Pengenalan
WARISAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN
Masyarakat
Kadazandusun ini memiliki banyak budaya yang boleh diwarisi contohnya dari segi
asal-usul, lagenda dan perkembangan suku kaum Kadazandusun, bahasa, pakaian
tradisional, muzik berunsurkan tradisional, corak kehidupan masyarakatnya,
tarian tradisional dan kemuncak bagi pemartabatan warisan budaya Kadazandusun
ialah Perayaan Pesta Kaamatan yang diadakan pada setiap tahun.
Dalam aspek asal-usul, lagenda dan perkembangan suku kaum
Kadazandusun menjelaskan tentang kelahiran kaum Kadazandusun dan lagenda
kelahiran kaum ini bermula dari "Nunuk Ragang" sehinggalah kepada
perkembangan dan penyebaran sukukaum ini ke seluruh pelusuk negeri Sabah yang
telah banyak mempengaruhi sosio budaya mereka mengikut tempat yang baru,
contohnya dari aspek bahasa dan corak kehidupan mereka. Mengikut statistik,
terdapat lebih kurang 40 etnik yang terdapat dalam suku kaum Kadazandusun.
Dari aspek
bahasa, perbezaan loghat, sebutan dan ejaan banyak dipengaruhi mengikut etnik
tertentu. Contohnya, sebutan dan ejaan sukukaum Kadazandusun dari satu daerah
dengan daerah lain di negeri sabah adalah berlainan tetapi masih membawa erti
dan makna yang sama. Pada dasarnya bangsa Kadazandusun bertutur bahasa
Kadazandusun yang disandarkan pada dialek Bunduliwan dan diperkayakan dengan
dialek-dialek etnik yang lain. Meskipun bahasa Kadazandusun mempunyai berbagai
dialek berdasarkan dialek Bunduliwan, mereka saling mengerti di antara satu
dengan lain. Bahasa Kadazandusun bolehdibahagikan dalam empat kumpulan dialek
seperti berikut;
- Dialek Kadazandusun Pantai Barat
- Dialek Kadazandusun Pantai Timur
- DialekKadazandusun Utara
- Dialek Kadazandusun Pedalaman
Pakaian
tradisi ini pula berbeza mengikut kawasan dan sosio budaya sukukaum
Kadazandusun. Dalam aspek ini, tumpuan diberikan kepada corak pakaian dalam
perayaan tertentu. Setiap etnik dalam Kadazandusun mempunyai pakaian tradisinya
sendiri.
Muzik tradisi yang ditonjolkan dalam kaum ini amat menarik
dan unik. Alat-alat dan bunyi-bunyian tradisional ini banyak terdapat dalam
suku kaum Kadazandusun dan ianya berpotensi untuk diwarisi oleh generasi muda
kini. Antara lain alat-alat muzik tradisi yang popular ialah gong, sompoton,
kulintangan, togunggu atau togunggak, bungkau, pumpuak, sundatang, suling,
turali, tongkungon dan lain-lain lagi.
Disebabkan masyarakat Kadazandusun ini memiliki pelbagai
budaya yang unik mengikut etnik tertentu maka corak hidup mereka juga berbeza
mengikut tempat tertentu. Kebanyakan corak kehidupan mereka ini dipengaruhi
oleh adat resam penduduk setempat. Adat resam inilah yang mempengaruhi corak
kehidupan masyarakat Kadazandusun sesuatu kawasan.
Dalam setiap
upacara rasmi ataupun perayaan tertentu, tarian tradisional suku kaum
Kadazandusun sering menjadi daya tarikan dan kemeriahan majlis tersebut. Setiap
etnik dalam Kadazandusun mempunyai tarian tradisinya sendiri. Corak tarian tradisional
ini dipengaruhi oleh sosio budaya kawasan tertentu.
Kemuncak bagi pemartabatan warisan budaya sukukaum
Kadazandusun dan kesenian serta keunikannya ialah menerusi Perayaan Pesta
Kaamatan yang diraikan pada setiap 30 dan 31 Mei setiap tahun. Dalam perayaan
ini,berbagai acara menarik dan juga budaya kaum Kadazandusun yang ditonjolkan
dan dipamerkan. Antara lain acara yang biasanya menjadi tarikan dalam Perayaan
Pesta Kaamatan ialah "Unduk Ngadau" Kaamatan yang mempamerkan pakaian
tradisi mengikut etnik.
Konklusi, masyarakat Kadazandusun memang memiliki warisan
budaya yang sungguh unik, asli dan menarik. Justeru itu, melalui laman web ini
sedikit sebanyak memberi penerangan dan penjelasan kepada para pembaca yang
melayari laman web "Warisan Budaya Kaum Kadazandusun" supaya warisan
budaya masyarakat Kadazandusun ini tetap dipelihara dan dikekalkan untuk
tatapan dan penyelidikan generasi masa akan datang.
Menurut
Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Kadazandusun merujuk kepada
empat puluh satu etnik seperti berikut; ·
Bisaya, Kuijau, Murut, Sungai, Bonggi, Lingkabau, Nabai,
Tatana, Bundu, Liwan, Paitan, Tangara, Dumpas, Lobu, Pingas, Tidong, Gana,
Lotud, Rumanau, Tindal, Garo, Lundayo, Rungus, Tobilung, Idaan, Makiang,
Sinobu, Tolinting, Kadayan, Malapi, Sinorupu, Tombonuo, Kimaragang, Mangkaak,
Sonsogon, Tuhawon, Kolobuan Minokok, Sukang, Tutung.
Kita akui bahawa kesemua etnik di atas berasal dari Nunuk
Ragang, iaitu satu petempatan awal Kadazandusun yang terletak di
"Tompios" dalam daerah Ranau pada hari ini.
LAGENDA NUNUK RAGANG
Catatan yang lengkap mengenai Nunuk Ragang sudah lama hilang
namun apa yang masih tinggal hanyalah teori-teori para ahli Sains Sosial dan
cerita legenda.
TEORI SAINS SOSIAL
Terdapat sekurang-kurangnya empat teori mengenai asal-usul
kaum kadazandusun.
Teori Pertama: Kaum Kadazandusun berasal dari keturunan
"Mongoloid" (Ivor H.N. Evans:1923 dan T.R. Williams: 1965);
Teori Kedua : Kaum Kadazandusun berketurunan
"Indo-Malayan" (T.R. Williams: 1965).
Teori Ketiga : Kaum Kadazandusun adalah kacukan kaum China
(Ivor H.N. Evans:1923 dan Owen Rutter:19220
Teori Keempat : Kaum Kadazandusun adalah keturunan orang
purba Gua Madai.
Sejarah lisan
atau Cerita Legenda yang popular menunjukkan bahawa Kadazandusun berasal dari
tempat ini - "NUNUK RAGANG". Tempat ini terletak di sebuah kawasan di
sekitar muara pertemuan dua batang sungai iaitu sungai Kogibangan (dari arah
kiri) dan Sungai Kawananan (dari arah kanan) yang telah bercantuman menjadi
sungai yang lebih besar, yang dinamakan Sungai Liwogu (Dalam dan Tenang).
Kerana diliputi dengan "lembaga hidup yang kelihatan
kemerahan-merahan" masing-masing dengan telatah dan perangainya.
Di bawah
pohon, di tebing sungai dan di atas sepanjang juntaian akar Nunuk - penuh
dengan lembaga itu. Pantulan warna ke "kemerahan" semakin menyerlah
apabila cahaya matahari terpancar ke arah tubuh lembaga-lembaga itu. Oleh yang
demikian, Nunuk itu kelihatan seolah-olah "merah" lalu ia dipanggil
Nunuk Ragang. (Aragang/Ragang(Bahasa Kadazandusun)=Merah.
