Wednesday, 21 February 2018

INDONESIA PERNAH ISYTIHAR “GANYANG MALAYSIA”

INDONESIA PERNAH ISYTIHAR “GANYANG MALAYSIA”, 
INI CERITA MENARIK YANG KITA MUNGKIN TAK TAHU

Azar Ishak
September 16, 2016

Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963. Sebenarnya rancangan asal penubuhan Malaysia adalah gabungan antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Tapi Brunei menolak untuk serta dan Singapura pulak disingkirkan pada 1965.

Tunku Abdul Rahman mula-mula kemukakan cadangan penubuhan Malaysia pada 17 Mei 1961 di Adephi Hotel, Singapura. Ada pelbagai reaksi dari negara jiran, ada yang sokong dan ada yang bantah.

Tunku berikan ucapan di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Adephi Hotel, Singapura. Imej dari Arkib Negara Malaysia. Tunku berikan ucapan di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Adephi Hotel, Singapura. Imej dari Arkib Negara Malaysia.

Soekarno selaku presiden Indonesia adalah orang yang paling lantang menentang penubuhan ni. Bagi Soekarno penubuhan Malaysia adalah agenda imperialisme Barat (meluaskan kuasa) dan neokolonialisme (kawal politik secara tidak langsung).

Selain tu, Filipina jugak tak terima penubuhan Malaysia sebab Filipina nak claim Sabah yang ada sejarah dengan Kesultanan Sulu. (Baru-baru ni pun presiden Filipina sekarang ni, Rodrigo Duterto kata dia nak rampas balik Sabah, tapi itu mungkin retorik dia je nak raih undi kot.)

Akhirnya, Indonesia isytihar konfrontasi terhadap Malaysia dan lepas tu Soekarno pula isytihar “Ganyang Malaysia”.

Kalau ikut Dewan Bahasa Pustaka (Pusat Rujukan Persuratan Melayu) konfrontasi bermaksud: Perbuatan memusuhi atau menentang sesuatu pihak.
Sebenarnya ada beberapa perkara dan cerita menarik di sebalik konfrontasi Indonesia-Malaysia. Antaranya adalah:

[Nota: Selain daripada link yang diberikan, artikel ini akan banyak merujuk buku Hari Itu Sudah Berlalu (dipendekkan jadi HISB) tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin, Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan Bekas Menteri Penerangan Malaysia.]

1. Tunku dah rosakkan rancangan Soekarno yang nak tubuhkan Indonesia Raya

Sebenarnya, cita-cita Presiden Soekarno adalah nak tubuhkan Indonesia Raya atau Melayu Raya iaitu gabungan Indonesia, Tanah Melayu dan Brunei. Jadi bila Tunku Abdul Rahman buat cadangan penubuhan Malaysia, tindakan Tunku dah kira potong line rancangan Soekarno.

Jadi pada 20 Januari 1963, Menteri Luar Indonesia, Dr. Subandrio mengisytiharkan konfrontasi ke atas Malaysia. Soekarno yang terkenal dengan kehebatan pidatonya pulak menyeru rakyat Indonesia untuk “Ganyang Malaysia” pada 27 Julai 1963:
  
 “Kalau kita lapar itu biasa. Kalau kita malu itu juga biasa.

Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!

Kerahkan pasukan ke Kalimantan hajar cecunguk Malayan itu! Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysia keparat itu.

Doakan aku, aku kan berangkat ke medan juang sebagai patriot Bangsa, sebagai martir Bangsa dan sebagai peluru Bangsa yang tak mau diinjak-injak harga dirinya.

Serukan-serukan ke seluruh pelosok negeri bahwa kita akan bersatu untuk melawan kehinaan ini kita akan membalas perlakuan ini dan kita tunjukkan bahwa kita masih memiliki Gigi yang kuat dan kita juga masih memiliki martabat.

Yoo…ayoo… kita… Ganjang…

Ganjang… Malaysia, Ganjang… Malaysia

Bulatkan tekad, Semangat kita badja

Peluru kita banjak, Njawa kita banjak

Bila perlu satoe-satoe!”

-Dipetik dari Inilah.com

Pegangan dan cara kepimpinan dua tokoh ini sangat berbeza. Soekarno lebih pada ideologi nasional sosialis yang mirip dengan komunisme. Tunku pulak lebih pro-barat, demokrasi dan anti-komunis (rujuk file PDF).

“Sejahat-jahat penjajah ialah komunis, komunis adalah lebih dahsyat dan lebih merbahaya dari bentuk-bentuk penjajah yang pernah didiami oleh umat manusia dan kita mestilah berwaspada dengan ancaman komunis” – Ucapan Tunku Abdul Rahman, Utusan Melayu, 1962 (rujuk File PDF).

Walaupun Soekarno menafikan yang Indonesia mirip dengan komunisme tapi beliau tak dapat nafikan yang beliau menggunakan tiga elemen utama dalam pemerintahannya: nasionalis, agama dan komunis (NASAKOM).

Apa tu NASAKOM? Sebenarnya masa tu ada beberapa pihak yang bersaing dalam politik Indonesia:

Tentera Nasional Indonesia (TNI)

Parti Komunis Indonesia (PKI)

Parti-parti politik dari aliran agama dan nasionalis

Jadi Soekarno gunakan falsafah NASAKOM dalam pemerintahannya untuk mengimbangkan pengaruh antara semua pihak ni. Dengan cara memasukkan elemen agama dalam fahaman komunis dan dalam waktu sama pentingkan nilai nasionalisme (rujuk file PDF).

2. Soekarno tuduh rakyat Malaysia hidup dalam sengsara

Selain mengancam Malaysia, Presiden Soekarno jugak menyindir lagu Negaraku dengan menyanyikan lagu Terang Bulan.

“Rakyat Malaysia yang melalui zaman konfrontasi mungkin masih ingat betapa Soekarno menghina Tunku Abdul Rahman, pakaian Melayu dan lagu Negaraku yang dinyanyikan dalam bentuk asal bernama Terang Bulan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia

“Saya telah mengecam keras Presiden Soekarno yang menghina lagu kebangsaan Negaraku di dalam suatu majlis meraikan wartawan wartawan yang menghadhiri Persidangan Wartawan Afro Asia di Jakarta pada 24 April 1963.

Soekarno telah menyanyikan lagu Negaraku sebagai lagu Indonesia Terang Bulan. Rombongan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang diketuai oleh Presidennya, Rosedin Yaacob dari Utusan Melayu bertindak keluar dari majlis itu. Sebelumnya ketibaan rombongan ini di Jakarta telah disambut dengan sepanduk Ganyang Malaysia.” – HISB, p31 (juga tersiar di Utusan Malaysia)

Sebenarnya melodi lagu Negaraku berasal dari lagu ‘Terang Bulan’. Lagu ni jugak jadi lagu rakyat di Indonesia. Lagu ‘Terang Bulan’ digubah oleh seorang ahli Muzik Perancis bernama Pierre Jean de Beranger.

Pierre Jean de Beranger dipercayai menggubah melodi lagu Terang Bulan. Imej dari Britannica.Pierre Jean de Beranger dipercayai penggubah melodi lagu Terang Bulan. Imej dari Britannica.

Selain tu, Soekarno jugak pernah tuduh yang rakyat Malaysia hidup dalam sengsara. Tapi Tunku jawab tuduhan Soekarno tu:

“Kata Tunku, Soekarno mengatakan rakyat saya sedang sengsara, makan jagung, tikus dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka sedang menari, berjudi, minum-minum dan berpoya-poya.” – Zainuddin Maidin, Mahathir bukan kawan saya, p128

Walaupun begitu, Soekarno sememangnya terkenal sebagai seorang pemimpin yang hebat dalam sejarah Indonesia.

“Tidak ada seorang pun Presiden Indonesia yang mempunyai pengalaman sedemikian. Yang paling penting sekali, beliau memiliki satu keberanian, sikap serta pendirian politik yang luar biasa dan tidak tertanding oleh enam orang presiden yang lain.

