"Bila kamu sudah dapat meyakinkan orang yang boleh
berfikir bahawa sesuatu itu benar, dan orang yang berperi kemanusiaan bahawa
sesuatu itu adil, kamu telah mencapai tujuan perjuangan kamu. Orang selalu
kehilangan separuh daripada yang dicapai melalui kekerasan. Apa yang diperolehi
melalui berhujah adalah diperolehi buat selama-lamanya."
Wendell Philips
1811-1884 Pemidato dan Pejuangan Perubahan Amerika.
TIADA sesiapa yang meminta dilahirkan di zaman Ngayau atau
pemburu kepala, namun mereka yang ditakdirkan lahir pada zaman tersebut tidak
mempunyai pilihan melainkan mempertahankan kepala sendiri, anak isteri dan suku
sakat daripada menjadi habuan suku kaum atau kumpulan lain.
Zaman tersebut pada sekitar tahun 1846 sehingga 1914 tidak
memberikan ruang kepada sesiapa untuk memaafkan orang atau untuk mengasihani
puak lain, melainkan jika ingin kepalanya menjadi cenderamata kepada salah satu
kaum lain. Tidak ada siapa yang dapat melarang atau menghindarkan diri, sama
ada memangsakan orang atau dijadikan mangsa.
Hukum rimba yang diamalkan membolehkan siapa kuat dialah
berkuasa. Tiada belas ihsan, setiakawan atau peri kemanusiaan. Yang ada pada
masa itu ialah peluang untuk mempertahankan diri, menyelamatkan diri dan dalam
kesempatan yang terhad memancung kepala musuh sebagai lambang kekuatan atau
ketuanan.
Jika teragak-agak kepala sendiri yang akan dijadikan piala
keagungan sehingga menjadi hantaran perkahwinan atau maskahwin; tanpa kepala
atau tengkorak, ramai yang kempunan berbini kerana masyarakat ketika itu meletakkan
keberanian seorang lelaki kepada berapa banyak kepala yang telah dipenggal atau
dimilikinya.
Mantauv Bin Liyunan yang tinggal di ceruk pedalaman Sabah,
berdekatan Sungai Sumantakawan, Pensiangan, tidak dapat lari daripada hukum
rimba tersebut dan terpaksa melindungi seluruh keluarga di rumahnya daripada
diserang pemburu kepala yang ganas.
Namun pada suatu hari beliau terpaksa meninggalkan rumah
untuk melawat rumah saudaranya, Asoh, di Ulu Siatu yang dipisahkan oleh sebuah
bukit yang memakan masa setengah hari perjalanan.
Tinggallah isterinya, Kalamba; anak daranya, Linipong; anak
lelakinya Matta dan Anggail bersama beberapa orang penduduk di rumah besar
tersebut yang di dirikan berdekatan Kaabul-abul, anak sungai yang berpunca
daripada Sungai Sumantakawan.
Ketika Mantauv telah jauh meninggalkan Kaabul-abul, seorang
ketua kaum dari Kampung Sumanamun yang berdekatan Sungai Saliu yang bernama
Sinuhi sudah menghampiri Kaabul-abul bersama para pengikutnya untuk menyerang
rumah besar Mantauv.
Sinuhi dan pengikutnya terpaksa mendaki Bukit Kavaa yang
memisahkan Sungai Saliu dengan Sungai Tagol atau Tahol sebelum boleh ke Sungai
Sumantakawan. Setelah memerhatikan beberapa ketika, Sinuhi menjumpai denai yang
sering digunakan oleh Mantauv untuk memancing di Sungai Sumantakawan dan
menunggu seketika di sana kerana tidak mengetahui bahawa Mantauv telah lama
pergi ke Ulu Siatu atau 'akapalit' (berselisih).
Akhirnya setelah tidak melihat kelibat Mantauv, maka Sinuhi
membawa pengikutnya menyerang rumah besar di Kaabul-abul kerana yakin Mantauv
berehat di rumah. Namun agak hampa kerana tidak ada sesiapa di rumah ketika itu
melainkan Kalamba anak beranak. Penduduk lain telah ke hutan memburu atau
memancing ikan.
Kalamba terkejut oleh serangan secara tiba-tiba tersebut lalu
mengarahkan Linipong melarikan diri ke dalam hutan dan diekori oleh Kalamba
yang mendukung anak bongsunya, Anggail dan memimpin tangan Matta. Memandangkan
penyerang tersebut terlalu ramai sedangkan mangsa hanya empat, maka Kalamba
terkepung.
