Wednesday 9 November 2016

Sejarah suku kaum Bajau-Sama - Roslan Masran

Sejarah suku kaum Bajau-Sama
Roslan Masran

Pada hari ini bila saja disebut orang-orang Bajau ia langsung merujuk kepada orang yang beragama Islam, sama seperti bila kita menyebut orang-orang Melayu di Tanah Melayu, juga merujuk kepada orang yang beragama Islam. Ada pengkaji sejarah yang mengklasifikasikan suku Bajau ini dalam rumpun Melayu. 

Mereka adalah etnik maritim yang menetap dipersisiran pantai pantai, pulau-pulau dan laut adalah sebahagian dari hidup mereka. Populasi mereka terdapat di wilayah kepulauan Nusantara dan mempunyai cara hidup yang sama dengan etnik Melayu. Keperibadian dan budaya mereka lebih menunjang kepada peradaban Melayu Islam dan mereka kini menjadi pribumi di tiga negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia. 

Pada hari ini suku Bajau merupakan etnik Muslim terbesar dalam kaum bumiputra Islam di Sabah.Menurut tradisi lisan, istilah Bajau diberi nama oleh orang Melayu Brunei tetapi sesama mereka,mereka akan menggelar diri mereka sebagai "sama" atau "Jomo Sama". 

Bajau adalah himpunan beberapa kumpulan sub-etnik iaitu Sama, Samar, Layun, Ubian, Binadan, Kagayan atau Jama Mapun, Simunul, Bajau Kubang,Pala'u,Yaka dan Bagingi.Pada tahun 1975 kaum Bajau berjumlah 100,00, merupakan kaum kedua terbesar selepas kaum Kadazan Dusun di Sabah.

Bila menyebut tentang orang-orang Bajau,maka kita boleh bahagikan kepada dua bahagian,satu dari daerah Semporna dan satu lagi dari daerah di sekitar Kota Belud, Kudat, Tuaran hingga ke Papar. Orang Bajau merupakan kaum kedua terbesar di Sabah selepas kaum Kadazan Dusun, walaupun mereka ini berbeza dari segi tempat tinggal dan juga loghat bahasa tapi persamaan antara keduanya ialah masing-masing mengatakan asal-usul mereka berasal dari Johor dan beragama Islam.

Terdapat beberapa teori tentang bilakah mereka mula datang ke Sabah. Menurut seorang penulis barat, Whelan, mengatakan mereka berhijrah ke Sabah sekitar lebih dua ratus tahun yang lalu.

Dalam sejarah bertulis Brunei, bagaimanapun, menjelaskan bahwa kaum Bajau telah wujud dan mendiami bahagian utara Sabah pada abad keenam belas Masehi, semasa pemerintahan Sultan Abdul Kahar, Sultan Brunei yang keenam atau mungkin sebelum itu.

Tetapi penghijrahan orang-orang Bajau dari Johor,yang diketengahkan oleh penulis barat dan diketahui umum oleh suku kaum Bajau sehingga kehari ini, dipersoalkan oleh beberapa pengkaji. 

Salah seorangnya ialah Datuk Jamdin Buyong yang menyangkal pendapat bahawa orang-orang Bajau berasal dari Johor. Menurut beliau orang-orang Bajau berasal dari Teluk Burma dan berhijrah ke gugusan kepulauan Melayu dan negeri Sabah merupakan sebahagian daripada banyak lagi negeri yang diduduki oleh orang Bajau.

Negeri ini mungkin diduduki oleh orang Bajau semenjak kira-kira 10,000 tahun yang silam atau lebih awal daripada itu.Andaian ini berdasarkan pada penemuan artifak sebelum zaman neopolitik di Agop Atas, iaitu sebahagian Gua Madai, Pantai Timur Sabah yang dianggarkan berusia kira-kira 9,000 tahun,disamping kesan-kesan kebudayaan manusia awal zaman logam dan zaman neolitik yang ditemui di Pusu Lumut, Gua Tapadong dan sungai Segama yang berusia kira-kira 8,500 tahun. 

Menurut Tom Harrison, Sabah mempunyai warisan tradisi kehidupan manusia awal selewat-lewatnya sama seperti yang terdapat diSarawak, iaitu kesan-kesan kehidupan manusia awal telah wujud di negeri itu kira-kira 30,000 tahun yang silam, seperti katanya; "we can with some confidence accept that fully paleotethic, old stone-age tools are already proved from more than one cave as well as from an interesting open site in the north-eastern part of the state (Sabah),and that there was continuous occupation of the area from then onto the present day". 

Oleh kerana penduduk di kawasan kajian arkeologi ini serta kawasan sekitarnya ialah keturunan orang Bajau, maka berkemungkinan besarlah juga yang kesan-kesan sejarah itu adalah peninggalan orang Bajau yang paling awal di negeri itu.

Dari hujah inilah,menurut Datuk Jamdin Buyong, bahawa orang Bajau yang paling awal di Sabah bukan dari Filipian atau Johor, tetapi merupakan sebahagian daripada kumpulan salah satu rumpun austranesia yang paling awal berhijrah dari Asia, berpecah ke beberapa kawasan termasuklah ke Filipina, Sabah, Indonesia Timur dan Semenanjung Tanah Melayu.

Tapi pendapat mengatakan orang Bajau berasal dari Tanah Melayu, khususnya dari Johor masih boleh diterima.Kita boleh bersetuju dengan pendapat yang mengatakan orang Bajau bukan berasal dari Johor tetapi berasal dari Teluk Burma dan orang Bajau boleh mengatakan bahawa mereka adalah di antara penduduk yang asli di Sabah selain kaum Dusun dan Kadazan.

Tetapi tidaklah keterlaluan bahawa orang Bajau pernah singgah ke Tanah Melayu dalam perjalanan mereka dari Teluk Burma tadi dan mungkin singgah ke Johor.

Untuk memperkuatkan lagi andaian ini, berikut diperturunkan beberapa hujah;

i. Sifat orang Bajau yang suka mengembara

Menurut Daved Sopher, pengembara-pengembara laut (Bajau terkenal juga sebagai pengembara laut) telah mengembara ke empat kawasan utama di Asia Tenggara,iaitu Laut China Selatan (termasuk kepulauan Riau-Lingga, pulau-pulau Tujuh, pulau-pulau Bangka dan Biliton, kepulauan Sulu, Sabah, Indonesia Timur dan kawasan Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu.

ii.Orang Bajau pernah singgah di Tanah Melayu  

Prof Dr Asmah Hj Omar telah membuat penyelidikan bagi mengesan melalui perkataan untuk menentukan sama ada Semenanjung Tanah Melayu pernah menjadi tempat persinggahan suku-suku bangsa Austronesia (termasuk Bajau) dalam perjalanan mereka ke selatan. Beliau mengambil contoh perkataan-perkataan daripada bahasa-bahasa yang terdapat dalam mana tempat,sedangkan perkataan ini sendiri tidak terdapat dalam bahasa Melayu,seperti perkataan "Pahang" (Paang) yang dalam bahasa Bajau Darat bererti "biawak". 

Dalam Bahasa Melayu,perkataan tersebut hanya terdapat dalam nama negeri, iaitu negeri Pahang.Juga di Pahang terdapat nama tempat yang dikenali sebagai Lurah Bilut. "Bilut" ialah kata yang berloghat dengan "Belud" dalam bahasa Bajau yang bermakna "bukit".Dengan itu,lurah Bilut "Lurah Bukit". Dengan ini Prof Dr Asmah berpendapat bahawa perkataan "Pahang" dan "Bilut" itu membuktikan adanya perkampungan suku kaum Bajau di kawasan yang sekarang ini termasuk dalam kawasan negeri Pahang, tetapi mereka ini barangkali tidak lama disitu kerana meneruskan perjalanan ke Borneo.Mereka yang menetap disitu lama kelamaan terserap ke dalam suku bangsa Melayu yang datang kemudian dengan jumlah yang lebih banyak.

iii.Penghijrahan orang Bajau dari Johor merupakan penghijrahan kedua. 

Menurut Prof Dr Asmah lagi, suku-suku bangsa Austronesia (termasuk Bajau) bergerak kearah yang berlainan meskipun semuanya menuju ke selatan. Disamping adanya gerak melalui Semenanjung Tanah Melayu ke selatan, ada juga yang menyimpang darinya, baik sebelah barat atau sebelah timur. Di sebelah barat, gerak ini mengharungi Teluk Benggala ke Lautan Hindi dan dari situ ke Sumatera,atau ke barat dan terus ke Madagascar.

Di sebelah timur Semenanjung Tanah Melayu,mungkin ada gerak yang mengharungi Laut China Selatan ke Filipina dan Borneo dan dari situ ke kawasan lain. Berdasarkan pendapat Dr Asmah itu,semakin jelaslah bahawa orang Bajau yang paling awal di Sabah tidak semestinya berasal dari Filipina atau Johor tetapi berkemungkinan besar merupan sebahagian dari suku bangsa Austronesia yang datang terus dari Asia.

Pelayaran orang Bajau dari kepulauan Sulu ke Sabah dan dari Sabah ke kepulauan Sulu memang berlaku pada masa kekuasaan Sultan Sulu di negeri ini hinggalah sekarang ini.

