Sunday, 11 November 2018

Legenda Raja Tua Batulong dan Asal Usul Suku Dumpas.

Legenda Raja Tua Batulong dan Asal Usul Suku Dumpas.

Mohon Izin.

Suku Dumpas adalah salah satu suku dari cabang Suku Sukang yg menurut legenda adalah dari susurgalur keturunan "Longguwai" seorang pemimpin dan pahlawan agung yg terbilang suku Kadazandusun (versi lain ada yg mengatakan suku Rungus) yg pertama kali berhijrah dari Nunuk Ragang.

Longguwai merupakan salah seorang dari 7 beradik Legenda bernama Runsud, Tinggoron, Lintobon, Tomui, Turumpok dan seorang lagi yg tidak dapat diketahui namanya . Mereka semua ini membawa pengikut mereka masing masing dalam satu penghijrahan besar dari Nunuk Ragang dan salah seorang dari mereka ghaib menjadi semangat suci apabila bertapa di dalam sebuah gua.

Suku Sukang mempunyai 4 cabang Suku Kecil seperti Mangkaak, Gunantong, Paruzou dan Dumpas. Adalah telah menjadi adat dan kepercayaan turun temurun bahawa jika seseorang itu selalu sakit dan susah hendak sembuh, maka nama seseorang itu akan di tukar dengan nama lain dengan harapan semoga penyakit ganjil tersebut tidak mengikuti orang yg mempunyai nama baru.

Menukar nama biasanya akan diikuti dengan upacara sembahyang dan perayaan. Nama lama tidak boleh lagi digunakan apabila upacara tersebut selesai. Hukuman berat dan denda akan dikenakan terhadap orang yg menggunakan nama itu balik. Adat kepercayaan tukar nama itulah yg digunakan oleh beberapa orang dari Suku Sukang yg mula mula menjadi ahli Suku Dumpas.

Kampung Tidok yg terletak di Ulu Pintasan adalah Kampung asal nenek moyang suku Dumpas yg sebelum ini didiami oleh Suku Sukang.

Bukit Linggang adalah sebuah bukit yg hampir dengan Kampung Tidok. Menurut legenda di zaman dulu kala apabila dunia ini masih muda, Bukit Linggang dikatakan merupakan sebuah gunung yg amat tinggi tetapi tidaklah setinggi Gunung Kinabalu. Puncak gunung tersebut dikatakan musnah setelah bencana ribut taufan yg amat dahsyat dan menjadi satu dataran tinggi yg orang Kampung namakan Bukit Linggang.

Suku Sukang tinggal di Kampung Tidok sehinggalah pada satu hari Kampung tersebut dijangkiti penyakit demam cacar yg amat teruk sehingga ramai penduduk meninggal dunia dan hanya sedikit saja dari mereka yg terselamat apabila mereka berpindah ke Bukit Linggang dengan semua harta pusaka mereka yg berharga.

Salah seorang dari Suku Sukang yg terselamat itu adalah seorang yg bernama Batulong dan isterinya bernama Ayagan dan mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Lauyah yg berkahwin dengan Kupah. Hasil perkahwinan tersebut Kupah melahirkan 7 orang anak.

Kejadian yg sama berlaku di Bukit Linggang di mana penduduk Kampung mula jatuh sakit dari demam cacar. Batulong membuat keputusan untuk meninggalkan kawasan nenek moyang dan dalam kelam kabut untuk pindah, semua harta pusaka mereka seperti gong, selapa, babandil, pejati, tembikar dan Kulintangan telah tertinggal.

Setelah meninggalkan Bukit Linggang, Batulong berpendapat nama Suku Sukang tidak lagi boleh digunakan kerana ianya mendatangkan penyakit dan nasib yg tidak baik kepada mereka. Oleh itu beliau menamakan satu Suku baru dengan nama Suku Dumpas dan setelah itu para pengikut beliau memberi gelaran kepadanya sebagai Raja Tua Batulong. Suku Dumpas berhijrah ke kawasan Sungai bernama Lokan dan mereka mempunyai adat yg unik dengan mengebumikan ahli suku mereka yg mati didalam keranda dan meletakkan keranda tersebut didalam gua di Miasis.

