|
Kedayan Campuran Pribumi Brunei Dan Orang Jawa? |
Menurut
tradisi lama, disebut yang kaum Kedayan ini berasal dari Tanah Jawa, tetapi
dalam versi yang pelbagai. Dalam satu sumber, kaum Kedayan dikatakan berasal
daripada pengikut putera raja Jawa bernama Raden Angsuka Dewa yang kalah
bertarung ayam sabung dengan wakil raja Brunei, Awang Sinuai. Dalam satu sumber
lain pula disebut, yang kaum Kedayan ini merupakan pengikut kepada Puteri
Chanai Lela juga dikatakan puteri dari Tanah Jawa yang berkahwin dengan Sultan
Bolkiah. Jika dilihat dari tarikh kejadian, kedua peristiwa itu berlangsung
dalam jangka masa yang agak lama iaitu kira-kira 200 tahun. Jadi ada berapa
suku Kedayan yang sebenarnya ?
Dalam
satu pendapat lain, mereka memang berasal dari Tanah Jawa tetapi bukan
berhijrah secara besar-besaran, cuma berlaku perkahwinan campur diantara orang
Jawa dengan penduduk setempat di Brunei. Jika sumber pertama diambil kira,
nenek moyang orang Kedayan itu ialah 42 orang pengikut atau pengiring Raden
Angsuka Dewa yang sudah tentunya lelaki. Jadi untuk melahirkan keturunan,
semestinya mereka ini akan mengahwini wanita-wanita Brunei, dan sebagai
kelompok yang kecil sudah tentu mereka ini akan diasimilasikan kedalam keluarga
wanita-wanita ini yang boleh jadi kaum Murut Brunei (Lun Bawang) atau kaum
Bisaya.
Dalam
satu sumber, pengikut-pengikut Raden Angsuka Dewa ini telah memasuki dan
mendiami kawasan Limau Manis. Limau Manis di Brunei sekarang, majoriti
penduduknya ialah kaum Kedayan tetapi beberapa abad yang lepas kawasan ini
merupakan kawasan penempatan kaum Murut dan seterusnya Bisaya sebelum didiami
oleh kaum Kedayan.
Sumber
kedua pula menjadi persoalan, jika nenek moyang kaum Kedayan dikatakan telah
bertapak di Brunei semenjak zaman Alak Bertatar lagi, bagaimana pula kaum
Kedayan boleh muncul pada zaman Sultan Bolkiah ? Berkemungkinan besar, berlaku
perkahwinan campur diantara pengikut puteri Jawa ini dengan penduduk setempat,
jadi bagi yang susur galur nasab bapanya terus kepada pengikut ini, maka
keturunan mereka akan mengaku berasal dari pengikut Puteri Chanai Lela. Dalam
satu versi Puteri Chanai Lela bersama 7 pengiringnya ditemui di tengah lautan,
dalam satu versi lain pula Puteri Chanai Lela yang disebut Puteri Lela
Menchanai berasal dari kerajaan Sulu. Apa yang jelas, keturunan mereka ini,
tidak mengamalkan kebudayaan Jawa, baik pakaiannya, baik wayang kulitnya, baik
reognya, baik gamelannya, baik kuda kepangnya dan sebagainya. Kebudayaan yang
menjadi ikon Jawa ini langsung tidak ditemui dalam kebudayaan kaum Kedayan.
Pendapat
ini diperolehi melalui Buku The Oya Melanau tulisan Harold Stephen Morris yang
memetik sumber - sumber Melanau :
Penduduk
'asel' Brunei ialah kaum Kedayan dan kaum pedalaman, tetapi bandar Brunei telah
ditubuhkan oleh tujuh orang bersaudara dari Bukit Seguntan di Tanah Jawa yang
telah membina rumah panjang di Brunei.
Juga
disebut :
Pada
masa itu penduduk Brunei bertutur dalam bahasa Kedayan Brunei tetapi telah
dipengaruhi oleh bahasa Melayu.
Ada
beberapa perkara yang menarik perhatian penulis berkaitan dengan asal usul
bandar Brunei berdasarkan cerita lisan kaum Melanau ini. Diantaranya ialah,
penduduk asal Brunei ialah kaum Kedayan dan penduduk pedalaman - mungkin Lun
Bawang atau Bisaya. Alak Bertatar serta tujuh orang saudaranya membina rumah
panjang. Rumah panjang juga merupakan identiti kaum Dayak. Dan seterusnya
bahasa Kedayan Brunei sudah menerima pengaruh bahasa Melayu.
Perlu
diingat juga yang kaum Melanau mempunyai hubungan sejarah yang agak panjang
dengan kesultanan Brunei malah dalam syair Awang Semaun ada disebut kisah
peperangan diantara kedua kerajaan ini yang mana berpuluh-puluh ribu kepala
kaum Melanau telah dipenggal sebagai 'souvenior' oleh orang-orang Murut (Lun Bawang Brunei) yang menjadi tentera
terpenting kepada angkatan Awang Semaun. Namun raja Brunei Alak Bertatar,
enggan menerima kepala-kepala ini, baginda cuma berkenan akan harta rampasan
perang. Di dalam Syair Awang Semaun disebut peristiwa kepala dipenggal ini:
Rakyat
Simaun terlalu garang, beribu laksa (sepuluh ribu) dibuat geranjang, sekalian
Murut, mana yang bujang, mengambil kepala memberi tunang.
Seribu
seorang kepala olehnya, setengah membakar semua rumah, ada yang merampas pasu
lutunya, lain merampas tajau buraknya.
Peristiwa
serangan ke atas negeri Melanau di Igan. Sebelum menyerang Igan, kerajaan
Brunei terlebih dahulu meminta kerajaan Tutong melalui wakil Pambakal Bangis
untuk tunduk kepada Raja Alak Bertatar namun raja Muwangga menjelaskan yang
mereka sebahagian dari pemerintahan raja Melanau iaitu Raja Basiung dan Tugaw.
Amat jelas di sini angkatan tentera Brunei mengamalkan 'ngayau'. Dalam Syair
Awang Semaun, tidak disebut nama bangsa pengasas kerajaan Brunei tetapi ramai
pengkaji berpendapat mereka sama ada Murut (Lun Bawang) ataupun Bisaya.
|
Kaum Kedayan itu kaum Dayak yang telah masuk Islam? |
Kalau
kaum Kedayan itu asalnya kaum Dayak yang telah diislamkan, dari suku manakah
mereka digolongkan ? Tidak ada kajian khusus mengenai status sama ada kaum
Kedayan ini asalnya Dayak, tetapi berdasarkan maklumat yang berlegar dilaman
sesawang, dari segi bahasa, dialek Kedayan ini juga amat mirip dengan dialek
Dayak Kendayan atau Kanatyan, juga mirip dengan dialek Banjar dan beberapa suku
kaum Dayak lain di Kalimantan.
Di
Brunei misalnya,
Spencer
St John dalam bukunya menyebut berdasarkan maklumat yang diperolehi beliau
melalui seorang warga emas bernama Bujang, kaum Kedayan, orang Pebalat dan
orang Perambat di Brunei berasal dari kaum Murut yang telah memeluk Islam
beramai-ramai selepas perkahwinan Alak Bertatar dengan seorang puteri dari
Johor.
Di
dalam buku tersebut juga beliau menulis akan penemuan sebuah tapak perkuburan
purba dengan tulang temulang di dalam tajau berhampiran dengan konsulat British
yang berdasarkan maklumat setempat milik nenek moyang kaum Kedayan.
Dalam
catatan lain berkaitan Lubang Kudih, Spencer St John juga ada menyebut yang
kaum Kedayan ini menggunakan besi leper bulat sebagai penebat telinga tetapi
ianya berbeza dengan tradisi kaum Kayan dan Kenyah yang menjadikan besi sebagai
pemberat telinga.
Malah
beberapa suku Dayak yang lain di Sarawak turut mengakui yang Awang Semaun
merupakan hero dari masyarakat mereka antaranya kaum Iban, Bisaya dan
sebagainya. Malah dalam bahasa Murut (Lun Bawang di Brunei), semaun atau si
maun membawa maksud Yang Sangat Lama atau The Ancient One. Sang Sapurba ??
Dalam
kajian lain terdapat bukti yang menunjukkan ramai kaum lain telah berasimilasi
ke dalam kaum Kedayan.
Kedayan
adalah Muslim, bertutur dalam dialek Melayu, oleh sebab itu dari semasa ke
semasa, mereka mula diserap ke dalam kaum yang lebih dominan iaitu Melayu
Brunei, berkahwin campur dengan mereka. Mereka (Kedayan) nampaknya bertindak
sebagai 'buffer population' diantara kaum Melayu Brunei dan kaum minoriti
pagan. Terdapat bukti jelas yang kaum Lun Bawang, Tutong dan Belait telah
diserapkan ke dalam kaum Kedayan.
