Saturday 9 May 2015

Perang Saudara Mukah 1852

PERANG SAUDARA MUKAH 1852


 
Jolly Bachelor engaging pirates off T.Datu, Sarawak, 1843

Mukah merupakan salah satu daerah yang merupakan antara pengeluar hasil sagu yang amat bernilai di Sarawak pada masa sekarang. Penghasilan sagu di Mukah bukannya hanya dilakukan secara komersial sekarang tetapi sagu juga merupakan penyebab kepada mengapa Mukah yang dahulunya salah satu daerah yang diperintah oleh pembesar Kesultanan Brunei jatuh kepada tangan Keluarga Brooke.suatu waktu dahulu. Ianya semua berlaku kerana berlakunya perang saudara diantara ketua masyarakat Mukah yang akhirnya membawa kepada rentetan Mukah yang kaya ini menjadi salah satu tanah jajahan di dalam empayar Negara Sarawak dibawah pemerintahan Kerajaan Brooke suatu ketika itu. Inilah sejarah yang tiada di dalam pembelajaran teks sejarah bagi kita Bangsa Sarawak sekalian.

Pada akhir tahun 1852, pertikaian antara Pengiran Arshad dan Pengiran Matusin yang berpunca dari masalah pembayaran cukai dan penguatkuasaan kuala sungai telah merubah menjadi titik tolak kepada campurtangan James Brooke di Mukah. Pada masa itu permintaan terhadap sagu mentah dari Mukah meningkat kerana laluan untuk mengeksport sagu dari Mukah adalah antara pengurusan yang terbaik sekali pada waktu itu. Kerana inilah saudagar-saudagar yang berurusan di dalam perniagaan sagu telah mendesak agar Mukah dijadikan pelabuhan bebas cukai namun Pengiran Arshad tidak mempersetujui permintaan itu. Pengiran Matusin yang merupakan pemimpin yang menguasai hulu sungai iaitu kawasan pengeluaran sagu tidak bersetuju dengan tindakan Pengiran Arshad lalu mengarahkan anak buahnya agar tidak membayar cukai kepada Pengiran Arshad apabila melalui Kuala Tellian. Pengiran Arshad yang tercabar dengan tindakan Pengiran Matusin telah membuat laporan kepada Sultan Abdul Mu’min kerana Pengiran Arshad adalah gabenor yang dilantik oleh Sultan Abdul Mu’min di Mukah.

Setelah mendengar laporan daripada Pengiran Arshad maka baginda pun menjatuhkan hukuman buang daerah kepada Pengiran Matusin. Atas dasar menghormati Kerajaan Brunei pada waktu itu, Pengiran Matusin telah pergi menyembah Sultan Mu’min di Brunei bagi memohon pengampunan dan beliau diampun oleh baginda Sultan. Tetapi sebelum Pengiran Matusin menyembah Sultan Mu’min, terlebih dahulu beliau telah berkunjung ke Kuching menemui Charles Brooke bagi memohon khidmat nasihat. Setelah mendapat pengampunan, Pengiran Matusin kembali ke Mukah dan sekali lagi berlaku pertikaian antara Pengiran Matusin dan Pengiran Arshad sehingga membawa kepada Pengiran Arshad dibunuh oleh Pengiran Matusin.
Charles Brooke


Pembunuhan Pengiran Arshad ini telah menyebabkan peperangan saudara berlaku diantara pengikut Pengiran Matusin dan pengikut Pengiran Arshad. Tindakan Pengiran Matusin yang mencetuskan peperangan saudara serta pembunuhan Pengiran Arshad di Mukah telah tidak disenangi oleh Pengiran Mentali yang merupakan wakil Sultan Brunei di Oya. Beliau meminta bantuan Syarif Masahor yang merupakan pemimpin di Wilayah Rejang. Melalui bantuan Syarif Masahor, Pengiran Matusin berjaya ditangkap tetapi beliau berjaya melepas diri lalu melarikan diri ke Kuching memohon bantuan daripada Charles Brooke untuk campurtangan dengan kemelut di Mukah. Melalui Pengiran Mentali, Pengiran Dipa (anak kepada Pengiran Arshad) telah diangkat sebagai pemimpin Mukah menggantikan ayahandanya yang mangkat dibunuh.
 
Sharif Masahor

Pada tahun 1858, Charles Brooke telah menghantar armada perangnya ke Mukah untuk mengempur pengikut-pengikut Pengiran Dipa, pemimpin Mukah yang baru dilantik. Pengiran Dipa telah memohon bantuan daripada Sharif Masahor untuk mempertahankan Mukah daripada serangan daripada armada perang Charles Brooke. Berlakulah peperangan antara Sharif Masahor dan armada perang Charles Brooke. Pada tahun 1861, melalui pengaruh James Brooke dengan bantuan Spencer St John yang merupakan konsul British di Brunei pada masa itu berjaya memujuk Sultan Mu’min untuk membuat sekatan perdagangan sagu di Mukah yang dibawah bidang kuasa Pengiran Dipa. Selepas Sharif Masahor ditangkap dan dibuang negeri ke Selangor, Mukah diserahkan secara rasminya kepada James Brooke. Pengiran Dipa dengan pengikutnya telah diarahkan untuk kembali ke Tutong, Brunei dan diberi tanggungjawab untuk mentadbir Tutung. Maka bermulalah era di mana Mukah menjadi empayar Negara Sarawak dibawah kuasa Rajah James Brooke.


source: :Borneo Oracle, Perang Saudara Mukah

1 comment:

  1. ....Hmmm...interesting...each side have their own version of events...

    ReplyDelete