Monday, 18 August 2014

Awang Alak Betatar

KESINAMBUNGAN SEJARAH BONGAWAN

Pengenalan


Awang Alak Betatar merupakan seorang raja yang mendapat gelaran sebagai Sultan Mohamad Shah setelah memeluk Islam pada awal kurun ke 13. Baginda pada asalnya adalah pemimpin kaum Bisaya dan setelah berkenalan dengan pedagang dari Timur Tengah, baginda mengkhabarkan kepada mereka bahawa baginda orang yang berkuasa di negeri ini. Oleh kerana dalam Islam kuasa diwakilkan sebagai Sultan , maka atas nasihat pedagang itu tadi yang pada masa yang sama seorang wali Allah telah mendoakan baginda agar menjadi pemerintah dan seterusnya menyebarkan syiar Islam pada masa itu. Islamnya Sultan Awang Alak Betatar yang bergelar Sultan Mohamad Shah telah mendorong penduduk di negeri ini menurut jejak baginda dan secara kebetulan pada masa itu bangsa bisaya telah bersumpah tidak memakan babi dan ini memudahkan ajaran Islam diterima.


Menurut sejarah Awang Alak Betatar adalah seorang yang berbangsa bisaya dan menetap di sebuah perkampungan di Semenanjung Klias. Kisah bermula  apabila baginda berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan di kurniakan seorang anak yang diberikan nama Awang Kuyuh. Pada awal perkahwinan baginda, secara tidak sengaja baginda telah bertemu dengan seekor tambadau (seladang) yang bertanduk emas. Tembadau tersebut telah mengganggu hasil tanaman mereka sejak akhir-akhir ini. Keadaan ini telah menimbulkan niat baginda untuk membujak binatang tersebut dengan andiban dan dijadikan makanan. Lalu baginda memohon untuk meminjam bujak atau andiban milik bapa mertuanya dengan harapan dia akan dapat membunuh tambadau tersebut.


Setelah berjaya menjunamkan bujak tersebut, kegembiraan mula terpancar diwajah baginda kerana menyangka tambadau itu telah mati  di tangannya. Akan tetapi harapan baginda berkecai apabila menyedari binatang tersebut masih hidup lalu melarikan diri bersama-sama bujak tersebut. Dengan hampa baginda pulang kerumah menemui bapa mertuanya lalu menceritakan pengalaman tersebut. Oleh kerana marahnya kepada menantunya atas kehilangan andiban kesayangannya itu, mertuanya pun mengatakan tentang betapa sayangnya beliau akan andiban tersebut daripada menantunya itu atau dalam bahasa bisaya menialak.


Setelah merantau sambil menjejaki bekas atau tanda yang ditinggalkan oleh tambadau itu tadi, berbekalkan nasi dan bebrapa jenis makanan tradisi yang disikut didalam takiding, maka baginda telah mendapati bangkai binatang tersebut di hulu sebatang sungai yang berpunca mata airnya dari gunung kinabalu. Oleh kerana penat maka baginda pun mendirikan sulap disana lalu menetap untuk beberapa tempoh yang lama.


Kepulangan


Setelah lama merantau, baginda teringat untuk kembali ke pangkuan isteri baginda lalu dengan pantas baginda mengorak langkah menuju kampung halaman baginda. Apabila tiba, baginda terus mendapat isterinya lalu bertanyakan khabar anaknya dan dimana ia sekarang berada. Kata isterinya anak kita berada disana atau dalam bahasa bisaya kuyoh maksudnya disana. Apabila mendapati anaknya telah meningkat dewasa dalam sekelip mata, baginda bertanya berapa lama sudah dia meninggalkan kampung tersebut. Menurut isterinya agak lama dan dia pun tidak ingat. Maka hiduplah mereka anak beranak dengan aman dan damai. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, maka semenanjung klias telah berjaya dimajukan dan menjadi salah sebuah pelabuhan yang maju dan terkenal. Perniagaan yang dijalankan oleh baginda adalah tanaman halia dan menjualnya kepada peniaga-peniaga tempatan mahupun luar negara. Menerusi kegiatan ekonomi tersebut, baginda telah dianggap sebagai seorang pemerintah oleh penduduk setempat dan bermula daripada itulah kedudukan baginda dipandang tinggi dan mengurus pentadbiran negeri Semenanjung Klias dengan adil dan saksama.


Setelah sekian lamanya, Semenanjung Klias telah mula terkenal dikalangan pedagang-pedagang Islam dari negara Arab. Secara ringkasnya, kedatangan mereka adalah untuk berdakwah dan menyebarkan agama Islam. Maka, seorang pendakwah yang juga wali Allah telah menemui baginda Awang Alak untuk diajak memeluk Islam. Sebagai seorang pemerintah yang adil dan berpengetahuan, maka ajakan tersebut diterima dengan hati yang terbuka lalu meminta agar wali Allah tersebut mendoakan Baginda dan anakandanya menjadi seorang pemerintah yang berkuasa. Menurut cerita terdapat sesi soal jawab antara baginda dimana kata wali Allah itu, " Jika tuan hamba ingin menjadi pemerintah yang berkuasa ini bermakna tuan hamba boleh bergelar Sultan". Maka sejak dari itu Awang Alak Betatar menggelarkan diri baginda sebagai Sultan Awang Alak Betatar atau nama Islamnya Sultan Mohamad Shah Wa Daulah. Anakanda baginda pula dilantik sebagai penolongnya. Maka terlaksanalah sudah hajat pendakwah Islam tersebut untuk menyebarkan agama Islam di bumi yang tercinta ini.


Penyebaran Agama Islam


Terdapat banyak sumber yang boleh diperolehi tentang tersebarnya agama Islam di negeri kepulauan ini, namun apa yang jelas kedudukan agama Islam sebagai tonggak pemerintahan dan sebagai asas kesatuan dikalangan penduduk dinegeri ini amatlah ketara dan ramai ketua-ketua suku kaum yang berada di kepulauan ini menerima syiar Islam ini dengan mengajak anak-anak buah mereka memeluk agama Islam. Demikian juga apabila berlakunya perkahwinan campur dan seterusnya menambahkan lagi keakraban hubungan sesama kaum dan mewujudkan masyarakat majmuk yang saling memahami dan berkongsi setiap permasalahan yang mereka hadapi. Buktinya, penduduk di negeri Sabah merupakan contoh atau model terbaik dalam memenifestasikan keharmonian antara kaum ini. Islam telah lama bertapak di bumi ini iaitu seawal kurun ke 13 masihi. Menurut sumber China, pemerintahan di kepulauan ini telah menghantar ufti ke negara China pada awal kurun ke 9 masihi dalam bentuk bunga emas. Namun bermulanya penaklukan Islam di bumi ini, dicatatkan dalam sejarah bila mana pemerintahan Islam sebagai kuasa mutlak di negeri ini adalah seawal kurun ke 13 masihi dan ini apa yang terdapat dalam catatan negara China dan sebahagiannya dicatat oleh penjajah Sepanyol. Kisah Panglima Awang yang berlayar bersama-sama rombongan Magellan kembali ke Sepanyol juga ada dicatatkan dan ia masih dalam lingkungan kisah pemerintahan Islam di kepulauan ini pada masa itu.


Amanat dan Wasiat


"Di mana bumi dipijak, disitulah langit dijunjung". Ini merupakan salah satu amanat yang ditinggalkan kepada keturunan daripada pemerintahan yang lampau dan baginda tidak mahu anak-cucu keturunannya berkelahi ataupun berebutkan tempat. Masing-masing dengan kuasa masing namun kekuasaan hanyalah sebagai simbol sahaja tidak pernah dilaksanakan kerana kuasa yang ada tidak sepatutnya digunakan untuk berkuasa tetapi pengaruh yang ada akan dapat memacu kemajuan dan kejayaan di masa akan datang. Namun amat sedih apabila terdapat sesetengah pendapat yang menuduh bangsa bisaya sebagai pendatang dibumi ini tanpa merujuk kedudukan sebenar dan bukti-bukti yang ada. Keturunan Awang Alak Betatar yang masih wujud di negeri ini tidak pernah menganggap sesiapa pun sebagai pendatang asing malahan masih mengamalkan apa yang diajarkan oleh nenek-moyang mereka cuma apabila berlaku persengketaan dan perebutan maka timbul rasanya hal ini perlu diperbetulkan dan mana-mana pihak yang merasakan mereka boleh menuntut negeri ini dengan sewenang-wenangnya, cerminlah diri. Masing-masing telah mendapat bahagian masing-masing. Jangan keturunan di sini di perbudakkan dan menganggap kami tidak mampu menyuarakan rasa tidak puas hati kami. Inilah tujuan sebenar mengapa hal ini dan rahsia besar ini diketengahkan. Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment