Sepintas Lalu: Diantara Sebab Musabab Migrasi Masyarakat
Melayu Brunei Ke Sabah.
Hasil Tulisan : Bilcher Bala
I. Faktor Pertama Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.
Migrasi masyarakat Melayu Brunei ke juga berlaku akibat
konflik istana ataupun perang saudara yang meletus di Brunei. Sejak
pemerintahan Sultan Saiful Rijal pada pertengahan KM XVI, telah mula wujud
perselisihan faham dalam kalangan kaum kerabat istana Kerajaan Brunei. Ini
adalah disebabkan faktor perebutan kuasa antara dua golongan atau lapisan kelas
utama dalam istana, iaitu Ampuan (Raja) dan Pengiran (Pembesar). Golongan
Ampuan merujuk kepada pewaris takhta yang berasal darah tulen daripada
keturunan Sultan yang pertama, Sultan Muhammad Shah @ Awang Alak Betatar.
Manakala golongan Pengiran merujuk kepada lapisan pembesar yang dilantik oleh
Sultan yang memerintah pada sesuatu masa. Golongan Ampuan telah mendominasi
Takhta Kerajaan Brunei hingga pemerintahan Sultan Saiful Rijal, yakni Sultan
Brunei ketujuh daripada darah keturunan golongan Ampuan tulen yang terakhir
memerintah Kerajaan Brunei. Semasa pemerintahan baginda, golongan Pengiran
telah mula bangkit untuk merampas takhta. Kehadiran kuasa Spanyol di Manila
pada tahun 1571, telah mendorong Pengiran Seri Laila dan Pengiran Seri Ratna
mengadakan hubungan secara sulit dengan kuasa Spanyol untuk merampas takhta
ketika itu. Kebangkitan golongan Pengiran dikaitkan dengan masalah kezaliman
golongan Ampuan yang memerintah Kerajaan Brunei, bukan sahaja bertindak secara
kasar ke atas golongan rakyat biasa malah bertindak sesuka hati ke atas
golongan Pengiran yang menjalankan pentadbiran kerajaan bagi pihak Sultan
Brunei. Rasa tidak puas hati terhadap dominasi golongan Ampuan telah
menyebabkan golongan pengiran yang dipimpin oleh Pengiran Seri Lela mengundang
kuasa Sepanyol untuk menyerang dan menawan Brunei pada tahun 1578 dengan kuasa
Sepanyol, Pengiran Seri Laila telah dilantik menjadi Sultan boneka untuk
memerintah Kerajaan Brunei. Sesungguhpun Sultan Saiful Rijal Berjaya merampas
semula takhtanya, tetapi konflik antara golongan Ampuan dan golongan Pengiran
sejak itu telah berlarutan dalam sejarah takhta Kerajaan Brunei. Sultan Saiful
Rijal adalah daripada darah keturunan Ampuan tulen atau Ampuan kelas 1 yang terakhir
memerintah Kerajaan Brunei. Seterusnya takhta Kerajaan Brunei telah dominasi
oleh golongan Ampuan kelas 2 sehingga ke hari ini, yakni darah campuran antara
Ampuan (ayah) dan Pengiran (ibu). Sesungguhnya berlaku hubungan yang sangat
rapat melalui perkahwinan antara kedua-dua golongan ini, tetapi perebutan
antara kedua-dua keatas takhta terus berlaku, terutama apabila Sultan tidak
mempunyai putera untuk mewarisi takhta. Konflik antara kedua-dua golongan ini
telah meletus secara langsung menjadi perang saudara dari tahun 1661 hingga
1672.
Konflik bermula apabila putera kepada Sultan Brunei Ke 12,
Sultan Muhammad Ali (1660-1661) daripada golongan pengiran telah membunuh
putera Pengiran Bendahara Abdul Momin. Ini menyebabkan Pengiran Bendahara telah
bertindak membalas dendam dengan membunuh Sultan Muhammad Ali dan melantik diri
menjadi Sultan Brunei ke 13 dengan gelaran Sultan Abdul Hakkul Mubin
(1661-1673). Setelah menjadi Sultan, baginda cuba berbaik-baik dengan golongan
Pengiran melalui tindakannya melantik anak saudara kepada Sultan Muhammad Ali,
iaitu Pengiran Muhyiddin menjadi Pengiran Bendahara yang baharu. Walau
bagaimanapun, Pengiran Muhyiddin telah bertindak membalas dendam ke atas
kematian pakciknya. Justeru itu, perang saudara tidak dapat dielakkan. Sultan
Hakkul Mubin terpaksa berpindah ke Pulau Chermin di muara Sungai Brunei dan
kesempatan ini digunakan oleh Pengiran Muhyiddin untuk mengisytiharkan dirinya
sebagai Sultan Brunei ke 14 (1673-1690). Sultan Muhyiddin telah memohon bantuan
daripada Sultan Sulu, yakni sepupu baginda. Peperangan telah berlarutan selama
12 tahun dan berakhir dengan kekalahan atau kematian Sultan Abdul Hakkul Mubin.
Sultan Muhyiddin telah pernah berjanji untuk menghadiahkan Sabah ( Paitan,
Sugut, Mempayong, Palawan, Balabak, dan semua pulau dalam perairan Laut Sulu
kepada Sultan Sulu jika dapat menewaskan Sultan Abdul Hakkul Mubin. Walau
bagaimanapun, angkatan Sultan Muhyiddin sendiri telah Berjaya menewaskan Sultan
Abdul Hakkul Mubin. Manakala angkatan Sulu pula sedang bersembunyi di Pulau
Keingaran ketika itu. ( Tiada ada bantuan dari pihak angkatan Sulu)
Implikasi keadaan huru-hara dalam Brunei akibat perang
saudara tersebut telah menyebabkan ramai masyarakat Melayu Melayu Brunei telah
bermigrasi ke Sabah, terutamanya kaum kerabat Sultan Abdul Hakkul Mubin
daripada kalangan golongandarah keturunan Ampuan termasuk pengikut mereka.
Justeru gelaran Ampuan di Sabah difahai dengan maksud golongan kaum buangan.
Mereka terpaksa tidak memakai gelaran tersebut demi keselamatan. Mereka
terpaksa bersembunyi di Sabah dan membina petempatan di kawasan darat yang
tidak terlalu terdedah. Sultan Muhyiddin telah melancarkan gerakan untuk
menghapuskan keturunan Sultan Abdul Hakkul Mubin dan pengikutnya. Justeru itu,
untuk mengelakkan diri daripada ancaman Sultan Brunei, ramai masyarakat Melayu
Brunei telah mengasimilasikan atau mengidentifikasikan diri mereka sebagai kaum
Bajau. Hal ini berlaku kepada masyarakat Melayu Brunei di Kinarut, iaitu bekas
wilayah ‘Tulin’ Sultan Abdul Hakkul Mubin. Keadaan benar-benar menjadi aman
setelah Sultan Muhyiddin melantik Pengiran Muda Amir, iaitu putera Sultan Abdul
Hakkul Mubin menjadi Pengiran Bendahara pada tahun 1688.
Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan masyarakat Melayu
Brunei yang telah bermigrasi ke Sabah semasa perang saudara itu tidak mahu
kembali ke Brunei disebabkan kehidupan yang lebih stabil dan keadaan
keselamatan mereka terjamin di Sabah. Pada awal KMXX, memandangkan wujud
keselamatan di bawah pemerintahan penjajah British, maka penggunaan gelaran
Ampuan mula digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei di Benoni. Ketika
itu, Sultan Brunei ke 26, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1885-1906)
telah sedia memperkenankan perlantikan beberapa keturunan Ampuan untuk menjadi
imam di Benoni. Ampuan Ismail Bin Ampuan Mattamin menjadi imam kedua selepas
Pengiran Omar. Semasa pemerintahan Sultan Brunei ke 27, Sultan Ahmad Tajuddin
(1924-1950), sekali lagi memperkenankan perlantikan Ampuan Haji Kassim bin
Ampuan Ja’afar sebagai imam di Benoni.
II. Faktor Kedua Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.
Di samping itu, migrasi masyarakat Melayu Brunei juga
dikaitkan dengan usaha Kerajaan Brunei untuk mempertahankan wilayah jajahan di
Sabah daripada pencerobohan kuasa British. Apabila pihak British merancang
untuk menyerang Brunei pada tahun 1846, Sultan Brunei telah menghantar 1,000
orang askarnya yang terdiri daripada orang Melayu Brunei dan orang Kadayan di
bawah pimpinan Panglima Mat Saman untuk mempertahankan wilayah Tulin Menumbok
(Mempakul) daripada penjajahan British. Walaupun mereka gagal mempertahankan
kawasan tersebut, tetapi peristiwa itu telah menyebabkan migrasi secara tidak
langsung masyarakat Melayu Brunei di Menumbok. Dikatakan kebanyakan askar
terbabit tidak mahu kembali ke Brunei dengan alasan kebimbangan mereka akan
ditangkap oleh pihak British yang menyerang dan menawan Brunei pada tahun itu.
