Friday, 31 March 2017

Tambisan: Satu Petempatan Terawal Suku Kaum Suluk Di Sabah.

Tambisan: Satu Petempatan Terawal Suku Kaum Suluk Di Sabah.

Oleh : Mohd Zambri Bin Suharani, Mohd Faizal Rashid dan Amrullah Maraining

Artikel ini memfokuskan sejarah  petempatan suku kaum suluk di Tambisan sebagai salah satu petempatan suku kaum suluk yang terawal di Sabah. Masyarakat umum kurang mengetahui tentang kewujudan petempatan Suluk di Tambisan disebabkan lokasinya yang sangat terpencil daripada masyarakat umum. Kewujudan perkampungan di Tambisan telah membuktikan bahawa suku kaum Suluk telah lama bertapak di Sabah. Oleh itu, artikel ini cuba merungkai peranan yang dimainkan oleh kampung Tambisan sebagai salah satu petempatan terawal kaum Suluk di Sabah. Selain itu, artikel ini akan mengkaji perkembangan masyarakat Suluk di kampung Tambisan dari aspek ekonomi, sosial dan politik.

Kata kunci: Petempatan, Suluk, Tambisan

Pengenalan

Petempatan menurut ahli geografi adalah  merangkumi unsur-unsur kebendaan, termasuk binaan dan lebih penting lagi perumahan, orang yang tinggal dan bekerja dalam sesebuah kawasan. Petempatan memainkan peranan penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat atau komuniti. Masyarakat Suluk secara umumnya mengetahui tentang pentingnya penstrukturan petempatan, kawasan atau wilayah untuk tujuan keselamatan dan pembangunan sesuatu kawasan. Sebagai contoh pada zaman Kesultanan Sulu, Borneo Utara (Sabah) telah dibahagikan kepada tiga wilayah atau kawasan. Kawasan ini pula ditadbir oleh beberapa orang Ketua yang terdiri daripada Datu, Syarif, Tuan dan Pangeran.

Kawasan pertama adalah Wilayah Marudu yang diketuai oleh Syarif Osman. Wilayah ini meliputi kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi, Balambangan, Marudu, Tempasuk, Ambong, Pitas atau Lingkabao, Paitan, Sugut, Labuk dan di Teluk Sandakan. Kawasan kedua ialah Wilayah Mangindora diketuai oleh Tuan Abandol (Sungai Sandakan), Datu Bandar (Pangeran) Betau (di Segaliud dan mengetuai orang-orang Buludupi/Idaan/Sungai). Wilayah ini meliputi kawasan Sandakan, Kinabatangan, Tungku, Sabahan (Tingkayu), sehingga ke Sungai Apas. Kawasan yang terakhir ialah Wilayah Tirun yang ditadbir oleh beberapa orang Datu, antaranya ialah Datu Sapindin yang mentadbir Sabahan (Sebuah daerah di Teluk Darvel). Wilayah ini menganjur dari Sabahan sehingga ke kawasan Sibuko, Sambakong, Bulungan dan Berau. Perkampungan Suluk di Tambisan merupakan salah satu petempatan  Suluk yang telah lama wujud di Sabah. Kewujudan petempatan ini hanya menjadi tumpuan umum selepas Ops. Daulat yang dilancarkan oleh kerajaan. Oleh itu, artikel ini cuba mengalur sejarah kewujudan petempatan kaum Suluk di Tambisan.

Latar belakang Tambisan

Peta 1: Kedudukan Tambisan dalam peta Sabah


Secara geografinya, Tambisan terletak di kedudukan latitude 5.46  dan longitude 119.15 yang terletak di hujung peta negeri Sabah. Tambisan ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Tambisan Pulau, Tambisan Darat dan Tambisan Laut. Pada ketika ini, bilangan keseluruhan penduduk Tambisan melebihi  1368 orang yang terdiri daripada beberapa kampung seperti Sungai Nipah, Tagupi, Tambisan Darat dan lain-lain. Manakala demografi penduduknya pula, majoriti penduduknya adalah Suluk dan terdapat sebilangan kecil suku kaum Bugis, Cina dan lain-lain. Majoriti penduduk kampung Tambisan terdiri daripada nelayan dan sebilangan kecil mereka terlibat dalam perniagaan, penternakan, perladangan dan lain-lain.

