Friday 23 February 2018

Cabaran Sarawak selepas merdeka dalam Malaysia - Dr. Bilcher Bala

Cabaran Sarawak selepas merdeka dalam Malaysia
Dr. Bilcher Bala - October 17, 2016

Pada 16 September 2016, negeri Sarawak dan rakyatnya menyambut Hari Malaysia yang ke-53,yang menandakan meraka telah menikmati sebuah kehidupan yang merdeka, iaitu kebebasan daripada kongkongan kuasa penjajah.

Suatu kebebasan yang telah membolehkan pemimpin dan rakyat untuk menguruskan negeri sendiri. Apa yang sudah menjadi kenyataan dan bukti kebebasan yang dikecapi dalam tempoh 53 tahun itu di Sarawak ialah keramahan sosial, kesepaduan budaya, kematangan politik, kemakmuran ekonom dan jaminan keselamatan.

Pemimpin dan rakyat Sarawak menarik nafas lega betapa akhirnya negeri Sarawak mereka sudah berdiri kukuh setanding dengan negeri lain di Malaysia, bahkan lebih aman dan maju berbanding beberapa negara di dunia. Segala isu dan cabaran untuk membina sebuah negeri Sarawak yang berjaya sampai ke tahap dibanggakan pada hari ini telah dapat ditempuhi melalui kebijaksanaan pemimpin dan sokongan padu rakyatnya.

Perasaan bangga juga terserlah lantaran pelbagai isu dan cabaran pada fasa pertama kemerdekaan negeri Sarawak telah dapat ditangani sehingga kebebasan itu dapat digemblengkan untuk menganjurkan pelbagai program pembangunan masyarakat, ekonomi dan prasarana. Justeru dapat diakui bahawa Sarawak telah mengalami arus pembangunan yang pesat setelah mencapai kemerdekaan.

Walau bagaimanapun, untuk tujuan perbincangan kertas kerja ini, akan memberi fokus kepada beberapa isu dan cabaran.

Sebelum tahun 1963, sejarah negeri Sarawak dapat diteliti dari beberapa perspektif pemerintahan, iaitu Dinasti Brooke (1841-1941), Pendudukan Jepun (1942-1845) dan Kolonial British (1846-1961). Manakala pada tahun 1961 hingga 1963, sejarah negeri Sarawak berkisar tentang perundingan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Dari tahun 1963 memperlihatkan era negeri Sarawak mengisi kemerdekaan dengan pelbagai program pembangunan prasarana kearah matlamat sebuah sebuah negeri yang maju, moden dan selamat.

Matlamat tersebut telah diputuskan melalui Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di London pada tahun 1963. Tanpa persetujuan terhadap matlamat tersebut, sudah tentunya Sarawak tidak dapat mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Kolonial British. Tanpa pembentukan Malaysia, mungkin nasib sebaliknya boleh berlaku, misalnya akan mencapai kemerdekaan penuh pada suatu tarikh yang agak lewat, seperti yang dilalui oleh Negara Brunei Darussalam pada tahun 1 Januari 1984.

Dari segi sejarah, Dinasti Brooke telah memerintah negeri Sarawak selama 105 tahun, iaitu dimulakan oleh Rajah Pertama, Sir James Brooke (1841-1868), diikuti oleh Rajah Kedua, Charles Brooke (1868-1917) dan diakhiri oleh Rajah Ketiga, Charles Vyner Brooke (1917-1941). Kehidupan rakyat Sarawak masih jauh mundur disebabkan Dinasti Brooke tidak terdaya untuk menyediakan pembangunan.