Oleh itu, mereka telah menetap dan sekaligus meramaikan lagi jumlah populasi
masyarakat Melayu Brunei yang telah sedia ada di kawasan terbabit.
III. Faktor Ketiga Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke
Sabah.
Salah satu sebab yang tidak kurang penting kepada proses
migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah pada zaman sebelum traditional ialah
factor ‘kezaliman pemerintahan’ Kerajaan Brunei. Ini merupakan satu maklumat
yang menarik tetapi tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong ia suatu
kebenaran sejarah. Menurut pendapat dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei
yang bersifat zalim. Baginda Sultan itu ( tidak dinamakan) dikatakan pantang meliat
anak dara yang cantik sehingga menyebabkan sejumlah 20 orang anak dara dari
Brunei telah melarikan diri dan bersembunyi di Bongawan ketika pemerintahannya.
Sekiranya diketahui sesebuah keluarga mempunyai anak dara yang rupawan, baginda
akan mengarahkan pembesar atau pengawalnya untuk merampas anak dara itu. Jika
ibubapa anak dara itu enggan ataupun menentang kehendak baginda, maka mereka
akan di hukum bunuh. Disebabkan kebimbingan terhadap kezaliman Sultan Brunei
itu, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei yang berhijrah dari
Brunei ke Sabah semata-mata untuk mengelakkan kezaliman Sultan. Sesungguhpun
maklumat ini hanya dapat diperolehi melalui sumber cerita lisan dan tidak ada
rekod bertulis untuk mengesahkan kebenarannya, tetapi perkara kezaliman Sultan
Brunei itu ke atas rakyat jelata tidak mustahil berlaku kerana cerita lisan
telah diperturunkan daripada generasi ke generasi. Misalnya, menurut satu
cerita lisan masyarakat Melayu Brunei di membakut-Bongawan mengisahkan seorang
kaum kerabat istana bernama Pengiran Jaya telah melarikan diri kerana mempunyai
seorang isteri yang rupawan. Oleh kerana bimbang dan takut isterinya dirampas
oleh Sultan Brunei, maka Pengiran Jaya telah membawaisterinya lari dari Brunei
dan bersembunyi di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan. Justeru, semua
pangkat dan gelaran yang telah dianugerahkan oleh Sultan Brunei terpaksa
dihapuskan bagi tujuan mengelakkan diri daripada dikesan oleh Sultan Brunei dan
pengikutnya. Dalam pada itu, sebenarnya unsure kezaliman ke atas masyarakat
rakyat jelata Brunei tidak semuanya berpunca daripada Sultan Brunei sendiri.
Berdasarkan sumber British yang wujud pada KM XIX pula ada menyebut tentang
kewujudan pengganas yang sering membuat kacau bilau di sepanjang persisiran
Pantai Sabah. Besar kemungkinan pengganas ini terdiri daripada golongan suruhan
Sultan atau pembesar Kerajaan Brunei yang tidak mematuhi perintah dan arahan.
Akibatnya keganasan mereka, menyebabkan ramai masyarakat Melayu Brunei telah
menjadi pelarian sama ada ke Sabah atau Sarawak. Kegiatan pengganas ini telah
mengancam kegiatan ekonomi British, seperti yang di pimpin oleh Haji Saman pada
tahun 1847. Akhirnya Haji Saman telah terpaksa mengundur diri ke kawasan hulu
Sungai Membakut ekoran serangan daripada pihak British pada bulan Febuari 1847.
RAmai pengikutnya telah menyerap masuk dalam masyarakat Melayu Brunei yang
telahpun lama menetap di Bongawan dan Kimanis. Justeru itu, pihak British yang
melancarkan gerakan memburu Haji Saman tidak dapat mengesan mereka.
Kesimpulan:
Sejarah proses migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah
melibatkan banyak factor. Perbincangan ini hanya membincangkan sebahagian
faktornya. Usaha untuk menerangkan secara terperinci sejarah migrasi masyarakat
Melayu Brunei ke Sabah tidak mudah disebabkan maslah sumber rekod yang terhad.
Apatah lagi pengkajian yang khusus terhadap migrasi mereka belum diusahakan
setakat ini. Akhir sekali, penelitian ini sekadar merintis kepada usaha
pengkajian yang lebih mendalam untuk dilakukan pada masa hadapan.
Dibukukan Oleh Pusat Sejarah Brunei
Sumber : Sejarah Borneo Facebook
No comments:
Post a Comment