Monday, 27 February 2017

TUAN MASAIK MANUSIA KETURUNAN BULUH BETUNG

TUAN MASAIK MANUSIA KETURUNAN BULUH BETUNG

ASAL-USUL TUAN MASAIK BERDASARKAN CERITA LISAN DI NEGERI SABAH

Berdasarkan Tarsila Sulu yang menjadi rujukan ahli-ahli sejarah di Filipina dan Malaysia, Tuan Masaik dikatakan bukanlah penduduk asal Pulau Sulu. Ahli-ahli Sejarah seperti Dr Cesar Adib Majul mengatakan bahawa Tuan Masaik kemungkinan berasal dari Malaysia atau Indonesia. Walau bagaimanapun, ketokohan dan kewibawaan Tuan Masaik membuatkannya di sanjung dan dimuliakan di Kepulauan Sulu sehingga beliau dianggap sebagai Nabi atau Wakil Tuhan oleh penduduk tempatan. Ketaksuban penduduk Sulu dalam memuliakan Tuan Masaik tentunya disebabkan oleh banyaknya kelebihan, tingginya ilmu ketuhanan, keberkatan dan kemujaraban doanya serta berlakunya banyak keajaiban dan karamah sewaktu hidupnya.

Berdasarkan kepercayaan Islam, tidak ada lagi Rasul atau Nabi yang akan diturunkan oleh Tuhan selepas Nabi Muhammad S.a.w. Oleh sebab itu, tinggi manapun kelebihan, karamah dan ilmunya Tuan Masaik beliau hanyalah layak digelar "WALI ALLAH" dan RAJA. Walau bagaimanapun, berdasarkan penyelidikan saya, Tuan Masaik tidak pernah mendakwa dirinya Nabi atau Tuhan semasa hidupnya walaupun banyak keajaiban berlaku pada dirinya.

Di dalam Tarsila Kesultanan Sulu, cerita mengenaai Tuan Masaik terlalu sedikit. Tarsila Sulu hanya menyebutkan bahawa Tuan Masaik berasal dari bambu, berkahwin dengan anak Raja Sipad, dimuliakan dan dianggap nabi oleh penduduk Sulu dan menyebutkan hanya dua nama anak Tuan Masaik iaitu Tuan Hakim dan Aisya dan nama anaknya yang ketiga tidak disebutkan hanyalah dinyatakan sebagai seorang lelaki. Nama Tuan Pain tidak disebutkan dalam Tarsila Sulu tetapi disebutkan dalam dokumen catatan orang-orang Sepanyol. Adalah mustahil seorang Raja yang dianggap sebagai Terlalu Mulia tidak dicatatkan secara terperinci dalam mana-mana dokumen kerajaan Sulu. Sebenarnya, Penjajahan Sepanyol di Kepulauan Sulu dan pulau-pulau disekitarnya yang akhirnya mendirikan negara Filipina telah banyak merosakkan dan memusnahkan khazanah keraajaan Sulu termasuklah kitab-kitab, buku, monumen dan lain-lain bahan sejarah. Dalam sejarah Filipina disebutkan bahawa Sepanyol pernah mengambil tindakan memusnahkan makam-makam, monumen dan bahan sejarah di BUD DATU dan merampas banyak dokumen penting kerajaan Sulu sehinggakan Kesultanan Sulu ketiadaan bahan rujukan dan maklumat silam.

Berdasarkan cerita lisan keturunan Tuan Masaik yang ada di Kampung Parapat Laut, Kudat dan di beberapa kampung di sekitar Teluk Marudu, Tuan Masaik dikatakan berasal dari daerah Lahad Datu, Sabah. Kononnya pada zaman dahulu kala moyang Tuan Masaik telah menanam sepohon bambu betung atau disebut dalam bahasa Bajau/Suluk sebagai "KAYAWAN". Dikatakan bambu jenis ini adalah sejenis bambu yang berduri diruasnya dan sangat jarang didapati pada masa ini. Setelah beberapa lama ditanam, bapa Tuan Masaik yang merupakan seorang yang ditakdirkan tidak dikurniakan zuriat telah mendapat alamat dalam mimpi meminta beliau menebang bambu tersebut dan mengambil sesuatu benda di dalamnya. Sebenarnya rumpun bambu yang hidup subur itu seringkali mengeluarkan cahaya pada masa setiap bulan mengembang penuh. Cahaya tersebut sangat terang-benderang sehingga boleh menerangi kawasan sekitarnya.

