Monday, 2 November 2015

Sejarah Perluasan Empayar Sarawak Di Bawah Brooke


Umum mengetahui bahawa wilayah Sarawak suatu waktu dahulu merupakan tanah kuripan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam berabad lamanya. Dan sejarah Sarawak mula berubah apabila satu demi persatu wilayah tanah kuripan ini dimiliki oleh Brooke melalui perluasan empayarnya.

Sekitar tahun 1840an kedatangan James Brooke telah menukar corak garis sempadan Sarawak itu sendiri. Selepas tamatnya pemberontakan yang didokongi oleh Datu Patinggi Ali ke atas pemerintahan pembesar Brunei iaitu Pengiran Indera Mahkota yang dipanggil Perang Seniawan 1840 di kawasan yang dipanggil Lidah Tanah, akhirnya James Brooke berjaya menjadi Gabenor Sarawak melalui perjanjiannya dengan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim.

Mengikut sejarahnya, Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim cuba bermain teka-teki dengan James Brooke namun setelah didesak akhirnya pada 24 September 1841, beliau berjaya secara rasminya menjadi Gabenor Sarawak. Sekitar tahun 1842, sekali lagi Sultan Omar Ali telah memberikan hak secara rasmi kepada James Brooke menguasai Sarawak yang hanya meliputi kawasan sehingga ke Tanjung Datu dengan bayaran imbuhan saban tahun kepada Brunei sebanyak $2,500 (Rawlins, 1965).

Kemudian setelah berlakunya Perang James Brooke keatas Brunei pada tahun 1846 atas ingin menghukum Kerajaan Kesultanan Brunei yang telah membunuh Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim akhirnya membuatkan Sultan Omar Ali juga memberikan James Brooke kebebasan untuk memiliki Sarawak sepenuhnya iaitu melalui perjanjian yang ditandatangani pada Ogos 1846. Dan bermula dari sinilah Brooke telah mula meluaskan empayar Sarawak Kingdom dengan satu persatu wilayah tanah kuripan Brunei menjadi antara pembentuk Sarawak Kingdom dan seterusnya apa yang kita kenali sebagai Negeri Sarawak Bumi Kenyalang sekarang.

Wilayah Batang Sadong, Batang Lupar, Saribas dan Kalaka

Atas nama kempennya “Membanteras Aktiviti Lanun”, James Brooke telah berjaya mendapat bantuan daripada Armada Tentera Laut Diraja Britain pada waktu itu. Sekitar tahun 1843 sehingga 1844 sebenarnya Brooke telah berhabisan membanteras penduduk pribumi di wilayah ini yang sebenarnya tidak mahu menerima pentadbiran Brooke. Untuk itu penduduk ini diperangi dengan sehabis mungkin.

Sekitar tahun 1849, penduduk Iban Saribas dan Iban Batang Lupar telah bangun memberontak sehingga mereka menyerang wilayah seperti Sadong, Sesang, Sarikei, Paloh, Matu, Bruit dan Igan (Rawlins, 1965). Disinilah bermulanya satu pertempuran yang bernama Perang Beting Maro (July, 1849) berdekatan dengan cabang Sungai Saribas yang telah membunuh lebih daripada 500 orang pahlawan Iban Saribas.

Bagi mengukuhkan penguasaannya, James Brooke telah mengarahkan penjawat awam Sarawak Kingdom iaitu Arthur Crookshank untuk membina sebuah kubu di antara Sungai Skrang dan Batang Lupar pada akhir tahun 1849 (Naimah, 1999). Selesai kubu siap dibina, Arthur Crookshank telah pulang ke Kuching dan seterusnya William Brereton diperintah menjadi pentadbir kubu di Skrang sehingga lebih kurang 3 tahun.

Sekitar tahun 1852, Alan Lee telah dipindahkan ke Skrang bagi membantu William Brereton dan menjadi pentadbir di sebuah lagi kubu di Lingga. Walaupun bertali arus penentangan yang diadakan oleh masyarakat Iban tempatan namun begitu ianya masih berpihak kepada Brooke. Bagi membenarkan penguasaannya di wilayah ini akhirnya James Brooke telah berunding dengan pemerintahan di Brunei.

Sekitar Ogos 1853, Sultan Abdul Momin setelah dipujuk oleh James Brooke telah memberikan Batang Sadong, Batang Lupar, Saribas, Kalaka menjadi pembentuk empayar Sarawak Kingdom. Dikala ini dikatakan bahawa Sultan Abdul Momin tidak menerima bayaran saguhati sebaliknya Sultan Abdul Momin akan menerima separuh daripada hasil pendapatan yang didapati oleh Brooke di wilayah ini. (Cheah, 2001). Dan akhirnya dikatakan James Brooke terus memiliki wilayah ini setelah diberikan percuma oleh Sultan Abdul Momin kerana wilayah ini tidak memberi sebarang hasil kepada Kerajaan Brunei pada ketika itu. (Rawlins, 1965).

Wilayah Lower Sungai Rajang (Sarikei)

Sekitar tahun 1851, Tuan Muda Charles Brooke telah membina sebuah kubu di Kanowit bagi mengawal pergerakan masyarakat iban yang mendiami di sepanjang lower Sungai Rajang pada masa itu. Pada ketika itu dikatakan juga ada penentangan yang digerakkan oleh masyarakat Melayu serta Iban Kanowit ke atas pemerintahan Brunei telah dijadikan alasan untuk Brooke menentangi mereka atas nama ingin membantu Brunei.
Sekitar Ogos 1853, dengan keizinan daripada Sultan Abdul Momin akhirnya kesemua mereka ini diperangi. Bertindak daripada itu, akhirnya Tuan Muda Charles Brooke membina sebuah kubu di Sarikei sekitar tahun 1855. Setelah pembinaan kubu tersebut maka Brooke telah melantik seorang penjawat Eropah sebagai Residen di Sarikei yang bernama Charles Fox sekitar tahun 1856.

Pada tahun 1859, tragedi pembunuhan oleh Fox dan Henry Steele iaitu Residen Kanowit pada masa itu oleh orang Kanowit telah memungkinkan Tuan Muda Charles Brooke memerangi mereka di Kanowit. Setelah reda segalanya pada masa itulah, Brooke mendapat wilayah Lower Sungai Rajang daripada Sultan Abdul Momin sebagai galang gantinya. (Cheah, 2001)

Wilayah Upper Rejang, Mukah, Tatau Dan Sungai Bintulu

Bermulanya campurtangan Brooke di daerah ini adalah sebenarnya bertindak kepada industri sagu yang menjadi antara komoditi paling bernilai ketika itu di pasaran dunia. Dan ianya menambah kecekalan Brooke untuk mendapatkan wilayah ini apabila adanya satu perang saudara yang berlaku di Mukah pada masa itu.

Perang saudara Mukah ini berlaku antara Pengiran Mersat iaitu seorang Gabenor Mukah yang dilantik oleh Kerajaan Kesultanan Brunei dengan seorang pemimpin tempatan yang bernama Pengiran Matusin. Perang saudara 1858 ini sebenarnya boleh membawa keburukan kepada industri sago dan akhirnya James Brooke dikatakan masuk campur apabila Pengiran Matusin sendiri yang meminta beliau berbuat demikian.

Setelah berjaya meredakan perang saudara tersebut maka pada tahun 1861, James Brooke telah berjaya memujuk Sultan Brunei untuk memberikannya wilayah Mukah bersama-sama dengan kawasan Upper Rejang, Mukah, Oya, Tatau dan Sungai Bintulu kepadanya. Tindakan Sultan Brunei memberikan wilayah ini kerana dikatakan bahawa di sepanjang Perang Saudara Mukah ini berlangsung, baginda tidak pernah mendapat apa-apa penghasilan. Jadi apabila adanya James Brooke yang mahu memberikan imbuhan setiap tahun sebanyak $4,500 ianya adalah satu yang dinantikan. (Rawlins, 1965).

Wilayah Baram

Rajah Charles Brooke merupakan rajah ke-2 Sarawak Kingdom merupakan seorang rajah yang berjiwa besar kerana beliau dikatakan menginginkan empayar Sarawak seluas yang mungkin. Pada ketika beliau memerintah dikatakan Sarawak merupakan sebuah Negara yang kaya raya. Semasa beliau juga eksplorasi minyak dan gas telah dijalankan di bumi Miri pada ketika itu.

Wilayah Baram merupakan salah satu tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei pada masa itu. Oleh kerana empayar Sarawak sudah semakin besar maka Rajah Charles Brooke berpendapat adalah baik sekiranya wilayah Baram juga dipunyai oleh Sarawak Kingdom. Maka pada tahun 1868, beliau cuba berunding dengan Sultan Brunei pada masa itu untuk memiliki wilayah Baram.

Namun begitu hasrat Charles tidak kesampaian kerana Sultan Abdul Momin ketika itu berpendapat wilayah Brunei sudah semakin mengecil dan bila-bila masa sahaja boleh musnah. Walau dipujuk dengan apa cara walaupun hakikatnya wilayah Baram hanya memberikan penghasilan yang sedikit kepada Brunei, Sultan Abdul Momin tidak berganjak dengan keputusannya. (Rawlins, 1965)

Akhirnya ada satu peristiwa yang dinamakan Pemberontakan Kayan 1874 yang memungkin segalanya berlaku. Pada masa itu, orang Kayan di Baram sudah cukup bosan dengan pemerintahan Brunei di Baram kerana dikatakan mengenakan cukai sesuka hati ke atas rakyat di Baram. Orang Kayan yang terkenal dengan kepahlawanan mereka telah menyerang Brunei pada tahun itu dengan segala kekuatan mereka sehingga mengakibatkan darurat di Brunei pada tahun 1874.

Pada masa itu juga, berlaku persaingan antara 2 kuasa British iaitu Brooke (Sarawak Kingdom) dan juga British di North Borneo. Ini menyebabkan Sultan Abdul Momin semakin ditekan dan akhirnya dengan alasan bahawa masyarakat Baram lebih memilih untuk dibawah Sarawak Kingdom telah menyebabkan Baram dimiliki dan akhirnya menjadi pembentuk empayar Sarawak Kingdom. Sekitar tahun 1882, wilayah Baram menjadi rasmi milik Sarawak Kingdom apabila Sultan Brunei menerima imbuhan sebanyak $4,200 setiap tahun. (Rawlins, 1965).

Wilayah Trusan

Sekitar tahun 1884, telah terjadi satu tragedi di wilayah Trusan yang mana pada ketika itu dikatakan 20 orang rakyat Sarawak dari Baram telah meneroka di hutan di Trusan untuk mencari hasil hutan dan damar. Kehadiran mereka di hutan Trusan tidak disenangi oleh masyarakat tempatan Trusan iaitu orang Murut. Akibatnya 20 orang ini telah dibunuh di hutan Trusan dan pembunuhan mereka ini diadukan kepada Rajah Charles Brooke.

Rajah Charles Brooke berang dengan kejadian yang berlaku lalu membuat laporan kepada Sultan Brunei. Walau bagaimanapun maklumbalas daripada Sultan Brunei bahawa baginda tidak boleh berbuat apa-apa kerana Trusan adalah hak tulin kepada pembesar berabad lamanya. Tekanan demi tekanan daripada Rajah Charles Brooke sehingga boleh berlakunya pertumpahan darah di Trusan telah mengakibatkan Sultan Brunei mengarahkan pemegang hak tulin Trusan memberikan Trusan kepada Brooke.

Pada ketika itu juga, sebagai membalas pemberian Trusan kepada Brooke itu satu persefahaman telah dimeterai antara keduanya iaitu Brooke akan membayar imbuhan sebanyak $4,500 saban tahun kepada Brunei.(Rawlins, 1965). Akhirnya pada tahun 1885, secara rasminya Trusan menjadi antara pembentuk empayar Sarawak Kingdom.