Semasa pendudukan Jepun pula, rakyat Sarawak hidup dalam keadaan menderita kekurangan makanan dan ketakutan terhadap layanan buruk oleh tenteranya. Selepas Jepun menyerah kalah secara rasmi di Labuan pada 9 September 1945, British Military Administration (BMA) telah mengambil peranan memerintah negeri Sarawak selama tujuh bulan sehingga pada 15 April 1946 apabila BMA menyerahkan semula Sarawak kepada Rajah Vyner Brooke. Di Kuching, pada hari itu, rakyat Sarawak amat gembira mengalu-alukan kepulangan Rajah Vyner. Walau bagaimanapun, Rajah Vyner amat kecewa dengan keadaan Sarawak yang mengalami kemusnahan teruk akibat Perang Dunia Kedua. Justeru itu, beliau mengambil keputusan sendiri untuk menyerahkan Sarawak kepada Kolonial British.

Di pihak Kolonial British sudah memikirkan satu pelan Grand Design untuk dekoloniasasi menerusi penggabungan seluruh jajahannya di rantau Asia Tenggara. Walaupun rakyat Sarawak telah bangkit membantah keputusan tersebut, namun wujud tekanan daripada Kolonial British serta keputusan Rajah Vyner untuk menandatangani satu perjanjian penyerahan pada 18 Mei 1946. Maka Sarawak telah menjadi jajahan dengan berkuatkuasanya perjanjian tersebut pada 1 Julai 1946.

Hubungan Sarawak dengan Dinasti Brooke telah berakhir melalui satu perutusan Rajah Vyner kepada rakyat Sarawak pada 1 Julai 1947 bersempena hari ulang tahun pertama penyerahan Sarawak kepada Kolonial British.

Jajahan Mahkota (Crown Colony) Sarawak telah diperintahkan oleh empat gabenor Kolonial British, iaitu Sir Charles Noble Arden-Clarke (29 Oktober 1946 – 26 Julai 1949); Sir Duncan George Stewart (14 November 1949 – 3 Disember 1949); Sir Anthony Foster Abell (18 Januari 1950 – 16 November 1959), dan; Sir Alexander Waddell (23 Februari 1960 – 15 September 1963).

Pemerintahan Kolonial British bukan sahaja berusaha memulihkan semula negeri Sarawak daripada kesan kemusnahan Perang Dunia Kedua, bahkan menyediakan asas ke arah berkerajaan sendiri (Self-government) ala institusi parlimen Westminster. Pada tahun 1947, Gabenor pertama, Aden-Clarke telah memulakan langkah Sarawak ke arah berkerajaan sendiri.

Dalam satu pekeliling yang diedarkan kepada semua pegawai utama kerajaan Sarawak, beliau berkata; “ In Sarawak we are dealing with a plural society, that is comprising a variety of elements which differ in race, language, custom, religion and culture and which live side by side, yet without mingling, in one political unit. Our objective is to weld these elements into a united body of Sarawak citizens capable of managing in cooperation with each other their own and their country’s affairs”

Penggubalan Perlembagaan Sarawak pada 3 Ogos 1956 menandakan satu pencapaian sederhana ke arah penyertaan rakyat Sarawak dalam pentadbiran semasa pemerintahan Kolonial British. Dengan kata lain, kerajaan British telah membenarkan Majlis Negeri (Council Negri) mempunyai majoriti ahli tidak rasmi, iaitu 24 ahli daripada keseluruhan 42 ahli. 16 Ahli tidak rasmi adalah dipilih dalam kalangan rakyat di peringkat Majlis Tempatan daripada setiap lima bahagian di Sarawak pada ketika itu.

Manakala Majlis Tinggi (Supreme Council) mempunyai ahli, yang mana 5 ahli daripadanya adalah dipilih daripada kalangan ahli tidak rasmi dalam Majlis Negeri. Sedikit sebanyak perubahan tersebut telah dapat mendorong kegiatan politik dalam kalangan rakyat Sarawak semasa pemerintahan Kolonial British melalui pengenalan sistem pilihan raya yang berperingkat, iaitu tiga peringkat, dari Majlis Tempatan (Daerah dan Perbandaran) ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Namum pilihan raya Majlis Tempatan hanya dapat dilaksanakan pada tahun 1959 dan kali kedua pada awal tahun 1963.