Di kawasan Lokan Suku Dumpas dijangkiti penyakit taun lalu ada yg pindah ke Kinabatangan, Segaliud, Labuk, Tandoo Batu atau kawasan peranchangan dan ada juga pindah ke Beluran. Menurut Suku Dumpas mereka tinggal di sepanjang tepi sungai Segaliud dan Nenek moyang merekalah yg membuka Kampung Lungmanis tetapi Kampung ini terpaksa ditinggalkan atas sebab merebaknya penyakit cacar. Ada yg mengatakan sekiranya seseorang itu pergi ke kawasan Kampung Lungmanis di sebelah malam maka mereka akan terdengar bunyi orang bermain gong.

Di tengah tengah Sungai Segaliud berdekatan dengan kaki bukit ada sebuah perkampungan lama yg mempunyai sebuah batu yg di kenali sebagai Batu Sandakan. Batu ini umpama terapung dan tidak pernah ditenggelami air tidak kira berapa tinggi banjir yg berlaku di kawasan itu. Kedudukan batu ini di tengah Sungai menghalang kayu balak yg dihanyutkan melalui Sungai itu oleh Syarikat Borneo Timber sehinggakan ada orang eropah cuba memusnahkan batu ini dengan kaedah letupan tetapi gagal.

Suku Dumpas mempercayai batu tersebut didiami oleh semangat orang halus dan pernah berpesan kepada seorang Suku Dumpas agar mereka tidak melintasi atau menaiki bukit tersebut kecuali membawa tanda seperti kain Kuning, beras atau duit sebagai sajian atau hantaran agar tidak jatuh sakit setelah melintasi kawasan perkampungan tua tersebut.
Suku Dumpas yg menetap di kawasan Sungai Labuk juga tidak terlepas dari jangkitan penyakit cacar. Seorang Panglima Suku Dumpas yg terkenal bernama Aki Persila terpaksa pindah dari Kawasan Labuk ke Kawasan Lokan. Beliau dikebumikan menggunakan keranda di Miasis Darat.

Suku Dumpas yg berpindah randah serta berkahwin campur dengan pelbagai suku lain mempunyai bahasa yg agak berbeza dari bahasa Suku Sukang. Suku Dumpas terkenal sebagai pemburu Buaya yg terkenal.

Ada yg mengatakan harta karun Suku Dumpas masih ada Di Bukit Linggang tetapi setakat ini belum ada orang yg berjaya menjumpai harta karun tersebut. Bagi mereka yg pernah mencari harta karun tersebut, beberapa perkara ganjil berlaku seperti kilat sambar menyambar dilangit, guruh, angin kuat dan mereka balik dengan tangan kosong.
Nama Batulong disebut dua kali dalam Legenda rakyat tempatan. Pertama dalam Legenda penemuan Sarang Burung di Batu Timbang dan satu lagi dalam Legenda penemuan sarang Burung di Gua Gomantong.

Di dalam legenda Bukit Timbang, Batulong merupakan seorang yg miskin dan telah jatuh cinta dengan seorang anak gadis penduduk Kampung yg Kaya. Kerana tidak mampu membayar Wang hantaran dan berian maka mereka membuat keputusan untuk lari bersama dan tinggal jauh dari kawasan mereka tinggal dulu, untuk mengelak diri dari kemarahan bapa gadis tersebut.

Pada satu hari apabila Batulong mengembara jauh didalam hutan, beliau tertidur dibawah sebuah pokok lalu bermimpi berjumpa orang halus dan beliau di minta membunuh seekor Harimau kumbang yg tinggal di sebuah gua berhampiran kawasan tersebut . Orang halus itu berjanji jika Batulong berjaya membunuh Harimau kumbang tersebut maka beliau akan menjadi Kaya Raya dengan syarat beliau hendaklah mengadakan upacara mengorbankan seorang hamba setiap tahun dan jika gagal kekayaan tersebut akan hilang buat selama lamanya.

Keesokan harinya Batulong terjumpa sebuah bukit tinggi yg mempunyai gua yg agak besar. Apabila Batulong masuk ke dalam gua tersebut beliau berdepan dengan seekor harimau kumbang yg besar dan garang. Batulong berjaya membunuh Harimau kumbang tersebut dengan tombak setelah pertarungan yg hebat. Selepas itu Batulong meninjau Gua tersebut yg kosong tetapi penuh dengan sarang Burung. Hasil dari gua tersebut membuat Batulong menjadi Kaya Raya dan beliau menunaikan janji dengan mengorbankan seorang hamba setiap tahun sehinggalah zaman kompeni dimana upacara tersebut di tukar dengan mengorbankan seekor Burung setiap tahun sebagai ganti.