Jika
di dalam artikel sebelumnya, penulis ada mengetengahkan peristiwa perang di
antara Brooke dengan Brunei, buku The Continent Volume 4 tulisan Albion Wineger
Tourgee dengan jelas menceritakan bagaimana rupa bentuk pakaian perang kaum
Kedayan yang menyebelahi Pangeran Usop. Disebut :
'...
memakai dastar yang dihiasi bulu burung pegar, memakai jaket berwarna merah dan
memegang tombak, memakai kain berbentuk 'kilt' berwarna merah dan putih
berpetak-petak yang menyerupai sarong (kain samping) Melayu, dilengan dan kaki
dipasang gelang tembaga yang besar-besar ... '
'...
dari kejauhan nampak jelas akan pengawal-pengawal Kedayan berjaket merah ...
James Brooke berkata : mereka ini segaja menempah kehancuran bagi diri mereka
... '
Gambaran
peristiwa di atas yang berlaku pada tahun 1846 mungkin sesuatu yang baharu bagi
sesetengah kaum Kedayan itu sendiri. Gambaran pakaian yang digunakan ada
sedikit mirip kaum Dayak cuma mereka tidak berchawat tetapi bersamping seperti
kaum Melayu. Kemungkin mereka silap dalam menamakan kaum atau bangsa juga agak
mustahil kerana selain dari tulisan di atas, tulisan lain juga menyebut yang
peperangan tersebut ialah di antara Pangeran Usop yang disertai oleh 300
Kedayan dengan James Brooke dan pihak Pangeran Badrudeen dan Muda Hashim.
Selain
dari Kedayan atau Kadayan yang berbudaya Brunei ini, ada beberapa suku kaum
lain yang juga menggelarkan diri mereka dengan nama Kedayan/Kadayan pada suatu
ketika dahulu. Antaranya ialah kaum Dusun Brunei, sebelum menggelarkan diri
mereka Sang Jati Brunei, mereka menggunakan nama Sang Kedayan. Begitu jugalah
halnya dengan beberapa suku kaum Dusun di Sabah. Sebelum penggunaan nama Dusun
dipopularkan sesetengah kaum tersebut menggunakan gelaran Kadayan seperti
Kadayan Rungus, Kadayan Tobilung, Kadayan Lotud, Kadayan Maragang dan
sebagainya. Kadayan boleh dikatakan sama maksud dengan Kadazan. (sumber Dusun
People)
Apapun
yang pasti siapa nenek moyang kaum Kedayan itu masih menjadi misteri. Majoriti
bersetuju yang kaum Kedayan itu lahir hasil perkahwinan campur diantara orang
Jawa dengan kaum-kaum pribumi Brunei. Ada juga yang berpendapat kaum Kedayan
memang penduduk asal Brunei dan merupakan kaum Dayak yang diislamkan lebih 500
tahun dahulu. Dan apa yang menarik, dalam legenda kaum Bisaya Sarawak yang
turut membawa kepada legenda Visaya di Filipina, semasa pemerintahan Raja
Makatunow (Alak Bertatar), ramai Datu Datu termasuk Datu Kedayan berhijrah ke
Panay di Filipina sebelum membuka penempatan-penempatan lain di sana. Lagi
sekali tercatat, kaum Kedayan telah wujud sebelum zaman Sultan Bolkiah.
Jika
cerita-cerita legenda boleh dijadikan sandaran, sememangnya kaum Kedayan telah
wujud di Brunei sebelum zaman Sultan Bolkiah lagi. Satu lagi, mitos Naga
Kinabalu sebenarnya ada kaitan juga dengan kaum Kedayan ini.
Naga
Kinabalu dikatakan anak kepada sepasang Kedayan dari Serusop Brunei, ibunya
bernama Rubiah dan dia mempunyai seorang saudara lelaki bernama Datu Kadudong.
Setelah badannya semakin membesar ia berpindah ke Tambalang. Namun Naga
Kinabalu tetap melawat keluarganya sebulan sekali iaitu semasa bulan mengambang
penuh dan turut membawa batu geliga naga bersamanya. Ia pernah dibawa menghadap
raja Brunei di Lapau namun kerana tubuhnya yang besar, Lapau itu mengalami
kerosakan. Setelah kematian ibu dan saudara lelakinya ia membawa diri ke Gunung
Kinabalu.
Seterusnya,
geliga naga inilah yang dicari oleh Ong Sum Ping. Ong Sung Ping ini hidup
beratus tahun lebih awal dari Sultan Bolkiah. Tapi akhirnya mitos tetap mitos,
tetapi di dalam kebanyakkan mitos, watak utamanya kebiasaannya memang wujud.
(cerita ini terkandung di dalam koleksi sejarah awal Brunei sehingga tahun 1432
Masihi).
| Kaum Kedayan Kacukan Brunei - Jawa |
Jika dalam bahagian satu, penulis ada menyebut perihal
pengikut Raden Angsuka Dewa, Betara Majapahit yang digadaikan kepada Raja Alak
Bertatar setelah kalah bersabung ayam dengan Awang Sinuai dan kisah pengikut
Puteri Lela Menchanai @ Chanai Lela kali ini penulis akan menyentuh mengenai
kisah asal usul kaum Kedayan berdasarkan legenda Bukit Telanai Brunei.
Pada zaman Sultan Bolkiah memerintah baginda mempunyai
seorang Panglima yang juga berasal dari keturunan diraja. Panglima ini telah
berkahwin dengan seorang gadis jelita dari Tanah Jawa. Panglima ini amat suka
bersukan terutamanya bermain gasing dan juga bersabung ayam. Gua Harimau yang
terdapat di Bukit Telanai dikatakan dibina oleh beliau dan ianya merupakan
sebuah terowong bagi membolehkannya berada di mana-mana di antara Bukit Telanai
dan Bukit Sinarubai. Walaubagaimanapun, Bukit Telanai yang berada di antara
Bandar Seri Begawan dan Tutong itu telahpun diratakan untuk projek lebuh raya.
Kaum Kedayan dikatakan keturunan Panglima dan gadis Jawa tersebut.
| Kaum Kedayan Keturunan Orang Jawa Dari Majapahit Yang
Berkedai-Kedaian |
Menurut satu sumber yang diberikan oleh seorang informan
dari Sibuti, Bahagian Miri Sarawak, kaum Kedayan ini merupakan kaum yang
berasal dari Majapahit. Mereka dinamakan sebagai kaum Kedayan kerana pekerjaan
asal mereka setelah tiba dari Majapahit ialah sebagai penjaga kedai-kedai di
Brunei. Mereka kemudiannya disebut orang berkedai-kedaian yang akhirnya menjadi
Kedayan.
| Kedayan Ada Pertalian Darah Dengan Datu Merpati Jepang? |
Datu Merpati Jepang yang amat terkenal di kalangan
masyarakat Melayu Sarawak di dalam satu geneologi tercatat bahawa wujud
pertalian darah diantara mereka. Geneologi tersebut menulis, Perbaita Sari
mempunyai putera bernama Adipati Merpati dan berkahwin dengan Dayang Suri @
Datu Permaisuri puteri kepada Raja Jarum lalu berputerikan Dayang Seri Bulan.
Dayang Seri Bulan mempunyai abang iaitu
Datu Merpati Jepang. Dayang Suri berkahwin dengan Sang Aji Kala raja Kedayan
Brunei dan berputerakan antaranya Pateh Leila, Pateh Sangkuna, Awang Semaun,
Pateh Pahit dan Alak Bertatar.
Dalam geneologi tersebut Pateh Leila dicatatkan sebagai
keturunan Kedayan.
Walaubagaimanapun, penulis tidak pasti akan kesahihan
geneologi di atas namun sekadar ingin berkongsi apa yang penulis baca dan
perolehi secara tidak sengaja semasa mencari maklumat berkaitan Sang Aji
Brunei. Benar atau tidak atau sekadar 'akun-akun' wallahu'alam.
| Petani Yang Diimport Dari Jawa Untuk Memakmurkan Brunei |
Sultan Bolkiah semasa berlabuh di Tanah Jawa terdengar akan
kekayaan dan kemakmuran pulau tersebut. Penanaman padi juga amat subur di sana.
Brunei pada ketika itu walaupun agak terkenal di Nusantara, namun dari segi
bidang pertanian, Brunei amat jauh terkebelakang. Atas sebab itu, Sultan
Bolkiah telah mempelawa petani-petani Jawa untuk mengajar penduduk Brunei
bagaimana cara untuk bertani dan bercucuk tanam. Mereka ini ditempatkan di
Pasir Jerudong.
Begitulah, empat kisah asal usul Kedayan yang mempunyai kaitan
dengan Jawa.
Nota
:
Penulis
merujuk kepada beberapa tradisi lisan dan tulisan yang jarang diketengahkan
mengenai asal-usul kaum Kedayan ini. Penulis cuma ingin membawa pembaca untuk
menilai sendiri apakah kaum Kedayan ini pendatang atau sebenarnya memang asli
Brunei dan memang asli Borneo ?
Sumber
:
- The Oya Melanau : Harold Stephen Morris
- Life in the Forest of the Far East with Numerous Illustrations Vol. 2 : Spencer St John
- The Continent Vol. 4 : Albion Wineger Tourgee
- Journal of East Asiatic Studies University of Manila Vol 8-9 : 1959
- Tarsilah Brunei - early history of Brunei up to 1432 AD Vol 1 : Mohd Jamil Al Sufri.
Source : Misteri Asal Usul Kaum Kedayan
No comments:
Post a Comment