Saturday, 14 May 2016

Asal Usul Haji Saman Perang Membakut 1846

PEJUANG, PAHLAWAN DAN WIRA KAMPUNG SABA YANG AGUNG HAJI SAMAN BIN PENGARAH SAAT@ TENGKU SAAT, YANG DILUPAKAN

3 June 2010 at 22:06

Hasil Tulisan Oleh : Pengiran Haji Badaruddin bin Pengiran Haji Damit








MUKADIMAH

Bagi menyampaikan maksud dan hasrat yang tersirat di dalam hati mereka, orang tua-tua di zaman dulu selalu mengambil kesempatan masa yang terluang, dengan rendah hati, kadang-kadang dengan sedih lagi sayu tetapi penuh semangat seperti pejuang lakunya, di setiap kali masa yang lapang itu mereka akan menggunakan masa itu bercerita kepada anak-anak, cucu-cucu dan saudara-saudaranya terdekat dan yang rapat hubungan kekeluargaan dengan mereka, mengenai kegemilangan, keperkasaan yang luar biasa bagaimana datuk nenek mereka sanggup berkorban apa saja dengan tidak mengenal takut dan gentar serta tidak sekali-kali memikirkan kesusahan dan akibat yang akan berlaku dan yang akan menimpa kepada diri dan keluarga mereka, mereka sanggup ke hadapan menjadi galang ganti bagi mempertahankan hak dan maruah diri, keluarga, raja, agama, bangsa dan negara yang dicintai dari dijajah atau dari dikuasai atau dari dirampas oleh orang asing, yang pada anggapan mereka tidak sepatutnya berlaku dan tidak sepatutnya dibiarkan berlaku, bertindak melawan atau terpaksa bangkit mempertahankan raja, negara, diri secara agresif dengan penampilan diri bersama keluarga-keluarga dan sanak saudara yang lain demi bangkit melawan atas nama mempertahankan hak dari dirampas oleh orang-orang asing itu, kerana mereka, orang-orang tua, datuk nenek kita itu pun tahu bahawa mempertahankan hak itu adalah wajib, wajib yang mutlak, kewajipannya tidak boleh ditawar dan tidak ada tawar-menawar lagi.

Kata orang tua-tua putus makrifat, hitam atau putih, menang atau kalah, susah atau senang tidak lagi diambil kira, kerana perjuangan itu bukan berharap pujian, bukan berharap sanjungan, bukan berharap pangkat dan tidak berharap balasan dan tidak berharap gelaran dan tidak berharap apa-apa melainkan membela dan mempertahankan hak, kata orang tua-tua berjuang itu bukan hanya di mulut, keberanian seseorang itu bukan hanya pada kata-kata, bukan hanya cakap-cakap, bukan hanya berani di mulut, tetapi di dalam hati belum mendapat ujian, orang-orang yang berani itu hanya akan terbukti di dalam berjuang. Kata-kata hikmat inilah selalu didengar dari mulut orang tua-tua kita bila ia bercerita sejarah kegemilangan datuk nenek mereka.

Di dalam kewajipan mempertahankan hak, orang tua-tua pun pernah berpesan bahawa wajib mempertahankan diri, wajib mempertahankan nyawa, wajib mempertahankan keluarga, wajib mempertahankan anak isteri, harta benda, wajib mempertahankan maruah, wajib mempertahankan raja, agama, bangsa dan negara. Jika terkorban atau mati di dalam mempertahankan hak itu. Di dalam Islam adalah digolongkan kematian itu sebagai mati syahid. Biasanya siapa jua yang hendak mempertahankan haknya itu jika ia tidak kukuh, dipandang tidak berkebolehan atau dipandang tidak berkemampuan untuk membela diri, lalu mereka selalu diremeh-temehkan kewibawaannya, dipuncang-puncangkan dengan diberi tekanan atau ditekan, tidak dihargai, dihinakan dengan berbagai cara.

Walaupun jasanya tidak ada pada orang lain sebesar apa pun, supaya mereka yang mempertahankan diri itu tidak akan bertindak, lalu dengan apa cara sama ada cara halal atau sebaliknya ia akan dijatuhkan, sekalipun ia berhak dan mempunyai hak untuk membela dirinya, tetapi peluang atau kesempatan membela diri itu biasanya memang susah didapati kalau tidak ada kekuatan. Menurut orang-orang tua kerana itulah mereka di zamannya sudah menjadi kewajipan mereka mempunyai kekuatan anggota tubuh badan, hanya dengan kelebihan adanya kekuatan lahir dan batin boleh bertahan dan boleh melawan musuh kerana musuh itu pun mempunyai kekuatan yang belum kita ketahui, inilah juga yang menyebabkan orang tua-tua dahulu berguru, belajar ilmu kependekaran, bertarak di wasai-wasai untuk mendapat kuat, kebal, penimbul dan belajar ilmu kebatinan secukupnya. Apalagi zaman itu zaman perkelahian, tumbuk dulu baru bertanya sehingga akhirnya yang ditumbuk itu diketahui rupanya keluarga sendiri dan bersaudara.