Sinuhi dan tiga pengikutnya mengejar Linipong yang berlari
sekuat hati, namun apalah daya seorang gadis sunti melangkah la-ju sedangkan
dia berhadapan dengan pemburu yang handal bertingkah di tanah bagai harimau
yang ganas. Akhirnya Linipong tumpas dan kepalanya dipancung dan diiringi
sorak-sorai para pengikut Sinuhi.
Hancur luluh hati Kalamba melihat anak daranya gugur di
hadapan mata, namun tidak berdaya berbuat apa-apa kerana nyawa kedua anak
kecilnya tergalas pada dirinya yang menghitung nasib yang belum tentu. Melihatkan
tubuh Linipong terkujur di atas tanah berlumurah darah dan kepalanya
dilambung-lambung di antara pengikut Sinuhi seperti membaling bola sepak raga,
Kalamba nekad untuk menyerah diri dan meminta lehernya turut dipancung.
Namun Sinuhi yang penuh muslihat merasakan tibalah masanya
menunjukkan kekuatan dan kekuasaan kepada Mantauv lalu merasakan kepala Kalamba
tidak bernilai kepadanya dan mengarahkan Kalamba lari.
"Bagus kau lari sekarang, nanti dia orang potong kepala
kau. Tapi anak kau dua-dua sekali saya mau ambil," jerkah Sinuhi kepada
Kalamba yang terketar-ketar ketakutan kerana tidak menyangka Sinuhi sanggup
memotong kepala Linipong sedangkan mereka mempunyai kaitan saudara.
"Kalau si Mantauv pulang, kasi tau sama dia. Ini
Sinuhi, ambil dia punya anak. Kalau dia mau anak dia selamat, cari dua
budak-budak laki-laki sebagai ganti. Saya tunggu selama empat hari. Kalau
Mantauv tidak bawa dua budak sebagai ganti, dua-dua anak dia saya kasi
mati," kata Sinuhi dengan angkuh kerana menyangka Mantauv tidak akan
berani menuntut anaknya, apatah lagi mahu mencari dua kanak-kanak lelaki
sebagai ganti.
Kalamba segera menyelinapkan diri ke dalam semak samun lalu
hilang di dalam hutan tebal. Para pengikut Sinuhi mengejar, namun Sinuhi
mengarah mereka berpatah balik kerana dapat menangkap dua anak lelaki Mantauv
sebagai cagaran.
Sinuhi yang menjinjing kepala Linipong berjalan megah
bersama pengikutnya kembali ke kampung mereka di Sumanamun bersama Matta dan
Anggail yang kadang kala terpaksa digendung oleh pengikut Sinuhi.
Ketika Mantauv tiba di rumahnya pada petang itu, dia
terkejut melihat isterinya menangis di anak tangga sementara penduduk rumah
besar itu cuba menenangkan Kalamba.
"Kenapa kau menangis? Apa sudah jadi?" tanya
Mantauv kehairanan.
"Anak kita!"
"Kenapa anak kita? Mana dia orang?"
Mantauv menerpa Kalamba yang masih menggeletar dan menangis
sekuat hati apabila melihat Mantauv menuju ke arahnya. Kalamba terjun dari
pelantar lalu memeluk Mantauv dan mengajaknya ke belukar kecil tidak jauh dari
rumah besar lalu tangannya menunjukkan ke arah sekujur tubuh yang tergeletak di
tanah berlumuran darah dalam keadaan separuh bogel kerana kakinya masih
terkial-kial ketika nyawa berpisah dari badan.
Lunturlah kasih seorang bapa melihat tubuh anak yang
ditimangnya selama ini tidak lagi bernyawa malah terbiar begitu sahaja sejak
tengah hari itu. Hatinya membara dan marahnya memuncak untuk menuntut bela di
atas kematian anaknya. Namun tiba-tiba dia tersedar dua anak lelakinya tidak
ada bersama Kalamba.
"Mana Matta sama Anggail," tanya Mantauv yang
mengetap bibirnya menahan kemarahan.
"Diambil orang," jawab Kalamba tergagap-gagap.
"Siapa orang itu?" bentak Mantauv sehingga
mengejutkan Kalamba.
"Katanya, nama dia Sinuhi. Dia kata kasi sampai pesan
sama kau, kalau berani Mantauv, Sinuhi janji kau cari dua budak laki-laki
sebagai ganti selama empat hari. Itu budak kau bawa bagi sama Sinuhi di
Sumanamun, baru dia kasi lepas Matta sama Anggail," tutur Kalamba dalam
nada tersangkut-sangkut dan teresak-esak.
"Kurang ajar, dia memang mau mati!," kata Mantauv
seraya melibaskan hayang (parang) ke arah sepohon pokok renek sehingga terputus
dua dan terpelanting jauh.
Mantauv segera menyempurnakan mayat Linipong dengan bantuan
penduduk rumah besar yang mempunyai banyak bilik tersebut. Malam itu Mantauv
tidak dapat tidur kerana memikirkan cara terbaik untuk membalas dendam dan
menghapuskan Sinuhi yang terkenal dengan kekejamannya dan mempunyai ilmu batin
yang tinggi. Mantauv mengarahkan penghuni memasang perangkap di sekeliling
rumah bagi mengelakkan serangan mengejut dan mempertahankan diri mereka tanpa
perlu mendedahkan diri.
Esoknya ketika embun masih basah, Mantauv telah meninggalkan
rumah besar tersebut setelah meninggalkan pesan agar semua penghuni jangan
meninggalkan rumah bagi mengelakkan serangan puak lain yang telah mengintai
rumah tersebut sejak Sinuhi meninggalkan kawasan itu.
Mantauv menyeberangi Sungai Tagol sekali lagi untuk sampai
ke Kampung Ulu Siatu bagi meminta bantuan daripada saudaranya, Asoh. Mantauv
yang ditemani Asoh kemudian ke Sinuloi untuk bertemu dengan saudara
terdekatnya, Lulumbis, Ansuli dan Kapio. Kesemua mereka menyatakan persediaan
untuk membantu Mantauv merancang serangan balas terhadap Sinuhi di Sumanamun.
Ketika dalam perjalanan pulang ke Kaabul-abul, mereka
singgah di rumah Kanawit lalu menculik dua orang anak lelaki Kanawit yang
sedang bermain di halaman rumah ketika ibu bapa mereka memburu dan mencari kayu
api di hutan. Mantauv terlalu berdendam dengan Kanawit kerana Kanawit selalu
mencuri dan merosakkan hasil tanaman Mantauv dan para pengikutnya, namun tidak
mempunyai peluang untuk memotong kepala Kanawit yang tidak pernah berpisah dari
kumpulannya.
"Kamu empat
orang pigilah (pergilah) hantar dua budak ini kepada Sinuhi, saya mau pulang
dulu buat persiapan," kata Mantauv kepada Asoh, Kapio, Ansuli dan
Lulumbis.
Sepanjang perjalanan mereka tidak menempuhi sebarang
rintangan walaupun terpaksa meredah hutan belantara dan mendaki Bukit Kavaa
sebelum sampai ke Sungai Saliu dan terus ke Kampung Sumanamun bersama dua orang
anak Kanawit yang tercungap-cungap melalui perjalanan sehari suntuk.
"Sinuhi! Sinuhi!, keluar kau!" teriak Kapio ketika
sampai ke anak tangga rumah yang didiami oleh Sinuhi dan para pengikutnya.
"Hui siapa kau?," bentak satu suara dari dalam
rumah tersebut sementara banyak mata terjojol keluar dan kepala
tercanguk-canguk dari celah beranda.
"Aku Kapio. Mantauv suruh ambil anak dia. Kau turun
ambil dua orang budak yang kau mintak ganti ini," jelas Kapio tanpa rasa
takut.
Sinuhi segera menampakkan diri di atas pelantar hadapan
rumah tersebut lalu tersengih dan mengurut dagunya yang ditumbuhi janggut yang
jarang-jarang. Sebentar kemudian dia masuk semula ke dalam rumah sehingga membuatkan
Kapio dan saudaranya agak gusar kerana bimbang Sinuhi akan melancarkan serangan
dari dalam rumahnya. Mereka berpandangan sesama sendiri. Namun tidak lama
selepas itu Sinuhi muncul semula bersama dua orang anak lelaki Mantauv.
"Nah! Bawa balik budak ini. Sampai pesan sama Mantauv
dia memang ikut dia punya janji. Belum empat hari dia sudah kasi tunai dia
punya janji," kata Sinuhi seraya mengambil dua orang anak Kanawit yang
diserahkan Kapio sebagai pertukaran dengan dua orang anak Mantauv.
Lulumbis segera mendukung Anggail, manakala Kapio menjulang
Matta di atas bahunya agar mereka segera sampai ke Sumantakawan sebelum hari
malam kerana kalau bermalam di hutan keselamatan mereka akan terancam oleh
binatang buas dan kemungkinan menjadi habuan puak lain yang sentiasa mengintip
untuk melakukan serangan hendap terhadap mereka.
"Nah ini anak kau! Sinuhi puji sama kau," kata
Kapio yang tiba dahulu ketika Mantauv sedang mengasah lembing dan hayangnya.
"Baiklah dulu, kasi hilang penat.." pelawa Mantauv
kepada Kapio dan saudaranya yang lain dengan nada yang gembira seolah-olah
tidak mendengar pujian Sinuhi terhadapnya kerana melihat kedua-dua anaknya
selamat, lalu segera memeluk erat kedua anak yang amat dirinduinya sejak
beberapa hari lalu.
