Orang Laut
Perkampungan Orang
Laut di Kepulauan Riau
Istilah Orang Laut secara umumnya merangkumi pelbagai jenis
suku dan kelompok kecil yang mendiami persisiran pantai dan pulau-pulau luar
persisir di selatan Semenanjung Malaysia, timur Pulau Sumatera serta
pulau-pulau dan muara sungai di Kepulauan Riau-Lingga, Kepulauan Batam, Pulau
Tujuh dan Pulau Singapura. Mereka adalah penduduk pribumi di selatan
Semenanjung Malaysia, Singapura dan timur Pulau Sumatera, Indonesia.
Orang Laut tinggal di dalam sejenis rumah perahu yang
dipanggil 'sampan panjang'. Mereka lebih gemar tinggal di dalam sampan panjang
di permukaan laut daripada hidup di atas darat. Malahan mereka juga sering
berpindah-randah dan berkelana dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Kaum Orang Laut memiliki banyak persamaan dengan orang
Melayu dari segi kebudayaan dan bahasa. Bahasa kaum ini dikenali sebagai bahasa
Orang Laut yang merangkumi pelbagai jenis loghat suku. Mereka pada umumnya
mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan.
Sejarah Silam Orang Laut
Zaman Kerajaan
Srivijaya
Suatu ketika dahulu, Orang Laut digelar sebagai Orang Lanun
atau Orang Selat kerana sebelum mereka menumpukan kesetiaan terhadap Kerajaan
Srivijaya, mereka pada asalnya adalah sekumpulan lanun yang menguasai sekitar
perairan Selat Melaka.
Orang Laut memainkan peranan penting dalam pemerintahan
Kerajaan Srivijaya, Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor-Riau. Hubungan rapat
di antara Orang Laut dengan ketiga-tiga buah keluarga diraja tersebut telah pun
terjalin sejak di awal zaman kerajaan Srivijaya lagi.
Orang Laut juga dikenali sebagai golongan yang sangat setia
kepada keluarga diraja Srivijaya. Malah selepas kejatuhan Srivijaya pada tahun
1025, Orang Laut masih meneruskan kesetiaan mereka terhadap Parameswara iaitu
Putera Raja Srivijaya (Palembang) yang terakhir.
Zaman Kesultanan
Melaka
Selepas Kerajaan Srivijaya musnah akibat serangan Raja
Rajendra Chola I dari India, Parameswara bersama para pengikutnya termasuk
Orang Laut mendirikan Kesultanan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika
Melaka mencapai zaman kegemilangannya, Orang Laut merupakan pendukung utama
kepada kerajaan maritim tersebut.
Setelah kejatuhan Kesultanan Melaka akibat serangan penjajah
Portugis, Orang Laut masih tetap meneruskan kesetiaan mereka terhadap Sultan
Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah. Mereka telah membantu sultan
tersebut mendirikan Kesultanan Johor-Riau di selatan Semenanjung Tanah Melayu.
Zaman Kesultanan
Johor-Riau
Setelah Kesultanan Melaka musnah akibat serangan penjajah
Portugis, Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah bersama para
pengikutnya termasuk Orang Laut mendirikan Kesultanan Johor-Riau dengan ibu
kotanya berpusat di Pulau Bentan. Tidak berapa lama kemudian, tentera Belanda
telah berjaya merampas negeri Melaka dari tangan penjajah Portugis.
Setelah Melaka berjaya ditawan, pihak Belanda berniat untuk
menyerang Kesultanan Johor-Riau yang mulai bangkit dan menyaingi Melaka sebagai
pusat perdagangan utama di rantau ini. Maka Sultan Johor mengambil tindakan
dengan mengancam pihak Belanda untuk memerintahkan Orang Laut supaya berhenti
memberikan perlindungan ke atas kapal-kapal Belanda.
