Thursday, 22 January 2015

Raja Momogun Kudat

PENTADBIRAN DAN PEMERINTAHAN SUKU KAUM RUNGUS DIZAMAN LAMPAU




Pentadbiran dan Pemerintahan yang wujud pada zaman dahulu bagi suku kaum rungus. Berkemungkinan pada masa ini, ramai suku rungus yang dari bangsa Momogun atau panggilan pada masa sekarang ini adalah KadazanDusun tidak sedar bahawa pada zaman dahulu kala wujudnya sistem pemerintahan dan pentadbiran dalam bangsa tersebut.



Walau bagaimanapun, saya tidak akan menyentuh pentadbiran mahupun sistem pemerintahan untuk suku kaum yang lain, saya cuma menyentuh sistem pemerintahan suku kaum saya rungus sahaja. Sistem Pemerintahan ini berlangsung melalui nenek moyang kami iaitu Aki Rungsud anak kepada Aki Nunuk Ragang. Aki Rungsud merupakan anak sulung daripada 3 adik-beradik. Aki Longuvai (nenek moyang orang penampang) dan Aki Turumpok (nenek moyang semua suku kaum Dusun) merupakan adik kepada Aki Rungsud. Disebabkan perintah oleh Bobolizan Rinovusan yang bernama Guraumanuk telah menyampaikan satu mesej dari Lumaag Minamangun (Tuhan Momogun untuk Agama Labus) maka adik beradik ini berpisah untuk menguasai semua kawasan yang ditakluki mengikut mesej yang disampaikan tersebut. Mesej ini adalah satu peraturan baru dimana ketiga anak lelaki Aki Nunuk Ragang harus berhijrah ke tempat lain kerana Lumaag Minamangun mengatakan bahawa semua sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke Laut adalah milik Momogun.



Jadi cucu cicit Momogun harus memilih satu tempat yang tinggi iaitu bukit atau gunung paling tinggi dimana-mana daerah yang mereka datang dan semua sungai yang mengalir ke laut dari bukit tersebut adalah tempat yang mempunyai penyertaan semangat Lumaag Minamangun dengan mengundangnya melalui satu upacara yang disebut "MOMURINAIT" dengan menyebut 7 nama semangat utama yang menjaga bangsa Momogun




Maka bermulalah era zaman penguasaan kaum momogun pada masa itu dimana anak-anak Aki Nunuk Ragang telah berhijarah dari kawasan nunuk ragang ke kawasan yang dikehendaki oleh Lumaag Minamungan tersebut. Sebagai anak sulung, Aki Rungsud bertanggungjawab meneruskan amanat bapanya dan lumaag (Tuhannya) untuk mengekalkan segala cara hidup bersama, pemerintahan dan menjaga keselamatan bangsanya. Setiba di kawasan yang dipanggil Pompod Tanah (penghujung tanah) atau Dila Tanah (Lidah Tanah)beliau bertanggungjawab dalam mengatur segala stategi benteng pertahanan disetiap tempat kawasan tersebut. Kawasan pertahanan tersebut pada masa ini dikenali sebagai Simpang Mengayau, Kg. Terongkongan, Kg. Andarason , Kg Pata, teluk tambuluran, vingolon, torongkungan, andab dan banyak lagi seperti di kg pukah, limau-limauan kudat, di bengkoka, pitas dan marudu.



Pemerintahan pada masa itu adalah bebas dimana setiap rumah panjang yang didiami oleh 50 hingga 100 buah keluarga tersebut akan diketuai oleh seorang atau dua ketua rumah panjang yang dipanggil "Vozoon". Vozoon bermaksud Ketua yang diikuti. Pemerintahan tersebut adalah secara warisan dimana anak atau menantu kepada Vozoon tersebut akan menggantikan takhta tersebut.Manakala Pahlawan-pahlawan Bangsa Rungus pula masing-masing bertanggungjawab menjaga kawasannya. Adakalanya pahlawan-pahlawan ini akan bekerjasama dengan pahlawan rungus lain dari rumah panjang atau kawasan yang lain untuk mempertahankan bangsa dan tanah momogun dari bangsa lain. Pahlawan pada masa tersebut dikategorikan kepada 3 iaitu orang yang kebal atau lut dari apa senjata sekalipun atau lebih dikenali Ulun Ki Tansamung (Orang yang berkuasa Ghaib). Orang tua selalu berkata "Orang ini kalau ada orang asing yang datang dia akan menghalangnya terlebihi dahulu daripada datang kedaratan.  Ilmu hitamnya akan menjadikan pahlawan ini serba sakti yang mana paras lautan sehingga paras betis sahaja sambil menterbalikkan kapal dilautan untuk membunuh semua orang yang ada didalamnya". Walau bagaimanapun pengamal ilmu hitam untuk mendapatkan kekuatan ini mempunyai syaratnya tersendiri yang mana pengamal tersebut tidak boleh beristeri apatah lagi bersetubuh dengan perempuan dan dia juga perlu menggunakan kekuatannya untuk mempertahankan bangsa ini. Kalau dilanggar pasti pengamalnya akan menemui ajal.