Selepas menikmati makan malam, Mantauv berdiri lalu menuju
ke biliknya yang diperbuat daripada buluh yang dianyam dan diselit dengan kulit
kayu. Seketika kemudian dia kembali bersama hayangnya lalu melabuhkan punggung
ke lantai buluh dan menyandarkan tubuhnya ke tiang tengah rumah.
"Kamu beranikah ikut sama saya?," tanya Mantauv
secara tiba-tiba ketika sedang menggulung kirai (rokok daun).
Semua berpandangan antara satu sama lain. Penghuni rumah
besar itu kebingungan kerana mendengar suara Mantauv yang gementar menahan
marah dan giginya yang menyeringai serta matanya yang terbuntang
kemerah-merahan.
"Kamu setujukah ikut saya punya cadangan?," tanya
Mantauv sekali lagi kepada keempat saudaranya yang kelihatan letih menempuhi
perjalanan pergi balik ke Sumanamun.
"Apa itu?" soal Kapio sepontan.
"Selepas empat hari kamu semua datang balik pigi
(pergi) sini. Kita pigi serang sama Sinuhi. Saya tidak puas hati sebab anak
perempuan saya dia kasi mati," kata Mantauv melepaskan geram dan dendam
yang terbuku di hatinya.
"Baiklah, kami ikut. Kami anak lelaki bah ini?"
kata Kapio dan saudaranya yang lain serentak.
Malam itu Mantauv, saudara dan penghuni rumah besar itu
tidur nyenyak setelah memasang bambu runcing dan perangkap di sekeliling rumah.
Ketika tengah malam rumah besar tersebut riuh seketika
kerana perangkap mereka bingkas namun segera menyambung tidur semula apabila
diberitahu oleh pengawal jerat mereka terkena ki-jang.
"Jangan lupa, empat hari dari sekarang kamu mesti
datang balik. Saya mau cari mimpi bagus-bagus dulu," pesan Mantauv sekali
lagi ketika menghantar kesemua saudaranya ke tepi belukar sebelum mereka
bersalaman dan menuju kampung masing-masing.
Empat hari berlalu begitu singkat. Dalam tempoh empat hari
tersebut Mantauv membersihkan rentaka (meriam kecil berupa senapang) yang
diwarisi daripada ayahnya dan memperkuatkan pertahanan dan keselamatan rumah
besar itu agar selamat jika ditinggalkan.
Akhirnya tiba hari yang ditunggu-tunggu, Kapio, Lulumbis,
Ansuli dan Asoh tiba hampir serentak ketika matahari sudah condong ke barat.
Selepas makan malam kelima mereka turun ke halaman rumah yang dibasahi cahaya
lampu jamung setelah Mantauv menceritakan mendapat mimpi baik dua malam lalu.
Mantauv segera mengambil seekor ayam putih yang dikurung di
dalam serkap buluh di bawah rumah. Mantauv segera menyembelih ayam
tersebut, darahnya di tadah di dalam
mangkuk. Tangkal yang diikat pada badan masing-masing dibuka lalu direndamkan
ke dalam darah ayam berkenaan selepas itu masing-masing merenjis tubuh mereka
dengan darah ayam dari mangkuk tanah liat berwarna putih. Apabila darah ayam
tersebut mengering ditubuh mereka barulah mereka tidur setelah bersetuju dengan
rancangan yang diatur oleh Mantauv.
Esoknya, ketika ayam jantan Mantauv berkokok, kelima-lima
mereka telah meninggalkan rumah tanpa mandi kerana tidak ingin darah ayam
ditubuh mereka terhakis oleh bilasan air. Sepanjang perjalanan Mantauv dan
saudaranya begitu berhati-hati kerana maut ada di mana-mana.
"Peng?Pengg?twit!witt!"
Mantauv tiba-tiba tersenyum apabila terdengar bunyi burung
Mengapi(tempua) seakan memberi alamat baik.
'Perburuan'mereka pasti akan berhasil kerana tempua itu
merestui perjalanan mereka untuk mengayau. Mantauv sebagai se-orang pemburu
yang gagah sering menjadikan amaran dari bu-rung tersebut sebagai panduan.
Bahaya akan menimpa jika burung tersebut berbunyi 'Twitt!twit!twit'.
"Tirrr! Tirrr!Tirrr!"
Sekali lagi Mantauv melebarkan senyuman dan semakin
bersemangat kerana burung 'Lalantir' memberi alamat baik yang mereka akan
selamat dalam pertempuran yang bakal mereka hadapi dan tidak akan mengalami
sebarang kecederaan.