Walau bagaimanapun beliau tidak mengendahkan mimpi tersebut sehinggalah ia berulang untuk kali yang ketiga. Pada malam ketiga, setelah terbangun dari mimpi orang tersebut telah mendengar tangisan bayi dari dalam rumpun bambu tersebut. Dia telah mengejutkan isterinya yang juga mengalami mimpi yang sama. Pada malam tersebut, mereka telah datang ke rumpun bambu tersebut dan cuba mencari di mana datangnya tangisan bayi tersebut.

Bapa Tuan Masaik telah mengambil keputusan untuk menebang rumpun bambu tersebut dan cuba mencari bayi yang dimaksudkan oleh mimpinya. Sewaktu beliau menebang salah satu pokok bambu dalam rumpunan tersebut, terdapat satu pohon yang tidak mampu dimakan senjata atau jelasnya kapak beliau tidak mampu melukai bambu tersebut. Beliau mencuba berkali-kali tetapi bambu tersebut sedikitpun tidak berubah sebaliknya mata kapaknya menjadi tumpul dan sumbing. Bapa Tuan Masaik mengambil semua senjata dan peralatan yang ada di rumahnya termasuklah parang, kapak, pedang, beliung, barung dan sebagainya tetapi satupun tidak mampu melukai bambu tersebut. Setelah beberapa hari mencuba menebang bambu tersebut, Bapa Tuan Masik telah mengambil keputusan menggali rumpun pokok bambu tersebut sehinggalah ianya tercabut dan dapat dikelurkan dari dalam tanah. Sebaik-baiknya sahaja telah berjaya digali, batang bambu tersebut akhirnya berjaya dipecahkan dan setelah diamati terdapat seketul batu dalam batang bambu tersebut.

Orang tersebut telah membawa batu hikmat yang saiznya kecil sedikit dari gengaman tangan orang dewasa. Anehnya, batu tersebut mempunyai mata, hidung, mulut, kepala dan badan yang sempurna seperti patung seorang manusia yang sedang solat. Bapa Tuan Masaik dan isterinya telah membawa batu tersebut pulang ke rumah dan memandikannya. Patung tersebut telah diselimutkan dengan kain kuning dan diletakkan di dulang tembaga. Sebuah bilik khas telah digunakan untuk menempatkan batu tersebut. Dengan Takdir Allah, patung batu tersebut telah bertukar menjadi seorang bayi lelaki dan ini sangat menggembirakan pasangan suami isteri yang selama ini mengimpikan kehadiran seorang anak. Kanak-kanak tersebut dinamakan MA'BO LU yang bererti "di dalam bambu". Ia telah dipelihara sehinggalah menjadi seorang pemuda yang gagah perkasa. Ajaibnya kanak-kanak tersebut mempunyai banyak kelebihan seperti dapat membaca dan menuturkan Kitab Suci Al Quran tanpa perlu belajar, mampu menguasai ilmu-ilmu ketuhanan dan mampu menghuraikan dan menyelesaikan masalah-masalah keagamaan serta masalah penduduk setempat. Ramai penduduk di negeri tersebut telah menganut agama islam hasil dakwah Tuan Masaik.