Manakala Pahlawan yang kedua adalah Tanakvagu Rumandavi .  Pahlawan ini merupakan orang-orang yang bijak pandai pada zaman itu. Pemuda ini mempunyai kesaktian yang diberikan oleh Lumaag Minamangun (Tuhan Agama Labus).Kesaktian yang dimaksudkan antaranya kuasa menjadi Orang Halimunan untuk mengenakan seseorang musuh yang membuat pencerobohan [Ilmu halimunan ini tidak berkesan setelah manusia mengingkari perintah Lumaag. Kuasa tersebut telah ditarik balik oleh Lumaag kerana manusia menyalahgunakan kuasa tersebut]. Pahlawan ini merupakan pahlawan barisan ketiga yang paling dekat dengan semua orang yang tinggal dirumah panjang tersebut. Oleh kerana kebijaksanaan yang dipunyai maka tidak hairan orang yang berstatus rumandavi ini mempunyai pengaruh dalam pentadbiran dan politik dalam sesebuah rumah panjang.  Selalunya ilmu orang yang randavi ini dipunyai oleh Vozoon dan anak-anaknya iaitu Tanakvagu Rumandavi (Anak Lelaki) dan Enuvung (Anak Perempuan). Boleh dikatakan, Vozoon tersebut adalah Raja Pemerintah manakala Tanakvagu Randavi (Putera) dan Enuvung (Puteri). Walau bagaimanapun, dikalangan orang-orang biasa pun terdapat orang yang Randavi ini, biasanya orang yang randavi ini dapat dikenal pasti melalui rupa parasnya yang elok cantik dan lawa, bijaksana dalam berkepimpinan serta bijak pandai dalam segala bidang.

Pahlawan yang ketiga adalah Tandon Tongkob yang merupakan ketua keluarga dalam setiap rumah panjang tersebut. Jika terdapat 50 buah keluarga maka 50 oranglah Tandon Tongkob. Tandon Tongkob bermaksud orang yang akan menguasai atau mewarisi peninggalan ibubapanya dan tidak boleh pergi kemana-manapun. Anak-anak lain Pahlawan Tandon Tongkob ni boleh pergi kemana pun disukainya namun anak yang dianggap tandon tongkob ini tidak dibenarkan meninggalkan warisan keluarganya. Sekiranya berlaku darurat pencerobohan dari bangsa asing, pahlawan inilah yang akan menjadi barisan benteng kedua selain Pahlawan Ki Tansamung.

Walaupun Vozoon merupakan Raja atau Ketua Rumah Panjang namun setiap pemerintah adalah berjiwa rakyat dimana permerintahan adalah tidak berkuasa mutlak. Semua rakyatnya menghormati ketua tersebut kerana kebijaksanaannya, kewibawaan dalam pimpinan pembuat dasar peraturan dan pantang larang serta sebagai pengaman dikala terdapat perpecahan atau wujud ketidaksefahaman dalam rumah panjang tersebut ataupun antara masyarakat dengan rumah panjang yang lain. Vozoon juga merupakan penyampai segala mesej dari Bobolizan yang disampaikan dari Lumaag Minamangun dan segala rakyat akan patuh dengan pernyataan Lumaag Tuhan mereka. 



Adapun, orang-orang biasa (Ranjat Rungus) pada masa dahulu suka hidup dan tinggal secara berorganisasi dalam sebuah Rumah Panjang dan takluk kepada perintah dan hukum yang telah diatur dan ditetapkan oleh Vozoon (Ketua atau Raja), Bobolizan (Ketua Agama Labus), Orang Beradat (Ulun Kiadat) dan juga Para Tua-tua (Momodlohing). Rakyat/Penduduk tidak boleh sesuka hati melanggar undang-undang dan adat yang telah ditetapkan oleh empat golongan ini dan sekiranya dilanggar hukuman akan dikenankan keatas orang berkenaan. Sebagai contoh, saudara kandung yang bersekedudukan sehingga mengandung akan dihukum lemas dalam air sampai mati. Pesalah akan dimasukkan dalam Bubu (Sejenis alat menangkap ikan). Undang-undang dan adat ditetapkan bagi menjaga keharmonian dalam hidup rakyat yang berorganisasi pada ketika itu. Bukan itu sahaja, rakyat momogun pada masa itu juga menetapkan Pantang Larang (Kepercayaan terhadap sesuatu perkara) demi mengelakkan rakyatnya daripada musibah yang tidak diingin, bukan sahaja untuk diri dan keluarga tetapi juga melibatkan semua penduduk dalam rumah panjang. Contohnya; tidak boleh tidur atau menyikat rambut atau menyanyi waktu ada orang mati dan sebagainya.

Oleh kerana kaum rungus (momogun) pada masa dahulu hidup berorganisasi, maka boleh dikatakan segala aktiviti yang dilakukan adalah secara bersama. Contohnya, membina rumah panjang dan petempatan yang baru adalah dilakukan secara beramai-ramai. Mengikut cerita tua-tua, rumah yang dibina pada masa dahulu tujuh kali tujuh kali (7 x 7 kali) dalam bahasa rungus [ Inturu ko Pinturu ]. Mengikut kiraan saya rumah panjang yang dibina pada ketika itu seluas sebuah bandar yang besar!. Walaupun dibina dengan kayu dan nipah tetapi ianya mempunyai rekabentuk yang unik kalau disingkap senibina rumah ketika pada masa itu dimana terdapatnya rumah yang bertingkat-tingkat dalam rumah panjang itu yang dipanggil (Orizan). Ada banyak yang ingin saya kongsikan berkaitan dengan senibina rumah panjang rungus ini tetapi biarlah dikesempatan yang lain saya akan cuba kongsikannya.


Semangat hidup bergotong-royong, tolong-menolong, bertoleransi, bertolak-ansur dan hormat-menghormati adalah tonggak utama penduduk kaum momogun ini hidup sebagai sebuah keluarga yang bermasyarakat. Contohnya, kalau berlaku kesusahan sesebuah keluarga, semua penduduk dalam kawasan berkenaan akan bersama-sama menderma agar kesusahan orang tersebut dapat dikurangkan. Begitu juga pada masa-masa menebas pokok untuk berladang sehinggalah menuai padi mereka saling membantu antara satu sama lain walaupun ladang itu adalah untuk satu-satu keluarga. Aktiviti tolong-menolong ini dikenali sebagai Miroyong, dimana beberapa orang akan bergilir-gilir untuk mendapat bantuan dalam kumpulan berkenaan. Dalam kalendar rungus (post saya sebelum ini), masyarakat melakukan aktiviti mereka agar masa yang terluang dimanafaatkan dengan sebaik-baiknya seperti berladang (mitagad), menangkap ikan (monginsada), menenun kain (mangavol), modsupu, berniaga (midagang) dan sebagainya.

Masyarakat pada masa itu juga diberi kebebasan mengumpul kekayaan mereka sendiri itu sebabnya ada golongan yang dipanggil Orang Kaya-kaya (Ulun Lumundu). Kekayaannya dapat diukur dengan berapa aset seperti barangan alat muzik seperti Gong, Tontog dan sebagainya. Manakala barangan makanan seperti berapa rumah kecil untuk simpanan padi atau makanan (Sulap) yang dia ada. Harta lain seperti Runggou, Panding, Kampil dan lain-lain dapat diukur harta kekayaannya dengan pemilikan harta tersebut. Masyarakat ini kebiasaannya suka berdagang pada masa itu adalah secara sistem barter dengan para pedagang dari China dan Berunai. Pertemuan perdagangan berlangsung dipesisir pantai diantara penduduk masyarakat momogun dengan pendatang asing pada ketika itu kerana demi menjaga kesucian tanah adat dicerobohi oleh pendatang yang tidak diingini.



Kalau disingkap kehidupan bermasyarakat pada dahulu kala dan diterapkan dengan kemodenan pada masa ini sudah pasti kaum momogun dapat berdiri dikaki sendiri dan memerintah sendiri tanpa bergantung kepada kaum lain. Ketuanan adalah kuasa yang boleh menenggelamkan kaum-kaum minoriti dan suatu hari nanti kaum majoriti juga akan ditenggelamkan oleh kaum-kaum minoriti yang telah menerima kekuasaan itu. Sekiranya kita masih leka dan alpa, segala-gala yang kita ada akan lenyap begitu sahaja.. Berdirilah dan berjuanglah demi kesejahteraan kaum kita MOMOGUN..