Menurut kepercayaan Mantauv jika burung itu hanya berbunyi
sekali sahaja, bermakna salah seorang atau kesemua mereka akan mengalami luka
parah.
Mereka sampai di satu kawasan berdekatan tebasan (huma)
ketika embun kering dari rumput dan belum ada kelihatan walau sekelibat
manusia.
Kapio menukar rancangan yang diatur oleh Mantauv kerana
bimbang Mantauv tidak dapat menahan sabar dan menjadi mangsa kegopohannya,
apatah lagi terpaksa berdepan dengan Sinuhi dan pengikutnya yang terkenal
dengan kekejaman dan ganas.
"Kau jalan belakang sekali," kata Kapio kepada
Mantauv.
Walaupun agak kecewa, namun Mantauv akur kerana tidak ingin
rancangan mereka gagal, apatah lagi menyedari dirinya tidak dapat menahan marah
apabila mengenangkan perbuatan Sinuhi terhadap Linipong. Jika tersilap langkah
kesemua mereka akan menjadi mangsa ngayau Sinuhi dan pengikutnya.
Mantauv merancang untuk melakukan serang hendap terhadap
Sinuhi ketika Sinuhi dalam perjalanan ke tebasan bergotong royong bersama
pengikutnya. Pada mulanya Mantauv akan me-nanti Sinuhi di hadapan sekali, namun
Kapio mengubah rancangan dengan meletakkan Mantauv sebagai orang terakhir yang
akan berhadapan dengan Sinuhi jika mereka ditewaskan oleh kehandalan Sinuhi.
Asoh dan Ansuli ditukarkan ke posisi hadapan sekali
bersem-bunyi di dalam hutan berdekatan dengan denai tempat laluan Sinuhi dan
bersedia bertindak jika Sinuhi berundur. Manakala Lulumbis yang bersenjatakan
lembing dan hayang berada di posisi berdekatan Kapio yang bersembunyi di
belakang rumpun tuhau (tepus) yang rendang bersama rentaka.
Sementara itu, Sinuhi merasa tidak sabar menebas belukar
untuk membuat huma telah bersiap lebih awal sebelum pengikutnya bersarapan. Dia
mengambil lembing dan parang lalu menuruni tangga menuju ke denai untuk ke
tebasan bersendirian.
"Jangan jalan dulu, nanti si Mantauv ipa (sekat) kau di
sana. Kami belum sedia lagi, tunggulah dulu, kami habis sarapan dulu,"
laung seorang pengikutnya.
"Ahh!.. Dia orang datangpun dia orang tidak boleh lawan
saya sebab saya paling handal. Kalau dia orang datang juga, anjing saya saja
makan mayat dia orang, Haa?Haaa?Hoi cepatlah sikit," jawab Sinuhi penuh
kesombongan lalu menghayun langkah gagah menuju ke tebasan yang terletak sepelaung
dari rumahnya.
Sinuhi bersiul anak sambil menghayun parang candungnya ke
kiri ke kanan mencantas lahunai yang merintangi denai. Dia tidak perasan dua
pasang mata sedang mengekori pergerakannya. Tiba-tiba Sinuhi mendengus kerana
sepohon tuhau menghalang perjalanannya.
"Apa ini bikin semak jalan saja," kata Sinuhi lalu
mencantas pohon tuhau tersebut yang telah direbahkan dengan sengaja oleh
Lulumbis sebagai strategi untuk melekakan Sinuhi.
Sepantas kilat Kapio sudah terjojol di hadapan mata Sinuhi
lalu melepaskan tembakan tepat ke dada kiri Sinuhi yang segera rebah lalu
Lulumbis dengan hayang terhunus di tangan segera memancung kepala Sinuhi dan
terus dimasukkan ke dalam barait (bakul rotan).
Hayang Lulumbis boleh mencantas leher sesiapa sahaja termasuk
Sinuhi yang kononnya kebal kerana sarungnya diikatkan akar kayu ajaib bersama
rambut manusia yang boleh mengenyahkan ilmu kebal apatah lagi telah disapu
dengan minyak babi.
Hayang tersebut selalu diperasap kemenyan dan dilangir
dengan limau kasturi agar dijaga oleh makhluk halus dan hayang tersebut tidak
sekali-kali meminum darah tuannya. Hulu hayang daripada tanduk atau tulang rusa
diukir seperti kepala burung 'ampalid buhang' (belatuk jambul) dan dijuntaikan rambut manusia.
