Monday, 12 November 2018

Menelusuri Tokoh Tokoh Pejuang Kemerdekaan Sabah

MENELUSURI TOKOH-TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN SABAH

Sabah sudah melalui separuh abad sebagai negeri merdeka dari cengkamaan penjajah SBUB sejak 1881 dan bebas sepenuhnya pada 1963. Sebelum Sabah menyertai pembentukan Malaysia, ianya telah diisytiharkan sebagai sebuah negara selama 15 hari iaitu merdeka daripada penjajahan 31 Ogos 1963. Makna sebagai sebuah negara adalah amat bererti buat rakyat Sabah dan di mana penjajahan selama 82 tahun sudah cukup mengajar erti jiwa hamba kepada jiwa merdeka.

Menghayati perjuangan tokoh-tokoh tempatan seperti Raja Ismail, Raja Tebuk, Datu Tating, Sharif Uthman, Raja Laut, Paduka Mat Salleh, Pak Musa, Antanom, Sagunting, Langkap, Panglima Udun, Mat Sator, Kamunta, Datu Mamuda, Datu Kedunding, Andamun, Pengiran Indera Jaya, Sharif Ali dan beberapa tokoh lain yang turut berjuang menghalang, menentang serta menghalau penjajah dari  terus berkuasa merata harta warisan rakyat jelata Sabah. Kesemua tokoh-tokoh ini membayar perjuangan mereka dengan harta, masa, tenaga, pemikiran serta nyawa.

Antara tokoh pejuang yang lebih awal merintis perjuangan menentang penjajah seperti Datu Tating yang menyerang Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1775 di Pulau Balambangan. Beliau dengan berani menyerang British berserta para pengikut beliau yang terdiri daripada kaum Suluk dan Iranun. Tindakan Datu Tating ini menjadi pencetus terhadap penentangan di Sabah, dan juga selepas peristiwa Pulau Balambangan, Raja Ismail dan Raja Tebuk turut membantu Sultan Mahmud menyerang Belanda di Tajung Pinang, Riau Johor pada tahun 1778, selepas itu Raja Tebuk (Raja Lanoon) turut membantu Sultan Abdullah menyerang Francis Light di Seberang Perai pada tahun 1791. Manakala Sharif Uthman menentang Inggeris di Teluk Marudu sekitar tahun 1830an, dan penentangan ini diakhiri oleh Sharif Ali di Pandasan dan Ontoros anak lelaki Antanum di Tenom pada tahun 1915.

Kemerdekaan yang dinikmati oleh rakyat Sabah pada ketika ini adalah hasil pengorbanan para pejuang yang telah membayar dengan nyawa sekali. Misi perjuangan mereka adalah pembebasan secara mutlak iaitu menghalang penjajah daripada terus mengeskploitasi pemikiran rakyat serta ekonomi demi mengaut keuntungan sepenuhnya. Penjajahan secara rasmi pada tahun 1881 merupakan tindakan tegas oleh pihak penjajah agar segala aktiviti ekonomi Sabah dapat dijana semaksimanya. SBUB di bawah  pimpinan Alfred Den dengan Varon Overback merupakan dua tokoh penting penjajah yang memajak Sabah daripada kesultanan Sulu. Pemajakan secara rasmi telah berlaku pada tahun 1881, dan sebelum itu penentangan orang tempatan terhadap penjajah yang bermula sekitar 1775 dalam tempoh 106 tahun barulah hasrat serta cita-cita pihak kolonial berjaya mendapatkan Sabah sepenuhnya.

Penentangan oleh Sharif Uthman sekitar 1830an di Teluk Marudu terhadap Syarikat Hindia Timur Inggeris merupakan penentangan terbesar di Sabah. Beliau bersama pengikutnya seramai lebih kurang 2,000 orang yang terdiri daripaada orang Bajau dan Iranun telah mencabar SHTI di perairan Teluk Marudu dengan menyediakan kubu bagi menghadapi serangan askar penjajah. Walau pun beliau dan pengikutnya tewas, namun semangat juang mereka yang tinggi telah meletakkan pihak penjajah dalam keadaan tertekan. Sharif Uthman telah terkorban dalam peperangan ini dan kubu mereka musnah akibat serangan bertalu-talu dengan kekuatan pihak penjajah serta kelengkapan yang mengatasi peralatan perang Sharif Uthman.

 Setelah itu, pihak penjajah terus menerima tentangan hebat dari para pejuang seterusnya seperti Paduka Mat Salleh sekitar tahun 1897 hingga 1900. Tentangan yang dibuat oleh Paduka Mat Salleh memakan masa lebih kurang 3 tahun dan serangan demi serangan dilakukan terhadap kedudukan SBUB yang berpusat di Inanam, Api-Api, Pulau Gaya, Sandakan dan Ambong. SBUB juga terpaksa menghadapi tentangan berterusan daripada para pengikut Mat Salleh iaitu Mat Sator dan Datu Mamuda yang menyerang Kudat pada April 1900, serta Kamunta yang menyerang Tempasuk dan Menggatal  pada Mei 1900.

Selepas tahun 1915, SBUB berasa selesa apabila penentangan secara fizikal terhenti sehinggalah Jepun menduduki Sabah sekitar tahun 1942. Namun begitu muncul juga beberapa persatuan yang aktif dan memberi kesedaran kepada masyarakat seperti Persatuan Melayu Tawau (PMT) yang berasaskan kepada gerakan politik Islam, lahir Cawangan Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada tahun 1939 di Jesselton, Tawau serta Labuan dan juga kemunculan Persatuan Barisan Pemuda (BARIP) pada tahun 1939 di Jesselton. Gerakan ini dipimpin oleh tokoh-tokoh yang berpendidikan dan mereka ini telah mendapat pendedahan daripada para pejuang di Semenanjung Tanah Melayu serta Indonesia.

Kesedaran semakin memuncuk apabila Jepun menyerang segala kedudukan penjajah di Asia Tenggara pada tahun 1941. Walaupun Jepun hadir dengan sikap tegas serta dianggap zalim, namun semangat ‘Asia untuk Asia’ telah membantu memberi kesedaran kepada golongan berpendidikan. Kesannya selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, pertubuhan sebelum Jepun telah bergerak semula dan juga muncul beberapa persatuan dan pertubuhan baru yang bertindak sebagai badan pendesak agar kemerdekaan diberikan kepada Sabah. Antara pertubuhan itu ialah Parti Kebangsaan Melayu Labuan (PMKL) ditubuhkan pada Ogos 1946, UNKO, Ogos 1961, PASOK, Parti Demokrat, BUNAP, KONGRES, Oktober 1961 dan USNO, 24 Disember 1961.

Parti-parti politik ini telah melancarkan gerakan secara bersepadu untuk menuntut kemerdekaan Sabah, di mana USNO diketuai oleh Datu Mustapha Datu Harun, UNKO dipimpin oleh Donald Stephen, PASOK diterajui oleh G. Sundang dan beberapa pertubuhan lain mendesak supaya Sabah dibebaskan sepenuhnya dari cengkaman penjajahan. Semua persatuan ini mempunyai matlamat yang sama untuk menuntut kemerdekaan walau pun bergerak dalam persatuan masing-masing. Oleh kerana tekanan yang kuat, maka pihak kerajaan British menimbang tuntutan ini dan bersedia untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan akhirnya Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963.

Menurut beberapa sumber, kemerdekaan Sabah juga ini dipercepatkan apabila Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mencadangkan satu  kerjasama ekonomi dan politik serantau bagi mengekang pengaruh komunis dan antara yang terlibat ialah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Cadangan ini telah dikemukakan padda 27 Mei 1961 semasa persidangan Persatuan Wartawan di Hotel Adelphi Singapura. Selepas itu ditubuhakan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia pada 21 Julai 1961 dan diketuai oleh Donald Stephen.

Setelah kemerdekaan dicapai, maka pungutan suara yang dipantau oleh PBB di Sabah, Sarawak dan Singapura mendapati majority rakyat menyokong penubuhan Malaysia dan tarikh 16 Septembar 1963 adalah hari pembentukan Malaysia, di mana Sabah, Sarawak, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu bergabung menjadi satu negara. Maka diisytiharkan bahawa Hari Kemerdekaan Malaysia akan disambut setiap 31 Ogos, walau pun Hari Malaysia atau tarikh pembentukan Malaysia ialah 16 September 1963, sebagai tanda kerjasama, perpaduan, kekuatan dan perkongsian kuasa dan wilayah. Sabah dan Sarawak diberi keistimewaan dengan 20 perkara yang melindungi hak-hak rakyat Sabah yang lambat merdeka 6 tahun berbanding Semenanjung Tanah Melayu.

 Kini 50 tahun sudah berlalu Sabah merdeka dalam usia setengah abad lamanya. Rakyat yang terlibat mengundi dalam pilihan raya pertama Sabah mungkin masih ada yang hidup lagi, begitu juga generasi yang lahir sebelum merdeka masih menghirup udara segar kemerdekaan ini. Namun udara kemederkaan ini amat berbeza sekali diawal Sabah merdeka. Generasi yang lahir dalam zaman merdeka ini adalah generasi dominan, mereka mentafsir kemerdekaan jauh bezanya dengan tafsiran generasi sebelum mereka.

Generasi awal menuntut kemerdekaan untuk kebebasan secara fizikal dari kuasa penjajah tanpa memikirkan kebebasan jiwa merdeka. Kemerdekaan menyeluruh cuba diterapkan dan dilaksanakan, namun kebebasan sepenuhnya sukar untuk dicapai. Agenda utama untuk membangunkan Sabah Merdeka tertumpu kepada fizikal mengindahkan bandar-bandar utama tetapi terabainya keperluan asas rakyat luar bandar. Masa 50 tahun adalah tempwalaupun oh yang panjang bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi rakyat yang sudah merdeka.

Memacu ekonomi dalam konteks merdeka, rakyat masih ketinggalan dan pencapaian serta penguasaan ekonomi sekitar 22% sahaja. Kelesuan mengangkat ekonomi bumiputra merupakan agenda ‘Lebai Pak Malang’ yang penuh dengan mimpi dan angan-angan. Mendidik rakyat sebagai usahawan ulung dan unggul tidak menjadi misi utama, bahkan rakyat diajar menjadi pengemis ekonomi dengan teori ‘Jutawan Segera’.  Keadaan ini berlaku kerana cara berfikir yang masih terikat terhadap legasi penjajah secara berterusan penjajah sudah meninggalkan bumi Sabah ini 50 tahun yang lalu.

Antara Latar belakang pejuang-pejuang di SABAH

MAT SALLEH

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaunnya.Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan seorang perempuan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong.

Isteri Mat Salleh bernama Dayang Bandang, berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan. Kota Kampung Tibabar, Tambunan adalah salah sebuah kota utama pertahanan Mat Salleh yang kuat. Kota ini ialah benteng terakhir Mat Salleh dalam usahanya memimpin orang-orang Sabah menentang Inggeris.

Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjoan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.

Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897.

Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut.

Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatoan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru.

Setiap penjuru kota dikawal dan terdapatbeberapa terowong atau julan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperinga kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandaka tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasuka Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbira Chartered Company menemui ajalnya'.

Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.


DATU TATING: PEWIRA SABAH MELAWAN PENJAJAH

Sedikit sebanyak mengenai beliau:-

+ beliau merupakan wira sabahan yang tidak senang dengan kehadiran British di Borneo dan Kepulauan sulu.
+ Datu Tating adalah seorang datu di Raja dan berketurunan sulu.
+ Dilahirkan di bawah Kesultanan Sulu dan latar belakang ibunya menunjukkan hubungan rapat dengan pihak kerajaan.
+ Kehadiran beliau di Pulau Balambangan mengubah hidup rakyat disana apabila beliau berjaya membekalkan jumlah pekerja yang mencukupi untuk membina benteng dan gudang.
+ Tetapi, apabila John Robert muncul dan mengacukan senjata dihadapan pengikutnya, kemarahan beliau terhadap British pun bermula. Tindakan John Robert seolah- olah tidak menghormati bangsanya.
+ Hal ini berlaku semasa perbincangan mengenai pembayaran gaji, kontrak gudang, pembersihan hutan dan pembinaan kubu.
+ Sejurus itu, beliau pergi ke Pulau Banggi Dakula dan bekerjasama dengan sepupunya. Datu Tating berjaya mengumpul sebanyak 300 orang mistik dan suku Iranun untuk menyerbu British di Pulau Balambangan.
+ Datu Tating adalah orang pertama yang berjuang menentang British di Pulau Balambangan.
+ Kepahlawanan beliau boleh dilihat apabila beliau berjaya mengalahkan British dan hanya mengambil masa selama 7 Jam.
+ Aktiviti menentang British kemudiannya mula menular di beberapa bahagian termasuklah di Tempasuk, Teluk Marudu dan Relau.
Kisah Datu Tating mungkin tidak banyak yang diketahui oleh pakar sejarah dan masyarakat. Ini mungkin kerana disebabkan persepsi sesetengah pihak yang keliru samaada beliau adalah sabahan ataupun bukan kerana beliau adalah berasal dari suku Tausug yang boleh dijumpai di Filipina.

RAJA ISMAIL

Baginda merupakan ketua pemerintah di Tempasuk sekitar tahun 1700-an yang berpusat di Matampai. Matampai merupakan pusat pemerintahan Raja Ismail yang terletak berhampiran dengan Sungai Tempasuk. Sungai ini dipilih berdasarkan kedudukannya yang tidak jauh daripada Laut China Selatan. Ada beberapa sumber menyatakan bahawa Sungai Tempasuk dipilih kerana kedudukan muara sungai ini yang sukar untuk dimudiki oleh pihak musuh, di mana peranan ombak yang menjadi penghalang kepada sesiapa sahaja untuk masuk melalui sungai ini turut diberi perhatian dan hanya orang yang mahir sahaja boleh memasukinya. Hujah ini ada kekuatannya, kerana menurut beberapa orang sarjana barat seperti Owen Rutter dan James Warren, orang Iranun adalah antara etnik yang mempunyai kemahiran di laut serta mempunyai kecekapan yang tinggi. Oleh itu, kedudukan Matampai sebagai pusat pentadbiran Raja Ismail adalah amat sesuai dan bertindak sebagai benteng pertahanan yang boleh membantu Raja Ismail menghadapi musuh-musuhnya.

Pentadbiran baginda di Tempasuk adalah dibantu oleh anak-anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak di samping beberapa pembesar beliau yang dikenali sebagai Datuk Sikiolo dan Tok Lukus. Menurut sumber keluarga ini, wilayah Tempasuk pada masa itu meliputi Kuala Sungai Tuaran dan Teluk Marudu. Hujah ini juga mempunyai kekuatan kerana semasa Pretymen dihantar ke Tempasuk sebagai residen pada tahun 1879, maka pada masa itu Tempasuk dianggap oleh barat sebagai sebuah kerajaan atau negeri.Antara peranan yang disumbangkan oleh Raja Ismail di nusantara ialah membantu Sultan Mahmud Shah menyerang Belanda di Riau Johor. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1781, di mana Sultan Mahmud Shah yang memerintah Riau Johor pada ketika itu telah menghantar utusan yang bernama Encik Talib ke Tempasuk untuk menyampaikan permintaan baginda kepada Raja Ismail, agar Tempasuk menghantar bantuan ketenteraan untuk menyerang Belanda di Tanjung Pinang. Baginda Sultan Mahmud Shah juga menyatakan bahawa Raja Tempasuk tersebut ada kaitan kekeluargaan dengan beliau. Maka itu, baginda Sultan Mahmud Shah tidak segan-silu untuk memohon bantuan ketenteraan daripada orang Iranun di Tempasuk untuk mengusir Belanda di Tanjung Pinang.