Pada tahun 1699, waris terakhir Wangsa Srivijaya - Melaka -
Johor-Riau iaitu Sultan Mahmud Syah II telah mangkat setelah dibunuh oleh
Laksamana Bentan yang bernama Megat Seri Rama. Memandangkan baginda masih belum
berkahwin dan tidak memiliki sebarang zuriat, maka Bendahara Johor iaitu Tun
Abdul Jalil telah melantik dirinya sendiri sebagai Sultan Johor-Riau yang baru
dengan gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Walau bagaimanapun, perlantikan Bendahara
Tun Abdul Jalil sebagai Sultan Johor-Riau tidak diakui oleh Orang Laut. Mereka
mengesyaki keluarga Bendahara Johor turut terlibat di dalam pembunuhan
tersebut.
Pada tahun 1718, seorang petualang dari Minangkabau bernama
Raja Kecil telah menuntut hak ke atas takhta kerajaan Johor-Riau dengan
mengakui dirinya sebagai waris Sultan Mahmud Shah II yang sah. Orang Laut dan
para pembesar Johor memberikan sokongan kepada Raja Kecil dengan membantunya
merampas kuasa dari Sultan Abdul Jalil IV. Setelah berjaya merampas kuasa, Raja
Kecil melantik dirinya sendiri sebagai Sultan Johor-Riau yang ke-12 dengan
gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.
Namun begitu, dengan sokongan dan bantuan dari lima putera
Bugis bersaudara - Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak
and Daeng Kemasi - putera kepada Sultan Abdul Jalil IV iaitu Raja Sulaiman
telah berjaya merampas kembali takhta kerajaan Johor-Riau. Raja Sulaiman telah
dinobatkan sebagai Sultan Johor-Riau yang ke-13 dengan gelaran Sultan Sulaiman
Badrul Alam Shah. Raja Kecil pula akhirnya telah diusir keluar dari wilayah
Johor-Riau.
Setelah diusir, Raja Kecil telah mendirikan Kesultanan Siak
Sri Inderapura di Sumatera dengan bantuan Orang Laut dari suku Bentan dan suku
Bulang. Pada abad ke-18, peranan Orang Laut sebagai penjaga keamanan di Selat
Malaka untuk Kesultanan Johor-Riau telah mula digantikan oleh orang-orang Bugis
secara perlahan-lahan.
Tugas dan Peranan
Orang Laut
Tugas umum Orang Laut ialah mengawal kawasan sempadan laut,
mengusir lanun-lanun, memimpin para pedagang ke pelabuhan yang ingin mereka
tujui dan mengekalkan kekuasaan pelabuhan-pelabuhan tersebut di dalam kawasannya.
Walau bagaimanapun, setiap suku dari kaum Orang Laut telah
diberi peranan khas masing-masing oleh Kerajaan Srivijaya, Kesultanan Melaka
dan Kesultanan Johor-Riau agar pemerintahan kerajaan berjalan dengan lebih
lancar.
Antara tugas-tugas khas yang dilakukan oleh setiap suku dari
kaum Orang Laut ialah menjadi tentera kerajaan, tukang-tukang kayu,
tukang-tukang senjata, pengayuh kapal-kapal perang, penjaga anjing-anjing
perburuan dan pembawa surat-surat raja ke negara-negara jiran.
Suku-Suku Orang Laut
Istilah Orang Laut secara umumnya merangkumi pelbagai jenis
kelompok suku pribumi di selatan Semenanjung Malaysia, Singapura dan timur
Pulau Sumatera, Indonesia. Jumlah sebenar suku-suku yang tergolong di dalam
kaum Orang Laut tidak diketahui kerana tiada catatan sejarah lengkap
mengenainya.
Kebanyakan suku-suku Orang Laut yang pernah wujud suatu
ketika dahulu kini tidak lagi wujud pada zaman sekarang. Golongan ini telah
memeluk agama Islam dan berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui
perkahwinan. Situasi ini boleh dilihat di Singapura dimana masyarakat Orang
Laut di pulau tersebut telah 'lenyap' akibat proses asimilasi dengan orang
Melayu.
Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir suku-suku
Orang Laut yang kekal wujud hingga ke hari ini. Saki-baki kumpulan Orang Laut
ini boleh ditemui di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Golongan ini berjaya
mengekalkan kewujudan suku masing-masing kerana kurang berhubung dengan
masyarakat luar.
Berikut adalah sejarah mengenai setiap suku di dalam kaum
Orang Laut (sama ada yang masih wujud mahupun yang telah pupus):-
Nama Suku dan Sejarahnya :
Mah Meri (Orang Laut)
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
pulau-pulau di selatan negeri Johor. Suku ini masih wujud di Malaysia. Gelaran
yang diberikan oleh masyarakat luar kepada suku Mah Meri ialah ‘Orang Laut’.
Hampir kesemua suku Mah Meri tinggal di sepanjang
"coast" di selatan negeri Selangor (dari Sungai Pelek hinggalah ke
Pulau Carey), meskipun terdapat segelintir suku tersebut yang tinggal di
seberang Sungai Klang. Memandangkan kawasan penempatan mereka berhampiran
dengan laut, maka sumber ekonomi utama mereka adalah melalui hasil laut.
Baru-baru ini, mereka mula memasuki sektor perladangan
disamping kegiatan kebudayaan dan seni kraftangan yang menjadi identiti suku
tersebut. Kini kerajaan Malaysia telah mengkategorikan suku Mahmeri sebagai
salah satu dari 18 buah suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia.
Orang Barok
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Lipan dan Pulau Singkep di Kepulauan Riau, Indonesia. Salah satu kisah rakyat
Indonesia yang dikaitkan dengan suku ini ialah ‘Sumpah Orang Barok’. Kisah
rakyat ini sangat terkenal di Wilayah Riau, Indonesia.
ORANG MUKA KUNING
Orang Muka Kuning ialah salah satu suku Orang Laut yang
berasal dari Muka Kuning di Pulau Batam, sebuah pulau kecil yang terletak di
Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia. Walau bagaimanapun, suku ini dipercayai
telah pupus setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
ORANG AKIK
Orang Akik ialah salah satu suku Orang Laut yang dipercayai
berasal dari negeri Johor di Semenanjung Malaysia. Penjajahan British ke atas
negeri Johor dipercayai menjadi punca yang membawa kepada penghijrahan suku
Orang Akik ke Wilayah Riau, Indonesia.
Orang Akik dahulunya tinggal di dalam sampan panjang dan
hidup secara nomad di laut. Walau bagaimanapun, kini mereka telah menetap di
kawasan pedalaman hutan Sumatera. Oleh sebab itu, kerajaan Indonesia telah
mengkategorikan Orang Akik sebagai salah satu suku kaum Orang Darat. "Jaga
haluan, jangan halau jalan orang lain!" merupakan salah satu falsafah
hidup Orang Akik.
Orang Bentan
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Bintan di Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka memainkan peranan penting
sebagai tentera kerajaan dalam masyarakat Kesultanan Johor-Riau.
Orang Bentan tidak mengakui perlantikan Bendahara Tun Abdul
Jalil sebagai Sultan Johor-Riau bagi menggantikan Sultan Mahmud Syah II yang
mangkat tanpa waris. Mereka mengesyaki keluarga bendahara turut terlibat di
dalam pembunuhan Sultan Mahmud Syah II.
Raja Kecil dari Minangkabau telah menuntut takhta kerajaan
Johor-Riau dengan mendakwa dirinya adalah waris sah Sultan Mahmud Syah II.
Orang Bentan yang tidak suka kepada keluarga bendahara telah membantu Raja
Kecil merampas kuasa dari Bendahara Tun Abdul Jalil (Sultan Abdul Jalil IV).
Setelah 4 tahun memerintah, Raja Kecil akhirnya berjaya
digulingkan oleh waris Sultan Abdul Jalil IV iaitu Raja Sulaiman. Raja Kecil
telah dihalau keluar dari wilayah Johor-Riau. Dengan bantuan Orang Bentan,
beliau mendirikan Kesultanan Siak di Sumatera. Suku ini sudah pupus setelah
berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Biduanda
Kallang
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Kallang, Singapura. Orang Biduanda Kallang adalah penduduk pribumi Singapura
dan antara yang terawal menetap di pulau tersebut.