Manakala rentaka Kapio turut dijampi oleh Mantauv agar dapat
menumbangkan tubuh Sinuhi yang gagah bagi memudahkan Lulumbis memancung leher
Sinuhi dengan hayangnya. Sekalipun tubuh Sinuhi yang kebal tidak lut oleh
rentaka, namun bunyi rentaka dan ledakan rentaka tersebut boleh membuatkan
Sinuhi tergamam atau tangkal kebal yang diikat di lengan kiri putus, maka
lembing sesiapa sahaja boleh menembusi tubuh Sinuhi dengan syarat lembing itu
dicucuk ke tanah sebanyak empat kali.
"Sekarang kami sudah sedang hati, Sinuhi sudah
mati," teriak Mantauv yang entahkan didengar atau tidak oleh penghuni
rumah di lereng bukit itu yang mungkin lari bertempiaran apabila terdengar
bunyi rentaka yang menumbangkan Sinuhi.
Memandangkan tidak ada jawapan, Mantauv mengajak saudaranya
pulang dan menghalang mereka menyerbu
rumah Sinuhi kerana sudah puas hati musuhnya sudah mati dan dendamnya berbalas.
Sesampainya mereka berdekatan rumah Mantauv di Sumantakawan,
Mantauv memberi isyarat mereka berhasil membawa balik kepala Sinuhi.
"Hiii!Tinontov kanu anak ri Liyunan (Hiii! kepala kau
sudah kena potong oleh anak Si Liyunan)," tempik Mantauv sambil
mengeluarkan kepala Sinuhi daripada barait.
Kepala yang berlumuran darah tersebut dijinjing di tangan
kirinya, manakala tangan kanannya memegang hayang Lulumbis yang digunakan untuk
memotong kepala Sinuhi sambil kakinya berjengket-jengket bagai pahlawan Murut
sedang menari bersama pedangnya.
Kesemua penghuni rumah besar keluar ke halaman lalu
menyahut, Hii! Tinontov kanu anak ri Liyunan!
Mantauv mengarahkan pengikutnya menangkap empat ekor anak
babi yang badannya sepanjang empat jengkal lalu disembelih. Mantauv mengambil
dua kuali besar, satu daripadanya untuk merebus anak babi berkenaan dan satu
lagi untuk merebus kepala Sinuhi yang turut dicampur perut dan organ dalam
babi.
Sementara menunggu makanan tersebut masak, Mantauv
mengadakan upacara Angkukui (memuja semangat atau roh) sebagai satu kemestian
kepada mereka yang pulang dari perang atau ngayau di atas rumahnya.
"Huiuuiii!" teriak Mantauv sambil menari diiringi
oleh Lulumbis, Kapio, Ansuli dan Asoh serta beberapa lelaki lain.
"Hoooiii!" balas Kalamba dan beberapa wanita lain
yang turut menari di tengah ruang tamu.
"Huu!Kuiinonga balos mu no Amsari Kuu.. Kui"
teriak Mantauv berselang seli dengan saudaranya yang lain diulang-ulang
sebanyak empat kali sebelum mereka berkumpul semula di ruang tamu untuk
menikmati jamuan.
Mantauv mengangkat kepala Sinuhi lalu disiat-siat daging di
kepala tersebut kepada 35 ketul.
"Nah, kamu ambil tujuh keping satu orang, siapa tidak
makan dia itu penakut," pelawa Mantauv kepada saudaranya yang terlibat
dalam gerakan membunuh Sinuhi.
Kesemua mereka makan daging dari kepala Sinuhi kerana
menjangkakan ngayau akan berpanjangan dan percaya dengan memakan daging kepala
Sinuhi, mereka akan bertambah berani untuk melindungi keluarga dan pengikut
mereka daripada kaum lain yang mengintai peluang untuk mengayau mereka.
Pesta malam itu sungguh meriah sehingga mereka tidur lena
kerana kekenyangan dan puas hati kerana musuh utama mereka sudah mati.
Sebelum bersurai keesokan harinya, Mantauv dan saudaranya
bersepakat untuk membelah tengkorak Sinuhi tersebut kepada empat bahagian
seperti membelah tembikai sebagai tanda mata.
Lulumbis mendapat bahagian atas belakang tengkorak. Kapio mengambil
bahagian bawah belakang kepala, Asoh mengambil bahagian dagu ke atas dan
Mantauv mengambil bahagian atas hidung hingga ke tengkorak hadapan. Manakala
Ansuli tidak mahu kerana tinggal serumah dengan Lulumbis.
Mantauv meminta Kalamba menganyam uncang rotan atau barait
untuk memasukkan tengkorak Sinuhi. Setelah siap Mantauv menggantungkan uncang
yang diisi tengkorak Sinuhi di kasau (gelagar atas) berdekatan tiang seri. Daun
silar atau sinilaran turut digantung bersama agar roh jahat Sinuhi tidak berkeliaran.
