Thursday 8 December 2016

TOKOH DALAM KENANGAN: PEHIN ORANG KAYA UDANA LAILA DATO SETIA INCHE AWANG ABDULLAH…

TOKOH DALAM KENANGAN: PEHIN ORANG KAYA UDANA LAILA DATO SETIA INCHE AWANG ABDULLAH….

Siapakah beliau sebenarnya sehingga beliau dimasukan dalam senarai tokoh dalam kenangan….???


Nama beliau yg sebenarnya ialah Pehin Orang Kaya Udana Laila Dato Setia Inche Awang Abdullah @ Raden Mas Abdullah bin Raden Mas Hanafi. Beliau terkenal dengan panggilan Inche Awang. Satu nama yang tidak asing lagi di kalangan penduduk2 di Daerah Tutong. Beliau di anggap tokoh bagi penduduk Daerah Tutong adalah disebakan beliau merupakan seorang pentadbir yang membangunkan daerah Tutong pada awal hingga pertengahan abad ke 20. Selain itu beliau juga seorang pemikir, perintis, dan penggerak pembangunan social dan infrastruktur di Negara ini khususnya di Daerah Tutong pada tahun 1927 hingga 1945 apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah dan Kadhi Daerah Tutong… Tidak dapat dinafikan jasa dan sumbangan beliau kepada Negara malah bukan sahaja jasa beliau ada terpahat di bumi Negara Brunei Darussalam bah kan juga di Labuan dan juga di Sabah.

Kisah Asal Usul…

Menurut cerita.. Beliau berasal daripada keluarga bangsawan dari Samarang, Indonesia dan lahir di Labuan sekitar tahun 1880-an… Ayah beliau bernama Raden Mas Haji Hanafi bin Raden Mas Haji Ibrahim bin Raden Anuar iaitu adik beradik kandung dengan Raden Mas Haji Maliki (Abdul Fatah), Raden Mas Haji Shafie dan Raden Mas Hambali. Beliau disifatkan sebagai seorang yang alim, rajin dan gagah berani yang telah merantau ke Brunei pada tahun 1871. Menurut sumber… Kedatangan Raden Mas Haji Hanafi ke Brunei adalah sewaktu perjalanan beliau dari menunaikan Fahrdu Haji pada 10 Oktober 1871. Apabila sampai di Brunei, Raden Mas Haji Hanafi mengadap Baginda Sultan Haji Abdul Momin bagi menjunjung tinggal di Brunei dan bernaung di bawah panji2 Kerajaan baginda. Sultan Abdul Momin telah berkenan mengurniakan tempat tinggal dan juga seorang isteri iaitu seorang janda yang bernama Dayang Siti Saleha binti Abu Bakar iaitu saudara kepada Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Haji Mohd Daud. Raden Mas Haji Hanafi bertugas di istana membantu seorang Jawa yang bernama Sidiq untuk bertukang emas.

Kerjaya, Perkhidmatan dan Bakti…

Apabila melihat dari sifat kerajinan bekerja dan kepintaran ayahnya itu, tidak hairanlah juga sifat ini telah diwarisi oleh Inche Awang untuk menabur bakti di Negara ini. Sepanjang hayat beliau, telah banyak melakukan berbagai jenis pekerjaan sehingga mendapat kepercayaan pegawai-pegawai Inggeris yang mentadbir Brunei dan negeri-negeri Borneo Utara pada waktu itu.

Pada awal kariernya iaitu pada tahun 1890 beliau merupakan seorang penyembelih sapi di Labuan dan mula berkhidmat dengan Kerajaan Brunei sebagai Juru Ukur Kanan dan Pelukis Peta di JAbatan Tanah pada 1 Januari 1910. PAda tahun 1912 dengan Kerjasama seorang contractor Cina dari Hongkong, beliau telah Berjaya membina rumah dan Pejabat Residen British. Bermula dari tahun tersebut pengalaman dan pengetahuan beliau telah dipergunakan oleh Kerajaan Brunei untuk merancang pembangunan negeri ini.

