Tuesday, 19 August 2014

Pejuang-pejuang Kemerdekaan Sabah

SEMPENA Bulan Kemerdekaan ke-53 tahun ini, penulis akan mempaparkan sejarah mengenai perjuangan kemerdekaan Sabah dan memperkenalkan pejuang-pejuang yang mempertahankan negeri ini dari dijajah oleh kuasa Inggeris hinggalah merdeka melalui pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Diharapkan melalui paparan ini serba sedikitnya memberi pengetahuan yang bergunakan kepada para pembaca khususnya para pelajar sekolah.

Gerakan Patriotisme untuk membebaskan diri secara kekerasan daripada belenggu kuasa luar telah melakari kegemilangan sejarah Sabah sejak abad ke -18 lagi. Gelombang penentangan itu bermula pada tahun 1775 apabila patriotik Datu Tating menyerang penempatan Inggeris di Pulau Balambangan. Ini disusuli kebangkitan Syerif Usman bertempur mempertahankan Teluk Marudu daripada serangan Inggeris pada tahun 1845 dan Haji Saman bertahan menentang Inggeris di Sungai Membakut pada tahun 1846.

Gelombang penentangan patriotisma ini semakin memuncak melanda Sabah apabila Inggeris meluaskan kekuasaannya dari satu kawasan ke satu kawasan. Antaranya, Datu Bagina Putih menentang Inggeris di Berhala, Sandakan pada tahun 1879. Pengiran Syahbandar Hassan menentang Inggeris di Padas Damit, Beaufort pada tahun 1888 dan Sigunting menentang di Pantai Barat 1894 hingga 1905.

Mat Salleh (Datu Paduka Mohamad Salleh Datu Balu) melancarkan perang ke atas Inggeris dan berjaya menganggu gugat pentabdiran kolonialis selama enam tahun mulai 1894. Gerakannya termasuklah di Sandakan, Pulau Gaya, Kota Belud, Ranau dan Tambunan.

Pada masa menduduki Tambunan, Mat Salleh memberikan kata dua kepada Inggeris memaksa untuk mengambil alih Tambunan, beliau akan mengambil alih Sandakan dan Labuan. Setelah kota pertahanan terakhir Mat Salleh di Tambunan musnah oleh serangan bedilan Inggeris pada Januari tahun 1900, tapi patriotism terus membara di kalangan saki-baki pengikutnya. Mereka terus bergerak menentang Inggeris dari masa ke masa.

Antara mereka ialah Mat Sator dan Mat Daud menyerang Inggeris di Kudat pada April 1900 dan Kamuntang menyerang Tempasuk dan Menggatal pada Mei 1900 manakala Tinus, Sarah, Santara dan Langkap bergerak di sebelah pantai Barat. Ini diikuti oleh penentangan Pak Musa bergerak di Paitan dari tahun 1908 hingga 1913. Selain itu, Inggeris juga telah menerima tentangan hebat daripada pahlawan Antanom di Rundum, Pedalaman.

Di samping gerakan patriotism bercambah juga gerakan nasionalisme tanpa kekerasan yang mula bertapak di Sabah selewat-lewatnya pada tahun 1890-an. Antaranya ialah gerakan dipelopori oleh “ The Mohammaden Association” yang bertindak menyatukan masyarakat Islam melalui gerakan dakwa Islamiah di Sandakan. Ini diikuti oleh Pergerakan Persatuan Melayu Tawau bagi menyatukan Melayu sekitar 1910-an.

Walaupun gerakan nasionalisme melalui persatuan juga mendapat tekanan dan halangan, namun penduduk Sabah semakin berani menonjolkan semangat nasionalismenya melalui gerakan sosio politik sekitar pertengahan tahun 1930-an dengan masyarakat Melayu di Tanah Melayu Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM).

Para penyokongnya bergerak melalui rangkaian cawangannya di Jesselton, Tawau dan Labuan, tetapi ahlinya ada dari Sabah. Di Labuan juga wujud gerakan nasionalisme melalui Kesatuan Melayu Muda. Penduduk Sabah lebih tertindas dan menderita di bawah pemerintahan Jepun di negeri ini. Dengan itu, gerakan penentangan secara kekerasan tercetus semula. Antaranya peloporrnya ialah Tun Datu Mustapah Datu Harun dan Albert Kwok. Mereka bangkit menentang Jepun melalui gerakan perang gerila. Datu Mustapha mewarisi semangat juang Mat Salleh.


Bagaimanapun kejayaan itu hanya sementara, apabila Albert Kwok bersama-sama Charles Chan Chau Kong, Jules Stephen, O.T Panglima Ali dan lain-lain ditangkap dan dihukum mati di Petagas, Putatan.

Source: Sabah Rhinos

No comments:

Post a Comment