MENELUSURI TOKOH-TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN SABAH
Sabah sudah melalui separuh abad sebagai negeri merdeka dari
cengkamaan penjajah SBUB sejak 1881 dan bebas sepenuhnya pada 1963. Sebelum
Sabah menyertai pembentukan Malaysia, ianya telah diisytiharkan sebagai sebuah
negara selama 15 hari iaitu merdeka daripada penjajahan 31 Ogos 1963. Makna
sebagai sebuah negara adalah amat bererti buat rakyat Sabah dan di mana
penjajahan selama 82 tahun sudah cukup mengajar erti jiwa hamba kepada jiwa
merdeka.
Menghayati perjuangan tokoh-tokoh tempatan seperti Raja
Ismail, Raja Tebuk, Datu Tating, Sharif Uthman, Raja Laut, Paduka Mat Salleh,
Pak Musa, Antanom, Sagunting, Langkap, Panglima Udun, Mat Sator, Kamunta, Datu
Mamuda, Datu Kedunding, Andamun, Pengiran Indera Jaya, Sharif Ali dan beberapa
tokoh lain yang turut berjuang menghalang, menentang serta menghalau penjajah dari terus berkuasa merata harta warisan rakyat
jelata Sabah. Kesemua tokoh-tokoh ini membayar perjuangan mereka dengan harta,
masa, tenaga, pemikiran serta nyawa.
Antara tokoh pejuang yang lebih awal merintis perjuangan
menentang penjajah seperti Datu Tating yang menyerang Syarikat Hindia Timur
Inggeris pada tahun 1775 di Pulau Balambangan. Beliau dengan berani menyerang
British berserta para pengikut beliau yang terdiri daripada kaum Suluk dan
Iranun. Tindakan Datu Tating ini menjadi pencetus terhadap penentangan di
Sabah, dan juga selepas peristiwa Pulau Balambangan, Raja Ismail dan Raja Tebuk
turut membantu Sultan Mahmud menyerang Belanda di Tajung Pinang, Riau Johor
pada tahun 1778, selepas itu Raja Tebuk (Raja Lanoon) turut membantu Sultan
Abdullah menyerang Francis Light di Seberang Perai pada tahun 1791. Manakala
Sharif Uthman menentang Inggeris di Teluk Marudu sekitar tahun 1830an, dan
penentangan ini diakhiri oleh Sharif Ali di Pandasan dan Ontoros anak lelaki
Antanum di Tenom pada tahun 1915.
Kemerdekaan yang dinikmati oleh rakyat Sabah pada ketika ini
adalah hasil pengorbanan para pejuang yang telah membayar dengan nyawa sekali.
Misi perjuangan mereka adalah pembebasan secara mutlak iaitu menghalang
penjajah daripada terus mengeskploitasi pemikiran rakyat serta ekonomi demi
mengaut keuntungan sepenuhnya. Penjajahan secara rasmi pada tahun 1881
merupakan tindakan tegas oleh pihak penjajah agar segala aktiviti ekonomi Sabah
dapat dijana semaksimanya. SBUB di bawah pimpinan Alfred Den dengan Varon Overback
merupakan dua tokoh penting penjajah yang memajak Sabah daripada kesultanan
Sulu. Pemajakan secara rasmi telah berlaku pada tahun 1881, dan sebelum itu
penentangan orang tempatan terhadap penjajah yang bermula sekitar 1775 dalam
tempoh 106 tahun barulah hasrat serta cita-cita pihak kolonial berjaya
mendapatkan Sabah sepenuhnya.
Penentangan oleh Sharif Uthman sekitar 1830an di Teluk
Marudu terhadap Syarikat Hindia Timur Inggeris merupakan penentangan terbesar
di Sabah. Beliau bersama pengikutnya seramai lebih kurang 2,000 orang yang
terdiri daripaada orang Bajau dan Iranun telah mencabar SHTI di perairan Teluk
Marudu dengan menyediakan kubu bagi menghadapi serangan askar penjajah. Walau
pun beliau dan pengikutnya tewas, namun semangat juang mereka yang tinggi telah
meletakkan pihak penjajah dalam keadaan tertekan. Sharif Uthman telah terkorban
dalam peperangan ini dan kubu mereka musnah akibat serangan bertalu-talu dengan
kekuatan pihak penjajah serta kelengkapan yang mengatasi peralatan perang
Sharif Uthman.
Setelah itu, pihak
penjajah terus menerima tentangan hebat dari para pejuang seterusnya seperti
Paduka Mat Salleh sekitar tahun 1897 hingga 1900. Tentangan yang dibuat oleh
Paduka Mat Salleh memakan masa lebih kurang 3 tahun dan serangan demi serangan
dilakukan terhadap kedudukan SBUB yang berpusat di Inanam, Api-Api, Pulau Gaya,
Sandakan dan Ambong. SBUB juga terpaksa menghadapi tentangan berterusan
daripada para pengikut Mat Salleh iaitu Mat Sator dan Datu Mamuda yang
menyerang Kudat pada April 1900, serta Kamunta yang menyerang Tempasuk dan
Menggatal pada Mei 1900.
Selepas tahun 1915,
SBUB berasa selesa apabila penentangan secara fizikal terhenti sehinggalah
Jepun menduduki Sabah sekitar tahun 1942. Namun begitu muncul juga beberapa
persatuan yang aktif dan memberi kesedaran kepada masyarakat seperti Persatuan
Melayu Tawau (PMT) yang berasaskan kepada gerakan politik Islam, lahir Cawangan
Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada tahun 1939 di
Jesselton, Tawau serta Labuan dan juga kemunculan Persatuan Barisan Pemuda
(BARIP) pada tahun 1939 di Jesselton. Gerakan ini dipimpin oleh tokoh-tokoh
yang berpendidikan dan mereka ini telah mendapat pendedahan daripada para
pejuang di Semenanjung Tanah Melayu serta Indonesia.
Kesedaran semakin
memuncuk apabila Jepun menyerang segala kedudukan penjajah di Asia Tenggara
pada tahun 1941. Walaupun Jepun hadir dengan sikap tegas serta dianggap zalim,
namun semangat ‘Asia untuk Asia’ telah membantu memberi kesedaran kepada
golongan berpendidikan. Kesannya selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua
pada tahun 1945, pertubuhan sebelum Jepun telah bergerak semula dan juga muncul
beberapa persatuan dan pertubuhan baru yang bertindak sebagai badan pendesak
agar kemerdekaan diberikan kepada Sabah. Antara pertubuhan itu ialah Parti
Kebangsaan Melayu Labuan (PMKL) ditubuhkan pada Ogos 1946, UNKO, Ogos 1961,
PASOK, Parti Demokrat, BUNAP, KONGRES, Oktober 1961 dan USNO, 24 Disember 1961.
Parti-parti politik
ini telah melancarkan gerakan secara bersepadu untuk menuntut kemerdekaan
Sabah, di mana USNO diketuai oleh Datu Mustapha Datu Harun, UNKO dipimpin oleh
Donald Stephen, PASOK diterajui oleh G. Sundang dan beberapa pertubuhan lain
mendesak supaya Sabah dibebaskan sepenuhnya dari cengkaman penjajahan. Semua
persatuan ini mempunyai matlamat yang sama untuk menuntut kemerdekaan walau pun
bergerak dalam persatuan masing-masing. Oleh kerana tekanan yang kuat, maka
pihak kerajaan British menimbang tuntutan ini dan bersedia untuk memberi
kemerdekaan kepada Sabah dan akhirnya Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963.
Menurut beberapa
sumber, kemerdekaan Sabah juga ini dipercepatkan apabila Tunku Abdul Rahman
Putra al-Haj mencadangkan satu kerjasama
ekonomi dan politik serantau bagi mengekang pengaruh komunis dan antara yang
terlibat ialah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.
Cadangan ini telah dikemukakan padda 27 Mei 1961 semasa persidangan Persatuan
Wartawan di Hotel Adelphi Singapura. Selepas itu ditubuhakan Jawatankuasa
Perundingan Perpaduan Malaysia pada 21 Julai 1961 dan diketuai oleh Donald
Stephen.
Setelah kemerdekaan
dicapai, maka pungutan suara yang dipantau oleh PBB di Sabah, Sarawak dan
Singapura mendapati majority rakyat menyokong penubuhan Malaysia dan tarikh 16
Septembar 1963 adalah hari pembentukan Malaysia, di mana Sabah, Sarawak,
Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu bergabung menjadi satu negara. Maka
diisytiharkan bahawa Hari Kemerdekaan Malaysia akan disambut setiap 31 Ogos,
walau pun Hari Malaysia atau tarikh pembentukan Malaysia ialah 16 September
1963, sebagai tanda kerjasama, perpaduan, kekuatan dan perkongsian kuasa dan
wilayah. Sabah dan Sarawak diberi keistimewaan dengan 20 perkara yang
melindungi hak-hak rakyat Sabah yang lambat merdeka 6 tahun berbanding
Semenanjung Tanah Melayu.
Kini 50 tahun sudah
berlalu Sabah merdeka dalam usia setengah abad lamanya. Rakyat yang terlibat
mengundi dalam pilihan raya pertama Sabah mungkin masih ada yang hidup lagi,
begitu juga generasi yang lahir sebelum merdeka masih menghirup udara segar
kemerdekaan ini. Namun udara kemederkaan ini amat berbeza sekali diawal Sabah
merdeka. Generasi yang lahir dalam zaman merdeka ini adalah generasi dominan,
mereka mentafsir kemerdekaan jauh bezanya dengan tafsiran generasi sebelum
mereka.
Generasi awal
menuntut kemerdekaan untuk kebebasan secara fizikal dari kuasa penjajah tanpa
memikirkan kebebasan jiwa merdeka. Kemerdekaan menyeluruh cuba diterapkan dan
dilaksanakan, namun kebebasan sepenuhnya sukar untuk dicapai. Agenda utama
untuk membangunkan Sabah Merdeka tertumpu kepada fizikal mengindahkan
bandar-bandar utama tetapi terabainya keperluan asas rakyat luar bandar. Masa
50 tahun adalah tempwalaupun oh yang panjang bagi merealisasikan hasrat dan
aspirasi rakyat yang sudah merdeka.
Memacu ekonomi dalam konteks merdeka, rakyat masih
ketinggalan dan pencapaian serta penguasaan ekonomi sekitar 22% sahaja.
Kelesuan mengangkat ekonomi bumiputra merupakan agenda ‘Lebai Pak Malang’ yang
penuh dengan mimpi dan angan-angan. Mendidik rakyat sebagai usahawan ulung dan
unggul tidak menjadi misi utama, bahkan rakyat diajar menjadi pengemis ekonomi
dengan teori ‘Jutawan Segera’. Keadaan
ini berlaku kerana cara berfikir yang masih terikat terhadap legasi penjajah
secara berterusan penjajah sudah meninggalkan bumi Sabah ini 50 tahun yang
lalu.
