Tuesday, 29 November 2016

KAMPUNG TERAWI PENAMPANG

PRA-SEJARAH KAMPUNG TERAWI, PENAMPANG

Mengikut sejarah lisan yang dikisahkan, Kampung Terawi, Kandazon, Kuai dan Mahandoi, serta Kampung-Kampung yang di sekelilingnya adalah dihuni sejak dari asalnya oleh orang-orang Kadazandusun. Cara kehidupan yang dijalani oleh nenek-moyang pada ketika itu berpegang kepada kuasa dalam tangan sendiri. 

Siapa yang kuat dialah yang berkuasa. Seteru atau pihak musuh sudah pasti akan kecut dan takut pada ‘huguan siou’ atau pendekar terbilang yang berkuasa pada ketika itu. Diantara yang termashur pada ketika itu dan masih disebut-sebut sehingga kini ialah si Monsopiad daripada Kampung Kuai/Kandazon, Gumantang daripada Kampung Kepayan, Manggung Buntol, dan lain-lain lagi. Sehingga sekarang masih lagi terdapat keturunan daripada huguan siou ini. 

Adat yang diamal pada ketika itu ialah adat kebudayaan turun-temurun. Nenek-moyang kita pada ketika itu juga amat percaya kepada Tuhan – tetapi cara pendekatan mereka untuk menyembah Tuhan adalah berlainan sekali – iaitu lebih berfokuskan melalui pengamalan adat budaya daripada ritual kepercayaan keagamaan. Walaupun budaya tradisi magang, humabot, monogit, momohizan, magavau, manavit, modsopi dan beberapa cara lain yang digunakan dalam acara penyembahan tidak lagi kelihatan di Zon Terawi, tetapi dalam banyak hal ia boleh dipelajari sebagai satu pendekatan bagi menyatukan serta mendisiplin kehidupan masyarakat secara keseluruhannya pada ketika itu.

Justeru itu, cara kehidupan yang diamalkan oleh nenek-moyang pada ketika itu lebih berfokuskan kepada adat iaitu kebudayaan dan bukannya acara keagamaan iaitu kepercayaan. Budaya inilah yang membentuk tatacara dan tatasusila serta keharmonian hidup bermasyarakat ketika itu. Dalam erti kata lain, budaya inilah yang membentuk atau disebatikan dalam kehidupan seharian.

BAGAIMANA KAMPUNG TERAWI MENDAPAT NAMA?

Selang beberapa lama selepas itu, tibalah pula para saudagar dari negara Brunei. Mereka berlabuh dan singgah di tempat yang sama dengan persinggahan para misionari tadi. Memandangkan para saudagar dari Brunei sampai pada waktu malam dan bersempena dengan bulan Ramadhan iaitu bulan puasa bagi umat Islam, mereka mengadakan sembayang terawih. 

Dari peristiwa itu, Kampung Tuaui telah dikenali sebagai Kampung TERAWI. Mereka ini pula telah diterima atau disambut oleh para penatua pada ketika itu dan telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada para saudagar dari Brunei itu. Daripada penerimaan dan kerjasama yang diberi itu maka seorang penatua dari Kampung Tuaui telah dianugerahkan gelaran sebagai menteri oleh pemimpin orang Brunei. Penatua dari Kampung Tuaui itu, seorang pemimpin perempuan yang dihormati serta disegani oleh penduduk Kampung Tuaui pada ketika itu kerana keberaniannya, dikenali sebagai Menteri Babu. Antara keturunan daripada Menteri Babu itu ialah moyang kepada (Reverend) Fr. John Mansul.

Supaya tidak keliru, dijelaskan bahawa sebelum wujud nama TERAWI yang ada ialah Kampung Tuaui berhampiran dengan Kampung Diompong dan bersebelahan dengan Kampung Kandazon di hilir dan Kampung Bokok ke hulu Sungai Moyog/ Putatan. Diingatkan bahawa Kampung Bokok Terawi dan Kampung Bokok Mahandoi pada asalnya merupakan satu kawasan sebelum terjadinya sungai Tulangis atau Sungai Moyog/ Petagas.

Kira-kira pada tahun 1959-1960, sekali lagi seorang Padri telah sampai ke zon ini. Padri yang sangat aktif menjelajah ke seluruh pelusuk zon ini untuk memberi kebaktian dan mengajar Khabar Gembira Kristus ialah Rev. Fr. Jude. Seperti yang tercatat dalam sejarah, Kota Roma yang pernah menjadi gelanggang pembunuhan penganut Kristian dan akhirnya Kota Roma juga menjadi Pusat Pentadbiran Katolik. Begitulah hakikatnya, mengikut sumber yang dipercayai, keturunan Menteri Babu jugalah yang pertama menerima Khabar Gembira dan menganut agama Kristian Katolik.

KEDATANGAN PARA MISIONARI DAN BERMULANYA KHABAR GEMBIRA

Sekitar seratus tiga puluh tahun yang lalu, dikisahkan bahawa beberapa saudagar dari luar negara, termasuklah saudagar Cina, telah singgah di Kampung Bokok/Terawi. Mereka menghulu melalui Sungai Moyog/Putatan. Pada masa yang sama, para pembawa Khabar Gembira Kristus atau Padri Katolik juga telah sampai di Kampung ini. Mengikut aturan penuturan cerita ini, tempat persinggahan atau dalam erti kata yang lain mendirikan pondok atau khemah sebagai pusat misionari yang pertama di Penampang/Putatan oleh Padri tersebut ialah di tapak bangunan Gereja Holy Nativity Terawi sekarang ini pada bulan Jun 1885. Dipercayai bahawa padri tersebut ialah Reverend Fr. Alexander Prenger. Disebabkan dengan pengaruh adat dan budaya tradisi yang dianut turun-temurun, penduduk kampung sama sekali tidak suka atas kedatangan para misionari tersebut.

