Friday, 3 February 2017

Pengaruh Kesultanan Brunei Kepada Masyarakat Sabah (Siri I) - Bilcher Bala & Baszley Bee Basrah Bee dan Jakaria Dasan

Pengaruh Kesultanan Brunei Kepada Masyarakat Sabah (Siri I)

3 April 2008, Utusan Borneo, ms.13

Oleh Bilcher Bala & Baszley Bee Basrah Bee dan Jakaria Dasan

Sungguhpun pada peta dunia, saiz Negara Brunei Darussalam begitu kecil jika dibandingkan dengan negeri Sabah dan Sarawak, akan tetapi nilai kekayaan Negara itu adalah jauh lebih tinggi dari yang dimiliki oleh kedua buah negeri. Sebagai antara Negara pengeluar minyak utama dunia dengan nisbah penduduknya yang kecil, Negara ini memiliki segala kelebihan mengatasi kedua buah negeri berkenaan. Sewajarnya kekayaan itu, masih dapat menggambarkan betapa Brunei pada suatu ketika dahulu adalah merupakan sebuah empayar yang memerintah kedua buah negeri termasuk sebahagian kawasan Kalimantan, di Indonesia.

Brunei Darussalam terkenal sebagai salah sebuah  negara yang terkaya disebabkan oleh hasil eksport minyaknya. Ia juga pernah terkenal sebagai  pengeksport kapur barus pada sebelum zaman moden. Secara umumnya, sejarah Negara Brunei Darussalam telah dipinggirkan dalam kegiatan-kegiatan historiografi Asia Tenggara. Oleh yang  demikian, ramai yang tidak menyedari atau memahami kepentingan sejarah Kesultanan Brunei  kepada sejarah ketamadunan masyarakat Borneo umumnya.

Fakta ini dapat disorot semula dengan membaca hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh dua orang penyelidik Sekolah Sains Sosial,  Bilcher Bala dan Baszley Bee Basrah Bee.

Sejarah Awal Kesultanan Borneo

Brunei memiliki sebuah monarki yang sangat tua, di mana ia telah wujud lebih daripada setengah millennium yang lalu dengan genealogi dinastinya yang tidak terputus. Sebelum kedatangan orang Eropah pada awal abad ke enam belas, sebuah kerajaan Kesultanan Melayu-Pribumi di bahagian barat-laut Borneo telah bangkit menjadi kuasa utama di kalangan banyak daerah ketua tunggal (chiefdoms) dan kerajaan di pulau ini.   

Sesungguhnya, sejarah Kesultanan Brunei Darussalam adalah unik, bermula dengan kisah sebuah bandar-pelabuhan kuno, Po-li atau Po-ni pada sebelum abad ke empat belas, membangun menjadi sebuah organisasi bandar-negara yang kuat. Ia lebih dikenali oleh Dinasti Ming dengan nama Wen-lai atau Bo-ni pada abad ke limabelas.

Pada dasarnya, kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara merujuk China sebagai kerajaan yang perkasa dan mengiktiraf kedaulatan China dengan membayar ufti kepada Dinasti Liang sehingga tahun 523 M. Raja kerajaan Po-li dinamakan sebagai Kaundinya, yang merupakan satu gelaran Hindu bermaksud ‘raja gunung sakti’ atau Sailendra. Walau bagaimanapun, orang Cina telah tersilap menganggap raja tersebut menganut agama Buddha yang mempunyai persamaan dengan kepercayaan terhadap unsur semangat yang diamalkan oleh kaum pribumi di Brunei Tua.

Semasa pemerintahan Dinasti Tang (618-906 M.), Po-li diperintah oleh raja bernama Hu-lan-na-po. Kemudian kerajaan Brunei Tua dikenali sebagai Po-ni semasa pemerintahan Dinasti Sung (960-1279 M.). Rajanya dinamakan Hsiang-ta (Nyanta), yang menghantar satu utusan ufti ke China pada tahun 977 M. untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap kesetiaannya. Sekitar tahun 1082 M, rajanya bernama Seri Maja (Seri Maharaja), telah menghantar satu utusan ke China melalui pelabuhan Chuan-Chou. Jurutulis di istana kerajaan China yang bernama Chau-Ju-Kua telah menyebut bahawa pada tahun 1225 M. kerajaan Po-ni lebih dikenali di kalangan saudagar-saudagar Cina sebagai sebuah kerajaan yang kaya dengan sumber kapur barus. Berikutnya, rekod Ming Shih menyebut bahawa dari tahun 1368 M. kerajaan Po-ni membayar ufti dalam bentuk kapur barus kepada kerajaan Majapahit. Kewujudan pengaruh Hindu telah dibuktikan oleh penemuan artifak genesa gajah, nandi lembu dan yoni di beberapa tapak arkeologi sekitar muara Sungai Limbang yang mengalir ke dalam Teluk  Brunei.