Orang tua-tua pada masa itu juga berperanan sebagai penyampai secara lisan perihal tentang keagamaan, kebudayaan dan institusi pembelajaran anak-anak pada masa itu. Melalui keagamaan, orang-orang tua ini merupakan ketua keagamaan selain Vozoon dan Bobolizan. Mereka jugalah yang akan mengatur segala peraturan adat, pantang larang, adat dan hukum perkhawinan dan lain-lain serta aktiviti membuat penyembahan kepada Lumaag mereka. Orang-orang tua ini juga yang akan bertindak secara sepakat dan Vozoon akan memutuskan atau menghakimi segala keputusan yang dipersetujui oleh para tua-tua.

Manakala berkaitan dengan institusi pembelajaran pula adalah secara lisan iaitu melalui penceritaan kepada anak-anak akan segala kehidupan pada zaman sebelumnya, bercerita tentang hiburan dan berlawak jenaka seterusnya mengajar secara demonstrasi untuk sesuatu benda.

Selain itu, dalam pentadbiran kaum rungus pada zaman dahulu juga wujud para sasterawan yang aktif dalam percakapan dan pertuturan sehari-hari. Tidak kira dimana pun berada, masyarakat pada masa itu dibayangi dengan pertuturan yang indah-indah contohnya bahasa klasik yang tidak difahami oleh penutur bahasa rungus pada masa kini. Para Sasterawan juga berperanan mengajar anak-anak ini cara menyanyi Lagu Klasik seperti Mongodihohoi, Mongondi, Sulangu, padaha. Selain itu Peribahasa (Sambatan), Pantun(Bahul) dan Teka-teki (Sundait) juga menjadi topik dalam pelajaran anak-anak pada masa itu. Selain lagu klasik rungus dan sastera hiburan lisan, tarian juga merupakan salah satu kebudayaan yang sangat penting pada masa itu yang mana anak-anak dari kecil diajar menari tarian Sumundai om Mongigol dan Manaradan. Walau bagaimanapun, tarian Mongigol om Sumundai merupakan tarian yang sering digunakan pada masa itu dan diterapkan bagi tujuan upacara keagamaan mereka iaitu tarian pemujaan kepada Kinoringan (Tuhan) mereka. Ilmu kesusateraan pada masa itu sangat terkenal kerana ianya merupakan salah satu hiburan dikalangan masyarakat pada masa itu. Ilmu ini juga digunakan dalam kehidupan seharian tidak kira dalam bercakap biasa, bercerita, bergaduh dalam keadaan marah dan sebagainya sastera tersebut akan digunakan. Orang tua kata, kalau bergaduh sekalipun orang biasa tidak akan faham mahupun tahu situasi tersebut. Namun dizaman sekarang ini kesusateraan ini tidak diamalkan oleh generasi kini kerana pengaruh sastera bangsa lain lebih diagung-agungkan daripada kesusateraan bangsa sendiri yang begitu elok budi pekerti.



Cerita sejarah pengaruh dan kepahlawanan suku kaum rungus biasanya diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi yang lain melalui cucu-cicit mereka kerana cerita seperti ini hanya diingat oleh ahli keluarganya sahaja. Antara orang-orang penting bangsa rungus antaranya :

Rungsud = Nenek moyang suku Rungus. Rungsud adalah nama nenek moyang kami yang berasal dari Nunuk Ragang. Keturunannya akhirnya di sebut Rungus. Tanggungjawab dalam membuka utara borneo (membuka Bandau (mondou), Kirangavan, Toringai sehingga ke Koniung (morimbou) Kudat.) yang akhirnya di tukar Konopuan Mogkorudu (kota marudu)

Aki Linggab - Penjaga laut cina selatan dan juga teluk bandau... seumur hidupnya. Selalu berperang dengan Mangazou dari laut.

Aki Bagu - Penjaga kawasan Pata, Andarason dan sampai di Badarag sikuati. Mempunyai sepucuk senapang pemberian semangatnya. Senapang yang ubatnya seperti disc dalam bentuk api warna biru..

