mengekalkan kedaulatan Brunei sehingga wujudnya perjanjian Tambahan kepada
Perjanjian 1888 dalam tahun 1906. Penulis juga akan melihat beberapa
perkembangan dalam dekad pertama abad ke-20.
Brunei abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Negara Brunei Darussalam awal abad ke-19 khususnya dua abad
pertama abad tersebut hingga dekad pertama awal abad ke-20 diperintah oleh tiga
orang sultan iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin II (1824-1852), Sultan Abdul
Momin( 1852-1885 ) dan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin ( 1885-1906 ).
Keluasan wilayah-wilayah Brunei meliputi wilayah-wilayah Sarawak dan Sabah
sekarang. Tempoh ini juga menggambarkan beberapa perselisihan di kalangan
keluarga Diraja, kedatangan kuasa-kuasa barat khususnya Inggeris dengan
matlamat dan agenda masing-masing, yang membawa kepada pertapakan James Brooke
di Kucing, Sarawak dan pembentukan Syarikat Borneo Utara Inggeris dan penglibatan secara
langsung kuasa Inggeris di Brunei.
Abad-abad ini juga memperlihatkan dan
kekecewaan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin terhadap mati hidupnya kerajaan
dan kesultanan Negara Brunei Darussalam. Antara tahun 1846 hingga 1910
kekuasaan Brunei yang dulunya besar dan luas telah menjadi kecil dengan
keluasan cuma 2,226 batu persegi atau 5,765 kilometer persegi. Pengecilan
Brunei bermula dalam tahun 1846 iaitu apabila Pulau Labuan diserahkan kepada
kerajaan Inggeris. Setahun kemudian, Negara Brunei Darussalam membuat
perjanjian dengan kerajaan Great Britain yang dikenali dengan Perjanjian
Perdagangan dan Persahabatan. Pertapakan James Brooke di Sarawak sejak tahun
1836 dan khususnya dalam tahun 1841 mengakibatkan banyak lagi wilayah-wilayah
Brunei telah jatuh ke tangan James Brooke dan anak saudaranya Rajah Charles
Brooke.
Kemunculan Syarikat Borneo Utara Inggeris dalam tahun 1881
memperlihatkan lebih banyak lagi wilayah-wilayah Brunei di Sabah telah jatuh ke
tangan syarikat. Fenomena tersebut setentunya telah mengecewakan Sultan Abdul
Momin dan khususnya Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin. Keujudan Rajah-Rajah
Brooke dan Syarikat Borneo Utara Inggeris mengujudkan keadaan yang tidak stabil
di Brunei dan mengancam kedaulatan Negara Brunei Darussalam. Melihat keadaan
yang sangat membimbangkan ini, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin telah
menandatangani Perjanjian Perlindungan dalam tahun 1888 dengan kerajaan Great
Britain.
Perjanjian ini diharap dapat menyelamatkan kesultanan Brunei dan
menghindari daripada pengambilan wilayah-wilayah Brunei daripada kuasa asing.
Kertas ini akan melihat perkembangan sejarah yang membawa kepada termaktubnya
Perjanjian 1888, kepentingan perjanjian tersebut dan perkembangan sejarah
selepasnya yang memperlihatkan harapan dan kekecewaan khususnya Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin yang berusaha
untuk menyelamatkan kesultanan Brunei sehingga termaktubnya perjanjian Tambahan
tahun 1905/06.
Perjanjian 1847.
Perjanjian 1847 dikenali sebagai Perjanjian Persahabatan dan
Perdagangan yang ditandatangani di antara kerajaan Negara Brunei Darussalam
dengan Great Britain pada 27 Mei 1847. Perjanjian ini ditandatangani oleh
Sultan Omar Ali Saifuddin II dan James Brooke, selaku wakil kerajaan Great
Britain. Tujuannya adalah untuk menggalakkan perdagangan antara kedua buah
negara dan menghapuskan lanun di kepulauan Borneo [ lihat mukadimmah
perjanjian]. Perjanjian ini menandakan bermulanya hubungan secara rasmi antara
kedua kerajaan tersebut. Ianya mengandungi 12 artikel. Artikel yang penting
bagi Great Britain ialah artikel X yang mengesahkan penyerahan Pulau Labuan dan
mengingatkan Sultan Brunei supaya tidak menyerahkan sebarang wilayah Brunei
dalam apa jua bentuknya wilayah tersebut kepada kerajaan lain atau rakyat
kerajaan lain tanpa persetujuan kerajaan Great Britain [ lihat artikel X
perjanjian 1847]. Artikel ini dari kaca mata Inggeris, dapat menghalang
kuasa-kuasa asing untuk campur tangan dalam hal ehwal Brunei, menghalang
pepecahan kesultanan Brunei serta menunjukkan minat Inggeris terhadap Brunei [
D.S.Ranjit Singh,1991:58].
Kehadiran dan pertapakan James Brooke di Sarawak.
James Brooke, anak bekas pekerja Syarikat East India Timur
dan bekas pegawai tentera Inggeris di Benggala adalah seorang yang opportunis
dan bercita-cita besar telah sampai ke Kucing, Sarawak pada tahun 1839. Di
Sarawak beliau mendapati pemberontakan sedang berlaku. Pemberontakan ini
bermula dalam tahun 1935 yang disertai oleh orang-orang Melayu di Sarawak dan
orang-oang Dayak Darat. James Brooke membantu Bendahara Raja Muda Hashim untuk
menamatkan pemberontakan itu dalam tahun 1840 dan 1841 [ W.R.Wright,1970:11 ].
Dengan pertolongan ini, James Brooke berjaya bertapak di Kucing dalam tahun
1842 dan sejak itu bejaya meluaskan wilayahya terhadap wilayah-wilayah Brunei.
Perluasan Wilayah Sarawak.
Perjanjian 1847 tidak memberi makna langsung kepada Negara
Brunei Darussalam kerana kerajaan Inggeris tidak mematuhinya khususnya mengenai
artikel X. Artikel ini pula lebih menguntungkan kerajaan Brooke di Sarawak
kerana segala keputusan akhir dirujuk kepada kerajaan Great Britain. Yang
menanggung akibatnya ialah kerajaan Brunei sendiri. Ini dapat dilihat selepas
perjanjian itu, banyak wilayah-wilayah Brunei telah diambil oleh James Brooke
contohnya daerah-daerah Semarahan, Sadong, Lingga, Skrang, Krian, Saribas dan
Rejang yang permasalahannya timbul dalam tahun 1851 semasa Sultan Omar Ali
Saifuddin II memerintah, diserahkan kepada James Brooke dalam tahun 1853 semasa
pemerintahan Sultan Abdul Momin dengan bayaran $1500 setahun dan separuh daripada hasilnya kepada Sultan Abdul
Momin [D.S Ranjit Singh, 1991: 59-60]. Kemudian daerah Mukah dan Bintulu
diserahkan kepada James Brooke dalam tahun 1863 dengan bayaran $4500 setahun
kepada Sultan Abdul Momin.
Harapan Sultan Omar Ali Saifuddien II dan Pengiran Bendahara
Pengiran Anak Momin untuk menyelamatkan wilayah-wilayah Brunei dari terus
diambil oleh rejim James Brooke dan kemudian anak saudaranya Rajah Charles
Brooke boleh dikatakan sangat tinggi. Untuk meminta bantuan dari kerajaan Great
Britain bagi menghalang perluasan wilayah Sarawak tidak berhasil, malah
kerajaan Great Britain memihak kepada rejim Brookes di Sarawak. Melihat kepada
keadaan ini Sultan Omar Ali Saifuddien II dan Pengiran Bendahara Anak Abdul
Momin membuat perjanjian persahabatan dengan Amerika Syarikat dalam tahun 1850.
Tujuannya adalah untuk mengimbangi kekuasaan James Brooke di Sarawak dan juga
kerajaan Great Britain.
Syarikat Borneo Utara Inggeris
Hubungan Negara Brunei Darussalam dengan Amerika Syarikat tidak
dapat mengimbangi kedudukan politik antara Brunei, Sarawak dan Great Britain.
Akan tetapi akibat selanjutnya, hubungan ini memberikan kesan yang buruk kepada
Brunei. Apabila konsul Amerika Syarikat yang pertama iaitu C.L. Moses sampai ke
Brunei dalam tahun 1865.
Sultan Abdul Momin telah memberikan konsesi wilayah
Borneo Utara kepada Moses dengan bayaran $4200 dan $4000 setahun masing-masing
kepada Sultan Abdul Momin dan Pengiran Temenggong [L.R Wright, 1970 : 16 dan
49]. Dalam tahun tersebut juga ( 1865 ), C.L. Moses telah menjual hak
pajakannya kepada J.W. Torrey, seorang ahli perniagaan di Hongkong, yang mana
bersama dengan rakan kongsinya telah membentuk Syarikat Perdagangan Amerika di
Borneo. Dalam tahun 1875, J.W Torrey menjual pula pajakan tersebut kepada Baron
de Overbeck ( konsul Austria di Hongkong ) dan Alfred Dent ( ahli perniagaan
Dent bersaudara London ) iaitu rakan kongsi Baron de Overbeck [ L.R Wright,
1970 : 107 ].
Kebanyakkan wilayah-wilayah Brunei di Sabah dipajakkan
kepada orang-orang asing tersebut dengan bayaran wang kepada pemiliknya.
Umpamanya dalam tahun 1877, Sultan Abdul Momin telah memajakkan wilayah Brunei
dari Tanjung Gaya hingga Tanjung Lutut. Termasuk Pulau Gaya, Pulau Sepanggar
hingga ke Papar dan Benoni dengan bayaran $4000 setahun kepada Sultan Abdul
Momin.
Begitu juga dengan pengiran-pengiran yang mempunyai ‘tulin’ telah
memajakkan kepada Baron de Overbeck dan Alfred Dent, umpamanya Pengiran
Temenggong Sahibul Bahar memajakkan wilayah-wilayah Kimanis dan Benoni dengan bayaran
$3000 setahun [ lihat Hj. Abdul Karim, Jurnal Darussalam 1995 : 131 ]. Selain
daripada memberi pajakan, Sultan Abdul Momin berkenan melantik Alfred Dent
sebagai Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan [lihat Hj. Abdul Karim,
Jurnal Darussalam 1995 : 131 ].
Perlantikan ini berkemungkinan untuk
melebih-lebihkan kedudukan Alfred Dent daripada Rajah James Brooke kerana
Sultan Abdul Momin sendiri kurang percaya kepada James Brooke yang ingin
mengambil kesemua wilayah-wilayah Brunei, tidak kira ianya ‘kuripan’, ‘tulin’
dan juga ‘kerajaan’ Brunei.
Penganugerahan Piagam Diraja kepada Syarikat Borneo Utara
Inggeris oleh kerajaan Great Britain pada 29 Ogos 1881 memberikan implikasi
yang buruk kepada Negara Brunei Darussalam. Sejak itu banyak lagi wilayah-wilayah
Brunei samaada dipajakkan, diserahkan dan diambil secara pajakan, paksa atau
ugutan oleh Syarikat Inggeris Borneo Utara dan Sarawak.
Tekanan kedua-dua kuasa
baru ini serta takut kepada campur tangan kuasa-kuasa asing telah menimbulkan
suatu pemikiran dikalangan pegawai-pegawai Inggeris khususnya di pejabat tanah
jajahan dan pejabat luar negeri di London untuk mewujudkan negara perlindungan
di ketiga-tiga buah negeri tersebut: Syarikat Borneo Utara Inggeris, Sarawak
dan Brunei Darussalam. Tetapi ide ini pada awalnya tidak diambil perhatian
secara sirius oleh kerajaan Great Britain.
Perkembangan yang berlaku selepas tahun 1881 menguatkan lagi
cadangan untuk menubuhkan negara-negara perlindungan tersebut. Raja Charles
Brooke meminta hak-haknya untuk meluaskan wilayah Sarawak terhadap
wilayah-wilayah Brunei, kepada kerajaan Great Britain. Umpamanya mensahkan
penyerahan daerah Baram kepada Sarawak yang di Pejabat Hal Ehwal Luar British
pada bulan November 1881 [ L.R. Wright, 1970 : 170-171 ].