Ketika Stamford Raffles pertama kali mendarat di Singapura
pada 1819, terdapat kira-kira sejumlah 500 Orang Biduanda Kallang di pulau
tersebut. Kawasan penempatan mereka tertumpu di sekitar paya di muara Sungai
Kallang dan Sungai Singapura.
Pada tahun 1824, Temenggung Johor telah memindahkan hampir
kesemua Orang Biduanda Kallang ke Sungai Pulai di negeri Johor. Jumlah yang
dipindahkan adalah merangkumi kira-kira 100 buah keluarga. Walau bagaimanapun,
kebanyakan daripada mereka telah mati akibat dijangkiti wabak penyakit cacar
pada 1847.
Serangan wabak tersebut telah menjadikan jumlah ahli suku
tersebut hanya tinggal 40 orang sahaja. Pada pertengahan abad ke-20, ramai
dikalangan mereka yang telah meninggalkan kehidupan nomad di laut dengan
menetap di sepanjang tepi pantai. Orang Biduanda Kallang pupus pada tahun 1848
setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Bulang
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Bulang di Kepulauan Riau. Indonesia. Mereka memainkan peranan penting
sebagai tentera kerajaan dalam masyarakat Kesultanan Johor-Riau.
Orang Bulang tidak mengakui perlantikan Bendahara Tun Abdul
Jalil sebagai Sultan Johor-Riau bagi menggantikan Sultan Mahmud Syah II yang
mangkat tanpa waris. Mereka mengesyaki keluarga bendahara turut terlibat di
dalam pembunuhan Sultan Mahmud Syah II.
Raja Kecil dari Minangkabau telah menuntut takhta kerajaan
Johor-Riau dengan mendakwa dirinya adalah waris sah Sultan Mahmud Syah II.
Orang Bulang yang tidak suka kepada keluarga bendahara telah membantu Raja
Kecil merampas kuasa dari Bendahara Tun Abdul Jalil (Sultan Abdul Jalil IV).
Setelah 4 tahun memerintah, Raja Kecil akhirnya berjaya
digulingkan oleh waris Sultan Abdul Jalil IV iaitu Raja Sulaiman. Raja Kecil
telah dihalau keluar dari wilayah Johor-Riau. Dengan bantuan Orang Bulang,
beliau mendirikan Kesultanan Siak di Sumatera. Suku ini sudah pupus setelah
berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Galang
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Galang dan Pulau Galang-baru di Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka
memainkan peranan penting sebagai tentera kerajaan dalam masyarakat Kesultanan
Johor-Riau. Suku ini sudah pupus setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu
melalui perkahwinan.
Orang Gelam
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Kampong Glam, Singapura. Orang Selat adalah penduduk pribumi Singapura dan
antara yang terawal menetap di pulau tersebut. Mereka memainkan peranan penting
sebagai pengayuh kapal-kapal perang dalam masyarakat Kesultanan Johor-Riau.
Menurut catatan Abdullah Bin Kadir - seorang guru bahasa
yang dikatakan rapat dengan Stamford Raffles - Kampong Glam dahulunya dikenali
sebagai Kampong Gelam. Tempat tersebut dinamakan bersempena nama pokok gelam.
Menurutnya lagi, di penghujung Kampong Gelam terdapat dua atau tiga pondok
milik suku Orang Gelam. Mereka banyak menghabiskan masa dengan membuat anyaman
yang diperbuat dari kulit pokok gelam.
Orang Gelam yang tinggal di sepanjang Sungai Singapura
bekerja sebagai tukang kapal untuk kapal-kapal dagang manakala kaum wanita
mereka pula menjual buah-buahan di atas sampan panjang. Suku ini sudah pupus
setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Kanaq
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka dikatakan telah melarikan diri ke negeri
Johor di Semenanjung Malaysia setelah menerima ancaman dari tentera Belanda.