Setelah dewasa, Tuan Masaik telah belayar ke Kepulauan Sulu untuk tujuan mengahwini Puteri Raja Sipad , Raja Sulu ketika itu. Sewaktu dalam pelayaran ke Sulu dari Lahad Datu, kapalTuan Masaik telah dilanda ribut taufan dan angin puting beliung yang kuat. Kapal yang dinaikinya telah karam. Walau bagaimanapun, dengan takdir Allah S.W.T seekor ikan yu pasir yang besar telah timbul mengangkat Tuan Masaik di atasnya. Ikan yu tersebut dikenali sebagai "PINDUNG" dalam bahasa Bajau/Suluk atau di kenali orang-orang Sabah sebagai ikan YU KEMANGSIAN. Dalam masa yang sama seekor burung itik laut yang dikenali sebagai "KULLU-KULU" telah membantu Tuan Masaik dan ikan Pindung dengan cara menjadi Pemandu Arah. Burung tersebut telah terbang di bahagian atas dan hadapan ikan Pindung. Ikan Pindung pula berenang membawa Tuan Masaik mengikut arah terbangnya burung tersebut sehinggalah Tuan Masaik selamat sampai di pulau Sulu.

Disebabkan jasa dan pertolongan ikan Pindung dan burung Kullu-Kullu, Tuan Masaik telah menyumpah bahawa anak cucu dan keturunannya tidak boleh memakan ikan Yu Pindung dan burung Kulu-Kullu serta tidak boleh membunuh kedua-dua haiwan tersebut. Sesiapa yang memakan ikan Yu Pindung dan burung Kulu-Kullu akan tumbuh kudis dikulitnya. Sumpahan ini menjadi pantang keturunan Tuan Masaik.

Anehnya, sumpahan ini masih berlaku sehingga ke hari ini dan ianya menjadi SIMBOL dan IKON bahawa seseorang itu adalah keturunan Tuan Masaik. Sumpahan ini seakan DNA ajaib yang ada dalam darah dan tubuh cucu-cicit dan keturunan Tuan Masaik. Pantangan ini akhirnya menjadi salah satu cara untuk mengenali dan memastikan bahawa seseorang itu adalah keturunan Tuan Masaik. Sebenarnya, ada beberapa lagi keriteria dan ciri-ciri tulen yang menjadi simbol dan cara untuk memastikan bahawa seseorang itu adalah tulen berasal dari keturunan Tuan Masaik. Ianya termasuklah ciri-ciri dalam bentuk tubuh, darah, penampilan dan perawakan, percakapan. Ciri-ciri ini hanya difahami dan mampu dikenalpasti oleh orang-orang yang menerima petunjuk dan memilik "ILMU PAG DATU" .

Memandangkan asal-usul Tuan Masaik ini adalah dari Sabah, tidak hairanlah jika Raja Bongsu Brunei atau dikenali juga sebagai Sultan Muwallil Wasit Sulu yang telah menghabiskan masa lebih 40 tahun menentang penjajahan sepanyol di Sulu dengan hebatnya, sewaktu kekalahan Sulu kepada Sepanyol dalam tahun 1660an telah meminta beberapa syarat dalam Perjanjian dengan Penjajah Sepanyol dan salah satu daripada syarat tersebut ialah "Baginda dibenarkan tinggal di daerah kelahirannya di Bagahak Pulau Borneo". Kawasan Bagahak pada masa ini terletak dalam kawasan Lahad Datu, Sabah. Sebenarnya, ianya adalah simbolik bahawa asal-usul keturunannya adalah dari Lahad Datu Sabah. Mungkinkah baginda dimakamkan di situ ? ......dan mengapakah Lahad Datu dikenali sebagai "LAHAT DATU" ?.

Adalah tanggung jawab cucu-cicit dan keturunan Tuan Masaik untuk mengkaji dan menelusuri salasilah dan keturunan mereka tidak kiralah mereka bergelar Sultan, Datu, Tumanggung, Maharajah, Panglima, Paduka, Pangeran, Tuan, Shariff ataupun orang biasa tanpa mengira apakah mereka bangsa Suluk, Bajau, Brunei, Tidung, Tagalok pokoknya mereka mengongsi nenek moyang yang sama dan jangan lupa.... mengongsi SUMPAHAN YANG SAMA..