Misalnya, sewaktu Indonesia berhadapan dengan tekanan berkenaan masalah ekonomi yang tidak berkesudahan, Soekarno telah berjaya menenteramkan jiwa rakyatnya yang mula dilanda gelisah. Oleh itu, beliau telah mengisytiharkan konfrontasi dengan Malaysia. Hal ini menyebabkan rakyatnya lupa pada perut yang lapar dan tekanan ekonomi negara” – Dipetik dari Malaysian Digest

3. Dari perang mulut ke konfrontasi bersenjata

Lepas je Indonesia isytihar konfrontasi terhadap Malaysia. Pencerobohan dan serangan ke Tanah Melayu mula dilakukan. Keadaan mula parah apabila Tunku tetap isytiharkan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 walaupun Soekarno pulaukan keputusan Suruhanjaya Cobbold (suruhanjaya yang meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak tentang penubuhan Malaysia).
Penubuhan Malaysia sepatutnya diisytihar pada 31 Ogos 1963, tapi ditangguhkan ke 16 September sebab tunggu laporan setiausaha PBB yang lewat. Bila Malaysia diterima sebagai anggota tidak tetap PBB, Indonesia ambil keputusan keluar dari PBB pada 1965 sebagai protes.

Perang mulut antara Tunku dan Soekarno jugak dah berubah ke konfrontasi bersenjata. Walaupun macam tu, konfrontasi bersenjata antara Malaysia dan Indonesia adalah perang yang tidak diisytiharkan.

Berikut adalah antara serangan yang dilancarkan Indonesia:

12 April 1963: Serangan di balai polis Tebedu, Sarawak.

29 Disember 1963: Gerila perang Indonesia serang Pos tentera di Kalabakan,Tawau, Sabah.

17 Ogos 1964: Pasukan payung terjun Indonesia mendarat kat sebuah pantai di Johor.

2 Sept 1964: Pasukan payung terjun Indonesia mendarat di Labis, Johor.

29 Oktober 1964: Tentera Indonesia mendarat di Pontian, Johor.

28 Jun 1965: Pasukan Indonesia cuba lakukan serangan dan sabotaj ke atas ke Rejimen Askar Melayu Diraja di Tawau.

Walaupun macam tu, serangan-serangan tersebut dapat dipatahkan Malaysia dengan bantuan ketenteraan dari negara-negara Komanwel seperti Britain, Australia dan New Zealand.

4. Tunku dipaksa pijak lambang negara Indonesia

Pada 16 September 1963 Tunku dengan yakin isytiharkan penubuhan Malaysia kat Stadium Merdeka di hadapan lebih kurang 30 ribu rakyat. Pada hari yang sama, Indonesia dan Filipina putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Medan pun dibakar dalam satu protes (rujuk file PDF).

Dekat Malaysia pulak sehari lepas tu (17 September 1963), berlaku demonstrasi rakyat Malaysia di kedutaan Indonesia di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Dalam protes itu, penunjuk perasaan bertindak menyerang kedutaan, menurunkan Pancasila (lambang negara Indonesia) dan menaikkan bendera Malaysia.

Ketika inilah, Tunku dipaksa untuk pijak Pancasila:

“Simbol itu telah diturunkan dari bangunan Kedutaan Indonesia di Jalan Ampang dan diheret dengan sekuter dan motosikal ke kediaman Perdana Menteri di Jalan Dato Onn.

Mereka telah memanggil Tunku keluar dan kemudian mengusung Tunku dan menyuruh Tunku pijak, ‘Pijak! Pijak! Pijak!’ simbol yang dibawa oleh mereka itu tetapi apabila Tunku enggan, mereka meletakkan Tunku di atasnya. Tunku berkata, “Awatlah hampa buat aku macam ni.” – HISB, p37 (juga tersiar di Utusan Malaysia)

Menurut Zainuddin Maidin (bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia dan Menteri Penerangan), Tunku ada sebab untuk tak nak pijak Pancasila:

“Tunku tentu mempunyai banyak sebab untuk tidak mahu memijak simbol negara Indonesia. Antaranya adalah kerana sikap beliau yang sederhana yang selalu tergambar dalam pendekatan politiknya juga dalam sikap hidupnya.” – HISB, p40 (juga tersiar di Utusan Malaysia)

Selepas tu, banyak demontrasi anti-Soekarno dilakukan diseluruh negara. Terutamanya masa Pilihan Raya 1964.