Asal Usul Nama Tambisan

Menurut Imam Mansor, nama Tambisan diperoleh daripada dua cerita atau versi yang saling berkaitan. Versi pertama, menurut Imam Mansor, semasa Panglima Tumikbi membersihkan pulau Tambisan, mereka menemui pohon yang lebat buahnya. Orang Melayu mengelar pohon tersebut sebagai Jambu Air Mawar dan orang Suluk mengelar Tambis. Manakala bagi versi kedua. menurut encik Hassan, nama Tambisan ini adalah berasal daripada seorang lelaki bernama Tambi dan seorang wanita bernama San. Apabila mereka berkahwin, maka muncul la nama Tambisan. Namun Imam Mansor versi yang diceritakan oleh beliau sedikit berbeza dengan Encik Hassan. Menurut beliau, ada seorang bangsa Tambi (India) datang menjual kain di Tambisan. Ramai yang membeli kain tersebut sama ada secara tunai ataupun berhutang. Dalam kalangan pembeli tersebut, terdapat seorang bernama Sandaing Mebana yang berbangsa bugis membeli kain dari orang Tambi tersebut secara berhutang. Pada bulan berikutnya, orang Tambi tersebut datang untuk menuntut hutang kainnya daripada Sandaing, namun Sandaing tidak dapat membayar hutang tersebut dan akhirnya mereka bertengkar.

Semasa Panglima Tumikbi memohon tanah di pejabat daerah di Lahad Datu, Rasdin Muji selaku Ketua Pejabat Daerah ketika bertanyakan nama pulau tersebut. Panglima Tumikbi meletakkan nama pulau tersebut sebagai Tambisan dengan mengabungkan dua versi cerita tersebut.

Sejarah Pembukaan Tambisan

Sekitar tahun 1818, Tumikbi bersama dua orang saudaranya iaitu Imam Laja dan Mandaing yang berasal dari Pulau Libaran telah datang ke kawasan pulau Tambisan untuk mencari tanah baru untuk bercucuk tanam. Hal ini kerana, ketika itu pulau Libaran telah mempunyai penduduk yang ramai dan tanah untuk bercucuk tanam semakin kurang. Kemudiannya mereka menemui sebuah pulau yang tidak berpenghuni, sangat cantik dan mempunyai dua jenis tanah iaitu tanah merah dan tanah pasir. Selepas menemui pulau tersebut, Tumikbi pulang semula ke pulau Libaran dan terus mengadakan mesyuarat untuk membawa penduduk kampung ke pulau itu semula. Keputusan mesyuarat itu, seramai 12 orang telah bersetuju untuk mengikuti Tumikbi selaku ketua rombongan bagi ke pulau Tersebut.

Apabila mereka tiba di Tambisan Pulau, mereka terus membahagi-bahagi tanah di Tambisan Pulau dan sekali gus membersihkan tanah yang mereka peroleh. Mereka kembali semula ke Libaran untuk mengambil benih kelapa, pisang dan ubi kayu, seterusnya benih tersebut ditanam di Tambisan Pulau. Tanaman mereka menjadi subur dan membekalkan makanan harian kepada mereka. Dalam beberapa tahun kemudian, kebanyakan mereka yang berpindah ke Tambisan Pulau telah mengalami sakit yang berpanjangan. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk kembali ke Libaran serta meninggalkan kebun mereka. Beberapa tahun kemudian, bapa tiri Imam Mansor iaitu Mandaring bersama birasnya iaitu Imam Laja (salah seorang daripada 12 orang yang membuka kampung Tambisan pada tahun 1818) mahu ke kepulauan Suluk (Filipina) untuk membeli beras. Mereka singgah di Tambisan untuk melihat tanaman mereka. Setelah berfikir panjang, mereka mengambil keputusan untuk kembali ke Tambisan dan melantik ketua kampung Tambisan yang pertama iaitu Panglima Tumikbi, oleh itu bermulanya petempatan suku kaum Suluk di Tambisan.