KETURUNAN TUAN MASAIK YANG TERCATAT DALAM SEJARAH DAN CATATAN ORANG BARAT

Terdapat ramai tokoh-tokoh yang menjadi tokoh penting dalam sejarah Sulu, Mindanao, Borneo dan Kepulauan Nusantara hasil pancar keturunan Tuan Masaik . Berdasarkan catatan sejarah anak-anak dan keturunan Tuan Masaik merupakan Raja-raja Kepulauan Sulu, Mindanao, Palawan, Manila, Maktan, Tondo, Tawi-Tawi, Sibutu, Ternete dan lain-lain Kepulauan di Filipina, Indonesia dan Malaysia sebelum kedatangan Syariful Hashim ( Sultan Pertama Sulu )yang menjadi menantu Raja Baguinda yang akhirnya mendirikan Kesultanan Sulu dan sebelum kedatangan Syariff Kebungsuan ( Sultan pertama Mindanao )yang mengasaskan Kesultanan Mindanao. Keturunan Tuan Masaik mendominasi Pertuanan Raja-Raja di Kepulauan Sulu, Mindanao dan Borneo sebelum Kebangkitan Kesultanan Brunei di bawah Syariff Ali ( Sultan ketiga Brunei ). Lebih jelas lagi Pertuanan keturunan Tuan Masaik menjadi tenggelam dengan munculnya keturunan Syariff yang berpancar dari keturunan Ahlul Bait dan Nabi Muhammad S.a.w. Keturunan Ahlul Bait ini telah menrubah keseluruhan struktur Raja-raja di kawasan ini menjadi struktur kerajaan bercorak Kesultanan yang lebih islamik dan sistematik. Justeru itu, keturunan ahlul bait ini lebih diikhtiraf sebagai Pengasas Kesultanan Islam di kawasan ini, sedangkan Pengasas Dan Pendiri Sebenar Pertuanan Raja-Raja Islam di Kepulauan Sulu adalah Tuan Masaik dan keturunannya. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapatnya perkahwinan keturunan Tuan Masaik dan keturunan Ahlul Bait sama ada di kalangan Kesultanan Sulu, Kesultanan Mindanao mahupun Kesultanan Brunei, Kesultanan Kutai, Kesultanan Banjar dan Kesultanan Sulawesi.

Berdasarkan Rekod dalam Catatan Dinasti Ming, China tahun 1417 disebutkan bahawa 3 orang Raja dari Sulu telah datang melawat ke Tekchow, Shandong, China. Raja-raja tersebut ialah

1.Keturunan Tuan Masaik yang digelar Pa-Tu-Ko-Ha-La (Patugohada) atau Paduka Batara, Raja Negeri Timur ( Sulu )
2.Permaisuri Gua bernama Ba-To-Ko-Pa-La-Pok atau Paduka Prabu, Permaisuri Negeri Ka-La-Ba-Ting ( Kinabatangan Borneo )
3.KeturunanTuan Masaik yang digelar Ma-Ha-La-Chiq-Ko-La-Ma-Ting atau Maharajah Kolamanting, Raja Negeri Barat ( Tawi-Tawi).

