Sunday, 4 March 2018

Kalabakan Tawau Bukti Malaysia Mempertahankan Kedaulatannya Pada Era Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1963-1966

THE 10TH INTERNATIONAL MALAYSIAN STUDIES CONFERENCE (MSC10)

"Globalisation And Regionalism : Malaysia In Asean Community Building"

Kalabakan Tawau Bukti Malaysia Mempertahankan Kedaulatannya
Pada Era Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1963-1966

Abdul Rahman Bin Mad Ali @ Abang
Bilcher Bala
Baszley Bee Basrah Bee

Program Sejarah
Fakulti Kemanusiaan Seni Dan Warisan,
Universiti Malaysia Sabah

ABSTRAK

Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1963-1966 adalah sejarah awal Sabah merdeka dalam Malaysia. Namun, kemerdekaan ini tidak mudah untuk diterima oleh sesetengah pihak khususnya Regim Sukarno. Ketidafahaman mengenai Malaysia akhirnya membawa sejarah baru dua Negara serumpun Melayu ini. Respon Sukarno ini tidak hanya propaganda politik menggagalkan Malaysia, malah turut disusuli dengan serangan megejut Indonesia ke atas wilayah sempadan Sabah-Kalimantan Timur. Tindakan Subversif ketenteraan ini telah memperlihatkan keseriusan Sukarno dalam mengganyang Malaysia. Malaysia sebagai sebuah Negara yang baru merdeka dan berdaulat telah cuba mempertahankan kedaulatannya. Oleh itu, kertas kerja ini turut mengetengahkan, mendedahkan dan menerangkan realiti sejarah bahawa Kalabakan Tawau Sabah telah menjadi saksi Sabah merdeka dalam Malaysia. Tidak hanya anggota tentera yang mempertahankan Kalabakan tapi rakyat Sabah dan masyarakat sempadan turut mempertahankan Kalabakan.

Kata Kunci: Sabah, Malaysia, Konflik bersenjata, Sempadan, Kesetiaan dan Ketaatan.

PENDAHULUAN

Malaysia merupakan sebuah Negara yang berdaulat pada 16 September 1963.1 Namun kemerdekaan ini telah mendapat penentangan yang hebat khususnya Negara tentangan hebat Negara jiran khususnya Indonesia. Penentangan ini telah memperkenalkan istilah baru Konfrontasi dalam erti kata lain Ganyang Malaysia. Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia memperlihatkan dua bentuk penentangan yang utama dalam bentuk politik dan ketenteraan. Namun dalam episode Konfrontasi Indonesia-Malaysia ialah tindakan agresif pencerobohan tentera ini telah mengejutkan masyarakat di sempadan Malaysia.2 Tindakan Rejim Sukarno menceroboh Sabah khususnya kawasan sempadan. Jesteru kertas kerja ini akan meneliti secara khusus Kalabakan Tawau Sabah dengan merungkaikan signifikannya dalam Sejarah negeri Sabah, Sejarah Malaysia dan sejarah ketenteraan Malaysia.3 Kalabakan Tawau telah dikejutkan oleh Tentera Indonesia dalam Pertempuran Kalabakan 29 Disember 1963 dan serangan hendap pada 30 Oktober 1966.

PERTEMPURAN KALABAKAN 29 DISEMBER 1963

Serangan Tentera Indonesia yang paling mendukacitakan berlaku di Kalabakan tidak jauh dari Bandar Tawau, Sabah, pada 29 Disember 1963 telah mencatat sejarah hitam buat negara.4 Pada pertengahan Disember 1963, Indonesia telah menghantar Kor-Komando Operasi (KKO) untuk menawan Kalabakan sebelum pergi ke Tawau dan Sandakan. Seramai 128 orang anggota terlibat, sebahagian daripadanya adalah anggota Pramuka yang belum terlatih. Tiga puluh lima anggota tentera Indonesia dibahagikan kepada empat detasmen. Satu kumpulan tiga puluh enam orang termasuk lapan KKO diletakan di bawah perintah Sarjan Benny dari KKO. Wayang pula telah mengetuai tiga puluh enam anggota termasuk lima belas KKO, Lasani mengetuai tiga puluh empat anggota, manakala Sarjan Buronto dari KKO mengetuai dua puluh dua orang anggota. Mereka bergerak dari Kem di Kalimantan menuju ke Serudung.

Pada 21 Disember 1963 mereka telah merompak sebuah kedai di serudung sebelum bergerak ke Silimpopon. Pada malam 28 Disember 1963, mereka berehat di satu kawasan pengkalan balak berhampiran Kalabakan Terdapat dua penempatan pasukan keselamatan Malaysia di Kalabakan. Sebuah Balai Polis dengan kekuatan 15 orang anggota dalam jarak lebih kurang 600 ela dari pos berkenaan terdapat pula satu penempatan tentera yang didiami oleh Platun 1 Kompeni A bersama dua seksyen Platun 10 Kompeni C, Rejimen Askar Melayu DiRaja ketiga (RAMD 3).5 Pertempuran pada 29 Disember ini kemudiaannya dikenali sebagai Peristiwa Kalabakan yang berlaku tidak jauh dari tebing Sungai, kira-kira 30 kilometer di utara Tawau.6 Tentera Indonesia telah menyerang pasukan Infantri dan Kompeni C Askar Melayu Diraja yang menjaga kawasan pembalakan di sempadan. Pada senja 29 Disember, Sarjan Benny telah mengetuai kumpulannya melakukan serangan dari dua kedudukan.7 Satu kumpulan menyerang dari atas bukit ke penempatan platun RAMD-3. Seorang pegawai dan tujuh anggota RAMD-3 telah terkorban manakala lapan belas yang lain mendapat kecederaan.8