Walau bagaimanapun, segala usaha pembangunan rakyat yang dilakukan oleh kerajaan Kolonial British dari tahun 1947 sehingga bulan September 1963 untuk mencapai objektif menyediakan Sarawak ke arah berkerajaan sendiri adalah masih jauh. Dalam tempoh masa tersebut, kerajaan Kolonial British amat bergantung kepada sumber kewangan daripada United Kingdom Treasury Colonial Development and Welfare untuk membangunkan ekonomi Sarawak yang hanya sekadar memberi manfaat kepada syarikat milik orang Eropah dan usahawan kaum Cina. Manakala penduduk peribumi Sarawak telah terpinggir daripada manfaat pembangunan ekonomi yang dianjurkan oleh Kolonial British. Bahkan kadar literasi dalam kalangan kaum Cina dianggarkan mencapai 53 peratus berbanding 13 peratus dalam kalangan penduduk peribumi pada tahun 1960.

Pada awal tahun 1963, dilaporkan sejumlah 123,612 kanak-kanak memasuki sekolah di Sarawak. Daripada jumlah tersebut, seramai 66,000 kanak-kanak Cina, 18,000 kanak-kanak Melayu dan sekitar 37,000 kanak-kanak Dayak. Pendek kata, Sarawak dilaporkan masih jauh ketinggalan dalam pembangunan pendidikan. Sarawak belum mampu dari segi menyediakan tenaga pegawai kanan dalam bidang pentadbiran dan kewangan bagi tujuan mengurus pembangunan ekonomi, politik dan perundangan. Justeru objektif untuk berkerajaan sendiri di Sarawak masih belum tercapai.

Perkara ini menjadi satu kegagalan yang amat merisaukan kerajaan Kolonial British mengenai masa depan Sarawak, terutamanya dalam menghadapi cadangan pembentukan Malaysia oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra.

Di Singapura, pada 17 Mei 1961, Tunku Rahman Putra mengumumkan gagasan Persekutuan Malaysia untuk menggabungkan Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah (Borneo Utara). Namum cadangan tersebut telah mendapat tentangan dari Sarawak dan Sabah pada peringkat awalnya.

Pada 9 Julai 1961, Ong Kee Hui dari Sarawak dan Donald Stephens dari Sabah telah bergabung dengan Sheikh Azahari Sheikh Mahmud atau A.M. Azahari dari Brunei untuk menubuhkan satu Barisan Bersatu (United Front) dengan objektif menentang cadangan Malaysia.

Tindakan mereka itu telah menyebabkan pada 12 Julai 1961, Tunku Rahman Putra menyuarakan tentang ancaman Komunis sebagai faktor yang kritikal bagi tujuan utama penggabungan Malaysia. Lantas Ketua Menteri Singapura, Lee Kuan Yew mengesyorkan satu cadangan pada 22 Julai 1961 agar memberi peluang kepada Sarawak dan Sabah untuk menyampaikan pendapat mereka terlebih dahulu.

Semasa satu persidangan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) Branch of Malaya and Borneo Meeting di Singapura, satu jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (Malaysia Solidarity Consultative Committee) telah ditubuhkan pada 23 Julai 1961 untuk membincangkan tujuan dan kepentingan gagasan Malaysia. Donald Stephens telah dilantik menjadi pengerusi.

Sebelum Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) mengadakan mesyuarat yang pertama, terlebih dahulu, pemimpin Sarawak dan Sabah, iaitu Datu Bandar Abang Mustapha, Temenggong Jugah, Donald Stephens, Datu Mustapha dan yang lain telah dibawa melawat Malaya pada 12 Ogos 1961 supaya mereka dapat melihat dengan sendiri tentang pencapaian usaha pembangunan yang sedang pesat berlaku di sana.