Wilayah Limbang

Pada 17hb Mac 1890, Rajah Charles Brooke mengikut sejarahnya telah menaikkan bendera Sarawak Kingdom di bumi Limbang walaupun hakikatnya pada masa itu Limbang masih lagi menjadi tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam. Kesemua hal ini didorong oleh masyarakat tempatan di Limbang dikatakan lebih memihak untuk menjadi rakyat Sarawak Kingdom. Ini kerana sejak di tahun 1884 lagi sememangnya rakyat Limbang telah bangun memberontak atas pemerintahan pembesar Brunei di Limbang. Dan akibatnya pernah terjadi perang Limbang ke atas Brunei sehingga menyebabkan wilayah Brunei di dalam perintah darurat.

Akibat daripada tindakan daripada Rajah Charles Brooke ini sebenarnya telah melanggar artikel 8 yang ditandatangani pada tahun 1888 antara Sarawak Kingdom, North Borneo dan Brunei serta Kerajaan Mahkota British. Ketiga-tiga Negara ini disahkan menjadi Negara perlindungan (Protectrate) kepada Kerajaan Mahkota British. Rampasan yang dilakukan oleh Rajah Charles Brooke ini telah diadukan oleh Sultan Brunei kepada Baginda Queen di Kota London.

Baginda Queen telah menghantar penimbangtara untuk menguruskan aduan yang dibuat oleh Sultan Brunei iaitu dengan menghantar Konsul British ke Borneo yang baru iaitu Sir Neil Penrose Trevenen. Setelah siasatan dilakukan akhirnya British lebih menyebelahi kepada Rajah Charles Brooke pada masa itu. Sir Neil Penrose juga telah mencadangkan iaitu pada sekitar Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei akan menerima $6000 setiap tahun sebagai galang-gantinya Limbang. (Rawlins, 1965). Dan sekiranya baginda Sultan Brunei tidak menerima wang tersebut dalam masa tiga tahun sejak tarikh perampasan Limbang, maka wang tersebut akan dikembalikan kepada Charles Brooke.

Dikatakan bahawa Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei tidak mahu menerima walau sesen pun wang pampasan tersebut. Baginda tidak rela menggantikan Limbang dengan wang ringgit sebagai ganti rugi ke atas tanah Limbang yang dirampas itu. Usaha daripada Trevenen menemui kegagalan dan sehinggalah tempoh 3 tahun tamat, Sultan Brunei masih enggan menerima wang tersebut.

Akhirnya sekitar Ogos 1895, Pejabat Hal Ehwal Luar Negara Great Britain telah mengistiharkan kes Limbang ini memihak kepada Rajah Charles Brooke dan Limbang kekal sebagai antara salah satu wilayah Sarawak Kingdom sehinggalah sekarang. Sekitar tahun 1897, sebagai menandakan penguasaannya ke atas Limbang, beliau mendirikan Fort Limbang yang sehingga sekarang masih utuh berdiri bersebelahan Sungai Limbang.

Wilayah Lawas

Dominasi perluasan wilayah Sarawak sebenarnya jika diikutkan oleh Rajah Charles Brooke juga merangkumi sehingga ke wilayah Brunei-Muara. Sekitar tahun 1885, beliau dikatakan pernah membuat tawaran kepada Sultan Hashim untuk mendapatkan daerah Brunei-Muara sebagai pembentuk empayar Sarawak Kingdom. Namun begitu hasrat beliau ditolak oleh Sultan Hashim walaupun imbuhan yang ditawarkan adalah $14,500 setahun.

Walau bagaimanapun, Brooke berjaya memujuk Sultan Hashim untuk memberikan Lawas kepada Sarawak Kingdom iaitu pada 5 Januari 1905. Ini kerana Sultan Hashim dikatakan tidak mahu melepaskan Brooke untuk memiliki satu lagi wilayah yang terlalu bernilai untuk Brunei lebih-lebih lagi ianya mempunyai simpanan arang batu. Daerah yang dimaksudkan adalah daerah Brunei-Muara.

