HIKAYAT RAJA SABAH
Oleh: MUTALIB M.D
Memandangkan tidak
berpuas hati dengan kajian sejarah yang sedia ada kerana kebanyakannya
berdasarkan hipotesis dan kajian sarjana Barat yang terlalu banyak ditokok
tambah, saya telah menghabiskan masa hampir lima tahun mengkaji pertamadunan
awal 'Melayu' kerana tidak dapat menerima Kesultanan Melayu Melaka sebagai asas
pertapakan Melayu di Asia Tenggara. Apatah lagi mereka melihat orang Melayu
dari kacamata penjajah yang selama ini menafikan kedaulatan Melayu.
Berdasarkan penemuan
artifak sejarah, fosil dan pentarikhan radio carbon, saya berpendapat tamadun
Melayu pertama diasaskan di Sabah oleh Raja Abdullah iaitu orang yang pertama
memeluk Islam di Sabah iaitu pada tahun 1408, enam tahun lebih awal daripada
Parameswara.
Teori ini
dimantapkan lagi dengan penemuan manuskrip asal tulisan jawi dalam bahasa
Idahan Tua yang kini disimpan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Negara.
Walaupun penemuan
ini masih terlalu awal, namun ianya merupakan perintis untuk mengkaji asal usul
'Melayu' dan pertamadunannya dari aspek sejarah.
Penemuan keris
purba, peninggalan tapak sejarah, tradisi lisan dan sebagainya adalah katalis
prima untuk mengungkap zaman silam yang masih menjadi misteri kepada kita,
apatah lagi inilah kali pertama ianya dibukukan.
Saya tidak terkilan
jika ada pihak yang menafikan penemuan saya ini kerana tidak mempunyai asas
yang kukuh atau tidak menggunakan metodologi kajian konvensional yang lazimnya
digunakan oleh pakar sejarah.
Walaupun ada kalanya
kelihatan berbaur legenda, mitos dan anakronis, namun saya membuka pintu kepada
ahli sejarah Malaysia dan dunia membuktikan bahawa teori dan penemuan saya
'melampaui keraguan munasabah'.
Sebagai
kesinambungan kepada kitab 'Sejarah Melayu' yang dikarang oleh Tun Seri Lanang,
saya menamakan penemuan saya sebagai 'Hikayat RAJA SABAH' yang membongkar
misteri di sebalik enigma.
Walaupun ada yang
melihat 'Hikayat Raja Sabah' sebagai cerita rakyat yang memaparkan lebih banyak
unsur mitos, legenda dan anakronis, namun cukup untuk membukti bahawa ada
kehidupan awal di Sabah sebelum tamadun 'Tanah Melayu' wujud di Semenanjung
Tanah Melayu.
RAJA APOI bersemayam
di sebuah istana yang diperbuat daripada kayu merbau dan belian. Istana
tersebut terletak di atas sebuah bukit di Bu-lud Temil atau Bukit Sejuk (kini
Kota Kinabalu) bagi memudahkan Raja Apoi mengawasi perjalanan keluar masuk
kapal ke dermaga dan memantau pergerakan lanun.
Pada suatu hari
Permaisuri Sulid Liud Langi mengidam dan terlalu ingin makan hati rusa lalu
menyampaikan hasratnya kepada Raja Apoi. Memandangkan permaisurinya sedang
mengandung anak sulung, maka Raja Apoi menyiapkan angkatan perburuan yang besar
untuk mendapatkan rusa yang terbaik.
Namun Permaisuri
Sulid Liud Langi meminta Raja Apoi berburu sendiri kerana bimbang keselamatan
negeri mereka daripada ancaman bajak laut atau lanun jika semua pembesar
mengiringi Raja Apoi berburu, apatah lagi permaisuri sedang sarat mengandung.
Para pembesar negeri
gusar kerana Raja Apoi bersendirian berburu, namun tidak berani membantah
kehendak permaisuri dan merasakan pendapat permasuri ada kebenarannya. Lagipun
Raja Apoi diiringi oleh seekor anjing pemburu yang gagah, Siud Rapod.
Keesokan paginya
ketika matahari memancar terang, seluruh rakyat Bulud Temil berkumpul di hadapan
istana untuk mengucapkan selamat berangkat kepada raja yang mereka sanjung dan
sayangi, Raja Apoi, berburu di rimba raya. Raja Apoi memberi nasihat kepada
permaisuri agak menjaga kesihatannya dan berjanji akan lekas balik sebaik
sahaja berjaya mendapatkan hati rusa yang diidamkan permaisurinya. Semasa
ketiadaan Raja Apoi, adiknya Tengku Lenom akan memangku tugas Raja Apoi atas
nasihat Permaisuri Sulid Liud Langi. Semua pembesar negeri menjunjung titah
untuk taat setia kepada permaisuri dan pemangku raja.