Ketiga-tiga Raja ini dicatatkan dalam Catatan Dinasti Ming sebagai telah melawat Bandar Tekchow di Shandong China pada tahun 1417 Masehi atas undangan Maharaja Yung Lo iaitu Maharaja Cina pada masa itu. Ketiga-tiga mereka telah datang bersama-sama ke China untuk bertemu Maharaja Yung Lo dengan diringi oleh 340 orang Datu-datu dan Panglima Sulu. Raja Paduka Batara ( Raja Negeri Timur ) telah jatuh sakit dan mangkat di Tekchow, China. Maharaja China telah mengarahkan menterinya untuk memberikan penghormatan dan membuat Pemakaman Diraja untuk Raja Paduka Batara. Waris Raja Paduka Batara telah tinggal selama tiga tahun di China untuk menguruskan makam Raja Sulu dan sementara menunggu Putera Sulung bernama Tu-Ba-Hap ( Tumahan ) atau Tuan Hap dewasa. Tuan Hap atau Tumahan akhirnya kembali ke Sulu tiga tahun kemudian sementara dua orang lagi adik-beradiknya yang dinamakan An-Tu-Luk ( Antulu) atau Tuan Tulu dan Wun-Ha-La ( Wenhala ) atau Tuan Hala terus tinggal di Tekchow, Shandung dan keturunan mereka generasi ke-16 hingga ke-18 masih terdapat di Tekchow, Shandong china dan diberikan gelaran khas iaitu AN dan WUN ( WEN ) oleh Maharaja China sebagai penghormatan dan mengingati sejarah kedatangan keturunan mereka ke China. Kata AN dan WUN dalam bahasa Mandarin seerti dengan kata TUAN dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, Paduka Batara, Maharaja Kolamanting ( Gemding ) dan Paduka Prabu tidak disebutkan dalam Tarsila Kesultanan Sulu. Ini disebabkan Tarsila Kesultanan Sulu hanyalah menggalurkan keturunan Raja-raja Sulu bermula dari Sultan Syariful Hashim ( 1430-1480 M ) sedangkan Raja-raja Islam dalam kerajaan Sulu telahpun bermula lebih seratus tahun atau satu abad lebih awal dari kedatangan Sultan Syariful Hashim.

Dalam Catatan Pigafetta yang menyertai Misi Ferdinand Magellan mengelilingi dunia, beliau mencatatkan bahawa pada tahun 1521 Ferdinand magellan telah singgah di Pulau Paragua ( Palawan ) dan mereka telah menemui Wizurai Sultan Brunei di situ yang merupakan ADIPATI SULU yang bernama TUAN MAHAMUD dan anaknya TUAN AHMAD serta seorang lagi keluarganya bernama GUANTIL. Adalah dipercayai mereka ini adalah keturunan TUAN MASAIK yang menjadi Raja di Pulau Palawan ketika itu.

Dicatatkan juga dalam catatan Sepanyol, sewaktu mereka menyerang dan menawan May nilad ( Manila ) dalam tahun 1571 tentera sepanyol telah mengalahkan tiga orang Raja di situ iaitu Raja Sulaiman Mahmud yang dicatatkan sebagai anak Adipadi Sulu atau Wizurai Brunei ( ditawan oleh Sepanyol ), Raja Lakandula di Tondo, Manila dan bapa saudara Raja Sulaiman iaitu Raja Matanda. Sebenarnya, Raja Sulaiman adalah anak Tuan Mahmud iaitu Raja Pulau Palawan dan juga merupakan Wizurai Sultan Brunei di Palawan. Justeru itu, Raja Matanda, Raja Sulaiman dan Raja Lakandula merupakan raja-raja dari keturunan TUAN MASAIK.

Di antara tahun 1840 an hingga 1898 dicatatkan dalam Buku " The Sulu Zone ", Wilayah Kesultanan Sulu di Borneo telah dibahagikan kepada tiga Wilayah iaitu Wilayah Maludu ( Marudu ) di bawah pentadbiran Shariff Osman, Wilayah Mangindora dan Wilayah Tirun. Di dalam Wilayah Magindora ( yang meliputi kawasan Kinabatangan, Sandakan hingga ke Tungku Lahad Datu ) terdapat sebuah kawasan Petempatan Sulu di Teluk berdekatan dengan Sungai Sandakan. Ketuanya dikenali sebagai TUAN ABANDOL yang mengetuai orang-orang islam ( Suluk, Bajau ) dan orang-orang Idaan di situ. Tuan Abandol adalah salah seorang keturunan TUAN MASAIK yang menjadi pemerintah di Negeri Sabah. Keturunan Tuan Abandol masih terdapat di kawasan Sandakan dan salah seorang daripadanya ialah Panglima Adam salah seorang Ketua Suku ( Native Chief ) di era penjajahan British yang telah membuka Kampung Bokara di Sandakan.