Aki Kolobon - penjaga laut bandau dan bertanggungjawab menghalau sariff Osman dari memeras ugut orang rungus-tombonuvo dan orang brunei. Aki Kolzobon menghancurkan pertahanan sarif osman dan memberikan amaran bahawa dia akan mati di tangan british kerana melawan semangat laut bandau. Aki kolzobon menetak tengkolok sarif osman dan mengatakan bahawa Sarif osman tidak akan terlepas di tangan british jika menjejakkan kaki di kudat... ini berlaku kerana balasan kpd sarif osman membunuh orang rungus di laut bandau. Akhirnya sarif lari ke pulau gaya.. tetapi dalam pelarian diri apabila di serang british sarif osman menggunakan kuda memasuki kawasan kudat dan akhirnya di kejang di Burul Lzumohing di kg Pukah (bukit kedua tertinggi di Matunggong). Sarif Osman kejang di atas bukit tersebut dan jatuh dari kuda... badannya di serang kekejangan saraf sehingga tak dapat jalan.. lalu di tangkap british dan di masukkan bom di buntut lalu di letupkan..

Kulindod / Kurunding= Dalam sejarah yg di tulis oleh British / di rujuk kembali oleh James Ongkili, Kurunding berbangsa Illanun tetapi Kulindod @ Kurunding adalah bangsa Rungus dan dalam buku yg di tulis dan terpampang di muzium sabah semua orang tahu pakaian yang di pakai oleh Kulindod adalah pakaian Bwadu pakaian lelaki Rungus. Bagaimana nama dia tertukar kepada illanun adalah di sebabkan apabila Kulindod berperang dengan British sehingga ke Inanam.. Pihak British membuat surat pekeliling untuk menangkap semua ahli keluarganya.. yang terdekat.. Jadi apabila british sampai di Kirangavan orang kampung mengatakan kepada pihak British yang Kulindod tiada keluarga. Kulindod itu kononnya adalah pelayar dan keluarganya tiada di kirangavan, jadi british bertanya kenapa dia tinggal di Kirangavan? Kulindod saja melawat kampung kirangavan untuk membuat padi bukit. Manakala anak-anaknya ada yang di hantar ke matunggong dan ada lagi satu perempuan yang di hantar ke Pitas. Akhirnya identiti Kulindod yang tertulis adalah Illanun tetapi sebelum di hukum bunuh oleh british kulindod di ambil gambar...

Aki Tumanggung Karantud = di kenali orang british sebagai Raja terakhir Bangsa Rungus. Tumanggung menentang british kerana dalam upacara-upacara agama lzabus tidak perlu membuat permohonan orang british tetapi apabila Tumanggung Karantud membuat upcara MANAGAS dan di larang oleh british maka Tumanggung bangkit menentang british.. Sebab sebenarnya uapcara itu adalah satu upacara mengorbankan MANUSIA untuk menghidupkan bumi dan menghalau penyakit pada masa sama ia adalah satu pengyingkiran kuasa british kerana kudat sudah mula di cerobohi bukan saja british tetapi mizonvaig (orang laut) sudah mula berkuasa di kawasan kudat sejak kedatangan british. Akhirnya Tumanggung di tangkap dan di penjarakan.. apabila pentadbiran di pindahkan ke Sandakan (Elopura) tumanggung di bawa ke sana juga.

7 comments:

  1. cuba share kisah 7 pahlawan2 tu, terutama janung gayoh, gelaran janang gayoh ne mmg ada dlm kepahlawanan etnik bisaya, rupanya janang gayoh ne ada kaitan dgn janung gayoh pula arr?

    ReplyDelete
  2. Korom itu pahlawan Murut. Kuntagil itu guru Kuntau plg terkenal di pendalaman asal Tambunan. Janang Gayo itu gelaran pemimpin tertinggi utk masyarakat Bisaya.

    ReplyDelete
  3. Kita perlu pakar arkeologi, psikologi, antropologi, historian dan yng berkaitan. Perlu ada bukti2 saintifik untuk mengukuhkan maklumat-maklumat yang kita perolehi dari cerita nenek moyang kita.

    ReplyDelete
  4. terima kasih tuan ahmad riau - satu komen yang baik dan kita kena usaha lagi agar pengkaji pengkaji anak Sabah muncul memperbetulkan dan menguatkan lagi maklumat di atas...

    ReplyDelete
  5. Haha, sejak bila la rungus ada raja.

    ReplyDelete
  6. Ni struktur dia pun cuma ciptaan semata-mata saja

    ReplyDelete