Sistem Pentadbiran Kampung Tambisan

Selepas perlantikan Panglima Tumikbi sebagai ketua kampung, beliau telah ke Lahad Datu untuk memohon tanah yang telah mereka bahagikan di District Office. Rasdin Muji berbangsa British yang bertugas pada ketika itu, telah meluluskan permohonan tersebut. Selepas Panglima Tumikbi meninggal dunia, beliau telah diganti oleh Said bin Tahir.

Sejak pemerintahan British, pusat pentadbiran Tambisan sering kali berubah-ubah. Pada asalnya, Tambisan Pulau di letak di bawah pentadbiran daerah Lahad Datu.Kemudiannya, pentadbiran Tambisan diambil alih oleh Kinabatangan. Apabila Kinabatangan di landa banjir, pentadbirannya diambil alih oleh Bukit Garam semasa pentadbiran Arwah Pangeran Galpam. Kemudian, pentadbiran Tambisan ini beralih arah ke Sandakan kerana di ambil oleh YB Haji Ampong Puyon. Namun apabila BERJAYA menang dalam pilihan raya, YB Kulna mengambil alih Tambisan dan di letak di bawah Bukit Garam. Selang beberapa tahun, pentadbiran Tambisan Pulau diambil alih oleh Kinabatangan. Akhir sekali, apabila wujudnya daerah Tungku, pentadbiran Tambisan kini terletak di bawah Lahad Datu. Perubahan pusat pentadbiran ini disebabkan oleh suasana politik di Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu.

Perubahan pusat pentadbiran Tambisan juga memberikan kesan kepada Ketua Anak Negeri (KAN). Semasa Tambisan Pulau di letak di bawah pentadbiran  Daerah Lahad Datu, Panglima Nalaja @ Buaya Bin Noh merupakan KAN Tungku yang pertama. Setelah pentadbirannya diambil alih oleh Sandakan, KAN diganti oleh Arjani Bin Abantas. Selang beberapa tahun apabila pentadbiran Tambisan di ambil alih olehKinabatangan, KAN Arjani diganti oleh KAN Nusur. Apabila KAN Nusur meninggal dunia, beliau digantikan oleh Moktar B. Zakaria.

Pada zaman British, ketiadaan polis ketika itu menyebabkan pihak British melantik penduduk tempatan iaitu Alawanga Bin Mantas sebagai kerani dan Polis di Tambisan. Pada ketika itu, bangunan balai polis hanya bertiangkan kayu, beratap dan berdinding nipah serta berlantai nibung. Selepas beberapa tahun bangunan tersebut diganti dengan dinding dan lantai dari papan dan atapnya diperbuat daripada kayu Belian.  Kerani pertama yang dilantik di Pejabat Daerah Kecil Tambisan ialah Jata yang berasal dari daerah Lahad Datu. Beliau berpendidikan Darjah 2 dan atas usaha beliau telah membina sebuah sekolah di Tambisan. Beliau telah mengajar seramai 22 orang pelajar dengan menulis di papan batu. Setelah itu, Jata telah diganti dengan Tun Sakaran Dandai (Mantan TYT Sabah). Selepas perkhidmatan Tun Sakaran diganti dengan Sahari bin Tulis. Agta menggantikan Sahari apabila beliau ditukar ke Kinabatangan. Seterusnya, Agta diganti oleh Mohd Jamari dari Lahad Datu apabila Agta ditukar kerja ke Marin Department sebagai Kapten. Apabila Mohd Jamari meninggal dunia, beliau diganti oleh Mudreka bin Agil. Selepas tahun 90-an pejabat daerah kecil di Tambisan telah ditutup tetapi bangunannya masih wujud sehingga ke hari ini.

Sejarah Perkembangan Agama Islam di Tambisan

Perkembangan agama Islam di Tambisan bermula apabila seorang ulama Yaman bernama Tuan Sheikh Abdul Ghani pergi Terengganu dan telah berkahwin dengan gadis Terengganu bernama Fatimah dan dikurniakan seorang anak bernama Ahmad. Kemudiannya Tuan Sheikh telah berhijrah ke Sandakan dan menetap di Tanah Merah dan mengajar di Masjid. Sarabi B. Sakbani selalu ke sana untuk belajar mengaji.  Kemudiannya mereka bertanya kepada Tuan Sheikh, sama ada beliau mahu memiliki tanah dan kebun. Tuan Sheikh mengatakan mahu dan bertanya di mana kawasan tersebut. Mereka mempelawa Tuan Sheikh mengajar di Tambisan dan Tuan Sheikh diberikan sebidang tanah. Tanah tersebut mereka yang akan usahakan tanpa sebarang bayaran, asalkan Tuan Sheikh mahu mengajar agama Islam di Tambisan.