Mesyuarat pertama telah diadakan di Jesselton (Kota Kinabalu) pada 24 Ogos 1961 dengan perbahasan hangat hingga tiada kata sepakat yang tercapai. Di pihak Malaya, Tunku Rahman Putra segera mengambil tindakan membentangkan usul gagasan Malaysia di Parlimen Malaya pada 15 Oktober 1961 dan diluluskan dengan serta- merta pada 18 Oktober 1961. Tindakan Tunku Rahman Putra ini adalah bertujuan memperkukuhkan gagasan Malaysia dengan jaminan perlindungan pertahanan daripada kerajaan Britain melalui perjanjian pertahanan dan keselamatan pada 23 November 1961 di London.

Perjanjian ini merupakan pindaan Anglo-Malayan Defence Agreement of 1957 iaitu meluaskan lingkungan pertahanan dan keselamatan British ke atas Borneo. Dengan kata lain, perjanjian tersebut memberi hak kepada kuasa British untuk mengekalkan dan meluaskan bantuan militarinya setelah penubuhan Malaysia pada masa hadapan.

Mesyuarat JPPM yang kedua telah diadakan di Kuching pada 18 Disember 1961. Pada hari pertama, reaksi mesyuarat agak muram kerana pendirian delegasi masing-masing masih meragui gagasan Malaysia. Pada keesokan harinya, Stephen Kalong Ningkan telah mengkritik semua delegasi yang dikatanya tidak memiliki kepercayaan terhadap diri sendiri dan tidak berani mengambil peluang untuk berdiri sendiri atau berkerajaan sendiri. Ini menyebabkan pengerusi, Donald Stephens menegur mereka supaya menghapuskan segala keraguan yang menjadi punca syak wasangka terhadap Tunku Rahman Putra dan gagasan Malaysia. Beliau menegaskan bahawa gagasan Malaysia bertujuan untuk membawa kebaikan kepada semua.

Pada penghujung mesyuarat, 20 Disember 1961, semua delegasi mula memberikan sokongan terhadap gagasan Malaysia. Perubahan pendirian ini adalah disebabkan perkembangan semasa, iaitu aspek keselamatan yang membimbangkan daripada ancaman kerajaan Indonesia, khususnya Partai Komunis Indonesia (PKI). Pada 30 Disember 1961, PKI di Jakarta telah mencetuskan provokasi terhadap gagasan Malaysia sebagai satu pelan neo-kolonialisme yang dianjurkan kuasa British. Hakikatnya, delegasi JPPM sudah sedia maklum tentang isu neokolonialisme tersebut terlebih dahulu, maka mereka mula memahami dan menerima gagasan Malaysia.

Dengan demikian, kerajaan Sarawak telah menerbitkan Kertas Putih, bertajuk “Malaysia and Sarawak” pada 4 Januari 1961. Tindakan yang sama diikuti oleh kerajaan Sabah dengan tajuk “North Borneo and Malaysia” pada 31 Januari 1962. Ini menandakan sokongan penuh terhadap gagasan Malaysia dan seterusnya memudahkan perjalanan mesyuarat JPPM ketiga di Kuala Lumpur pada 6-8 Januari 1962. Permuafakatan yang kukuh telah tercapai disebabkan kepentingan keselamatan bersama ekoran provokasi dan ancaman PKI dan Indonesia amnya.

Mesyuarat JPPM keempat, yang terakhir, telah diadakan di Singapura pada 1-4 Februari 1962 dan tercapai satu memorandum persetujuan yang telah ditandatangani oleh para delegasi. Persetujuan tersebut memberi laluan yang selesa kepada penubuhan satu suruhanjaya bebas yang dinamakan Suruhanjaya Cobbold (Cobbold Commission) pada 16 Januari 1962.

* Prof. Madya Dr. Bilcher Bala merupakan pensyarah di Program Sejarah, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah. Kertas kerja ini dibentangkan untuk Seminar Sejarah Sarawak, anjuran bersama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak dengan Kerajaan Negeri Sarawak, bertempat di Hotel Hilton, Kuching pada 16 Oktober 2016.

Sumber : Sarawak Voice

No comments:

Post a Comment