Oleh kerana permintaan ini datang daripada Sultan Mahmud, maka Raja Ismail sendiri telah mengetuai angkatan tentera Tempasuk yang berjumlah sekitar lebih tiga puluh buah kapal dan perahu. Menurut sumber tempatan ukuran kapal mereka ini lebih kurang sembilan puluh kaki panjang yang boleh membawa enam puluh tan muatan dan boleh memuatkan seramai lebih satu ratus lima puluh orang.Perjalanan mereka ke Riau Johor tidaklah memakan masa yang lama kemahiran di laut membantu angkatan itu sampai dengan segera. 

Kapal dan perahu ini dilengkapi dengan peralatan senjata seperti meriam atau lebih dikenali sebagai ‘laila’, bersandarkan kekuatan dan kecekapan, maka tentera Raja Ismail pun belayar di Laut China Selatan, Perjalanan mereka ini tidak menghadapi masalah dan mereka sampai ke Riau Johor dengan selamat.Apabila Raja Ismail dan tenteranya sampai di Riau Johor, maka mereka diberi taklimat berkaitan kedudukan pihak Belanda di Tanjung Pinang. Setelah itu tentera Iranun pun bersiap sedia menyerang kedudukan Belanda di Tanjung Pinang, dan dalam serangan ini orang Iranun telah berjaya mengalahkan Belanda dan ramai tentera Belanda yang terkorban dan dalam serangan tersebut difahamkan Raja Ismail juga turut terkorban kerana semasa majlis meraikan kemenangan itu Raja Ismail tidak lagi disebut sebagai ketua yang diraikan, tetapi yang disebut hanya anak-anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda.

Angkatan ini telah diberi persalinan oleh Sultan Mahmud sebagai menghargai bantuan Tempasuk terhadap baginda dan peristiwa ini dinyatakan berlaku pada 1215 hijrah.Selepas itu, Raja Tebuk dan Raja Alam memohon untuk kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak, Datuk Sikolo dan Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memperhambakan diri kepada baginda Sultan Mahmud. Menurut sumber keluarga Raja Tebuk, Raja Alam tidak kembali ke Tempasuk tetapi beliau telah mengembara di kepulauan Nusantara. Faktor ini disebabkan Raja Ismail telah tiada dan pewaris seterusnya terhadap pentadbiran di Tempasuk diserahkan kepada Raja Tebuk. Maka Raja Tebuk pun memerintah Tempasuk dengan memakai gelaran sebagai Sultan Satebuk.Selain itu, pentadbiran Raja Ismail di Tempasuk juga ada kaitannya dengan kegiatan merompak kapal-kapal dagang barat yang memasuki perairan Nusantara. 

Kedudukan Kuala Tempasuk yang sukar dimudiki merupakan strategi Raja Ismail untuk mengelak serangan balas daripada pihak musuh. Serangan Datu Tating ke atas Pulau Balambangan pada 5 Mac 1775 telah melibatkan pengikut Raja Ismail, di mana seramai 300 orang etnik Suluk dan Iranun telah menyerang pulau tersebut dan persefahaman antara dua etnik ini telah menggugat kedudukan Syarikat India Timur Inggeris (EEIC) yang cuba menjadikan Pulau Balambangan sebagai pusat perniagaan penting seperti Singapura (1819), Pulau Pinang (1786) dan Melaka (1824) (Baszley Bee, 2004:51). Semasa serangan ini pihak EEIC yang mempunyai kekuatan tentera seramai 100 orang dan dua buah kapal iaitu Endavor dan Pheonix telah mengalami kekalahan teruk dan banyak kemusnahan yang berlaku (Baszley Bee, 2004: 55). 

Akibatnya pulau Balambangan telah ditinggalkan oleh pihak EEIC kerana kedudukannya yang tidak selamat dan berada di wilayah yang mana masyarakatnya sangat kuat menentang Barat. Menurut Datu Tumai, orang Iranun merupakan salah satu etnik di Nusantara yang amat aktif menentang imperialism Barat. Manakala di Tungku orang Iranun juga turut melakukan penentangan, di mana penentangan ini diketuai oleh Raja Laut yang menyerang kapal-kapal Sepanyol dengan kekuatan tentera sekitar 1000 orang (Warren, 2002:160).Keterlibatan Raja Ismail serta orang Iranun Tempasuk ketika serangan Pulau Balambangan diperkuatkan melalui pertemuan antara pelayar-pelayar Iranun dan Suluk di Tanjung Simpang Mengayau. Menurut Pinjaman Hasin, para pengembara atau pelayar Iranun dan Suluk akan bertemu di Tanjung Simpang Mengayau untuk merancang strategi bagi menyerang kapal-kapal barat yang memasuki perairan Nusantara.