Antara Latar belakang
pejuang-pejuang di SABAH
MAT SALLEH
Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan
pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada
penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan
atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah
kekuasaunnya.Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu
berkahwin di Inanam dengan seorang perempuan suku Bajau. Hasil daripada
perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh,
Badin dan Bolong.
Isteri Mat Salleh bernama Dayang Bandang, berasal daripada
keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan. Kota Kampung
Tibabar, Tambunan adalah salah sebuah kota utama pertahanan Mat Salleh yang
kuat. Kota ini ialah benteng terakhir Mat Salleh dalam usahanya memimpin
orang-orang Sabah menentang Inggeris.
Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat
Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh.
Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.
Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai
ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjoan pentadbiran
Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang
melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.
Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu
menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai
Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.
Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik
perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia
Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897.
Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan
membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya.
Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen
Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong.
Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh
di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang
mengetuai serangan tersebut.
Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu
Mat Salleh di Ranau dengan angkatoan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya
mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan
kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar
ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat
ditembusi peluru.
Setiap penjuru kota dikawal dan terdapatbeberapa terowong
atau julan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan
senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan
jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.
Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperinga kota
Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa
Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandaka tapak kubu Mat Salleh yang telah
ditawan oleh Pasuka Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900.
Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan
selama enam tahun menentang Pentadbira Chartered Company menemui ajalnya'.
Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang
pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan
seorang pahlawan.
DATU TATING: PEWIRA SABAH MELAWAN PENJAJAH
Sedikit sebanyak mengenai beliau:-
+ beliau merupakan wira sabahan yang tidak senang dengan
kehadiran British di Borneo dan Kepulauan sulu.
+ Datu Tating adalah seorang datu di Raja dan berketurunan
sulu.
+ Dilahirkan di bawah Kesultanan Sulu dan latar belakang
ibunya menunjukkan hubungan rapat dengan pihak kerajaan.
+ Kehadiran beliau di Pulau Balambangan mengubah hidup
rakyat disana apabila beliau berjaya membekalkan jumlah pekerja yang mencukupi
untuk membina benteng dan gudang.
+ Tetapi, apabila John Robert muncul dan mengacukan senjata
dihadapan pengikutnya, kemarahan beliau terhadap British pun bermula. Tindakan
John Robert seolah- olah tidak menghormati bangsanya.
+ Hal ini berlaku semasa perbincangan mengenai pembayaran
gaji, kontrak gudang, pembersihan hutan dan pembinaan kubu.
+ Sejurus itu, beliau pergi ke Pulau Banggi Dakula dan
bekerjasama dengan sepupunya. Datu Tating berjaya mengumpul sebanyak 300 orang
mistik dan suku Iranun untuk menyerbu British di Pulau Balambangan.
+ Datu Tating adalah orang pertama yang berjuang menentang
British di Pulau Balambangan.
+ Kepahlawanan beliau boleh dilihat apabila beliau berjaya
mengalahkan British dan hanya mengambil masa selama 7 Jam.
+ Aktiviti menentang British kemudiannya mula menular di
beberapa bahagian termasuklah di Tempasuk, Teluk Marudu dan Relau.
Kisah Datu Tating mungkin tidak banyak yang diketahui oleh
pakar sejarah dan masyarakat. Ini mungkin kerana disebabkan persepsi sesetengah
pihak yang keliru samaada beliau adalah sabahan ataupun bukan kerana beliau
adalah berasal dari suku Tausug yang boleh dijumpai di Filipina.
RAJA ISMAIL
Baginda merupakan ketua pemerintah di Tempasuk sekitar tahun
1700-an yang berpusat di Matampai. Matampai merupakan pusat pemerintahan Raja
Ismail yang terletak berhampiran dengan Sungai Tempasuk. Sungai ini dipilih berdasarkan kedudukannya yang tidak jauh daripada Laut China Selatan. Ada
beberapa sumber menyatakan bahawa Sungai Tempasuk dipilih kerana kedudukan
muara sungai ini yang sukar untuk dimudiki oleh pihak musuh, di mana peranan
ombak yang menjadi penghalang kepada sesiapa sahaja untuk masuk melalui sungai
ini turut diberi perhatian dan hanya orang yang mahir sahaja boleh memasukinya.
Hujah ini ada kekuatannya, kerana menurut beberapa orang sarjana barat seperti
Owen Rutter dan James Warren, orang Iranun adalah antara etnik yang mempunyai
kemahiran di laut serta mempunyai kecekapan yang tinggi. Oleh itu, kedudukan
Matampai sebagai pusat pentadbiran Raja Ismail adalah amat sesuai dan bertindak
sebagai benteng pertahanan yang boleh membantu Raja Ismail menghadapi
musuh-musuhnya.
Pentadbiran baginda di Tempasuk adalah dibantu oleh
anak-anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak di samping beberapa
pembesar beliau yang dikenali sebagai Datuk Sikiolo dan Tok Lukus. Menurut
sumber keluarga ini, wilayah Tempasuk pada masa itu meliputi Kuala Sungai
Tuaran dan Teluk Marudu. Hujah ini juga mempunyai kekuatan kerana semasa
Pretymen dihantar ke Tempasuk sebagai residen pada tahun 1879, maka pada masa
itu Tempasuk dianggap oleh barat sebagai sebuah kerajaan atau negeri.Antara
peranan yang disumbangkan oleh Raja Ismail di nusantara ialah membantu Sultan
Mahmud Shah menyerang Belanda di Riau Johor. Peristiwa ini berlaku pada tahun
1781, di mana Sultan Mahmud Shah yang memerintah Riau Johor pada ketika itu
telah menghantar utusan yang bernama Encik Talib ke Tempasuk untuk menyampaikan
permintaan baginda kepada Raja Ismail, agar Tempasuk menghantar bantuan
ketenteraan untuk menyerang Belanda di Tanjung Pinang. Baginda Sultan Mahmud
Shah juga menyatakan bahawa Raja Tempasuk tersebut ada kaitan kekeluargaan dengan
beliau. Maka itu, baginda Sultan Mahmud Shah tidak segan-silu untuk memohon
bantuan ketenteraan daripada orang Iranun di Tempasuk untuk mengusir Belanda di
Tanjung Pinang.
Oleh kerana permintaan ini datang daripada Sultan Mahmud, maka
Raja Ismail sendiri telah mengetuai angkatan tentera Tempasuk yang berjumlah
sekitar lebih tiga puluh buah kapal dan perahu. Menurut sumber tempatan ukuran
kapal mereka ini lebih kurang sembilan puluh kaki panjang yang boleh membawa
enam puluh tan muatan dan boleh memuatkan seramai lebih satu ratus lima puluh
orang.Perjalanan mereka ke Riau Johor tidaklah memakan masa yang lama kemahiran
di laut membantu angkatan itu sampai dengan segera.
Kapal dan perahu ini
dilengkapi dengan peralatan senjata seperti meriam atau lebih dikenali sebagai
‘laila’, bersandarkan kekuatan dan kecekapan, maka tentera Raja Ismail pun
belayar di Laut China Selatan, Perjalanan mereka ini tidak menghadapi masalah
dan mereka sampai ke Riau Johor dengan selamat.Apabila Raja Ismail dan
tenteranya sampai di Riau Johor, maka mereka diberi taklimat berkaitan
kedudukan pihak Belanda di Tanjung Pinang. Setelah itu tentera Iranun pun
bersiap sedia menyerang kedudukan Belanda di Tanjung Pinang, dan dalam serangan
ini orang Iranun telah berjaya mengalahkan Belanda dan ramai tentera Belanda
yang terkorban dan dalam serangan tersebut difahamkan Raja Ismail juga turut
terkorban kerana semasa majlis meraikan kemenangan itu Raja Ismail tidak lagi
disebut sebagai ketua yang diraikan, tetapi yang disebut hanya anak-anaknya
iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda.
Angkatan ini telah diberi persalinan oleh Sultan Mahmud
sebagai menghargai bantuan Tempasuk terhadap baginda dan peristiwa ini
dinyatakan berlaku pada 1215 hijrah.Selepas itu, Raja Tebuk dan Raja Alam
memohon untuk kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak, Datuk Sikolo dan
Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memperhambakan diri kepada baginda Sultan
Mahmud. Menurut sumber keluarga Raja Tebuk, Raja Alam tidak kembali ke Tempasuk
tetapi beliau telah mengembara di kepulauan Nusantara. Faktor ini disebabkan
Raja Ismail telah tiada dan pewaris seterusnya terhadap pentadbiran di Tempasuk
diserahkan kepada Raja Tebuk. Maka Raja Tebuk pun memerintah Tempasuk dengan
memakai gelaran sebagai Sultan Satebuk.Selain itu, pentadbiran Raja Ismail di
Tempasuk juga ada kaitannya dengan kegiatan merompak kapal-kapal dagang barat
yang memasuki perairan Nusantara.
Kedudukan Kuala Tempasuk yang sukar dimudiki
merupakan strategi Raja Ismail untuk mengelak serangan balas daripada pihak
musuh. Serangan Datu Tating ke atas Pulau Balambangan pada 5 Mac 1775 telah
melibatkan pengikut Raja Ismail, di mana seramai 300 orang etnik Suluk dan
Iranun telah menyerang pulau tersebut dan persefahaman antara dua etnik ini
telah menggugat kedudukan Syarikat India Timur Inggeris (EEIC) yang cuba
menjadikan Pulau Balambangan sebagai pusat perniagaan penting seperti Singapura
(1819), Pulau Pinang (1786) dan Melaka (1824) (Baszley Bee, 2004:51). Semasa
serangan ini pihak EEIC yang mempunyai kekuatan tentera seramai 100 orang dan
dua buah kapal iaitu Endavor dan Pheonix telah mengalami kekalahan teruk dan
banyak kemusnahan yang berlaku (Baszley Bee, 2004: 55).
Akibatnya pulau
Balambangan telah ditinggalkan oleh pihak EEIC kerana kedudukannya yang tidak
selamat dan berada di wilayah yang mana masyarakatnya sangat kuat menentang
Barat. Menurut Datu Tumai, orang Iranun merupakan salah satu etnik di Nusantara
yang amat aktif menentang imperialism Barat. Manakala di Tungku orang Iranun
juga turut melakukan penentangan, di mana penentangan ini diketuai oleh Raja
Laut yang menyerang kapal-kapal Sepanyol dengan kekuatan tentera sekitar 1000
orang (Warren, 2002:160).Keterlibatan Raja Ismail serta orang Iranun Tempasuk
ketika serangan Pulau Balambangan diperkuatkan melalui pertemuan antara
pelayar-pelayar Iranun dan Suluk di Tanjung Simpang Mengayau. Menurut Pinjaman
Hasin, para pengembara atau pelayar Iranun dan Suluk akan bertemu di Tanjung
Simpang Mengayau untuk merancang strategi bagi menyerang kapal-kapal barat yang
memasuki perairan Nusantara.
Sumber-sumber sedia ada seperti yang dijelaskan oleh Owen
Rutter, James Warren dan bebarapa penulis barat amat berkait dengan sumber
tempatan.Menurut beberapa catatan bahawa Raja Satebuk juga turut terlibat
merancang menyerang kedudukan Francis Light di Pulau Pinang yang dibuka 1786.
Selepas peristiwa Riau Johor 1781, di mana kerajaan Kedah pada masa itu berada
di bawah pentadbiran Sultan Abdullah telah mendapat maklumat berkaitan serangan
orang Iranun ke atas Belanda di Raiu Johor, yang mana Belanda dapat ditewaskan
oleh orang Iranun, maka baginda menawarkan kepada orang Iranun untuk menyerang
Francis Light di Pulau Pinang bagi menggagalkan hasrat barat menguasai Pulau
Pinang untuk dijadikan sebagai pusat perniagaan penting. Kerajaan Kedah sanggup
membayar $20,000.00 kepada etnik Iranun. Tawaran ini telah diterima oleh Raja
Satebuk dan mereka berkampung di Sungai Perak bagi menunggu arahan sultan
(Warren: 2002:61). Namun serangan ini tidak diteruskan dan orang Iranun kembali
ke Tempasuk.
Orang Iranun mengawal perairan Utara Borneo (Leigh Wright:1981:7),
di mana Tempasuk merupakan pusat kegiatan utama mereka. Keadaan ini berlaku
adalah disebabkan oleh peranan politik di sekitar nusantara terutama ancaman
barat terhadap kuasa-kuasa tradisional yang sedia ada.Peranan Raja Satebuk
terhadap pentadbiran Tempasuk telah berjaya mengekalkan penguasaan mereka di
laut sehingga gelaran lanun atau perompak laut menjadi sinonim dengan orang
Iranun. Beberapa tindakan Raja satebuk dilihat sebagai mengancam kedudukan
kuasa-kuasa barat, antaranya serangan Raja Satebuk terhadap Ambong pada 1880an.
Akibat tindakan tersebut Raja Brooke yang menguasai Sarawak pada masa itu telah
menghantar pegawainya untuk menyiasat serangan tersebut (Ivor Evan:
1922:261).Apa yang jelas Kuasa Tempatan Iranun di Tempasuk telah banyak
menyumbang kepada kegiatan menentang kuasa barat yang menjajah negeri-negeri
Melayu di nusantara.
Walaupun ada sesetengah dakwaan ahli sejarah barat, bahawa
etnik Iranun adaalah golongan perompak laut atau ‘Lanun’ yang terlibat dalam
perdagangan manusia iaitu hamba. Namun usaha etnik ini mengekang imperialisme
barat amat mendapat perhatian kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Sepanyol,
Belanda dan British. Kuasa-kuasa barat ini telah menghadapi tentangan sengit
daripada etnik Iranun terutama ketika berlaku pertembungan di laut. Kesan
terhadap penentangan ini, pihak barat telah mengalami kerugian serta korban
besar. Pihak barat juga terpaksa melipatgandakan kekuatan pertahanannya untuk
berhadapan dengan etnik Iranun terutama di lautan. Akibatnya juga etnik Iranun
terus menjadi buruan dan ada yang menukar identiti mereka untuk tujuan
keselamatan.
Antanom Pahlawan Anak
Rimba Berjiwa Besar
(i) Latar belakang
- nama sebenar Ontoros anak lelai Antanom
- ketua kaum Murut di Rundum
- dilahirkan tahun 1875
- ketika berusia 30 tahun Antanom telah memimpin orang Murut
menentang SBUB yang menindas kaumnya
(ii)Faktor Penentangan
a) Melarang Membuka Tanah Baru
- SBUB melarang mereka membuka tanah baru
- merasakan hak mereka diceroboh
- akibatnya mereka kekurangan beras
b) Mengenakan Cukai Yang Membebankan
- SBUB mengenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti;
- cukai kepala satu dolar setiap orang
- cukai tanaman pindah sebanyak 50 sen setiap ekar
- cukai sebatang pokok kelapa untuk minuman tuak sebanyak 25
sen
- cukai tangkapan ikan besar
- cukai memelihara anjing sebanyak satu dolar seekor
c) Menjadi Buruh Paksa
- orang Murut dijadikan buruh paksa
- tujuan untuk membina jalan di pedalaman dan memasang kawat
telegraf antara Tenom dengan Rundum
d) Menzalimi Keluarga
- suami isteri kaum Murut dikehendaki tinggal berasingan di
sebelah menyebelah tebing sungai
- mereka dikenakan satu dolar setiap kali berkunjung
- jika mereka mempunyai dua orang anak, salah seorang akan
diambil SBUB untuk dijadikan buruh paksa
e) Menceroboh Kawasan Hutan
- SBUB menceroboh hutan untuk membina jalan
- Kaum Murut membantah kerana mengikut kepercayaan mereka
pencerobohan akan mengganggu roh nenek morang mereka
(iii)Peristiwa Penentangan
- Antanom menyatukan orang Murut menentang SBUB dmi menebus
maruah mereka
- Februari 1915 Antanom menyerang Pensiangan dan membakar
bangunan kerajaan
- Mac 1915 Antanom memimpin kira-kira 600 orang Murut
menyerang Rundum dan berjaya memusnahkan pejabat pentadbiran SBUB
- kejayaan itu menaikkan semangat perjuangan orang Murut dan
pengikut Antanom bertambah menjadi 900 orang
- Antanom membina kubu pertahanan di Sungai Selangit yang
mengandungi 7 buah rumah bawah tanah
- April 1915 SBUB menghantar 400 orang tentera menyerang
kubu Antanom
- pertempuran berlaku selama 6 minggu
- Antanom dan 400 orang Murut terkorban dalam mempertahankan
Rundum
- penentangan ini dikenali sebagai ‘Kebangkitan Rundum’
(iv)Kesan Penentangan
- SBUB mengenakan tindakan tegas terhadap pengikut Antanom
- 8 orang kanan Antanom dibuang daerah ke Kudat
- pengikut-pengikut yang lain menjadi buruh paksa memasang
kawat telegraf dari Kimanis hingga ke Keningau
- SBUB mengarahkan orang Murut bersumpah taat setia bagi
mengelakkan kebangkitan seterusnya
- orang Murut berpindah ke pedalaman Kalimantan sebagai tanda
protes terhadap SBUB
Shariff Usman
Shariff Usman adalah Sultan Marudu yang berperang dengan
British dan James Brooke, Raja Sarawak pada tahun 1845. Beliau dianggap Ketua
Lanun Paling Bahaya di Asia. Pihak British menganggap Shariff Usman sebagai
ancaman kepada Kerajaan British dan Raja Brooke Sarawak.
Shariff Usman juga
adalah tokoh kontroversi yang dianggap Pejuang Pertama di Sabah yang berani
menentang dan mencabar pertuanan British di Sabah.Beliau adalah pemerintah
Marudu di Utara Negeri Sabah. Isterinya yang pertama bernama Dayang Cahaya
iaitu kerabat atau anak Sultan Sulu, seorang wanita cantik yang putih melepak.
Orang-orang Marudu menggambarkan Dayang Cahaya sebagai berikut " apabila
dia makan nasi, nasi akan nampak lalu masuk dalam kerongkongnya".
Bayangkanlah putihnya Dayang Cahaya ini.
James Brooke sewaktu
berperang dengan Shariff Usman pernah meminta Shariff Usman agar memperlihatkan
wajah Dayang Cahaya sebagai syarat damai gencatan senjata. Shariff Usman enggan
dan sebaliknya hanya memperlihatkan tangan Dayang Cahaya dari sebalik dinding
istananya.
James Brooke
sebenarnya mencari seorang wanita Inggeris iaitu adik ipar Gabenor General
Syarikat Hindia Timur Inggeris ( SHTI ) di India yang didakwanya disembunyikan
oleh Shariff Usman.
Pangeran Yusop ( bapa
mertua Sultan Brunei ) di Kimanis adalah sahabat baik Shariff Usman dan
terlibat sama menentang penjajahan British di negeri Sabah bersama-sama Shariff
Usman.
Shariff Usman
dikatakan terbunuh di Kubu Marudu tetapi mayatnya gagal ditemui. Ada pendapat
mengatakan beliau tidak terkorban sewaktu perang Marudu 1845 dan makam yang ada
di Kubu Marudu adalah makam Shariff Merum, anak Shariff Usman. Laporan British
hanya menyebutkan antara yang terbunuh di Kubu Marudu ialah tiga orang keturunan Arab ( Syariff )
dan Syariff Usman hanya cedera. Pihak British mendakwa Shariff Usman akhirnya
akan mati berdasarkan maklumat seorang perempuan yang ditemui dalam keadaan lemah di Kubu Marudu.
Perempuan itu mendakwa Shariff Usman cedera dan telah dibawa keluar dari kubu
oleh pengikutnya.Hingga sekarang hanya ada tiga nisan lelaki dan satu nisan
perempuan terpacak di Kubu Marudu.
Persoalannya?
benarkah Shariff Usman terbunuh di Marudu? dan siapakah Dayang Cahaya? dan
kenapa James Brooke beriya-iya ingin melihat wajah Dayang Cahaya ?
Sandokan pula adalah
watak utama Novel Sandokan yang akhirnya difilemkan yang amat popular di Eropah
khususnya di Itali, Jerman, Perancis dan negara-negara lain. Novel Sandokan
ditulis oleh Salgari seorang penulis Itali pada tahun 1883-1884. Kisah Sandokan
adalah berkisar kepada seorang hero yang akhirnya menjadi lanun kerana
negerinya MALLUDU ( MARUDU ) telah dimusnahkan oleh Inggeris pada tahun 1845.
Sandokan adalah anak kepada Sultan MALLUDER ( MALLUDU ).Sandokan juga dikenali
sebagai The Tiger Of Malaya.
Sandokan mempunyai
seorang sahabat karib yang sama-sama menentang Inggeris yang dianggap dalam
novel ini sebagai penjajah dan watak jahat. Dalam novel ini, watak Raja James
Brooke, Raja sarawak juga menjadi musuh utama Sandokan.
Sandokan mencintai
seorang wanita Inggeris yang merupakan anak saudara kepada Raja James Brooke
Sarawak. Banyak kisah-kisah pengembaraan Sandokan dan sahabatnya ke serata
pelusuk dunia.
Persoalannya?, kenapa
latar cerita kedua-duanya adalah merujuk kepada negeri yang sama iaitu MARUDU
yang sekarang dikenali sebagai Kota Marudu. Jalan cerita, watak-watak, latar
masa, latar tempat semuanya adalah sama atau hampir sama. Ini bererti Novel
Sandokan adalah merujuk kepada watak Shariff Usman Marudu.
Justeru itu, kalau
orang Eropah mendewa-dewakan dan mengagumi Sandokan, kenapa kita masih
meminggirkan dan tidak mendaulatkan perjuangan Shariff Usman?. Shariff Usman
masih dianggap lanun sehingga waris keturunannya pun menyembunyikan identiti
diri.
Ramai waris Shariff
Usman di Kota Marudu, di Sugut, di Kudat, di Kinabatangan dan di serata negeri
Sabah seakan melupakan perjuangan moyang mereka.
Ada juga pihak di negeri Sabah mendakwa bahawa Sandokan
adalah moyang mereka dan mereka mengakui bahwa watak dan nama Sandokan sebagai
wujud dan benar-benar ada. Sandokan dipercayai berasal dari Marudu dan
berhijrah ke Melapi, Kinabatangan. Peliknya novel ini memasukkan nama
Limau-limauan di Teluk Marudu dalam Novel Sandokan yang menjadi Pusat
Pemerintahan Marudu selepas era Shariff Usman.
PANGLIMA ALLI
Panglima Alli atau nama sebenarnya Ali Imam Abbas Sani
berbangsa Bajau subetnik Ubian dari Pulau Sulug, Jesselton yang turut terbunuh
dalam tragedi hitam itu.
Panglima Alli dilahirkan pada 1884 adalah anak ketiga
daripada 12 beradik serta dianugerahkan gelaran Panglima oleh Syarikat
Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) kerana keberanian beliau menentang
Kempeitai (perisik tentera Jepun)
PANGLIMA Alli berjuang menentang penjajah untuk memartabat
maruah bangsa yang menjadi hamba di bumi sendiri, tetapi namanya tidak
didendang seperti Datuk Paduka Mat Salleh, Ontoros Antanom dan Tun Datu
Mustapha Datu Harun.
Kebakaran gudang
getah di Pelabuhan Jesselton (kini Kota Kinabalu) pada 9 Oktober 1943 menjadi
kemuncak kebencian Jepun terhadap pemimpin masyarakat Pulau Sulug itu dengan
mendakwa ia angkara tokoh terbabit dan pengikutnya.
Panglima Alli adalah
seorang daripada 324 rakyat tempatan Sabah yang dibunuh secara kejam oleh Jepun
di Petagas, Kota Kinabalu pada 21 Januari 1944 dan pengorbanan mereka
diabadikan melalui Tugu Peringatan Petagas.
Tentera Jepun
bertindak balas dengan melancarkan operasi menjejak pejuang Bajau subetnik
Ubian itu kerana tercabar dengan kebakaran gudang komoditi yang sangat penting
ketika Perang Dunia Kedua pada 1941 hingga 1945.
Tuduhan tanpa bukti
itu berikutan tentangan berterusan Panglima Alli atau nama sebenarnya Ali Imam
Abbas Sani dan pengikutnya terhadap Jepun terutama di Pulau Sulug dan Pulau
Gaya di perairan Jesselton, selain di bandar itu.
Panglima Alli dan
pengikutnya tidak membiarkan penduduk Pulau Gaya dan Pulau Sulug menjadi korban
kekejaman Jepun menyebabkan mereka enggan meninggalkan pulau itu, biarpun sedar
Kempeitei (perisik tentera Jepun) akan bertindak balas.
Tokoh itu bersama dua orang kanannya dikenali Kasil dan
Sandolan akhirnya berjaya ditawan yang berpunca kelemahan senjata iaitu parang
sedangkan askar Nippon menggunakan senjata api jenis mesingan.
Panglima Alli dan pengikutnya dibunuh secara kejam di
Petagas bersama anggota Gerila Kinabalu diketuai Albert Kwok yang terbabit
dalam pemberontakan 10 Oktober 1943 atau `Double Ten' di Pantai Barat, Borneo
Utara (kini Sabah).
Mustapha bin Harun
Beliau dilahirkan
pada 31 Julai 1918 di Kampung Tampakan, Kudat, Sabah. Beliau adalah anak ke-3
Datu Harun Datu Nasaruddin dan Norani Abdul Rahim. Bapanya bebangsa Suluk dan
ibunya adalah Bajau Bannaran
Zaman penjajahan
Pada tahun 1928, ketika berusia 10 tahun, beliau bekerja
sebagai pelayan rumah kepada Residen Kudat Syarikat Berpiagam Borneo Utara,
E.W. Morrel. 6 tahun kemudian, beliau menjadi "Office Orderly" di
Pejabat Daerah Kudat. Pada 1 Februari 1937, beliau dilantik sebagai Ketua Anak
Negeri dan Pemungut Cukai Candu.
Beliau adalah pejuang pembebasan Borneo Utara ke atas
Tentera Jepun. Sewaktu zaman akhir penjajahan Jepun Tun Mustapha telah
bertindak menentang tentera Jepun dan pihak Jepun telah menawarkan ganjaran
wang untuk menangkap Tun Mustapha.Sewaktu pemberontakan Albert Kwork, Albert
Kwork telah mengajak Tun Mustapha untuk sama-sama menyerang Jesselton, tetapi
beliau menasihatkan Alber Kwork bahawa belum tiba masanya untuk memberontak.
Persediaan dan perancangan rapi adalah diperlukan. Albert Kwork telah bertindak
sendirian. walau bagaimanapun orang-orang Tun Mustapha dari suku Bajau Bannaran
dan Sulu dari Mantanani dan Inanam dibawah pimpinan Panglima Ali dan beberapa
pemimpin Bajau Suluk yang lain telah sama-sama berjuang dengan Alber Kwork.
