Wednesday, 9 November 2016

LEGENDA TELUK MENGKABONG

LEGENDA TELUK MENGKABONG

JAKARIA DASAN

SAMBIL membersihkan kelong yang dipenuhi ranting ranting bakau kering itu, mata Tok Mirul pantas memerhatikan gelagat tiga orang anak lelakinya dari kejauhan. Sigup dari daun tigur berisi tembakau kasar disedutnya dalam dalam. Dia berpuas hati dapat membesarkan anak anak lelakinya jauh dari kemewahan di perkampungan Teluk Mengkabong itu di penjuru Lohok Senorob. Hidup dalam persembunyian dengan latar kehidupan yang serba kekurangan banyak memberikannya ruang dalam mendidik mereka menjadi lelaki dewasa yang gagah dan berani serta bersifat rendah diri.

Tok Mirul tidak pernah merahsiakan latar belakang keluarga dari anak anaknya. Diceritakan kesemuanya agar mereka lebih sedar tujuan sebenar latar belakang keluarga perlu dirahsiakan dari masyarakat perkampungan Teluk Mengkabong itu. Mereka pun tahu dan faham kenapa latar belakang keluarga mereka itu perlu dirahsiakan. Mereka kenal susur galur datuk sebelah ibu mereka Tok Sakam. Mereka akur perintah Tok Mirul.

Senyum Tok Mirul melihat anak sulungnya Elang mengibas-ngibas parang lebarnya. Balik-balik di hayun dan ditetaknya batang batang kayu yang di pacak di gigi air. Gerak silat menggunakan Parang Lebar Elang ini sentiasa digeruni musuh. Setiap kali berlaku kekacauan , parang ini tidak pernah ditinggalkan Elang. Kemudian matanya tertumpu pada anak keduanya Untong yang duduk bersila diberanda rumah. Kumat kamit mulutnya membaca sesuatu sambil memejam mata. Untong sedang menghafal sesuatu dari kitab agama yang dipegangnya. Untong juga handal bersilat. Cuma dia lebih cenderung menelaah kitab kitab dari Mekah dan Madinah yang dipinjamkan kepadanya oleh Sharif Lidah Hitam. Dia sangat rapat dengan Sharif, penasihatnya dalam bab agama. Belum sempat fikirannya meneroka jauh mengenai Sharif, tiba tiba matanya ternampak kepada satu susuk kecil keluar dari belukar belakang rumah sambil memapah akar akar kayu. Anting rupanya, anak lelaki yang sangat meminati ilmu berkaitan herba dan akar kayu. Anting banyak menyelamatkan kawan kawannya yang mengelami kecederaan dalam pertempuran. Walaupun sikit rendah tapi kuda kudanya lebih tagap dari abang abangnya bila bersilat.

Mata Tok Mirul berkaca tiba tiba. Teringat dia kepada Jenipis. Anak bongsunya. Jenipis terpaksa dia tinggalkan dalam penjagaan adik iparnya di Ulu Gading ketika masih berusia 2 bulan selepas kematian isterinya 15 tahun yang lalu. Elang berumur 11 tahun, Untong 10 tahun dan Anting 8 tahun. Dia tinggalkan Ulu Gading bersama-sama dengan ketiga-tiga anak lelakinya dan berumah dilohok Senorob mereka menetap sekarang ni. Isterinya adalah cucu kepada Tok Sakam, kerabat Sultan Kerajaan Brunei tua yang berkahwin dengan anak ketua orang orang Bajau di Ulu Gading. Semuanya berlaku sangat pantas bila dia di minta Sultan untuk menjaga keselamatan Tok Sakam, terpikat pula dengan satu satunya cucu Tok Sakam yang bernama Dang Bunga. Mereka pun berkahwin tidak lama selepas itu. Malangnya umur isterinya itu tidak lama. Takdir memisahkan mereka. Dang Bunga hanya diserang demam panas mulanya. Namun, Tok Mirul tahu bahawa itu adalah angkara perbuatan pembesar sulu yang berniat memiliki isterinya itu sebelum mereka berkahwin. Atas nasihat Sharif, Jenipis elok diputuskan tali persaudaraan bagi mematikan sumpahan kepanasan yang dikenakan oleh pembesar sulu itu. Ini memandangkan Jenipis mempunyai persamaan yang kuat dengan ibunya, Dang Bunga.

Keputusan pahit berpisah dengan anak perempuannya itu diterima juga akhirmya. Dia dapat menerimanya kerana Ulu Gading mempunyai ramai pahlawan-pahlawan Bajau pengikut Tok Sakam yang handal dan tinggi ilmu mereka. Cumanya, dia tidak boleh berada hampir dengan Jenipis atas sumpahan kepanasan yang telah dibuat oleh Pembesar Sulu itu yang masih berdendam dengannya dan keturunannya.

Untuk menyelamatkan terkena sumpahan pembesar Sulu itu daripada berlanjutan kepada anak-anak lelakinya juga maka atas nasihat Sharif Lidah Hitam, dia tinggal memencilkan diri bersama anak-anak lelakinya sehingga ke satu waktu: Tok Mirul menurut nasihat penasihatnya itu. Sejak itu jugalah sentiasa berlaku pertempuran berterusan dengan lanun-lanun Sulu yang sentiasa membuat onar di laut. Mereka kerap menggangu nelayan-nelayan yang merupakan orang kebanyakan di situ. Kepada nelayan-nelayan ini, lanun-lanun Sulu ini dipanggil dengan nama Bengingi.

Tiba-tiba Tok Mirul tersedar dari lamunannya bilamana air masin sudah sampai ke paras dagunya. Dengan segera perangkap di hujung kelong diperkemaskan. Lepas itu dia terus menaiki perahu yang diikat di penjuru kelong dan berkayuh kembali ke rumahnya yang hanya sepelaung itu. Ketika menghampiri tangga rumah yang terletak di atas air itu, baru dia perasan yang ketiga-tiga anak lelakinya sudah tidak berada di tempat mereka berada tadi. Lama pula dia mengelamun tadi. Mungkin mereka sudah bersiap-siap untuk sembahyang Maghrib agaknya. Tok Mirul bingkas menaiki tangga di pelantaran.

Ketika duduk di pelantaran malam itu, Tok Mirul terasa seperti ada sesuatu yang akan berlaku. Firasatnya semakin kuat bila ia ternampak ada api dinyalakan di Bukit Tinggi tidak berapa jauh dari Lohok Senorob. Itu adalah api isyarat yang sering dinyalakan bila ada sesuatu tugasan diarahkan kepadanya oleh Sultan. Sambil memberi isyarat mata kepada anak-anaknya, mereka pun dengan segera mengemas senjata dan peralatan mereka. Mereka tidak banyak soal. Mereka tahu apa yang akan berlaku. Menjelang subuh pasti ayah mereka akan mengarahkan mereka ke suatu tempat seperti sebelumnya.

Sebelum subuh, Tok Mirul bangun lebih awal. Dia berdehem panjang sambil menepuk lantai rumah sebanyak tiga kali. Bila sudah pasti Elang, Untong, dan Anting sudah terjaga barulah dia bergerak ke arah pintu dan membuka pintu selebar-lebarnya. Kepada Elang, Untong dan Anting, mereka tahu bahawa ayah mereka sedang berkomunikasi dengan gimbarannya.

Tok Mirul hanya senyum sambil membuat isyarat tangan kepada Mengkudu bersaudara; Si Putih dan Si Hitam. Kedua-duanya sentiasa bersama bila membawa perkhabaran kepadanya. Mula mula Putih berinteraksi dengan Tok Mirul. Tok Mirul tunduk dan seperti berfikir sesuatu. Kemudian dia memberikan suatu arahan. Mengkudu Putih segera pergi dari situ. Mengkudu Hitam juga turut melaporkan sesuatu. Tok Mirul menggeleng-geleng kepalanya. Kemudian, Tok Mirul menyatakan sesuatu melalui isyarat tangan juga. Mengkudu Hitam turut berlalu selepas menerima arahan Tok Mirul itu. Sambil menarik nafas panjang, Tok Mirul menutup pintu dan terus pergi ke kamar mandi.

Selepas sholat Subuh, mereka berempat pun  mengenakan pakaian serba hitam yang biasa mereka gunakan dengan mengenakan selimpang merah putih. Kemudian keempat-empat anak beranak itu pun berkumpul di pelantaran rumah. Tok Mirul memberi arahannya:

"Kali ini, Elang dan Untong ikut ayah. Elang kumpulkan orang-orang kita di Bukit Tinggi. Untong dapatkan Sharif (Lidah Hitam) dan minta bantuan kapal dari Bakri, Mubin dan Datu di Separuk. Kita ada tugas di Limbang. Ada pemberontakan dari orang-orang Limbang terhadap Sultan. Tentera Sultan yang berasal dari suku di Limbang juga bepaling tadah. Maklumat dari si Putih, Sultan sangat mengharapkan bantuan kita kali ini kerana tentera yang dihantar ke Limbang semuanya kecundang atau berpaling tadah. Kita akan bertolak tengah malam ini menggunakan tiga kapal secara berasingan. Ayah akan ikut Bakri, Elang naik Mubin, dan Untong bersama Datu. Dalam masa tiga hari kita berjumpa di Muara Limbang."

"Anting jaga benteng hadapan. Kata si Hitam, Bengingi akan cuba menyusup masuk ketika kami ke Limbang. Bincang dengan Saman dan Hashim. Nanti nyalakan api di Puncak Dalas tengah malam ini juga. Menjelang subuh, orang-orang Tok Sakam akan datang membantu. Tumpukan perhatian kepada perahu-perahu nelayan yang melebih lima orang. Mereka akan menyusup masuk selang sejam di waktu petang sehingga tengah malam. Arahkan Saman berkubu dulu di Muara Lang, dan Hashim di Bukit Lilin. Jangan serang sehingga mereka masuk dalam kawasan perangkap kita.

Selepas itu kumpulan Seman dan Hashim masing-masing bergerak ke Senorob dan Bukit Tinggi. Pastikan tali-tali perangkap disalut damar beracun yang hanya menyebabkan mereka khayal dan pengsan sahaja. Jika mereka sedar dan cuba bertindak ganas, bunuh! Jika mereka takut dan menyesal, lepaskan mereka dengan bersumpah yang keturunan mereka tidak akan mengganggu Teluk Mengkabong lagi."
Setelah selesai memberi arahan, mereka berempat pun menaiki empat buah perahu secara berasingan. Sebelum membuka tali perahu di tangga rumah, Tok Mirul menyeluk uncang yang berisi beras di pinggangnya. Uncang ini sentiasa dibawahnya jika ada misi. Mulutnya kumat kamit membaca sesuatu.Tiba-tiba dia berhenti . Dipanggilnya Untong.

"Kau cuba." Kata Tok Mirul sambil memandang mata anaknya itu. Untong merapati perahunya ke perahu ayahnya. Untong faham apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu. Diambil beras dari tangan ayahnya dan membaca sesuatu. Selepas itu dihamburnya beras dalam gengamannya ke tangga rumah. Denga kuasa Allah Taala, kawasan rumah mereka berubah menjadi kawasan paya  bakau yang sudah berusia. Mereka sudah biasa dengan kejadian seperti itu. Mereka terus berkayuh ke destinasi diarah.

Ketika Elang merapati gigi air Bukit Tinggi, Tok Mirul seperti biasa berbicara dengan gimbarannya. "Si Mengkudu Putih mungkin," fikir Elang. Sebaik sahaja Elang melangkah keluar dari perahunya, muncul tiga kumpulan pahlawan dari celah-celah bakau di Bukit Tinggi itu. Merekalah yang dipanggil Elang. Mereka datang dari pelbagai kampung di Teluk itu. Pada waktu siang dan waktu aman mereka hanyalah nelayan biasa. Tetapi bila mereka mengenakan pakaian serba hitam dan selimpang merah putih itu, fizikal mereka seperti berubah. Mereka kelihatan gagah dan berani. Lebih kurang 100 orang semuanya.

Datuknya, Tok Sakam berjaya memerhatikan dengan baik pergerakan musuh. Dia kemudiannya telah memberi isyarat api yang dapat dilihat oleh kumpulan Hashim di Bukit Lilin. Hashim pula menghantar isyarat yang sama kepada kumpulan Saman di Muara Lang. Maka bergegaslah mereka ke posisi yang telah dirancang. Semasa perahu-perahu Bengingi yang lebih dari 50 buah itu membentuk kumpulan besar di antara Bukit Tinggi dan Senorob menjelang tengah malam, kumpulan Hashim telah menunggu di Bukit Tinggi manakala kumpulan Saman bersedia di Lohok Senorob.

Sebaik sahaja perahu-perahu Bengingi meluncur deras, terkeluarlah tali-tali bersalut damar beracun dari dalam air dan mengena bahagian badan dan ke atas semua orang Bengingi pada malam yang gelap itu. Tali yang ditarik kencang telah menyebabkam kecederaan luka yang agak serius. Sehinggakan racun damar meresap masuk ke dalam darah mereka. Selang beberapa  minit racun iti menunjukkan tindak balasnya. Orang Bengingi itu meracau-racau seperti orang gila dan kemudian jatuh pengsan. Perahu-perahu yang terselamat dari perangkap tali cuba berpatah balik. Malangnya, Anting dan pahlawan-pahlawan Tok Sakam sudah menunggu mereka. Dalam keadaan takut dan panik, semua orang Bengingi itu dapat ditewaskan. Yang melawan dibunuh. Yang menyerah kalah ditangkap.

Anting menurut arahan ayahnya. Semua oramg Bengingi yang ditawan tidak diseksa tetapi diberi pengampunan dengan syarat mereka bersumpah sehingga ke akhir keturunan mereka untuk tidak mengacau kawasan perkampungan di Teluk itu lagi. Semua tawanan bersetuju dan mereka pun dilepaskan. (Mungkin itulah sebabnya mengapa sehinggi kini tidak ada ancaman dari orang-orang sulu di pantai barat Sabah).

Pada hari ketiga di laut, sebahagian pahlawan-pahlawan Tok Mirul mengalami penyakit luar biasa. Lebih kurang 1/3 dari mereka mengalami sawan dan kemudiannya jatuh pengsan dan menemui ajal mereka. Tok Mirul dan semua yang terselamat dari penyakit misteri itu sangat bersedih. Ketika menghampi Pulau Dalas, Anting dan pahlawan-pahlwan Tok Sakam membantu mengeluarkan semua mayat-mayat dari ketiga-tiga kapal. Mayat-mayat itu dikubur di cerun-cerun Pulau Dalas yang agak terselindung.

Keputusan ini diputuskan oleh Tok Mirul. Dia juga meminta agar semua pahlawan-pahlawan yang ada merahsiakan kejadian penyakit misteri ini dan memberitahu waris-waris keluarga mereka bahawa ahli-ahli keluarga mereka syahid di medan pertempuran. Kubur-kubur mereka di Pulau Dalas juga perlu dirahsiakan. Ini adalah untuk memastikan kesinambungan semangat pahlawan anak-anak muda di generasi seterusnya.

Malam itu suasana di rumah agak muram dan hening. Sejak sampai petang tadi, Tok Mirul, Elang dan Untong masih berada dalam emosi kesediham. Anting hanya memerhatikan mereka sambil menyediakan makan malam sepeti malam-malam biasa mereka. Dia faham bahawa ayahnya dan abang-abangnya berasa kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan rakan-rakan mereka yang terkorban selepas berjaya menamatkan pemberontakan.

Sebelum melelapkan mata, Tok Mirul mengelamun jauh. Walaupun khabar angin yang bertiup kencang mengatakan itu perbuatan saudara-saudara pemberontak, tetapi dia tidak yakin. Tok Mirul meragui keikhlasan Sultan. Mungkin kehebatan mereka yang sentiasa berjaya menjaga baris hadapan menimbulkan ketakutan Sultan, bahawa dia atau waris Tok Sakam akan menuntut takhta. Dia mulai berasa sangsi untuk meneruskan khidmatnya kepada Sultan.

Sewaktu dia diberi amanat oleh Tok Sakam menjadi pemimpin menggantikannya, Tok Sakam pernah berpesan, "Negeri Mengkabong ini adalah milik orang Mengkabong. Kita hanya utusan Sultan. Tapi jangan kita permainkan kesetiaan mereka kepada kita. Tiba masa kita kembalikan kepada mereka hak mereka. Dan jika ada masamu nanti belum ada orang Mengkabong yang boleh menjadi ketua, kau berpesanlah pada anak-anakmu (cicitku) sentiasa merendah diri, dan berselindung sebagai nelayan kecil sahaja. Suatu waktu, akan lahir pemimpin sejati dari kalangan mereka. Dan dia adalah dari gabungan darah mu dan darah cucu ku."

GLOSARI

Sigup : merokok
Tigur : tempat tembakau diisi dan dijadikan sigup
Tagap : Tegap
Lohok : Ceruk; Kawasan terpencil

Kepanasan : Badi, tempias

3 comments:

  1. Terhibur membaca nukilan ini,hanya yg mempunyai rasa dpt merasa..akan terungkai jua satu hari nanti.

    ReplyDelete
  2. Dalam maksudnya
    halus intinya
    Akam muncul juga akhirnya
    Sejarah akan berulang kembali.

    ReplyDelete
  3. Ulu Gading itu ada pun dinamakan Kg Rugading sekarang. Tapi orang tua-tua dahulu sering mengingatkan dahulunya dinamakan Ulu Gading merujuk kepada seekor kerbau yang putih dan memiliki tanduk yang cantik berwarna putih. Mereka menyebut tanduk putih itu sebagai Ulu Gading.

    ReplyDelete