Pada suatu hari ketika Kalamba duduk bersembang dengan
penghuni rumah di saloh (ruang tamu) tiba-tiba belakangnya diludah. Kalamba
terkejut lalu memanggil Mantauv.
Mantauv agak kehairanan kerana tidak ada sesiapa pernah
meludah orang lain di rumah tersebut yang telah dipaksikan adab sopan, lalu
bertanya ada sesiapa yang meludah isterinya. Tetapi tidak ada sesiapapun yang
mengaku.
Tiba-tiba sekali lagi Kalamba diludah, tepat di dahi.
"Haa! Haaa!" gelak tawa Mantauv menjengkelkan
Kalamba kerana menyangkakan suaminya mentertawakannya sedangkan Mantauv melihat
dengan mata kepalanya ludah tersebut datangnya daripada tengkorak Sinuhi yang
tergantung di perabung rumah.
Mantauv segera ke dapur lalu membuka tempayan tempat dia
menyimpan daging babi yang baru diburunya petang tadi. Mantauv mengambil buluh
yang telah diraut tajam lalu mencucukkan tujuh keping daging yang dihiris halus
seperti membuat satey.
"Dia mau makan bah!" kata Mantauv selamba selepas
memanjat tiang seri untuk menyelitkan daging tersebut di uncang rotan tengkorak
Sinuhi.
"Kami makan tujuh keping daging dia, dia minta ganti
tujuh keping juga, kalau tidak dia mesti berludah. Kempunan bah itu.
Haaa!Haaa!" kata Mantauv lagi sebagai mengingatkan kaum kerabatnya.
Sejak daripada hari itu penghuni rumah berkenaan telah biasa
dengan tengkorak tersebut yang sering berludah ketika hujan gerimis atau ada
pesta di rumah berkenaan. Selepas diberi makan, akan kedengaran seperti orang
bersiul seolah-olah suara siulan Sinuhi seperti yang pernah didengar oleh
Mantauv ketika melakukan serang hendap terhadap Sinuhi dahulu.
"Kalau ini tengkorak lengkap tidak dibelah empat,
mungkin pandai berjalan," seloroh Mantauv lalu disambut gelak ketawa suku
sakatnya.
Belum sempat Kanawit melakukan serang balas terhadap
Mantauv, British menakluki Sabah dan telah mengharamkan ngayau, sementelahan
pula kedua-dua anaknya yang menjadi tebusan Sinuhi dikembalikan kerana Sinuhi
telah dibunuh dan salah seorang pengikut Sinuhi adik kepada Kanawit.
Manakala Mantauv pula sempat mengumpul beberapa koleksi
tengkorak terutama para pengikut Sinuhi yang cuba menyerang rumahnya yang
dikelilingi perangkap dan buluh runcing.
Selang beberapa tahun kemudian Mantauv mati kerana sakit
tua. Adalah menjadi kebiasaan kaum Murut akan berpindah ke rumah baru sebaik
sahaja ketua rumah mati tambahan pula ru-mah tersebut sudah terlalu uzur lalu
anak-anaknya Matta, Anggail dan saudara maranya berpakat untuk mendirikan rumah
baru berdekatan rumah lama tersebut.
Bagi mengenang jasa bapanya menggadai nyawa untuk
menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa Sinuhi, Anggail dan abangnya
Matta telah memindahkan tengkorak Sinuhi ke rumah baru yang dibuat dengan
gotong-royong mengikut reka bentuk rumah asal.
Namun agak ganjil hanya tengkorak Sinuhi yang menjadi
baha-gian Mantauv sahaja yang pandai berludah dan bersiul seolah-olah hidup,
manakala tiga bahagian tengkorak Sinuhi yang diberikan kepada tiga saudaranya
yang lain tidak boleh berbuat apa-apa seperti tengkorak lain.
Pada suatu hari, Radiah Bte Lumiri, isteri kepada salah seorang
cucu Mantauv terkejut kerana turut diludah ketika duduk bersantai bersama
kawan-kawan di saloh (ruang tamu). Sering kali air liur dari tengkorak tersebut
terkena bahagian belakangnya atau kakinya, namun segera dilap.
"Tidak bau, macam air biasa saja. Tidak tau macam mana
dia boleh ludah, bukan ada mulut, lagipun dalam barait," akui Radiah yang
takjub dengan kebolehan tengkorak tersebut meludah dan bersiul.
Tengkorak tersebut tidak memilih sesiapa kerana hampir semua
penghuni atau tetamu yang datang mengunjungi rumah tersebut akan terkena ludah
walaupun bersembunyi di belakang pintu.