Orang Kanaq kini menetap di Kampung Sungai Selangi, Mawai,
daerah Kota Tinggi, Johor. Jumlah suku tersebut kini hanya tinggal kira-kira 83
orang sahaja. Selain beragama Islam, bahasa pertuturan mereka seakan-akan
bahasa Melayu dengan lenggok bahasa yang agak kasar. Kini kerajaan Malaysia
telah mengkategorikan Orang Kanaq sebagai salah satu dari 18 buah suku yang
membentuk kaum Orang Asli di Malaysia.
Orang Kanaq berkemungkinan besar mempunyai hubungan
persaudaraan dengan suku Orang Sengkanak yang tinggal di Pulau Daik, sebuah
pulau kecil di Kepulauan Riau.
ORANG KOPIT
Orang Kopit ialah salah satu suku Orang Laut yang berasal
dari Kampong Kopit di Pulau Sentosa, sebuah pulau kecil yang terletak di
selatan Singapura. Mereka merupakan salah satu suku pribumi Singapura dan
antara yang terawal menetap di pulau tersebut.
Suatu ketika dahulu, mereka pernah berperanan sebagai biduan
(ahli muzik) yang membuat persembahan di istana raja dalam masyarakat
Kesultanan Johor-Riau. Walau bagaimanapun, suku ini dipercayai telah pupus
setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Kuala (Desin
Dolaq)
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Bengkalis di Wilayah Riau, Sumatera. Istilah 'Orang Kuala' wujud
disebabkan lokasi suku tersebut yang kebanyakannya tinggal di kawasan kuala
sungai dan persisiran pantai.
Di Malaysia, kawasan penempatan mereka terletak di daerah
Batu Pahat (Kuala Rengit, Kuala Senggarang dan Tanjung Segenting) serta daerah
Pontian (Kuala Benut, Kuala Sungai Pontian dan Kukup) di negeri Johor. Salah
satu dari aktiviti ekonomi sara diri Orang Kuala ialah menangkap ikan. Namun
demikian, ada di kalangan mereka yang telah berjaya dalam bidang perniagaan,
pertanian serta bidang-bidang profesional yang lain. Kini kerajaan Malaysia
telah mengkategorikan Orang Kuala sebagai salah satu dari 18 buah suku yang
membentuk kaum Orang Asli di Malaysia.
Di Indonesia pula, suku Orang Kuala dikenali sebagai Desin
Dolaq. Istilah ‘Desin Dolaq’ bermaksud orang laut dan berasal dari loghat
mereka sendiri. Mereka boleh ditemui di Pulau Bengkalis dan sepanjang barat
daya “coast” Sumatera. Sebelum Perang Dunia Kedua, suku Desin Dolaq dari Pulau
Bengkalis sering bertemu dengan saudara mereka yang menetap di sepanjang barat
daya “coast” Sumatera di muara Sungai Siak.
Raut wajah dan tingkah laku Orang Kuala atau Desin Dolaq
lebih mirip kepada orang Melayu yang secara tradisinya menjadi jiran turun
temurun mereka. Perkahwinan campur di antara mereka dengan masyarakat Melayu
telah menjadikan suku tersebut diancam kepupusan (sama ada di Malaysia mahupun
di Indonesia).
Orang Ladi
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Ladi di Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka memainkan peranan penting
sebagai tukang-tukang kayu dan pengayuh kapal-kapal perang dalam masyarakat
Kesultanan Johor-Riau. Suku ini sudah pupus setelah berasimilasi dengan
masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Laut Kappir
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Kepulauan Riau. Mereka kini telah menetap di Pulau Lanta Yai dan Pulau Lanta
Noi di Wilayah Krabi, Thailand. Asal-usul nama ‘Kappir’ berasal dari perkataan
Arab – kafir yang bermaksud tidak beragama (unbeliever).
Orang Mantang
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari Pulau
Mantang di Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka memainkan peranan penting sebagai
tukang-tukang senjata dalam masyarakat Kesultanan Johor-Riau.
Suku ini masih wujud di Kepulauan Riau, Indonesia. Di
Malaysia pula, suku ini sudah pupus setelah berasimilasi dengan masyarakat
Melayu melalui perkahwinan.
Orang Mepar
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Mepar di Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka memainkan peranan penting
sebagai pembawa surat-surat raja ke negara-negara jiran dan tentera kerajaan
dalam masyarakat Kesultanan Johor-Riau. Suku ini sudah pupus setelah
berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Nanga
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Nanga di Kepulauan Riau, Indonesia. Suku ini masih wujud di Indonesia.
Orang Nanga menggelar suku mereka sendiri sebagai Orang Pulau Nanga.
Orang Posik
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Posik di Kepulauan Riau, Indonesia. Orang Posik juga dikenali sebagai
Orang Pusek atau Orang Persik.
Suku ini masih wujud di Indonesia di mana mereka kini
menetap di Pulau Posik, Pulau Singkep dan Pulau Dair. Orang Posik menganut
kepercayaan animisme. Dari segi kebudayaan dan cara hidup, mereka memiliki
banyak persamaan dengan suku Orang Mantang, suku Orang Tambus, suku Orang
Sebarok dan suku Orang Sengkanak.
Orang Sebarok
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Sebarok di Singapura. Kesemua ahli suku ini telah berhijrah ke Pulau Daik
dan Pulau Singkep di Kepulauan Riau sebelum terbentuknya negara Indonesia.
Orang Sebarok menganut kepercayaan animisme. Dari segi
kebudayaan dan cara hidup, mereka memiliki banyak persamaan dengan suku Orang
Mantang, suku Orang Tambus, suku Orang Posik dan suku Orang Sengkanak.
Orang Sekah
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Sekah di Kepulauan Bangka-Belitung, Indonesia. Orang Sekah juga dikenali
sebagai Orang Sekak, Orang Sekat atau Orang Sika.
Suku Orang Sekah masih wujud di Indonesia. Mereka
menggunakan bahasa Melayu loghat Bangka dalam pertuturan seharian. Tidak
diketahui sama ada mereka masih lagi tinggal di dalam sampan panjang atau telah
menetap di kawasan darat.
Orang Selat
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Kampong Selat Sengkir di Pulau Brani, Singapura. Mereka adalah penduduk pribumi
Singapura dan antara yang terawal menetap di pulau tersebut.
Selepas Parameswara mengambil alih Pulau Temasik (Singapura)
dari Temagi, Orang Selat mula menumpukan kesetiaan terhadap pemimpin baru
mereka. Dianggarkan lebih separuh dari jumlah ahli suku Orang Selat yang
mengikut Parameswara menuju ke negeri Melaka di Semenanjung Tanah Melayu
(Semenanjung Malaysia).
Meskipun mereka bukan penduduk asal negeri Melaka, namun
Orang Selat adalah antara yang terawal menetap di negeri tersebut. Orang Selat
yang tinggal di Melaka telah memeluk agama Islam dan menjadi nenek-moyang
kepada masyarakat Melayu Melaka.
Menurut seorang ahli etnologi Gibson Hill, Orang Selat
dipercayai telah merentasi perairan sekitar Pelabuhan Keppel di Singapura sejak
awal abad ke-16 lagi. Orang Selat di Singapura terus kekal wujud sehinggalah
mereka pupus pada awal tahun 1930, setelah berasimilasi dengan masyarakat
Melayu melalui perkahwinan.
Orang Seletar
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Seletar dan Seletar, Singapura. Mereka adalah penduduk pribumi Singapura
dan antara yang terawal menetap di pulau tersebut.
Suatu ketika dahulu, Orang Seletar pernah tinggal di
sepanjang ceruk paya bakau yang mengadap Selat Johor, terutama sekali di muara
Sungai Seletar, Singapura. Pada pertengahan abad ke-20, Sultan Abu Bakar dari
Johor telah memindahkan sebahagian besar Orang Seletar ke Sungai Pulai di barat
daya negeri Johor. Hanya sebahagian kecil dari jumlah suku tersebut yang terus
tinggal di Singapura.
Orang Seletar merupakan kumpulan Orang Laut yang terakhir di
Singapura. Pada awal 1930an, Orang Seletar yang menetap di sekitar Sungai
Kallang telah dipindahkan ke Kampong Melayu (kini dikenali sebagai Eunos) dan
akhirnya pupus setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui
perkahwinan.
Sementara itu, Orang Seletar di Malaysia kini tinggal di
kawasan yang lebih teratur dan tersusun. Kawasan penempatan mereka tertumpu di
sekitar persisiran pantai di selatan negeri Johor seperti Kampung Bakar Batu,
Johor Bahru.
Orang Seletar secara tradisinya bergantung hidup kepada
hasil laut. Ini menyebabkan mereka sering hidup berpindah randah. Namun
perubahan dalam sosio-ekonomi telah merubah cara hidup mereka. Malah, ada di
kalangan mereka yang telah mengusahakan kedai makanan laut (seafood). Kini
kerajaan Malaysia telah mengkategorikan Orang Seletar sebagai salah satu dari
18 buah suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia.
Orang Sengkanak
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Daik dan Pulau Singkep di Kepulauan Riau, Indonesia. Mereka
berkemungkinan besar mempunyai hubungan persaudaraan dengan suku Orang Kanaq di
Malaysia.
Orang Sengkanak masih wujud di Indonesia. Mereka menganut
kepercayaan animisme. Dari segi kebudayaan dan cara hidup, mereka memiliki
banyak persamaan dengan suku Orang Mantang, suku Orang Tambus, suku Orang Posik
dan suku Orang Sebarok.
Orang Sugi
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Pulau Sugi, Pulau Sugibawah, Pulau Sugi Darat dan Pulau Sugi Laut di Kepulauan
Riau, Indonesia.
Mereka memainkan peranan penting sebagai pengayuh
kapal-kapal perang dalam masyarakat Kesultanan Johor-Riau. Suku ini sudah pupus
setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Tambus. Salah
satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari gugusan Kepulauan Lingga di
Kepulauan Riau, Indonesia. Orang Tambus juga dikenali sebagai Orang Tambusa.
Mereka memainkan peranan penting sebagai penjaga anjing-anjing perburuan dalam masyarakat
Kesultanan Johor-Riau.
Suku ini masih wujud di Indonesia. Di Malaysia pula, suku
ini sudah pupus setelah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui
perkahwinan.
Orang Teluk Nipah
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
Teluk Nipah dan Pulau Nipah di Kepulauan Riau, Indonesia. Suku ini masih wujud
di Indonesia. Mereka beragama Islam dan kini tinggal di kawasan darat.
Kehidupan Orang Teluk Nipah amat daif kerana kurangnya
perhatian dari pemerintah Indonesia. Mereka juga mendakwa segala janji yang
diberikan kepada mereka ketika pilihan raya tidak pernah ditunaikan oleh
Gabenor Riau.
Akibat sering ditipu, Orang Teluk Nipah mengambil keputusan
untuk kembali hidup secara nomad di laut. Walau bagaimanapun, tindakan mereka
telah dihalang oleh pemerintah Indonesia.
ORANG TRONG
Orang Trong (atau Orang Terong) ialah salah satu suku Orang
Laut yang berasal dari Pulau Terong, sebuah pulau kecil yang terletak di
Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia.
Suatu ketika dahulu, mereka pernah berperanan sebagai
pengayuh kapal-kapal perang dalam masyarakat Kesultanan Johor-Riau. Walau
bagaimanapun, suku ini dipercayai telah pupus setelah berasimilasi dengan
masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
ORANG MORO
Orang Moro ialah salah satu suku Orang Laut yang berasal
dari Pulau Moro, Pulau Moro Darat, Pulau Moro Laut dan Pulau Moro Tengah iaitu
empat buah pulau kecil yang terletak di Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia.
Walau bagaimanapun, suku ini dipercayai telah pupus setelah berasimilasi dengan
masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Orang Sabimba
Salah satu suku Orang Laut yang dipercayai berasal dari
negeri Johor di Semenanjung Malaysia. Memandangkan suku ini tidak lagi ditemui
di mana-mana termasuk di negeri Johor sendiri, maka Orang Sabimba dianggap
telah pupus.
Punca kepupusan Orang Sabimba tidak jelas. Mereka
berkemungkinan besar pupus akibat diserang wabak penyakit berjangkit atau pun
telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Masyarakat Orang Laut
Pada Zaman Moden
Masyarakat Orang Laut
Di Malaysia
Suatu ketika dahulu, terdapat pelbagai jenis suku kaum Orang
Laut yang menetap di selatan Semenanjung Malaysia. Mereka memainkan pelbagai
peranan penting dalam masyarakat Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor-Riau.
Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada suku-suku Orang Laut di Semenanjung
Malaysia telah pun pupus akibat proses asimilasi dengan masyarakat Melayu
melalui perkahwinan.
Suku Mah Meri, suku Orang Kanaq, suku Orang Kuala dan suku
Orang Seletar merupakan kumpulan Orang Laut yang terakhir di Malaysia. Kini
keempat-empat suku tersebut telah dikategorikan oleh kerajaan Malaysia sebagai
sebahagian dari kaum Orang Asli.
Masyarakat Orang Laut di Malaysia tidak lagi tinggal dalam
sampan panjang atau berkelana di laut seperti yang dilakukan oleh nenek-moyang
mereka terdahulu. Mereka kini menetap di kawasan darat Semenanjung Malaysia dan
memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri. Kawasan penempatan mereka
terdapat di sekitar negeri Johor dan Selangor. Selain itu, hasil dari
pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan Malaysia telah memberi peluang
kepada masyarakat Orang Laut untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Kepupusan Masyarakat
Orang Laut Di Singapura
Suatu ketika dahulu, terdapat pelbagai jenis suku kaum Orang
Laut yang menetap di Pulau Singapura dan pulau-pulau kecil di sekitarnya.
Antaranya ialah Orang Biduanda Kallang, Orang Gelam, Orang Kopit, Orang
Sebarok, Orang Selat, Orang Seletar dan Orang Galang. Mereka memainkan pelbagai
peranan penting dalam masyarakat Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor-Riau.
Walau bagaimanapun, kesemua suku-suku tersebut kini telah
pun pupus akibat proses asimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan.
Rata-rata masyarakat Melayu di Singapura pada hari ini memiliki darah kaum
Orang Laut.
Tokoh-Tokoh Orang
Laut
Orang Kaya Seri Bija Wangsa - seorang pembesar Johor-Riau
berketurunan Orang Laut dari Riau-Lingga.
Orang Laut Dan Orang
Darat
Orang Laut pada asalnya adalah sebangsa dengan Orang Darat.
Perbezaan di antara kedua-dua kumpulan ini hanya satu - tempat tinggal. Orang
Laut tinggal di dalam sampan panjang di atas laut sedangkan Orang Darat tinggal
di sekitar pedalaman di atas darat.
Rujukan :
- "The Malay Peninsula and Archipelago 1511–1722" in: The Encyclopedia of World History 2001
- Adriaan J. Barnouw (1946). "Cross Currents of Culture in Indonesia". The Far Eastern Quarterly. 5 (2): 143–151.
- Mary Somers Heidhues. Southeast Asia: A Concise History. London: Hudson and Thames, 2000. Page 27
Pautan Luar :
National Library of Singapore.
Esteban T. Magannon, Ethnologist, Inalco, France.
The Orang Asli of Peninsular Malaysia.
Sumber : Wikipedia
No comments:
Post a Comment