Sunday, 25 December 2016

Pengiran Temenggong Pengiran Anak Abdul Kahar Ragum

Almarhum Pengiran Temenggong Pengiran Anak Abdul Kahar Ragum yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Sungai Panga di Kampong Sungai Kebun di atas sebuah bukit. Batu nisan almarhum terletak dilereng bukit dan berbentuk empat persegi diperbuat daripada batu pasir. Sayangnya batu nisan almarhum ini tidak terdapat sebarang catatan yang boleh dibaca disebabkan hakisan pada permukaan batu nisan dan juga telah retak dan pecah di bahagian atas dan belakang batu nisan. 

Almarhum Pengiran Temenggong Pengiran Anak Abdul Kahar Ragum merupakan cucunda kepada Raja Di Gayoh Sultan Abdul Jalilul Jabbar dan anakanda kepada Pengiran Temenggong Sahibol Bahar Pengiran Muda Muhammad Shamsuddin dan Pengiran Anak Babu Katijah binti Raja Bendahara Alam ibni Raja Bendahara Pengiran Muda Bungsu ibni Sultan Haji Muhammad Ali. 

Sebenarnya nama Almarhum adalah Pengiran Anak Abdul Kahar sahaja. Gelaran Ragum pada hujung nama almarhum adalah gelaran yang diberikan kerana Almarhum dikatakan memiliki kekuatan yang luar biasa seperti ayahandanya iaitu Almarhum dapat mencabut paku dengan jari tangan tanpa perlu menggunakan ragum iaitu sejenis alat untuk mencabut paku. 

Disebabkan itu lah gelaran Ragum tersebut kekal menjadi sebahagian daripada nama Almarhum. Almarhum juga terkenal sebagai seorang yang warak dan alim. Almarhum pernah belajar di Mekah selama 14 tahun dan juga pernah menunaikan haji sebanyak 14 kali ketika belajar di Mekah. Almarhum kembali ke Brunei setelah tamat pengajian pada 2 Zulkaedah 1211 bersamaan 29 April 1797 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Tajuddin, Sultan Brunei yang ke 19. 

Dihujung pengajiannya dan sebelum berangkat balik ke Brunei, Almarhum pernah berkata kepada guru yang mengajar Almarhum bahawa Almarhum hendak menuntut bela di atas kemangkatan ayahandanya yang mati dibunuh, akan tetapi guru Almarhum telah menasihati Almarhum dan menyatakan bahawa pembalasan bukanlah urusan hamba tapi ianya adalah urusan Allah. 

Setelah mendengar nasihat dan teguran daripada gurunya, maka Almarhum pun membatalkan hasratnya untuk menuntut bela atas kemangkatan ayahandanya sebaliknya menjadi seorang yang lebih alim dan warak. 

Al-Fatihah

Sumber : imgrum.net

No comments:

Post a Comment