Demikian juga pelayaran orang Bajau dari Semenanjung Tanah Melayu termasuklah Johor ke kepulauan Sulu atau ke Sabah mungkin pernah berlaku,tetapi berkemungkinan besar pengembaraan itu berlaku selepas adanya orang Bajau yang paling awal menetap di negeri ini.

iv.Penghijrahan kedua ini selepas orang Bajau memeluk agama Islam di Tanah Melayu.

David E.Sopher berpendapat bahawa nenek-moyang orang Bajau di kawasan Borneo Filipina datang dari kepulauan Riau hinggalah pada kira-kira abad ke-14.Pada abad ini, pengaruh Islam tersebar luas disini. Begitu juga cerita-cerita legenda orang Bajau, mengaitkan asal usul mereka dengan Tanah Melayu dan nama-nama yang disebut menunjukkan orang Bajau berhijrah ke Sabah adalah orang-orang Islam

Dari hujah diatas, kami berpendapat salah satu sumber kemasukan atau kedatangan Islam ke Sabah ialah dari Tanah Melayu serta beberapa tempat yang berdekatan,yang dibawa oleh orang-orang Bajau. Gusni Sahat dalam kajiannya mendapati kaum Bajau mempunyai pengaruh yang kuat dengan kelompok masyarakat yang dominan di Filipina, Indonesia dan Brunei di era politik pra-penjajah. 

Cuma catatan sejarah hanya menyebut kedatangan orang Bajau dari Johor dan ramai pihak termasuk orang-orang Bajau di Sabah sendiri mengakui asal-usul mereka boleh dikaitkan dengan Tanah Melayu, khususnya Johor.  


Kajian Gusni Sahat dalam bukunya mengenai suku Sama-Bajau di Indonesia, “Sama-Bajau Dalam Kancah Urbanisasi-Pengalaman di Teluk Bone,Sulawesi Selatan” sangat menarik untuk dibaca. Gusni Sahat menggunakan istilah pribumi untuk komuniti masyarakat Sama-Bajau yang menjadi pribumi terawal di Teluk Bone,meskipun keberadaan Sama-Bajau ditempat ini tidak begitu dirasakan oleh kebanyakan warga pribumi lain seperti Bugis,  Makasar, Mandar dan Teroja, walaupun pada hakikatnya mereka merupakan penduduk awal yang mendiami kawasan pesisir dan kepulauan diwilayah ini.

Menurut Gusni Sahat, kepribumian Sama-Bajau di Indonesia tidaklah diasaskan kepada daerah khusus iaitu berasaskan tanah dengan kuasa politik, sebagaimana suku Bugis, suku Makassar dan suku Buton. Akan tetapi kepribumian Sama-Bajau berasaskan wilayah pesisir dan kepulauan yang kaya dengan sumber laut, yang menyebabkan Sama-Bajau kelihatan seperti masyarakat yang tidak bertempat, sehingga menyebabkan pihak lain menganggap mereka pendatang dari negara lain.

Kepribumian Sama-Bajau di Indonesia dipersatukan oleh etnisiti dan budaya diwilayah pesisir dan kepuluan. Dimana terdapat pulau di Indonesia Timur, disana akan ada komuniti suku Sama-Bajau.

Kini, keperibumian masyarakat Sama-Bajau di Indonesia mula terhakis dan terus dinafikan oleh kuasa pasaran yang hanya tertarik untuk mengeksploitasi sumber mereka.

Tambah Gusni lagi, pada zaman kekuasaan kerajaan-kerajaan peribumi sebelum abad ke 16, di Alam Melayu, mereka merupakan antara kelompok suku etnik peribumi yang membentuk masyarakat maritime. Dari zaman Sri Vijaya sekitar abad ke 7 lagi umpamanya masyarakat maritime Alam Melayu dirujuk sebagai rakyat laut (Pelras,2006) yang menjadi golongan kerahan pemerintah bagi melaksanakan tugasan tertentu.

Berbanding Sama-Bajau di Malaysia yang lebih membangun dan mendapat perhatian pihak negara, di Filipina dan Indonesia, mereka tidak sahaja minority dari segi demografi bahkan yang lebih malang mereka lagi juga minoriti dari segi sosio-ekonomi.

Melalui bahagian kedua rencana saya ini, saya terjemahkan sebahagian dari satu kertas kerja yang telah dibentangkan oleh Abu Bakar Hamzah dalam Seminar Antarabangsa Mengenai Bajau-Sama yang diadakan pada 24 hingga 28 Jun,1993 di Kota Kinabalu dimana saya sempat menyertainya. Tidak kurang dari 10 kertas kerja yang telah dibentangkan oleh penceramah dari dalam dan luar negeri.

Tajuk Kertas Kerja yang disampaikan oleh Dr Abu Bakar Hamzah ialah;

“Some Historical Accounts On The Sulu/Brunei Sultanate And The Bajau Community.”

Saya cuba menterjemah sebahagian daripada kertas kerja itu khusus menyentuh mengenai peranan dan sumbangan suku Bajau-Sama di zaman pemerintahan Kesultanan Brunei zaman dahulu dibawah sub-topik:

The Role Of The Bajaus In The Early Development OF The Brunei Malay Sultanate

Terjemahan:

Bila orang Eropah mula datang ke Brunei diawal abad ke 16, Kesultanan Brunei sudah mempunyai empayar Melayu-Islam yang besar. Dia telah melawat Brunei pada tahun 1521, dizaman pemerintahan Sultan Bolkiah. Dia menggambarkan akan kehebatan kesultanan Brunei dengan saiz ibu negeri Brunei yang menurutnya didiami oleh 25,000 keluarga.(Nicholl,1975,ms.8-13).

Menurut sejarah Brunei (Tarsila Brunei), Dimasa Sultan Bolkiahlah Brunei menakluki Sulu dan Manila (Low,1880,ms.3) Semasa lawatan itu, kapal pelayaran Pigafetta menyaksikan satu rombongan armada laut Brunei yang jumlahnya melebihi seratus buah kapal laut yang baru pulang dari menakluki Laoe, sebuah kerajaan di Kuala Kapuas (sebelah selatan barat Borneo). Kerajaan itu diserang dan ditakluki kerana berhasrat untuk membebaskan dirinya dari kuasa pemerintahan Brunei dan cuba beralih kepada Java untuk mendapatkan perlindungan.

Kepten armada Brunei ketika itu ialah anak kepada Raja Luzon (Nicholl,1975.ms.10-11). Kenyataan Pigafetta ini membuktikan wujudnya hubungan kekeluargaan antara Brunei-Manila seperti yang tercatat dalam tarsila Brunei. Catatan sejarah diatas jelas menunjukkan bahawa kerajaan Brunei sememangnya satu kuasa besar diwilayah maritime Borneo pada abad ke 16 Masehi.

Kerajaan Brunei menguasai sebuah wilayah pemerintahan yang luas, meliputi sebahagian besar pulau Borneo dan sebahagian Filipina. Menurut Tarling, Brunei pada suatu ketika merupakan sebuah sebuah empayar dan tidak hanya sekadar sebuah kerajaan tebing sungai (riverine state). Brunei berbanding Sulu, merupakan pemerintah ‘wilayah Filipina’ diera pra-filipina(pre-Philippine period) (Tarling,1976.ms 5)

Kemunculan Brunei sebagai sebuah kuasa besar disebabkan oleh beberapa faktor; Majapahit tidak berjaya mengembalikan semula  kekuasaannya keatas wilayah Melayu selepas kejatuhannya, sejak kematian Hayam Wuruk pada penghujung abad ke 14 Masehi.

Menjelang adab ke 15, Melaka muncul sebagai kuasa baru menggantikan Majapahit, namun wilayah kekuasaan nya hanya tertumpu di sekitar perairan Semenanjung Tanah Melayu-Sumatera. Dengan ketiadaan kuasa maritime di sebelah Borneo-Filipina ketika itu telah memberi peluang kepada Brunei untuk mengukuhkan kedudukannya dan meluaskan pengaruhnya, hingga pada tahun 1521, satu dekad selepas kejatuhan Melaka, Brunei telah menjadi kuasa maritime baru disebelah timur alam melayu, menguasai beberapa kerajaan maritime,termasuklah pesaing lamanya,Sulu.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada kebangkitan Kesultanan Brunei ialah kedatangan Islam, yang bukan saja menyumbang kepada kekuatan politik tapi juga kepada kegiatan perdagangan. Kerajaan Brunei telah mendapat sokongan dari pedagang Islam, yang menguasai jalan perdagangan alam Melayu-Islam sebelum kemunculan Eropah. 

Dasar anti-Islam Portugis yang menguasai Melaka ketika itu, telah menyebabkan pedagang Islam beralih ke tempat lain seperti Brunei. Kehadiran mereka dengan banyaknya ke Brunei telah menjadikan ibu negeri Brunei menjadi sebuah ibu negeri yang terbesar di dunia Melayu pada ketika itu, seperti yang disaksikan dan ditulis oleh Pigafetta.

Menurut (Ranjit Singh,1984.Ms.19) di wilayah Borneo, Brunei menjadi sebuah pelabuhan utama kepada kapal-kapal dari China.

Aktiviti perdagangan Brunei, walau bagaimanapun, tidak mungkin dapat menjadi kuasa maritime tanpa wujudnya laluan maritime yang selamat, dimana kegiatan lanun menjadi suatu ancaman.

Sebagai contoh, semasa ekspedisi ke Sulu, Brunei telah menghantar satu armada 500 kapal laut (Nicholl,1975,ms.12-13). Armada ini, tidak dinafikan, memainkan peranan yang penting bukan saja melindungi Sultan Brunei tapi juga kegiatan perdagangannya.

Sebagai sebuah empayar yang besar, amat sukar dari segi politik untuk Brunei mengawal wilayah pemerintahannya, yang merangkumi pelbagai kumpulan enik. Menurut Brown, empayar Brunei secara keseluruhannya terdiri dari orang Brunei sendiri dan juga bukan warga Brunei (Brown,1970,ms 19) dan golongan bangsawan dan bukan bangsawan.

Untuk mengukuhkan wilayah kekuasaan Brunei yang penduduknya lebih banyak dari kerajaan Brunei sendiri, Sultan Brunei telah mengamalkan sistem ketua-pengikut/majikan-pekerja (Petron-Client). Sistem ini merupakan satu bentuk hubungan antara pemimpin dengan pengikut, dimana pengikut setia kepada ketuanya dan ketuanya memberi hak politik dan keistimewaan kepada pengikutnya berdasarkan kepada hireki kedudukannya dalam kelompok masyarakat setempat.

Kesultanan Brunei menggunakan sistem ini sebaik mungkin dengan banyak bergantung kepada kesetiaan pengikutnya. Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik atau tidak jawatan tertentu dibawah penguasaannya. Sebagai imbalan, mereka yang dilantik berpeluang untuk mendapat bentuk bayaran atau imbuhan, samada dari segi material ataupun perkhidmatan. Sebagai contoh, dimasa perang,  ketua masyarakat yang dilantik oleh Sultan boleh mendapatkan bantuan  untuk menghadapi musuhnya, maka Sultan akan menghantar satu ketumbukan hulubalang yang biasanya terdiri dari suku kaum Bajau,Iranun dan lain-lain yang memang mempunyai perwatakan yang agresif.(Ibid.ms99)

Peranan suku Bajau bermula sejak abad ke 16 lagi, dalam tarsila Brunei ada dinyatakan orang Bajau memainkan peranan utama diperingkat awal pemerintahan Brunei. Catatan pertama sejarah orang Bajau di Brunei ialah perkahwinan antara Sultan Brunei yang ke 6, Sultan Abdul Kahar dengan seorang puteri dari ketua kaum Bajau yang terkenal di negeri Sabah. Dari perkahwinan ini, maka lahirlah anaknya yang bergelar Bendahara Sakam (Sweeney,1968.ms54, Low,1880.ms 8-10).

Semasa pemerintahan abangnya, Sultan Saiful Rijal, Bendahara Sakam memegang jawatan sebagai Bendahara (Perdana Menteri) Brunei. Dia merupakan seorang pahlawan yang hebat dan sangat setia kepada abangnya. Bila Sepanyol menakluki Brunei pada tahun 1578, Sultan Saiful Rijal melarikan diri ke Jerudong dan kemudian Pulau Raja. Bendahara Sakam bangkit menentang Sepanyol dan berjaya menewaskan Sepanyol dan membawa balik abangnya ke Brunei untuk mengembalikan semula haknya sebagai sultan Brunei (Low,1880.ms 9-10, 25-26). Peperangan dengan pihak Sepanyol dikenali sebagai ‘Perang Kastila’ (war against the Castilians) dalam sejarah Brunei.

Disanjung sebagai pahlawan negara Brunei, Bendahara Sakam telah dianugerah jawatan ‘Raja Bendahara’ yang kemudiannya dia dikenali dalam sejarah Brunei sebagai, Bendahara Sakam.

Atas sebab ibunya adalah puteri kepada seorang Ketua Suku Bajau, dia mewarisi banyak wilayah di Sabah (Sweeney,1968.ms 54;Low,1880.ms 9,25)

Suku Bajau muncul dalam arena sejarah politik Brunei sekitar awal abad ke 16 atau lebih awal dari itu. Sesungguhnya suku kaum Bajau telah menyumbang peranan utama dalam sejarah peperangan empayar Brunei. Mereka diiktiraf sebagai hulubalang yang berani dimedan peperangan. Sebagai banteng pertahanan Sultan Brunei lebih suka bala tentera yang sentiasa siap-siaga untuk menyerang. Maka untuk menbenteras penentang Sultan Brunei akan mengambil askar yang terdiri dari suku Bajau,Iranun dan lain-lain.

Keadaan semula jadi mukabumi empayar Brunei yang strategik membolehkan ia mampu menghantar bala tentera dimana-mana wilayah kekuasaannya bila diperlukan bagi membendung penentang kerajaan Brunei.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini pada tahun 1521, Brunei telah menghantar armada ke Laoe di bahagian barat selatan Borneo bagi membendung wilayah itu keluar dari jajahan Brunei. Pada tahun 1604, Brunei menghantar ekspedisi perang ke Milau, masa kini negeri Sarawak, juga bagi membendung wilayah itu keluar dari jajahan Brunei (Mohd.Jamil Al-Sufri,1973.ms.28). Menurut seorang penulis, orang Bajau mempunyai pengaruh yang kuat dalam kerajaan Brunei yang membantu mengekalkan reputasinya sebagai kuasa maritime diwilayah ini. (Van Dijk,1984.ms.34)

Sifat Orang Bajau sebagai nelayan dan mahir dalam menyelam dilaut dalam, memang sesuai dalam peperangan dilaut luas. Dalam karya penulisan Sepanyol menggunakan istilah Camucones, camutones atau Lutaos. Perkataan ‘lutous’ diambil dari perkataan ‘lautan’, dimana orang Bajau juga dikenali sebagai orang laut. 

Mengikut Nicholl, dari dokumen Sepanyol, semasa dikemuncank kerajaan Brunei, orang Bajau memegang jawatan sebagai penjaga laut (coastguard service). (Nicholl,1977.ms131,151). Kawalan keatas perairan Brunei bukan saja melindungi kesultanan Brunei tapi juga kegiatan perdagangannya dan selaku pengawal pantai, orang Bajau mempunyai kemahiran mengesan kehadiran kapal-kapal asing dan akan melapor kehadiran kapal asing berkenaan kepada pihak Sultan atau wakil Sultan yang menguasai satu-satu daerah atau sungai (Nicholl,1977.ms.151) . Sebagai mengiktiraf kesultanan Brunei, orang Bajau telah memberi hadiah berupa mutiara. (Ibid.ms157)

Menurut Brown, sokongan orang bajau amat penting, sehingga dua kurun kemudian, bila mereka mengalihkan sokongan mereka kepada kesultanan Sulu, suatu kehilangan yang amat besar kepada empayar Brunei. (Brown,1970.ms.144-145) Sesungguhnya, di awal empayar sultan Brunei, orang Bajau memainkan peranan utama dalam menentukan dasar maritime empayar Brunei. (Harrison,1973.ms38)

Orang Bajau dibawah naungan Pangeran Temenggung yang disebut oleh ahli sejarawan Sepanyol sebagai ‘the lord of the Camucones’. (Bajaus-Nicholl,1977.ms160)

Menurut perlembagaan Brunei, Pangeran Temenggung sebagai wazir dihireki keempat, selepas Bendahara, Digadong dan Pemancha. Jawatan Pangeran Temenggung sama seperti jawatan menteri pertahanan tentera laut di zaman moden ini.

Selaku panglima tertinggi di armada laut, dia juga di gelar sebagai penghulu laut (Lord of the sea) Orang Bajau bukan saja memainkan peranan mengekalkan reputasi Brunei sebagai kuasa maritime, mereka juga mengukuhkan lagi pengaruh mereka dalam kalangan kesultanan Brunei bila mereka juga berkahwin dengan aristokrat Brunei. Sebagai sebahagian dari kelompok dunia Melayu, perhubungan politik melalui perkahwinan bukan asing dalam hireki kesultanan Brunei. Dengan hubungan yang semakin erat melalui perkahwinan, mengukuhkan lagi hubungan antara dinasti kesultanan Brunei dengan wilayah di bawah naungannya yang terdiri dari pelbagai etnik

Perkahwinan antara dinasti kesultanan Brunei dengan orang Bajau  di dorong oleh dua faktor. Pertama, Brunei memerlukan orang Bajau untuk melindungi kerajaan mereka, kedua, mengukuhkan imej kerajaan Brunei dalam wilayah naungan tanah Bajau. Bagi orang Bajau, melalui perkahwinan ini, mereka pula mengujudkan golongan aristokrat Bajau di kalangan mereka, satu hireki tertinggi dalam komuniti Bajau.

Dalam tradisi Brunei, selain aristokrat Brunei, terdapat juga golongan aristokrat raja-raja Melanau, raja-raja Bisaya dan raja-raja Bajau. Dikalangan aristokrat raja-raja Melanau, gelaran ‘pangeran’ masih digunakan dan terus ujud dalam masyarakat Melanau sekarang. 

Gelaran pangeran juga ujud dikalangan masyarakat Bisaya di Sabah, khususnya di Padas Damit. Dalam masyarakat Bajau, gelaran pangeran dan awang juga ujud, ramai golongan aristokrat Bajau di pantai barat Sabah mendakwa mempunyai hubungan dengan kesultanan Brunei.

Di selatan Filipina, segelintir dari golongan keluarga aristokrat juga mendakwa mempunyai hubungan dengan kesultanan Brunei. Di Tawi-Tawi, sebagai contoh keluarga ‘Digadong’ (dari gelaran Pangeran Digadong) terdapat dapat golongan aristokrat Samal.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, perkahwinan antara Sultan Abdul Kahar dengan anak kepada Ketua Bajau, Brunei telah meluaskan wilayahnya di tanah Bajau, dari Sabah hingga ke Balabak dan pulau Palawan di selatan Filipina. Dalam tarsila Brunei ada menyebut Kinarut, Patalan (Putatan), Marudu, Bangui (Banggi), Balabak, Palawan,Kagayan, dan disebelah pantai timur, Lugut (Sugut) dan Memiang antara wilayah di bawah kekuasaan orang Bajau. (Low,1880.ms.9-11,15-18. Sweeney,1988.ms21, 54-55)

Tanah Bajau dibahagi-bahagikan dikalangan kerabat diraja Brunei. Raja Bendahara Sakam, melalui ibunya, mewarisi wilayah yang luas di tanah Bajau.(Low,1880.ms.9,25) Orang Bajau Putatan di bawah kekuasaan Pengiran Temenggong (Ibid.,1880.ms.18) Kakak kepada Sultan Hassan, mewarisi daerah Marudu dan Bangi. (Ibid,1880.ms.11) dan juga Kinarut, di mana Kinarut telah menjadi kubu kuat anaknya, Sultan Abdul Mumin, semasa perang saudara Brunei.

Perang saudara Brunei bermula pada tahun 1661. Pada tahun berkenaan Sultan Abdul Mubin mengisytiharkan dirinya sebagai sultan Brunei yang ke 13, selepas membunuh saudaranya, Sultan Ali. Di pihak Sultan Ali, yang diketuai oleh anak buahnya, Muhyiddin, dengan bantuan orang Kadayan menentang Sultan Abdul Mubin. Penentangan itu sangatlah hebat sehingga Sultan Mubin memindahkan kotanya ke pulau Chermin, di hilir sungai Brunei. Muhyddin, yang mengekalkan pengaruhnya di ibu negeri Brunei, mengisytiharkan dirinya sebagai sultan Brunei. Sehingga pada zaman itu, Brunei mempunyai dua Sultan (Ibid.,1880.ms.11-18)

Perang saudara itu telah berlarutan hingga dua belas tahun. Sultan Muhyiddin dibantu oleh penduduk dari sebelah barat (Sarawak) manakala Sultan Abdul Mubin, yang telah mewarisi kekuasaan dari ibunya di sebelah utara (Sabah), telah dibantu oleh orang Bajau. 

Dikalangan orang Bajau, Sultan Mubin digelar sebagai ‘Orang Kaya Rongiah’ (Gelaran dikalangan orang Bajau). Dia telah membina kubu yang kuat di Kinarut, yang terletak diatas sebuah bukit. Dikemuncak  perang saudara, Sultan Muhyiddin telah melancarkan beberapa serangan untuk menawan Kinarut tapi gagal. Akhirnya, Sultan Muhyiddin, dengan bantuan orang Sulu, telah menewaskan Abdul Mubin di kubunya di pulau Chermin. Sultan Abdul Mubin dikatakan raja terakhir dikalangan orang Bajau. (Ibid)

Pada pertengahan abad ke 17, Brunei masih dalam kancah perang saudara, bukan saja telah memusnahkan kuasa ekonomi tapi kuasa politiknya, di mana Sulu telah mendapat sebahagian dari wilayahnya di Borneo Utara iaitu pantai timur Sabah pada masa kini. Dengan kemunculan pengaruh Sulu, telah berjaya menarik pengaruh orang Bajau memihak kepada sultan Sulu. Bermakna, dengan hilangnya kuasa sebahagian dari wilayahnya kepada Sulu, bermakna hilang juga penyokong dan pengikut setianya, orang Bajau. (Brown,1970.ms.144)

Sulu, walaubagaimanapun, hanya menguasai bahagian timur Sabah sehingga kedatangan British dan orang bajau di sebelah barat Sabah masih setia kepada kerajaan Brunei dan terus membayar cukai kepada Brunei. 