“Pilihan Raya 1964 diadakan di tengah-tengah konfrontasi Indonesia, penuh dengan drama dan sandiwara, patung-patung Soekarno dan Subandrio (Menteri Luar Indonesia) dibakar dan disebat di sana sini” – Zainuddin Maidin, Mahathir Bukan Kawan Saya, p161

5. Disuruh senyum dengan Soekarno lepas rundingan gagal, Tunku mencarut depan wartawan

Rundingan antara Malaysia dan Indonesia (1963-1964) berlaku sebanyak empat kali.

Rundingan di Tokyo (Mei & Jun 1963)

Ketika di Tokyo (1963) rundingan antara Tunku dan Soekarno gagal. Lepas je rundingan tu, ada gambar Tunku dan Soekarno tengah ketawa. Sebenarnya ada cerita menarik di sebalik gambar tu. Tan Sri Zainuddin Maidin ada menceritakan peristiwa ini di buku beliau.

“Apabila keluar dari persidangan itu jurugambar akhbar dan juga wartawan-wartwan asing telah berebut untuk mengambil gambar Soekarno dan Tunku. Melan (Tan Sri Melan Abdullah adalah Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu) berada di antara mereka. Tunku dan Soekarno tidak menunjukkan wajah gembira sekalipun diminta tersenyum beberapa kali oleh jurugambar dengan perkataan cheese.

Apabila didesak berkali-kali, Tunku akhirnya mencarut dengan perkataan Melayu yang terkenal dengan empat huruf menyebabkan Soekarno meletus ketawa dan Tunku sendiri ketawa. Bukan lagi tersenyum. Ketawa semakin hebat apabila seorang wartwan bertanya is that cheese, Tunku? Tunku jawab, ya, ya, something smell like cheese.”- HISB, p47 (juga tersiar di Utusan Malaysia)

6. Ramai ditangkap kerana dituduh bersubahat dengan Indonesia

Ketika konfrontasi, kerajaan telah buat pelbagai tindakan untuk halang sebarang usaha yang menyokong Indonesia dan Soekarno. Jadi sesiapa yang disyaki ada kaitan dengan gerakan konfrontasi dan menyokong gagasan Melayu Raya akan ditahan di bawah ISA.

“Penyokong-penyokong Soekarno di Malaysia ketika itu ialah Front Sosialis yang terdiri daripada Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (PBM) masing-masing dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Pas yang ketika itu dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi turut menyokong Soekarno.

Akibatnya, kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong Soekarno termasuk Dr. Burhanuddin dan Ahmad
Pak Sako, Dr Burhanuddin dan Ahmad Boestamam memang terkenal dengan cita-cita mereka yang nak tubuhkan Melayu Raya sejak tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh mereka (rujuk file PDF).

“Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan Pak Sako yang percaya bangsa Melayu dapat diselamatkan menerusi penyatuan Indonesia-Malaysia di bawah konsep nusantara.” – HISB, p33

7. Lagu “Inilah Barisan Kita”, sebenarnya dicipta oleh orang Indonesia?

Walaupun Indonesia dah isytihar konfrontasi dan “Ganyang Malaysia”, tapi masih ada rakyat Indonesia yang tak sokong. Terutamanya dari mereka yang anti-komunis dan anti-Soekarno. Mereka ni berlindung di Malaysia ketika konfrontasi.

“Dalam konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia, seorang pegawai tinggi tentera Indonesia Mejar Benny Moerdani ditugaskan untuk menyusup ke Malaysia dan melakukan kerja-kerja sabotaj. Tetapi peranannnya telah bertukar kepada misi sulit mencari perdamaian ketika Jeneral Suharto sedang bangkit untuk melenyapkan kuasa Soekarno.

