Sejarah Ringkas
Pandasan merupakan sebuah perkampungan terpinggir di utara
daerah Kota Belud Sabah. Satu ketika dahulu di bumi Pandasan ini masyarakatnya
begitu teguh berpegang pada ajaran dan undang undang Islam. Pernah terjadi
seorang pemuda berbangsa Samah beragama Islam telah dikenakan hukuman sebat
kerana kesalahan berzina. Pasangannya adalah seorang gadis berbangsa Dusun
bukan Islam. Gadis tersebut juga dikenakan hukuman mengikut hukum adat suku
kaum Dusun kerana undang undang Islam tidak melibatkan mereka yang bukan
beragama Islam.
Peristiwa Pandasan atau lebih dikenali penduduk tempatan
sebagai Perang Pandasan telah berlaku pada 26 April 1915 bersamaan dengan 12
Jamadilakhir 1333(H). Beberapa hari selepas tewasnya Pahlawan Antanum di
Rundum.Pada tarikh ini,Sharif Ali atau lebih dikenali sebagai Embo Ali juga
Sabil Ali bersama sama dengan pengikut-pengikutnya yang terdiri dari suku kaum
Samah, Dusun dan Irranun telah terkorban.Sharif Ali merupakan adik kepada Datu
Paduka Mat Salleh, pahlawan terbilang Sabah. Embo Ali yang juga seorang ulama
ahlul bait dan pahlawan bangsa menentang British kerana tidak bersetuju dengan
sistem cukai yang dikenakan oleh British North Borneo Company (BNBC).
BNBC yang pada mulanya datang sebagai pedagang dan penyewa
akhirnya meminta cukai daripada tuan tanah.Nampak sangat sikap penipu bangsa
beruk British ini. Penentangan Embo Ali juga adalah disebabkan rasa tidak puas
hati dengan perangai beruk-beruk British yang cuba mengambilalih pemerintahan
dan ini menjadi kenyataan setelah tanah Sabah diserahkan kompeni kepada
Kerajaan British secara tidak sah pada tahun 1946. Pandai sangat British ini
mengambil kesempatan. Bersama sama dengan orang tempatan lawan Jepun supaya
mereka dianggap berjuang membebaskan bumi Sabah. Padahal merekalah yang membunuh
dan menghapuskan kuasa pembesar pembesar sebelum itu.
Berbalik kepada peristiwa perang Pandasan, upacara “Betitik”
selama 3 hari 3 malam juga disebut masyarakat Irranun sebagai
"Peghkalilang" telah diadakan. Irama “Tigad-tigad” yang membawa
maksud tetak dalam bahasa Samah mengiringi hari hari terakhir para pejuang.
Kiranya macam dalam cerita kungfu la, sebelum menghadapi peperangan, gendang
perang di palu terlebih dahulu bertujuan untuk menaikkan semangat para pejuang.
Ketibaan pasukan polis British dinanti dengan zikir dan wirid memuji keagungan
Allah s.w.t. Barisan pejuang menanti kedatangan mereka dengan berpakaian serba
putih setelah mereka berkeputusan untuk mempertahankan kedaulatan hingga ke
titisan darah yang terakhir walau hanya dengan bersenjatakan gayang(pedang),
bujak(lembing), pidah(parang) dan senjata tradisional yang lain.
Pasukan polis British mula melakukan serangan, dentuman
bunyi meriam dan senapang berselang seli dengan jerit tempik laungan
“Allahuakbar” membingitkan suasana perang Pandasan, yang kini merupakan tapak
Tamu Pandasan. Tembakan meriam dan senapang pasukan polis British tidak sedikit
pun mencederakan Embo Ali dan pengikut pengikutnya.Ternyata kehebatan “Ilmu
Petunang” berjaya membuatkan senjata anggota polis British tidak berfungsi dan
membuatkan mereka saling tembak menembak sesama sendiri.Tembakan yang
dilepaskan juga tidak mengenai sasaran. Kesannya masih boleh dilihat pada
pokok2 besar sehingga ke hari ini.
Kota Belud terkenal dengan penunggang kuda yang handal
Melihat kepada keadaan tersebut, lahirlah watak seorang
talibarut yang bernama Arshad. Arshad merupakan salah seorang dari pengikut
Embo Ali yang telah diperturunkan ilmu kepahlawanan. Arshad yang telah dirasuk
syaitan mula membayangkan imbuhan yang akan diperolehinya setelah mengkhianati
rakan seperjuangan dan gurunya sendiri. Tidak seperti Jebat yang derhaka kerana
menuntut Keadilan, Arshad menderhaka kerana kuasa dan kekayaan. Arshad memilih
untuk hidup mulia, Embo Ali memilih untuk mati syahid. Arshad mengetahui
kelemahan Embo Ali lalu bertindak meminjam bujak (lembing) kepunyaan gurunya
itu. Sebagai salah seorang anak murid yang paling dipercayai dan antara yang
terhandal berbanding yang lain, Embo Ali tidak menyangka anak murid
kesayangannya yang seorang ini sebenarnya takut mati dan terlebih dahulu telah
berpakat dengan pihak British. Setelah mendapat bujak kepunyaan gurunya itu
dengan laungan “sumbang/setumbang noh kiti guru!!!’’ yang bermaksud
“berlawanlah kita wahai tok guruku”, Arshad membujak Embo Ali dalam keadaan
beliau tidak bersedia. Antara dialog yang dirakamkan dalam ingatan mereka yang
tidak terbunuh dan menyaksikan babak tersebut adalah berbunyi seperti ini yang
telah saya terjemahkan dalam Bahasa Melayu." Sampai hatimu Arshad. Ku pelihara
kau seperti anak sendiri, ku perturunkan segala ilmu. Sebegini rupa kau
membalasnya".
Ini kerana Arshad bukanlah penduduk asal Kota Belud dan
sudah menjadi budaya masyarakat di Kota Belud menghormati orang luar. Budaya
ini kekal sehingga ke hari ini, dimana sekiranya anda seorang perantau dan
datang ke Kota Belud, mereka akan melayani anda sebaik mungkin. Apa yang ada di
dapur mereka, itulah juga yang anda makan. Melainkan sudah tiada, memadailah
sekadar secawan kopi dan biskut kering. Seperti yang digambarkan dalam sebuah
perumpamaan bangsa Samah, "Mangan nia mangan asal jo kiti kurung
kurung" yang bermaksud makan tak makan,yang penting kita berhimpun. Di
saat saat akhir hayatnya, Embo Ali sempat berpesan kepada anak muridnya yang
lain agar meneruskan perjuangan "Baya ni matai entorong bujak", yang
membawa maksud biarlah mati dihujung lembing. Akhirnya pergilah seorang pejuang
agama dan bangsa. Pemimpin berkarisma yang menjadi simbol penyatuan bangsa yang
berlainan agama dan kepercayaan.
Pengikut-pengikut Embo Ali yang masih hidup cuba membunuh
Arshad tetapi tidak berhasil kerana Arshad sememangnya seorang yang handal
bertarung hasil didikan Embo Ali. Satu demi satu pejuang gugur dan berakhirlah
perjuangan suci dibumi Pandasan. Pakaian putih dibasahi darah merah. Jenazah
mereka dikebumikan dalam satu liang di sebuah permakaman besar di kampung
Pandasan selayaknya untuk mereka yang mati syahid. Mayat pejuang-pejuang yang
bukan beragama Islam pula dikebumikan di kampung masing-masing. Arshad diangkat
sebagai wira di Kota Belud. Sebuah sekolah menengah di Kota Belud diambil
bersempena dengan namanya yang telah berjasa kepada British kerana mengkhianati
guru dan rakan seperjuangannya. Berbekalkan ilmu kepahlawanan dan sokongan dari
pihak British, Arshad mula berlagak seperti seorang dictator. Merampas tanah
dan harta penduduk tempatan disamping mengenakan cukai-cukai yang tidak
munasabah. Waris dan keturunan Embo Ali dan wira-wira Pandasan dihina sebagai
keturunan pemberontak. Ada diantaranya yang berhijrah meninggalkan tanah tumpah
darah mereka dan meninggalkan keluarga besar mereka di Kota Belud.
Begitulah seadanya satu penceritaan ringkas. Saya menyeru
anak anak muda yag berbangsa Samah, Dusun dan Irranun terutamanya yang berasal
dari Kota Belud agar tidak melupakan sejarah yang cuba dipadamkan ini.
Rajin-rajinlah bertanya kepada orang-orang lama. Pelangi akan pergi setelah
petang menjengah malam. Bangunlah pada keesokan hari bersama sinar pagi yang
menerangi seluruh alam. Sejarah akan terus menipu selagi si penipu sejarah
tidak didedahkan. Sejarah itu ditulis oleh orang-orang yang menang untuk
memenangkan mereka yang menang dan yang menang adalah penjajah British dan agen
mereka yang memerintah kita hingga ke hari ini.
Embo Ali dan wira-wira perang Pandasan sudah hampir seratus tahun
meninggalkan kita. Tapi kita yang masih hidup, hiduplah yang bertanggungjawab
untuk meneruskan perjuangan mereka, kerana inilah sebenarnya perjuangan yang
belum selesai. Suara keramat ini akan terus kedengaran, selagi hayat dikandung
badan. BAYA NI MATAI ENTORONG BUJAK.. LAWAN TETAP LAWAN!!!
Sumber: http://raudhatuljannah-mujahidah.blogspot.com/
Sumber: http://raudhatuljannah-mujahidah.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment