Sunday, 13 November 2016

SUATU PERISTIWA TAHUN 1911 DI PANDASAN KOTA BELUD

SUATU PERISTIWA TAHUN 1911 DI PANDASAN 
KOTA BELUD

JOHN H. ALMAN

 (Terjemahan oleh Borneo History)





Dua tahun yang lalu, kami melawat Tamu mingguan di Pandasan lebih kurang 12 batu melintasi dataran Tempasuk dari Kota Belud. Di tepi kawasan tamu tersebut kami dapati ada sebuah batu dengan ketinggian 2 kaki seperti batu sempadan antara kampung. Batu ini terletak atas timbunan tanah dengan lima tiang bambu yangg tidak bersambung bekas tinggalan pagar yang pernah mengelilingi kawasan batu ini.

Batu tersebut diselaputi lumut berwarna hijau. Atas lumut hijau batu tersebut macam tergosok mungkin oleh seekor haiwan dari kampung berdekatan dan bekas dari gosokan di batu tadi menunjukan sedikit tulisan jawi di satu arah batu tersebut. Jelas tertulis dalam jawi merakamkan kematian Sharif Omar pada jam 9 pagi pada hari Khamis bulan Sahaban tahun 1911. (Suatu yang ganjil di mana bulan mengikut kalendar islam dan tahun yang digunakan adalah tahun masehi bukan tahun hijrah).

Kami bertanya dengan seorang tua di Kampung Pandasan kenapa batu nisan ini tidak terletak di tanah pekuburan seperti lazimnya, beliau memberi tahu kepada kami bahawa batu nisan tersebut adalah tanda Pejuangan dan peperangan orang Bajau dan suku kaum lain terhadap pemerintahan kompeni. Kalau ikut sebenarnya dibawah batu nisan tersebut merupakan liang lahad beberapa orang pahlawan yang gugur syahid dalam perang tersebut. Itu saja yang beliau ingat tentang kejadian tersebut.

Kami cuba pergi balik ke Pandasan untuk bertanyakan tentang kejadian ini tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan dan saya juga akan mengambil cuti panjang.

Cerita Owen Rutter :

Pada tahun 1911 Bruce adalah Pegawai Daerah di Kota Belud tetapi dalam bukunya 20 tahun di Borneo tidak disebutkan tentang suatu peperangan pada tahun itu.

Dalam buku Owen Rutter bertajuk British North Borneo ada menceritakan satu pemberontakan di Pandasan pada tahun 1915. Orang Illlanun dan Bajau mengambil kesempatan dari ketiadaan pasukan polis di Kota Belud yang terlibat dalam meredahkan pemberontakan suku kaum Murut di Rundum dan mereka membuat keputusan untuk melancarkan serangan terhadap pihak British.

Pegawai Daerah waktu adalah En. PC Brackenbury ( Bruce sedang bercuti) menerima amaran bahawa akan berlaku pemberontakan oleh penduduk kampung dan tuan Residen En. E H Barraut bersama 5 orang polis berbangsa india dan pasukan polis dari Tuaran mengambil keputusan mencertai kumpulan yang cuba menghalang pemberontakan itu.

Pada waktu subuh dengan kehadiran pasukan tambahan dua Pegawai inggeris dengan 20 orang polis bergerak ke Pandasan. Dalam perjalanan yang melalui jalan rintis lorong menunggang kuda mereka tiba-tiba bertembung dengan 80 orang Illanun, Bajau dan beberapa orang dusun berpakaian serba putih. Dalam jarak 300 ela pihak polis mengarahkan pemberontak menyerah diri tetapi pemberontak masih maju kehadapan dengan tombak mereka. Pihak polis serta merta mengatur posisi dengan polis india berdiri dan polis tempatan berlutut di hadapan. Amaran kedua tidak diendahkan oleh pemberontak dan maju kehadapan dengan keadaan mengamuk. Pihak Polis melepaskan dua das tembakan. Beberapa orang pemberontak rebah. Pada das yang ketiga dan keempat tidak menghalang setengah dozen dari mereka sampai beberapa kaki dari kedudukan senjata sebelum ditembak mati. Akhirnya mereka mengundurkan diri meninggalkan 18 orang terkorban ditempat kejadian tersebut.

Cerita Lisan orang Kampung :

Kami menghantar surat kepada Cikgu Suhaibul Bin Mohd Dahalan yang berkerja di Sekolah kerajaan di Pandasan meminta beliau bertanyakan beberapa soalan di kampung Pandasan tentang peperangan di Pandasan dan tentang penemuan batu nisan yang ada kaitan dengan Sharif Omar. Beliau berhubung dengan En Abd Ghani dari Kampung Kaguran salah seorang pejuang Perang Pandasan yang masih hidup ketika itu yg pernah bersama Sharif Omar. En Abd Ghani  mengesahkan pernah berlaku Perang Pandasan pada tahun 1911 dan sekurang kurangnya  17 orang terkorban dalam Perang Pandasan tersebut.

Angka korban 17 orang yg terbunuh dalam perang tersebut seperti yang dikatakan oleh En Abd Ghani dan 18 orang yang direkodkan oleh Owen Rutter mengambarkan bahawa walaupun tahun berbeza tetapi Kejadian Perang tersebut adalah yang sama.

Pada tahun 1963 En Mastun seorang pelajar dari Maktab Kent yang balik bercuti di rumahnya di Pandasan dan kami mencadangkan agar beliau menyiasat kejadian Perang di Pandasan. Beliau kembali mencatatkan peristiwa perang Pandasan setelah mendapat bahan dan maklumat dari En Lontong Dari Kampung Taun Gusi menceritakan seperti berikut :

Pada tahun 1911 pihak kompeni mengumumkan di Kota Belud cadangan menyukat tanah di Pandasan Kota Belud dan akan memasangkan tiang tanda sempadan tanah yang tetap.

Pegawai Daerah menghantar dua orang pekerja membuat kerja menyukat tanah di  Pandasan tetapi mereka di halau oleh orang kampung yang marah dengan mengatakan bahawa tanah itu milik orang kampung dan kompeni tiada hak untuk menganggu dan ikut campur soal tanah orang kampung dengan tujuan mengenakan cukai tanah.

Pegawai Daerah mengeluarkan amaran kepada Ketua Masyarakat tetapi tidak dihiraukan...

Penduduk Pandasan merayu sambil meminta pertolongan dan sokongan dari beberapa pemimpin masyarat dan dari  kampung kampung yang berhampiran dan ramai yang bersimpati datang dari suku kaum illanuns, Bajau dan Dusun...
Beberapa Pemimpin tempatan datang ke Pandasan bersama pengikut mereka masing masing lengkap bersenjata antaranya Ali dari Marudu, Kelindad dari Kukut, Sharif Omar dari Keguraan dan Kadim dari Tambilaong.

Ali suku kaum Bajau mengetuai angkatan perang Bajau dan Kelindad mengetuai angkatan perang Dusun.

Ali memang terkenal sebagai seorang pemberontak.Seorang yang merancang dan mengetuai angkatan perang ini.

Ali memang diakui oleh masyarakat tempatan sebagai seorang yang sangat berani dengan semangat juang yang amat tinggi disamping diketahui ramai seorang yang mistik dan mempunyai kuasa luar biasa.

Semua pemimpin tadi berkumpul di Pandasan dengan pengikut mereka dan disambut dengan meriah oleh penduduk Pandasan.... Mereka diraihkan dan dijamu selama seminggu siang dan malam dan penduduk kampung sekitarnya seperti tambilang, bunga liah dan kukut ikut serta dalam acara sambutan pemimpin-pemimpin tempatan itu sambil mengadakan upacara bertitik...