Raja Apoi kelihatan
gagah melangkah menuruni istana Bulud Temil dengan diikuti oleh Siud Rapod dan
lambaian seluruh rakyat yang di bawah kuasa takluknya. Ada yang menangis dan
ada yang memberikan kata-kata semangat kerana sepanjang pemerintahan Raja Apoi
terlalu adil dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negerinya.
Setelah sehari
suntuk berburu, Raja Apoi belum menemui walau seekor rusa sedangkan tapak rusa
berpeta di tanah yang becak kerana dibasahi embun dan hujan.
Raja Apoi berhenti
rehat di tebing sungai dan menjamah makanan yang dibekalkan permaisurinya. Siud
Rapod juga turut mengisi perut dengan bekalan berasingan yang dibawa bersama.
Raja Apoi bersandar
pada banir merbau yang menongkat langit. Lembingnya diasah lagi. Busur dan
panahnya turut diperiksa rapi, manakala sundang di pinggangnya dicabut dan
digosok dengan daun mempelas agar kelihatan berkilat.
Tiba-tiba Raja Apoi
terdengar salakan Siud Rapod yang nyaring di sebalik sebuah busut jantan
berdekatan pokok merbau tempatnya bersandar. Raja Apoi bingkas bangun dan
meluru ke arah Siud Rapod yang begitu berani menghampiri seekor rusa yang
berbulu emas yang cuba menyerang Siud Rapod.
Raja Apoi cuba
memanah rusa berbulu emas itu, namun menyedari dirinya dalam bahaya, rusa itu
segera menghindar dan menyelinap di dalam hutan tebal. Anak panah yang
dilepaskan terkena busut jantan.
Siud Rapod segera
mengejar rusa tersebut dengan pantas. Raja Apoi menuruti dari belakang dan
berpandukan suara salakan Siud Rapod yang semakin lama semakin jauh namun Raja
Apoi merapatkan jarak kerana biasa berlari pantas memburu di dalam hutan.
Beberapa kali rusa
emas itu hampir tumbang terkena tujahan lembing Raja Apoi, namun rusa itu masih
gagah terus berlari. Pada perkiraannya rusa yang sudah luka itu tidak akan
berlari jauh dan akan tumbang apabila kehabisan darah. Namun sudah hampir dua
hari mengikut jejak, rusa itu masih mampu berlari dan dikejar rapat oleh Siud
Rapod yang begitu gagah memburu dan mengesan jejak.
Raja Apoi agak
terkejut kerana rusa tersebut semakin pantas berlari dan hanya berhenti
sebentar di sebuah gua, Agup Gadong (Gomantong) yang dipenuhi sarang burung
layang-layang putih dan hitam.
Seketika kemudian
rusa emas itu berlari lagi dan menyelinap masuk ke Agup Batu Timbang sebelum
berlari laju dan hilang di dalam kegelapan Agup Tapadong. Setelah lama menunggu
di pintu gua akhirnya rusa emas itu dikejar oleh Siud Rapod sehingga ke Agup
Bilo (Baturong).
Dari Agup Bilo, rusa
emas semakin pantas berlari walaupun darah semakin banyak keluar. Ketika tiba
di Agup Tegarung rusa tersebut sudah tercungap-cungap dan hampir rebah ketika
Siud Rapod dapat menggigit kaki hadapannya.
Namun rusa emas itu
bertambah pantas sehinggalah sampai ke Agup Madai. Ketika Raja Apoi tiba, rusa
emas sedang tercungap-cungap meminum air sungai Madai sementara Siud Rapod
terjelepuk keletihan.
Raja Apoi terus
merejamkan lembing ke arah rusa emas namun tidak mengenai kerana cuaca agak
gelap, apatah lagi Raja Apoi terlalu keletihan setelah memburu tanpa henti
selama lebih dua minggu. Lembing itu tertancap ke lantai gua berhampiran rusa
emas.
Raja Apoi segera
mencapai anak panah dan ketika mahu melepas-kan anak panah tersebut tiba-tiba
rusa emas itu bersuara; "Janganlah
bunuh saya. Kita bersaudara. Nama saya Payau Mas. Sebagai balasannya, saya
tinggalkan harta yang tidak habis dimakan di setiap gua yang saya
berhenti."
Terpinga-pinga Raja
Apoi mendengar suara Payau Mas yang pandai berkata-kata sebelum hilang di dalam
kegelapan gua. Siud Rapod tidak lagi mengejar, mungkin kerana terkejut
mendengar suara rusa tersebut.
Raja Apoi kecewa
kerana gagal membunuh Payau Mas setelah menghabiskan banyak masa dan tenaga
memburu rusa tersebut.
Namun agak gembira
kerana semua gua yang dilaluinya kini menjadi miliknya sebagai galang ganti
nyawa Payau Mas. Raja Apoi lebih menggemari Gua Madai kerana mengalir di
dalamnya anak sungai yang jernih dan gua yang besar.
Apatah lagi banyak
sarang burung di dalam gua tersebut berbanding gua-gua sebelumnya. Gua Agup
Gadong juga banyak sarang tetapi tidak mempunyai sumber air yang mencukupi dan
agak gelap.
Setelah melepaskan
penat dan memakan daging babi yang dibunuhnya, Raja Apoi memulakan perjalanan
pulang ke Bulud Temil kerana bimbang permaisuri akan mengarahkan rakyat
menyusulnya. Lazimnya Raja Apoi akan keluar berburu selama beberapa hari sahaja
tetapi kini hampir sepekan (minggu) berlalu.
Dalam perjalanan
pulang tersebut, Siud Rapod dapat menghidu se-ekor rusa yang terjerut tanduknya
di akar kayu yang berjuntaian. Raja Apoi tidak membuang masa lalu menikam rusa
jantan itu dengan sundang dan melapah perut rusa itu untuk mengambil hatinya.
Jantung rusa itu
diberikan kepada Siud Rapod yang mula kebuluran setelah hati babi yang dimakan
di Gua Madai telah dihadamkan. Raja Apoi memotong sedikit daging rusa untuk
bekalannya.
Raja Apoi berlari
pantas mengikut jejak kakinya ketika datang dengan bantuan Siud Rapod kerana
bimbang hati rusa akan rosak jika tidak segera dimasak, apatah lagi bimbang
permaisurinya akan kecewa dan kempunan. Kepulangan Raja Apoi disambut gembira
oleh seluruh rakyatnya. Pada malam itu Kerajaan Bulud Temil mengadakan pesta sempena
meraikan kepulangan Raja Apoi dari berburu.
Dalam titahnya yang
serba ringkas, Raja Apoi mencadangkan agar mereka berpindah ke Gua Madai, gua
terakhir yang menjadi tempat hilangnya Payau Mas dan merasakan tempat baru
begitu selamat untuk didiami berbanding negeri mereka sekarang yang sering
dilanda kemarau dan hujan ribut sehingga semua tanaman tidak menjadi. Raja Apoi
mencadangkan agar mereka menternak babi dan menanam ubi kayu kerana banyak
sarang burung di dalam gua tersebut yang menjadi makanan kegemaran babi dan
tidak perlu membuat rumah disebabkan gua tersebut cukup luas untuk seluruh
rakyatnya.
Sejak daripada itu
pusat pemerintahan Kerajaan Bulud Temil berpindah ke Gua Madai dan ada beberapa
orang rakyat Raja Apoi diarahkan menetap di Bulud Temil bagi memastikan tidak
ada orang lain yang menceroboh istana raja dan mengkhabarkan kepada orang luar
bahawa Kesultanan Bulud Temil masih berdaulat.
Mereka kemudiannya
menamakan Bulud Temil sebagai Api-Api sempena bekas kaki Raja Apoi pada batu
pejal (kini di dalam kawasan istana sekarang).
Hiduplah Raja Apoi
dan rakyatnya dengan aman damai di dalam Gua Madai sehinggalah Permaisuri Sulid
Liud Langgi melahirkan Putera Munai Silong yang elok paras rupa dan bijaksana,
mewarisi sifat Raja Apoi dan menggelarkan kerajaannya sebagai Kesultanan Madai.
Tidak lama kemudian,
Raja Apoi mangkat dan putera Munai Silong yang muda belia ditabalkan menjadi
Raja Idahan II. Selepas Raja Munai Silong mangkat, anaknya Raja Melapas menaiki
takhta. Kerajaan Idahan semakin kukuh dengan pertabalan Raja Abau dan
seterusnya Raja Abdullah.
Raja Abdullah telah
memeluk Islam dengan seorang makhdum di Luk Suban (Silam) yang terletak di
bawah jajahan takluknya pada tahun 1408 dan menamakan kerajaannya sebagai
Kesultanan Idahan.
Kemangkatan Raja
Abdullah membolehkan puteranya, Raja Gemerang meneruskan pemerintahan.
Pemerintahan Raja Gemerang tidak lama apabila digantikan dengan Raja Gabag.
Raja Gabag telah
menukarkan nama kerajaannya daripada Kesultanan Madai atau Kesultanan Idahan
kepada Kesultanan Sabah sempena na-ma sebuah teluk, Luk Sabahan yang kaya
dengan ikan dan batu karang beraneka warna.
Kesultanan Sabah
mula masyhur dan digahkan lagi dengan peribadi Raja Gabag yang tinggi ilmu
batinnya sehingga menggerunkan kerajaan negara luar dan memerintah Sabah selama
beberapa abad kerana usia Raja Gabag terlalu panjang disebabkan tidak pernah
sakit. Raja Gabag jarang mandi dan kalau ia mandi tujuh hari sungai akan
banjir.
Memandangkan
perniagaan sarang burung tidak begitu menguntungkan kerana sering diserang
bajak laut atau lanun ketika dihantar ke China dan Kepulauan Sulu, maka Raja
Gabag mengambil keputusan untuk memindahkan istananya ke Sungai Merendung
(Silabukan) dan mengarahkan rakyatnya bertanam padi sawah dan huma.
