Sunday, 28 October 2018

Sejarah Awal, Catatan Lisan dan Legenda Suku Tatana Kuala Penyu

Sejarah Awal, Catatan Lisan dan Legenda Suku Tatana Kuala Penyu 

Mohon Izin, mohon ampun dan maaf sekadar perkongsian cerita sejarah (Joy Marius JM)

Lebih kurang 2000 tahun yang lalu satu rumpun yang berbahasa Austronesia telah sampai ke Sungai Klias dan mengebumikan jenazah mereka di dalam sebuah gua di Pulau Burong berhampiran Pulau Labuan. Gua di Pulau Burong merupakan salah satu penempatan awal di Borneo dan merupakan tapak peninggalan mereka, dalam kajian Tom dan Barbara Harrisson (1971) yg telah membuat galian di gua tersebut sekitar tahun 1960 an, menemui peninggalan yg dikenal pasti dari "Suku Murut Sandiwar" dan mereka berpendapat bahawa Suku Lun Bawang atau Suku Bisaya belum lagi tersebar ke arah utara Teluk Brunei ketika itu. Mereka percaya bahawa nenek moyang Suku Tatana yg berhijrah ke Menumbok sekitar tahun masehi 1200 mempunyai hubungan dan mungkin berkahwin dengan Suku Murut Sandiwar atas dasar persamaan perkataan Murut seperti Kanon/nasi, monsoi/baik dan timug/air dalam bahasa Suku Tatana. Apabila masa berlalu, dari zaman ke zaman Suku Tatana menggantikan Suku Murut di kawasan Menumbok. Di dalam catatan Daly (1886) , suku yg berada di Menumbok adalah Suku Punan Tetanah. 

Panggilan nama Suku Tatana cuma diguna pakai sekitar tahun 1850 an, nama suku asal mereka kemungkinan Suku Punan tetapi berbeza dari Suku Punan yg berada di Sarawak disebabkan bahasa yg berbeza. Apabila Suku Bisaya berhijrah ke kawasan Sungai Padas dari kampung halaman mereka dari ulu Sungai Belait dan Tutong sekitar tahun masehi 1500. Kehadiran Suku Bisaya sebenarnya berada di pertengahan antara Suku Murut Sandiwar dan Suku Tatana. Suku Bisaya rasanya lebih banyak menyerap perkataan murut dalam bahasa Suku Bisaya. Pada suatu ketika Suku Bisaya pernah menyerang nenek moyang Suku Tatana. Suku Tatana merasakan tiada tempat lain untuk melarikan diri memilih bersembunyi di dalam lubang bawah tanah. Apabila Suku Bisaya tidak dapat menemui Suku Tatana, maka mereka menyangkakan Suku Tatana sudah terlepas dari kepungan mereka dan terpaksa balik ke kawasan mereka dengan tangan kosong. 

Apabila sampai suatu masa, Suku Tatana keluar dari lubang bawah tanah dan dapati musuh mereka telah sudah tiada dan berpindah. Sejak kejadian tersebut mereka menggelar Suku mereka sebagai Suku Tatanah bererti dari tanah untuk mengingati kejadian mereka melarikan diri dari musuh mereka. Kejadian ini berlaku sekitar pertengahan tahun masehi 1800 an. Dalam catatan Daly (1886) Punghara Kumbang dan Punghara Kuntas merupakan dua orang Ketua Suku yg keluar dari gua di Tanjung Lumut berdekatan Sungai Klias. Kedua Ketua Suku inilah yg dikatakan menukar nama suku mereka dari Punan ke Suku Tatana yg telah menjadi kebiasaan di zaman itu untuk menukar nama suku sekiranya nama suku sebelum ini tidak membawa nasib baik kepada suku mereka. Setelah sekian lama selepas kejadian melarikan diri dari Suku Bisaya, Suku baru yg dikenali sebagai Suku Tatana pada suatu hari menghantar hadiah hasil hutan yg sungguh berharga kepada Sultan Brunei. 

Suku Tatana telah lama berhenti membuat kapal yg boleh melintasi lautan maka mereka meminta bantuan Suku Bisaya Brunei yang selalu berlayar di teluk Brunei untuk menyerahkan hadiah tersebut kepada Sultan. Suku Bisaya sememangnya telah lama mahu memiliki kawasan Suku Tatana dan mereka merancang bagaimana untuk mendapatkan kawasan tersebut. Suku Bisaya menukar hantaran hadiah Suku Tatana dari hasil hutan yang bernilai tinggi seperti kapur barus, getah percha, rotan dan lilin lebah dengan hasil hutan yang bermutu rendah dan diserahkan kepada Sultan Brunei dengan mengatakan bahawa hadiah tersebut dari suku Tatana. Sultan murka apabila melihat hadiah hasil hutan yg bermutu rendah lalu menghantar pahlawan baginda untuk menjatuhkan hukuman bunuh terhadap kedua dua Ketua Suku Tatana tadi. Disebabkan kejadian tersebut Suku Tatana meninggalkan kawasan mereka. 

Kejadian merebut kawasan dan permusuhan antara suku adalah perkara biasa di zaman dulu kala. Setiap suku Cuba mencari kawasan yg baik dan selamat untuk suku mereka. Peperangan Misangod Rondom bukan satu satunya cara menyelesaikan masalah. Mengelak dari berperang tidak bererti suku tersebut lemah tetapi ianya boleh dipandang dari sudut pemikiran yg berbeza antara suku suku tersebut. Ada yg mengatakan Suku Tatana meninggalkan kawasan tersebut dan ada yg mengatakan Suku Tatana menjual kawasan mereka dari Sungai Pungharan sehingga ke tepi pantai yg berhadapan dengan Bukit Nouri kepada orang Brunei. Di kawasan pedalaman Suku Tatana menjual semua kawasan sungai Klias kepada Suku Bisaya. Ada juga orang yg meragui bahawa pernah belaku sebarang penjualan kawasan, mereka lebih yakin bahawa kawasan Suku Tatana di ambil oleh orang Brunei dan Suku Bisaya. Suku Tatana berhijrah ke Bundu, Muntabangun, Berabagan dan Mawau berdekatan muara Sungai Kuala Lama dari cabang Sungai Padas. Sebahagian Suku Tatana berhijrah ke kawasan Sungai Prussock di sebelah Ulu Sungai Membakut. Suku Bundu Klias tiada kaitan dengan Suku Bundu dari Bundu Tuhan tetapi sebenarnya mereka adalah Suku Tatana. 

Ramai dari Suku Tatana mengaku bahawa mereka ada darah campuran Cina. Pada perayaan tahun baru Cina mereka melekatkan tulisan kaligrafi Cina di pintu hadapan rumah mereka. Ada di dalam rumah Suku Tatana mempunyai tempat sembahyang dan patung serta gambar semangat bagus dan jahat seperti dari Cina. Dalam catatan Daly (1886) beliau cuba menceritakan legenda bagaimana asal usul orang cina yg mula mula menetap di kawasan Bundu, Kuala Penyu yang diceritakan oleh golongan orang tua tua. Pada zaman lampau ada sebuah kapal dagang dari Cina yg penuh dengan barang barang seperti pasu, pinggan mangkuk, sutera dan jeruk buah buahan manis yg berniaga di Brunei dari Cina. Anak anak kapal tersebut suka terhadap pemandangan kawasan tanah tanah Kesultanan Brunei yg subur. 

Sebahagian anak kapal yg diketuai oleh Si Lasak membuat keputusan untuk meninggalkan kapal dagang tersebut. Si Lasak dengan rakan rakan berpindah dan membuat penempatan ke Sungai Klias. Mereka memulakan penanaman lada putih di tepi sungai Klias dan berkahwin dengan Suku Dusun awal di kawasan Klias. Si Lasak pula berkahwin dengan anak Ketua Suku Dusun awal Sungai Klias. Si Lasak membuka ladang lada putih yang besar dan menghantar kapal ke negara Cina untuk membawa kawan kawan dan saudara maranya ke penempatan beliau di Sungai Klias. Mereka sampai membawa jenis jenis kain yang baik, peralatan memasak, teh, halia dan banyak barang barang lain. Si Lasak akhirnya diangkat sebagai Ketua Suku Dusun awal Sungai Klias dan Sultan Brunei memberi gelaran Orang Kaya kepada Si Lasak. Setelah berapa lama tinggal di kawasan Sungai Klias, Orang Kaya Si Lasak meninggal dunia. Pada suatu masa Suku Murut datang menyerang penempatan pengikut Orang Kaya Si Lasak dan ramai antara mereka yg terbunuh. 

Kejadian malang datang lagi apabila banjir besar berlaku di Sungai Padas sehingga menenggelamkan kawasan tebing Sungai Klias dan memusnahkan semua ladang lada putih Orang Kaya Si Lasak. Suku Dusun awal Sungai Klias setelah berbincang untuk mengelak serangan Suku Murut dan berada jauh dari kawasan banjir membuat keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi tetapi berdekatan dengan tepi pantai dan memilih kawasan Bundu Kuala Penyu untuk mereka membuka penempatan baru, menanam padi dan membuka ladang lada putih yg baru. Di kawasan baru ini tanaman mereka menjadi dan mendatangkan banyak hasil. 

Dua orang keturunan Orang Kaya Si Lasak telah diberi anugerah oleh Sultan Brunei. Mereka bernama Orang Kaya Sabandar Ah Koon dan Orang Kaya Sabandar Tenguan. Orang Kaya Sabandar Ah Koon mempunyai anak bernama Orang Kaya Sabandar Makang dan beliau mempunyai seorang anak bernama Orang Kaya Sabandar Rinjewar yg menjadi ketua kawasan Bundu yg terkenal dan menjadi Ketua Anak Negeri. Orang Kaya Tenguan mempunyai anak lelaki bernama Orang Kaya Sabandar Ak Soon dan beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Orang Kaya Kimsoy. 

Rumah lama nenek moyang Kimsoy's yg diperbuat dari kayu dikatakan berada di kawasan Bundu dan berusia lebih 150 tahun. Legenda ini membuktikan bahawa Suku Dusun Awal di Sungai Klias dan Suku Dusun awal di kawasan Bundu Kuala Penyu adalah Suku Tatana. Orang Cina yg berhijrah ke Kuala Penyu mempunyai nama dan adat menyimpan tebu di muka pintu berasal dari Kawasan Fujian, Cina pada zaman pemberontakan Taiping di Cina sekitar tahun 1850-1864 dan sebahagian dari mereka berasal dari Guangdong. 

Sumber : Daly (1886), Borneo Herald (1886),Tom dan Barbra Harrisson (1971), Anon (1995) dan PS Shim (2007), Azlan Mohd Jaffar (FB 2017) 

Penyusun dan Penyunting : Kumis Kumis , 

Gambar : National Archives (drawing of a Parang that had belonged to the 19th Century Acting Governor of Labuan W.H. Treacher)

2 comments:

  1. Hi..slmt ptg... sya clyerissa joanis sya peljar IPT..sya mnta izin ya utk mengambil sedikit mklumat dri petikan kmu utk kerja tugasan kmi..tpi boleh kh sya mnta nma kmu utk sya letak di bahagian rujukan

    ReplyDelete
  2. Hi, saya Alicia dari Kepayan. Mohon kebenaran untuk mengambil maklumat tertentu untuk kerja lapangan. Terima kasih.

    ReplyDelete