PENGIRAN SURA NEGARA PENGIRAN ANAK BADARUDDIN IBNI SULTAN
MUHAMMAD KANZUL ALAM
Pengiran Badaruddin atau dengan nama sebenarnya Pengiran
Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam merupakan
satu lagi nama besar di dalam lipatan sejarah Sarawak sejak dari dahulu lagi.
Beliau merupakan saudara tiri kepada Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim
iaitu mereka berkongsi ayahanda yang sama namun berlainan ibunya.
Dilahirkan di Brunei sekitar tahun 1727 Masihi dan merupakan
putera kepada pemerintah Kerajaan Brunei Darussalam yang memerintah dari tahun
1807 sehingga 1826 iaitu Sultan Muhammad Kanzul Alam. Menurut ceritanya nama
Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin juga tercatit di dalam sejarah
negeri Pahang iaitu lebih terkenal dengan nama Pengiran Sura Negara Pengiran
Bagauddin yang telah melahirkan ramai nama-nama besar seperti Panglima Hitam
iaitu antara pendekar yang gagah berani di negeri Pahang suatu waktu dahulu.
Diceritakan bahawa Pengiran Badaruddin pernah berhijrah ke negeri Pahang dan
mempunyai keluarganya di sana.
Untuk di Sarawak pula, nama Pengiran Badaruddin bukanlah
asing bagi masyarakat Sarawak lebih-lebih lagi Pengiran Badaruddin merupakan
pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam untuk wilayah Oya suatu waktu
dahulu. Oleh kerana beliau merupakan saudara tiri kepada Pengiran Bendahara
Pengiran Muda Hashim jadi tidak menghairankan beliau digambarkan sebagai antara
pembesar Brunei yang sentiasa membantu Pengiran Muda Hashim sewaktu dititahkan
ke Sarawak.
Dan oleh kerana hubungan yang baik antara Pengiran Muda
Hashim dengan James Brooke juga menyebabkan keseluruhan keluarga Pengiran Muda
Hashim termasuk Pengiran Badaruddin juga merupakan antara rakan baik kepada
James Brooke. Diceritakan bahawa sewaktu Pengiran Badaruddin di Sarawak, James
Brooke pernah menghadiahkan Pengiran Badaruddin sebentuk cincin permata sebagai
hadiah persahabatan mereka.
Cincin tersebut bukanlah cincin yang sembarangan sebaliknya
mempunyai ukiran nama JB atau James Brooke pada permukaan cincin tersebut. Dan
ianya merupakan cincin yang ditempah khas semata-mata untuk diberikan kepada
Pengiran Badaruddin. Inilah antara lambang betapa akrabnya hubungan
persahabatan antara beliau dengan James Brooke pada waktu itu.
Seperti juga kakandanya iaitu Pengiran Muda Hashim yang
dititahkan untuk pulang ke Brunei oleh Sultan Brunei pada waktu itu, ianya juga
tidak terkecuali dengan Pengiran Badaruddin itu sendiri. Sewaktu di Brunei itu
juga ketika adanya perang saudara antara Pengiran Muda Hashim dengan Pengiran
Yusuf yang berebutkan jawatan Pengiran Bendahara pada tahun 1845, Pengiran
Badaruddin juga turut menyebelahi Pengiran Muda Hashim dengan ikut sama
berperang dengan Pengiran Yusuf.
Apabila kemenangan berpihak kepada Pengiran Muda Hashim
akhirnya jawatan Pengiran Bendahara dikembalikan oleh Sultan Brunei pada masa
itu kepada yang berhak iaitu Pengiran Muda Hashim. Walau bagaimanapun, akibat
daripada pertikaian ini telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum
kerabat diraja Brunei sehinggalah berlakunya satu tragedi iaitu komplot
pembunuhan keluarga Pengiran Bendahara Hashim sekitar tahun 1846.
Apabila kakandanya terbunuh di dalam satu plot pembunuhan
yang terancang itu, Pengiran Badaruddin juga telah terlebih dahulu mengetahui
bahawa nyawa dirinya dan seluruh keluarganya yang tinggal di Brunei pada masa
itu umpama telur di hujung tanduk. Mana mungkin individu seperti Pengiran
Badaruddin dibiarkan hidup kerana beliaulah antara pendokong kuat kakandanya
Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim sejak dulu lagi.
Di ketika itulah dikatakan bahawa Pengiran Badaruddin telah
menghantar utusan ke Sarawak dengan membawa sebentuk cincin yang berukirkan
nama JB kepada James Brooke. Apabila Brooke menerimanya maka Brooke sudah
mengetahui yang nyawa Pengiran Badaruddin sedang diancam bahaya kerana cincin
yang dihadiahkan kepada Pengiran Badaruddin itu sebenarnya merupakan satu tanda
sekiranya sesuatu berlaku maka Pengiran Badaruddin hanya perlu menunjukkan
cincin tersebut kepada Brooke dan Brooke akan membantunya dalam apa cara
sekalipun.
Walaupun dikatakan Brooke menerima utusan cincin tersebut
pada 5hb April 1846 namun begitu tiada apa yang dapat Brooke boleh lakukan
kerana sehari sebelum itu iaitu pada tanggal 4hb April 1846, keseluruhan
keluarga Pengiran Badaruddin telah terkorban di Brunei Darussalam. Dikatakan
pembunuhan mereka juga telah dirancang dengan sebaik mungkin seolah-olah
sesiapa sahaja yang terlibat dengan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim
ditentang oleh segelintir pemimpin masyarakat Brunei pada waktu itu.
Inilah antara sejarah perjalanan hidup seorang legasi Brunei
yang namanya turut mewarnai sejarah Sarawak sejak menjadi tanah kuripan kepada
Kesultanan Brunei serta sewaktu Brooke memerintah Sarawak Kingdom suatu waktu
dahulu. Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin namanya tercatit di Jalan
Badaruddin, Kuching, Sarawak mungkin dikenali ramai kerana saban hari kita
melalui jalan tersebut namun sejarahnya agak kurang diwar-warkan buat
pengetahuan sejarah untuk semua.
#KamekSayangSarawakBah!
Rujukan:
1. Author: Graham E. Saunders; Book Title: The History Of
Brunei. Published: Oxford University Press, Incorporated, 1994
2. Author: Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail; Book Title:
Persejarahan Brunei – Unsur dan Faktor Pensejarahan Brunei
3. Author: Sabine Baring-Gould, Charles Agar Bampfylde; Book
Title: A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs, 1839-1908. Published:
Oxford University Press, 1989
4. Author: Marie-Sybille De Vienne Translated by Emilia
Lanier. Book Title: Brunei, From The Age Of Commerce To The 21ST Century.
Published: National University Of Singapore, 2010
Sumber : Borneo Oracle
No comments:
Post a Comment