Dalam Legenda Gua Gomantong, orang pertama yg menjumpai gua Gomantong adalah Orang yg berasal dari bukit Timbang dan ada yg mengatakan bahawa orang itu adalah dari Koromuok. Jika orang tersebut dari Koromuok maka sudah pasti beliau dari Suku Sukang kerana Koromuok adalah negeri suku Sukang.

Legenda ini mengisahkan bahawa pada suatu hari seekor gajah liar merosakkan hasil tanaman Batulong. Beliau mengambil tidakan mencederakan gajah tersebut dengan menggunakan tombak dan gajah tersebut lari ke hutan. Batulong menjejak gajah yg lari dihutan tadi dengan niat untuk membunuh gajah itu. Selepas beberapa hari menjejak gajah tadi beliau tersesat dan tidak tahu beliau berada dimana. Akhirnya beliau terjumpa sebuah gua yg besar. Apabila Batulong masuk ke dalam gua tersebut beliau terjumpa bangkai gajah yg dicarinya. Beliau lalu melihat kawasan di sekeliling yg penuh dengan sarang Burung.

Batulong kemudian berjalan kembali kearah Selatan mencari Sungai Kinabatangan. Apabila beliau menjumpai Sungai Kinabatangan beliau lalu jatuh pengsan kerana lapar dan tidak makan selama beberapa hari. Panglima Asan dari suku Buludupi yg kebetulan berada di kawasan tersebut nampak dan menyelamatkan Batulong. Panglima Asan merawat Batulong sehingga sembuh dan sebagai membalas jasa maka Batulong menunjukkan gua Gomantong kepada Panglima Asan dan memberikan hak memungut sarang Burung di Gua Gomantong kepada Panglima Asan. Sandukung yg juga dari suku Buludupi dengan tipu helah berjaya mengambil hak memungut sarang Burung dari Panglima Asan.

Batulong menggunakan nama dan gelaran Raja Tua Batulong semasa mengasaskan suku Dumpas. Jika susurgalur keturunan ini di kira dari Batulong maka ianya hampir 9 Generasi. Panglima Asan juga wujud hampir 9 Generasi yg lalu.

Di dalam legenda penemuan gua Gomantong oleh pengkaji sejarah barat bernama Harisson ada menyebut bahawa gua Gomantong di temui oleh Raja Tua Batulong dari Batu Timbang. Oleh itu legenda penemuan gua bukit Timbang dan gua Gomantong adalah oleh orang yg sama iaitu Raja Tua Batulong dari suku Dumpas.

Sarang Burung menjadi sumber pendapatan yg utama di kawasan pantai timur dimana perniagaan sarang Burung oleh Sultan Bantilan dari sulu saja sudah mencapai 70 Pikul sekitar tahun 1761. Pada sekitar tahun 1814 jumlah perniagaan sarang Burung telah mencecah sehingga 500 Pikul sarang Burung hitam dan 30 Pikul sarang Burung Putih. Perniagaan sarang Burung di pantai timur Sabah sungguh menguntungkan Sehingga Sultan Sharafudin dari Kesultanan Sulu menghantar anaknya ke Sandakan sekitar tahun 1791 sehingga tahun 1808 untuk mengendalikan perniagaan sarang Burung. Batulong dikatakan masih hidup sekitar tahun 1791 dan tinggal di kawasan Batu Timbang.

Keranda suku Dumpas di miasis dijangkakan berusia lebih 200 tahun. Ini bermakna suku Dumpas wujud sebelum tahun 1800 dan sebelum mereka pindah dari Tibok ke Miasis.

Sumber :

1. Prehistory of Sabah, Harisson and Harrison 1971
2. Warren, 1981
3. Richardson 1909
4. P S Shim 2007

Gambar :

Mohammad Anwar Mahmud Chucu


Di sunting oleh : Kumis Kumis

5 comments:

  1. Assalamualaikum... Boleh ka sy menghubungi tuan untuk bertanga mengenai satu maqam syariff berdekatan kampung perancangan di rumudi sapi nangoh... Ada satu maqam lama yg tertulis syariff hassan tembaga wafat pada 1860

    ReplyDelete
  2. Saya dari pada keturunan bangsa Dumpas.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya keturunan bangsa Dumpas.

      Delete
  3. Kalau kinabatangan semua itu berkeluarga cuma saja tidak beusual. Lagi satu, Nunuk Ragang tu Bila mula didiami? Sebab kalau pantai timur Sabah, hutan tingkayu sejak puluhan ribu tahun dah diduduki dan lembah masuli berusia ratusan ribu tahun dan beradaban yg berlapis-lapis.

    ReplyDelete