Sebelum beliau berkhidmat di negara ini, beliau telah banyak menimba pengelaman bekerja dalam berbagai bidang dan tempat di Borneo. Tetapi sebelum beliau memulakan kerjaya, beliau terlebih dahulu mendalamai ilmu ugama di Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia pada tahun 1891-1894. Apabila tamat, beliau balik ke Labuan dan mengajar Al-Quran kepada kanak2 di Pulau tersebut. Namun pada tahun 1895, beliau telah mengubah kerjaya beliau menjadi seorang kelasi kapal dengan mengembara ke sebelah Timur Kalimantan serta Kepulauan Zamboanga, Serangkani, Cotabato, Davao, Cebu, Pili-Pilu, Basilan, Kinti, Madura, Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau. Bahkan pada tahun yang sama beliau telah dilantik menjadi kapten kapal ‘FOOKSENG’ dan melayari ke Kepulauan Filipina, Celebes dan Sandakan. Pada tahun 1897, buat kali pertama kalinya beliau membawa kapal tersebut ke Hong Kong kerana isteri tuan empunya kapal berkenaan sedang sakit di Hongkong. Setahun kemudian barulah beliau balik ke Labuan.

Pada tahun 1899, beliau bekerja di bawah Tuan J.P. Kaesbarry di Labuan dengan mempelajari cara melukis peta rumah dan sebagainya. Disebabkan oleh sikap beliau yang tidak pernah merasa puas dengan apa yang dicapai, akhirnya pada tahun 1901-1904 beliau sekali lagi membuat pengembaraannya mengelilingi Pulau Kalimantan. Namun di samping itu pada waktu yang sama, beliau juga telah mendapat kepercayaan dari Tuan J.P. Kaesbarry pada waktu itu untuk mengatur perkampungan Daerah Api-Api, Sabah untuk dijadikan Bandar Jesselton dan juga pejabat2 Kerajaan di Pulau Gaya yang telah musnah dibakar semasa peperangan Mat Salleh dengan memindahkannya ke Kebago yang terletak di Kuala Menggatal. Atas arahan J.P. Kaesbarry juga Inche Awang diarahkan untuk membuat jamb atan di Daerah Api-Api bagi kapal-kapal besar bertambat. Beliau telah membawa 50 orang dari Labuan dan Brunei berserta dengan 190 orang Dusun dan Bajau dari Sabah untuk mengangkat batu dari Tanjong Liadan, Likas, Kuala Inanam dan Pulau Gaya. Jambatan ini siap dibina dalam tempoh dua tahun Inche Awang bersama rakan sejawatnya dari Ceylon iaitu Inche Rodrigo menjadi juruuukur dalam projek tersebut sehingga telah Berjaya mengatur Bandar Jesselton lengkap dengan jalan raya, kedai-kedai, dan gudang-gudang sesuai dengan kedududkannya sebagai sebuah Bandar. Setelah selesai mengatur Bandar Jesselton, Inche Awang telah dipindahkan ke Tanjung Ara untuk membuka kebun kelapa seluas 500 ekar kepunyaan Tuan Frederikh Hall, Tuan Clark, dan Tuan Beneville. Akhirnya Inche Awang dilantik menjadi pengurus lading tersebut.

Pada tahun 1904, Inche Awang telah Berjaya mendapatkan tawaran untuk membangun dua buah rumah sakit, rumah Pegawai Daerah, dan rumah Governor di Labuan. Pada awal tahun 1905, beliau sekali lagi menjadi Serang Kapal kepada sebuah kapal Cina yang bernama ‘LOVELY’. Setahun kemudian beliau pergi ke Brunei dan membuka kebun di Pulau Keinggaran tetapi selepas wabak cacar yang melanda Brunei pada penghujung bulan Disember 1906 beliau balik semula ke Labuan dan pada 1 Januari 1907, beliau dilantik menjadi Overseer dan Pelukis Peta di Jabatan Kerja Raya Labuan. Walau bagaimanapun pada tahun 1908 atas rundingan Residen British Labuan, Tuan Owen dan Assistant British Residen Brunei, Tuan Stoney, beliau telah diarahkan bekerja secara bergilir-gilir iaitu selama dua minggu di Brunei dan dua minggu di Labuan. Tugas beliau di Brunei ialah menyukat tanah-tanah di Negara ini untuk mengatur pembinaan bangunan-bangunan kedai, Balai Polis dan pejabat. Pada tahun 1908, Inche Awang telah ditugaskan untuk membuat rumah api di Pulau Papan Labuan dan pada tahun 1909 di Pulau Kuraman yang terletak di Sungai Brunei.

Segala pengalaman dan pengetahuan kerja yang diperolehi oleh Inche Awang semasa bertugas di Sabah dan Labuan itu telah dimanfaatkan oleh Kerajaan Brunei untuk merancang pembangunan infrastruktur di Negara ini seperti jalan raya, penyusunan bandar, dan empangan air serta menjadi pakar perunding yang berwibawa. Sebelum beliau dilantik menjadi Pegawai Daerah Tutong pada tahun 1927, khidmatnya telah digunakan oleh Kerajaan untuk menyelesaikan satu perselisihan diantaranya Kerajaan dengan orang-orang Kedayan yang berpunca daripada masalah penyekatan tanah pada tahun 1916 sehingga tahun 1918. Inche Awang telah dilantik sebagai Pegawai Pengamanan (Settlement Officer) khusus untuk menangani masalah tersebut.Dalam kejadian ini, iaitu pada tahun 1917 seorang dari puak Kadayan telah mati ditembak ketika dia sedang tidur oleh seseorang yang tidak dikenali, Inche Awang beserta rombongannya yang diketuai oleh Tuan Cator, Tuan MC Affee (Chief Police Officer) berserta 17 orang anggota polis berbangsa Sikh dan dua orang Melayu iaitu Lans Kopral Daud dan Sarja Kadir telah pergi ke tempat kejadian. Setibanya mereka di Jambatan Sengkurong mereka telah dikepung oleh orang-orang Kedayan yang dianggarkan seramai 1,000 orang dan dilengkapi dengan senjata api. Kejadian tersebut telah mencetuskan keadaan tidak menentu, namun keadaan menjadi reda apabila secara kebetulan ketua-ketua puak Kedayan melihat Inche Awang yang mereka kenali di atas jasa-jasa beliau sebelum ini. Kesempatan ini telah beliau gunakan untuk menasihati mereka supaya meletakkan senjata bagi mengelak pertumpahan darah. Keadaan kemudiannya terkawal dan dapat ditenteramkan.

Satu lagi percubaan penentangan dari puak Kedayan terhadap Kerajaan telah berlaku pada tahun 1918 di Kampong Pengkalan Gadong yang dilakukan oleh Orang Kaya Dollah. Beliau yang menganggap berkuasa di kawasannya telah membuat bantahan terhadap orang-orang Kerajaan yang melakukan penyukatan tanah di kawasan itu dengan mengugut akan dikudung betis (dipenggal kaki) orang-orang yang melakukannya. Berikutan dengan keadaan itu satu gerakan khas telah diadakan bermula pada 14 April 1918 rombongan Tuan Mc Affee dan Inche Awang bertolak dari Bandar Brunei menuju ke rumah Orang Kaya Dollah. Inche Awang mengarahkan agar Tuan Mc Affee membiarkan dia seorang sahaja yang menaiki rumah Orang Kaya Dollah. Apabila Inche Awang masuk ke rumah tersebut dengan serta merta Orang Kaya Dollah terjun dari pintu belakang. Sejak hari itu rumah Orang Kaya Dollah dijaga oleh Polis selama dua minggu. DAlam jangka waktu itu Inche Awang telah berkesempatan berjumpa dan memberi nasihat kepada Orang Kaya Dollah supaya mengadap Sultan untuk menyerah diri. Pada awal bulan Jun 1918, Orang Kaya Dollah dengan rela hati mengadap baginda Sultan di Lapau Laut untuk menyerah. Akhirnya beliau ditangkap oleh anggota polis dan keesokan harinya Orang Kaya Dollah dibuang negeri ke Pulau Labuan.

Berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang dimiliki oleh Inche Awang dalam menyelesaikan beberapa masalah di Negara ini telah menarik minat Kerajaan Brunei untuk melantik beliau ke satu jawatan tetap. Oleh itu pada 10 Januari 1922, beliau telah dilantik menjadi ketua mandor di Pejabat Kerja Raya, Bandar Brunei. Di antara tanggungjawab beliau pada waktu tersebut ialah membuat jalan raya dan Bandar Brunei hingga ke Pekan Tutong pada tahun 1923 hingga 1926. Pada tahun 1926, beliau telah menentukan sempadan Kampong Keriam iaitu dengan menetapkan Bukit Dadap menjadi sempadan kampong tersebut dengan Kampong Luagan Duduk dan Sungai Kelakas menjadi sempadannya dengan Kampong Panchor. Inche Awang juga memberi nama Kampong Keriam yang sebelumnya dikenali sebagai Kampong Rium. Penukaran ini melibatkan nama Sunagai Rium dan Bukit Rium. Pada tahun yang sama juga Inche Awang membuat saluran air paip dari Wasai Beguruh yang terletak di Mukim Kianggeh untuk membekalkan air ke seluruh Bandar Brunei.

Kerjaya beliau yang paling cemerlang ialah semasa beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Tutong pada tahun 1927 hingga 1935, Beliau mula menjawat sebagai jawatan tersebut pada 1 Januari 1927 dan sekaligus dilantik menjadi Hakim bagi Daerah Tutong. Pada awala pentadbiran beliau di Daerah tersebut, Inche Awang telah Berjaya menangkap dua orang pembunuh dalam suatu trajedi berdarah yang berlaku di Kampong Tanjong Maya, Awang Abdul Rashid bin Salleh. Mereka telah membunuh tiga orang bangsa Cina dan mencederakan dua orang yang lain pada 23 Januari 1927. Penangkapan kedua-dua orang adik beradik itu telah ditentang oleh Penghulu Abdul Rashid, bagaimanapun untuk meredakan ketegangan beliau telah di hantar ke Singapura dan ketika inilah kedua-dua anak beliau dihukum gantung. Apabila beliau balik dari Singapura beliau telah diberi tali pinggang polis yang bermakna beliau berkuasa menangkap orang-orang yang melakukan kesalahan. Dengan ini kemarahannya menjadi reda dan malah beliau merasa bangga diberikan penghormatan sedemikian. Sementara Inche Awang telah dibeeri surat kepujian oleh pihak Kerajaan kerana Berjaya menangkap pembunuh tersebut pada waktu yang singkat iaitu dalam masa dua jam sahaja.

Pada tahun 1932 hingga 1933, Inche Awang telah membina jalan pantai yang menghubungkan Pekan Tutong dengan Kuala Belait. Beliau juga mengukur tapak bangunan pejabat Kerajaan serta menyukat lot-lot kedai di Kuala Belait serta mengatur jalan-jalan raya. Dalam tempoh tersebut juga beliau membuat jambatan dan rintis sehingga terbinanya jambatan Sungai Liang, jambatan Lumut, jambatan Sungai Bera, Anduki dan Andua. Pada tahun 1935, beliau telah menamakan Sekolah MElayu Petani menjadi Sekolah Bukit Bendera Tutong. Inche Awang juga bertanggungjawab membuka JAlan Raya Kuala Abang pada tahun 1936 yang menjadi jalan raya utama penduduk-penduduk di Mukim Kiudang dan Lamunin. Nama jalan raya tersebut diambil daripada nama sejenis pokok yang buahnya boleh dibuat minyak kawang yang banyak terdapat di tempat tersebut.

Pada 31 Disember 1935, Inche Awang telah bersara dari perkhidmatan Kerajaan. Semasa persaraannya itu beliau telah dilantik menjadi Ahli MAjlis Mesyuarat Negeri pada tahun 1938 hingga 1939 yang membawa gelaran ‘Yang Berhormat (The Honourable) dan pada tahun 1941, Inche Awang telah disampiri gelaran Pehin Orang Kaya Udana Laila oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Disebabkan jasa bakti beliau masih diperlukan oleh Kerajaan, maka pada 28 Januari 1945 beliau dipinjam sementara untuk memangku jawatan Pegawai Daerah Tutong kerana jasa bakti beliau diperlukan bagi mengamankan Daerah Tutong yang dalam keadaan huru hara oleh rampasan dan pencurian yang berleluasan di daerah itu. Sehari selepas itu, iaitu pada 29 Januari 1945 beliau telah meletakkan jawatannya sebagai Naibul KAdhi dan digantikan oleh Pengiran Haji Abdul Rahman bi Pengiran Maharaja Lela yang pada masa itu tinggal di Kampong Kandang, Tutong. Setelah keamanan dapat dipulihkan di Daerah Tutong, Inche Awang dengan rela hati meletakkan jawatan Pegawai Daerah Tutong pada 1 JAnuari 1946, dan tempat beliau diganti oleh Pengiran Jaya Negara Pengiran Abu Bakar bin Pengiran Omar.

Kecemerlangan dan kebolehan Inche Awang bukan sahaja terhad dalam bidang pentadbiran tetapi juga dalam bidang ugama dan kesenian. Selain itu Inche Awang juga merupakan seorang guru dikir, silat, kuntau dan juga adalah pereka dan pembuat usungan Diraja. Beliau ialah pengasas Dikir Sharafil Anam yang termasyhur di Brunei, sebelumnya dikir ini dikenali sebagai dikir Inche Awang, antara anak murid beliau yang terkenal dalam pelajaran dikir ialah Pehin Datu Panglima Awang Haji Abu Bakar bin Jambul, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Awang Muhammad, Awang Haji Ghazali bin Awang Umar dan Awang Haji Tengah bin Awang Abdul Ghafar, seorang guru dikir yang terkenal di Kampong Burung Pingai.