Kumpulan kedua bergerak menyerang Pos Polis sepuluh minit selepas serangan ke atas penempatan anggota RAMD-3. Lemahnya koordinasi dalam serangan tersebut memberi peluang kepada ketua penempatan Polis mendapatkan bantuan sembilan belas anggota Polis dan Home Guard yang sudah bersedia di kawasan pos sebelum pertempuran bermula. Dalam pertempuran yang berlaku, polis berjaya membunuh seorang dan mencederakan empat anggota bersenjata Indonesia. Pertempuran berlangsung selama empat jam sebelum Tentera Indonesia tersebut berundur arah ke Utara Kalabakan. Satu Scout Troop dan elemen trup repal Skuadron A 2 Peninjau diketuai oleh Lefternan M.B.T Chong adalah pasukan tentera Malaysia pertama dikejarkan bagi membantu RAMD ke-3.

Serangan kedua turut dihalakan kepada Balai Polis selang sepuluh minit.9 Penyerang-penyerang itu kemudiannya dapat juga ditawan sebagai tahanan sehingga Konfrontasi ditamatkan. Pertempuran di Kalabakan ini yang juga dikenali sebagai “malam berapi di Kalabakan” oleh penduduk tempatan merupakan pertempuran yang terhebat, melibatkan Tentera Malaysia dan Tentera Indonesia secara terbuka.10 Sebelum kedatangan RAMD ke-3, di Kalabakan sudah pun mempunyai pasukan sendiri.11 Di Kalabakan terdapat sebuah Pertempuran Kalabakan 29, hlm. 33; Abdul Rahman Mad Ali @ Abang, et al, hlm. 232-238; Nick van der Bijl, Confrontation The War With Indonesia 1962-1966, Great Britain: Pen & Sword Military, 2007, hlm. 94-96; Will Fowler, Britain’s Secret War The Indonesian Confrontation 1962-66, Great Britain:Osprey Publishing, 2008, hlm. 12-13; Tempoh, 13 November 2006.

pasukan Balai Polis Hutan yang tidak jauh dari pejabat NBT yang hanya berdepan dengan Pos tentera.12 Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak pula mengumumkan bahawa tindakan pihak Indonesia itu mengancam keselamatan Tanah Melayu. Kuala Lumpur perlu mengambil langkah-langkah untuk menjamin keselamatannya.13 Dengan menguatkan Angkatan Tentera Darat, Laut dan Udaranya untuk menghadapi ancaman Indonesia.

Di samping itu, Malaysia juga telah membatalkan pemergian tambahan 800 orang tenteranya ke Congo sebagai Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bercadang memanggil balik tenteranya yang sedang berkhidmat di Congo.14 Namun, keadaan menjadi kelam kabut apabila sebuah bot Tentera Laut Indonesia telah menyerang sebuah tongkang Malaysia di perairan Tanah Melayu dengan alasan terlibat dalam penyeludupan.15 Bagi mengatasi ancaman penyusupan sedemikian, Tentera Laut Tanah Melayu telah menambahkan rondaan di perairannya.16 Dalam usaha memperkuatkan Tentera Laut, kerajaan Tanah Melayu telah membeli beberapa buah helikopter dan bot laju dari Britain dan Perancis supaya dapat mengimbangi kekuatan Tentera Laut Indonesia.17 Memandangkan situasi Konfrontasi kian meruncing, maka pada 18 September 1963, Malaysia telah mengisytiharkan a state of preparedness untuk menghadapi penentangan dari Indonesia dan Filipina.

Menyedari akan ancaman agresif Tentera Indonesia ke wilayah Malaysia di Sabah dan Sarawak, Britain kemudiannya telah mula menghantarkan 20,000 orang tenteranya dari Unit Strategic Reserve bagi menguatkan pertahanan Malaysia.18 Malaysia kemudiannya membentuk Majlis Pertahanan Malaysia untuk mengambil langkah-langkah bagi menjamin keselamatan negara.19 Langkah segera diambil untuk mengemaskinikan pasukan keselamatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. British kemudiannya telah memberitahu Tunku Abdul Rahman bahawa Britain sedia membantu Malaysia untuk mempertahankan kedaulatannya.20 Australia turut menyatakan hasrat bagi membantu Malaysia jika Indonesia menyerangnya.

Australia juga mengumumkan untuk menghantar tenteranya ke wilayah-wilayah Malaysia di Borneo jika berlaku pencerobohan Tentera Indonesia.21 Kedudukan pertahanan Malaysia ketika itu masih dalam pembangunan. Kerajaan Malaysia hanya membelanjakan lapan peratus daripada belanjawan negara untuk pertahanan.22 Tentera darat Malaysia mempunyai lapan batalion. Batalion Infantri termasuk dua dari Singapura, beberapa kereta perisai dan pasukan meriam yang kecil. Walau bagaimanapun, kehadiran tentera Komanwel dengan kelengkapan ketenteraan yang canggih di bawah Perjanjian AMDA telah menguatkan lagi pertahanan Malaysia. Sebaliknya, kekuatan ketenteraan Indonesia ketika itu dapat dilihat semasa operasi Trikora23 dan Dwikora24 di mana Indonesia jelas kelihatan memiliki kekuatan yang begitu besar dan moden.

SELEPAS PERTEMPURAN

Menurut laporan, terdapat beberapa senjata yang telah dikenal pasti hilang oleh RAMD ke-3 sebaik sahaja Peristiwa Kalabakan. Sebaik sahaja selepas serangan ke Kalabakan pada 29 Disember perintah dari tentera memaklumkan bahawa keadaan Kalabakan masih lagi dalam keadaan ‘darurat’.25 Semua kegiatan harian penduduk kampung turut terbantut tidak seperti selalunya.26 Namun, orang kampung masih lagi boleh pergi membuat kerja kebiasaan mereka

tetapi diwajibkan mengambil Pas Keselamatan27 di Balai Polis Hutan. Pas keselamatan ini penting bagi keselamatan penduduk kampung. Pergerakan setiap mereka dikawal oleh pihak tentera Malaysia bagi mengelakkan mereka daripada diculik oleh TNKU yang masih lagi berada di sekitar Kalabakan. Semua penduduk kampung diarahkan untuk membersihkan kawasan hutan sejauh kira-kira dua belas rantai dari tepi Sungai Kalabakan hingga ke Pos tentera secara gotong-royong.

Bagi orang kampung, mereka telah diarahkan untuk membuat ranjau 28 bagi menjamin keselamatan kampung dari dicerobohi Tentera Indonesia. Hampir semua orang kampung terlibat kerana pada yang sama itu mereka tidak dapat bekerja akibat perintah berkurung. Selain orang kampung, pekerja Syarikat NBT juga turut serta untuk membersihkan kawasan atas bukit berdekatan dengan Pos tentera untuk membina lapangan terbang.29 Syarikat NBT telah mengarahkan semua pekerjanya untuk tujuan itu. Kawasan bukit itu telah diratakan menggunakan jentera milik Syarikat NBT atas arahan Mr.Ress. Penduduk Kampung bersama pihak tentera Malaysia telah bekerjasama bagi membersihkan kawasan bukit bagi tempat pendaratan helikopter.30

Sewaktu perintah berkurung dikeluarkan, penduduk kampung juga mengalami kesukaran untuk keluar bagi mendapatkan bekalan makanan.31 Di antara bahan makanan termasuklah, beras, gula, ikan kering, makanan dalam tin. Sepanjang tempoh perintah berkurung dikeluarkan semua bekalan makanan telah dibekalkan oleh pihak tentera

menurut Antalai yang turut serta dalam serangan hendap terdapat lapan orang Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) di tepi Sungai Brantian ketika serangan dilakukan. Serangan telah berlaku di antara TNKU dengan tentera Gurkha, dan tentera Australia dengan begitu sengit. Sewaktu berbalas serangan, salah seorang daripada ketua kumpulan tersebut telah berjaya ditembak mati beliau. Oleh kerana kerjasama yang begitu baik yang diberikan penduduk kampung, akhirnya satu demi satu tentera penceroboh berjaya ditumpaskan oleh tentera Malaysia yang dibantu tentera bantuan dari Gurhka dan Australia. Penduduk kampung banyak berhutang budi kepada pihak tentera Malaysia yang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan agar keamanan penduduk kampung dan yang paling penting kemerdekaan negara terus terpelihara.

Malaysia.32 Oleh kerana kerjasama yang begitu baik yang diberikan penduduk kampung, akhirnya satu demi satu tentera penceroboh berjaya ditumpaskan oleh tentera Malaysia yang dibantu tentera bantuan dari Gurhka dan Australia.33 Penduduk kampung banyak terhutang budi kepada pihak tentera Malaysia yang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan agar keamanan penduduk kampung dan yang paling penting kemerdekaan negara akan terus terpelihara.

Pada 2 Januari 196434 sebuah pasukan tentera Gurkha 1/10 pimpinan Lieutenant Colonel Burnett telah dikejarkan ke Kalabakan bagi membantu RAMD ke-3 membuat penggeledahan di kawasan Kalabakan.35 Pada 27 Januari, satu kumpulan ronda dari Kompeni B di bawah Leftenan Muda Ishar Bin Sham (12221) menjumpai satu perkhemahan anggota Tentera Penceroboh dan pertempuran berlaku. Seorang anggota Tentera Indonesia telah berjaya dibunuh, dua pucuk senapang, 12 butir bom tangan dan sejumlah peluru berjaya dijumpai.36 Seterusnya platun 6 di bawah pimpinan Leftenan Muda Abdul Aziz Shaari (12178) ketika membuat serangan hendap di Merotai Estet pada 28 Januari telah berjaya membunuh tiga orang anggota Tentera Indonesia, selepas mengalami satu pertempuran yang sengit dengan pihak musuh.37 Sehingga 10 Februari, seramai 29 orang anggota Tentera Indonesia telah berjaya dibunuh, 33 orang anggota ditawan, manakala 22 orang anggota lagi telah menyerah diri. Tindakan pantas dari pihak tentera Malaysia yang segera mendapatkan bantuan dari pasukan tentera Gurkha dan tentera Australia sendiri telah berjaya menjejaki dan mengesan TNKU.38 Kehadiran pasukan tersebut telah dibantu oleh Home Guard yang sama-sama berganding bahu dalam operasi mengesan TNKU ke dalam hutan sekitar Kalabakan.

SERANGAN HENDAP KALABAKAN 30 DISEMBER 1966

Menjelang tahun 1966 ketika Konfrontasi mula menunjukkan pendamaian, Kalabakan masih menjadi tempat tumpuan Tentera Indonesia bersembunyi. Serangan hendap 30 Oktober 1966 telah berjaya menumpaskan dua orang anggota Tentera Indonesia yang kian kehilangan arah di kawasan sekitar Kalabakan.39 Untung nasib kedua Tentera Indonesia tersebut kian terbiar sehinggakan ada di kalangan mereka berada dalam keadaan kelaparan tanpa bekalan makanan. Pada ketika itu, Tentera Malaysia yang berkawal di Kalabakan terus mengadakan rondaan bagi memantau kawasan-kawasan strategik yang cenderung berlaku penyusupan.40 Kem Kalabakan yang terletak di tepi Sungai Kalabakan telah diperkuatkan dengan kubu-kubu pertahanan akibat pengajaran semasa Peristiwa Kalabakan kira-kira tiga tahun yang lalu.41 Hubungan baik tentera Malaysia dengan masyarakat tempatan banyak membantu menjejaki beberapa kumpulan kecil Tentera Indonesia yang masih berada di sekitar Kalabakan. Serangan hendap pada 30 Oktober menjadi bukti kuat betapa dan perlunya hubungan baik melibatkan tentera dengan masyarakat setempat bagi memastikan kawalan keselamatan negara.

SEBELUM SERANGAN

Sebelum serangan dilancarkan pada 30 Oktober terdapat dua orang Tentera Indonesia yang ketika itu berada dalam keadaan kelaparan telah meminta bantuan dari segi bekalan makanan42 daripada seorang pembalak yang berada di kawasan pembalakan di sekitar Kalabakan. Perkara ini telah disahkan oleh salah seorang pembalak yang berkerja di kawasan pembalakan. Menyedari akan ancaman itu, pembalak tersebut terus memaklumkan kepada tentera Malaysia di Kem Kalabakan. Setelah mendengar penjelasan dari pembalak mengenai permintaan Tentera Indonesia itu, tentera Malaysia telah merancang satu strategi untuk memerangkap Tentera Indonesia.43 Menjelang pada hari yang dijanjikan, pembalak itu pun pergi ke tempat yang dijanjikan dengan membawa bekalan makanan. Sebelum berjumpa, tentera Malaysia telah pun terlebih dahulu mengambil kedudukan dan mengatur serangan.44 Pada malam 29 Oktober kumpulan itu keluar ke kawasan pertempuran dan menunggu hingga pagi 30 Oktober.

SEMASA SERANGAN

Pada waktu pagi, terdengar suara dari Tentera Indonesia yang memanggil pembalak seperti mana yang dijanjikan. Pembalak bergegas pergi memberikan bekalan makanan seperti mana yang dikehendaki dan bertemu di tempat yang telah ditetapkan.45 Setelah memberikan makanan pembalak pun pulang dan Tentera Indonesia tersebut terus membawa bekalan makanan itu ke tempat persembunyian mereka di kawasan pembalakan berkenaan. Tanpa mengesyaki pergerakan mereka telah diawasi oleh tentera Malaysia yang diketuai oleh Lefternan Kolonel (B) Malakan, kedua Tentera Indonesia itu telah berada dalam kepungan tentera Malaysia. Sebaik sahaja Tentera Indonesia beredar ke belakang sekitar jarak 20 hela, Lefternan Kolonel (B) Malakan telah berteriak lalu melepaskan tembakan ke arah dua anggota Tentera Indonesia itu.46 Akibat tembakan tersebut kedua-dua anggota Tentera Indonesia itu pun mati terbunuh tanpa sempat kembali ke tempat persembunyian mereka.

SELEPAS SERANGAN

Selepas berjaya membunuh kedua Tentera Indonesia, operasi menjejaki Tentera Indonesia masih diteruskan di sekitar kawasan pembalakan berhampiran Kalabakan.47 Walau bagaimanapun, Tentera Indonesia telah berjaya melepaskan diri dari dijejaki oleh tentera Malaysia dan tentera Malaysia hanya menjumpai tempat persembunyian mereka yang dipercayai telah ditinggalkan oleh mereka. Walaupun Tentera Indonesia telah berjaya meloloskan diri, namun difahamkan berada dalam keadaan darurat berikutan ketiadaan bekalan makanan yang mencukupi dan berkemungkinan besar tidak dapat bertahan lama dalam suasana hutan tebal serta mempunyai harapan yang tipis untuk terus hidup.48 Setelah meneliti serangan hendap 30 Disember, Malakan mendapati salah seorang daripada Tentera Indonesia yang terkorban adalah Abdul Rashid yang berpangkat Koperal.

SIGNIFIKASI KALABAKAN KEPADA SEJARAH MALAYSIA

Signifikan kedua peristiwa sejarah di atas kepada sejarah Malaysia amat penting. Kalabakan Tawau Sabah adalah bukti Malaysia hanya mempertahankan kedaulatannya. Meskipun, terdapat banyak pencerobohan Tentera Indonesia ke atas wilayah Malaysia di sempadan namun, Kalabakan menjadi satu tempat yang amat bersejarah bagi Sejarah Malaysia, Sabah dan Sejarah Ketenteraan Malaysia khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Antara yang terlibat seperti Rejimen Askar Melayu Diraja ke-3 (RAMD ke-3) dan Rejimen Askar Melayu Ketujuh (RAMD ke-7). Jika, Bukit Kepong menjadi batu asas kepada simbolik perjuangan pasukan Polis, Kalabakan pula menjadi batu asas perjuangan Tentera Darat dalam mempertahankan mempertahankan kedaulatannya Malaysia.

Foto 1.2: Tugu Pertempuran Kalabakan 29 Disember 1963
Foto 1.3: Daily Express, 31 Disember 1963
Foto 1.3: Perdana Menteri Pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman

Patriotisme merupakan satu aspek penting dalam proses pembangunan sesebuah negara.49 Jepun telah maju kerana telah menjadikan nasionalisme teras pembangunan negara dan bangsanya. Oleh yang demikian, dasar ekonomi harus dicipta dengan mengambil kira faktor nasionalisme. Malaysia perlu membentuk nasionalisme dengan setiap rakyatnya haruslah memahami Sejarah Malaysia dengan penekanan iaitu, memahami, menghayati dan menghargai erti sebuah perjuangan. Malaysia tidak hanya merdeka dari penjajahan British melalui meja rundingan tapi juga turut melibatkan pertumpahan darah dalam perjuangan. Kalabakan, Tawau, Sabah menjadi bukti sejarah Malaysia dalam mempertahankan statusnya sebagai sebuah negara berdaulat dari pencerobohan Tentera Indonesia.

Nostalgia di Kalabakan Tawau Sabah ini menuntut agar setiap warganegara Malaysia dan rakyatnya mempunyai jati diri, ketaatan dan kesetiaan untuk bersama Malaysia dan rakyatnya mempunyai jati diri, ketaatan dan kesetiaan untuk bersama Malaysia dalam apa juga situasi perlu disemadkan di dalam hati. Kalabakan Tawau Sabah telah menjadi saksi ada sebilangan kecil rakyat tempatan yang menjadi tali barut dalam membantu Tentera Indonesia yang menceroboh sempadan Malaysia.50

KESIMPULAN

Hakikatnya Malaysia hanya mempertahankan kedaulatannya sebagai sebuah Nasion. Kalabakan, Tawau menjadi bukti nyata tindakan agresif ketenteraan Regim Sukarno ke atas wilayah Malaysia. Sejarah ini harus diangkat sebagai lembaran sejarah hitam Malaysia tidak hanya dikenali dikalangan Angkatan Tentera Malaysia tapi juga di masyarakat Malaysia umumnya. Meskipun pembentukan Malaysia melalui perundingan ia tidak bermakna Malaysia dengan senang untuk dicerobohi oleh Tentera Indonesia. Hal ini menyangkal dakwaan Indonesia bahawa Malaysia hanya dibentuk di atas meja rundingan, sebaliknya turut melibatkan pertumpahan darah pejuang negara di Kalabakan Tawau Sabah. Ia adalah bukti nyata Sabah merdeka dalam Malaysia. Sabah tanah airku dan Malaysia tanah tumpahnya darahku perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun telah diterjemahkan di Kalabakan Tawau, Sabah. Sewajarnya Kalabakan menjadi simbolik kepada erti sebuah perjuangan bangsa Malaysia yang berdaulat tanpa perlu khuatir akan sensitifnya. Ucapan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mengingatkan rakyat Malaysia mengakhiri kertas kerja ini menegaskan, “kami bersedia melindungi dan mempertahankan Malaysia dari serangan musuh dengan segala upaya yang ada pada kami dan dengan nyawa kami.51

Nota

1 Anak Sabah, 16 September 1963, hlm 1; Daily Express, 16 September 1963, hlm 5-6.

2 Indonesian Aggression Against Malaysia, Kuala Lumpur,1964; Indonesian Intention Towards Malaysia: A Plot Exposed, Kuala Lumpur, 1965; Malaya-Filipina Relations From 31 August 1957-15 September Kuala Lumpur,1965.

3 Syed Othman Syed Omar, Tentera Malaysia Dalam Era Konfrontasi, Bangi: Penerbitan: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999.

4 Abdul Rahman Mad Ali @ Abang, Pertempuran Kalabakan 29 Disember 1963, Latihan Ilmiah, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, 2008, hlm.30; Abdul Rahman Mad Ali @ Abang, et al, hlm. 232-238; Zakaria Salleh, Biografi Seorang Jeneral Tan Sri Abdul Hamid Bidin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, hlm.118; Tunku Abdul Rahman, op.cit, hlm. 130-131; Ramlah Adam, op.ct, hlm. 382.

5 P/PEN 3, Dato’ Mohd Ghazalie Shafie, Indonesian Involvement In Eastern Malaysia, Kuala Lumpur, 1965 hlm. 29; James Harold James & Denis Sheil-Small, op.cit, hlm.97; Syed Othman, (a),op.cit, hlm. 94; Ramlah Adam, op.cit, hlm. 382; Matthew John, op.cit, hlm. 244; Abdul Rahman Mad Ali @ Abang,

6 Lihat, Ucapan Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak Bin Hussein Berkenaan Dengan Peristiwa Yang Berlaku Di Daerah Kalabakan, Sabah Di Dewan Rakyat pada 3 Januari 1964. Dalam, Ucapan-Ucapan Tun Abdul Razak Bin Hussein 1964, Arkib Negara Malaysia, 1964, hlm. 1-7.

7 Ibid.

8 Daily Express, 31 Disember 1963, hlm. 1.

9 Temubual Veteran Home Guard Peristiwa Kalabakan 29 Disember 1963 Dewan Bin Hussein.

10 Temubual Ketua Kampung Kalabakan, Suping Bin Ajak.

11 Home Guard pada ketika itu merujuk kepada orang yang bertanggunjawab mengawal keselamatan dan menjaga harta benda milik Syarikat North Borneo Timber (NBT). Pada masa kini, Home Guard lebih dikenali dengan Security atau pun Polis Bantuan. Namun, penubuhannya adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan harta benda milik Syarikat NBT yang dikendalikan oleh Mr.Rees. Menurut Antalai terdapat beberapa orang tempatan yang dilantik oleh NBT di tugaskan secara bergilir-gilir bagi tujuan mengawal keselamatan kawasan milik NBT menurut Veteran Home Guard, Antalai Anak Bangi.

12 Ibid.

13 Kunaseelan a/l Muniandy,op.cit, hlm.160.

14 Hari Dalam Sejarah Malaysia, Pasukan Khas Tentera Persekutuan Berlepas Ke Congo, 5,1986, hlm. 9-11.

15 Ibid., hlm. 161.

16 Di samping penyusupan bot Tentera Laut, Jet-jet pejuang Tentera Udara Indonesia juga pernah menceroboh ruang udara Singapura. Ibid., 8 Februari 1963. Straits Times, 2 Februari 1963.