Tanggapan bahawa Nunuk itu Merah atau Nunuk Ragang adalah
kiasan bagi menggambarkan betapa ramainya manusia (lembaga merah) yang bersenda
ria di sekitar kawasan Nunuk ini. Sebenarnya, manusia yang ramai dikiaskan
sebagai "warna merah" apabila dilihat dari jarak jauh dan bukanlah
pokok Nunuk itu yang berwarna merah.
Sejak itu,
nama NUNUK RAGANG ini menjadi "identity" rakyat Sabah yang
mempercayai bahawa "asal-usul" mereka adalah dari kawasan ini. Tempat
ini dikenali sebagai Pomogunan Nunuk Ragang, nama yang diambil bersempena
dengan kewujudan pokok Nunuk, yang pada suatu ketika dahulu "merah"
satu perlambangan menunjukkan betapa ramai manusia di tempat ini.
Di kawasan muara percantuman dua batang sungai ini, terdapat
sepohon pokok Kayu Ara (Nunuk). Saiz pokok Nunuk itu sangat besar dan
sebahagian daripada akar serta dahan-dahannya condong ke arah sungai Liwogu.
Dahan-dahan dan akar terjuntai ke sungai, sangat sesuai sebagai tempat rekreasi
seperti memanjat, bergayut, berteduh dan sebagainya.
Penduduk di
sini sangat ramai, ketika cuaca baik dan cahaya matahari memancar di ufuk barat
dari jam 1.00 petang hingga 4.00 petang, ketika itulah ramai penduduk (tidak
kira tua, muda, gadis, pemuda dan anak-anak dsb..) turun bermandi-manda di
sungai Liwogu, sementara yang lain memanjat, bergayutan serta ramai yang
berjemur di atas dahan-dahan rending Nunuk tersebut.
Suasana demikian berlaku hampir pada setiap hari dan pada
masa yang hampir sama, kecuali cuaca tidak baik atau sungai Liwogu ini banjir.
Maka apabila seseorang melihat pokok Nunuk dalam suasana seperti itu dari jarak
jauh, sama ada dari puncak bukit mahupun dari sebarang sungai Liwogu,
pemandangannya sangat menakjubkan. Pokok Nunuk kelihatan seolah-olah
"aragang".
KEHIDUPAN MASYARAKAT NUNUK RAGANG
Masyarakat
terawal Kadazandusun dikatakan telah menghuni tempat ini dalam keadaan bebas,
menikmati berbagai-bagai jenis bekalan makanan yang mencukupi, baik makanan
daripada hutan mahupun daripada sungai serta hasil daripada usaha pertanian.
Keperluan hidup yang lain juga mudah diperolehi di sekeliling perkampungan
Nunuk Ragang ini.
Kehidupan mereka aman dan damai, bersatu padu,
mogitabang-tabang, mogiuhup-uhup, otoluod, obinsianan, orulan, ohinomod, aparu,
onimot, obingupus, okupi, obintinong, obingkanggau, obintumbayaan, obinronok,
obiniangasan, otuyu, obingopi, mamantang, otorini, opori, oining, obintudau,
osuau, opohawang, obulun om onitinginawo.
Hidup yang
tenang dan tenteram itu telah membolehkan mereka berfikir sambil menerokai
"teknologi baru" bagi menambah kecekapan, menamnbah dan memudahkan
urusan serta meningkatkan kesejahteraan hidup seharian. Bidang bidang yang
diterokai antara lain ialah peralatan pakaian (seperti sinombiaka, tokuluk
(sirung, linumbagai, golong, sinandang, limpogot, dll), peralatan pertanian
(seperti ragus, basung, dangol, gagamas, kakali, guyudan, kisaran, tosung,
rilibu/raya dll).
Peralatan perikanan (seperti tundalo, siud, bangkala,
tambong, bubu sawak dll), peralatan penternakan(lukug, gading dll ), peralatan
memburu (sopuk, tuwil, gaba, sungul, balatik, paliw, tandus, ramok, rungkasip,
tabpai, sodik, tungkakub, pimpig, tawos dll), peralatan muzik dan bunyi-bunyian
(seperti tagung, sompoton, turali, bungkau, suling pumpuak, dll), peralatan dan
produk-produk ekonomi(seperti Bohungon, Basung, kakanan, luping, sigup, sada
toosin, bilis, tipun, paha, tusi dll).
Adat Resam kaum Kadazandusun
Asal usul makanan
Lazimnya,
menurut kepercayaan suku kaum Kadazandusun, padi berasal daripada isi manusia
yang bernama Huminodun. Huminodun ialah seorang gadis jelita anak kepada
Kinoingan. Kinoringan ialah nama Tuhan bagi nenek moyang suka kaum
Kadazandusun.
Kinoringan
telah mengorbankan anaknya Huminodun demi mengatasi masalah kebuluran di dunia.
Menurut kepercayaan suku kaum ini, segala jenis bahan makanan yang utama
berasal dari pelbagai bahagian badan Huminodun. Beras dari isinya yang putih
melepak; darahnya yang merah telah bertukar menjadi lada; halia pula adalah
jari jemari Huminodun; bawang 'tagaas' berasal dari rambut Huminodun; giginya
bertukar menjadi jagung; kepalanya pula menjadi kelapa dan sebagainya.
Oleh itu demi
menghormati dan mensyukuri pengorbanan Kinoringan dan Huminodun, nenek moyang
suku kaum ini mengadakan upacara-upacara adat seperti Momohizan dan Humabot.
Upacara Momohizan
Upacara
Momohizan ini diadakan pada bulan Ogos atau bulan September apabila padi
selesai dituai. Upacara momohizan diadakan untuk memuja semangat padi dan
memberi makan kepada penjaga semangat padi supaya membantu untuk menyuburkan
padi dan melindungi padi dari sebarang penyakit atau bencana alam. Upacara
momohizan biasanya berlangsung dirumah keluarga suku kaum Kadazandusun golongan
berada. Sementara itu golongan yang kurang berada akan meminta untuk didoakan
bersama ataupun dalam bahasa Kadazandusun 'mikiompit'.
Dua minggu
sebelum upacara ini diadakan tuan rumah akan meminta para penduduk kampung
untuk menolongnya menyediakan 'tapai' iaitu sejenis minuman keras tradisi
Kadazandusun. Upacara Momohizan dimulakan pada sebelah malam iaitu setelah
semua jemputan hadir. Beberapa orang Bobohizan (bomoh suku kaum Kadazandusun)
yang berpakaian serba hitam akan berkumpul dan memulakan upacara ini dengan
memanggil 'miontong pomumuon' (penjaga rumah/semangat padi) Apabila selesai
membaca mantera pemanggilan dalam kata lain apabila semua miontong dan 'tasab'
(malaikat padi) sudah dihimpunkan maka Bobohizan akan menaburkan serbuk ragi
(manasad) di atas nasi yang telah dihidangkan di atas nyiru dan diletakkan di
ruang tengah rumah.
Adalah
dipercayai bahawa perbuatan manasad dilakukan bersama-sama dengan miontong.
Setelah selesai manasad, nasi yang ditabur dengan ragi itu kemudian diisi ke
dalam sukat (saging) dan diatas nasi itu diletakkan arang (popou), kemudian
mulut sukat ini akan ditutup dengan daud simpur (daingin). Kemudian Bobohizan
akan mengisi beras ke dalam nyiru yang berbentuk segitiga (hihibuh), ketua
Bobohizan akan memungut sedikit beras dari nyiru dan meletakkannya ke atas
gendang.
Sambil membaca mantera, Bobohizan akan mengetuk gendang dan
kemudiannya memakan beras itu, tujuannya ialah untuk menjemput miontong
sama-sama memakan beras tersebut. Selepas itu beberapa orang pelatih Bobohizan
yang terdiri daripada sumandak (gadis-gadis sunti) akan berkumpul dan memukul
gendang sambil menyanyi dan membaca mantera 'tumingak' dan diikuti dengan
mantera 'sumava'. Seiringan dengan itu Bobohizan akan membungkus nasi dengan
daun simpur. Nasi yang dibungkus ini kemudiannya dipungut sedikit-sedikit lalu
diisi ke dalam tempayan kecil. Tempayan ini kemudiannya diletakkan di atas
batang bambu yang tingginya kira-kira tiga kaki dan hujung bambu itu diletak
untuk tempayan itu diletakkan. Batang bambu ini diikat pada tiang rumah dengan
menggunakan tali kyang diperbuat daripada kelapa (hisad).
Setelah itu
Bobohizan akan menjemput 'miontong' untuk minum tapai (moginum) bersama-sama.
Setelah itu bobohizan akan bersedia untuk menjemput dewata dari kayangan untuk
turut serta makan minum dan memohon kepada mereka untuk menjaga dan melindungi
padi serta keluarga suku kaum Kadazandusun.
Pelatih Bobohizan akan membaca mentara'mingau' dan diikuti
dengan mentera 'kumodong sakazan' ini ialah untuk memanggil semangat kenderaan
yang menurut mereka berbentuk perahu dan akan belayar terapung-rapung di udara.
Para Bobohizan akan menutup muka mereka dengan kain sambil membaca mantera
'modsuut/soikung' iaitu memanggil roh-roh kayangan. Para Bobohizan ini akan
menentukan arah tujuan masing-masing, biasanya dua orang Bobohizan akan belayar
ke kayangan (minsavat).
Acara 'modsuut' ini diiringi dengan paluan gong tanpa henti
dan Bobohizan pula membaca mantera dan mengoncang-goncangkan alat bunyian
mereka yang diperbuat serpihan-serpihan besi disangkutkan pada serpihan tulang
rusuk manusia yang dipercayai diturunkan oleh nenek moyang mereka yang
merupakan pahlawan peperangan (misasangod). Alat bunyian ini dipanggil
'sindayang'.
Antara bahan makanan yang dihidang di tengah rumah sebagai
jamuan 'mintong' ialah nasi, tapai, jeruk ikan (nosom) yang digaul dengan halia
dan padi (santadang paai). 'Modsuut' memakan masa yang agak lama iaitu lebih
kurang dari jam 1.00 tengah malam hingga jam 5.00 subuh. Apabila roh Bobohizan
itu sudah turun ke bumi dengan roh-roh kayangan, maka Bobohizan akan berehat
sebentar, samada mereka akan tidur atau makan.
Semasa
Bobohizan berehat, para jemputan akan menarikan tarian tradisional Kadazandusun
iaitu sumazau. Di sebelah pagi pula iaitu lebih kurang jam 6.00 pagi Bobohizan
akan memalu gendang sambil membaca mantera 'mihung', 'painsan', 'monduvazan dan
Bobohizan akan menyanyikan mantera 'momosik' tompuvan' (mengejutkan pari-pari
yang menjaga rumah).
Seterusnya Bobohizan akan menarik sehelai bulu dari seekor
ayam yang telah disediakan sebagai korban. Korban biasanya ialah seekor ayam
dengan seekor babi. Jantina korban mestilah bertentangan misalannya ayam jantan
dengan babi betina dan sebaliknya. Sehelai bulu ayam tadi akan diikat pada
hisad dan ianya akan dikuis pada tuan rumah dan para tetamu.
Ini ialah untuk melindungi mereka daripada serangan penyakit
agar mereka akan sentiasa sihat dalam mengerjakan sawah padi masing-masing.
Setelah itu tetamu akan dijamu dengan makanan yang telah disediakan seperti
nasi, tapai, daging ayam, daging babi dan sebagainya. Setelah Bobohizan menjamu
selera, mereka akan turun ke bawah rumah dan membawa korban itu bersama-sama
mereka. Bobohizan akan membaca mantera sambil memegang ayam korban dan sumazau.
Selepas
membaca mantera, ayam akan disembelih dengan menusuk kepala ayam itu dengan
benda tajam, kadangkala Bobohizan akan menggunakan klip rambut yang
besar(titimbok). Setelah ayam itu mati, bulunya akan dibakar sehingga terhidu
baunya. Ertinya ayam itu kini telahpun dikorbankan kepada miontong. Seterusnya
Bobohizan akan memanggil 'miontong' untuk minum tapai iaitu dengan menuangkan
sedikit tapai ke tanah.
Setelah itu
Bobohizan akan memotong, rumput dengqn parang dan membaca mantera 'manau' untuk
meminta dewata pulang ke kayangan. Kemudiannya korban-korban itu akan dibawa
naik semula ke rumah. Semasa para Bobohizan naik ke rumah, salah seorang tuan
rumah akan merenjiskan air kepada Bobohizan sebagai membersihkan Bobohizan yang
telah turun ke tanah. Bobohizan pula akan menyanyikan mantera 'sumamboi'.
Bobohizan
akan berehat seketika, kemudian acara 'magampah' akan diadakan dimana tetamu
dan ahli keluarga tuan rumah terutamanya kanak-kanak akan duduk berkumpulan
pada suatu tempat (lazimnya ditengah ruang tamu) lalu ditutup dengan kain yang
besar sambil Bobohizan menari-nari mengelilingi mereka dengan membaca mantera
dan memukul dua bilah parang (tandus atau ilang) di atas kain yang menutuoi
kumpulan itu untuk menghalau penyakit.
Bobohizan
yang lainnya juga akan menari-nari mengelilingi kumpulan ini dengan menguis
kain penutup dengan batang Lengkuas (tumbu) dan ohok (bunga). Apabila mantera
selesai dibaca, Bobohizan akan mengangkat kain penutup dan mereka yang ditutup
oleh kain itu akan bertempiaran lari kononya untuk meninggalkan penyakit
ditempat mereka berekumpul tadi.
Setelah itu
Bobohizan dan para tetamu akan para tetamu akan sumazau. Selepas jamuan tengah
hari, Bobohizan akan membaca mantera 'papasazau miontong' ini ialah untuk
menjemput roh-roh penjaga rumah/padi berpesta menari sumazau bersama-sama.
Sambil sumazau, Bobohizan akan memotong batang bambu (binabat) yang telah
disediakan, kemudian disangkut pada dinding rumah.
Hisad juga akan dihiris-hiris oleh Bobohizan. Hisad yang
jatuh ke lantai akandipungut dan ditabur diatas padi yang dipersembahkan
sebagai korban kepada 'miontong'. Selepas itu Bobohizan akan berehat dan pada
waktu inilah korban-korban seperti daging babi dan ayam dibersihkan dan
dibahagi-bahagikan. Bahagian usus korban ini akan dibawa oleh Bobohizan ke
sungai untuk dibersihkan. Upacara ini dinamakan 'humanau', ini juga bertujuan
untuk memberi makan kepada miontong .
Setelah itu
kesemua Bobohizan akan mandi, membersihkan diri mereka. Semasa perjalanan
kembali ke rumah tempat momohizan itu diadakan, Bobohizan dilarang untuk
menoleh ke belakang atau tersadung kaki semasa berjalan. Upacara momohizan ini
diadakan selama dua malam dan setengah hari. Malam keduanya Bobohizan akan
membaca mantera 'modsuut' lagi tapi dengan roh penjaga rumah/padi saja.
Di sebelah pagi hari kedua, bahan korban akan dibahagi-bahagikan
kepada para Bobohizan sebagai sogit dan selepas itu mereka akan dijamu dengan
makanan dan minuman tapai, ketika inilah para tetamu dan Bobohizan akan
berbalas pantun (kizat) atau syair (hius) dan acara ini sememangnya merupakan
acara untuk berhibur yang di selangi dengan gelak ketawa dan usik mengusik.
Setelah selesai makan, Bobohizan akan pulang ke rumah masing-masing dengan
berbekalkan sogit (huus).
Humabot
Upacara
Humabot ialah adat suku kaum Kadazandusun yang diamalkan oleh nenek moyang suku
kaum ini apabila mendirikan rumah baru. Sebuah keluarga suku kaum ini yang akan
mendirikan rumah akan meminta Bobohizan untuk menjampi tanah tapak rumah itu
didirikan.
Bobohizan memasukkan benda-benda seperti garam, butang baju
dan kayu sapad ke liang tanah tempat tiang dipacakkan. Selepas itu Bobohizan
akan merenjis air disekitar kawasan tapak rumah sambil membaca mantera, ini
bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat yang berkeliaran di tapak rumah
tersebut yang dipercayai akan mendatangkan malapetaka ataupun dalam bahasa
kadazandusun 'kopizo' Tiang akan dipacakkan jika tuan rumah termimpi baik,
tetapi jika sebaliknya, maka tapak tiang akan dialihkan sedikit dari tapak
asal.
Apabila rumah
sudah didirikan, Bobohizan akan dipanggil lagi dan kali ini upacara 'momodu'
atau memandikan rumah akan dijalankan. Bobohizan akan membaca mantera sambil
kaum lelaki akan menyalakan apai pada bambu yang hujungnya dibungkus dengan
getah (sikalap) dan membawa obor ini mengililingi rangka-rangka atap rumah sambil
bertempik sorak atau 'memangkis'. Ini bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat
pembawa malapetaka.
Upacara ini
biasanya disambut dengan keramaian dan para jemputan akan dihidangkan dengan
jamuan. Tuan rumah juga akan memjemput ketua keluarga yang mempunyai ramai anak
yang semua masih 'hidup', ke rumahnya dan meminta ketua keluarga itu baring
sebentar pada alas tidur tuan rumah. Ini dipercayai bertujuan untuk menjemput
rezeki yang berpanjangan kepada keluarga tuan rumah itu.
Sebulan selepas tuan rumah tinggal di rumah itu maka upacara
'momohontog sisit' iaitu upacara menghormati tiang rumah akan diadakan ianya
merupakan acara keramaian seperti magagung, sumazau dan makan besar. Setahun
selepas tuan rumah tinggal di rumah baru itu, upacara magavau akan diadakan
untuk memuja semangat rumah.
Seminggu
selepas magavau diadakan upacara Humabot pula menyusul, upacara ini juga adalah
upacara menghormati rumah dan ianya disambut dengan meriah sekali. Tapai akan
disediakan untuk menjamu jemputan yang datang.
Dalam upacara
itu Bobohizan akan menjampi nasi untuk membuat tapai kemudian meletakkanya
diatas daun simpur. Air perahan nasi tapai itu akan diminum dan nasinya pula
dilontarkan ke dalam ketawai besar (bekas menyimpan padi), ini adalah untuk
memberi makan kepada semangat padi 'bambazon' makan. Kaum lelaki juga akan
melontarkan nasi tapai pada daun simpur itu ke dalam ketawai sambil bertempik
sorak (memangkis) .
Acara ini
berterusan sehingga kesemua nas tapai yang diletakkan atas daun simpur itu
habis. Upacara Humabot diadakan setiap selang satu tahun selepas ia diadakan
dan lima tahun selepas rumah itu dihumi. Upacara ini juga merupakan upacara
keramaian iaitu makan besar dimana seekor kerbau akan ditumbangkan sebagai
sogit (korban).
Moyang suku
kaum ini mempercayai bahawa sekiranya upacara-upacara menghormati rumah baru
ini tidak dilakukan maka malapetaka pasti akan menimpa keluarga yang tinggal
dirumah baru itu, penyakit akan berleluasa, perkara-perkara ganjil dan
mengerikan akan terjadi dirumah itu seperti beratus-ratus ekor tabuan
(potizukon) akan mengelilingi rumah atau biawak akan tiba-tiba muncul dirumah
baru itu
Bahasa
Bahasa merupakan
pengenalan dan asas perpaduan bagi semua kaum. Demikian juga dengan kaum
Kadazandusun yang mempunyai bahasanya sendiri iaitu Bahasa Kadazandusun. Bahasa
ini adalah identiti bagi sukukaum Kadazandusun. Sekiranya lenyap bahasa maka
sesuatu kaum itu juga akan pupus. Oleh itu, Bahasa Kadazandusun ini haruslah
dikembangkan dan dipelihara supaya tidak lenyap.
Bagi
mengembangkan dan memelihara bahasa ibunda kaum Kadazandusun ini lenyap maka
beberapa usaha telah diambil contohnya Bahasa Kadazandusun ini telah mula
diajar di beberapa buah sekolah rendah terpilih untuk projek perintis pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun.
Kurikulum
Bersepadu Bahasa Kadazandusun Sekolah Rendah adalah untuk memboleh murid
menguasai kemahiran asas berkomunikasi dan memperolehi ilmu serta menghayati
dan membanggai bahasa itu.
Pendidikan di negeri Sabah berkembang dengan adanya satu
lagi Bahasa diajar dengan rasminya dalam sistem tertentu persekolahan sekolah
rendah.
Selain Jabatan
Pendidikan Negeri Sabah, beberapa badan dan pertubuhan lain juga memainkan
peranan penting dalam usaha pengembangan dan pemeliharaan Bahasa Kadazandusun
contohnya Kadazandusun Language Foundation ( KLF ), Koisaan Cultural
Development Institute ( KDI ), Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah ( KDCA
), Perpustakaan Negeri Sabah ( PNS ).
Kadazandusun merupakan suku kaum yang terbesar di negeri
Sabah. Mereka menuturkan banyak dialek dalam bahasa Kadazandusun. Walaupun
terdapat perbezaan ini namun ianya masih dalam rumpun suku kaum Kadazandusun.
Dengan adanya
pendidikan Bahasa Kadazandusun di sekolah rendah kini, maka bahasa Kadazandusun
ini akan dapat di mertabatkan dan dikekalkan serta dapat dipelihara daripada
pupus.
Makanan Tradisi
Makanan bagi
sesuatu kaum merupakan identiti dan pengenalan bagi sesuatu kaum. Terdapat
banyak jenis makanan dalam masyarakat Kadazandusun.
Biasanya kita dapat melihat pelbagai jenis hidangan ini di
musim perayaan seperti Pesta Kaamatan yang dirayakan setiap tahun iaitu 30 dan
31 Mei.
Selain
perayaan, biasanya suku kaum Kadazandusun yang tinggal di kampung, masih
mengamalkan cara masakan atau hidangan secara tradisional ini.
Kita juga dapat melihat dan merasa hidangan seumpama ini
pada masa upacara seperti perkahwinan dan majlis lain di adakan oleh suku kaum
Kadazandusun.
Sesungguhnya makanan tradisional bagi kaum Kadazandusun ini
amat berbeza dari kaum yang lain terdapat di negeri Sabah. Selain makanan ini
lazat, sudah tentu ianya juga mempunyai keunikannya yang tersendiri.
Makanan Tradisi Kaum Kadazandusun
Masyarakat Sabah
telah dianugerahkan dengan pelbagai jenis makanan. Ini adalah kerana keadaan
semulajadi bentuk muka buminya banyak membekalkan sumber pencarian makanan.
Contohnya, laut dan sungai yang dibekalkan dengan pelbagai
jenis ikan, udang dan sebagainya, hutan rimba yang ditumbuhi dengan pelbagai
jenis tumbuhan liar, herba, buah-buahan dan didiami pelbagai jenis hidupan
liar. Masyarakat tempatan Sabah telah memperkenalkan pelbagai jenis makanan
tradisi.
Kebiasaan ini diamalkan oleh lebih dari tiga puluh golongan
etnik yang mana lebih dipengaruhi dengan cara hidup dan keadaan persekitaran
tempat tinggal etnik tertentu.
Masyarakat kaum Kadazandusun di Sabah telah mengamalkan cara
pemakanan Tradisi sejak turun-temurun dan masih diamalkan sehingga hari ini.
Antara makanan tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazandusun
ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan dan Sup Manuk Lihing. Makanan-makanan ini
dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi Kaum
Kadazandusun.
HINAVA
Hinava merupakan
makanan yang paling popular di kalangan kaum Kadazandusun. Bahan yang
diperlukan untuk penyediaan makanan ini ialah Isi ikan ( Ikan Tenggiri )
dihiris halus, biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia,
bawang merah , limau kapas dan garam.
NOONSOM
Noonsom lebih
dikenali sebagai jeruk dalam Bahasa Melayu. Terdapat beberapa jenis Noonsom
yang telah diperkenalkan oleh Kaum Kadazandusun.
Antara yang paling popular ialah Noonsom Sada (Ikan),
Noonsom Bambangan dan Noonsom Tuhau.
Noonsom Sada - Ikan yang digunakan ialah jenis ikan air
tawar, dibersihkan dan dijeruk menggunakan isi buah Pangi (ditumbuk ), nasi dan
garam.
Campurkan kesemua bahan dan diisi ke dalam bekas botol/tajau
kecil dan biarkan selama sepuluh atau dua belas hari sehingga boleh dimakan.
Noonsom Bambangan - Isi Buah Bambangan dihiris dan dicampur
dengan biji buah bambangan yang telah diparut dan sedikit garam.
Apabila kesemua bahan dicampurkan, isikan ke dalam bekas
botol atau tajau kecil dan biarkan selama seminggu sebelum dimakan.
Noonsom Tuhau - Isi Tuhau dihiris halus dan dijeruk dengan
cuka, garam dan cili merah.
Apabila kesemua bahan telah dicampurkan, isikan ke dalam
bekas botol dan biarkan beberapa minit sebelum dihidangkan.
PINAASAKAN
Bahan yang
diperlukan untuk penyediaan makanan ini ialah ikan ( ikan air tawar/ikan air
laut ) , dibersihkan dan dicampur dengan sedikit biji kunyit dan halia yang
telah ditumbuk, sedikit biji asam jawa atau buah asam 'takob-bakob' , garam,
serbuk perasa dan sedikit air. Biarkan ia mendidih sehingga air hampir kering.
SUP MANUK LIHING
Masakan ini
lebih dikenali sebagai 'Sup Ayam Lihing' dalam Bahasa Melayu. Bahan yang
diperlukan ialah seekor ayam kampung , sejenis minuman keras yang lebih
dikenali 'Lihing' di kalangan kaum Kadazandusun dan hirisan halia.
Cara menyediakan, rebus daging ayam yang telah dipotong
dengan setengah cawan lihing , hirisan halia, garam dan serbuk perasa. Biarkan
ia mendidih sehingga daging ayam betul-betul lembut sebelum dihidangkan.
Mengikut
tradisi kaum Kadazandusun, makanan ini sangat sesuai untuk wanita yang baru
lepas bersalin. Kebanyakan makanan tradisi kaum Kadazandusun hari ini boleh
didapati di beberapa restoran tertentu yang biasa menyediakan makanan tradisi
penduduk tempatan.
Selain dari itu, beberapa hotel terkemuka juga memilih untuk
menghidangkan 'Hinava' sebagai hidangan khas untuk para pengunjungnya. Keunikan
dan kepelbagaian makanan tradisi yang diperkenalkan oleh masyarakat tempatan
Sabah hari ini merupakan salah satu lagi keistimewaan yang terdapat di negeri
di bawah bayu ini.
Muzik Tradisional
JENIS ALAT MUZIK TRADISIONAL
Kebanyakaan
alat-alat muzik di Sabah dibuat daripada bahan-bahan asli. Sebagai contoh,
tongkungon, turali, suling (atau seruling), sompoton dan togunggak diperbuat
daripada buluh.
Alat lain seperti gambus, kompang dan gendang diperbuat
daripada kulit kambing. Gong dan kulintangan dibuat daripada kayu lembut dan
menyerupai gitar panjang bertali tiga yang dibuat daripada giman, sejenis
gentian pokok palma. Alat-alat muzik di Sabah, dikelaskan kepada ;
Kordofon - (tongkungon, gambus,sundatang atau gagayan)
Erofon - (suling, turali atau tuahi, bungkau dan sompoton)
Idofon - (togunggak, gong,kulintangan) dan membranofon
(kompang,gendang atau tontog).
GONG
Gong merupakan
tulang belakang dalam kebanyakan arena permainan muzik dan ianya digunakan
dalam hampir kesemua upacara sosial.
Bilangan gong yang dimainkan bersama berbeza-beza mengikut
keperluan masyarakat setempat. Satu atau dua buah gendang juga sering dipalu
bersama untuk menseragamkan iramanya.
Gong boleh didapati di seluruh negeri Sabah dan mempunyai
nilai yang tinggi. Ia juga digunakan sebagai hantaran berian, upacara
kepercayaan animistic, isyarat dan perayaan pesta-pesta menuai Sejak
akhir-akhir ini suku kaum Rungus di Kudat ada membuat gong yang dibentuk dari
kepingan besi galvanic yang dibeli di sini.
Gong yang lebih popular mempunyai dinding yang tebal, bibir
yang dalam serta tombol yang besar, ditempah dari Filipina, Indonesia atau
Berunei.
BUNGKAU
Kecapi mulut
dibuat daripada kulit sejenis pokok palma yang dikenali sebagai polod oleh suku
kaun Kadazandusun. Untuk mengukir bentuknya, ianya memerlukan tangan yang halus
dan mahir. Alat ini lazimnya ditemui di kawasan-kawasan suku-kaum Dusun.
Kepingan berkayu yang nipis di tengah alat ini digetarkan
dengan memukulnya dengan ibu jari. Getaran kepingan kayu ini menghasilkan bunyi
yang kecil tetapi dengan meletakkannya di hadapan mulut sipemain boleh
membesarkan bunyinya melalui salun (bunyi yang berbalik).
Berjenis-jenis frekuensi boleh dihasilkan dengan mengubah
mulut serta kedudukan lidah. Apabila tidak dipakai, alat ini selalunya disimpan
dalam bekas tiub buluh kecil agar ianya tidak rosak dan sentiasa dalam keadaan
bersih.