Pada tahun 1950, Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin telah melantik beliau sebagai Datu Penghulu yang kedudukannya mengetuai semua penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong. Pada tahun 1952, dikurniakan anugerah Bintang Kebesaran Member of The British Empire (M.B.E) oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II. Beliau juga ialah salah seorang penerima Pingat D.S.N.B (Darjah Setia Negara Brunei) menjadi ahli kepada Majlis Mengangkat Raja. Walaupun pada tahun 1961 semasa permasyhuran Pengiran Muda Hassanal Bolkiah menjadi Pengiran Muda Mahkota, Inche Awang sudah tua dan sakit-sakit, namun beliau masih berupaya hadir dalam permesyuaratan pertabalan tersebut.

Perkahwinan dan zuriat…

Dalam hal perkahwinan Inche Awang, beliau telah berkahwin dua kali selepas isteri pertama beliau meninggal Dunia.

Pada 25 April 1904, Inche Awang telah berkahwin dengan Dayang Siti Aminah binti Burut dan dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu:

1. Raden Mas Ibrahim yang dilahirkan pada tahun 1905 di Kampong Parit, Labuan.
2. Raden Mas Dino (Muznah) dilahirkan pada tahun 1906 di Kampong Padang, Brunei.
3. Raden Mas Emran dilahirkan pada tahun 1913 di Kampong Padang, Brunei.
4. Raden Mas Siti Raudzahtun Nadzrah dilahirkan pada tahun 1914 di Kampong Padang, Brunei.
5. Raden Mas Siti Salmah Zahrah dilahirkan pada tahun 1916 di Kampong Padang, Brunei.
• Raden Mas Dino (Muznah) telah berkahwin dengan Pengiran Temenggong Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Abdul Rahman Piut dan beranakkan Pengiran Haji Yunus, Pengiran Haji Mohd Yaakub, Pengiran Haji Yusni, Pengiran Dato Paduka Haji Idris dan Pengiran Haji Raden Hanafi.
• Setelah Raden Mas Dino (Muznah) meninggal dunia, Pengiran Temenggong Pengiran Haji Muhammad berkahwin lagi dengan adik Raden Mas Dino (berkahwin dengan adik ipar beliau) iaitu Datin Paduka Siti Raudzahtun Nadzrah dan beranakkan Pengiran Hajjah Rohana, Pengiran Che’ Din dan Pengiran Ibrahim.

Pada tahun 1940, Inche Awang berkahwin kali kedua dengan Dayang Halimah binti Abdul Rahim dan beranakkan Raden Mas Ismail, Raden Mas Hajah Khairani dan Raden Mas Mohd, Basuani.

Penutup..

Ketokohan Inche Awang sebagai seorang pemimpin dan perancang pembangunan di Daerah Tutong sehingga sekarang tetap dikenang oleh generasi tua daerah tersebut yang hidup sezamannya. Kehadiran beliau selaku Pegawai Daerah Tutong tepat pada masanya dengan keadaan daerah tersebut yang memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa dan berkebolehan untuk membangun daerah berkenaan. Jasa-jasa beliau tetap dikenang sepanjang masa apabila sebatang jalan di Pekan Tutong telah diberi nama sempena dengan nama beliau iaitu Jalan Inche Awang.

Al-Fatihah…. Semoga roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman…. Aamiin Allahumma Aamiin….

_____________________THE END______________________
Ditulis oleh: Dayang Hajah Joriah binti Haji Metali

Dibukukan oleh Pusat Sejarah Brunei.

5 comments:

  1. saya salah satu keturunan beliau. Jika ingin menghubungi saya sila email mukhriz.radenmas@live.com

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih tuan Mukhriz Ibn Emran membaca blog Borneo History.

    Mohon izin agar cerita arwah Pehin Orang Kaya Udana Laila Dato Setia Inche Awang Abdullah @ Raden Mas Abdullah bin Raden Mas Hanafi diabadikan dalam blog ini bagi tatapan dan pengetahuan generasi baru.

    ReplyDelete
  3. Saya ada lah anak kepada arwah Pg Hj Radin Hanafi. Terima kasih sharing info yg selama ini tidak saya ketahui.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berapa orang anak Allahyarham Pg Hj Radin Hanafi & bagaimanakah susunan dari yg sulung hingga paling bungsu.

      Delete
  4. Saya adalah cucu kepada Raden Mas Hajah Salamah Zahrah (anak kepada Raden Mas Hanafi).. Alhamdulillah thank you for sharing thr history of ir ancestor

    ReplyDelete