Tuan Sheikh kemudiannya datang dan melihat tanah tersebut, beliau sangat berpuas hati kerana subur dan mengatakan untuk menetap di Pulau Tambisan. Sepanjang tuan guru berada di Tambisan, beliau telah membantu dan memperkembangkan ajaran Islam dan mengajar orang-orang kampung mengaji Al-Quran, solat, Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Sebagai balasan atas kesudian Tuan Sheikh mengajar agama, anak murid Tuan Sheikh akan bergilir-gilir dalam  mengusahakan tanah Tuan Sheikh dan belajar agama. Sejak kedatangan Tuan Sheikh ke Tambisan, agama Islam terus berkembang pesat.

Perkembangan Infrastruktur di Tambisan.

Tambisan juga memiliki beberapa infrastruktur yang disediakan untuk kemudahan penduduknya. Pada peringkat permulaan, Tambisan Pulau mempunyai pejabat daerah kecil sebelum dimansuhkan pada tahun 90an. Selain itu Tambisan Pulau juga mempunyai sekolah rendah yang paling tua bagi daerah Kinabatangan. Penambahan bangunan balai polis, surau dan dewan serba guna memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk di sekitarnya.

Manakala Tambisan Darat pula menerima pelbagai kemudahan seperti bangunan KO-Nelayan bagi tujuan perikanan, surau, padang futsal,jeti, klinik dan lain-lain. Kemudahan ini dapat memberikan kemudahan kepada penduduk tanpa perlu ke tempat lain untuk mendapatkan perkhidmatan.

Pada tahun 2012, sebuah jalan raya bertar yang menghubungkan Tambisan dengan Bandar Hamparan Badai (Petempatan FELDA). Pembinaan jalan raya sekali gus memudahkan Tambisan untuk dihubungi dari luar. Selain itu, projek pemasangan tenaga solar yang bermula pada tahun 2008 bertujuan membekalkan bekalan elektrik di Tambisan telah berfungsi sepenuhnya pada tahun 2012. Keadaan ini telah banyak memberikan manfaat besar kepada penduduk di Tambisan.

Rumusan

Sejarah telah terpahat bahawa, Tambisan merupakan salah satu petempatan terawal masyarakat Suluk di Sabah sejak dahulu lagi. Namun  seperti petempatan luar bandar yang lain yang memerlukan suntikan pembangunan. Walaupun pelbagai kemudahan telah diberikan kepada penduduk di Tambisan, pembangunan yang berlaku di kalangan masyarakatnya masih lagi bergerak perlahan. Tambahan pula kebanyakan golongan muda telah keluar dari kampung tersebut mencari pekerjaan di bandar menyebabkan petempatan ini kurang berkembang. Namun petempatan ini menyimpan pelbagai khazanah yang belum terungkai sama ada daripada sejarah, pembentukan masyarakat dan sumber alamnya.

Rujukan

  1. Hatta Yunus Sawabi. 2011. Masyarakat Suluk Cabaran dan Harapan dalam Etnik Suluk, Menjana Transformasi. Crescent News: Selangor.
  2. Lee Yong Leng. 1982. Sabah satu kajian Geografi Petempatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
  3. Profil Kg. Pulau Tambisan, KK Abd. Wahab Bin Ismani.
  4. Temu bual dengan Abd. Wahab Bin Ismani. Ketua Kampung Tambisan Darat. 5 Disember 2013
  5. Temu bual dengan Imam Mansor  Bin Sarabi 17 Mac 2014. Imam Tambisan Pulau, 75 tahun.


Label: Petempatan terawal masyarakat Suluk di Lahad Datu, Suluk, Tambisan




No comments:

Post a Comment