Seorang lagi tokoh anti-Soekarno dan anti-komunis, Des Alwi. Des Alwi yang mendapatkan perlindungan politik di Malaysia ialah kawan rapat Tun Razak sejak belajar di London.” – Zainuddin Maidin, Saya bukan menteri, p237
Disebabkan Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun ramai rakyat Malaysia dan Indonesia sebenarnya bersaudara. Perkara itu juga jadi faktor kegagalan konfrontasi.

“Satu kisah benar menyebut, ada antara tentera Indonesia yang menyerah diri kepada orang kampung akhirnya ditemukan dalam satu peristiwa yang menyayat hati. Tentera Indonesia itu dan orang kampung itu mempunyai pertalian darah dan hubungan persaudaraan dari tanah Jawa. Ia berakhir dengan insiden berpeluk-pelukan dan tangisan.” – dipetik dari Utusan Malaysia
Rancangan Soekarno untuk menyerang Malaysia jugak tak disokong oleh beberapa jeneral tentera. Sebab bagi mereka Indonesia tak mampu nak bertempur dengan tentera dari negara-negara Komanwel.

Tentang lagu “Inilah Barisan Kita”. Sebenarnya lagu ni dicipta oleh penggubah musik terkenal Indonesia Saiful Bahari, yang juga pelarian dari Indonesia. Lagu ni jadi lagu patriotik rakyat Malaysia sampai sekarang.

“Penggubah lagu terkemuka Indonesia, Saiful Bahari yang menjadi pelarian dari Indonesia, adalah penggubah lagu patriotik Inilah Barisan Kita yang membangkitkan perasaan rakyat Malaysia dalam masa konfrontasi.” – Zainuddin Maidin, Saya Bukan Menteri, p 132

 “Saiful Bahari adalah rakyat Indonesia tetapi dengan mencipta lagu itu bukanlah bererti bahawa beliau telah mengkhianati bangsa Indonesia sebaliknya membuktikan kepada kita bahawa baginya bangsa Melayu Malaysia adalah juga bangsanya.” – Zainuddin Maidin, Saya Bukan Menteri, p 137

Selain tu, Saiful Bahari (atau nama lain Surya Buana) jugak pernah jadi pegawai khas kepada Menteri Penerangan ketika itu Tan Sri Senu Abdul Rahman dan Pengarah Musik di Filem Negara Malaysia (FNM).

Soekarno digulingkan, Malaysia dan Indonesia berdamai

Pada 30 September 1965, Parti Komunis Indonesia (PKI) cuba buat rampasan kuasa di Indonesia dengan menculik dan membunuh beberapa orang jeneral tentera Indonesia. Peristiwa ni jugak dikenali sebagai “Gestapo” (Gerakan September Tiga Puluh) atau G30S. Enam jeneral tentera Indonesia maut dalam peristiwa tu (rujuk file PDF).

Jeneral Suharto terselamat dalam peristiwa tu dan ambil alih kuasa eksekutif Soekarno pada 11 Mac 1966. Soekarno pula dilucutkan jawatan pada 12 Mac 1967 dan dikenakan tahanan rumah sehingga beliau meninggal dunia pada 1970 ketika berusia 69 tahun.

Akhirnya pada 28 Mei 1966, rundingan dilakukan di Bangkok antara Timbalan Perdana Menteri Tun Razak dan Menteri Luar Indonesia Adam Malik. Hubungan Malaysia-Indonesia beransur baik menjelang tahun 1967 dan konfrontasi pun tamat.


Sepanjang konfrontasi ini (1962-1966) seramai 114 askar pasukan komanwel, 36 orang awam Sarawak dan lebih daripada 590 orang askar Indonesia terbunuh. Kini pada setiap 16 September kita akan sambut Hari Malaysia di seluruh negara. Oleh tu, kami ucapkan SELAMAT HARI MALAYSIA!!

Sumber : Sos Cili

No comments:

Post a Comment