Lokasi yang dipilih
Raja Gabag amat strategik kerana dasar sungai tersebut dalam sehingga kapal
besar boleh memudeki sungai se-hingga ke dermaga dan mula muncul sebagai pusat
perdagangan terkemuka terutama di rantau Nusantara sehingga pernah disinggahi
oleh pedagang China dan India.
Kemasyhuran
Kesultanan Sabah yang pusat pemerintahannya terletak di Tag Bangi, persimpangan
tiga sungai iaitu Sengayun, Matamba dan Merendung. Pekan kecil berkembang dan
tumbuh bagai cendawan yang bermula dengan Tag Bangi, Temunung Gagil, Lung
Maniud, Litok Gimbang, Busug Niug dan Sengayun.
Semua pedagang mesti
tinggal di dalam perahu dan hanya naik ke darat untuk berniaga. Selepas habis
barang mereka mesti pulang. Pelabuhan Tag Bangi menjadi pusat perdagangan tukar
barang terkemuka meliputi beras, padi, damar, sarang burung (hitam dan putih),
gula, madu, gading gajah dan sumbu badak. Manakala pedagang luar menawarkan
gong, kulintangan, tambur, emas suluk, kancing baju, keris, bujak dan pelbagai
barangan seramik dan logam yang amat diminati oleh penduduk sekitar.
Sultan Sulu, Sultan
Amil Umrah turut berlabuh di dermaga Tag Bangi dan menjalinkan hubungan dagang
dengan Kesultanan Sabah. Namun Raja Gabag begitu tegas enggan membenarkan
Sultan Amil Umrah mendirikan pondok tempat tinggal dan gudang untuk menyimpan
barang dagangan di tepi Sungai Merendung sementara mereka berniaga.
Walaupun agak kecewa
dengan layanan Raja Gabag yang enggan membenarkan angkatannya mendirikan
pondok, namun Sultan Amil Umrah menganugerahkan gelaran 'Panglima' kepada Raja
Gabag sebagai tanda perhargaan perhubungan dagang dua hala yang terjalin.
Raja Gabag agak
kecewa dan menganggap Sultan Amil Umrah me-rendahkan martabatnya sebagai raja
dengan memberi gelaran 'Panglima' namun tetap menjalinkan hubungan baik demi
memelihara kepentingan dagang.
Raja Gabag bersikap
pasif apabila enggan membenarkan pedagang dari Johor, Awang Alak Betatar,
pedagang dari Johor yang cuba berlabuh di Pelabuhan Tag Bangi tanpa izinnya,
apatah lagi Awang Alak Betatar enggan membenarkan perahunya diperiksa
Syahbandar.
Armada perang Raja
Gabag mengejar perahu Awang Alak Betatar sehingga ke Pulau Sidungul (Semporna).
Merasakan
keselamatannya terancam, Awang Alak Betatar belayar ke Kepulauan Sulu dan
mendapatkan perlindungan di Istana Sultan Sulu. Awang Alak Betatar bertemu
jodoh dengan saudara perempuan Sultan Sulu.
Tidak lama kemudian
meneruskan pelayaran dan menemui sebuah kawasan strategik dan mendirikan
kerajaan di sana, Kesultanan Brunei dan menggelarkan dirinya Sultan Mohammad 1
pada tahun 1472 sebelum seorang mubaligh Islam, Syarif Ali dari Taif menjadi
Sultan dengan gelaran Sultan Berkat.
Dendam Awang Alak
Betatar yang dihalau oleh Raja Gabag dari berlabuh di Tag Bangi diwariskan
kepada keturunannya yang mendirikan Kesultanan Brunei. Dendam tersebut semakin
memuncak apabila berlaku perang saudara di antara Sultan Mubin dengan keluarga
Sultan Mahyudin di antara tahun 1661 hingga 1704 dan Sabah yang tidak pernah
terletak di bawah jajahan takluk Kesultanan Brunei telah diserahkan kepada
Sultan Sulu sebagai membalas jasa Betara Suluk yang meleraikan perang saudara
itu.
Raja Gabag amat
marah mendengar berita itu, namun enggan mengiktiraf penyerahan wilayah
tersebut yang menjadi jajahan takluknya, namun tidak meneruskan niatnya untuk
menghancurkan Kesultanan Sulu dan menghapuskan cucu cicit Awang Alak Betatar
yang dianggapnya sebagai lanun.
Apatah lagi ketika
itu baginda terlalu sibuk mendalami ilmu kebatinan dan memerintah Tag Bangi
yang semakin terkenal sebagai pelabuhan terkemuka sehingga hampir menjadi
pelabuhan persinggahan pedagang China dan Timur Jauh.
Perlantikan Joseph W
Torrey sebagai 'Maharaja Borneo' oleh Sultan Abdul Meumin (Sultan Brunei ke 24)
tidak langsung menarik minat Raja Gabag kerana merasakan perlantikan tersebut
seperti kanak-kanak kecil bermain 'Pengantin-pengantin' kerana mereka tidak ada
hak untuk melantik seseorang dan mencampuri urusan dalaman Kesultanan Sabah.
Apatah lagi Raja Gabag
tidak mengiktiraf Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu yang diasaskan oleh
para lanun dan hukum rimba. Sultan Brunei dan Sulu yang menyimpan dendam kerana
tidak berpuas hati dengan layanan Raja Gabag mencari pelbagai helah untuk
menarik perhatian Raja Gabag ke kancah peperangan kerana segala perlakuan
mereka selama ini hanya dipandang sebelah mata oleh Raja Gabag.
Tag Bangi yang
selama ini aman damai tiba-tiba gempar oleh sekumpulan lanun yang mengganas
merompak padi para petani di Ulu Sungai Merendung. Semua tujuh perahu lanun
sarat dengan muatan padi yang baru dituai. Para petani bertempiaran lari
menyelamat diri daripada dibunuh oleh lanun yang kejam. Beberapa orang segera
ke istana melaporkan peristiwa ini kepada Raja Gabag.
"Biarlah. Kamu
baliklah dulu," kata Raja Gabag ringkas kepada wakil petani yang menjadi
mangsa lanun.
Raja Gabag lalu
turun ke Sungai Merendung dan membawa rotan saga di dalam perahunya lalu
membentangkan rotan saga tersebut di antara Tag Bangi dan Lung Maniud merentas
Sungai Merendung. Raja Gabag memasang 'Pantang Marau' dan selepas itu balik ke
istana untuk berehat.
Lanun-lanun tersebut
hilang akal kerana sudah tujuh kali hilir mudek Sungai Merendung, namun tidak
menjumpai jalan keluar, lalu ketua mereka merasa bagai dipanggil menghadap Raja
Gabag di istana.
"Kenapa kamu
mau jumpa saya", tanya Raja Gabag yang sudah mengetahui tujuan kedatangan
ketua lanun tersebut.
"Tuanku, kami
minta tolong, mau pulang tidak dapat. Sudah banyak kali mundar mandir tapi
tidak jumpa jalan," ujar ketua lanun itu cuba berselindung.
"Saya tahu
masalah kamu. Hantar balik barang yang kamu rampas kepada tuan punya, kemudian
boleh pulang. Kali ini saya bebaskan kamu, tapi jangan buat lagi, " sindir
Raja Gabag sehingga membuatkan ketua lanun itu ketakutan dan terkencing di
dalam seluar.
Setelah pasti semua
padi telah dikembalikan kepada pemiliknya, Raja Gabag membuka ikatan rotan yang
merentas Sungai Meren-dung, lalu kesemua lanun yang diupah oleh Sultan Brunei
dan Sultan Sulu segera berkayuh laju meninggalkan para petani yang bersorak
girang kerana mendapat balik hasil padi mereka yang dirompak lanun ganas
tersebut.
Kegagalan lanun
tersebut membuatkan Sultan Brunei dan Sultan Sulu mati akal kerana merasakan
sukar untuk menumpaskan dan menakluki Kesultanan Sabah kerana Raja Gabag
memiliki ilmu kebatinan dan firasat yang tinggi.
Beberapa serangan
dan helah mereka telah dapat dipatah dengan mudah oleh Raja Gabag tanpa
menitiskan walau setitik darah rakyatnya.
Selain ilmu 'Pantang
Marau' Raja Gabag turut mewarisi ilmu 'Sumpak Tumbaga' bagi mengawal keamanan
dan memastikan kerajaannya ditakuti lawan kerana kehebatan ilmu batinnya. Raja
Gabag tidak boleh menggunakan jari telunjuk sebarangan kerana ilmu 'Sumpak
Tumbaga' akan membuatkan makhluk yang ditunjuk mati serta merta.
Jika burung terbang,
Raja Gabag hanya perlu menudingkan jari telunjuknya ke arah burung berkenaan,
serta-merta burung tersebut jatuh dan terus mati.
Raja Gabag terpaksa
mengorbankan anaknya, Itin, sebagai pemantap ilmunya. Anak tunggal yang amat
disayanginya terpaksa dikorbankan dengan menunjukkan anak kecil yang baru
pandai bertatih dengan jari telunjuknya sebagai syarat pengijazahan ilmu jurus
maut tersebut. Bagi mengekalkan ilmu tersebut di dalam tubuhnya, Raja Gabag
terpaksa memakan sedikit kepala tahinya dan tujuh ekor anak tikus yang masih
merah.
Raja Gabag turut
mengamalkan ilmu 'Gerudom' iaitu ilmu kebal, kuat dan boleh hidup dua alam;
ilmu 'Surui Barang' yang menggunakan mengkarung untuk menghantar penyakit atau
sihir; Umpod; Bilik; Gapun dan Antak Sekali yang menjadikannya hebat, kebal,
panjang usia dan ditakuti lawan.
Walaupun Raja Gabag
beragama Islam, tetapi hanya bersembahyang dua kali setahun iaitu sunat
Aidilfitri dan Aidil Adha, namun tidak pernah meninggalkan puasa.
Agak malang bagi
Raja Gabag kerana ketinggian ilmu batinnya tidak dapat menjamin kebahagiaan di
akhirat apabila mayatnya tidak diterima bumi ketika disemadikan di tanah
perkuburan Islam Tag Bangi setelah memerintah Tag Bangi selama beberapa abad,
hampir menandingi tempoh pemerintahan Firaun selama 400 tahun.
Jasad Raja Gabag
yang tidak diterima bumi menjadi batu hitam dan anehnya batu tersebut boleh
bergerak dan 'Pandai mandi' di Sungai Merendung. Setiap kali batu tersebut
turun ke sungai, tidak ada orang yang berani mandi di hilir sungai kerana akan
mendapat penyakit yang membawa maut. Air sungai akan menjadi seperti air 'Kopi
O' yang hanya hilang dan diikuti oleh banjir besar selama tujuh hari.
Batu Hitam Lembaga
tubuh Raja Gabag yang bertapa di Ulu Sungai Silabukan setelah mayatnya tidak
diterima bumi dan sering berpindah randah. Hanya suku sakatnya sahaja yang
berpeluang menemui batu tersebut atau seseorang yang tidak mempunyai niat
sering terserempak dengan batu tersebut yang akan bergerak memasuki air sungai
jika ada yang menegurnya. Kalaulah Raja Gabag masih hidup kempunanlah orang
luar mahu bertapak di Sabah!
Hanya sepupunya,
Siti Rahimin dan Siti Jalailan yang boleh memegang batu hitam lembaga Raja
Gabag. Jika orang lain yang menyen-tuh batu hitam tersebut akan mati serta
merta. Kini batu hitam tersebut berpindah sendirinya ke hulu Sungai Silabukan
dan sudah jarang ditemui. Namun jika orang Idahan berhasrat untuk ke tempat
batu tersebut 'bertapa' sungai berkenaan akan banjir sehingga batu itu
ditenggelami air dan tidak lagi kelihatan.
Kemangkatan Raja
Gabag mengakhiri Kesultanan Sabah kerana tidak ada waris yang ditinggalkan
untuk meneruskan kerajaan tersebut. Rakyatnya mengambil keputusan berpindah ke
Luk Penok (Tabanak), Sapagaya, Bikang, Binuang, Segangan dan Terusan.
Kemunculan Pelabuhan
Bikang turut menarik pedagang menukar haluan dagang daripada Sungai Merendung
ke Sungai Longuap di Bikang. Ketika itu Lahad Datu hanyalah sebuah kampung
nelayan yang dinamakan sebagai KERUGAU kerana terdapat batu karang dan tersorok
oleh pulau dan berpaya bakau yang berlumpur. Kebanyakan orang Idahan mula
kembali ke Madai untuk mengutip sarang burung kerana permintaan barangan
berkenaan terlalu tinggi dari negara China dan Filipina.
Dua tahun selepas
kemangkatan Raja Sabah yang terakhir, Raja Gabag, Sabah telah menjadi tanah
jajahan Inggeris pada 28 Januari 1878 kerana Sultan Sulu, Sultan Jamalul Alam,
yang tidak tahu malu dan bermuka penyangak telah 'Menggadaikan' Sabah
kepada British North Borneo Company yang diwakili oleh Alfred Dent dan Baron
Gustave Von Overback tanpa sebarang tentangan daripada orang Idahan dan waris
terdekat Raja Gabag yang ketika itu sibuk dengan sarang burung di Gua Madai.
Berita kemangkatan
Raja Gabag telah tersebar luas, sehingga menarik ramai peniaga luar datang ke
Sabah terutama ke Semenanjung Silam dan Kinabatangan. Orang China, Hong Kong,
Taiwan dan Jerman mula memasuki Sabah secara meluas kerana selama ini Raja
Gabag mengamalkan 'Dasar Pintu Tertutup' untuk bangsa asing, melainkan untuk
berdagang atau singgah mengambil bekalan air.
Maka bermulalah era
penghijrahan secara besar-besaran oleh orang asing ke Sabah. Terbuktilah
ketokohan Raja Gabag yang selama ini amat ditakuti oleh orang asing kerana
selepas kemangkatannya, Sabah terus dibolosi dan didatangi penjajah sehingga
negeri yang dahulunya bertuan kelihatan seperti sebuah pulau tanpa penghuni dan
dibahagikan sesuka hati sesama mereka.
Pedagang Jerman,
Tuan Ringgit membawa masuk orang Dusun (Kadazan) dari Kalimantan (Indonesia)
untuk penanaman tembakau di Sungai Melian (Kinabatangan) yang kemudiannya
berpindah ke Sungai Tapadong (Segama) apabila berlaku banjir besar di Sungai
Melian sebelum bertebaran ke seluruh pelusuk Sabah.
Manakala orang
Brunei yang berasal dari Johor belayar dari Brunei ke Sabah dengan perahu layar
dan mendarat di Karambunai sebelum mendiami kawasan pesisir pantai Papar
sehingga ke Labuan. Kedatangan dua orang bajau, Empat Mata dan Kiat Kulug di
Pulau Sidungul (Semporna) dari Filipina disertai kemudiannya oleh beberapa
orang Suluk dan Irranun. Ini diikuti oleh seorang Tidung, Betaur, yang
kemudiannya berkahwin dengan Jin Sabah di Sungai Sibuku.
Terakhir sekali
kedatangan orang Kokos dari Cocos Island (Australia) yang dibawa oleh Tuan Ross
(British) untuk industri membuat jut dan Manila hem. Pulau Kokos dipindahkan
pentadbirannya daripada Kerajaan Ceylon kepada Negeri-Negeri Selat (Pulau
Pinang, Melaka & Singapura) pada tahun 1886 yang diikuti oleh Labuan pada
tahun 1887. Kokos terletak di bawah pentadbiran Singapura, namun pada tahun
1955, pentadbiran Pulau Kokos diserahkan kepada Kerajaan Australia.
Penemuan beberapa
barang purba di Rancangan Seberang, berdekatan Sungai Silabukan pada sekitar
tahun 1996 membuktikan kewujudan Kerajaan Tag Bangi, terutama keris bersarung
emas tulen dan rentaka serta barang lain yang bernilai.
Namun pembukaan
kawasan Tag Bangi sebagai ladang kelapa sawit oleh Lembaga Kemajuan Tanah
Negeri Sabah pada sekitar tahun 1976 oleh Kerajaan Berjaya telah banyak merosakkan
artifak dan peninggalan sejarah melainkan barangan purba yang tertanam di perut
bumi.
Kini masyarakat
Idahan merupakan masyarakat minoriti yang tersepit dan dipinggirkan di celah
kepesatan gelombang penghijrahan orang asing seperti nasib Orang Asli di
Semenanjung Malaysia yang tenggelam di tengah-tengah kelompok 'Melayu
Pendatang' daripada luar.
Terdapat satu
jalinan rapat di antara Kesultanan Sulu dengan kaum Idahan yang terjalin sejak
Raja Abdullah memeluk Islam sehinggalah kini, walaupun agak hambar di era
pemerintahan Raja Gabag. Sesetengah pengkaji sejarah berpendapat tanpa hubungan
dengan Kesultanan Sulu mungkin orang Idahan masih belum beragama sehingga kini.
Sejak itu orang
Idahan tidak boleh dipisahkan dengan orang daripada Kepulauan Sulu berketurunan
Suluk atau Tau-Sug. Berlakulah perkahwinan campur yang memindahkan keturunan
Suluk kepada Idahan yang bergelar Datu, gelaran Kepahlawan Kesultanan Sulu.
Belum ada perangkaan
rasmi bilangan kaum Idahan tulen yang juga digelar Buludupie, Sabahan, Iraqan,
Eraan dan Orang Sungei yang membawa maksud pagan atau tidak beragama oleh
generasi ter-dahulu dan masyarakat nusantara. Tetapi apabila Raja Abdullah
memeluk Islam mereka digelar Idahan. Manakala yang masih kekal pagan dinamakan
Begahak, Subpan dan Sungei.
Bagaimanapun bancian
rambang yang dibuat oleh beberapa pihak berdasarkan isi rumah yang belum dapat
disahkan, jumlah kaum Idahan kini tidak sampai 3,000 orang lagi. Perkahwinan
campur sedikit sebanyak mengikis perlahan-lahan suku bangsa yang pernah
memerintah Sabah.
Bagaimanapun jurai
keturunan kahwin campur berkenaan terus diasimilasikan dan diiktiraf
sebagai pewaris yang sah walaupun tidak dapat dikenalpasti faktor darah ataupun
DNA.
Taburan penduduk
kaum Idahan dan sekutunya (hasil kahwin campur) berceretek di sepanjang Kampung
Sapagaya, Kampung Tabanak, Kampung Binuang, Kampung Segangan, Kampung Bikang,
Kampung Terusan, Kampung Dewata dan Kampung Segama Batu 8 di Lahad Datu.
Hikayat Raja Sabah
saya mengenepikan Teori asal usul Kadazan-dusun yang selama ini dianggap
sebagai penduduk asal atau anak jati Sabah. Oleh kerana itu, etnik Idahan
(Begahak, Suppan, Buludupie, Sungei) tidak wajar lagi dikategorikan sebagai
etnik Kadazan-dusun.