Walaupun artifak-artifak tersebut terbukti berasal daripada Hindu, tetapi kemungkinan ianya dibawa daripada Pulau Jawa ketika kerajaan Brunei Tua menjadi jajahan takluk kepada kerajaan Majapahit. Pada tahun 1408 M., raja kerajaan Po-ni yang bernama Ma-na-je-chia-na (kemungkinan satu gelaran Hindu, Maharaja Karna) bersama permaisuri dan putera yang berusia empat tahun telah mengetuai utusan ke China untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap kesetiaan dan perlindungan daripada ancaman Majapahit. Ahli-ahli sejarah tidak sehaluan dalam interpretasi terhadap era ini, terutamanya mengenai isu pengislaman kerajaan Brunei Tua. Sejarahwan-sejarahwan Barat berpendapat bahawa pengislaman kerajaan Brunei Tua berlaku seawal tahun 1500 M. Manakala, sejarawan-sejarawan Brunei mencadangkan tahun 1371 M.

Sejarah Pertalian Masyarakat Brunei dan Sabah

Ahli sejarah Brunei, M.A. Rahman (1990) menyarankan satu tarikh yang mungkin (antara 1406 M. to 1408 M.) pengislaman Betatar kepada Mohammad Shah, yakni Sultan Brunei yang pertama. Para sejarawan Brunei menyokong kuat pandangan bahawa Betatar berasal daripada keturunan kaum pribumi. Hal ini menggambarkan satu tempoh peralihan telah berlaku dalam Teluk Brunei. Sebuah kerajaan baru telah ditubuhkan oleh orang Islam berhampiran dengan kerajaan Brunei Tua. Orang Islam membina ibu kota kerajaan Brunei-Islam di Pulau Chermin dalam muara Sungai Brunei.

Manakala penduduk animis-pribumi pula kekal menetap di tanah besar di mana letaknya ibu kota lama Brunei Tua. Seorang jurutulis Portugis bernama Tome Pires dalam karyanya, Suma Oriental yang dituliskan sekitar tahun 1512- 1515 M., menyebut “Borneo terdiri daripada banyak pulau besar dan kecil. Semuanya dihuni oleh penduduk animis melainkan pulau yang terbesar dihuni oleh orang Islam; tidak begitu lama sejak Rajanya menjadi Islam. Mereka kelihatan seperti kaum pedagang. 

Para pedagang mereka adalah semua lelaki yang bertubuh bersaiz sederhana, tidak terlalu pintar. Mereka berdagang secara langsung dengan Melaka setiap tahun. Ia adalah sebuah negeri yang kaya dengan daging, ikan dan sago. Sesungguhnya, terdapat banyak pulau (sejumlah 33) dalam Teluk Brunei dan kemungkinan Pires merujuk kepada Pulau Chermin sebagai pulau yang terbesar.  Sebenarnya, pada abad Kelima belas kerajaan Majapahit (Jawa) lebih mengenali Sultan Brunei dengan nama Raja  Chermin. Tambahan, Sultan Abdul Hakkul Mubin (1661-1673 M.) pernah menjadikan Pulau Chermin sebagai ibukota Brunei. Terdapat dua sumber yang ditulis oleh Tome Pires di Melaka, bertarikh 5  Januari 1515 M. dan 8 Januari 1515 M. untuk mengesahkan kewujudan dua buah kerajaan yang berasingan di Teluk Brunei.    

Sumber pertama menyebut bahawa penduduk animis-pribumi sebagai “Lucoes of Burneo” adalah kaum pedagang yang datang ke Melaka. Sumber kedua menyebut “Bruneo” dan “Lucoes” adalah kerajaan-kerajaan atau orang-orang yang berlainan. Pires  mengatakan bahawa kerajaan “Bruneo” dan pedagang pedagangnya adalah serupa kaum (Melayu) atau agama (Islam) dengan Temenggong Melaka. Di samping kesaksian Pires tersebut, terdapat juga kesaksian yang lain daripada Antonio Pigafetta pada tahun 1521 M., antara lain menyebut “Di dalam pelabuhan yang sama (Teluk Brunei) adalah sebuah bandar yang dihuni oleh orang animis-pribumi, lebih besar daripada bandar yang dihuni oleh oleh orang Islam, dan dibina di atas air masin sama seperti bandar orang Islam itu.”

Sebenarnya terdapat cuma satu kerajaan di Teluk Brunei. Kemungkinan sumber Portugis telah tersilap pandangan terhadap pembesar (pemerintah) penduduk animis-pribumi sebagai seorang raja.

Pada dasarnya, istilah “Lucoes” telah digunakan oleh orang Portugis untuk merujuk kepada kaum bukan-Muslim di rantau ini, terutamanya merujuk kepada kaum animis-pribumi Borneo termasuklah kaum orang laut (Bajau, Suluk dan lain- lainnya sebelum memeluk Islam). Menurut satu lagi sumber Portugis yang ditulis oleh Bras Bayao pada tahun 1535, menyebut; “tidak semua penduduk Brunei adalah Lucoes… di dalam pelabuhan yang sama terdapat banyak jurumudi yang mahir, yang juga dinamakan Lucoes dan mereka adalah peneroka-peneroka.” Kaum Lucoes merupakan rakyat jelata kerajaan Brunei Tua di bawah kepimpinan Awang Semaun, iaitu Pengiran Temenggong yang pertama (satu pengiktirafan yang tersirat seumpama ‘polis’) dengan tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan mempertahankan kerajaan.

Pada ketika sumber Portugis diitulis, Pengiran Temenggong adalah seorang Islam berketurunan Melayu. Ternyata sumber tradisi Brunei tidak mempunyai keterangan lanjut mengenai Awang Semaun ataupun keturunannya. Secara umumnya, sumber tradisi Brunei menyatakan bahawa Betatar dan tiga belas saudaranya telah memeluk Islam dan ini menggambarkan mereka adalah orang jahiliah sebelumnya.  Dalam konteks pandangan yang lebih luas, Sultan yang pertama adalah bekas seorang ketua utama di kalangan ketua-ketua kaum pribumi bagi empat belas daerah yang berbeza di rantau ini. Ini menjelaskan satu perkaitan hubungan yang kukuh antara kaum pribumi dengan kerajaan monarki Brunei. 
Sejak kehancuran kerajaan Melayu di Sumatra pada pertengahan abad Keempatbelas, migrasi orang Melayu dan budaya mereka telah mempengaruhi kehidupan kaum rakyat pribumi kerajaan Brunei Tua. Istilah ‘pribumi’ seharusnya tidak dikelirukan dengan istilah ‘bumiputera’ yang digunapakai masa kini (menurut Perlembagaan). Istilah Pribumi merujuk kepada beberapa kumpulan etnik seperti Belait, Tutong, Bisaya, Lundayeh-Lun Bawang, Murut, Dusun, Kelabit, Bukit, Melanau dan Penan. Manakala, istilah ‘bumiputera’ secara umumnya merangkumi Melayu Brunei, Kedayan, Bajau, Suluk, Iban, Kayan, Kenyah, dan lain-lain lagi yang dianggap sebagai masyarakat imigran sejak zaman pertengahan. Apa pun, mereka berkongsi satu pengalaman, semuanya pernah menjadi rakyat jelata kerajaan Brunei Tua dan Kesultanan Brunei sebelum berlakunya huru-hara yang disebabkan oleh orang Eropah pada abad Kesembilan belas. 

Sejarah Sebuah Empayar Maritim ke Sebuah Negara.

Dengan menikmati keuntungan daripada aliran barangan dagangan di laluan perdagangan antarabangsa, Brunei telah muncul sebagai sebuah pelabuhan entrepot dan menjadi empayar maritim pada abad Kelimabelas dan Keenambelas. Brunei menguasai sebuah rantau yang luas merangkumi seluruh Borneo dan Kepulauan Filipina. Perdagangan di Brunei mula meningkat selepas keruntuhan empayar Majapahit pada tahun 1368 M.

Pengislaman golongan pemerintah pada awal abad Kelimabelas telah menyumbang kepada pembangunan Brunei menjadi sebuah pelabuhan entrepot yang mewah. Selepas pengunduran kerajaan China daripada aktiviti maritim pada abad Kelimabelas, pedagang pedagang Muslim mula berpengaruh luas di rantau ini. Kerajaan Brunei telah menghantar utusan ufti yang terakhir kepada kerajaan China pada tahun 1425 M.

Ini menandakan Brunei telah bangkit menjadi sebuah kuasa besar dan pusat pemerintahannya di Kota Batu telah berkembang menjadi sebuah bandar yang mewah daripada hasil perdagangan dan ufti. Ini memberi peluang kepada Brunei menjadi sebuah empayar maritim yang kuat di rantau ini pada dekad dekad berikutnya.

Era ini ditanda sebagai ‘Zaman Keagungan’ kerajaan Kesultanan Brunei, yang mencapai kemuncaknya pada masa pemerintahan Sultan Bolkiah (1485-1524 M.). Seorang sejarawan British bernama, H. Hughes-Hallett (1940) memberi gambaran mengenai Brunei pada era tersebut, berkata; “sebuah negara yang merangkumi seluruh Sarawak dan Sabah kini … kekuasaannya merentasi bahagian Borneo yang diwakili kawasan yang kemudiannya  menjadi jajahan-jajahan seperti kerajaan kerajaan Kesultanan Sambas, Kotaringin, Pontianak, Coti, Pasir, Barau, Tuli Tuli, Banjar (Banjarmasin) dan Bolongan; ke atas Kepulauan Sulu dan ke atas pulau-pulau Balabak, Banggi, Balambangan dan Palawan.”


Penguasaan ke atas perdagangan luar dan dalaman termasuk dataran dalam lingkungan empayar Brunei adalah tertumpu kepada peranan pada pembesar yang ditugaskan untuk mentadbir jajahanjajahannya. Samada secara langsung atau tidak langsung, golongan bangsawan Melayu Brunei telah menguasai aktiviti perdagangan di seluruh empayar Brunei dari abad Keenambelas dan seterusnya.

Sumber : Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment