Sunday 10 May 2015

Pehin Orang Kaya Besar Imas


Pehin Orang Kaya Besar Imas merupakan salah seorang individu Kedayan yang paling dikenali di dalam sejarah Kesultanan Brunei. Beliau merupakan kepala segala Menteri Kedayan dan berasal dari Kampung Subok, Brunei. Beliau merupakan cucu kepada Sultan Saiful Rijal melalui ayahnya Orang Kaya Kassim. Orang Kaya Kassim beribukan seorang Kedayan dan menetap di Jerudong. Sultan Muhammad Hassan pernah menawarkan gelaran Cheteria iaitu Pangeran Anak kepada Orang Kaya Kassim tetapi beliau menolaknya dengan alasan beliau membesar sebagai seorang Kedayan. Pehin Orang Kaya Besar Imas mempunyai seorang saudara lelaki yang bernama Pangeran Temenggong Sahibul Bahar Rajid.

Pehin Orang Kaya Besar Imas menonjol kerana peranannya yang dianggap sebagai 'the King maker' di dalam perang saudara saudara 12 tahun diantara Sultan Muhyiddin dengan Sultan Abdul Mubin. Dalam beberapa sumber, Pehin Orang Kaya Besar Imas dikatakan sebagai orang yang mendorong Sultan Muhyiddin untuk membalas dendam di atas pembunuhan Sultan Muhammad Ali. Di dalam satu catatan di laman Facebook Kenali Negara Kitani Brunei gambaran perbualan diantara mereka berdua.

Orang Kaya Besar Imas : Ceh! Anak raja ini tidak pemalu, bapanya sendiri dibunuh orang tidak terbela olehnya, senang-senang ia mengangkat tangan menyembah Bendahara Abdul (pura-pura tidak melihat Bendahara Muhyiddin sambil-sambil menyangkul rumput di tanamannya).

Bendahara Munyiddin : Orang Kaya saya kurang mengerti apa maksud Orang Kaya di halaman tadi.

Orang Kaya Besar Imas : Beribu ampun, hamba tuanku berkata-kata dengan air mas hamba tuanku ini, iaitu kemangkatan allahyarham ayahanda mertua tuanku itu, mengapa tah hanya tuanku semua memandang sahaja, bukankah ayahanda tuanku itu lindung kerana dikujut dengan kejam. Padahal tiada kesalahan yang dilakukan oleh baginda. Tidakkah tuanku malu dengan semua itu. Tidakkah tuanku mahu menuntut bela di atas kematian ayahanda tuanku?

Selepas berunding dengan Pangeran-Pangeran yang lain serta selepas mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari Pehin Orang Kaya Besar Imas yang memberi jaminan orang-orang Kedayan akan ikut serta bersama beliau, perancangan membalas dendam pun di atur dengan rapi sekali. Orang-orang Kedayan diarah untuk mengaruk istana, rumah-rumah pembesar dan rumah-rumah orang kampung. Disamping itu untuk memudahkan rancangan, Pangeran Bendahara berjaya memujuk Sultan Mubin untuk mengambil orang-orang Kedayan dibawah pimpinan Pehin Orang Kaya Besar Imas untuk menjaga istana.

Setelah sekian lama, Sultan Abdul Mubin berpindah ke Pulau Chermin manakala pihak yang tinggal iaitu Bendahara Muhyiddin mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Kesultanan Brunei ketika itu mempunyai dua orang raja iaitu Raja di Pulau, Sultan Hakkul Mubin dan Raja di Darat iaitu Sultan Muhyiddin. Tidak berapa lama selepas itu berlaku perang saudara yang memakan masa selama 12 tahun. Di penghujung peperangan, Pehin Orang Kaya Besar Imas terkorban. Walaubagaimanapun, pihak Sultan Muhyiddin mendapat kemenangan.
  

Chatatan Sejarah Pembesar2 Dan Perwira2 Brunei Vol. 1 : Jamil Al Sufri



No comments:

Post a Comment