Thursday, 5 November 2015

Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah

Sepintas Lalu: Diantara Sebab Musabab Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.



I. Faktor Pertama Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Migrasi masyarakat Melayu Brunei ke juga berlaku akibat konflik istana ataupun perang saudara yang meletus di Brunei. Sejak pemerintahan Sultan Saiful Rijal pada pertengahan KM XVI, telah mula wujud perselisihan faham dalam kalangan kaum kerabat istana Kerajaan Brunei. Ini adalah disebabkan faktor perebutan kuasa antara dua golongan atau lapisan kelas utama dalam istana, iaitu Ampuan (Raja) dan Pengiran (Pembesar). 

Golongan Ampuan merujuk kepada pewaris takhta yang berasal darah tulen daripada keturunan Sultan yang pertama, Sultan Muhammad Shah @ Awang Alak Betatar. Manakala golongan Pengiran merujuk kepada lapisan pembesar yang dilantik oleh Sultan yang memerintah pada sesuatu masa. Golongan Ampuan telah mendominasi Takhta Kerajaan Brunei hingga pemerintahan Sultan Saiful Rijal, yakni Sultan Brunei ketujuh daripada darah keturunan golongan Ampuan tulen yang terakhir memerintah Kerajaan Brunei. 

Semasa pemerintahan baginda, golongan Pengiran telah mula bangkit untuk merampas takhta. Kehadiran kuasa Spanyol di Manila pada tahun 1571, telah mendorong Pengiran Seri Laila dan Pengiran Seri Ratna mengadakan hubungan secara sulit dengan kuasa Spanyol untuk merampas takhta ketika itu. Kebangkitan golongan Pengiran dikaitkan dengan masalah kezaliman golongan Ampuan yang memerintah Kerajaan Brunei, bukan sahaja bertindak secara kasar ke atas golongan rakyat biasa malah bertindak sesuka hati ke atas golongan Pengiran yang menjalankan pentadbiran kerajaan bagi pihak Sultan Brunei. Rasa tidak puas hati terhadap dominasi golongan Ampuan telah menyebabkan golongan pengiran yang dipimpin oleh Pengiran Seri Lela mengundang kuasa Sepanyol untuk menyerang dan menawan Brunei pada tahun 1578 dengan kuasa Sepanyol, Pengiran Seri Laila telah dilantik menjadi Sultan boneka untuk memerintah Kerajaan Brunei. Sesungguhpun Sultan Saiful Rijal Berjaya merampas semula takhtanya, tetapi konflik antara golongan Ampuan dan golongan Pengiran sejak itu telah berlarutan dalam sejarah takhta Kerajaan Brunei. 

Sultan Saiful Rijal adalah daripada darah keturunan Ampuan tulen atau Ampuan kelas 1 yang terakhir memerintah Kerajaan Brunei. Seterusnya takhta Kerajaan Brunei telah dominasi oleh golongan Ampuan kelas 2 sehingga ke hari ini, yakni darah campuran antara Ampuan (ayah) dan Pengiran (ibu). Sesungguhnya berlaku hubungan yang sangat rapat melalui perkahwinan antara kedua-dua golongan ini, tetapi perebutan antara kedua-dua keatas takhta terus berlaku, terutama apabila Sultan tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta. Konflik antara kedua-dua golongan ini telah meletus secara langsung menjadi perang saudara dari tahun 1661 hingga 1672.

Konflik bermula apabila putera kepada Sultan Brunei Ke 12, Sultan Muhammad Ali (1660-1661) daripada golongan pengiran telah membunuh putera Pengiran Bendahara Abdul Momin. Ini menyebabkan Pengiran Bendahara telah bertindak membalas dendam dengan membunuh Sultan Muhammad Ali dan melantik diri menjadi Sultan Brunei ke 13 dengan gelaran Sultan Abdul Hakkul Mubin (1661-1673). Setelah menjadi Sultan, baginda cuba berbaik-baik dengan golongan Pengiran melalui tindakannya melantik anak saudara kepada Sultan Muhammad Ali, iaitu Pengiran Muhyiddin menjadi Pengiran Bendahara yang baharu. Walau bagaimanapun, Pengiran Muhyiddin telah bertindak membalas dendam ke atas kematian pakciknya. Justeru itu, perang saudara tidak dapat dielakkan.