Sumber-sumber sedia ada seperti yang dijelaskan oleh Owen Rutter, James Warren dan bebarapa penulis barat amat berkait dengan sumber tempatan.Menurut beberapa catatan bahawa Raja Satebuk juga turut terlibat merancang menyerang kedudukan Francis Light di Pulau Pinang yang dibuka 1786. Selepas peristiwa Riau Johor 1781, di mana kerajaan Kedah pada masa itu berada di bawah pentadbiran Sultan Abdullah telah mendapat maklumat berkaitan serangan orang Iranun ke atas Belanda di Raiu Johor, yang mana Belanda dapat ditewaskan oleh orang Iranun, maka baginda menawarkan kepada orang Iranun untuk menyerang Francis Light di Pulau Pinang bagi menggagalkan hasrat barat menguasai Pulau Pinang untuk dijadikan sebagai pusat perniagaan penting. Kerajaan Kedah sanggup membayar $20,000.00 kepada etnik Iranun. Tawaran ini telah diterima oleh Raja Satebuk dan mereka berkampung di Sungai Perak bagi menunggu arahan sultan (Warren: 2002:61). Namun serangan ini tidak diteruskan dan orang Iranun kembali ke Tempasuk. 

Orang Iranun mengawal perairan Utara Borneo (Leigh Wright:1981:7), di mana Tempasuk merupakan pusat kegiatan utama mereka. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh peranan politik di sekitar nusantara terutama ancaman barat terhadap kuasa-kuasa tradisional yang sedia ada.Peranan Raja Satebuk terhadap pentadbiran Tempasuk telah berjaya mengekalkan penguasaan mereka di laut sehingga gelaran lanun atau perompak laut menjadi sinonim dengan orang Iranun. Beberapa tindakan Raja satebuk dilihat sebagai mengancam kedudukan kuasa-kuasa barat, antaranya serangan Raja Satebuk terhadap Ambong pada 1880an. Akibat tindakan tersebut Raja Brooke yang menguasai Sarawak pada masa itu telah menghantar pegawainya untuk menyiasat serangan tersebut (Ivor Evan: 1922:261).Apa yang jelas Kuasa Tempatan Iranun di Tempasuk telah banyak menyumbang kepada kegiatan menentang kuasa barat yang menjajah negeri-negeri Melayu di nusantara.

Walaupun ada sesetengah dakwaan ahli sejarah barat, bahawa etnik Iranun adaalah golongan perompak laut atau ‘Lanun’ yang terlibat dalam perdagangan manusia iaitu hamba. Namun usaha etnik ini mengekang imperialisme barat amat mendapat perhatian kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda dan British. Kuasa-kuasa barat ini telah menghadapi tentangan sengit daripada etnik Iranun terutama ketika berlaku pertembungan di laut. Kesan terhadap penentangan ini, pihak barat telah mengalami kerugian serta korban besar. Pihak barat juga terpaksa melipatgandakan kekuatan pertahanannya untuk berhadapan dengan etnik Iranun terutama di lautan. Akibatnya juga etnik Iranun terus menjadi buruan dan ada yang menukar identiti mereka untuk tujuan keselamatan.

Antanom Pahlawan Anak Rimba Berjiwa Besar

(i) Latar belakang
- nama sebenar Ontoros anak lelai Antanom
- ketua kaum Murut di Rundum
- dilahirkan tahun 1875
- ketika berusia 30 tahun Antanom telah memimpin orang Murut menentang SBUB yang menindas kaumnya

(ii)Faktor Penentangan

a) Melarang Membuka Tanah Baru
- SBUB melarang mereka membuka tanah baru
- merasakan hak mereka diceroboh
- akibatnya mereka kekurangan beras

b) Mengenakan Cukai Yang Membebankan
- SBUB mengenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti;
- cukai kepala satu dolar setiap orang
- cukai tanaman pindah sebanyak 50 sen setiap ekar
- cukai sebatang pokok kelapa untuk minuman tuak sebanyak 25 sen
- cukai tangkapan ikan besar
- cukai memelihara anjing sebanyak satu dolar seekor

c) Menjadi Buruh Paksa
- orang Murut dijadikan buruh paksa
- tujuan untuk membina jalan di pedalaman dan memasang kawat telegraf antara Tenom dengan Rundum

d) Menzalimi Keluarga
- suami isteri kaum Murut dikehendaki tinggal berasingan di sebelah menyebelah tebing sungai
- mereka dikenakan satu dolar setiap kali berkunjung
- jika mereka mempunyai dua orang anak, salah seorang akan diambil SBUB untuk dijadikan buruh paksa

e) Menceroboh Kawasan Hutan
- SBUB menceroboh hutan untuk membina jalan
- Kaum Murut membantah kerana mengikut kepercayaan mereka pencerobohan akan mengganggu roh nenek morang mereka

(iii)Peristiwa Penentangan
- Antanom menyatukan orang Murut menentang SBUB dmi menebus maruah mereka
- Februari 1915 Antanom menyerang Pensiangan dan membakar bangunan kerajaan
- Mac 1915 Antanom memimpin kira-kira 600 orang Murut menyerang Rundum dan berjaya memusnahkan pejabat pentadbiran SBUB
- kejayaan itu menaikkan semangat perjuangan orang Murut dan pengikut Antanom bertambah menjadi 900 orang
- Antanom membina kubu pertahanan di Sungai Selangit yang mengandungi 7 buah rumah bawah tanah
- April 1915 SBUB menghantar 400 orang tentera menyerang kubu Antanom
- pertempuran berlaku selama 6 minggu
- Antanom dan 400 orang Murut terkorban dalam mempertahankan Rundum
- penentangan ini dikenali sebagai ‘Kebangkitan Rundum’

(iv)Kesan Penentangan
- SBUB mengenakan tindakan tegas terhadap pengikut Antanom
- 8 orang kanan Antanom dibuang daerah ke Kudat
- pengikut-pengikut yang lain menjadi buruh paksa memasang kawat telegraf dari Kimanis hingga ke Keningau
- SBUB mengarahkan orang Murut bersumpah taat setia bagi mengelakkan kebangkitan seterusnya
- orang Murut berpindah ke pedalaman Kalimantan sebagai tanda protes terhadap SBUB

Shariff Usman

Shariff Usman adalah Sultan Marudu yang berperang dengan British dan James Brooke, Raja Sarawak pada tahun 1845. Beliau dianggap Ketua Lanun Paling Bahaya di Asia. Pihak British menganggap Shariff Usman sebagai ancaman kepada Kerajaan British dan Raja Brooke Sarawak.

Shariff Usman juga adalah tokoh kontroversi yang dianggap Pejuang Pertama di Sabah yang berani menentang dan mencabar pertuanan British di Sabah.Beliau adalah pemerintah Marudu di Utara Negeri Sabah. Isterinya yang pertama bernama Dayang Cahaya iaitu kerabat atau anak Sultan Sulu, seorang wanita cantik yang putih melepak. Orang-orang Marudu menggambarkan Dayang Cahaya sebagai berikut " apabila dia makan nasi, nasi akan nampak lalu masuk dalam kerongkongnya". Bayangkanlah putihnya Dayang Cahaya ini.

James Brooke sewaktu berperang dengan Shariff Usman pernah meminta Shariff Usman agar memperlihatkan wajah Dayang Cahaya sebagai syarat damai gencatan senjata. Shariff Usman enggan dan sebaliknya hanya memperlihatkan tangan Dayang Cahaya dari sebalik dinding istananya.

James Brooke sebenarnya mencari seorang wanita Inggeris iaitu adik ipar Gabenor General Syarikat Hindia Timur Inggeris ( SHTI ) di India yang didakwanya disembunyikan oleh Shariff Usman.

Pangeran Yusop ( bapa mertua Sultan Brunei ) di Kimanis adalah sahabat baik Shariff Usman dan terlibat sama menentang penjajahan British di negeri Sabah bersama-sama Shariff Usman.

 Shariff Usman dikatakan terbunuh di Kubu Marudu tetapi mayatnya gagal ditemui. Ada pendapat mengatakan beliau tidak terkorban sewaktu perang Marudu 1845 dan makam yang ada di Kubu Marudu adalah makam Shariff Merum, anak Shariff Usman. Laporan British hanya menyebutkan antara yang terbunuh di Kubu Marudu  ialah tiga orang keturunan Arab ( Syariff ) dan Syariff Usman hanya cedera. Pihak British mendakwa Shariff Usman akhirnya akan mati berdasarkan maklumat seorang perempuan yang  ditemui dalam keadaan lemah di Kubu Marudu. Perempuan itu mendakwa Shariff Usman cedera dan telah dibawa keluar dari kubu oleh pengikutnya.Hingga sekarang hanya ada tiga nisan lelaki dan satu nisan perempuan terpacak di Kubu Marudu.

Persoalannya? benarkah Shariff Usman terbunuh di Marudu? dan siapakah Dayang Cahaya? dan kenapa James Brooke beriya-iya ingin melihat wajah Dayang Cahaya ?

Sandokan pula adalah watak utama Novel Sandokan yang akhirnya difilemkan yang amat popular di Eropah khususnya di Itali, Jerman, Perancis dan negara-negara lain. Novel Sandokan ditulis oleh Salgari seorang penulis Itali pada tahun 1883-1884. Kisah Sandokan adalah berkisar kepada seorang hero yang akhirnya menjadi lanun kerana negerinya MALLUDU ( MARUDU ) telah dimusnahkan oleh Inggeris pada tahun 1845. Sandokan adalah anak kepada Sultan MALLUDER ( MALLUDU ).Sandokan juga dikenali sebagai The Tiger Of Malaya.

Sandokan mempunyai seorang sahabat karib yang sama-sama menentang Inggeris yang dianggap dalam novel ini sebagai penjajah dan watak jahat. Dalam novel ini, watak Raja James Brooke, Raja sarawak juga menjadi musuh utama Sandokan.

Sandokan mencintai seorang wanita Inggeris yang merupakan anak saudara kepada Raja James Brooke Sarawak. Banyak kisah-kisah pengembaraan Sandokan dan sahabatnya ke serata pelusuk dunia.

Persoalannya?, kenapa latar cerita kedua-duanya adalah merujuk kepada negeri yang sama iaitu MARUDU yang sekarang dikenali sebagai Kota Marudu. Jalan cerita, watak-watak, latar masa, latar tempat semuanya adalah sama atau hampir sama. Ini bererti Novel Sandokan adalah merujuk kepada watak Shariff Usman Marudu.

Justeru itu, kalau orang Eropah mendewa-dewakan dan mengagumi Sandokan, kenapa kita masih meminggirkan dan tidak mendaulatkan perjuangan Shariff Usman?. Shariff Usman masih dianggap lanun sehingga waris keturunannya pun menyembunyikan identiti diri.

 Ramai waris Shariff Usman di Kota Marudu, di Sugut, di Kudat, di Kinabatangan dan di serata negeri Sabah seakan melupakan perjuangan moyang mereka.

Ada juga pihak di negeri Sabah mendakwa bahawa Sandokan adalah moyang mereka dan mereka mengakui bahwa watak dan nama Sandokan sebagai wujud dan benar-benar ada. Sandokan dipercayai berasal dari Marudu dan berhijrah ke Melapi, Kinabatangan. Peliknya novel ini memasukkan nama Limau-limauan di Teluk Marudu dalam Novel Sandokan yang menjadi Pusat Pemerintahan Marudu selepas era Shariff Usman.

PANGLIMA ALLI

Panglima Alli atau nama sebenarnya Ali Imam Abbas Sani berbangsa Bajau subetnik Ubian dari Pulau Sulug, Jesselton yang turut terbunuh dalam tragedi hitam itu.

Panglima Alli dilahirkan pada 1884 adalah anak ketiga daripada 12 beradik serta dianugerahkan gelaran Panglima oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) kerana keberanian beliau menentang Kempeitai (perisik tentera Jepun)

PANGLIMA Alli berjuang menentang penjajah untuk memartabat maruah bangsa yang menjadi hamba di bumi sendiri, tetapi namanya tidak didendang seperti Datuk Paduka Mat Salleh, Ontoros Antanom dan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Kebakaran gudang getah di Pelabuhan Jesselton (kini Kota Kinabalu) pada 9 Oktober 1943 menjadi kemuncak kebencian Jepun terhadap pemimpin masyarakat Pulau Sulug itu dengan mendakwa ia angkara tokoh terbabit dan pengikutnya.

Panglima Alli adalah seorang daripada 324 rakyat tempatan Sabah yang dibunuh secara kejam oleh Jepun di Petagas, Kota Kinabalu pada 21 Januari 1944 dan pengorbanan mereka diabadikan melalui Tugu Peringatan Petagas.

Tentera Jepun bertindak balas dengan melancarkan operasi menjejak pejuang Bajau subetnik Ubian itu kerana tercabar dengan kebakaran gudang komoditi yang sangat penting ketika Perang Dunia Kedua pada 1941 hingga 1945.

Tuduhan tanpa bukti itu berikutan tentangan berterusan Panglima Alli atau nama sebenarnya Ali Imam Abbas Sani dan pengikutnya terhadap Jepun terutama di Pulau Sulug dan Pulau Gaya di perairan Jesselton, selain di bandar itu.

Panglima Alli dan pengikutnya tidak membiarkan penduduk Pulau Gaya dan Pulau Sulug menjadi korban kekejaman Jepun menyebabkan mereka enggan meninggalkan pulau itu, biarpun sedar Kempeitei (perisik tentera Jepun) akan bertindak balas.

Tokoh itu bersama dua orang kanannya dikenali Kasil dan Sandolan akhirnya berjaya ditawan yang berpunca kelemahan senjata iaitu parang sedangkan askar Nippon menggunakan senjata api jenis mesingan.

Panglima Alli dan pengikutnya dibunuh secara kejam di Petagas bersama anggota Gerila Kinabalu diketuai Albert Kwok yang terbabit dalam pemberontakan 10 Oktober 1943 atau `Double Ten' di Pantai Barat, Borneo Utara (kini Sabah).

 Mustapha bin Harun

Beliau dilahirkan pada 31 Julai 1918 di Kampung Tampakan, Kudat, Sabah. Beliau adalah anak ke-3 Datu Harun Datu Nasaruddin dan Norani Abdul Rahim. Bapanya bebangsa Suluk dan ibunya adalah Bajau Bannaran

Zaman penjajahan

Pada tahun 1928, ketika berusia 10 tahun, beliau bekerja sebagai pelayan rumah kepada Residen Kudat Syarikat Berpiagam Borneo Utara, E.W. Morrel. 6 tahun kemudian, beliau menjadi "Office Orderly" di Pejabat Daerah Kudat. Pada 1 Februari 1937, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri dan Pemungut Cukai Candu.

Beliau adalah pejuang pembebasan Borneo Utara ke atas Tentera Jepun. Sewaktu zaman akhir penjajahan Jepun Tun Mustapha telah bertindak menentang tentera Jepun dan pihak Jepun telah menawarkan ganjaran wang untuk menangkap Tun Mustapha.Sewaktu pemberontakan Albert Kwork, Albert Kwork telah mengajak Tun Mustapha untuk sama-sama menyerang Jesselton, tetapi beliau menasihatkan Alber Kwork bahawa belum tiba masanya untuk memberontak. Persediaan dan perancangan rapi adalah diperlukan. Albert Kwork telah bertindak sendirian. walau bagaimanapun orang-orang Tun Mustapha dari suku Bajau Bannaran dan Sulu dari Mantanani dan Inanam dibawah pimpinan Panglima Ali dan beberapa pemimpin Bajau Suluk yang lain telah sama-sama berjuang dengan Alber Kwork.

Pada tahun 1944, beliau telah belayar menggunakan kapal layar Bajau jenis kumpit ke Palawan (Filipina)bersama-sama sahabatnya Haji Jaafar dan seorang lagi untuk meminta bantuan tentera Amerika di Filipina. Sewaktu di Pulau Balambangan ( Banggi ) Tun Mustapha dan Haji Jaafar telah bertempur dengan lima orang tentera Jepun dengan bersenjatakan parang Barung( senjata pusaka dari Datu Paduka Mat Salleh )dan mereka berjaya membunuh kesemua tentera Jepun. Tun Mustapha telah memenggal kepala tentera Jepun yang dibunuhnya untuk dibawa menemui Jeneral Mac Arthur ( Ketua Tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Filipina)untuk mendapatkan bantuan senjata bagi menentang tentera Jepun di Sabah. Sewaktu Tun Mustapha di Filipina bapanya telah meninggal dunia dan adiknya pula Datu Muhammadun bersama-sama sahabatnya ( sepupunya ) Alibasa telah ditangkap oleh tentera Jepun di perairan Pulau Banggi sewaktu mengintip pergerakan tentera Jepun untuk memastikan pelayaran Tun Mustapha ke Palawan selamat. Pada waktu itu, pihak Jepun menyangka bahawa yang ditangkap itu adalah Datu Mustapha, tetapi mereka tidak tahu. (sumber lisan adik bongsu Tun). Datu muhamadun telah disiksa oleh tentera Jepun dengan diikat dipalang kayu.Dihiris-hiris badannya dan lukanya dibubuh garam. Beliau dijemur dipanas terik diberi minum air sabun dan dipukul perut dan badannya oleh tentera Jepun. Alibasa pula telah digantung di Karakit Pulau Banggi selama tiga hari tiga malam dalam keadaan kepala ke bawah dan kaki terikat di atas. Beliau juga disiksa dan dipukul oleh tentera Jepun. Selepas tiga hari Alibasa dan Datu Muhamadun telah dibawa belayar ke Kudat. Datu Muhamadun telah memberikan amanta akhir kepada Alibasa agar beliau mencari jalan untuk melarikan diri dan memberitahu Tun Mustapha mengenai penagkapannya dan beliau berpesan agar membela kematiannya nanti.

Ali basa telah berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut di perairan Pulau Balak-balak Banggi dalam keadaan kaki tangan terikat dan telanjang bulat.Menurut beliau sewaktu berada dalam air laut ikan yu hanya mengelilingi beliau dan beliau boleh bernafas dalam air.Air laut tidak mengenai hidungnya dalam jarak sejengkal. Beliau berjaya membuka ikatan di kaki dan tangannya dan berenang ke Pulau Balak-Balak Banggi. Sewaktu terjun ke dalam laut, beliau telah dihujani dengan peluru meriam dan senapang tentera Jepun namun tidak langsung mengenai tubuh badannya.Keberanian Datu Muhamadun dan Alibasa telah diabadikan dalam SYAIR PERANG SABIL dalam versi bahasa Suluk untuk menaikkan semangat jihad tentera gerila di Sabah.

Sewaktu Tun Mustapha telah kembali ke Sabah beliau amat marah dengan kematian adiknya. Tun Mustapha telah menubuhkan dan mengetuai tentera gerila bumiputera Sabah dengan berpangkat Kapten. Pasukan tentera gerila ini telah disertai oleh orang-orang bumiputera dari suku Suluk, Bajau Bannaran, Kagayan, orang sungai dan orang Brunai dari Kudat, Kota Marudu dan Pitas. Beliau bermula dengan pangkat prebet dan setelah itu dinaikkan pangkat ke Sarjan di dalam Bahagian Perkhidmatan Perisikan Rahsia. 5 April 1945, Tun Datu Mustapha dinaikkan pangkat Leftenan. Selepas itu, beliau menjawat jawatan Kapten gerila British di Borneo Utara di bawah pimpinan Kolonel R.G.P.N. Comber, Bekas Pegawai Daerah Kota Belud. Sewaktu melawan tentera Jepun, pasukan gerila Tun Mustapha telah terlibat dengan beberapa pertempuran di Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud dan Pulau Banggi. Sewaktu fasa akhir melawan tentera Jepun Tun Mustapha telah menempatkan semua keluarga dan sanak saudaranya yang ingin berpindah ke sebuah tempat persembunyian yang dikenali sebagai TAPOKAN di kawasan Telaga, Pitas.

Sekembalinya British dari Perang Dunia Kedua, beliau menyandang kerusi Ketua Anak Negeri Kelas 1 membawa gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK). Belaiu telah memperjuangkan kemerdekaan Sabah dan atas kepimpinannya sewaktu melawan tentera Jepun di Sabah beliau telah diberi mandat untuk memimpin Sabah bagi mencapai kemerdekaan. Setelah itu, tiba saat gilang-gemilang apabila Sabah merdeka dalam Malaysia, beliau dilantik sebagai Yang DiPertua Negeri Sabah.

Source : Tokoh Tokoh Pejuang Sabah


2 comments:

  1. Mencari asal usul sejarah kita, ibarat membuat 'piling' keatas tanah sebelum rumah atau bangunan dibina, agar asas rumah itu bertambah kukuh. Semakin dalam pencarian kita, semakin kuatlah asas bangsa kita,Borneohistory mengangkat semua suku kaum di sabah dari segi sejarahnya, kerana semua mempunyai sejarah sendiri yang mahu diceritakan, dan semua menyumbang kepada keamanan,kesatuan dan pembangunan bangsa dinegeri ini. Syabas Borneo history.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih.. kita semua rakyat Sabah dan bangsa Sabah.. semoga Sabah Maju Jaya... "Unity in Diversity"

      Delete