SOMPOTON (Erofon)
Organ mulut
merupakan alat yang sangat menarik di antara alat-alat musik tempatan di Sabah.
Ianya dibuat daripada sebiji buah labu yang kering dengan lapan batang paip
buluh yang disusun dalam dua lapisan.
Salah satu daripada paip ini tidak mempunyai bunyi dan
berfungsi untuk memperseimbangkan kedudukan bentuk alat tersebut. Dengan meniup
atau menyedut mulut labu, sipemain boleh menghasilkan satu bunyian harmoni yang
merdu.
Beberapa kepingan kecil polod(seperti dalam Bungkau)
diletakkan pada dasar tiap-tiap tepian paip yang berbunyi. Paip tersebut
dimasukkan ke dalam lubang pada sisi labu kemudian ditampal dengan lilin lebah.
Kepingan kecil polod diletakkan di dalam labu dan menambah
salun alat yang baru disiapkan.
Paip-paip buluhnya diikatkan bersama dengan rotan yang telah
diraut nipis. Semada memainkan sompoton, seseorang pemain menutup dan membuka
tiga daripada empat paip terpendek pada hujungnya dengan tiga jari tangan kanan
dan tiga lubang kecil pada dasar paip terpendek serta hadapan dan belakang paip
yang lebih panjang dengan jari tangan kiri.
Sompoton ini boleh dimainkan secara perseorangan untuk
hiburan persendirian atau dalam kumpulan untuk mengiringi tarian. Ianya popular
di kalangan sukukaum Kadazandusun.
TOGUNGGAK (idiofon)
Dikenali sebagai
tagunggak di kalangan suku kaum Murut, Togunggak di kalangan suku kaum
Dusun/Kadazan atau 'Togunggu' di Penampang., idiofon bambu paluan ini dimainkan
dalam kumpulan untuk mengiring tarian atau perarakan di pesta-pesta.
Satu set alat-alat muzik ini merangkumi enam (togunggu')
hingga tiga puluh (tagunggak) buah, bergantung kepada suku kaum. Muzik yang
dikeluarkan menyerupai satu set gong sesuatu kumpulan, dengan setiap idiofon
diselaraskan bunyinya mengikut gong sebenar yang dimainkan.
KULINTANGAN (Idiofon)
Pada mulanya
alat ini diperkenalkan di barat Sabah oleh suku kaum Brunei tetapi secara
tradisional ianya juga digunakan oleh suku kaum Bajau dan beberapa suku
Dusun/Kadazan.
Selalunya, ia dimainkan dalam majlis-majlis dan perayaan
seperti majlis perkahwinan dan upacara keagamaan, di mana ianya diiringi oleh
gong-gong tradisional.
Alat ini merangkumi lapan ataupun 9 buah gong-gong cerek
yang kecil. Setiap daripadanya mengeluarkan bunyi-bunyian yang berbeza-beza
apabila dipukul.
Gong-gong cerek ini diletakkan tersusun dalam satu barisan
di atas sebuah rangka kayu rendah. Biasanya sipemain duduk di atas lantai
berhadapan dengan barisan gong sambil memukulnya dengan dua pemukul kayu kecil.
Pakaian Tradisi
Pakaian tradisi
suku kaum Kadazandusun kaya dengan keunikannya. Ini adalah kerana, ianya
berlainan diantara satu tempat dengan tempat yang lain. Setiap etnik dalam kaum
Kadazandusun ini mempunyai perbezaan dari segi pakaian tredisinya.
Contohnya pakaian tradisi bagi etnik Dusun Bundu di Ranau
dan Liwan di Tambunan adalah berbeza dengan pakaian tradisi bagi etnik Lotud di
Tuaran dan juga Kimaragang di Kota Marudu. Setiap etnik dalam kaum Kadazandusun
ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.
Biasanya pakaian tradisi ini dipakai pada musim perayaan
seperti Pesta Kaamatan dan juga upacara khas seperti perkahwinan. Selalunya
para gadis dari kaum Kadazandusun ini akan memperagakan jenis pakaian tradisi
ini apabila adanya Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan di Peringkat Negeri
Sabah.
PAKAIAN TRADISI PERHIASAN SERTA BARANGAN KEMAS SUKU KAUM
KADAZANDUSUN NEGERI SABAH.
Pengenalan
Dengan mempunyai
sebanyak 32 etnik suku kaum asli di negeri Sabah, maka dijangkakan, kita dapat
melihat pelbagai jenis pakaian tradisi mengikut suku kaum.
Kebanyakan daripada mereka telah mengekalkan corak dan warna
pakaian tradisi yang asli. Warna yang amat popular ialah warna hitam.
Warna ini banyak digunakan kerana pada masa dahulu, penduduk
asli negeri Sabah hanya bergantung kepada beberapa jenis tanaman dan sayuran
untuk dijadikan cecair pencelup kain.
Mereka hanya perlu menambahkan manik-manik berbagai jenis
warna seperti merah, oren, putih serta hijau sebagai perhiasan tambahan.
Pakaian tradisi juga termasuklah manuk-manik antik yang
dijadikan kalung, tali pinggang, barangan antik berukiran berwarna perak dan
tali pinggang yang diperbuat daripada wang syiling dolar berwarna perak.
Kesemuanya ini merupakan khazanah turun-temurun yang sangat berharga serta
tinggi nilainya.
Berikut adalah beberapa keterangan tentang pakaian tradisi
suku kaum kadazansusun yang amat popular di negeri Sabah.
1. SUKU KAUM KADAZANDUSUN PENAMPANG
Ciri-ciri pakaian tradisi.
a) Blaus tidak berlengan,berwarna hitam baldu untuk
wanita(Sinuangga).
b) Blaus berlengan pendek, berwarna hitam(baldu) untuk
wanita petengahan umur. (Sinompukung)
c) Blaus berlengan panjang untuk wanita golongan tua
terutamanya 'bobohizan'(kinoingan).
d) Kemeja berwarna hitam baldu, atau panjang untuk golongan
lelaki.
e) Sarong (tapi) panjang berenda 'siling', berwarna hitam
f) Siga - pelbagai corak dan motif pada tenunan
Perhiasan pakaian.
a) renda 'siling' utama keemasan pelbagai corak.
Barangan kemas
a) Himpogot - wang syling berwarna perak.
b) Tinggot - Tali pinggang berwarna perakdiperbuat daripada
wang syling dolar abad awal 20-han.
c)Tangkong - Diperbuat daripada leburan logam tembaga
bercorakkan gong dan berbentuk cincin (husau) yang disarungkan dalam lingkaran
rotan yang halus.
d) gelang (gohong)
e) rantai leher (hamai)
f )anting-anting (simbong)
g )cincin (sinsing)
h) kerongsang berwarna keemasan.
2. RUNGUS DI KUDAT
Ciri-ciri Pakaian Tradisi
a) Blaus berwarna hitam bercorak yang dipakai aras dada ke
pinggang dipanggil 'Banat Tondu'.
b)Sarong(Tapi Rinugading) hingga ke paras lutut sahaja.
c) Kain hitam berukuran lebar 28-30 sm. Ia disarungkan ke
leher lalu diletakkan di bahu dan berjuntai ke lengan berbentuk pakaian
berlengan.
d) Baju Kemeja hitam berlengan pendek atau panjang untuk
golongan lelaki.
e) Siga
Perhiasan Pakaian
a) Kain bercorak, tenunan halus pelbagai corak.
b)Cincin tembaga serta manik-manik antik disarungkan dalam
'togung ' menjadi tali pinggang berwarna-warni yang dipanggil 'orot'.
c)Manik-manik dipanggil " lobokon " digantung di
pinggang.
d)Sepasang selendang (pinakol) berukuran 6-8 sm lebar. Ia
diperbuat daripada manik-manik berunsurkan corak purbakala.
Barangan Kemas
a) Rantai leher (sandang) diperbuat daripada kulit kerang
(Kimia) berwarna putih berkilauan dan tulang haiwan.
b) Sanggul (titimbok)
c) 'Burambun' dan 'Giring' barangan antik yang diperbuat
daripada logam emas berbentuk loceng.
d) 'Sisingal' - manik-manik serta kulit kerang diikat
bersama membentuk rantai yang diikat di bahagian dahi.
e) Cebisan kain dijahit membentuk tocang (rampai)
berwarna-warni, diikat di tengkuk.
3. KADAZANDUSUN PAPAR
Ciri-ciri Pakaian Tradisi
a) Blaus baldu hitam berlengan panjang (siya)
b) Blaus putih (baju dalam)
c) Sarong (gonob) baldu hitam hingga paras lutut.
d) Siga (lelaki)
e) Baju kemeja baldu hitam berlengan panjang.
f) Siung (wanita)
i)berbulu binatang (burung) berwarna apa sahaja untuk wanita
bujang.
ii)berbunga-bunga untuk golongan wanita sudah berkahwin.
iii)tiada perhiasan di siung .
Perhiasan Pakaian
a) butang berwarna keemasan (kubamban) sebanyak 8 pasang di
dada.
b) Renda keemasan (siling) dan labuci (dijahit disekeliling
lipatan tangan dan leher)
c) 8 pasang butang berwarna keemasan dijahit di lengan
blaus.
d) Tenunan 'rinangkit ' bercorak cetusan bintang dijahit
secara menegak dan melintang pada sarong (gonop).
Barangan Kemas
a) 3 bentuk kerongsan antik keemasan berbentuk duit syiling.
b. gelang (belilit) perak.
c)Tali pinggang berwarna perak (rupiah) berbentuk duit
syiling.
Cara Pemakaian.
a) 3 pasang untuk wanita bujang.
b) 2 pasang untuk wanita berkahwin.
c) 1 pasang untuk wanita berstatus balu atau golongan
berumur.
d) Tali pinggang kecil berwarna perak untuk menunjukkan si
pemakai dari golongan berada.
4) (a) LOTUD TUARAN
" Lorud "(Blaus berlengan panjang)
a) Dipakai oleh Lotud Tantagas semasa upacara rasmi.
Ciri-ciri Pakaian Tradisi
a) Blaus hitam berlengan panjang (sukub kopio), bercorak
warna merah sebagai warna utama. Tinobugi berwarna merah, kuning keemasan
dijahit pada pergelangan tangan, tepian blaus dan di dada.Corak bermotif bambu
(Ukob)berwarna merah,oren, biru dan hijau dijahit tangan di atas jahitan warna
keemasan di pergelangan tangan.
b) " Gonob " pula bercorak warna merah dijahit
ditepi kiri (bangkit) serta tinobugi dijahit melintang diparas betis. Ukuran
gonob adalah dibawah paras lutut.
c) Sandai. Ia sejenis kain skaf panjang yang dipakaikan
disekeliling bahu.
Perhiasan Pakaian
a)Kain putih (haboi) sebagai tali pinggang .
b)Tali pinggang (loti) putih dan perak. Ditambah dengan 2
kelepak ikatan hitam untuk wanita sudah berkahwin.
c) Rambut disanggul seperti 'Sinulug' (atas) 'Sinungkok'
(bawah) "Ginuli" pula dililitkan di sekeliling sanggul 'sinulug'.
d) Sigar dan siwot.
i) Sigar - Ia diperbuat daripada daun nipah serta mempunyai
daun emas. Brunei yang diukir tangan. Tepian sigar dihias dengan rotan yang
dicelup dengan warna merah.
ii. Siwot - Ia terdiri daripada ikatan 4 helai bulu ayam
putih diikat dengan kain merah . Setiap bulu dilekatkan pada cebisan bambu
nipis. Beberapa helai bulu hitam disertakan juga. Helaian 1 dan 4 mesti
mempunyai rantai manik emas dan biru berhiaskan cebisan kain merah.
Barangan Kemas
a)Himpogot wang syling berwarna perak.
b) Tinggot - Tali pinggang berwarna perakdiperbuat daripada
wang syling dolar abad awal 20-han.
c.Tangkong - Diperbuat daripada leburan logam tembaga
bercorakkan gong dan berbentuk cincin (husau) yang disarungkan dalam lingkaran
rotan yang halus.
d. Gelang (gohong)
e. Rantai leher (hamai)
f. Anting-anting (simbong)
g. Cincin (sinsing)
h. Kerongsang berwarna keemasan.
4(b) LOTUD TUARAN
CIRI-CIRI PAKAIAN TRADIS
a)Blaus ini (sukub) dihias sederhana berbanding blaus (sukub
kopio). Ia berwarna hitam serta berenda kuning keemasan, mempunyai labuci di
lengan kolar dan di depan baju.
b) Gonob (sarong) hingga ke paras lutut. Linangkit bercorak
bunga (kembang suri ). Warna merah merupakan warna utama namun ditambah juga
warna keemasan, putih, oren dan biru.
Perhiasan Pakaian
a) Kuluwali (Selindang), Linangkit (corak) bermotif kembang
suri.
Barangan Kemas
a) Lilimbo (tali pinggang rotan) yang tidak mempunyai
kancing pembuka.
b) Gelang perak (simpai)
c) Gelang kaki perak (lansung)
5. DUSUN TINDAL TEMPASUK KOTA BELUD
Ciri-ciri Pakaian Tradisi
a) Blaus berlengan panjang (sinipak ) berwarna hitam.
b) Gonob (sarong) paras lutut.
Perhiasan Pakaian
a)Renda bercorak dijahit tangan pada lengan blaus.
b) Lengan blaus di atas siku ke bawah pula dibelah dan
dijahit tangan dengan berbagai corakl kain berenda.
c) Kain hitam berlapis-lapis dengan renda kuning keemasan
(sunduk do sunalatan) disandang di tangan sebelah kanan.
d) 2 pasang selendang merah.
e) Kain dastar sebagai kolar baju.(selindang lolopot)
f) Gonob ditenun sendiri oleh suku kaum Dusun Tindal
menggunakan kain tenunan dari hasil pemprosesan pisang larut (textil musa)
Barangan Kemas
a. Manik-manik antikb)Tali pinggang yang lebar (Kinokogis)a)
Sinipogot - 4 gelang sinipogot yang diperbuat daripada wang syiling dolar
perak.
b) Gelang Perak ( Saring Perak ).
c) Anting-anting Perak.
d) Beg kecil berwarna perak (pouch) diukir tangan beserta
rantai leher (kiupu). Ia dipakai sebagai rantai leher.
6. MURUT TAGAL DARI DAERAH KENINGAU
Ciri-ciri Pakaian Tradisi.
a) Blaus tidak berlengan ( sampayau pinongkoh ).
b) Sarung ( tapi ) berwarna hitam paras bawah lutut.
Keunikan Tenunan manik-manik berwarna-warni dan bercorak secara melintang dan
menegak di seluruh bahagian depan dan belakang blaus serta sarung.
Perhiasan Pakaian
Manik-manik bercorak serta berwarna-warni seperti warna
merah, putih, oren dan hijau.