17 Malaya Mail, 21 Februari 1963.

18 Straits Times, 29 Januari 1963.

19 Hari Ini Dalam Sejarah, Pembentukan Majlis Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 3, 1983, hlm. 281-282.

20 Britain sedia membantu Malaysia kerana mempunyai perjanjian pertahanan Anglo Malayan Defence Aggreement (AMDA) dengan bekas jajahannya yang ditandatangani pada tahun 1957 dan kemudiannya diperbaharui pada bulan Jun 1963. Ibid., hlm. 201.

21 Ibid., Tentera Australia dan New Zealand yang ditempatkan di Melaka dan Butterworth adalah sebahagian daripada Commonwealth Strategic Reserve yang bertanggungjawab kepada keselamatan Malaysia berdasarkan AMDA.

22 Stratis Times, 20 September 1963.

23 Trikora adalah operasi ketenteraan Indonesia ke atas Pembebasan Irian Jaya daripada penjajahan Belanda. Lihat, M. Cholil, Sedjarah Operasi2 Pembebasan Irian Barat. Jakarta: Departemen Pertahanan Keamanan, Pusat Sedjarah ABRI, 1971, bab II Trikomando Rakyat dan Pembentukan Komando-Mandala Pembebasan Irian Barat, hlm:27-54.

24 Dwikora adalah Operasi Ketenteraan Sukarelawan Indonesia terhadap kempen “Ganyang Malaysia”. Sila lihat, Gelora Konfrontasi Mengganyang Malaysia, Jakarta:Departeman Penerangan Republik Indonesia, 1964.

25 ‘Darurat’ merujuk kepada situasi yang tidak menentu terutama dalam aspek keselamatan di Kalabakan akibat serang Tentera Indonesia ke atas Pos tentera dan Balai Polis pada 29 Disember. Tentera Indonesia dipercayai masih lagi berada dikawasan sekitar Kalabakan kemungkinan memberi ancaman kepada keselamatan orang kampung. Perihatin akan hal tersebut, penduduk Kampung disarankan agar segala pekerjaan yang menjadi rutin mereka seperti, pergi ke kebun, menangkap ikan dan memungut hasil hutan tidak lagi bebas dilakukan. Kenyataan ini menurut keterangan Suping Bin Ajak, Ketua Kampung Kalabakan.

26 Sewaktu perintah berkurung dikeluarkan, penduduk kampung juga mengalami kesukaran untuk keluar bagi mendapatkan bekalan makanan. Mujurlah bekalan makanan turut dibekalkan tentera Malaysia. Di antara bahan makanan termasuklah beras, gula, ikan kering, makanan dalam tin. Sepanjang tempoh perintah berkurung dikeluarkan semua bekalan makanan telah dibekalkan oleh pihak tentera Malaysia,

27 Pas Keselamatan, merujuk kepada kad khas bagi orang kampung untuk pergi menangkap ikan, udang, pergi ke kebun dan hutan serta sebarang pergerakan mereka yang keluar dari rumah bagi tujuan tersebut. Pas Keselamatan ini diwajibkan oleh pihak tentera dan polis hutan, bagi mengelakkan penduduk kampung daripada di culik dan menjadi tebusan apabila ditangkap tentera Indonesia yang masih berada di sekitar Kalabakan selepas serangan hendap yang dilakukan.

28 Ranjau merujuk kepada sejenis kayu belian yang ditajamkan hujungnya dan kemudiannya ditajak ke dalam tanah. Ranjau ditanam ke dalam tanah secara rapat-rapat sebagai pagar dan benteng untuk memagari kawasan kampung Kalabakan. Lihat, Abdul Rahman Bin Mad Ali @ Abang ‘Pertempuran Kalabakan 29 Disember 1963’, hlm. 65; Abdul Rahman, et al, hlm. 237.

29 Temubual Veteran Home Guard semasa Peristiwa Kalabakan 29 Disember 1963, Dewan Bin Hussien pada 24 Disember 2007, Kampung Kalabakan, Tawau, Sabah.

30 Lapangan Terbang ini telah siap dibina dalam masa dua minggu, menurut keterangan Suping Bin Ajak, Ketua Kampung Kalabakan.

31 Ibid.

32 Ibid.

33 Ibid.

34 Pada Januari 1964 di Perairan Tawau kapal peronda British menjumpai rakit tanpa senjata yang dinaiki oleh Tentera Indonesia. Sarjan Rebani, Subronto dan dua puluh anggota KKO gugur. Tiga anggota Tentera Indonesia berhasil meloloskan diri, yakni kelasi satu Rusli, Suwadi, dan Bakar, telah berjaya ditangkap oleh tentera Gurkha di pantai. Ketika ditangkap, mereka sedang mengumpulkan mayat rakan-rakannya yang dapat diseret ke darat. Tentera Gurkha tidak memberi kesempatan untuk mengkuburkannya. Jenazah dibiarkan terbengkalai di pantai. Rusli kemudiannya diterbangkan ke Jeselton, kemudiannya ke Johor Baharu pada awal 1966. Di Semenanjung keduanya ditahan di tempat terpisah. Rusli dan 21 anggota Tentera Indonesia yang dijatuhi Undang-Undangan 11-13 tahun penjara di Negeri Sembilan. Manakala Manaor dipenjarakan di Detention Camp Johor. Sekitar 502 prajurit Tentera Indonesia dari berbagai angkatan dikurung di sini untuk digantung atas kesalahan menceroboh wilayah Malaysia. Lihat, Tempoh, 13 November 2006, Terganyang Di Malaysia.

35 Berikutan dengan itu, pada 12 Januari 1964, seramai 22 orang Tentera Indonesia telah berjaya dibunuh. Malah batalion ini juga turut berjaya menangkap tiga orang anggota Tentera Indonesia. Walaupun bilangan yang ditawan itu agak kecil jumlahnya, tetapi ia telah dapat membantu operasi selepas itu. Beberapa kawasan di Tawau telah diisytiharkan sebagai kawasan terhad bagi memudahkan operasi keselamatan. Lihat Syed Othman Bin Syed Omar, (a), op.cit, hlm. 99-100; James Harold & Denis Shell Small, op.cit, hlm. 97; Nick Van Der Bijl, op.cit, hlm. 96; Will Fowler, op.cit, hlm. 12; Abdul Rahman Mad Ali @ Abang,(a), op.cit, hlm. 50.

36 Ibid.

37 Ibid.

38 Temubual Veteran Home Guard semasa Peristiwa Kalabakan pada 29 Disember 1963 Antalai a/k Bangai.

39 Temubual Veteran Konfrontasi, Leftenan Kolonel (B) Malakan Bin Kamarudin pada 3 Mac 2010. Kampung Bonggek, Rembau, Negeri Sembilan.

40 Kem Kalabakan ketika itu diperkuatkan dengan kekuatan seratus orang anggota tentera untuk tugas mengawal keselamatan negara dari sebarang bentuk penyusupan Tentera Indonesia.

41 Temubual Veteran Konfrontasi, Leftenan Kolonel (B) Malakan Bin Kamarudin pada 3 Mac 2010, Kampung Bonggek, Rembau, Negeri Sembilan.

42 Bekalan makanan yang diminta terdiri daripada beras, gula, kopi, ikan kering dan makanan dalam tin.

43 Temubual bersama, Leftenan Kolonel (B) Malakan Bin Kamarudin pada 3 Mei 2010 Kampung Bonggek, Rembau, Negeri Sembilan
.
44 Menurut Leftenan Kolonel (B) Malakan Bin Kamarudin yang ketika itu berpangkat Kapten telah dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan pelan tempur di mana pasukan pemburu terbahagi kepada dua iaitu satu Killer Group (kumpulan utama) dan Cordon Group (pasukan pengepung). Kedua kumpulan ini diaturkan dengan teliti untuk mengepung kedudukan Tentera Indonesia yang akan menuju ke tempat yang telah dijanjikan. Killed Group pula merupakan kumpulan mengepung. Manakala Cordon merupakan kumpulan yang dipertanggungjawabkan untuk memberi kepungan kepada Tentera Indonesia.
45 Temubual Veteran Konfrontasi, Leftenan Kol (B) Malakan Bin Kamaruddin.

46 Malakan yang bersenjatakan SMG kemudiannya meminta orang bawahannya menukar senjata dan menggunakan Lite Mesin Gun (LMG). Senjata LMG dengan Magazine 30 puluh kelopak peluru kemudiannya melepaskan tembakan terus ke arah musuh.

47 Temu bual bersama Veteran Konfrontasi, Leftenan Kolonel (B) Malakan Bin Kamarudin, pada 3 Mac 2010, Kampung Bonggek, Rembau, Negeri Sembilan.

48 Ibid.

49 Kedouri, Nationalism, Oxford: Blackwell, 1991; Gellner, Ernest, Nation and Nationalism, Oxford: Blacwell, 1983; John, Breuilly, Reflections on Nationalism, Philosophy of The Social Sciences, 15(1), hlm 65-75; David B. Knight, Territory: Geographical Perspective on Nationalism and Regionalism, Annals of The Association of American Geographers, 72(4), December 1982, hlm 514-531.

50 Temubual dengan Datu’ Mamun Ibni Almahrum Datu’ Maulana Mohammad Djalaluddin, 28 Julai 2010, Tawau, Sabah, Malaysia ; Temubual dengan Dewan Hussein, 23 Julai 2007, 69 tahun Kampung Kalabakan, Kalabakan, Tawau Sabah.

51 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, op.cit, hlm 116.

BIBLIOGRAFI/RUJUKAN

Rekod Dokumen Malaysia
Indonesian Aggression Against Malaysia. Kuala Lumpur. (1964).
Indonesian Intention Towards Malaysia: A Plot Exposed. Kuala Lumpur. (1965).
Malaya-Filipina Relations From 31 August 1957-15 September Kuala Lumpur. (1965).

Akhbar

Daily Express, (16 September 1963).
Daily Express, (31 Disember 1963).
Sabah Times, (1964).
Tempoh, (13 November 2006).
Malaya Mail, (21 Februari 1963).
Straits Times, (29 Januari 1963).

Buku

Anthony D. Smith. (2001). Nationalism. London: Polity Press.

Gelora Konfrontasi Mengganyang Malaysia. (1964). Jakarta:Departeman Penerangan Republik Indonesia.

Dahm, Bernhard. (1988). Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dickens, Peter. (1991). SAS The Jungle Frontier 22 Special Air Service Regiment In The Borneo Campaign 1963-1966. Kuala Lumpur: S. Abdul Majeed & Co. Publishing Division.

Efanantino F & Ariffin SN. (2009). Ganyang Malaysia. Jakarta: Bio Pustaka.

Flower, Will. (2008). Britain’s Secret War The Indonesian Confrontation 1962-66. Great Britain:Osprey Publishing

Greg Poulgrain, Jones. (1998). The Genesis of Konfrontasi : Malaysia Brunei and Indonesia 1945-1965. Bathurst: Crawford House.