Sultan Hakkul Mubin terpaksa berpindah ke Pulau Chermin di muara Sungai Brunei dan kesempatan ini digunakan oleh Pengiran Muhyiddin untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Brunei ke 14 (1673-1690). Sultan Muhyiddin telah memohon bantuan daripada Sultan Sulu, yakni sepupu baginda. Peperangan telah berlarutan selama 12 tahun dan berakhir dengan kekalahan atau kematian Sultan Abdul Hakkul Mubin. Sultan Muhyiddin telah pernah berjanji untuk menghadiahkan Sabah ( Paitan, Sugut, Mempayong, Palawan, Balabak, dan semua pulau dalam perairan Laut Sulu kepada Sultan Sulu jika dapat menewaskan Sultan Abdul Hakkul Mubin. 

Walau bagaimanapun, angkatan Sultan Muhyiddin sendiri telah Berjaya menewaskan Sultan Abdul Hakkul Mubin. Manakala angkatan Sulu pula sedang bersembunyi di Pulau Keingaran ketika itu. ( Tiada ada bantuan dari pihak angkatan Sulu)

Implikasi keadaan huru-hara dalam Brunei akibat perang saudara tersebut telah menyebabkan ramai masyarakat Melayu Melayu Brunei telah bermigrasi ke Sabah, terutamanya kaum kerabat Sultan Abdul Hakkul Mubin daripada kalangan golongandarah keturunan Ampuan termasuk pengikut mereka. Justeru gelaran Ampuan di Sabah difahai dengan maksud golongan kaum buangan. Mereka terpaksa tidak memakai gelaran tersebut demi keselamatan. Mereka terpaksa bersembunyi di Sabah dan membina petempatan di kawasan darat yang tidak terlalu terdedah. Sultan Muhyiddin telah melancarkan gerakan untuk menghapuskan keturunan Sultan Abdul Hakkul Mubin dan pengikutnya. Justeru itu, untuk mengelakkan diri daripada ancaman Sultan Brunei, ramai masyarakat Melayu Brunei telah mengasimilasikan atau mengidentifikasikan diri mereka sebagai kaum Bajau. Hal ini berlaku kepada masyarakat Melayu Brunei di Kinarut, iaitu bekas wilayah ‘Tulin’ Sultan Abdul Hakkul Mubin. Keadaan benar-benar menjadi aman setelah Sultan Muhyiddin melantik Pengiran Muda Amir, iaitu putera Sultan Abdul Hakkul Mubin menjadi Pengiran Bendahara pada tahun 1688.

Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei yang telah bermigrasi ke Sabah semasa perang saudara itu tidak mahu kembali ke Brunei disebabkan kehidupan yang lebih stabil dan keadaan keselamatan mereka terjamin di Sabah. Pada awal KMXX, memandangkan wujud keselamatan di bawah pemerintahan penjajah British, maka penggunaan gelaran Ampuan mula digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei di Benoni. Ketika itu, Sultan Brunei ke 26, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1885-1906) telah sedia memperkenankan perlantikan beberapa keturunan Ampuan untuk menjadi imam di Benoni. Ampuan Ismail Bin Ampuan Mattamin menjadi imam kedua selepas Pengiran Omar. Semasa pemerintahan Sultan Brunei ke 27, Sultan Ahmad Tajuddin (1924-1950), sekali lagi memperkenankan perlantikan Ampuan Haji Kassim bin Ampuan Ja’afar sebagai imam di Benoni.

II. Faktor Kedua Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Di samping itu, migrasi masyarakat Melayu Brunei juga dikaitkan dengan usaha Kerajaan Brunei untuk mempertahankan wilayah jajahan di Sabah daripada pencerobohan kuasa British. Apabila pihak British merancang untuk menyerang Brunei pada tahun 1846, Sultan Brunei telah menghantar 1,000 orang askarnya yang terdiri daripada orang Melayu Brunei dan orang Kadayan di bawah pimpinan Panglima Mat Saman untuk mempertahankan wilayah Tulin Menumbok (Mempakul) daripada penjajahan British. Walaupun mereka gagal mempertahankan kawasan tersebut, tetapi peristiwa itu telah menyebabkan migrasi secara tidak langsung masyarakat Melayu Brunei di Menumbok. Dikatakan kebanyakan askar terbabit tidak mahu kembali ke Brunei dengan alasan kebimbangan mereka akan ditangkap oleh pihak British yang menyerang dan menawan Brunei pada tahun itu. Oleh itu, mereka telah menetap dan sekaligus meramaikan lagi jumlah populasi masyarakat Melayu Brunei yang telah sedia ada di kawasan terbabit.