Barangan Kemas
a) Tali pinggang ( tirol ringgit ) yang diperbuat daripada
wang syiling antik dolar warna perak.
b) Tali pinggang ( sukayan ) diperbuat daripada manik
kristal berwarna merah / coklat ( sapulu ).
c) Manik-manik warna biru ( botina ) dipakai ( berjuntai )
pada pinggang.
d) Tali pinggang ( bungkas ) diperbuat daripada manik-manik
yang berlapis-lapis berwarna putih yang sukar didapati sekarang. Bungkas
merupakan warisan turun temurun ahli keluarga dan bernilai RM 10 000. 00.
e) Rantai leher berwarna putih biru dan merah yang diperbuat
daripada manik dan ukiran kayu.
f) Gelang tangan yang diperbuat daripada manik dipakai di
atas paras siku.
Tarian Tradisional
Tarian Sabah mempunyai tiga puluh dua jenis etnik, lima
puluh lima jenis bahasa dan kira-kira seratus dialek. Setiap etnik mempunyai
kebudayaan, tradisi dan adat resamnya yang tersendiri. Mereka menunjukkan cara
hidup mereka melalui muzik dan tarian. Antara jenis tarian suku kaum
Kadazandusun di Sabah adalah sepeti berikut;
Liliput
Liliput merupakan tarian bagi etnik Bisaya di daerah
Beaufort. Liliput ditarikan secara berpusing-pusing. Tarian ini biasanya
ditarikan semasa upacara menghalau roh jahat daripada badan seseorang dan
mengembalikan semangatnya. Upacara ini hanya akan ditamatkan setelah semangat
orang itu kembali ke badannya.
Menangkuk
Tarian ini dipersembahkan oleh kaum Kadazandusun Kota Marudu
di utara negeri Sabah. Ia biasanya ditarikan semasa perkahwinan dan
upacara-upacara lain. Penari akan mempersembahkan tarian ini dengan menggunakan
piring yang diletakkan di atas telapak tangan.
Tarian ini ditarikan dengan melenggangkan punggung tanpa
menjatuhkan piring. Sekiranya piring itu jatuh, ianya menunjukkan petanda yang
buruk, terutamanya semasa tarian ini dipersembahkan semasa hari perkahwinan.
Kadang-kadang lilin yang dinyalakan akan letakkan diatas piring tersebut untuk
membuatkan tarian itu lebih menarik.
Mogunatip
Mogunatip adalah tarian yang dipersembahkan oleh kaum asli
dari pedalaman Sabah termasuk kaum Kadazandusun dari Tambunan, Kwijau Dusun
dari Keningau dan beberapa kumpulan daripada suku kaum Murut. Mogunatip diambil
daripada perkataan "atip" yang bermaksud menekan antara dua
permukaan. Penari mogunatip memerlukan kemahiran dan ketangkasan yang baik
untuk menari melintasi buluh yang dipukul serentak untuk menghasilkan bunyi dan
irama tarian tersebut. Tarian ini merupakan tarian yang dipersembahkan semasa
upacara-upacara yang tertentu untuk menghormati tetamu.
Mongigol Sumundai
Mongigol Sumundai adalah tarian daripada daerah kudat dan
Pitas yang dipersembahkan oleh suku kaum Rungus . Kedua-duanya dipersembahkan
oleh suku kaum Rungus. Kedua-duanya dipersembahkan sekaligus semasa perayaan
dan upacara pemujaan semangat. Tarian ini ditarikan oleh 3 hingga 8 orang
penari perempuan dan diketuai oleh penari lelaki. Penari perempuan akan
merapatkan bahu antara satu sama lain dan menggerakan pergelangan tangan dengan
langkah-langkah yang perlahan dan lembut. Pakian yang digunakan oleh penari
perempuan adalah pakaian tradisional suku kaum Rungus. Tarian ini diiringi
dengan 4 gong dan gendang yang dinamakan ' Tontog'.
Paina
Paina merupakan tarian suku kaum Kadazandusun dari daerah
Membakut. Ianya dipersembahkan semasa upacara kesyukuran terhadap semangat
padi.
Ia biasanya dipersembahkan oleh sekumpulan lelaki dan perempuan.
Pakaian yang dipakai oleh penari perempuan adalah serba hitam dengan dihiasi
butang yang terang dan menyerlah manakala penari lelaki pula memakai ' sigar '
di kepala dan ' sandai ' yang tergantung dari leher.
Sumayau ( Mongigol Tuaran )
Tarian ini merupakan tarian pemujaan semangat oleh suku kaum
Dusun Lotud di daerah Tuaran. Ia biasanya dipersembahkan semasa Upacara '
Rumaha ' ( Upacara memuja tengkorak kepala ), ' Magahau ' ( Upacara pemujaan
semangat Tajau ).
Sumayau dipersembahkan lebih daripada 8 orang pasangan yang
berpakaian serba hitam dengan lengan panjang dan selendang yang panjang
mengelilingi leher. Penari perempuan pula memakai bulu burung di bahagian
kepala yang digabungjalinkan sementara penari lelaki memakai ' sigar '.
Penari perempuan menggerakkan tapak kaki mereka dengan
perlahan , sementara penari lelaki berdiri dan menggoncangkan ' giring ' atau
loceng kecil ang dilekatkan pada pakaian mereka.
Sumazau Papar
Tarian ini berasal dari daerah Papar, Sabah. Ianya biasa
ditarikan oleh gabungan penari lelaki dan perempuan.
Keunikan pergerakan tapak kaki penari perempuan, tumit
bertemu tumit, ibu jari bertemu ibu jari. Ini membuatkan tarian ini lebih unik
dan serta menarik. Penari perempuan memakai pakaian tradisi suku kaum
Kadazandusun dari daerah Papar, dengan ' seraung' yang diletakkan atas kepala
dan bulu berwarna-warni atas ' seraung ' yang dipanggil ' senaundung '. Penari
lelaki pula memakai ' siga ' pada kepala mereka dan juga skaf / selendang yang
dikenali sebagai ' sandai '.
Sumazau Penampang
Sumazau Penampang adalah tarian tradisional suku kaum
Kadazandusun. Tarian ini biasanya dipersembahkan semasa perayaan dan juga
upacara pemujaan semangat padi ( Bambaazon ).
Penari mempersembahkan tarian mereka secara berpasangan.
Kedua-dua penari lelaki dan perempuan mula menari dengan irama yang lembut dan
perlahan mengikut paluan gong. Dengan ' pangkis ' dari penari lelaki biasanya,
ini menandakan pertukaran corak tarian akan dilakukan. ' Pangkis ' dari penari
lelaki ini akan lebih memeriahkan lagi suasana tarian ini.
Pakaian yang dipakai oleh penari ini ialah pakaian serba
hitam dengan jalur kuning emas. Penari perempuan memakai ' tangkong ', '
tinggot ', dan ' Himpogot '. Penari lelaki pula memakai ' sigar ' di kepala.
Tarian ini biasanya diiringi oleh paluan gong atau pun ' togunggu '.
Titikas
Titikas adalah tarian tradisional suku orang sungai di
kawasan Kinabatangan, Sandakan. Tarian ini biasanya ditarikan untuk menyambut
ketibaan tetamu kehormat dan juga semasa perayaan.
Pergerakan tangan semasa menari ialah sama seperti permainan
' Ingki-ingki '. Alar muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian ini
dikenalai sebagai ' titikas ', ' gabang ', ' kantung ' , dan juga gong.
Dipetik daripada : http://www.sabah.edu.my
Source : kalabatukini
No comments:
Post a Comment