Keturunan Tuan Masaik juga masih dapat dikesan di Daerah Lahad Datu, Kunak, di Daerah Kudat, Pitas dan Kota Marudu yang sejak dahulu sehingga ke hari ini keturunannya memegang jawatan Ketua-Ketua Suku, Imam dan Ketua Kampung atau Panglima. Di Negeri Sabah juga ada keturunan TUAN MASAIK yang menjadi Ketua Menteri Sabah, Menteri, Wakil Rakyat, Pegawai Daerah dan ada yang menjawat jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran Negeri Sabah sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, keturunan TUAN MASAIK di Negeri Sabah tidak lagi mengekalkan gelaran nama "TUAN" di awal nama mereka disebabkan oleh asimilasi budaya, pengaruh setempat, keadaan sosio-ekonomi, perubahan pentadbiran dan juga akibat penggunaan lain-lain gelaran nama yang akhirnya membawa kepada terhapusnya tanda nama "TUAN" pada keturunan TUAN MASAIK.

TUAN MASAIK RAJA SULU DAN ULAMAK LEGENDA DI KEPULAUAN SULU DAN BORNEO

Tuan Masaik atau Tuan Masa'ika adalah seorang tokoh ternama di kepulauan Sulu pada zaman awal terdirinya kerajaan Islam di Kepulauan Sulu dan Borneo. Beliau disebutkan dalam Tarsila Sulu sebagai orang yang mula-mula sekali mengasaskan komuniti islam di Sulu sebelum kedatangan Raja Baguinda dari Minangkabau dan sebelum gerakan dakwah islamiah dilakukan oleh kumpulan wali-wali dan ulamak yang diketuai oleh Syariff Awlia.

Asal-usul kedatangan Tuan masaik dan kemunculannya di Sulu telah menjadi metos dan cerita legenda secara lisan yang diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian dan pendapat ahli sejarah yang terkenal seperti DR Adib Majul dan N. Saleeby dan berdasarkan Tarsila Kesultanan Sulu disebutkan bahawa Tuan Masaik hidup pada abad ke 12 sekitar tahun 1280 hingga 1310 masehi. Dalam The Geneology Of Sulu oleh C.A Majul dan The History Of Sulu oleh N.Saleeby disebutkan bahwa asal-usul Tuan Masaika adalah dilahirkan dari ruas bambu di Pulau Sulu. Beliau dinyatakan sebagai "He was born out of a bamboo and was esteemed and respected by all the people".

Berdasarkan cerita lisan keturunan Tuan Masaika yang ada di Sabah dan Kepulauan Sulu, asa-usul Tuan Masaika ini diterima dan diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah ke hari ini sebagai manusia yang lahir dari ruas bambu atau dikenali sebagai buluh "Pattung" oleh orang-orang Suluk dan Bajau. Tuan Masaika telah diambil sebagai anak angkat dan dipelihara oleh Jamiyun Kulisa dan isterinya Indera Suga. Sewaktu kemunculannya di Sulu, Tuan Masaika dikatakan mempunyai keramat dan ilmu kesaktiannya sehingga orang-orang asli di Sulu menganggapnya sebagai Wali atau Orang Ajaib. Tuan Masaika telah mengislamkan komuniti orang bukit Suku Budanun ( satu suku asli yang sama keturunan dan budayanya dengan Orang Dayak di Borneo ) . Beliau telah berkahwin dengan puteri Raja Suku Budanun di Maimbong iaitu Puteri Raja Sipad. Sewaktu pemerintahan Raja Sipad atau Raja Shripaduka di Sulu, orang-orang bukit di Sulu bukanlah beragama Islam tetapi menganut agama animisme atau Pagan yang menyembah Batu dan kuburan. Kemunculan Tuan Masaika dari ruas bambu telah menyebabkan Tuan Masaika dianggap Utusan Tuhan oleh orang-orang Sulu.

Kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan Tuan Masaika dalam hal ehwal kesaktian telah menewaskan semua orang-orang handalan , pahlwan dan pawang orang asli suku Budanun di Kepulauan Sulu. Akhirnya beliau mendirikan komuniti islam yang pertama di Kepulauan sulu berpusat di Maimbung, Sulu.

Tuan Masaika telah dikunriakan tiga orang anak hasil perkahwinannya dengan Puteri Raja Sipad ( Raja orang-orang Bukit atau Budanun ) iaitu dua orang lelaki dikenali sebagai Tuan Hakim ( Keturunannya banyak terdapat di Maimbung, berdekatan Gunung Patikul dan Gunung Sinumaan di daerah Lati Pulau Jolo ) dan Tuan Pain ( Keturunannya banyak terdapat di Balimbing Tawi-Tawi, Pulau Palawan dan Sabah ). Anaknya yang perempuan dikenali sebagai Aisha. Anak-anak Tuan Hakim iaitu Tuan Dai'ini ( Daim ), Tuan Buda, Tuan Bujang dan Tuan Muku kesemuanya telah menjadi Pemerintah atau Raja di beberapa kepulauan Sulu pada masa kedatangan Eaja Baginda atau Raja Baguinda ( tahun 1390 ) dari Sumatera dan sewaktu kedatangan Makhdum Syariff Awlia atau Syariff Makhdum ( Salah seorang dari Wali Tujuh yang terlibat mengembangkan ajaran islam di Nusantara ) atau nama sebenarnya Ibrahim al-Akbar Ibn Jamal id-Din al-Husayni ( tahun 1380 ) dari Melaka. Kedua-dua tokoh ini telah berkahwin dengan keturunan ( cucu ) Tuan Masaika yang berugama islam. Tuan Syariff Awliya atau Karimul Makhdum telah berkahwin dengan anak perempuan Pemerintah di Buansa Sulu dan akhirnya ke Tapul, Selatan Sulu. Syariff Awlia akhirnya mendirikan Masjid yang pertama di Tubig Indangan Pulau Simunul. Beliau seterusnya berdakwah di Pulau Sibutu dan meninggal di situ. Makamnya terdapat di Tandu Banak Pulau Sibutu.

Sewaktu kedatangan Rajah Baguinda dari Sumatera dan berkahwin dengan anak Rajah Sulu ( Keturunan Tuan Masaika ) di Buansa disebutkan terdapat sekurang-kurangnya enam orang Ketua Sulu ( Sulu Chief ) di Sulu. Perebutan kuasa dan tiadanya penyatuan di kalangan ketua-ketua ini memberi peluang kepada Raja Baguinda untuk menjadi Raja Sulu setelah dia berkahwin dengan puteri salah seorang Pemerintah atau Rajah Sulu.


Tidak terdapat sebarang dokumen atau fakta bila sebenarnya tarikh kematian Tuan Masaika dan di Sulu terdapat lagi satu nama yang dikenali sebagai Tuan Maqbulu atau Maqbalu. Nama ini tercatat dalam Batu Bersurat dan makam di Bud Datu di Jolo yang ditulis dengan tulisan Arab yang cantik dan terang yang menerangkan bahawa Tuhan ( Tuan ) Maqbalu telah meninggal dunia pada bulan Rejab 710 Hijrah ( 1310 Masehi ). Tidak dapat dipastikan sama ada Tuan Maqbalu atau Maqbulu itu merujuk kepada orang yang sama iaitu Tuan Masaik atau Masa'ika. Sesetengah ahli sejarah merujuk dua nama ini sebagai individu yang sama. Walau bagaimana pun, berdasarkan nama Tuan Maqbulu ( Maq itu boleh ditafsirkan sebagai "Terdapat di dalam" dan Bulu itu seerti dengan kata "Buluh atau bambu" )

Sumber :tuanmasaik

1 comment:

  1. hello. sy nk tnya. apa kesahihan cerita ni? sbbnya sy tak pernah dgr gelaran tuan di borneo

    ReplyDelete