Kemunculan Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris yang
sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada Kerajaan Great Britain dan
juga penarikan balik dasar perluasan wilayah Sarawak telah memperhebatkan lagi
perlumbaan untuk memperluaskan wilayah oleh kedua-dua negeri tersebut terhadap
wilayah Brunei kerana kedua-duanya mempunyai agenda dan matlamat yang sama
iaitu untuk mengambil wilayah-wilayah Brunei. Akibatnya wilayah-wilayah Syarikat
Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak bertambah luas manakala wilayah Brunei
semakin kecil. Dasar Inggeris pula membenarkan setiap wilayah yang diambil oleh
kedua-dua negeri tersebut tanpa menghormati Artikel X perjanjian tahun 1847.
Malah kerajaan Great Britain di ibaratkan sebagai pengadil bagi persaingan
Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Rajah Brooke, Sarawak dalam
memperluaskan wilayah-wilayah mereka ke atas Brunei Darussalam.
Pengambilan daerah Baram oleh Sarawak telah diperkenankan
dalam tahun 1882 [ S. Baring-Gold dan C.A. Bampfylde, 1970 : 340 ]. Peter Leys,
Konsul-Agung baru di Labuan berjaya mendapatkan wilayah dari Tanjung Kidorong
hingga ke Baram dengan bayaran tahunan $3000 kepada Sultan Abdul Momin dan
$2000 kepada Pengiran Temanggong Anak Hashim, untuk Sarawak. Manakala daerah
Padas dipajakkan kepada Syarikat Borneo Utara Inggeris dalam tahun 1884
sungguhpun Pengiran Temanggong Anak Hashim yang empunya ‘tulin’ ini enggan
membenarkannya. Dalam tahun itu juga ( 1884 ) Pengiran Temanggong Anak Hashim
telah menyerahkan daerah Trusan dan Limbang kepada Sarawak tetapi tidak
mendapat kebenaran daripada Sultan Abdul Momin. Maka, menyerahan daerah-daerah
tersebut tidak sah.
Walaupun Sultan Abdul Momin (1852-1885), beberapa dekad
sebelum mangkat, dalam keadaan tua dari segi umur, baginda memiliki pemikiran
yang melihat kedepan. Menyedari tentang kehilangan wilayah-wilayah Brunei
kepada Syarikat Borneo Utara Inggeris dan Sarawak telah menyedarkan Baginda.
Harapan Baginda tidak mahu lagi melihat akan kehilangan wilayah-wilayah Brunei yang masih
tinggal sama ada dipajakkan, dijual atau diserahkan kepada Syarikat Berpiagam
Borneo Utara Inggeris dan Rajah Brooke, Sarawak. Harapan ini tergambar dalam
‘amanat’ Baginda yang dibuat pada 20 Februari 1885 yang mana pembesar-pembesar
Brunei yang memiliki ‘kuripan’ dan ‘tulin’ telah bersumpah setia, sebulat hati
untuk tidak memajakkan atau menyerahkan wilayah kepunyaan mereka kepada
negara-negara asing. Amanat baginda ini dikenali sebagai ‘Amanat Sultan Abdul
Momin’ [ lihat D.E. Brown, 1974 : 168 ].
Pemberontakan Limbang 1884
Limbang adalah ‘kuripan’ Pengiran Temanggong Pengiran Anak
Hashim ( menaiki takhta dalam tahun 1885 dengan gelaran Sultan Hashim Jalilul
Alam Aqamaddin ). Setahun sebelum Pengiran Temanggong Pengiran Anak Hashim
menaiki takhta, penduduk-penduduk Limbang telah mengadakan pemberontakan.
Pemberontakan ini adalah disebabkan oleh cukai yang dikenakan dan yang dikutip
secara kekerasan oleh pemungut-pemungut cukai. Dua orang pemungut cukai dari
Brunei telah dibunuh di Limbang. Tekanan pemberontak-pemberontak di Limbang
tidak dapat di selesaikan oleh Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim,
sehinggakan William Treacher ( Pemangku Konsul Agung Inggeris di Labuan ) turut
campur tangan menyelesaikan dan menamatkan pemberontakan tersebut. Persetujuan
diperolehi : cukai-cukai yang tidak perlu ditiadakan kecuali cukai kepala (
poll-tax ). Pengiran Temanggong Pengiran Anak Hashim pernah meminta bantuan
dari Rajah Charles Brooke untuk menamatkan pemberontakan itu tetapi tidak
berjaya.
Ekoran daripada penyelesaian pemberontakan Limbang, Sultan
Hashim Jalilul Alam Aqamaddin cuba untuk mengambil kembali daerah-daerah Padas,
Trusan dan Limbang. Akan tetapi oleh kerana tekanan daripada Peter Leys,
Syarikat Inggeris Borneo Utara serta Rajah Charles Brooke, Sarawak, maka Sultan
akhirnya bersetuju menyerahkan Trusan dalam tahun 1885 dan Padas dalam tahun
1887 tetapi dengan tegas dan keras, enggan menyerahkan Limbang [ D.S. Ranjit
Singh, 1991 : 71 ].
Ada beberapa alasan mengapa Sultan Hashim tidak mahu
menyerahkan Limbang kepada kuasa-kuasa asing. Pertama, Sultan Hashim Jalilul
Alam Aqamaddin serta pembesar-pembesar Brunei sangat patuh kepada amanat Sultan
Abdul Momin, supaya tidak lagi menyerahkan wilayah-wilayah Brunei kepada sama
ada Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris atau Rajah Brookes, Sarawak,
termasuk juga kuasa-kuasa asing yang lain. Kedua, sungai Limbang adalah dalam
lingkungan kerajaan Brunei, sebab itu Sultan Hashim sering mengatakan bahawa
Brunei adalah Limbang dan Limbang adalah Brunei. Ketiga, Limbang adalah sumber ekonomi
Brunei ( khususnya sago ) dan tempat mata pencarian, kehidupan orang-orang
Brunei dari generasi ke generasi [ surat Sultan Hashim kepada Sir Frederick
Weld, 1890 ]. Selain daripada itu Limbang juga merupakan ‘periuk nasi’ bagi
Sultan Hashim [ The Straits Times, Singapore, 18 April 1890 ].
Antara tahun 1882 hingga 1888 adalah tempoh masa di mana
Negara Brunei Darussalam menjadi semakin mengecil. Tempoh ini menggambarkan
kesurvivalan Brunei atau kelenyapannya sebagai sebuah negara yang paling tua di
Borneo. Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak ghairah
memperluaskan wilayah mereka sehingga tidak ada lagi nama Negara Brunei Darussalam.
Melihat
wilayah Brunei yang semakin kecil dan juga masalah Limbang yang tidak selesai
serta cadangan Peter Leys kepada Pejabat Hal Ehwal Luar British untuk
membahagi-bahagikan dan hanya meninggalkan Bandar Brunei dan Muara sahaja
kepada Sultan Hashim menyebabkan Sultan Hashim merayu dan membuat bantahan
kepada kerajaan Baginda Queen ( Great Britain ) dengan mengutus surat kepada
Baginda Queen dalam tahun 1887, merayu kepada baginda Queen supaya menghalang
lebih banyak wilayah-wilayah Brunei jatuh ketangan Syarikat Berpiagam Borneo
Utara Inggeris dan Rajah Sarawak.
Boleh dikatakan masa depan Brunei dalam tempoh 1882 hingga
1888 agak kabur dan tidak selamat. Pegawai-pegawai Inggeris hampir
keseluruhannya tidak bersimpati dan enggan memberikan pertolongan kepada Sultan
Hashim Jalilul Alam Aqamaddin untuk mengekalkan kesultanan dan pengambilan
wilayah-wilayah Brunei. Umpamanya Lord Salisbury, Setiausaha Pejabat Luar Great
Britain dalam tahun 1887 berkata dalam minitnya kepada Julian Pauncefote [ F.O.
12-78 ]:
“The North Borneo Company and Sarawak are crushing out the
Sultan between them. I think we had better let them finish it and made no
agreement with the Sultan of Borneo”
Minit ini bukannya hendak menolong tetapi mahu menghapuskan
Sultan dan negeri Brunei sendiri. Dalam surat Rajah Charles Brooke kepada Lord
Brassey pula, mahu mengecilkan kerajaan Brunei dengan sekecil-kecilnya:
“..if the Brunei Town and river were left to them, while the
rivers Limbang and Tutong were attached to Sarawak, the existence of the Brunei
sultanate would in a very short space of time become harmless…[ lihat
D.S.Ranjit Singh, 1991:71 ].
Cadangan untuk memberikan perlindungan kepada Brunei
Darussalam bermula sejak tahun 1885, tetapi oleh kerana perselisihan pendapat
di kalangan pegawai-pegawai Inggeris samada Syarikat Berpiagan Borneo Utara
Inggeris, Sarawak, Pejabat Tanah Jajahan dan Hal Ehwal Luar, malah juga di
parlimen Great Britain, maka rancangan tersebut dibekukan buat beberapa tahun,
sehinggalah Sir Frederick Weld, Govenor Negeri-Negeri Selat dilantik oleh
kerajaan Great Britain untuk mengetuai misi ke Brunei dalam tahun 1887 untuk
melihat keadaan dan diarah untuk menghadapkan rancangan penyelesaian kepada
Sultan Brunei. Dalam keadaan ini, Rajah Charles Brooke sempat menulis surat
kepada Lord Brassey untuk melemahkan kesultanan Brunei [D.S.Ranjit Singh,
1991:71 ].
Kehadiran Sir Frederick Weld memberikan harapan kepada Sultan Hashim
Jalilul Alam Aqamaddin kerana Baginda tidak mahu lagi kehilangan
wilayah-wilayah Brunei dan mengingatkan Sir Frederick Weld tentang amanat
Sultan Abdul Momin yang sentiasa dipatuhinya. Malah Baginda tidak percaya yang
kerajaan Great Britain dan Baginda Queen mahu menyerahkan kerajaan Brunei tanpa
perkenan baginda sendiri.
Sir Frederick Weld, bukanlah seperti Hewette, Lord Derby,
Lord Salisbury, Davies dan lain-lain lagi, yang mahukan melihat kelenyapan
Negara Brunei Darussalam dari peta Borneo, malah Weld bersimpati akan keadaan
Brunei yang semakin kecil. Di Brunei, Weld mendapati pemberontakan Limbang
masih berjalan dan Sultan khuatir kalau-kalau Baginda dipaksa untuk menyerahkan
Limbang. Tetapi walau apapun, Baginda akan tetap mempertahankan Limbang. Baginda
menekankan lagi kehendak nya untuk meminta perlindungan kerajaan Great Britain.
Sir Frederick Weld mencadangkan perlindungan dan seorang Resident kepada Sultan
Hashim. Weld juga mencadangkan Syarikat Berpiagan Borneo Utara Inggeris dan
Sarawak untuk diberikan perlindungan jika mereka mahu.
Ide Sir Frederick Weld untuk mengadakan seorang Resident di
Brunei telah ditolak oleh kerajaan Great Britain disebabkan oleh masalah
kewangan. Akan tetapi ide untuk menubuhkan sebuah Negara perlindungan telah
diterima [L.R.Wright, 1970: 200 dan D.S. Ranjit ingh, 1991:72 ].
Dalam tahun 1888,
kerajaan Great Britain telah membuat perundingan untuk mengadakan negara-negara
perlindungan bagi ketiga-tiga buah negeri: Negara Brunei Darussalam, Syarikat
Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak. Syarikat Berpiagam Borneo Utara
Inggeris menandatanganinya 13 Mei 1888 dan Sarawak pula pada 5 September 1888.
Manakala Negara Brunei Darussalam, pada 17 September 1888. Perjanjian ini
ditandatangani oleh Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin bagi pihak Brunei dan
Sir Hugh Low, Resident Inggeris di Perak selaku wakil kerajaan Baginda Queen
atau Great Britain.
Terdapat lapan artikel dalam Perjanjian 1888 ini. Mukadimah
perjanjian menyebutkan bahawa Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin , Sultan dan
pemerintah yang sah bagi Negeri Brunei, di Pulau Borneo telah menghadapkan
kepada kerajaan Great Britain akan keinginan negeri tersebut diletakkan dibawah
perlindungan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen. Berdasarkan kepada mukadimah
dan termaktubnya perjanjian ini maka Negara Brunei Darussalam telah berada dibawah
perlindungan kerajaan Great Britain. Sebagai sebuah Negara perlindungan dan
terikat dengan syarat-syarat perjanjian maka ianya merapatkan lagi hubungan
Negara Brunei Darussalam dengan Great Britain sejak 41 tahun termaktubnya
perjanjian 1847.
Article I
The state of Brunei shall continue to be governed and
administered by the said Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin and his
successors as an independent state, under the protection of Great Britain ; but
such protection shall confer no right on Her Majesties Government to interfere
with the internal administration of that State further than is herein provided.
Article II
Incase any questions should hereafter arise respecting the
rights of succession to the present or any future Ruler of Brunei, such questions
shall be referred to Her Majesty’s Government for decision.
Article III
The relations between the State of Brunei and all foreign
States, including the States of Sarawak and North Borneo shall be conducted by
Her Majesty’s Government, and all communications shall be carried on
exclusively through Her Majesty’s Government, or in accordance with its
directions ; and if any difference should arise between the Sultan of Brunei
and the Government of any other State, the Sultan of Brunei agrees to abide by
the decision of Her Majesty’s Government, and to take all necessary measures to
give effect thereto.
Article IV
Her Majesty’s Government shall have the right to establish
British Consular Officers in any part of the State of Brunei, who shall receive
exequaturs in the name of the Sultan of Brunei. They shall enjoy whatever
privileges are usually granted to Consular Officers, and they shall be entitled
to hoist the British Flag over their residences and public offices.
Article V
British subjects, commerce, and shipping shall, in addition
to the rights, privileges, and advantages now secured to them by Treaty, be
entitled to participate in any other rights, privileges and advantages, which
may be enjoyed by the Subjects, commerce, and shipping of the State of Brunei.
Article VI
No cession or other alienation of any part of the territory
of the State of Brunei shall be made by the Sultan to any foreign State, or the
subjects or the citizens thereof, without the consent of Her Majesty’s
Government, but this restriction shall not apply to ordinary grants or leases
of land or houses to private individuals for purposes of residence,
agriculture, commerce or other business.
Article VII
It is agreed that full exclusive jurisdiction, civil and
criminal, over British subjects and their property in the State of Brunei is
reserved to Her Britanic Majesty, to be exercised by such Consular or other
officers as Her Majesty shall appoint for that purpose.
The same jurisdiction is likewise reserved to Her Majesty in
the State of Brunei over foreign subjects enjoying British Protection; and the
said jurisdiction may likewise be exercised in cases between British or British
protected subjects and the subjects of a third power, with the consent of their
respective Governments.
In mixed civil cases arising between British and British
protected subjects and the subjects of the Sultan, the trial shall take place
in the Court of the dependent’s nationality; but an officer appointed by the
Government of the plaintiff’s nationality shall be entitled to be present at,
and to take part in, the proceedings, but shall have no voice in the decision.
Article VIII
All the provisions of existing Treaties, Conventions, and
Declarations between Her Majesty the Queen and the Sultan of Brunei are hereby confirmed and maintained except in so far as any of them may
conflict with the present Agreement.
In witness whereof, His Highness the said Sultan of Brunei
hath hereunto attached his seal at the palace, in the city of Brunei,on the
17th day of September, in the year of Our Lord 1888, being the 11th day of the
month of Moharram, in the year 1306 of the Mohammaden era; and Sir Hugh Low,
K.C.M.G., British Resident in Perak, in Charge of a Special Mission to His
Highness the Sultan, hath, on the part of Her Majesty’s Government, signed this
Agreement in the presence of witnesses.
Sumber: [D.S.Ranjit Singh, 1991: 233-235]
-------- ---------------------
Apakah kepentingan Perjanjian 1888 ini? Sejauhmana ianya
dapat menjamin Negara Brunei Darussalam dalam statusnya sebagai Negara
perlindungan? Dari segi kepentingannya, kita melihat dari dua sudut iaitu
kepentingannya kepada Negara Brunei Darussalam dan kepada kerajaan Great
Britain.
Kepentingan Perjanjian 1888.
Kepentingan Perjanjian 1888 dapat dilihat dari aspek positif
dan negatif. Dari sudut positif, Perjanjian ini pada prinsipnya menekankan lagi
corak atau sistem pemerintahan Negara Brunei Darussalam yang berdasarkan
kesultanan yang berkerajaan sendiri, tetapi di bawah perlindungan kerajaan
Great Britain. Ini terkandung dalam artikel I perjanjian tersebut. Jadi jelas
artikel ini menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah negara yang
bersultan ( beraja ) sepanjang zaman. Dan, perkara ini dijamin oleh kerajaan
Great Britain melalui perjanjian ini. Artikel ini juga memperjelaskan bahawa
kerajaan 16
Duli Yang Maha Mulia Seri Baginda Queen tidak ada hak untuk
mencampuri pentadbiran dalam Negara Brunei Darussalam. Jadi, yang penting
artikel ini ialah mengekalkan institusi beraja dan pentadbiran dalaman serta
mendapat perlindungan daripada kerajaan Great Britain.
Artikel II sebenarnya bertentangan dengan artikel I yang
menjelaskan bahawa apabila timbul permasalahan hak menggantikan raja maka
persoalan ini hendaklah dirujuk kepada kerajaan Duli Yang Maha Mulia Seri
Baginda Queen bagi mendapatkan keputusan. Kalau perkara ini dirujuk kepada
kerajaan Great Britain maka sudah tentu akan melibatkan campur tangan kerajaan
Great Britain terhadap pentadbiran Negara Brunei Darussalam, sedangkan artikel
I mengatakan kerajaan Baginda Queen tidak ada hak untuk mencampuri pentadbiran
dalam Negara Brunei Darussalam. Seharusnya, kerajaan Great Britain tidak boleh
campur tangan dalam hal perlantikan raja kerana Negara Brunei Darussalam
mempunyai Majlis Perlantikan Raja yang tersendiri di mana hal sedemikian boleh
dirujuk di majlis ini.
Artikel III tidak memberi kepentingan yang positif kepada
Negara Brunei Darussalam tetapi menguntungkan kerajaan Great Britain.
Perhubungan di antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara asing
termasuk Sarawak dan Syarikat Borneo Utara Inggeris dikendalikan oleh kerajaan
Great Britain. Begitu juga dengan segala urusan komunikasi. Kedua-dua aspek ini
juga melibatkan campur tangan dalam pentadbiran dalam Negara Brunei Darussalam
yang bertentangan dengan artikel I tadi.
Apabila berlaku sebarang perselisihan
antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara asing maka Sultan Brunei bersetuju dengan keputusan kerajaan
Great Britain. Semangat artikel ini sudah ada sasarannya. Kestabilan politik
atau ketidak stabilan politik di Borneo adalah disebabkan oleh kehadiran Rajah
Sarawak dan Syarikat Borneo Utara Inggeris yang mengancam kestabilan Brunei.
Walaupun Sarawak dan Syarikat tersebut di kategorikan sebagai negara asing akan
tetapi ianya melibatkan kepentingan Inggeris. Sasarannya apabila Limbang
dirampas oleh Rajah Charles Brooke, penyelesaian terakhirnya ialah kerajaan
Baginda Queen, mahu tidak mahu atau rela tidak rela Sultan Hashim Jalilul Alam
Aqamaddin terpaksa menerima keputusan kerajaan Great Britain walaupun dengan
bantahan.
Melalui artikel III ini juga, Negara Brunei Darussalam telah
menyerahkan pengurusan hubungan luarnya kepada kerajaan Great Britain. Dalam
erti kata, Negara Brunei Darussalam telah kehilangan sebahagian daripada
kedaulatannya iaitu hubungan luarnya dengan negara-negara lain [D.S.Ranjit
Singh, 1991:72 dan B.A.Hussainmiya, 1995: 14] atau dasar luarnya ditentukan
oleh Great Britain. Jelas, artikel III ini memberikan kepentingan yang positif
kepada kerajaan Great Britain tetapi negative kepada Negara Brunei Darussalam.
Artikel IV dan V juga menguntungkan kerajaan Great Britain,
pegawai-pegawai dan peniaga-peniaga Inggeris. Artikel IV secara keseluruhannya
untuk kebaikkan pegawai-pegawai Inggeris khususnya pegawai-pegawai Konsul
Inggeris dan keistimewaan yang patut diberikan kepada mereka. Begitu juga
dengan Artikel V. Kalau dilihat dari segi perdagangan ianya lebih banyak
menguntungkan dan memberikan kepentingan kepada perdagangan Inggeris kerana pedagang-pedagang Brunei tidak
mampu untuk melabur ( pelaburan ) di luar Negara, mungkin kerana kekurangan
modal. Akan tetapi pedagang-pedagang Inggeris atau syarikat-syarikat Inggeris
mampu membuat pelaburan di Brunei, contohnya, The Island Trading Syndicate (
syarikat obar ) dan Syarikat yang berkaitan dengan usaha menanam getah di
Brunei.
Artikel VI Perjanjian 1888 sama dengan artikel X Perjanjian
1847 iaitu menghalang Sultan Brunei daripada menyerahkan atau memindah milik
wilayah kepada negara asing atau rakyat negara asing tanpa persetujuan daripada
kerajaan Great Britain. Pada asasnya artikel VI, dapat membendung Sultan Brunei
daripada menyerahkan wilayah yang masih ada kepada negara asing tetapi pada
realitinya artikel ini tidak dapat dijadikan sandaran untuk mengemukakan
bantahan apabila wilayah Brunei diambil atau dirampas secara paksa oleh
Sarawak. Contohnya, perampasan Limbang oleh Rajah Charles Brooke.
Walaubagaimanapun, artikel ini ada jua kebaikannya kerana semangatnya
memberikan peringatan kepada sultan dan pembesar-pembesar Brunei untuk tidak
menyerahkan wilayah-wilayah Brunei kepada negara-negara asing.
Bagi kerajaan Great Britain, artikel VI ini lebih
menguntungkan mereka kerana apa-apa permasalahan mengenai pengambilan wilayah
Brunei, penyelesaian akhir bergantung kepada keputusan kerajaan Great Britain.
Lagipun ayat-ayat akhir artikel ini sangat menguntungkan Sarawak dan Syarikat
Borneo Utara Inggeris yang mana pengecualian terhadap tanah-tanah atau wilayah
yang dipajakkan atau dikurniakan oleh orang-orang perseorangan untuk tujuan
perniagaan, perdagangan, kediaman, pertanian dan lain-lain
akan melibatkan kedua-dua negeri tersebut seperti pajakkan
tulin-tulin yang dipunyai oleh pengiran-pengiran khususnya di Sabah dan
Sarawak. Peristiwa penyerahan dan pemajakkan tulin-tulin ini berlaku selepas
tahun 1888. Artikel VII lebih menguntungkan kerajaan Great Britain kerana ianya
melindungi dan memperuntukkan kepentingan rakyat Inggeris, umpamanya dari segi
keistimewaan, sivil dan jenayah dan sebagainya. Dengan kata lain
pegawai-pegawai konsul Inggeris akan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan
rakyat Great Britain di Brunei.
Berdasarkan kepada fakta-fakta tadi, maka jelas kepada kita,
bahawa Perjanjian 1888 itu lebih banyak menguntungkan kerajaan Great Britain
daripada kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Peristiwa-peristiwa selepas Perjanjian 1888
Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin berharap dengan
termaterainya Perjanjian 1888 akan dapat melindungi Negara Brunei Darussalam
daripada pencerobohan negara-negara asing serta menjamin kesurvivalan Brunei
dan menghormati hubungan mesra dengan kerajaan Great Britain. Akan tetapi
peristiwa yang berlaku selepas penandatanganan perjanjian tersebut sangat
mengecewakan Sultan Hashim, umpamanya perampasan Limbang oleh Rajah Charles
Brooke.
