Monday, 9 November 2015

Raja Lapu Lapu

Lapu-Lapu adalah hero sebenar dalam episod Ferdinand Magellan


  
Lukisan imaginatif Raja Lapulapu ketika berdepan dengan Magellan.Sumber: Mactan Shrine Painting (Carl Frances Morano Diaman) en.wikipedia.org/wiki/Mactan_isla

Sedutan dari manuskrip Jejak Risalah di Nusantara jilid II - Conquistidor (Sepanyol dan Portugis)

Kapal-kapal Magellan belayar dari San Lucar, Sepanyol pada 20 September, 1519. Setelah menyusuri Benua Afrika sehingga Tanjung Pengharapan, kapal-kapal Magellan belayar ke barat dan mengelilingi Amerika Selatan melalui Selat yang sempit dan merbahaya yang beliau namakan ’Selat Magellan’. Kemudian Magellan merentas Lautan Pasifik selama empat bulan sebelum berjumpa dengan daratan (Pulau Samar) yang beliau namakan Kepulauan St Lazarus, berhenti di Pulau-pulau kecil Homonhon sebelum mendarat di Limasawa, sebuah pulau kecil di selatan Leyte. Di Limasawa, Magellan mengadakan upacara sembahyang Katolik yang pertama di Filipina pada 31 Mac, 1521. 

Dari Limasawa, Magellan meneruskan usaha penjelajahan dan penyebaran agama Kristian di pulau-pulau sekitar. Magellan sampai di Cebu pada 1 April di mana  dia menjalin hubungan yang baik dengan ketua suku, Humabon. Magellan Berjaya membaptis 800 orang suku Cebuanos bersama Humabon, isteri dan anak perempuannya.[1] Dengan mengkristiankan mereka, Magellan telah menjadikan Cebu sebagai vassalage (jajahan takluk Sepanyol). 

Di masa yang sama Raja Lapu Lapu di pulau Mactan yang merupakan musuh Humabon, enggan menyerahkan kedaulatannya kepada Sepanyol. Raja Lapulapu memilih untuk mempertahankan kemerdekaan dan negerinya. Lalu berlakulah pertempuran yang pertama dengan penjajah Sepanyol di Kepulauan Filipina. Meskipun tentera Sepanyol bersenjatakan musket (senapang), perisai dan baju besi, mereka ditewaskan oleh penduduk tempatan dalam pertempuran Mactan yang masyhur pada 27 April, 1521. Ferdinand Magellan sendiri terbunuh di tangan raja Lapulapu. Rombongan Magellan kemudian meneruskan pelayaran tanpa Ferdinand Magellan.

Satu persoalan yang menjadi perbahasan ialah tentang Raja Lapu Lapu. Tiada kepastian tentang identi beliau sebagai muslim. Namun yang menarik ialah Raja Lapulapu adalah satu-satunya pemimpin suku yang tidak mahu tunduk kepada Sepanyol. Penentangan yang dipilih oleh Raja Lapulapu mengundang satu persoalan tentang pegangan beliau. Biasanya ada sesuatu yang mendorong mana-mana pemimpin untuk menentang penguasaan bangsa asing, apatah lagi jika ada unsur-unsur paksaan untuk menganut sesuatu agama dan menuntut ketaatan kepada bangsa asing tersebut. 

Mengambil kira kebanyakkan ketua suku di Kepulauan Filipina ketika itu beragama pagan (atau yang disebut oleh orang-orang barat sebagai heathen), maka Magellan tidak menghadapi sebarang penentangan ketika membaptis mereka kepada agama Katolik. Namun Raja Lapulapu memilih untuk menolak kedaulatan Spain dan enggan dibaptis kepada agama Kristian.[2] Penentangan Lapulapu disampaikan sendiri oleh seorang ketua suku bernama Zula

” On Friday, April 26, Zula a chief of the Island of Mactan, sent out one of his sons to present two goats to the Captain general and to say that he would send him all that he had promised, but that he had not been able to send it to him because of the other cheif Cilapulapu, who refused to obey the King of Spagnia...The captain sent a message to the effect that if they would obey the king of Spagnia, recognised the Christian king as their soveriegn and pay tribute, he would be their friends, but if they wished otherwise, they should wait to see how our lances wounded.[3]