Dan jika diselidiki dari sejarah juga kita mengetahui bagaimana daerah Brunei-Muara dahulunya dikenali dengan nama Brooketon. Sejarah melombong arang batu di daerah Brunei-Muara ini banyak berkisar kepada WC Cowie yang mengusahakannya sebelum diambil alih oleh Rajah Charles Brooke tetapi menurut G. Irwin dalam bukunya, 

'Nineteenth Century Borneo:

A Study in Diplomatic Rivalry' published in 1965' menyebutkan Lombong di Muara diusahakan oleh empat buah kompeni yang berlainan di antara tahun 1848 dan tahun 1880. Pada bulan March tahun 1882, WC Cowie telah diberikan konsisi untuk mengusahakan lombong ini.

The Reverend JE Tennison-Wood melaporkan yang lombong ini disewakan oleh Sultan Abdul Momin (memerintah pada Tahun 1852-1885) dengan bayaran tahunan kepada dua orang pengusaha. Dalam buku MSH McArthur 'Report on Brunei pada tahun 1904' beliau melaporkan, "AVM Horton ada menyatakan, WC Cowie mendapat konsisi melombong di Muara Damit pada tahun 1882.

Pada tahun 1884 (di bawah pemerintahan Sultan Abdul Momin) dan dikuatkan lagi pada tahun 1887 (di bawah pemerintahan Sultan Hashim Jalilul Aqamaddin (TM 1885-1906), WC Cowie telah diberikan hak untuk melombong di semua kawasan Negera Brunei di timur Daerah Tutong.

Ini bermakna di seluruh Daerah Brunei-Muara boleh diterokai oleh WC Cowie. Sejarah Rajah Charles Brooke ke atas Brooketon bermula apabila pada 6hb September 1888, Sir Charles Brooke telah membeli hak konsisi perlombongan daripada WC Cowis dengan harga $25,000.00. Setelah pembelian tersebut, Daerah Muara diberikan nama diberi nama Brooketon sempena nama Rajah Sarawak (Brooke Town @ Pekan Muara). Dari tahun 1889 sehingga tahun 1924, lombong ini dikendalikan oleh Kerajaan Sarawak Kingdom.

Dengan eksport tahunan antara 10,000 ke 25,000 tan. Dalam jangka masa 33 tahun beroperasi, lebih 650,000 tan arang batu (Wilford - 1961) telah dieksport. Eksport selepas tahun 1906 berjumlah 315,396 yang bernilai $2,688,400. Pada mulanya arang batu ini diusahakan di lombong terbuka. Bila arang batu di permukaan makin susut, akhirnya lombong bawah tanah diperkenalkan.

Walaupun Rajah Charles Brooke ada hak ekonomi kerana konsesi yang belinya dari WC Cowie, tetapi secara de facto ia adalah penguasa yang memerintah Brooketon. Lombong ini mempunyai ratusan orang pelombong maka langkah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman telah diletakkan di bawah Kerajaan Sarawak Kingdom.

Rajah Charles Brooke telah menubuhkan pasukan polisnya sendiri, pejabat pos yang mana semua urusan posnya menggunapakai setem Sarawak dan North Borneo. Rajah Charles Brooke juga telah membina sistem jalanraya di Brooketon. Secara tidak langsung dengan semua kemudahan prasarana serta keselamatan di Brooketon ini secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa Brooketon sudahpun menjadi sebahagian daripada pemerintahan Kerajaan Sarawak Kingdom yang berpusat di ibukotanya iaitu Kuching.

Brooketon ketika era dibawah Rajah Charles Brooke kelihatan mewah, mempunyai dermaga serta pondok rehat, tembok @ benteng batu penghalang ombak dan landasan lokomotif menghubungkan Pelabuhan dangan lombong arang batu dan ada terdapat longgokan arang batu tersedia untuk dieksport. Menurut GE Wilford lombong ini mengeluarkan sebanyak 650,000 tan arang batu dari tahun 1891-1924.

Pada tahun 1904 perlombongan ini mengalami kemerosotan dan masalah kerana perbelanjaan lebih banyak dari pendapatan. Laporan Sarawak (1903) mengungkapkan kerugian sebanyak $108,000 iaitu $34,532 lebih besar dari tahun sebelumnya. Sungguhpun mengalami kerugian, Rajah Charles Brooke tetap masih mahu menjalankan perlombongan arang batu ini di Brooketon.

Sehinggalah pada bulan Mac 1924 Brooketon akhirnya telah 'dipulangkan' kembali kepada Negara Brunei Darussalam oleh Charles Vyner Brooke, Rajah Ke-3 Sarawak Kingdom setelah mengadakan perundingan demi perundingan diadakan sejak tahun 1921 iaitu semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam II (TM 1906-1924).

Laporan tahunan Brunei mencatitkan pemulangan bersejarah ini sebagai berikut:
"In March, after protracted negotiations lasting for nearly 3 years, an agreement was concluded whereby the Trade and Farm Rights held by the Rajah of Sarawak were redeemed by the Government of Brunei, in return for an annual payment of $6,418. These rights, together with certain land rights which are retained by the Rajah of Sarawak, were originally granted by the Sultan of Brunei to Mr WC Cowie in perpetuity for a total payment of $5,000. Five months after the new agreement came into operation the Rajah announced his intention to cease working the Brooketon Coal mines as from the 1st January, 1925, and the work of dismantling the machinery, etc, had commenced before the end of the year ..."

Inilah sejarahnya bagaimana Sarawak Bumi Kenyalang yang kita kenali sekarang mempunyai keluasan wilayahnya berdasarkan kepada perluasan empayar Sarawak Kingdom yang diperintah lebih 100 tahun oleh Dinasti Keluarga Brooke. Dahulunya Sarawak hanya sebesar ibukotanya iaitu Kuching namun sekarang setelah diperintah oleh Brooke yang berakhir pada tahun 1946 dan seterusnya dijajah oleh Koloni British Borneo selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Pada tanggal 16hb September 1963, akhirnya Sarawak merupakan entity pembentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah) dan Singapura (Keluar pada Ogos 1965).
Sekarang, Sarawak Bumi Kenyalang mempunyai sempadan dari Tanjung Datu sehingga ke Lawas dan mempunyai 12 bahagian pembentuknya iaitu:

1. Bahagian Kuching
2. Bahagian Kapit
3. Bahagian Miri
4. Bahagian Bintulu
5. Bahagian Sibu
6. Bahagian Limbang
7. Bahagian Mukah
8. Bahagian Sri Aman
9. Bahagian Samarahan
10. Bahagian Sarikei
11. Bahagian Betong
12. Bahagian Serian

‪#‎FromSarawakBumiKenyalangWithLove
‪#‎KamekSayangSarawakBah

Rujukan:

1. Baring Gould: E-Book Title: "A history of Sarawak under its two white Rajahs, 1839-1908"
https://archive.org/…/histo…/historyofsarawak00bari_djvu.txt
2. Mohd Faisal Syam Abdul Hazis: Book Title: Domination and Contestation: Muslim Bumiputera Politics In Sarawak
3. R Haller-Trost: Book Title: The Brunei-Malaysia Dispute Over Territorial Maritime Claims in International Law
4. Peter Metcalf: Book Title: The Life of the Longhouse: An Archaeology of Ethnicity
5. Profile Negeri Sarawak
http://pmr.penerangan.gov.my/…/9043-profil-negeri-sarawak.h…
6. Issue number 789 - Sarawak Gazette, Tuesday, March 16, 1920
http://www.pustaka-sarawak.com/…/gazette_upl…/1370835022.pdf
-HB-

The Patriots's photo.

No comments:

Post a Comment