"Tapi saya sudah tidak pernah pulang lagi sejak tahun
1972. Saudara saya bilang masih kuat ludah," kata Radiah yang kini sudah
berusia 78 tahun dan menetap di Kampung Ranau-Ranau (Murni) Nabawan.
Manakala bagi Wakil Ketua Anak Negeri Nabawan, KK Angkaus
Bin Ansawang, 63, salah seorang cucu Mantauv, tengkorak Sinuhi mempunyai
sejarah tersendiri bagi keturunan Mantauv dan suku sakatnya kerana jika Sinuhi
tidak dibunuh, mungkin seluruh isi rumah Mantauv akan menjadi mangsa serangan
balas Sinuhi yang suka membuat honar.
"Jaga tengkorak baik-baik, jangan kasi cerai sama kau.
Pelihara betul-betul, Itu kau punya warisan," pesan Anggail kepada Angkaus
Ansawang, anak saudara yang terlalu manja dengannya.
Setelah diceritakan bahawa tengkorak Sinuhi tersebut adalah
penebus maruah Anggail, Matta dan lambang penyelamat Linipong, barulah Angkaus
menyedari betapa tingginya nilai tengko-rak tersebut kepada keturunannya.
Anggail telah meninggal dunia pada 28 Mac 1984 kerana sakit
tua setelah kebanyakan usia mudanya bertungkus lumus menen-tang Inggeris di
zaman kolonial bersama Ontoros dan pahlawan Murut yang lain.
Angkaus yang dipelihara oleh bapa saudaranya, Anggail
selepas kematian bapanya, sedar bahawa tengkorak tersebut memberi erti
kehidupan yang sebenar kepada generasinya dan akan datang kerana menjadi
lambang keberanian dan harga diri bahawa hutang darah dibayar darah dan hutang
nyawa dibayar nyawa ketika undang-undang negara belum digubal dan manusia
melaksanakan hukum rimba.
Namun Angkaus agak kesal kerana tidak membawa bersamanya
tengkorak tersebut yang masih tergantung di tengah rumah di Kampung
Sumantakawan yang masih dijaga oleh suku sakatnya. Kini beliau terpaksa
menempuh perjalanan darat selama tujuh jam melalui Salong atau Pegalongan atau
mengikut bot yang memakan masa dua hingga tiga jam jika sungai banjir atau enam
jam jika air sungai cetek kerana banyak jeram semata-mata untuk melawat
tengkorak tersebut.
"Tengkorak ini mengingatkan saya betapa runcingnya
nyawa manusia di zaman itu. Kalau bukan kerana tengkorak ini, bapa saya (bapa
angkatnya) Anggail tidak ada," ujar KK Angkaus yang menyedari walaupun
bukan datuknya yang memancung Sinuhi, namun perancangan dan keberanian Mantauv telah
menebus maruah keturunannya daripada dihina oleh suku sakat Sinuhi yang
sehingga kini masih tinggal di kawasan Pensiangan.
Salah seorang anak Anggail, Kumalu, 61, mengadaptasikan
peristiwa ngayau di dalam persembahan kebudayaan sehingga ke luar negara iaitu
di Hawaii dan Indonesia. Kumalu mengetuai sebuah kumpulan yang membuat
persembahan di acara rasmi kerajaan yang ditaja sepenuhnya oleh Kementerian
Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah.
Kumalu menjadikan 'Angkukui' sebagai intipati persembahannya
kerana ingin menghargai perjuangan nenek moyangnya ketika zaman ngayau dan
sebagai mengenang jasa datuknya, Mantauv menyelamatkan ayahnya, Anggail
daripada mangsa penculikan Sinuhi.
Anggail turut mewariskan sebilah hayang yang digunakan untuk
membelah empat tengkorak Sinuhi kepada Kumalu yang kini digunakan untuk upacara
'Angkukui' di dalam persembahan kebudayaannya.
"Ngayau bukan budaya kami. Kami tidak ada pilihan, sama
ada membunuh atau dibunuh. Inilah peringatan paling berharga buat kami kerana
kalau tidak ngayau, mana ada lagi keturunan kami. Saya pun tidak ada,"
ujar Kumalu secara jujur yang menerangkan masyarakat Murut kini adalah
masyarakat yang berbudaya dan berpekerti tinggi.
Kisah ini diriwayatkan oleh KK Angkaus Bin Ansawang, 63,
yang berasal dari Kampung Sumantakawan dan kini bertugas sebagai Wakil Ketua
Anak Negeri di Nabawan. KK Angkaus menetap di Kampung Bahagia II, Nabawan sejak
tahun 1970. Cerita ini diwarisi daripada bapa saudaranya, Anggail yang mewarisi
cerita tersebut daripada Mantauv.
Sumber : anakansabah.blogspot.my
No comments:
Post a Comment