Pada waktu petang hari ketujuh terdengar berita bahawa pihak polis telah bersiap sedia untuk bergerak kearah Pandasan untuk cuba memberhentikan pemberontakan..

Penduduk kampung nekad menyediakan senjata mereka untuk berperang dengan kompeni...

Pada keesokan paginya apabila kumpulan pembrontak bersiap sedia untuk bergerak... Ali memberikan kepada semua orang dua kayu kecil dan tali. Tali dan kayu kecil ini diikat di keliling pinggang masing masing di mana Ali menyakinkan mereka semua jika diizinkan tuhan bahawa tali ini akan memberikan pelindungan kepada mereka waktu berperang nanti...

Ali berpakaian putih dan meletakan keris dipinggangnya. Kelindad berpakaian warna merah dan juga mempunyai keris. Sharif Omar, Kadim, Sito dan Sharif Sagap berpakaian serba putih seperti pemimpin mereka Ali. Sebahagian angkatan perang itu berpakaian biasa.

Mereka membawa pelbagai senjata seperti tombak, keris, lastik dan parang. Ada juga yang membawa senapang tetapi kualiti balerang yang bermutu rendah menyebabkan ianya tidak dapat digunakan sepenuhnya...

Dengan bunyi kuat gong seramai 300 orang pahlawan bergerak kearah pasukan polis kompeni. Mereka berjumpa dengan tentera kompeni sebanyak 24 orang diketuai oleh OKK Hj Arshad (bekas kerani kanan pejabat daerah kota belud) bersama dua orang pegawai inggeris.

Apabila dua angkatan perang berjumpa dan berdepan Hj Arshad bercakap dengan nada suara yang tinggi sambil berkata' Ali kenapa kau buat semua ini? Berhenti sekarang! Kami bukan mahu mulakan perang tetapi mahu berbincang dengan baik dan munasabah.

Ali tidak menjawab dan bergerak kehadapan secara pelahan dengan pengikutnya.. Pihak polis cuba menembak mereka tetapi senjata mereka tidak berfungsi. Pihak Polis rasa terkejut dan menjatuhkan senjata mereka dan mula berundur. Hj Arshad mengambil sebuah senapang dan menembak Ali di kepala. Ali rebah dan terkorban dan gugur di kaki Hj Arshad.

Tiba-tiba apabila Ali terkorban Pihak polis mendapati senjata mereka boleh berfungsi semula. Tembakan Pihak Polis kali ini kena kepada sasarannya dan ramai terkorban... ada yang lari ke hutan dan ada lompat ke Sungai... ada juga yg terus berjuang sehingga titisan darah yg terakhir....

Pihak Polis akhirnya berjaya mematahkan serangan angkatan perang tadi dalam masa lebih satu jam. Maklumat awal yg diterima 17 orang terkorban dan ramai yang tercedera. Pihak Polis tiada yang terbunuh.

Pihak polis balik ke pekan Kota Belud pada hari yang sama dengan membawa tahanan yang menyerah diri. Penduduk kampung pergi ke tapak Tamu Pandasan dan membawa balik mayat perang pandasan kerumah masing masing untuk upacara pengkebumian keesokan harinya..

Keesokkan harinya pihak polis datang membuat siasatan. Pihak Polis menangkap beberapa orang termasuklah Ghani, Juali, Along, Sutar, Marali, Gusting dan Dullah... di mana mereka di penjara dan dihukum sebat dengan rotan.

Di tapak tamu Pandasan orang kampung mengkebumikan 8 orang dalam satu liang lahad termasuklah mayat Sharif Omar.

Pada masa yang lain anak Sharif Omar datang kembali dan meletakan batu nisan di atas kuburan tadi dengan suasana kesedihan disamping laungan tangisan beberapa orang balu, ahli keluarga dan anak-anak mereka...

Dalam kesudahan peperangan Pandasan ini seorang berbangsa illanun bernama Dari telah hilang tidak dapat dikesan diantara yang masih hidup atau yang sudah mati....