Walaupun ia hanya karya Sastera Sejarah, namun mempunyai nilai estetika
dan menjadi kata kunci kenapa Anak Negeri Sabah tidak ada di dalam Perlembagaan
sedangkan Sarawak ditata rias dengan baik dan diiktiraf Perlembagaan
Persekutuan.
Source: Hikayat Raja Sabah
Walau apapun teori yang dikemukakan hendaklah dibuktikan melalui metodologi sejarah yang menjurus kepada penemuan fosil, artifak, dokumen bersurat, sisa-sisa peninggalan dan sebagainya yang lebih banyak menjurus kepada orang Idahan, terutama kajian geomopologi dan arkeologi di Tingkayu dan Gua Madai yang menjadi katalis zaman Kesultanan Sabah dengan zaman kini.
ReplyDeleteSeorang waris Raja Gabag, Haji Putin Bin Pangeran Yusof, 61, mendakwa bahawa Seri Raja Gabag adalah Raja Sabah Terakhir yang meninggal dunia dua tahun sebelum kedatangan British tanpa meninggalkan sebarang zuriat untuk meneruskan pemerintahan kerajaannya.
Memandangkan beliau salah seorang daripada waris terdekat Seri Raja Gabag, maka beliau sanggup berhadapan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Baginda Queen Elizabeth untuk membuktikan bahawa Kerajaan Sabah benar-benar wujud dan di-ungguli oleh penduduk asal Sabah iaitu orang Idahan, malangnya beliau telah meninggal dunia pada tahun 2003.
"ini orang putih sengaja kasi putar belit sejarah, dia orang tau memang sudah wujud Kesultanan Sabah, tapi dia orang tidak iktiraf kerana mau merampas negeri ini,?ujar Haji Putin yang mendakwa dirinya cucu saudara Raja Gabag yang perkasa lagi terkenal di segenap benua ketika itu
Tambahnya lagi, apabila British masuk ke Sabah melalui beberapa tipu helah mereka memujuk Sultan Sulu yang kononnya diberikan Sabah sebagai hadiah di atas jasa Betara Suluk menyelesaikan perang saudara di Brunei, maka mereka membahagi-bahagikan Sabah sesama mereka dan tidak mengiktiraf ketuanan Kesultanan Sabah yang berpusat di Merendung.
"Para penjajah ini membawa masuk pendatang dari luar untuk mengucarkacirkan sistem pentadbiran dan memberi taraf kerakyatan kepada orang luar sehingga orang Idahan ditindas," ujar Haji Putin yang agak kesal dengan tipu muslihat British.
Menurut Haji Putin lagi, ketika wujudnya Kesultanan Sabah yang diasaskan oleh orang Idahan, belum ada pendatang luar yang berani menceroboh Sabah kerana mereka gentar dengan kehebatan Raja Gabag yang perkasa dan mempunyai ilmu batin yang tinggi.
"Selepas Raja Gabag mangkat, barulah dia orang berani mencero-boh negeri ini,?kata Haji Putin yang turut menyatakan bahawa orang Kadazandusun bukanlah 'Anak jati' Sabah, sebaliknya dari Kalimantan yang dibawa masuk oleh orang Jerman, Tuan Ringgit untuk bekerja di Ladang Tembakau di Sungai Melian (Kinabatangan) sebelum berpindah ke Sungai Tapadong (Segama) dan seterusnya bertebaran ke seluruh negeri ini.
CERITA LANJUT DI HIKAYAT RAJA SABAH.
Maaf kerana cerita ini tidak semestinya benar... Sepatutnya pengkaji Sejarah mengkaji penampatan awal di Nunuk Ragang kerana dikatakan telah wujud semenjak 600 tahun masihi
DeleteSabahpun ada hikayat sendiri. Kita tidak boleh nafikan setiap tempat ada hikayat.
ReplyDeleteRAMAILAH YANG MENGAKU WARIS SULTAN SELEPAS INI...APA JUGA YANG MEREKA DAPAT...SABAH SISTEM DEMOKRASI..MANA BOLEH WUJUD SULTAN SULTAN..NANTI TIMUR DI SABAH PUN MENGAKU SULTAN..APAPUN KECUALI LAH SABAH BOLEH WUJUD SULTAN JIKA YDP AGONG, MAJLIS RAJA RAJA DAN DYMM BRUNEI MINTA PENGKAJIAN SEMULA PERKARA INI DAN DIBAWA KE BRITISH.MAKA DI ISTIHARLAH SEMULA..TP WARIS SULTAN ITU BUKAN DARI SULU..SEBENARNYA WARISNYA SUKU SAKAT YG BERASAL DARI KESULTANAN DI BRUNEI DULU KALANYA..SULU TIADA KUASA DAN HAK SAMA INI SABAH...
ReplyDeleteTembirang punya karangan,sebelum kedatangan overbeck orang² dusun sudah ada d Sabah bersama² dengam murut dan bisaya yg mana pada masa itu dikenali sebagai idaan...claim lebih² mcm lahanat
ReplyDelete