Perampasan Limbang 1890
Dua tahun selepas Perjanjian 1888, Rajah Charles Brooke
telah berjaya merampas Limbang dan menaikkan bendera Sarawak di sana pada 17
Mac 1890, serta mengisytiharkan bahawa Limbang berada di bawah kerajaan Sarawak
[ R.E. Stubbs, 1968 : 100 ]. Perampasan ini adalah tanpa pengetahuan, perkenan
dan kebenaran Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin [ surat Sultan Hashim
Jalilul Alam Aqamaddin kepada Sir Frederick Weld ]. Baginda merasa terharu,
terperanjat dan murka ke atas tindakan Rajah Charles Brooke terhadap perampasan
tersebut.
Beberapa langkah telah diambil oleh Baginda untuk mengembalikan
semula Limbang kepada Brunei, umpamanya merayu kepada kerajaan Great Britain
dengan menulis surat kepada Sir Frederick Weld supaya menolong mengembalikan
Limbang kepada Brunei dan mengarahkan Rajah Charles Brooke dan orang-orangnya
meninggalkan Limbang dan balik ke Sarawak [ surat Sultan Hashim kepada Sir
Frederick Weld ].
Baginda sering merujuk kepada perjanjian-perjanjian yang lalu
dengan Great Britain dan Sarawak dan Baginda patuh kepada perjanjian-perjanjian
tersebut. Akan tetapi Rajah Charles Brooke tidak menghormatinya. Sultan Hashim
dan pembesar-pembesar Brunei serta rakyat Baginda tidak sekali-kali menyerahkan
Limbang kepada mana-mana kuasa asing kerana Limbang adalah Brunei dan Brunei
adalah Limbang, iainya tempat orang-orang Brunei mencari makan [ surat Sultan
Hashim kepada Sir Frederick Weld ]. Rayuan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin
kepada kerajaan Great Britain dan Sarawak juga tidak berhasil.
Pentingnya Limbang terhadap Brunei ditekankan oleh Sultan
Hashim dalam The Singapore Free Post, pada 7 April 1890 dan The Straits Times,
Singapore pada 18 April 1890 antaranya menyebutkan bahawa Limbang adalah
‘periuk nasi’ atau ‘rice-port’ Baginda. Limbang membekalkan hasil-hasil hutan,
alat untuk membina rumah, keperluan tempatan dan sumber ikan Brunei.
Kehilangan
Limbang menyebabkan ekonomi Brunei merosot dan mengecewakan Sultan Brunei.
Dalam masa yang sama pendapatan pengiran-pengiran yang mempunyai tulin di sana
juga merosot. Ekspot sago Brunei juga merosot dalam tahun 1899. Kehilangan
Limbang merupakan satu kepincangan kepada Negara Brunei Darussalam seperti yang
dinyatakan oleh Sultan Hashim kepada McArthur, “the loss of Limbang had already
crippled him, like the loss of a limb” [ D.S. Ranjit Singh, 1991 : 92 ].
Rayuan
Sultan Hashim kepada kerajaan Great Britain untuk mengembalikan Limbang kepada
Brunei berterusan. Malangnya kerajaan Great Britain enggan menolong malah
menghantar Mr Neil Penrose Trevenen, Konsul British yang baru bagi Borneo (
1890-1898 ) pada bulan November 1890 ke Limbang untuk menyiasat perkara yang
sebenarnya.[ R.E. Stubbs, 1968 : 101 ] dan sekali lagi pada bulan April 1891.
Di samping itu kerajaan Great Britain mengarahkan Sir Cecil Clementi Smith
supaya Sultan Hashim menyerahkan saja Limbang kepada Sarawak [ R.E. Stubbs,
1968 :101 ]. Tetapi Sultan Hashim dengan keras hati menolak permintaan
tersebut. Sir Cecil Clementi Smith juga memberitahu kepada Rajah Charles Brooke
bahawa kerajaan Great Britain tidak akan menyokong perampasan Limbang, kecuali
jika Sultan Hashim menerima atau diberi wang pampasan ganti rugi [ R.E. Stubbs,
1968 : 101 ].
Berdasarkan laporan N.P. Trevenen, kerajaan Great Britain
bersedia untuk mensahkan perampasan Limbang tetapi persetujuan hendaklah dibuat
untuk membayar ganti rugi atau pampasan kepada Sultan Brunei dan pemegang
kuripan Limbang. Bulan Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei
akan menerima $6000 setiap tahun dan kalau baginda tidak menerima wang tersebut
dalam masa tiga tahun sejak tarikh perampasan Limbang, maka wang tersebut akan
dikembalikan kepada Rajah Charles Brooke [ R.E. Stubbs, 1968 : 102 ].
Sultan
Hashim dan pembesar-pembesar Brunei tidak mahu menerima walau se sen pun wang
tersebut. Sultan Hashim tidak rela menggantikan Limbang dengan wang ringgit
sebagai ganti rugi keatas tanah Limbang yang dirampas itu. Malah baginda sangat
murka. Kemurkaan ini tergambar dalam akhbar The Straits Times, Singapore:
“The Sultan spoke bitterly and indignantly. He had depended,
he said, on the promised protection of the Queen; and how the land of his
fathers was stolen from him by his enemy, and the Queen refused to help him and
even wanted him to take the money for his country. He would not touch it. If he
was to be robbed of his country by the strong man, he might be robbed but he
would not sell his land and his people.” [ The Straits Times, Singapore, 3
October 1891 ].
Apa pun caranya untuk meyakinkan Baginda supaya menyerahkan
Limbang kepada Sarawak, Baginda tetap dengan keputusannya. Baginda rela
dirompak, namun menjual Limbang dan rakyatnya kepada Sarawak tetap tidak
diperkenankannya. Usaha Trevenen
gagal, dan tempoh selepas tiga tahun tamat dan sehingga
tahun 1895 Baginda tetap enggan menerima wang tersebut. Ogos 1895 Pejabat Hal
Ehwal Luar Great Britain telah mengistiharkan kes perampasan Limbang oleh Rajah
Charles Brooke itu ditutup. Hal ini telah mengecewakan Sultan Hashim. Isu
perampasan Limbang masih tetap tidak diterima dalam hidupnya sehingga Baginda
mangkat pada 10 May 1906.
Pemberontakan Tutong dan Belait.
Sembilan tahun selepas perampasan Limbang, antara tahun 1899
hingga 1901, Negara Brunei Darussalam menghadapi dua lagi pemberontakan, iaitu
pemberontakan Tutong dan Belait. Antara sebab-sebab berlakunya pemberontakan
tersebut ialah cukai yang tinggi dikenakan kepada penduduk-penduduk wilayah
tersebut. Peristiwa ini dijadikan alasan oleh Rajah Charles Brooke untuk
mengambil wilayah-wilayah tersebut, malah bukan itu sahaja, tetapi untuk
mengambil keseluruhan wilayah-wilayah Brunei yang masih ada.
Selepas Limbang
dirampas, wilayah Brunei yang masih tinggal ialah: Tutong, Belait, Bandar
Brunei dan wilayah persekitaran yang dekat iaitu Temburong, Muara dan Kota
Batu. Belait adalah kuripan Pengiran Bendahara, manakala Tutong kuripan
Pengiran Digadong. Saranan Hewette, Konsul Inggeris baru bagi Borneo, supaya
menyerahkan sahaja wilayah-wilayah itu kepada Sarawak, tetapi tidak diterima
oleh Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, kerana jika Tutong dan Belait
diserahkan, Brunei akan menjadi lebih kecil lagi, ibarat pokok yang tidak
berdahan [ F.O. 12/117 ].
Dan kalau diserahkan kesemua wilayah Brunei yang
masih tinggal itu, maka kesultanan Brunei akan lenyap. Lagipun, harapan Sultan
Hashim untuk menjamin kelangsungan kesultanan Brunei dan mempertahankan wilayah-wilayah Brunei
berdasarkan artikel I Perjanjian 1888, tidak akan tercapai jikalau Baginda
tunduk kepada tekanan Rajah Charles Brooke, Sarawak. Dan, Baginda tidak mahu
kecewa lagi dengan perampasan Limbang yang diharapkannya dapat dikembalikan
dengan pertolongan kerajaan Great Britain.
Perjanjian Tambahan 1905/06.
Melihat kepada pengalaman pahit tentang perampasan Limbang
serta keinginan Baginda untuk menghalang agressi Rajah Charles Brooke dan untuk
menjamin kesurvivalan kesultanan Brunei, maka Sultan Hashim Jalilul Alam
Aqamaddin dengan pehuh yakin telah membuat perundingan dengan kerajaan Great
Britain. Persetujuan telah dicapai dan satu lagi perjanjian telah
ditandatangani sebagai tambahan kepada Perjanjian 1888 pada akhir bulan
Disember 1905 dan awal Januari 1906. Perjanjian baru ini telah meletakkan
Negara Brunei Darussalam di bawah pentadbiran Sistem Residen.
Kesimpulan.
Perjanjian 1888 tidak mampu memberikan taraf perlindungan
yang sepenuhnya kepada Negara Brunei Darussalam. Ini adalah kerana dasar Great
Britain pada masa itu lebih mengutamakan kepentingan Inggeris, khususnya rejim
Rajah Brooke di Sarawak dan Syarikat Borneo Utara Inggeris. Perjanjian 1888
yang sepatutnya memberikan harapan kepada Brunei dari segi keselamatan dan
pengekalan wilayah-wilayah Brunei tidak banyak meyakinkan Brunei khususnya
Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin.
Kisah perampasan Limbang yang merupakan nadi orang-orang Brunei
sangat-sangat mengecewakan Sultan Hashim dan rakyat Brunei. Walaubagaimanapun,
harapan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin dan rakyat Negara Brunei
Darussalam, untuk menjaga dan mengekalkan kelangsungan dan kesurvivalan
kesultanan Brunei, akhirnya dapat dicapai dengan adanya Perjanjian Tambahan
1905/06, iaitu tambahan kepada Perjanjian Perlindungan 1888 yang meletakkan
Negara Brunei Darussalam, di bawah pentadbiran Sistem Residen, Inggeris.
Bibliografi:
1. Baring-Gould, S., and Bampfylde, C.A., A History of
Sarawak under its Two White Rajahs, Singapore, OUP., 1989.
2. Brown, Donald E., Brunei: The Structure and History of a
Bornean Malay Sultanate, BMJ Monograph No.2, 1970.
3. Brown, Donald E., “Sultan Abdul Mumin’s will and related
documents” BMJ, Vol. 3, No.2, 1974.
4. Crisswell, C.N., “The Establishment of a Residency in
Brunei 1895-1905”, ASEAN Studies, Vol. X, No.1, April 1972, Quezon City, UPP.
5. Horton, A.V.M., ‘Report on Brunei by M.S.H. McArthur,
Monograph in the International Studies’, Southeast Asian Series, No.74, Ohio
University, 1987.
6. Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman, “Brunei Abad ke-XIX:
Suatu Cabaran dan Campur Tangan British, Jurnal Darussalam, Bil 2, Jabatan
Pusat Sejarah Brunei 1995.
7. Ranjit Singh, D.S., Brunei, 1839-1983: The Problems of
Political Survival, Singapore, OUP., 1984.
8. Stubbs, R.E., ‘Two Colonial Office Memoranda on the
History of Brunei, JMBRAS, Vol. XL, Pt.2, 1968.
9. Wright, L.R., The Origins of British Borneo, Hongkong,
Hongkong University Press, 1970.
10. F.O. [Record of Foreign Office]
11. C.O. [Record of Colonial Office]
12. Surat Sultan Hashim kepada Sir Frederick Weld.
No comments:
Post a Comment