Kesulitan :

Baru baru ini kami mendapat Peluang melawat pandasan dan cuba mengkaji tapak kuburan tersebut. Pihak JKR telah membuat sempadan antara kuburan dan tapak tamu. Kami juga terkejut kawasan kuburan dibesarkan dan dikelilingi dengan pagar dawai. Sekarang ada 8 batu dari satu batu yang kami temui pada awal kajian kami disamping ada satu lagi batu dengan tulisan jawi dengan nama Bailu Bin Sagap 1911.

Kami bertanyakan orang sekitar siapakan Bailu Bin Sagap dan adakah beliau terlibat dalam Perang Pandasan pada tahun 1911 yang berlaku pada 1915. Seorang tua mengatakan bahawa Bailu meninggal dunia di zaman perang jepun dan bukannya pada tahun 1911. Ini disahkan oleh penduduk kampung yang lain. Semoga roh Bailu dicucuri rahmat. Sejarah bukannya mudah di Borneo Utara.


Sumber : Sabah Society Journal

6 comments:

  1. Melihat kepada keadaan tersebut, lahirlah watak seorang talibarut yang bernama Arshad. Arshad merupakan salah seorang dari pengikut Embo Ali yang telah diperturunkan ilmu kepahlawanan. Arshad yang telah dirasuk syaitan mula membayangkan imbuhan yang akan diperolehinya setelah mengkhianati rakan seperjuangan dan gurunya sendiri. Tidak seperti Jebat yang derhaka kerana menuntut Keadilan, Arshad menderhaka kerana kuasa dan kekayaan. Arshad memilih untuk hidup mulia, Embo Ali memilih untuk mati syahid. Arshad mengetahui kelemahan Embo Ali lalu bertindak meminjam bujak (lembing) kepunyaan gurunya itu. Sebagai salah seorang anak murid yang paling dipercayai dan antara yang terhandal berbanding yang lain, Embo Ali tidak menyangka anak murid kesayangannya yang seorang ini sebenarnya takut mati dan terlebih dahulu telah berpakat dengan pihak British. Setelah mendapat bujak kepunyaan gurunya itu dengan laungan “sumbang/setumbang noh kiti guru!!!’’ yang bermaksud “berlawanlah kita wahai tok guruku”, Arshad membujak Embo Ali dalam keadaan beliau tidak bersedia. Antara dialog yang dirakamkan dalam ingatan mereka yang tidak terbunuh dan menyaksikan babak tersebut adalah berbunyi seperti ini yang telah saya terjemahkan dalam Bahasa Melayu." Sampai hatimu Arshad. Ku pelihara kau seperti anak sendiri, ku perturunkan segala ilmu. Sebegini rupa kau membalasnya".

    ReplyDelete
  2. Entah mana bwtul ni.. Ali mati di tembak atau mati di tikam oleh arsad...

    ReplyDelete
  3. Ada cerita mengatakan Embo ali tidak terkorban dlm peparangan pandasan Embo Ali cedra kedua2 matanya tidak boleh melihat kesan timbakan yg mengunakan peluru petunang .

    ReplyDelete
  4. Kononnya okk hj arshad ni bukan org bajau tapi org banjar berasal dari indonesia

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yeah beliau orang banjar dari banjarmasin xsilap saya

      Delete
  5. Pemimpin Dulu2 nda kira dari bajau samah atau dusun sangat bersatu hati,,bila pemimpin bersatu,org2 sekeliling pun bersatu hati,terbukti dgn perang pandasan di mna bangsa dusun,bajau samah dan iranun sama2 berjuang sehingga ketitisan darah terakhir melawan penindasan..tapi sekarang ni susa hati tengok anak anak muda begadu sesama sendiri..diorang tidak baca sejarah perang pandasan ka,sejarah kota belud pula tu,,,10 taun akan datang tidak tau la macamna nanti..

    ReplyDelete