 (Pada hari Jumaat, 26 April, Zula, ketua suku di Pulau Mactan mengutus seorang dari dua anaknya untuk mempersembah dua ekor kambing kepada Captain General (Magellan) dan untuk memberitahu bahawa dia akan persembahkan semua yang dijanjikan, tetapi hasratnya terhalang kerana seorang ketua suku Cilapulapu enggan tunduk kepada Raja Sepanyol... Captain (Magellan) menegaskan di dalam perutusannya jika mereka tunduk kepada Raja Sepanyol, mengiktiraf Raja Kristian tersebut sebagai ketua dan menyerahkan hadiah sebagai bukti ketundukan, maka beliau bersedia untuk menjadi sekutu mereka, tetapi jika sebaliknya, maka mereka patut tahu bagaimana pedang kami melukakan.)

Kesah peperangan Mactan dicatat oleh Pigafetta yang menyertai ekspedisi Magellan sebagai jurutulis. Ferdinand Magellan yang cuba untuk menundukkan Raja Lapulapu merancang untuk melancarkan serangan ke atas Pulau Mactan. Kapal Magellan tidak dapat menghampiri pantai kerana batu karang. Kedudukan kapal yang jauh dari pantai menyebabkan meriam tidak dapat digunakan untuk menembak sasaran musuh di darat. Ferdinand Magellan mengambil keputusan menggempur musuh dengan 48 askar Sepanyol dengan menggunakan perahu untuk mendarat. Tanpa diduga Magellan terpaksa berhadapan dengan 1,500 pejuang yang diketuai oleh Raja Lapulapu.[4] Sebelum melancarkan serangan Magellan telah member peluang terakhir kepada Raja Lapulapu untuk tunduk kepada kekuasaan Sepanyol, tetapi dijawab tegas oleh Raja Lapulapu.

“Saya tidak tunduk pada mana-mana raja dan tidak akan membayar ufti kepada mana-mana jua kuasa. Jika musuh kami ada tombak, kami juga mempunyai tombak daripada buluh dan kayu pancang yang disalai hingga keras”[5]

Ketika Magellan meredah air pada paras betis, askar-askar Sepanyol diserang oleh pejuang-pejuang Mactan dengan gagah berani. Meskipun mereka terpaksa berdepan dengan askar Sepanyol yang bersenjatakan musket (senapang) dan lengkap dengan pakaian besi, ia tidak melemahkan semangat pejuang. Mereka menggunakan panah untuk mencederakan askar-askar Sepanyol pada bahagian kaki mereka yang terdedah. 

Apabila bertarung secara berdepan mereka menggunakan senjata yang dinamakan kampilan, sejenis pedang panjang yang banyak digunakan oleh pejuang-pejuang tempatan. Magellan berjaya menembusi penempatan pejuang dan membakar beberapa puluh rumah di pesisiran pantai. Keadaan ini menimbulkan kemarahan dan menaikkan semangat pejuang untuk menghapuskan askar-askar penceroboh Sepanyol. Mereka terus bertarung dengan gagah berani. Raja Lapulapu sendiri berdepan dengan Ferdinand Magellan dan berjaya mencederakannya. 

Akhirnya Magellan dibunuh oleh pejuang Mactan dan saki-baki askar Sepanyol berundur ke kapal mereka setelah Kapten-general mereka tewas. Tawaran-tawaran harta kepada Raja Lapulapu untuk ditukar dengan mayat Magellan ditolak. Mayat Magellan gagal untuk ditebus dan sehingga hari ini tidak diketahui di mana kuburnya.[6]

Pertempuran di antara Paja Lapu Lapu dan Ferdinand Magellan adalah sanggahan pertama bangsa Filipina, samada mereka mewakili Moro (muslim) atau tidak ke atas penjajahan barat yang diterajui oleh Sepanyol. Peristiwa penting ini wajar diingati oleh bangsa Filipina hari ini kerana ia melambangkan keberanian untuk mempertahankan maruah bangsa dari diperbudak oleh sebuah kuasa asing yang angkuh.[7] Lapulapu tidak merasa gentar dengan kehebatan senjata Sepanyol, seperti yang diulas dengan begitu tepat oleh Professor sejarah Filipina, Theodoro A. Agonci dan Oscar M. Alfonso:

Lapulapu’s fight against Magellan was the first successful Filipino armed resistance against Spanish aggression. Lapulapu instinctively felt that the coming of the Spaniards could mean subjugation and the loss of freedom. In resisting the Spaniards, Lapulapu defended the rights of his people to live without interference from others. A lesser man than Lapulapu might have easily been daunted by the superior weapons of the Spaniards. Instead Lapulapu taught the lesson that in dealing with foreigners, Filipinos need not have a feeling of inferiority or awe, and should not be submissive.”[8] 

(“Perlawanan Lapulapu menentang Magellan adalah penentangan bersenjata orang Filipino yang pertama sekali  berjaya melawan agresi Sepanyol. Lapulapu secara naluri dapat merasakan kedatangan orang-orang Sepanyol boleh membawa maksud ketundukan dan kehilangan kemerdekaan. Dalam melawan orang-orang Sepanyol, Lapulapu mempertahankan hak rakyatnya untuk hidup tanpa campurtangan orang lain. Orang lain yang berjiwa kerdil dengan mudah akan merasa takut dengan senjata Sepanyol yang hebat. Sebaliknya Lapulapu memberi satu pengajaran di dalam menghadapi orang asing, orang Filipino tidak seharusnya merasa lemah atau kagum, dan tidak sepatutnya tunduk (kepada kuasa asing”).

Sebenarnya penemuan Filipina oleh Magellan memberi implikasi kepada saingan dua kuasa maritim Eropah; Sepanyol dan Portugis. Dua dekad yang pertama pada kurun ke 16 ditandai oleh perbalahan di antara Sepanyol dan Portugis di dalam menetapkan hak penguasaan tanah jajahan berdasarkan Perjanjian Tordesillas pada tahun 1494. Penerokaan Ferdinand Magellan ke Kepulauan Filipina pada tahun 1521 membawa pertikaian baru kerana batas sempadan wilayah penguasaan Portugis-Sepanyol tidak diketahui secara tepat. Batas sempadan yang diperkira jatuh sekitar ‘kepulauan rempah’ menjadikan Brunei (Borneo), kepulauan Filipina dan Maluku menjadi rebutan Sepanyol dan Portugis.[9]

[1] Teodore A Agoncillo and Milagros C. Guerrero. History of the Filipino people, R.P. Garcia Publishing Co. Quezon City, 1970, hlm 77.

[2] Menurut tradisi lisan Sulu, Lapulapu adalah seorang ketua kaum muslim, dan juga dikenali dengan gelaran ’Kaliph Pulaka’. Masyarakat Moro di Selatan Filipina menganggap Lapulapu adalah seorang muslim dari suku etnik Tausag. Carlos Calao, seorang penyair berbangsa China-Sepanyol menulis dalam puisi beliau Que Dios Le Perdone (bahasa Sepanyol ’Semuga Tuhan mengampuni beliau’) sebagai ’Cali Pulacu’. Raja Lapulapu diangkat sebagai pahlawan Nasional pertama Filipina yang menentang penjajah asing. Nama beliau begitu harum sehingga statusnya sebagai National Hero diabadikan dalam bentuk tugu (statue) di Pulau Cebu dan menamakan Bandar Opon di Cebu sebagai Lapu-lapu City. Bahkan Korea Selatan menghadiahkan sebuah tugu Lapulapu pada tahun 2005 dan ditegakkan di Rizal Park di Manila. Imej Lapulapu turut menghiasi logo rasmi Polis Kebangsaan Filipina dan pernah menghiasi duit syiling 1 centavo Filipina yang beredar dari tahun 1967 – 1974. Semasa Sesi pertama persidangan Kongres ke 14 Filipina, Senator Richard Gordon memperkenalkan satu bil mencadangkan supaya 27 April diistiharkan sebagai cuti umum sempena Adlaw ni Lapu-Lapu (Hari memperingati Lapu-Lapu). Dr Camilo Osias, seorang pengarang dan pendidik bangsa Filipina berkata “Kepada orang Filipina batu peringatan itu bukan sahaja patut mengingatkan kepada pemimpin angkatan yang bersejarah itu bahkan juga patut mengingatkan kepada tentangan bersenjata nenek moyang kita menentang penjajahan asing yang pertama kalinya Berjaya. Lihat ‘Philippine History Unwritten’, Philippine Forum, Manila, 1936, dirujuk oleh Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 172.


[3] H. De la Costa, S. J. Readings in Philippine History: Selected historical texts presented with a commentary, The Bookmark, Inc, Manila, 1965, hlm 16.

[4] Ketika Magellan menyerang Mactan, terdapat bersama-sama sekutunya Raja Humabon dan 1,000 orang-orang Cebu. Namun dengan bongkaknya Magellan menyuruh Humabon dan pahlawan-pahlawannya menunggu di dalam perahu dan melihat sendiri keberanian orang-orang Eropah berperang. Lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 170.

[5] Ibid., hlm. 170.

[6] Raja Humabon menghantar utusan untuk menebus mayat Magellan, tetapi telah ditolak oleh Raja Lapulapu. Pigafetta menulis, “Mereka menjawab utusan itu dengan memberitahu bahawa mereka tidak akan menyerahkan mayat orang yang seperti Magellan itu, sebagaimana yang kami sangkakan, dan mereka tidak akan menyerahkannya walaupun diberi semua harta kekayaan di dunia, dan bahawa mereka berniat hendak menyimpan jenazahnya sebagai satu kenang-kenangan. Lihat  Blair and Robertson, Jilid XXXIII, hlm. 183, juga lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 172.

[7] Menurut Gregorio F. Zaide, kesah keberanian Magellan seperti yang ditulis oleh Pigafetta perlu dibaca dengan hati-hati, kerana nyata sekali dia menulis dari segi pendapat orang Eropah dan dengan itu akan cuba menutup kekalahan Magellan. Berapa banyak juga huraian atau propaganda yang ditulis oleh penulis-penulis barat tidak dapat menyembunyikan faktor sejarah bahawa penyerangan orang Sepanyol ke atas pulau Mactan itu adalah satu kegagalan dan bahawa Lapulapu, dengan mengalahkan Magellan, patut diberi kemasyuran sebagai seorang perwira. Lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 170 – 171.

[8] Teodoro A. Agonci and Oscar M. Alfonso, A Short History Of the Filipino People, The University of Philippines, 1961, hlm. 69

[9] Dalam usaha untuk merealisasikan tuntutan Sepanyol ke atas ‘jajahan miliknya’, maka Charles I telah menghantar tiga ekspedisi pada tahun 1525, 1526 dan 1527 dengan instruksi untuk membina pusat perniagaan dan kubu pertahanan Sepanyol di kepulauan rempah, China dan Jepun. Ekspedisi ini telah menemui kegagalan kerana masalah kewangan sehingga memaksa Sepanyol untuk membuat perjanjian dengan Portugis. Perjanjian yang dinamakan perjanjian Zaragoza (Sepanyol) pada 22 April 1529 memberi sumber kewangan yang diperlukan oleh Sepanyol. Perjanjian ini juga bertujuan untuk menetapkan sempadan wilayah penguasaan di antara Portugis dan Sepanyol. Sempadan ini ditetapkan pada garis 297 ½ league ke timur Maluku. Portugis mendapat hak wilayah ke barat garis ini dan Sepanyol ke timur dari garis tersebut. Kerana tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang kedudukan garis sempadan tersebut, Sepanyol telah menjual haknya di Maluku kepada Portugis dengan harga 350,000 Ducats, tanpa menyedari bahawa ia sememang berada dalam wilayah Portugis dan kemudian menuntut hak ke atas Filipina yang juga berada di dalam hak penguasaan Portugis. Lihat Teodoro A Agoncillo and  Milagros C. Guerrero. op. cit., hlm 77 – 78.


Posted by Dr Hafidzi Mohd Noor at 1:43 AM

Sumber : Lambaian

2 comments: