Sejarah Awal Suku Tombonuo
Suku Tombonuo jika dikategorikan dari sudut kelompok bahasa
dan percakapan adalah tergolong dalam kumpulan Suku Paitanik seperti Suku Lobu,
Lingkabau, Sugpan dan Suku Kinabatangan (Atas) berdasarkan catatan Miller
(1982).
Selepas Perang dunia kedua, timbul kesedaran baru di Sabah
untuk mengkaji dan menulis semula Sejarah pelbagai Suku Kaum terutamanya suku
kaum asal dan pribumi Sabah.
Kajian dan penulisan Sejarah yang khusus mengenai asal usul
semua masyarakat pribumi dan suku kaum asal yang tinggal di kawasan pedalaman
adalah amat kurang dan tidak mencukupi.
Suku bererti menurut Elkin (1974) adalah sekumpulan manusia
yang ada kaitan persaudaraan secara langsung atau tidak dengan kehidupan
tinggal berkelompok di sesuatu kawasan, mencari makanan dari tumbuhan tumbuhan,
bercucuk tanam dan memburu haiwan bersama sama serta mengikut sikap budaya dan
peraturan keluarga atau kumpulan kecil itu sendiri.
Suku juga bererti sekumpulan penduduk pribumi yang
menduduki dan memiliki sesuatu kawasan tertentu di dalam sesuatu Wilayah yang
besar, bercakap dengan bahasa atau dialek yang secara khusus mereka fahami,
mempunyai adat dan peraturan berbeza dari kumpulan lain serta mempunyai budaya
dan upacara kepercayaan yang tidak sama dengan orang lain di sekeliling mereka.
Suku Tombonuo merupakan salah satu suku kaum dari 40 suku
kaum pribumi Dusunik, Paitanik dan lain lain yang tersenarai di dalam
Persatuan Kebudayaan Kadazandusun.
Kajian dan penulisan Sejarah Suku Tombonuo yang agak kurang
menyebabkan kita banyak bergantung dengan cerita sejarah, legenda dan mitos
dari orang tua tua yang berunsur tradisi lisan.
Walau bagaimanapun setiap kajian suku kaum yang mempunyai
unsur cerita rakyat sebenarnya boleh memberi gambaran suasana dan budaya masa
silam (Sonza 1979).
Menurut kajian (PS Shim 2007) perkataan atau ayat bagaimana
setiap suku kaum pribumi Sabah menyebut perkataan lalang (sejenis rumput
Imperata cylindrica) dalam bahasa mereka boleh menggambarkan kelompok suku kaum
tersebut contohnya Suku Kadazan, Bisaya dan Tatana menyebut lalang sebagai
"pimpin". Suku Lotud pula menyebut lalang sebagai "Kapayan"
. Suku Momogun, Sukang dan Tombonuo menyebut lalang sebagai "Kutad".
Suku Tobilung dan Kimaragang menyebut lalang sebagai "paka". Suku
Murut menyebut lalang sebagai "alab" dan Suku Lundayeh menyebut
lalang sebagai "so'bot".
Menurut catatan (Drymple 1762) beliau mendapati ada Suku
Tombonuo yang tinggal di Kampung Kanibongan.
Menurut (Pryer 1881) sebelum adanya perubatan moden Negara
Barat, jumlah penduduk tempatan yang mendiami kawasan persisiran pantai seperti
Kadazan, Tangaa, Lotud, Rungus, Tobilung, Tindal, Kimaragang, Tombonuo, Idaan,
Bajau dan Iranun adalah amat kurang disebabkan penyakit berjangkit demam cacar
yang serius serta amalan budaya mengayau atau memotong kepala yang banyak
mengorbankan nyawa.
Suku Tombonuo, Momogun, Sukang dan Makiang berpindah dari
tinggal di persisiran pantai kerana mereka memilih jalan untuk berhenti
berperang atau mengayau sesama sendiri dan mencari kehidupan yang lebih aman
jauh dari musuh musuh tradisi mereka.
Suku Tombonuo mempercayai bahawa Aki Silam, Aki Sumbol, Aki
Toworo, Aki Alon, Adu Ruvoi adalah nenek moyang mereka.
Suku Tombonuo sehingga hari ini adalah antara Suku yang
kurang di kaji tetapi boleh di jejak mendiami kawasan Paitan dan Sugut. Ramai
antara mereka telah memeluk agama Islam dan lebih dikenali sebagai Suku Sungai
tetapi bahasa Suku Tombonuo dan Suku Sungai adalah sama.
Suku Tagbanua (Orang Banua) yang boleh ditemui di Pulau
Palawan di Selatan Filipina besar kemungkinan suku yang sama dengan suku
Tombonuo di Sabah yang merupakan salah satu suku pribumi kuno. Pawang atau
ketua agama pagan bagi orang Tagbanua dikenali sebagai bobolizan dan perkara
yang sama bagi Suku Tombonuo pula dikenali sebagai Bobohizon.
D Daly ada menyebut Suku Tombonuo pada 22.9.1884 dalam
perjalanan ke Sungai Penungah, Melikop dan Melian.
D Daly adalah pegawai koloni yang pertama yang merekodkan kewujudan
suku Tombonuo dan mengelar mereka suku orang Sungai (BNBH 1.10.1886).
D Daly mencatatkan keterangan Pangeran Assim pada tahun 1884
bahawa perkuburan pembesar Suku Tambuono berada di kawasan Imbok dan sekurang
kurangnya ada 20 hingga 30 Keranda kayu belian.
Suku Tombonuo berada dalam satu kelompok suku yang menggunakan bahasa Paitanik seperti Suku Kolobuan, Kuamut, Milian, Lingkabau,
Lobu, Makiang, Rumanau, Sabangan, Sinorupu, Sinobu dan Sugpan.
Pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara memperkenalkan beberapa
pembesar Suku Tambuono pada 27.5.1889 antaranya Panglima Dermatuan Majistret
Domingol, Panglima Temmenggung Karamuak, Bapa Raja Tuah Darkos Kuamut,
Laksamana Sanoal dari Tamoy, Panglima Addong dari Lamug dan Panglima Banjer
Sandakan.
Di sunting oleh Kumis Kumis
Gambar hiasan :
1. The Illustrated London News 1852
Sumber :
1. PS Shim 2007. Inland people of Sabah.
2. Miller, CP 1982. A Brief look at the languages and
dialects of Sabah. Sabah Society Jurnal, Vol. VII No. 1 : 53-64
3. Elkin, AP 1974. The Australian Aborigines. (5th Edition)
Angus & Robertson (Publisher) Pty Ltd Sydney
4. Sonza, DP 1979. The Bisaya of Borneo and the Philippines
: A new look at the Maragtas.
5. Dalrymple, A 1767. A plan fir extending the commerce of
this Kingdom and of the East India Company.
6. BNBH 1.10.1886
7. Daly, DD 1884. Diary of Mr D D Daly's Trip up the
Kinabatangan River
8. Pryer, WB 1881. Diary of a trip to Kinabatangan River
No comments:
Post a Comment