Pada tahun 1944, beliau telah belayar menggunakan kapal
layar Bajau jenis kumpit ke Palawan (Filipina)bersama-sama sahabatnya Haji
Jaafar dan seorang lagi untuk meminta bantuan tentera Amerika di Filipina.
Sewaktu di Pulau Balambangan ( Banggi ) Tun Mustapha dan Haji Jaafar telah
bertempur dengan lima orang tentera Jepun dengan bersenjatakan parang Barung(
senjata pusaka dari Datu Paduka Mat Salleh )dan mereka berjaya membunuh kesemua
tentera Jepun. Tun Mustapha telah memenggal kepala tentera Jepun yang dibunuhnya
untuk dibawa menemui Jeneral Mac Arthur ( Ketua Tentera Amerika Syarikat yang
berpangkalan di Filipina)untuk mendapatkan bantuan senjata bagi menentang
tentera Jepun di Sabah. Sewaktu Tun Mustapha di Filipina bapanya telah
meninggal dunia dan adiknya pula Datu Muhammadun bersama-sama sahabatnya (
sepupunya ) Alibasa telah ditangkap oleh tentera Jepun di perairan Pulau Banggi
sewaktu mengintip pergerakan tentera Jepun untuk memastikan pelayaran Tun
Mustapha ke Palawan selamat. Pada waktu itu, pihak Jepun menyangka bahawa yang
ditangkap itu adalah Datu Mustapha, tetapi mereka tidak tahu. (sumber lisan
adik bongsu Tun). Datu muhamadun telah disiksa oleh tentera Jepun dengan diikat
dipalang kayu.Dihiris-hiris badannya dan lukanya dibubuh garam. Beliau dijemur
dipanas terik diberi minum air sabun dan dipukul perut dan badannya oleh
tentera Jepun. Alibasa pula telah digantung di Karakit Pulau Banggi selama tiga
hari tiga malam dalam keadaan kepala ke bawah dan kaki terikat di atas. Beliau
juga disiksa dan dipukul oleh tentera Jepun. Selepas tiga hari Alibasa dan Datu
Muhamadun telah dibawa belayar ke Kudat. Datu Muhamadun telah memberikan amanta
akhir kepada Alibasa agar beliau mencari jalan untuk melarikan diri dan
memberitahu Tun Mustapha mengenai penagkapannya dan beliau berpesan agar
membela kematiannya nanti.
Ali basa telah berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut
di perairan Pulau Balak-balak Banggi dalam keadaan kaki tangan terikat dan
telanjang bulat.Menurut beliau sewaktu berada dalam air laut ikan yu hanya
mengelilingi beliau dan beliau boleh bernafas dalam air.Air laut tidak mengenai
hidungnya dalam jarak sejengkal. Beliau berjaya membuka ikatan di kaki dan
tangannya dan berenang ke Pulau Balak-Balak Banggi. Sewaktu terjun ke dalam
laut, beliau telah dihujani dengan peluru meriam dan senapang tentera Jepun
namun tidak langsung mengenai tubuh badannya.Keberanian Datu Muhamadun dan
Alibasa telah diabadikan dalam SYAIR PERANG SABIL dalam versi bahasa Suluk
untuk menaikkan semangat jihad tentera gerila di Sabah.
Sewaktu Tun Mustapha telah kembali ke Sabah beliau amat
marah dengan kematian adiknya. Tun Mustapha telah menubuhkan dan mengetuai
tentera gerila bumiputera Sabah dengan berpangkat Kapten. Pasukan tentera
gerila ini telah disertai oleh orang-orang bumiputera dari suku Suluk, Bajau
Bannaran, Kagayan, orang sungai dan orang Brunai dari Kudat, Kota Marudu dan
Pitas. Beliau bermula dengan pangkat prebet dan setelah itu dinaikkan pangkat
ke Sarjan di dalam Bahagian Perkhidmatan Perisikan Rahsia. 5 April 1945, Tun
Datu Mustapha dinaikkan pangkat Leftenan. Selepas itu, beliau menjawat jawatan
Kapten gerila British di Borneo Utara di bawah pimpinan Kolonel R.G.P.N.
Comber, Bekas Pegawai Daerah Kota Belud. Sewaktu melawan tentera Jepun, pasukan
gerila Tun Mustapha telah terlibat dengan beberapa pertempuran di Kudat, Kota
Marudu, Pitas, Kota Belud dan Pulau Banggi. Sewaktu fasa akhir melawan tentera
Jepun Tun Mustapha telah menempatkan semua keluarga dan sanak saudaranya yang
ingin berpindah ke sebuah tempat persembunyian yang dikenali sebagai TAPOKAN di
kawasan Telaga, Pitas.
Sekembalinya British dari Perang Dunia Kedua, beliau
menyandang kerusi Ketua Anak Negeri Kelas 1 membawa gelaran Orang Kaya-Kaya
(OKK). Belaiu telah memperjuangkan kemerdekaan Sabah dan atas kepimpinannya
sewaktu melawan tentera Jepun di Sabah beliau telah diberi mandat untuk
memimpin Sabah bagi mencapai kemerdekaan. Setelah itu, tiba saat
gilang-gemilang apabila Sabah merdeka dalam Malaysia, beliau dilantik sebagai
Yang DiPertua Negeri Sabah.
Source : Tokoh Tokoh Pejuang Sabah