III. Faktor Ketiga Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Salah satu sebab yang tidak kurang penting kepada proses migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah pada zaman sebelum traditional ialah factor ‘kezaliman pemerintahan’ Kerajaan Brunei. Ini merupakan satu maklumat yang menarik tetapi tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong ia suatu kebenaran sejarah. Menurut pendapat dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei yang bersifat zalim. Baginda Sultan itu ( tidak dinamakan) dikatakan pantang meliat anak dara yang cantik sehingga menyebabkan sejumlah 20 orang anak dara dari Brunei telah melarikan diri dan bersembunyi di Bongawan ketika pemerintahannya. 

Sekiranya diketahui sesebuah keluarga mempunyai anak dara yang rupawan, baginda akan mengarahkan pembesar atau pengawalnya untuk merampas anak dara itu. Jika ibubapa anak dara itu enggan ataupun menentang kehendak baginda, maka mereka akan di hukum bunuh. Disebabkan kebimbingan terhadap kezaliman Sultan Brunei itu, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei yang berhijrah dari Brunei ke Sabah semata-mata untuk mengelakkan kezaliman Sultan. 

Sesungguhpun maklumat ini hanya dapat diperolehi melalui sumber cerita lisan dan tidak ada rekod bertulis untuk mengesahkan kebenarannya, tetapi perkara kezaliman Sultan Brunei itu ke atas rakyat jelata tidak mustahil berlaku kerana cerita lisan telah diperturunkan daripada generasi ke generasi. Misalnya, menurut satu cerita lisan masyarakat Melayu Brunei di membakut-Bongawan mengisahkan seorang kaum kerabat istana bernama Pengiran Jaya telah melarikan diri kerana mempunyai seorang isteri yang rupawan.

 Oleh kerana bimbang dan takut isterinya dirampas oleh Sultan Brunei, maka Pengiran Jaya telah membawaisterinya lari dari Brunei dan bersembunyi di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan. Justeru, semua pangkat dan gelaran yang telah dianugerahkan oleh Sultan Brunei terpaksa dihapuskan bagi tujuan mengelakkan diri daripada dikesan oleh Sultan Brunei dan pengikutnya. Dalam pada itu, sebenarnya unsure kezaliman ke atas masyarakat rakyat jelata Brunei tidak semuanya berpunca daripada Sultan Brunei sendiri. Berdasarkan sumber British yang wujud pada KM XIX pula ada menyebut tentang kewujudan pengganas yang sering membuat kacau bilau di sepanjang persisiran Pantai Sabah. 

Besar kemungkinan pengganas ini terdiri daripada golongan suruhan Sultan atau pembesar Kerajaan Brunei yang tidak mematuhi perintah dan arahan. Akibatnya keganasan mereka, menyebabkan ramai masyarakat Melayu Brunei telah menjadi pelarian sama ada ke Sabah atau Sarawak. Kegiatan pengganas ini telah mengancam kegiatan ekonomi British, seperti yang di pimpin oleh Haji Saman pada tahun 1847. Akhirnya Haji Saman telah terpaksa mengundur diri ke kawasan hulu Sungai Membakut ekoran serangan daripada pihak British pada bulan Febuari 1847. RAmai pengikutnya telah menyerap masuk dalam masyarakat Melayu Brunei yang telahpun lama menetap di Bongawan dan Kimanis. Justeru itu, pihak British yang melancarkan gerakan memburu Haji Saman tidak dapat mengesan mereka.

Kesimpulan:

Sejarah proses migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah melibatkan banyak factor. Perbincangan ini hanya membincangkan sebahagian faktornya. Usaha untuk menerangkan secara terperinci sejarah migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah tidak mudah disebabkan maslah sumber rekod yang terhad. Apatah lagi pengkajian yang khusus terhadap migrasi mereka belum diusahakan setakat ini. Akhir sekali, penelitian ini sekadar merintis kepada usaha pengkajian yang lebih mendalam untuk dilakukan pada masa hadapan.

Hasil Tulisan : Bilcher Bala

Dibukukan Oleh Pusat Sejarah Brunei.

Source : Sejarah Borneo

2 comments:

  1. Junjung tinggi dari beta cicit dari sultan abdul momin setahu beta sultan abdul momin tidak mati di bunuh tapi mati oada 1959 mati tua di pulau tawi tawi

    ReplyDelete
  2. kertas kerja ni Prof Biltcher Bala ada dalam buku jejak kesultanan Brunei di Sabah.. dalam blog ni di tulis ringkas sahaja..sila beli buku terbitan pusat sejarah Brunei..

    ReplyDelete