Demikianlah halnya pejuang-pejuang, pahlawan-pahlawan dan wira-wira Kampong Saba pada masa itu selalu ditekan dan mendapat tekanan dari kuasa besar Inggeris apabila mereka hendak menjajah Brunei, selalunya inilah mukadimah awal apabila orang tua-tua memulakan cerita lisan mereka, boleh jadi mukadimah mereka itu sebagai ingatan terus terang mereka supaya anak-anak, cucu-cucu dan keluarga mereka yang mendengar cerita itu jangan melupakan perjuangan datuk nenek mereka yang suci murni itu yang tidak dapat dikira lagi dahsyat dan hebatnya perjuangan mereka itu.

Cerita lisan itu adalah satu bidang yang sangat berperanan besar melahirkan cerita yang tersimpan di dalam ingatan orang tua-tua kita, apalagi kalau cerita sejarah yang disampaikan melalui lisan itu diceritakan sambung-bersambung, dari zaman bermulanya kejadian itu diceritakan kepada anak cucu, cicit dan hingga kepada generasi di zaman ini.

Maka sudah tentu cerita yang diceritakan itu masih hangat dan kehangatannya dirasakan oleh generasi yang akhir yang ada pada masa ini, yang menyebabkan cerita itu sebagai cerita realiti, kerana ia diceritakan melalui lisan tidak putus-putus diceritakan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Apalagi kalau fakta cerita itu tidak berubah walaupun penyampaiannya dilakukan di dalam berbagai cara. Cerita lisan itu akan lebih mantap lagi jika penerima cerita itu dari waris cerita yang diceritakan.

Begitulah dengan sejarah lisan, fakta, realitinya akan tetap dapat dipelihara dari ditokok tambah atau dari perkara yang tidak ada diadakan menjadikan sejarah yang diceritakan melalui lisan itu benar-benar berlaku.

Biasanya cerita sejarah melalui lisan itu akan lebih indah lagi jika ada pihak ketiga iaitu cerita itu diceritakan oleh orang lain dari keluarga yang empunya cerita seperti datuk nenek orang ketiga itu ikut bercerita kepada anak, cucu cicit atau keluarganya, bagaimana datuk nenek mereka juga ikut menyertai di dalam peperangan mempertahankan kedaulatan raja, agama, bangsa dan Negara Brunei Darussalam pada masa itu, lebih elok dan cantik lagi kalau ada pengkaji-pengkaji sejarah secara jujur menemui fakta yang sama seperti yang diceritakan oleh banyak pihak terhadap cerita yang diceritakan melalui lisan itu. Bukan hanya cerita yang dikutip daripada orang yang tidak diketahui sumbernya apalagi yang tidak jelas kebenarannya.

Kita tidak salah meragui sejarah perjuangan datuk nenek kita itu diceritakan oleh golongan yang ditentang oleh datuk nenek kita, kerana sudah tentu pihak penjajah yang ditentang oleh datuk nenek kita dalam mempertahankan ketuanan kita akan menyalahkan perjuangan datuk nenek kita dalam banyak perkara, kerana memang di dunia ini dalam apa jua keadaan, biasa penyerang atau orang yang hendak merampas hak orang lain, mereka akan mendakwa mereka adalah benar, dalam pada itu mereka akan memburuk-burukkan pejuang-pejuang, pahlawan-pahlawan dan wira yang mempertahankan hak mereka itu dengan beberapa cara termasuk membuat cerita yang bertentangan dengan fakta, yakni cerita yang sebenar berlaku yang patut diceritakan tidak diceritakan, sebagai misalan, pembunuh pun ia tidak akan mengaku ia membunuh.

Walaupun ia sebenarnya yang membunuh kata orang tua-tua orang yang zalim pun ia tidak mengaku ia zalim, walaupun ia sebenarnya zalim, tidak berlaku adil itu adalah zalim dan pengertian adil itu biasanya boleh disalahertikan sebagai alasan tidak disebut zalim atau tidak adil, bagi yang merasa ia dibuat tidak adil maka ia akan menganggap ianya dizalimi hingga ada yang berdoa: "Ya Allah tolonglah aku ke atas orang yang menzalimi aku," gambaran orang tua-tua itu boleh jadi ada kebenarannya berdasarkan pengalaman mereka di dalam membuat sukat-sukat dan perbandingan di zaman dahulu, di zamannya dan di zaman ini.

Merekodkan sejarah dalam apa jua bentuknya adalah sangat perlu dan penting, sekalipun pada sebahagian orang tidak perlu, tetapi sebagai ristaan di kemudian hari sejarah itu sangatlah mustahak, kerana di dalam sejarah itu peristiwa yang berlaku antara satu dengan yang lain adalah tidak sama, sama ada tujuan dan maksud satu-satu perkara itu berlaku atau suasana dan keadaan yang menyebabkan berlakunya perkara yang telah berlaku itu. Sedangkan sejarah para nabi dan rasul pun direkodkan oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Qur’an, ia direkodkan sudah tentu untuk contoh teladan, demikianlah halnya sejarah pejuang orang-orang tua kita mungkin boleh dijadikan seperti itu.