Pada mulanya, dikisahkan bahawa seorang padri (dipercayai Reverend Fr. Prenger) telah dibenarkan untuk tinggal di Kampung Bokok/Terawi. Beliau juga dikatakan tinggal bersama-sama sebuah keluarga semasa berada di Kampung Terawi. Dituturkan bahawa keluarga tersebut merupakan umat Katolik yang pertama di Kampung Terawi. Reverend Fr. Prenger kemudian dibantu oleh Reverend Fr. Rientjes yang tiba pada awal tahun 1890. Malangnya Reverend Fr. Rientjes mati lemas semasa berakit di pertemuan Sungai Moyog/ Putatan/Petagas berhampiran dengan tapak lama Gereja Holy Nativity Terawi pada 15 Mei 1891.

Apabila diketahui bahawa misi padri tersebut bertujuan untuk mengKristiankan penduduk setempat maka beliau pun diusir. Ketua Kampung pada ketika itu yang masih sangat kuat dengan pegangan tradisi adat orang Kadazandusun turun-temurun telah memimpin pengusiran itu.

Mengikut penuturan lisan yang lain, punca pengusiran tersebut bukan hanya disebabkan oleh aktiviti ‘pengkristianan’ tetapi dasar pengambilan tanah yang merangkumi semua kawasan Kampung Terawi, Kuai/Kandazon, Mahandoi hingga ke Kampung Tonggihan oleh Syarikat Berpiagam British (British Chartered Company) pada ketika itu. Disebabkan para misionari yang datang juga mempunyai rupa kulit yang sama (orang putih) maka para padri tersebut pun mendapat tempiasnya. Tambahan pula Kerajaan Brunei memang kuat pengaruhnya terhadap Ketua Kampung Kampung Terawi yang telah dianugerah pangkat sebagai *Menteri Babu (setaraf dengan menteri penuh dan kerap hadir ke Istana Brunei).

Dikisahkan juga, sebelum tragedi pengusiran, padri tersebut telah memilih tanah rizab Kampung Bokok Terawi termasuk tapak lama dan baru bangunan Gereja Holy Nativity dan Balairaya Kampung Terawi sekarang ini sebagai tempat yang telah dipilih amat sesuai untuk membina gereja, sekolah dan klinik. Kawasan yang dipilih ini dipercayai juga merangkumi kawasan perkuburan Bokok Terawi serta kawasan-kawasan berhampiran dengannya. Ini dibuktikan bahawa tempat tersebut merupakan satu-satunya kawasan perbukitan dan lembah strategik yang dilalui sebuah sungai yang juga merupakan satu-satunya jalan penghubung dunia luar ketika itu. Sungai tersebut ialah Sungai Moyog/Putatan.

Sungai Moyog/Putatan merupakan satu-satunya jalan penghubung aktiviti perdagangan dan sudah pastinya Kerajaan Brunei mahu menguasai aset penting ini. Ketika itu, Sungai Moyog yang menghubung Sungai Petagas hanya merupakan sebuah parit kecil sahaja. Kampung Bokok Terawi dan Kampung Bokok Mahandoi pada asalnya merupakan satu kawasan yang luas dan subur. Tetapi kawasan Kampung Kotontogon (Terawi), Kodundungan (Sukod) dan Kampung Gambong (Tonggihan Buit) yang merupakan kawasan sawah padi yang amat luas sering mengalami masalah bekalan air. 

Ini menyebabkan hasil padi (makanan utama penduduk) sungguh tidak memuaskan. Maka, nenek-moyang yang tinggal di Kampung Mahandoi, kebetulan juga mempunyai sawah padi yang luas di Kampung Kotontogon dan Kodundungan dan Gambong, telah menutup saliran air sungai ke Putatan dengan tujuan mengalihkan aliran air sungai ke parit yang sedia ada buat sementara untuk membekalkan air ke sawah-sawah tersebut. Akan tetapi pada malam itu, hujan turun dengan lebat, menyebabkan kederasan air memaksa parit yang pada asalnya kecil menjadi besar seperti sebuah sungai. Begitulah penuturannya bagaimana wujud Sungai Moyog/Petagas.

Di sebabkan pengusiran tersebut, maka para misionari tersebut telah meneruskan pelayaran ke hulu dan menetap di Kampung Inobong, Penampang. Di situlah para misionari memulakan kebaktian sehingga adat dan kepercayaan Kristian Katolik berkembang. Bagaimanapun, sebelum itu, dikisahkan bahawa padri tersebut telah singgah di suatu tempat di Kampung Dambai, Penampang selama tujuh tahun sebelum menetap di Inobong. Selain itu, sumbangan-sumbangan lain yang telah diberikan oleh para missionari tersebut ialah pewujudan sekolah bagi kemudahan dan kebaikan seluruh penduduk di Sabah.

 

 

No comments:

Post a Comment