SEDIKIT
SEJARAH TENTANG PENGIRAN DIGADONG SAMAH AL-HAJ BIN PENGIRAN EBEY (1820-1884)
Oleh : Encik Hamra @ Amrah Bin Haji Liwangsa
Lakaran Wajah Pahlawan Sabah Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey (Keith, 1951 |
12 Februari 1884 bersamaan 15
Rabiulawal 1305H adalah suatu tarikh keramat bagi keturunan Almarhum Pengiran
Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey kerana pada tarikh tersebut telah
terukir satu catatan sejarah yang terulung di Negeri Sabah dalam memperjuangkan
hak asasi warisan anak negeri disamping menjunjung kedaulatan tanahair, maruah
bangsa serta menegakkan martabat agama semasa zaman penjajahan kolonial
British.
Menurut laporan akbar The North Borneo Herald bertarikh 01 Mac 1884
bahawa pada tarikh tersebut bertempat di Kampung Melapi Kinabatangan, almarhum
telah gugur (Francis, 1986) dalam pertempuran sengit dengan segorombolan askar
yang diketuai oleh Sir William Hood Treacher gabenor pertama British di Negeri
Sabah, Mr. William Pryer residen pertama Sandakan dengan ditemani oleh Mr. De
Fontaine ketua inspektor, Mr. W.R. Flint dan 30 orang pengikut yang berpangkat
konstabel (Diari De Fontaine, 1884). Peristiwa ini berlaku disebabkan
kepentingan ekonomi, politik dan perbalahan ke atas sistem penuaian hasil
sarang burung di Gua Gomantong yang dikuatkuasakan oleh pihak penjajah British
yang tidak dipersetujui oleh almarhum dan para pengikutnya. Walaupun pada
tarikh tersebut almarhum gugur secara tragik dalam perjuangannya namun semangat
keberanian dan keperwiraan almarhum tetap segar dalam kenangan sehingga ke
akhir zaman. Jesteru, pada hari ini makam almarhum yang terletak di Kampung
Melapi Kinabatangan masih lagi tersergam kukuh dan menjadi salah sebuah tempat
yang paling bersejarah di Daerah Kinabatangan. Almarhum adalah seorang pemimpin
yang sangat berpengaruh dan ketua masyarakat bangsa Sungai Buludupi yang
merupakan salah satu kumpulan etnik yang terawal mendiami kawasan Sungai
Kinabatangan dan Sungai Segaliud (Ian, 1983). Pada 03 September 1999, Jabatan
Muzium Negeri Sabah telah menobatkan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj
Bin Pengiran Ebey (1820-1884) sebagai salah seorang pahlawan Sabah yang
terbilang di Pantai Timur Negeri Sabah khususnya di Gua Gomantong Kinabatangan.
Mengikut Danny (2000) penentangan almarhum terhadap zaman penjajahan Koloni
British telah mendahului penentangan Panglima Kendurung di Kawang (1885), Pengiran
Shahbandar Hassan di Padas Damit (1888-1889) seterusnya Paduka Mat Salleh di
Labuk-Sugut (1894-900). Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran
Ebey adalah pewaris Gua Gomantong yang diwarisi daripada datuknya Pengiran
Sandukung. Dengan menguasai pentadbiran penuaian hasil sarang burung di Gua
Gomantong keluarga almarhum merupakan sebuah keluarga yang berada serta sangat
berpengaruh di kawasan tersebut. Sejarah pewarisan Gua Gomantong tercatat dalam
kebanyakkan buku sejarah tentang Negeri Sabah terutama semasa penjajahan The
British North Borneo Chartered Company (BNBCC). Pengiran Sandukung telah
mendapat kuasa mutlak keatas pentadbiran Gua Gomantong daripada Sultan Sulu
sejak 1782 (Danny, 2000). Beberapa tahun selepas pertempuran di Kampung Melapi,
keluarga almarhum secara berperingkat-peringkat berhijrah ke tempat lain dan
membuat petempatan baru di Kampung Bilit kemudian di Kampung Sukau, Kampung
Suan Lamba, Kampung Sentosa Jaya dan pada ketika ini sudah menetap di beberapa
tempat lain di seluruh Malaysia. Menyedari hakikat ini, satu usaha telah
digembleng oleh anak cucu almarhum untuk mengumpul segala manuskrip termasuklah
artifak budaya untuk direkodkan sebagai satu fakta sejarah Negeri Sabah yang
terawal sekali. Usaha ini telah dimulakan dengan pengumpulan salasilah
keturunan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey. Almarhum
Pengiran Digadong Samah Al-Haj merupakan anak tunggal dalam keluarganya
dilahirkan pada 1820-an di kampung Melapi, Daerah Kinabatangan. Ayahanda almarhum
bernama Pengiran Ebey dan bondanya bernama Sitti. Manakala moyangnya bernama
Pengiran Sandukong Bin Pengiran Basag Bin Pengiran Ambin. Menurut buku bertajuk
The White Man Returns yang ditulis oleh Puan Agnes Newton Keith (1951) antara
seloka yang terkenal yang selalu dinyanyikan oleh almarhum adalah berbunyi I am
a Buludupi man I have always ruled the Kinabatangan No one – Suluk savage,
Bajau pirate, nor white man Shall take the river from me Dari petikan seloka
tersebut membuktikan bahawa Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj merupakan
seorang pejuang bangsa yang sanggup berkorban demi mempertahankan hak
kedaulatan anak negeri. Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj telah
mendirikan rumahtangga sebanyak tiga kali dan dikurniakan seramai empat orang
cahayamata perempuan. Isteri pertamanya bernama Puan Tadok telah dikurniakan
seorang cahayamata bernama Pengiran Pandan. Isteri kedua beliau bernama Puan
Andiri telah dikurniakan seorang cahayamata bernama Pengiran Dagangan. Melalui
perkongsian hidup dengan isteri ketiga bernama Puan Rayub telah dikurniakan dua
orang cahayamata iaitu Pengiran Fatimah dan Pengiran Sinyurah.
Source : riverboybeluran, majlistagajoh
Pangeran Galpam ada kaitan dengan pangeran dgadong samah ka?
ReplyDeleteTeda kaitan langsung
ReplyDeleteada kaitan ka dgn kesultanan brunei?
ReplyDelete