Hans Kohn. (1984). Nasionalisme arti dan Sejarahnya. Jakarta: Sapdodadi.

Hidayat Mukmin. (1991). TNI Dalam Politik Luar Negeri: Studi Kasus Penyelesaian Konfrontasi Indonesia - Malaysia. Jakarta: Pustaka Sinar Harapan.

Mackie, J.A.C. (1974). “Konfrantation”. The Indonesia - Malaysia Disember 1963-1966. London: Oxford University Press.

Martin Bulmer & John Solomos. (2012). Nationalism and National Identities. London And New York: Routledge.

Saravanamutu. J. (1983). The Dilemma of Independence Two Decades Of Malaysia’s Foreign Policy 1957-1977. Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia.

James Harold & Denis Sheil-Small. (1971).The Underclared War The Story Of Indonesian Confrontation 1962-1966. London:Leo Cooper.

Lihat Chapter 11/Eleven: Nemesis In Tawau hlm 92-101 (situasi di Tawau)
James G. Kellas. (1991). The Politics of Nationalism And Ethnicity. London: Macmillian

John Hutchinson, Anthony D. Smith. (1994). Nationalisme. London: Oxford Universy Press.. (2002). Nationalism Critical Concepts In Political Science. London and New York: Routledge.

Kunaseelan a/l Muniandy. (1996). Hubungan Malaysia - Indonesia 1957-1970. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kedouri. (1991). Nationalism. Oxford: Blackwell.

Nick Van Der Bijl. (2007). Confrontation The War With Indonesia 1962-1966. Great Britain: Pen & Sword Military.

Supoduto Citrawijaya. (2007). Kompeni X Di Rimba Siglayan:Konfrontasi Dengan Malaysia. Jakarta: Kompas. Indonesia.

Syed Othman Syed Omar. (a).(1999). Tentera Malaysia Dalam Era Konfrontasi. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Syed Othman Syed Omar. (b).(2005). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zakaria Salleh.(1995). Biografi Seorang Jeneral Tan Sri Abdul Hamid Bidin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jurnal

Donald, Hindley. (1964). ‘Indonesia Confrontation With Malaysia’. Asian Survey. 4(6): 904-913.

Kroef, Justus M. Van Der. (1963). ‘Indonesia, Malaya, And The North Borneo Crisis.’ Asian Survey. 3(4): 173-181.

Richard, Butwell. (1964). ‘Malaysia and Its Impact On The International Relations of Southeast Asia’. Asian Survey. 4(7): 940-946.

Temubual

Antalai Anak Bangai. 80 Tahun. 23 Julai 2014. Kg. Kalabakan Tawau, Sabah.

Datu’ Mamun Ibni Almarhum Datu’ Maulana Mohammad Djalaluddin. 28 Julai 2010. Tawau, Sabah.

Dewan Bin Hussein. 23 Julai 2014. 69 Tahun. Kg. Kalabakan Kalabakan Tawau, Sabah.

Lefternan Kolonel (B) Malakan Bin Kamarudin. 3 Mac 2010. Veteran Konfrontasi Malaysia – Indonesia Di Kalabakan Dan Pulau Sebatik Kg. Bongek, Negeri Sembilan.

Mejar Kamal Helmi Bin Majid. 1 Mei 2007. Pegawai Risik RAMD ke 3 di Markas RAMD Ke-7. Semporna, Sabah.

Staf Sarjan. 1 Mei 2007. Burhan Bin Mugayat. Ketua Pos Tentera Darat Kalabakan. Kalabakan, Tawau, Sabah.

Suping Bin Ajak. 1 Mei 2007. Ketua Kampung Kalabakan, Kalabakan Tawau, Sabah.

Kertas Kerja/Prosiding

Abdul Rahman Bin Mad Ali @ Abang. 2009. Reaksi Masyarakat Sabah Kalimantan Timur (Kaltim) Terhadap Pertempuran Kalabakan 29 Disember 1963:Satu Perspektif Sejarah Sabah. Konferensi Seborneo Kali-5 16-17 Mei 2008, Kota Kinabalu, Universiti Malaysia Sabah.
Mohammad Rodzi Bin Abdul Razah. 2003. Sabah Dalam Pentas Konfrontasi Indonesia-Malaysia: Cabaran Awal Ke Arah Nasion. Sabah Dalam Konteks Pembinaan Nasion Malaysia. Prosiding Seminar Kebangsaan Pembinaan Nasion Malaysia, Universiti Malaysia Sabah.

Latihan Ilmiah/Tesis

Abdul Rahman Bin Mad Ali @ Abang. (2008). Pertempuran Kalabakan 29 Disember 1963. Latihan Ilmiah. Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah.

Abdul Rahman Bin Mad Ali @ Abang. (2012). Konflik Bersenjata Di Sempadan Sabah-Kalimantan Timur (Kaltim) Pada Era Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1963-1966. Tesis Sarjana. Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah.

Jumat Abang. (2004). Pantai Timur Borneo Utara-Pertikaian Antara British dan Belanda Pada Abad ke 19. Latihan Ilmiah. Fakulti Kemanusian Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhammad Apsul Bin Pual.(2005). Penglibatan Tentera Diraja Australia Di Sabah Dalam Perang Dunia Kedua Dan Konfrontasi. Latihan Ilmiah. Sekolah Sains Sosial. Universiti Malaysia Sabah.


Rohani Binti Abdul Ghani.(1989). Hubungan Malaysia-Indonesia 1966-1989. Latihan Ilmiah. Fakulti Kemanusian Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : Oneman

No comments:

Post a Comment