Tidak banyak kita jumpai atau membaca buku atau tulisan-tulisan yang lengkap mengenai dengan pejuang orang-orang tua dahulu, di dalam menebus maruah, kegemilangan datuk nenek kita yang berjasa berkorban apa saja demi kasih sayang dan taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang dikasihi, agama, bangsa dan negara, terutamanya perjuangan mereka dalam menegakkan dan mempertahankan kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara, apalagi di dalam perjuangan mengekalkan serta mengukuhkan hak ketuanan bangsa dan negara, kerana perjuangan ke arah itu bukan satu perkara mudah dan senang.

Perkara asas untuk merekodkan sejarah kegemilangan mereka itu, perkara besarnya ialah bagi mendapatkan fakta sejarah itu, cerita yang benar dan tulen dari kejadian yang berlaku itu, apalagi sumber-sumber bertulis yang khas mengenainya langsung tidak ada, ini kerana orang-orang tua kita di zaman itu kebanyakannya tidak pandai menulis walaupun ada yang hanya pandai membaca, walaupun ada yang pandai menulis, mereka tidak mahu merekodkan di dalam tulisan kerana perkara seperti ini seolah-olah mesti dirahsiakan, kerana satu-satu peperangan atau perkelahian itu tidak perlu dikhabarkan malahan tidak perlu dibesar-besarkan kerana ia boleh memberi malu. Mereka khuatir kalau perjuangan atau perkelahian itu boleh menjatuhkan maruah mereka, menghina dan memalukan di atas perjuangan mereka, apalagi jikalau disalahertikan tujuan perjuangan mereka itu, perkataan inilah yang pernah didengar dari orang-orang tua.

Penyampaian cerita orang-orang tua yang mencipta sejarah gemilang di zamannya ada yang hanya diceritakan melalui lisan itu kadang-kadang dilakukan secara rahsia, malah ada orang tua yang semacam memberikan amaran kepada anak-anaknya supaya jangan menceritakan perkara yang diceritakan ini kepada orang lain, yang seolah-olah cerita yang disampaikan itu untuk pengetahuan anak-anaknya dan keluarganya sahaja.

Dari cerita orang tua-tua, ada juga cerita-cerita sejarah mereka itu direkodkan melalui tulisan tangan, sama ada diceritakan kejadian itu terus-menerus, malahan ada juga yang diceritakan melalui syair dan pantun, sayangnya bekas tulisan tangan syair dan pantun yang ditulis itu ada yang telah reput dan rosak menjadi habuk kerana disimpan di dalam peti kaban (sejenis tong yang dibuat dari kayu) yang rapat, yang menyebabkan udara pun tidak boleh keluar masuk atau mungkin juga kerana kertas yang digunakan itu tidak berkualiti atau kerana sebab-sebab lain seperti disimpan terlalu lama di dalam kaban itu.

Kini datuk nenek dan orang-orang tua kita yang banyak menyimpan sejarah, dan mengetahui sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan datuk nenek kita itu telah pergi meninggalkan kita dan mereka tidak lagi bersama kita. Mereka pergi tidak akan kembali. Mereka telah pergi silih berganti, kita pun akan pergi mengiringinya bergilir-gilir, semuanya pergi membawa sejarah yang dilalui atau yang diketahuinya, jika mereka tidak menceritakannya maka sejarah itu akan pupus, apalagi jika di zaman ini kita tidak menghiraukan sejarah itu, walaupun baharu di akhir-akhir ini kebanyakan dari kita banyak yang membuat penyelidikan, berusaha mengumpul dan membuat salasilah, kalau ia tidak digunakan sebaik-baiknya ia hanya menjadi sejarah yang dilupakan.

Ada sebahagian kita masih beruntung kerana selalu atau pernah mendapat cerita lisan dari datuk nenek, ibu bapa, indung petuan, indung-indung bapa dan saudara-saudara lain yang mengetahui. Sejarah yang sama mengenai perjuangan pahlawan-pahlawan Brunei itu dengan adanya pertemuan-pertemuan, perjumpaan kekeluargaan maka sejarah itu dapat dikongsikan bersama kerana masing-masing mempunyai maklumat yang tertentu dan berbeza-beza yang mempunyai cerita pada orang yang sama, dengan adanya maklumat yang terkumpul itu di dalam sejarah yang sama maka akan mengukuhkan lagi sejarah yang diceritakan terutamanya yang diterima dari orang-orang tua melalui lisan itu. Saya ulangi lagi iaitu kita bukan tidak percaya kepada tulisan orang-orang lain atau orang-orang barat mengenai perjuangan datuk nenek kita, malah kita patut tidak percaya sepenuhnya tulisan-tulisan dan catatan-catatan orang-orang Barat itu, terutamanya kalau ada cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur yang meremeh-temehkan perjuangan mereka, apalagi kalau perjuangan mereka itu dipolitikkan kerana perjuangan datuk nenek kita adalah menentang mereka di dalam perjuangan mempertahankan hak dan kedaulatan raja kita, agama, bangsa dan negara kita dari dijajah dan dikuasai.

Bila kita kalah bererti kita tetap akan dijajah dan kita tidak bebas mencorak negara kita, ertinya maruah raja, agama, bangsa dan negara tergadai. Maka akhirnya sekarang terbukti apa yang dihalang dari berlaku oleh pahlawan-pahlawan Brunei itu telah terjadi, ibarat nasi telah menjadi bubur. Walaupun apa yang berlaku, genarasi yang ada pada masa ini mestilah mempelajari sejarah, perjuangan pahlawan-pahlawan Brunei itu, yang jelas kepada kita ialah berlakunya perkelahian dan peperangan sesama sendiri dan bangsa sendiri dijadikan alat oleh orang-orang Inggeris untuk menyampaikan maksud mereka yang tersirat di dalam tujuan mereka sebenar, mereka awalnya membantu satu pihak dan menentang pihak lain seperti ‘tunjuk lurus kelengkeng berkait’ akhirnya dua-dua kalah yang menentang menerima kekalahan yang dibantunya pun kalah sama-sama kalah yang akhirnya orang-orang Inggeris yang menang kita hanya digunakan untuk mencapai maksudnya itu.

Di zaman ini perkara itu sudah semacam wajib menjadi pelajaran kepada kita jangan sampai ‘pisang berbuah dua kali’ orang tua-tua pernah mengatakan bahawa di zaman ini juga mungkin ada unsur-unsur seperti itu dan jangan lupa ‘semut mati kerana gula’ dalam manis tersimpannya racun berbisa.

TOKOH

Nama tokoh ini ialah Haji Saman bin Pengarah Saat @ Tengku Saat bin Nakhoda Dato Samad @ Tengku Samad @ Tengku Brahim bin Dato Kamis @ Sultan Mohammad Ali (Raja Siak) (Makamnya di Bukit Lasak Jalan Sungai Asam, Mukim Lumapas Daerah Brunei) ibnu sultan @ Raja Rabeilalam @ Raja Alam (Raja Siak) ibnu Raja Kecil @ Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah @ Raja Siak @ Raja Johor @ Raja Lingga @ Raja Bentan ibnu Sultan Mahmud Shah II @ Sultan Mahmud Mangkat Di Julang @ Sultan Johor ke-10 ibnu Sultan Ibrahim Shah Sultan Johor ke-9 ibnu Raja Bajau (Yang Di-Pertuan Muda Johor dan Pahang ibnu Sultan Abdullah Mu'ayat Shah Sultan Johor ke-7 ibnu Sultan Muzaffar Shah II Sultan Johor ke-3 ibni Sultan Alauddin Riayat Shah II (Sultan Ali) Sultan Johor ke-2 ibni Sultan Mahmud Shah I Sultan Melaka terakhir (1488-1511)- (Melaka jatuh di tangan Portugis dalam tahun 1511 Masihi) ibni Sultan Alauddin Riayat Shah (Sultan Melaka VII) ibni Sultan Mansyur Shah (Sultan Melaka VI) ibni Sultan Muzaffar Shah (Sultan Melaka V) ibni Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka III) ibni Sultan Megat Iskandar Shah (Sultan Melaka II) ibni Sultan Iskandar Shah (Raja Singapura V dan Sultan Melaka I) ibnu Paduka Seri Maharaja ibnu Raja Muda Seri Pikrama ibnu raja Kecil Besar (Seri Pikrama Wira) ibnu Sang Nila Utama (Seri Tribuana) raja pertama yang membuka Temasik @ Singapura @ Johor Tua yang datang dari Pelimbang (ia juga adalah raja yang berasal dari Raja Pelimbang) bersambung keturunannya kepada Sultan Iskandar Zulkarnain dan sampai kepada Nabi Allah Sulaiman.

Dato Kamis adalah datuk kepada Haji Saman yang asalnya adalah Raja Siak seperti yang dicatatkan di awal rencana ini iaitu Sultan Muhammad Ali yang telah menyelamatkan diri dari perang saudara merebut kuasanya sebagai Raja Siak dan akhirnya bersambung keturunannya di Brunei, dengan memakai nama Dato Kamis saja, Dato Kamis berhijrah ke Brunei bersama adiknya Raja Akil (Raja Siak) dengan memakai nama Nakhoda Kasim, ikut juga bersama berhijrah ke Brunei ialah isteri Dato Kamis, anak lelakinya Tengku Brahim yang memakai nama Dato @ Nakhoda Samad @ Tengku Samad dan tiga orang anak Tengku Brahim iaitu Tengku Asmad, Tengku Astar dan Tengku Saad @ Tengku Brahim @ Nakhoda / Dato Samad @ Tengku Samad berkahwin lagi di Brunei dengan orang Saba keturunan Sulu melahirkan empat orang anak diberi nama Mahat, Suma, Angsa dan Pengarah Cheteria, dari anak Tengku Samad ini iaitu Tengku Asmad melahirkan Tassim x Aminah, Metussin, Ahmad Jambu x Laminah, dan Samad x Kasum, keempat-empat anak Tengku Samad ini adalah semuanya pejuang-pejuang besar yang juga mempunyai daya kekuatan tubuh badan yang luar biasa seperti kebal, kuat, penimbul. Mereka adalah sepupu kepada Haji Saman yang sama-sama mempertahankan Brunei dari dicerobohi oleh Inggeris di dalam tahun 1846 Masihi itu dan sama-sama ke Membakut menyerang kapal tentera Inggeris.

Tokoh ini, Haji Saman menurut cerita lisan orang tua-tua dan orang-orang tua yang lain dari pancir keturunan Haji Saman, orang tua-tua itu menerima cerita dari datuk nenek mereka juga melalui cerita lisan cerita itu bersambung diterima mereka dari datuk nenek mereka sebelum itu. Mereka menceritakan bahawa Haji Saman ini adalah pejuang besar membebaskan Brunei dari dijajah oleh Inggeris yang dipimpin oleh James Brooke itu. Haji Saman ini dikenali juga di Membakut dan di Sabah dengan nama Haji Mat Saman dan Haji Mohd. Saman.

Di zamannya, nama Haji Saman ini sangat dikenali dan termasyhur dengan kegagahannya dan keberaniannya menentang Inggeris, ia dikenali bukan saja di Brunei malahan di Sabah dan di Sarawak, lagi pun hubungan orang Brunei dengan orang Sabah dan Sarawak masih rapat disebabkan orang-orang Brunei, Sabah dan Sarawak mempunyai ikatan kekeluargaan yang masih rapat, apalagi Sabah dan Sarawak di masa itu sebahagian besarnya di bawah pemerintahan Brunei. Di masa penentangan Haji Saman terhadap Inggeris itu, orang-orang Inggeris menganggap Haji Saman seperti duri dalam daging dan ia mesti dihapuskan.

Bagi Haji Saman, niat jahat dan niat buruk orang-orang Inggeris hendak menghapuskannya itu dipandangnya tidak endah saja, malah diketawakannya kerana bukannya mudah hendak menghapuskan Haji Saman itu, ini yang diceritakan oleh orang tua-tua kerana Haji Saman adalah wira Kampong Saba yang ditakuti oleh orang-orang Inggeris, bukan sebarang orang, bukan calang-calang orangnya, ia adalah wira yang ‘betaras’, ia membuat tentangan kepada orang-orang Inggeris bukan hanya mengharap rahang dengan gigi, segala-galanya telah diambil kira terutamanya cara-cara ia bertindak bagaimana ia mengatur strategi penempatan orang-orang yang menyerang dan persiapan-persiapan untuk mempertahan diri, semuanya telah dilengkapkannya.

Haji Saman mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, ia adalah wira yang berjiwa besar, bersemangat waja yang tinggi, tahan lasak, tekun dan selalu ingat di dalam sebarang tindakan dan pekerjaan. Seorang yang licin dan lincah di dalam pergerakan dan tindakannya. Jiwa dan dirinya tetap kukuh, tidak pernah kenal takut. Haji Saman terkenal di zamannya sebagai seorang yang mempunyai kekuatan anggota yang luar biasa, kebal, penimbul, bungkasan, mempunyai ilmu boleh menghilangkan diri (boleh tidak menampakkan dirinya pada pandangan orang dan musuh). Ia juga dikatakan boleh berjalan di atas air. Semasa ia menunaikan fardu haji di Mekah ia pernah tinggal menaun empat ke lima tahun di Tanah Suci itu bagi mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu keagamaan. Ia pernah dikatakan pada masa jemaah-jemaah haji masih lagi berada di dalam pelayaran di dalam kapal. Ia dikatakan telah berada di rumahnya lebih dahulu padahal ia bersama-sama jemaah haji pada awalnya di dalam kapal haji itu.

Pada masa itu dikatakan tidak banyak orang-orang Brunei naik haji ke Mekah, kerana pada masa itu susah untuk mendapatkan wang, lagi pun perjalanan menunaikan haji itu adalah terlalu susah berbulan-bulan di laut, kalau tidak mempunyai semangat, kesabaran dan ketahanan diri yang kuat, hati yang cekal, apa lagi kalau tidak mempunyai keberanian dan peribadi yang kukuh dan pegangan ugama yang kuat, sudah tentu ibadat Haji itu tidak dapat ditunaikan pada masa itu. Haji Saman ini juga digolongkan sebagai seorang yang warak dan alim. Yang mempunyai fikiran yang tinggi kerana itu ia sangat diperlukan oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II bagi menasihati sultan di dalam apa jua keadaan. Jika dilihat dari salasilah pancir keturunan Haji Saman ini dari awal-awal lagi, menunjukkan ia adalah waris dari pejuang-pejuang dan wira-wira yang berasal dari tanah seberang (Indonesia dan Semenanjung Tanah Melayu dan Temasik @ Singapura @ Johor Tua).

Haji Saman dan semua adik-beradiknya telah diasuh oleh bapanya bersama adiknya Beliau Badar kerana dengan asuhan kependekaran kerana zaman itu sangat memerlukan ilmu seperti itu, begitu juga dengan ilmu ketahanan diri. Di dalam asuhan bapa mereka keduanya seperti anak kembar sama-sama mempunyai tubuh yang besar dan jagau dan mempunyai kekuatan luar biasa, kedua bersaudara Haji Saman dan Beliau Badar adalah anak yang kebongsuan laki-laki bagi Pengarah Saat. Sudah tentu anak yang kebongsuan itu apalagi laki-laki yang mempunyai bakat sebagai wira akan dijagai sebaiknya dan diturunkan ilmu-ilmu yang bertepatan dengan waktu itu. Waktu itu adalah zaman perkelahian. Zaman beradu kuat. Barang siapa tidak mempunyai kekuatan dan tidak mempunyai ilmu dunia sudah tentu akan tewas oleh orang-orang yang kuat dan berilmu dunia dari mereka. Masa itu kekuatan, kebal, penimbul dan lain-lain ilmu yang luar biasa akan disanjung dan dihormati serta ditakuti.

Haji Saman mempunyai sepuluh orang adik-beradik itu ialah : 1) Mailamah. 2) Nurifah. 3) Kajibah. 4) Laminah. 5) Pengarah DiGadong Laman @ Sulaiman. 6) Untak. 7) Abd. Kahar. 8) Haji Saman. 9) Badar @ Beliau Badar. 10) Zainaf. Walaupun Pengarah Saat mengutamakan asuhan kedua anak bongsunya iaitu Haji Saman dan Beliau Badar. Anak-anaknya yang lain baik anak-anaknya laki-laki semua diajar ilmu-ilmu mempertahankan diri itu. Apalagi keturunan mereka dari zaman dahulu memang bukan sebarang orang.

Pengarah Saat @ Tengku Saat bin Dato Samad, juga bukan sebarang orang, bukan calang-calang juga orangnya. Ia adalah orang sultan, orang istana di zamannya. Sultan Muhammad Jamalul Alam I bukan sahaja selalu berdampingan dengannya malahan ia sebagai sahabat rapatnya yang tidak pernah berenggang di masa susah dan di masa senang. Persahabatan Pengarah Saat dengan Sultan Muhammad Jamalul Alam I sebenarnya telah wujud sebelum baginda ditabalkan menjadi sultan.

Apa jua kejadian yang berlaku, Pengarah Saatlah orangnya yang pertama akan ke hadapan sebagai galang ganti. Begitulah hubungan mereka sebagai sahabat seperti isi dengan kuku. Hubungan awal yang rapat antara Sultan Muhammad Jamalul Alam I dengan Pengarah Saat itulah yang menyebabkan rapatnya lagi hubungan anak-anak dan keluarga Pengarah Saat dengan istana.

Semasa hayatnya Sultan Muhammad Jamalul Alam I pernah berpesan kepada Pengarah Saat supaya ia akan dapat menolong menasihati dan memata-matai anakanda baginda Pengiran Muda Omar Ali Saifuddin (sebelum menjadi sultan lagi) amanah ini tidak disia-siakan oleh Pengarah Saat sehingga Sultan Muhammad Jamalul Alam I menaiki takhta sebagai Sultan Brunei yang ke-20 (1806-1807) beberapa bulan sahaja hingga baginda menjadi sultan, baginda lindung. Kerana itulah Pengiran Muda Omar Ali Saifuddin apabila ditabalkan menjadi Sultan Brunei dalam usianya yang masih muda itu baginda sentiasa di dalam jagaan Pengarah Saat dan anak-anaknya. Orang tua-tua pernah mengatakan ke laut sama ke laut sama ada membalat, mengilong, mengabat, merambat, mengupang, meniram dan apa-apa saja kerja laut Sultan Omar Ali Saifuddin II tetap dibawa bersama demi untuk keselamatannya. Oleh kerana pada masa itu Sultan Omar Ali Saifuddin II itu walaupun telah menjadi sultan tetapi baginda masih kecil.

Baginda tidak boleh menjalankan pentadbiran negara. Lalu jawatan sultan itu diambil alih atau dipangku oleh Pengiran DiGadong ayah Pengiran Muda Tengah Muhammad Kanzul Alam, bergelar Sultan Muhammad Kanzul Alam menjadi Sultan Brunei yang ke- 21. Baginda menjadi Sultan Brunei kira-kira 22 tahun iaitu tahun 1807-1829. Apabila baginda di dalam gering (sebelum lindung) putera baginda yang bernama Pengiran Muda Muhammad Alam berhasrat supaya dia diangkat menjadi sultan dengan tidak menghiraukan Sultan Omar Ali Saifuddin II yang telah ditetapkan menjadi Sultan Brunei itu. Maka akhirnya ditabalkanlah Pengiran Muda Muhammad Alam supaya menjadi sultan ke-22 tahun 1825-1828 bergelar Sultan Muhammad Alam yang juga terkenal sebagai Sultan Marak Berapi kerana ilmunya yang luar biasa. Sultan Muhammad Alam menjadi Sultan hanya selama kira-kira dua tahun. Selepas itu, Sultan Omar Ali Saifuddin II mengambil alih menjadi Sultan Brunei yang ke-23 (1829-1852).

HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Hubungan keluarga diraja (Sultan Omar Ali Saifuddin II) dan keluarga Pengarah Saat tetap semakin kukuh apalagi keluarga dan anak-anak Pengarah Saat selalu dan sentiasa memberikan bantuan dan perlindungan kepada Sultan Omar Ali Saifuddin II itu malahan Sultan Omar Ali Saifuddin II mengharapkan perlindungan dari Pengarah Saat dan anak-anaknya di dalam apa jua keadaan taat setia mereka tidak berbelah bahagi tetap kukuh mereka bersedia sebagai galang ganti bagi melindunginya. Pada masa lain kuasa Allah telah berlaku Sultan Omar Ali Saifuddin II telah memperisterikan Dayang Zaidah anak kepada Pengarah DiGadong Laman @ Sulaiman iaitu cucu kepada Pengarah Saat dengan perkahwinan mereka itu bertambah-tambah eratlah lagi hubungan kekeluargaan di antara Pengarah Saat berserta anak-anaknya dengan Sultan Omar Ali Saifuddin II yang menyebabkan apabila berlaku satu-satu perkara kepada Sultan Omar Ali Saifuddin II anak-anak Pengarah Saat akan tampil ke hadapan terutama Haji Saman dan Beliau Badar. Mereka berdua sentiasa ke hadapan sebagai pengawal peribadi sultan, sekali gus dalam apa jua keadaan dan perkara Haji Saman dan Beliau Badar dijadikan sebagai orang kanan kepada sultan.

Segala cadangan dan nasihat Haji Saman dan Beliau Badar akan didengar dan diguna pakai oleh sultan. Apalagi Dayang Zaidah binti Pengarah DiGadong Laman @ Sulaiman menjadi isteri sultan. Maka Dayang Zaidah diberikan gelaran 'Tuan' yang menjadikan namanya Tuan Zaidah, kerana inilah sebenarnya mengapa Haji Saman dan Beliau Badar merasa lebih bertanggungjawab, taat setianya dan kasih sayangnya kepada sultan bertambah-tambah, apalagi Tuan Zaidah adalah anak kemanakan kepada Haji Saman dan Beliau Badar yakni Tuan Zaidah itu adalah anak kepada abang mereka. Bukan sahaja kerana kasih sayang dan taat setianya kepada sultan sebagai kepala negara tetapi sultan telah dianggap sebagai darah dagingnya kerana anak sultan akan lahir di masa akan datang bersama isterinya Tuan Zaidah, sudah tentu darah yang mengalir di tubuh anak sultan itu adalah sebahagian dari darah dagingnya jua. Inilah juga menambahkan lagi tanggungjawab taat setia mereka kepada sultan tidak akan putus. Orang tua-tua zaman dulu, hubungan keluarga mereka sangat erat. Hubungan keluarga itu dijaga dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai putus ‘biar cangkik jangan putus’, ‘biar retak jangan pecah’ dicubit paha kiri, paha kanan terasa sakit.

Begitulah hangat dan kuatnya hubungan kekeluargaan orang tua-tua zaman dahulu hingga jika mendengar sahaja sanak saudara itu dipukul, di dalam makan pun akan bangun membantu sanak saudara yang dipukul itu. Hidangan nasi yang dimakan itu ditinggalkan kerana lebih mustahak membela keluarga daripada makan hingga berlakulah perkelahian apalagi tindakan undang-undang pada masa itu tidak ada atau tidak dilakukan terhadap sebarang perkelahian yang berlaku. Sehingga orang tua-tua berfalsafah ‘inda karing darah’ ertinya kalau berkelahi sampai menumpahkan darah, belum kering darah yang tumpah itu, sanak saudara sudah datang memberikan bantuan. Begitulah kuatnya hubungan dalam bersanak saudara itu sanak saudara itu diutamakan. Malahan di dalam tahun 50 masih lagi wujud semangat kekeluargaan dan bersanak saudara tetap masih kukuh dan mantap. Sebagai misalan bila ada hari-hari perayaan sultan, maka orang-orang bergelar di Kampong Saba bersama-sama dengan anak-anak buah mereka di Kampong Saba akan bersiap-siap dengan menyediakan perahu besar digimbar dua dinamakan Gegandong.


Gegandong itu akan dihiasi dengan bendera-bendera kecil dan besar, perayaan-perayaan itu akan meriah dengan penyertaan hampir semua penduduk-penduduk Kampong Saba, perahu-perahu besar dan kecil dihias, pendeknya pada masa itu kemeriahan apa jua perayaan disambut dengan luar biasa, sehati sejiwa bergabung tenaga untuk menjalankan apa jua aktiviti hari kebesaran, dengan penuh rela, ikhlas dan jujur, rela berkorban apa saja bagi hari-hari kebesaran negara. Hari ini ia telah semakin pupus, pudar dan mungkin akan hilang dan berkurangan hanya akan tinggal adalah nafsu-nafsi saja. Perkara ini berlaku disebabkan suasana hari ini terutamanya masa yang tidak mencukupi untuk berjumpa keluarga disebabkan pekerjaan, menghantar dan mengambil anak sekolah, kerana masing-masing tinggal berjauhan apalagi masa ini amalan bergotong-royong seperti bersama-sama membina rumah, teratak kahwin, berusah-rusah, bagi apa jua majlis bergotong-royong itu telah hilang disebabkan kemudahan-kemudahan yang ada pada masa ini dan lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan. Kita pun tidak dapat meramal dan tidak tahu bilakah suasana kekeluargaan yang mesra seperti di zaman dahulu itu akan dapat diwujudkan di zaman ini atau di zaman akan datang.

3 comments:

  1. Salam Sejahtera kepada penulis. terima kasih atas sumbangan disini. Tapi minta penulis check bahawa Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah itu adalah Bendahara kepada Sultan Mahmud Mangkat di julang. Sultan Mahmud tiada mempunyai anak sebab dia tidak berkahwin. Jadi bila dia mati bendahara yang mengambil alih tampuk sultan. Maka tamatlah leluhur Kesultanan Melaka atas kematian Sultan mahmud ini. Saya petik dari Sejarah Johor Lingga Pahang dari Cikgu Buyong bin Adil keluaran Dewan bahasa dan Pustaka. Allah taala ‘alam.

    ReplyDelete
  2. Bendahara kepada Sultan Mahmud Shah mangkat dijulang tu ialah Bendahara yang naik menjadi Sultan memakai gelaran Sultan Abd Jalil Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Ri’ayat Shah Zillu’llah fi al-’Alam bin Dato’ Bendahara Sri Maharaja Tun Habib Abdul Majid yang menjadi Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Johor and Pahang memerintah dari tahun 1699 hingga 1718. Manakala Sultan Abd Jalil Rahmat Shah (kebetulan nama yang sama dengan Bendahara yang menaiki takhta slps Sultan Mahmud mangkat akibat ditikam oleh Megat Seri Rama yg bergelar Laksamana Bentan yang balik dari medan peperangan di Linggi atas perintah sultan itu telah dikhabarkan tentang kematian tragis isteri kesayangannya. Dikatakan isteri dihukum bunuh atas perintah Sultan). Dikatakan akibat perangai pelik (anda boleh cuba rujuk penulisan tentang perangai pelik ini) dan kezaliman Sultan Mahmud maka Paduka Bendahara Tun Abd Jalil telah merancang untuk menggulingkan raja sehingga permuafakatan komplot untuk membunuhnya tetapi ada dikalangan pembesar yang tidak setuju untuk menderhaka kepada Sultan terutamanya Orang Kaya Seri Bija Wangsa dan pengikutnya. Akhirnya orang kaya Seri Bija Wangsa juga dibunuh dan dikatakan pembesar pengikut Orang Kaya Seri Wija Wangsa telah melarikan anak Sultan Mahmud yang masih bayi/kecil (masih menyusu) ketika itu ke Pagar Ruyung (sila rujuk buku "Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka", karangan Leonard Y. Andaya. Beliau merujuk kepada Hikayat Siak bahawa Raja Kecil atau Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah merupakan anakanda Sultan Mahmud Shah II). Dipendekkan cerita Sultan Abd Jalil Rahmat Shah inilah yang menyerang Bendahara Sultan Abd Jalil dan merampas kembali takhta Johor dlm tahun 1718. Bendahara Sultan Abd Jalil kemudiannya berundur ke Kuala Pahang dan mati dibunuh oleh Laksamana Sekam pada tahun 1720 yang dihantar oleh Raja Kecil@Sultan Abd Jalil Rahmat Shah. Baginda dimakamkan di Kuala Pahang. Raja Sulaiman anak kepada Bendahara Sultan Abd Jalil bersama-sama dengan Tun Abas dengan bantuan Bugis 5 bersaudara (boleh rujuk kisah ni dlm banyak penulisan) telah berjaya merampas kembali takhta Johor dan menghalau Sultan Abd Jalil@Raja kecil kembali ke Siak pada tahun 1723.Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah atau nama asalnya, Raja Sulaiman (mangkat 1760) ditabalkan sebagai Sultan Johor-Riau ke-13 oleh Bugis 5 Saudara pada 24 Zulhijah 1124 H bersamaan 4 Oktober 1722 M. Kesultanan Johor diperintah semula oleh keturunan Bendahara..Wllahualam Bissawab.

    ReplyDelete