Sunday, 28 October 2018

Sejarah Awal dan Catatan Lisan Mengkabong di abad ke 18 - 19

Sejarah Awal dan Catatan Lisan Mengkabong di abad ke 18 - 19

Mohon Izin (Samah Senorob)

Ini adalah sebuah kisah seorang Pengiran Temmengung Kesultanan Melayu Brunei yang segak, pintar, kuat dan gagah perkasa serta luar biasa. Pengiran Temmengung ini hidup di zaman dulu kala, di kawasan pantai barat Borneo Utara sungguh terkenal kegemilangannya yang selalu beroleh kejayaan dan kemenangan berperang dengan musuh serta bersungguh sungguh menjaga kebajikan rakyat sehingga masyhur mendapat gelaran Raja Tua Mengkabong. 

Menurut catatan pengkaji sejarah barat dan cerita orang tua tua bahwa pernah wujud suatu penempatan legenda, keramat, mistik dan bersejarah yang suatu masa dulu amat terkenal di seluruh Nusantara menjadi sebuah pengkalan atau pelabuhan kepada para nelayan, kapal dagang dan markas angkatan perang tentera laut Kesultanan Brunei yang bernama Tanjung Dallad atau Dalas yang hari ini lebih dikenali dengan nama sebagai, Mengkabong (Suang Engkabong). 

Wilayah pentadbiran Sungai Tulin Mengkabong semasa Pg Temmenggung Raja Tua adalah termasuk Sungai Tulin, Sungai Kuripan dan Sungai Kerajaan persisiran pantai barat Borneo Utara yg berhampiran atau sekeliling dengan Mengkabong antaranya Tempasuk, Abai, Pandasan, Ambong, Sulaman, Tuaran, Tambalang, Darau, Menggatal, Inanam, Likas, Api Api, Simbulan, Tanjung Aru, Putatan, Kinarut, Kawang dan Pengalat Papar dengan mengambil kira kedudukan dan penempatan angkatan tentera Suku Bajau Samah dari Johor di zaman itu selain dari seluruh empayar Kesultanan Brunei dari aspek ketenteraan.

Pengiran Temmenggung Sahibul Bahar Abdul Momin Amirul Faza Ibni Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Anak Ampuan Untong Ibni Sultan Abdul Jalilul Jabbar (Sultan Brunei ke 11) , pada penghujung abad ke 18 telah dititahkan oleh Sultan Omar Ali Saifuddin 1 (Sultan Brunei ke 18) untuk berangkat ke Menggatal untuk memerangi Suku Belingingi dan Ilanun yang mempunyai hubungan baik dengan Sharif Usman, Kesultanan Sulu dan Kesultanan Maguindanao. Suku Belingingi dan Illanun telah bermaharajalela di perairan dan perkampungan persisiran pantai barat Borneo Utara dengan membakar rumah orang kampung serta membawa lari ahli keluarga dan ternakan penduduk kampung. 

Ahli keluarga penduduk kampung ini ada yang di jual menjadi hamba abdi di beberapa tempat seperti Tawi Tawi dan Jolo kepulauan Filipina dan beberapa Negara Nusantara yang lain. Keluarga berpecah belah dan kehidupan rakyat bertambah susah. Pada masa yang sama ada beberapa orang golongan pembesar tempatan yang dilantik oleh Kesultanan Brunei seperti Sharif Usman dari Kota Marudu cuba untuk melepaskan diri beliau dari pengaruh Kesultanan Brunei dan cuba mendapatkan sokongan Kesultanan Sulu. Ada catatan sejarah mengatakan bahawa Sharif Usman mempunyai hubungan yg rapat dengan Pengiran Yusof yg dikatakan agak rapat dengan golongan istana Kesultanan Brunei. Sharif Usman bercita cita meluaskan wilayah tanah dalam bidang kuasanya dari Kota Marudu sehingga ke arah selatan Borneo Utara dengan menggunakan pengaruh Kesultanan Sulu. 

Fungsi seorang Pengiran Temenggong adalah bertanggung jawab untuk mengepalai angkatan bersenjata di kawasan darat dan laut. Pengiran Temenggong ketika itu mengepalai angkatan tentera laut yg kuat dan digeruni sehingga mendapat gelaran Raja Laut. Pengiran Temenggong akan menyediakan angkatan perang dengan mengarahkan rakyat untuk menyertai angkatan perang Brunei bagi melancarkan serangan terhadap musuh Kerajaan Kesultanan Brunei . Pengiran Temmenggung juga terlibat dalam mengawasi kegiatan perdagangan di seluruh wilayah Kesultanan Melayu Brunei dan Negara Nusantara lain di bantu oleh Pengiran Syahbandar dan ketua ketua tempatan. Pengiran Temmenggung juga memainkan peranan dalam melaksanakan undang undang seperti yang diperintahkan oleh Sultan. Beliau berkuasa menangkap orang orang yang melakukan kesalahan dan seterusnya menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Selain itu, Pengiran Temmenggung juga bertanggung jawab dalam pentadbiran agama islam. Oleh itu beliau di bantu oleh golongan Sharif, Menteri Agama, Datuk Imam, SiRaja Khatib, Udana Khatib, segala khatib dan mudim. Disamping itu Pengiran Temmenggung berperanan dalam pentadbiran kebajikan masyarakat, kebajikan anak anak yatim dan golongan yang tertindas. 

Dalam menjalankan tugas, Pengiran Temenggong di bantu oleh 8 orang ceteria dan 8 orang menteri antaranya Orang Kaya Syahbandar, Orang Kaya Setia Pahlawan, Orang Kaya Hamzah Pahlawan, Orang Kaya Amar Pahlawan, Orang Kaya Johan Pahlawan, Pateh dan Damong . Menurut catatan Sir Hugh Low dan Forrest mengatakan bahawa Suku Bajau Samah Mengkabong adalah golongan nelayan yang gigih mencari hasil laut. Mereka berasal dari Johor dari sebelah timur Selat Melaka. Mereka suka tinggal dekat dengan laut dengan mendirikan rumah di atas air dan biasanya di muara sungai menggunakan tiang tiang kecil. Di Mengkabong saja ketika itu Suku Bajau Samah boleh mengumpul sehingga 2000 orang angkatan tentera ,1000 ada di Mengkabong , 600 orang ada di Tempasuk, 400 orang ada di Pandasan dan selebihnya dari Abai, Ambong dan Sulaman. Tanggung jawab Pengiran Temenggong bukan saja menjaga Wilayah jajahan Sungai Tulin Mengkabong malah keseluruhan Wilayah jajahan Kesultanan Brunei. 

Menurut catatan Spencer "Suku Bajau Samah mempunyai satu ciri sikap kesetiaan yg amat tinggi, setiakawan dan ikatan serta hubungan kekeluargaan yang sungguh kuat sehinggakan pernah berlaku satu peristiwa di mana anak anak kapal yg berasal dari Suku Bajau Samah Mengkabong yang berlayar disebuah kapal perdagangan bergaduh dengan anak kapal suku lain sehingga ada yg terbunuh. Seorang anak kapal berasal dari Mengkabong ini berjaya lari dari kapal dagang itu lalu mengayuh perahu sehingga ke Mengkabong, setibanya dia di Mengkabong anak kapal tersebut menceritakan kesusahan dan kejadian yg berlaku terhadap mereka di atas kapal dagang tersebut maka secara tiba tiba hampir seluruh penduduk kampung Mengkabong berkumpul dan serta merta membuat keputusan menyediakan beberapa perahu angkatan perang dan terus menyerang serta membakar kapal dagang tersebut sambil mengambil semua isi kapal dagang tersebut. Apabila suasana sudah kembali tenang dan bila ditanya apakah sebenarnya yang berlaku di atas kapal , anak kapal dari Mengkabong tersebut menjawab bahawa pergaduhan itu sebenarnya bermula dari salah mereka sendiri secara tidak sengaja dan apabila anggota angkatan perang yg ikut serta tadi ditanya kenapa mereka menyerang kapal dagang tersebut, jawab mereka tidak tahu cuma sekadar ikut apa orang lain buat saja. Sikap mereka sebegini adalah menjadi faktor kelemahan dan kekuatan Suku Bajau Samah sehingga mereka sungguh dihormati digeruni oleh suku suku lain". 

Mengkabong berhampiran dengan Tuaran di mana terdapat sebuah kawasan bernama Indai merupakan kubu kuat Suku Lotud yang tidak kurang hebatnya dari segi kegagahan, kekuatan mistik dan luar biasa. Suku Lotud mempunyai sejarah perang menentang pelbagai Suku yang dipanggil Misangod Random sehingga kubu mereka penuh dengan darah. Suku Lotud juga berjaya menyerang Suku Ilanun yg berkampung di Tuaran sehingga Suku Ilanun itu terpaksa berpindah ke kawasan Tempasuk. Suku Bajau Samah dan Suku Lotud mempunyai perjanjian kerjasama dan sumpah sekaum sambil mempunyai ikatan kekeluargaan melalui perkahwinan antara beberapa keluarga dikalangan kedua dua suku ini. 

Pengiran Temmenggung Raja Tua Mengkabong sendiri menghormati adat tempatan iaitu perjanjian dalam perkahwinan telah berkahwin dengan seorang gadis dari Menggatal dan mempunyai beberapa orang anak lelaki yang pintar masyhur kegemilangan bernama Datu Temmengung, Datu Ilang dan Datu Tugu yang menjadi pembesar dan pahlawan hebat dan gagah perkasa yang sentiasa bersedia taat setia memerangi musuh Kesultanan Brunei di seluruh wilayah jajahan dan nusantara. 

Keturunan dan susurgalur Pengiran Temmengung Raja Tua Mengkabong masih ada di Mengkabong dan tersebar keseluruh wilayah tanah jajahan Mengkabong dan sekitarnya. Dengan kedudukan Pengiran Temmenggung Raja Tua Mengkabong yang strategik di "Jungko" dengan memiliki kekuatan angkatan tentera gabungan pelbagai suku kaum Iban, Dayak, Lotud dan Bajau Samah yang sungguh hebat gagah perkasa serta memiliki sebuah Kubu pertahanan yang kuat dan mistik bernama "Kubu Mandi Darah", di kawasan Pantai Barat Borneo Utara. Pengiran Temmenggung berjaya menghalang pelbagai serangan musuh dan menghentikan rancangan perluasan kawasan dan pengaruh Sharif Usman serta Sultan Sulu di kawasan lain di Sabah.

Beliau berjaya menjadikan Mengkabong sebagai sebuah benteng pertahanan yang kukuh dan ramai yang terkorban gugur sebagai pejuang bangsa dan negara dengan cuba mengelakkan ibu negara Brunei dari di serang tentera Balingingi, Illanun dan Sulu.

Ada satu legenda pernah dikatakan bahawa apabila pihak musuh masuk ke kawasan sungai Mengkabong dengan tidak berniat baik, maka mereka akan gagal dapat mencari jalan keluar sehingga mereka menjadi kaku dan keras. Ketika itu pihak musuh ini terpaksa bersumpah untuk tidak lagi membuat kacau dan datang balik ke kawasan Mengkabong. Ada antara mereka yang dibebaskan dan yang lainnya mati dibunuh oleh tentera Mengkabong. 

Pengiran Temenggung tidak merasa cukup dengan hanya sekadar mempertahankan Mengkabong dari diserang oleh musuh , berdasarkan cerita lisan golongan tua Mengkabong yang masih ingat cerita silam mengatakan bahawa Pengiran Temmenggung sendiri melancarkan serangan balas dengan menghantar angkatan tentera Mengkabong yang diketuai oleh anak anaknya menyerang balas kawasan kawasan musuh sehingga ke perairan Sharif Usman, Kesultanan Sulu, Kesultanan Magindanau di Filipina serta Kawasan Limbang, Mukah, Oyah dan Sambas di Sarawak. 

Demi menegakkan syiar islam, Pengiran Temmengung juga menghantar tentera Mengkabong berperang menentang tentera Sepanyol dan dikatakan mempunyai seorang anak angkat dari golongan bangsawan Kesultanan Maguindanao yang di bela dan di didik beliau menjadi seorang Panglima gagah perkasa berilmu mistik tinggi yang terkenal mendapat banyak kecederaan termasuk kecederaan teruk dimuka sehingga terpaksa menggunakan topeng muka dan akhirnya menjadi seorang Raja dan Sultan di Kesultanan Maguindanao. 

Pengiran Temenggong Abdul Momin Amirul Faza apabila dititahkan untuk pergi berperang di Menggatal sebenarnya mempunyai isteri dan ramai anak yang ditinggalkan di ibu negara Brunei seperti Pengiran Bendahara Alliuddin, Pengiran Temenggong Pengiran Abdul Rajid, Pengiran Maharaja Dinda, Pengiran Abdul Naji, Pengiran Abdul Wali, Pengiran Amir Abas, Pengiran Abdul Jalil, Pengiran Jaga, Pengiran Jariah, Pengiran Isteri Ghandi dan Pengiran Abdul Ghafur. Pengiran Temmenggung lindung di Mengkabong tanpa dapat kembali ke ibu negara Brunei dan tidak dapat berjumpa anak anak serta sanak saudara yg dikasihi dan dirindui atas dasar pengorbanan dan kesetiaan melaksanakan titah Sultan. Ada orang tua tua mengatakan Pengiran Temmengung cuba memenuhi titah tuanku Sultan Omar Ali Saifuddin 1, memerangi musuh negara sehingga titisan darah terakhir dan memastikan tiada rakyat yang mendapat kesusahan dari serangan musuh lagi. 

Perjuangan beliau di sambung oleh anak anak beliau yang lain. Mereka sebenarnya berjaya mempertahankan Mengkabong. Hari ini ramai di kalangan susur galur mereka menjadi tokoh tokoh besar dan ternama di Sabah. Jasa besar Pengiran Temmengung Abdul Momin Amirul Faza adalah beliau berjaya menyatupadukan atau menggabungkan penduduk Mengkabong dan seluruh wilayah jajahannya dan kawasan sekitarnya dari pelbagai suku kaum tidak kira bangsa dan agama kepercayaan sama ada Brunei, Bajau, Dusun, Kadazan, Iban dan Dayak agar sama sama berjuang menentang angkatan tentera musuh dari dalam dan luar Borneo Utara.


Sumber : (Spencer St John 1863), (Henry Ling Roth/Hugh Brooke Low 1896) , (Tarling 1978), (Pehin Jamil, 1999), (Prof Ranjit Singh, 2000), (PS Shim 2007), (Prof Asbol,2011) , 

Penulis dan Penyunting : Kumis Kumis, 


No comments:

Post a Comment