Bagi membuktikan setianya kepada kerajaan Brunei, orang Bajau sering menyerang dan memusnahkan kapal-kapal perang Sulu di perairan Brunei. Penentangan yang paling kuat dari orang Bajau Mengkabong (Ibid,1969.ms.153) yang mempunyai penduduk seramai 6,000 orang diakhir abad ke 17. (St.John,1974.ms 381)

Akhirnya, pada tahun 1877, Sultan Brunei telah menyerahkan Sabah kepada pihak British. Menurut Black, bila orang Bajau di minta untuk memilih antara pemerintah British dan pemerintah Brunei, orang Bajau lebih selesa dengan pemerintah Brunei, kerana Brunei lebih bertimbang rasa dalam mengenakan hukuman, walaupun telah menetapkan hukuman beratus pikul padi, ia hanya sekadar kata-kata dan mereka boleh membayar dengan apa saja yang ada, tapi bagi pemerintah British, bila menetapkan hukuman bayaran dua dollar, akan tetap dengan nilai berkenaan, dan tidak ada pengurangan (Black,1968.ms.187)

Rujukan

Black,I.D.1968, The Ending of Brunei Rule in Sabah 1878 – 1902,JMBRAS 41 (213): 178 – 199
Black, I.D. 1983, A Gambling Style of Government: The establishment of the Chartered Company rule in Sabah, 1878 – 1915 Kuala Lumpur;Oxford University Press.
Brown, Carrie C. 1972, An Early Account of Brunei by Sung Lien, BMJ 2,4 : 219 – 231.
Brown, D.E. 1969, Hugh Low on the History of Brunei, BMJ 1, 1: 147 - 156
Brown, D.E. 1969, The Social Structure of Nineteenth Century Brunei, BMJ 1, 1: 166 – 179
Brown, D.E. 1970, Brunei: The Structure and Historyof a Borneon Malay Sultanate : BMJ 2,2 (Monograph)
Dartford, G.P. 1963, A Short History of Malaya, Kuala Lumpur : Longmans of Malaya Ltd.
Gusni Sahat, 1995, Peneguhan Konfigurasi Nilai dan Penilaian Komuniti Terbandar: Kajian Kes di Kota Kinabalu, Sabah, MA Thesis, UKM (Sabah Campus)
Haji Buyong Adil, 1972, Sejarah Singapura, Kuala Lumpur: Dewwan Bahasa Dan Psutaka.
Hall, D.G.E. 1964, A History of South-East Asia, London : Macmillan & Co.Ltd.
Harrison, Tom, 1973 – 74, The bajau : Their Origins and Wide Importance, SSJ V1(1) : 38 – 41.
Hughes – Hallett, H.R. 1940, A Sketch of the history of Brunei, JMBRAS 18, 2 : 23 – 42.
Low, Hugh, 1880Selesian (Book of The Descent) of the Rajas of Bruni, JSBRAS 5: 1- 35.
Mohd.Dahlan Mansoer, 1979, Pengantar Sejarah Nusantara Awal, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Mohd.Jamil Al-Sufri,1973, Vhatatan Sejarah Perwira 2 dan Pembesar 2 Burnei, Brunei : Dewqn Bahasa Dan Pustaka.
Mohd. Jamil Al-Sufri, 1977, Islam In Brunei, BMJ 4, 1 : 35 – 42
Mohd.Jamil Al-Sufri, 1990, Tarsilah Brunei, Brunei:Jabatan Pusat Sejarah.
Nicholl, Robert, ed.1977, Relations Between Brunei and Manila A.D. 1682 – 1690, BMJ 4, 1: 128 – 176.








8 comments:

  1. Hai! I just want u to know that i'm still reading & interested for your next post on this.

    -From Putatan

    ReplyDelete
  2. Hi Anon
    Thanks for following.... i v long been not active, the article on Bajau, i have done it years back but Borneo history triggered back my interest on writing/research on history particularly on Islam in Sabah, the Bajaus and The brunei history.

    Will try ...insyallah.



    ReplyDelete
  3. The post have been updated

    Thank you to Tuan Roslan Masran on your kind contribution of this writing.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas infomasinya

    ReplyDelete
  5. Asas bagi mendalami sejarah bangsa yang merdeka ke arah melestarikan silang budaya pelbagai ethnik.

    ReplyDelete
  6. Dalam Bahasa Bajau Sama Kota Belud Teluk itu disebut Lok. Contoh Lok Lia diSabah. Lok Sumawi di Sumatera.
    Sebelum sejarah org MONGOL ditulis olih org Barat dlm bahasa Bajau Sama Kota Belud perkataan MONGOL itu bermaksud KEPUNG.
    Org tua tua Bajau Kota Belud mengaku bahawa asal usul mereka dari ENSALAT yg bermaksud SELAT.

    ReplyDelete